Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 28
BAB 28

FARAH memperlahankan kayuhan tatkala basikalnya membelok masuk ke laman rumah Haji Rahman. Rasa kaget menyapa hati saat terpandang sebuah kereta sport merah hati tersadai di laman.

Sambil memarkir basikal di bawah pohon mempelam, mindanya ligat berfikir. Serasa dia pernah melihat kereta itu sebelum ini namun entah di mana dia sendiri telah lupa. Lambat-lambat Farah menghampiri kereta yang tidak diketahui pemiliknya.

“Hah, dah balik pun kamu Farah. Ni kawan kamu baru aje sampai tadi. Dari Petaling Jaya katanya.”

Teguran itu membuatkan Farah tersentak. Dipandang Hajah Aminah yang entah bila muncul di muka pintu rumah.

“Kawan Farah? Siapa nek?”

Farah semakin hairan.

“Farah, surprise!” jerit Julia yang tiba-tiba muncul di muka pintu rumah.

Julia berlari mendapatkan Farah sebelum tubuh gadis itu dipeluk erat.

Lambat-lambat Farah membalas. Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika ini. Terkebil-kebil dia memandang Julia yang meleraikan pelukannya.

“Kenapa Farah? Terkejut ya tengok saya kat sini?” tanya Julia lalu tertawa kecil.

“Bukan aje terkejut tapi tak percaya awak ada kat sini,” balas Farah perlahan-lahan sambil tersenyum.

Sempat dia mengerling Hajah Aminah yang menggeleng melihat tingkah laku mereka. Kemudian wanita itu berlalu ke dalam rumah semula.

“Well, bukan ke awak yang jemput saya ke sini? Takkanlah saya nak tolak pelawaan kawan saya pulak. Lagipun tak ada apa-apa yang boleh saya buat kat PJ tu.”

“Tapi kalau iya pun, beritahulah saya dulu. Bolehlah saya sediakan apa-apa yang patut untuk awak,” ujar Farah, gembira dengan kunjungan gadis itu.

“Ala, nak sedia apanya. Saya bukannya artis atau orang ternama nak kena sediakan segalanya sebelum ke mana-mana,” seloroh Julia sambil tersenyum lebar.

“Bila awak sampai?” soal Farah sambil mengelap peluh di dahi.

Dia baru pulang dari rumah keluarga angkatnya setelah hampir seharian menghabiskan masa di situ.

“Baru aje. Pening jugak saya nak cari rumah atuk awak ni tadi. Mujur budak-budak kampung yang duduk melepak kat simpang depan tu beritahu arah rumah ni. Kalau tak, entah ke manalah saya dah sampai tadi.”

Julia tertawa kecil sambil memandang sekeliling.

“Tu rumah apa Farah?” tanya Julia sambil menuding jari ke satu arah.

Farah turut menoleh.

“Oh, tu bukan rumah tapi bilik mandi. Bezanya bilik mandi tu tak guna air paip macam bilik mandi dalam rumah tapi guna air telaga yang ada kat dalam situ.”

“Oo... you mean mata air?” soal Julia, tidak percaya.

“Lebih kurang macam tulah,” jawab Farah sambil mengangguk kecil.

“Hmm... boleh tak kalau saya nak mandi kat situ?” soal Julia tiba-tiba.

Senyuman Farah mati serta merta. Terkejut.

“Awak nak mandi kat situ?” soal Farah, tidak percaya.

“Kenapa? Tak boleh ke?”

“Eh, bukan tak boleh tapi awak biasa ke mandi air telaga? Airnya sejuk tahu. Sejuk sangat-sangat macam air batu,” ujar Farah sungguh-sungguh.

“Ala, tak kisahlah sejuk macam mana pun, saya nak mandi jugak kat situ. Alang-alang saya dah sampai sini, apa salahnya kalau saya cuba mandi dengan air telaga awak tu.”

Julia mula menapak mendapatkan tempat mandi yang tertutup rapat pintunya.

“Nanti saya ambilkan tuala ya,” ujar Farah apabila Julia membuka pintu zink tempat mandi itu.

Julia hanya mengangguk sebelum hilang di balik pintu.

Perhatian Farah teralih tatkala telinga menangkap bunyi motosikal. Dipandang Faizam yang baru nampak kelibatnya. Kebiasaannya lelaki itu rajin membanting tulang di ladang keluarga angkat Farah setiap kali pulang bercuti.

“Kau buat apa kat sini Farah?” soal Faizam sebaik terpandang gadis itu masih berdiri di sebelah kereta sewa Julia.

Motosikal yang telah dimatikan enjinnya diparkir bersebelahan basikal gadis itu.

“Ni kereta siapa pulak? Tak pernah pun aku tengok sebelum ni,” ujar Faizam lagi tanpa sempat Farah menjawab pertanyaannya.

Dibelek-belek seketika kereta sport yang tersadai di depan mereka.

“Ni kereta kawan aku,” jawab Farah sambil tersenyum kelat.

“Kawan? Siapa pulak kawan kau tu?”

Faizam mengerutkan dahi sambil mengelap wajah basahnya dengan tapak tangan. Terpamer keletihan di raut wajahnya.

“Adalah, nanti kau tahu jugak,” ujar Farah, sengaja tidak mahu berterus terang.

Faizam hanya mengangguk. Rasa letih dan panas yang melekit ditubuh membuatkan dia malas menyambung bicara lagi. Diatur langkahnya ke bilik mandi namun terhenti apabila Farah cepat-cepat menghadang laluannya.

“Zam, kau mandi kat dalam ajelah ya hari ni,” pinta Farah lembut.

Faizam kembali mengerutkan dahi.

“Kenapa pulak aku tak boleh mandi kat luar? Selalunya aku mandi kat situ tak ada apa-apa masalah pun,” balas Faizam, hairan.

Tidak pernah-pernah Farah bersikap seperti itu sebelum ini.

“Bukan tak boleh mandi Zam tapi kawan aku tengah mandi kat situ sekarang. Takkan kau nak mandi dengan dia pulak,” seloroh Farah.

Faizam terus menjongket kening. Tajam matanya merenung Farah. Farah masih tegak berdiri di depannya sambil tersengih lebar.

“Siapa sebenarnya kawan kau tu hah Farah? Setahu aku, tak pernah ada kawan-kawan kau yang teringin nak mandi air telaga tu setiap kali dia orang datang ke sini. Apa dah buang tabiat ke kawan kau yang seorang ni?” soal Faizam serius.

“Yang ni lain sikit Zam. Dia tak pernah tengok telaga pun sebelum ni. Sebab tulah dia teringin sangat nak mandi kat situ,” jawab Farah terkial-kial.

“Siapa kawan kau tu? Kenapa susah sangat kau nak cakap kat aku ni hah?” soal Faizam lagi sambil mencekak pinggang.

“Kau janji kau tak marah kalau aku cakap?”

Soalan Faizam tidak dijawab tetapi Farah pula menyoal.

Merenung meminta simpati.

Faizam kembali merengus. Dia melepaskan nafas pendek.

“Okey, aku tak marah. Siapa kawan kau tu?” soal Faizam semula.

Kali ini dengan nada lembut.

“Julie.”

Jawapan pendek Farah membuatkan mata Faizam terbeliak serta-merta.

“Apa? Maksud kau puntianak tu? Dia datang ke sini? Dia yang tengah mandi kat dalam bilik mandi tu?” soal Faizam bertubi-tubi.

Farah mengangguk berkali-kali. Seiring dengan setiap pertanyaan Faizam.

“Zam, aku minta sangat-sangat pada kau. Kau janganlah bergaduh dengan Julie kat sini. Tak larat aku nak jelaskan pada atuk dan nenek kalau dia orang tanya nanti. Tolong ya Zam,” rayu Farah sungguh-sungguh.

“Bukan pada aku yang patut kau minta tapi pada puntianak tu,” balas Faizam lalu menghembus nafas kasar.

“Berapa lama puntianak tu nak tinggal kat sini?” soal Faizam lagi dengan muka tegang.

Farah menjongket bahu.

“Entah, lupa pulak aku nak tanya dia tadi,” jawab Farah.

“Farah, tolong saya sekejap!”

Jeritan Julia kedengaran tiba-tiba dari bilik mandi. Farah dan Faizam berpaling hampir serentak.

“Hah, lebih baik kau pergi tengok puntianak tu. Entah-entah dia dah jatuh kat dalam telaga. Kalau betul-betul jatuh pun elok jugak. Timbus aje tanah dalam telaga tu. Taklah kita susah payah nak korek lubang kubur untuk dia nanti,” ujar Faizam selamba sebelum sempat Farah menyahut panggilan gadis itu.

“Kau ni Zam, betullah celopar. Mujur dia tak dengar. Kalau tak entah apa pulak yang dia cakap nanti,” marah Farah.

Dia segera berlalu berlalu dari situ untuk mendapatkan Julia yang kembali memekik buat kali kedua.

Faizam hanya merengus kecil sebelum menapak ke anak tangga rumah.

“MAMA buat apa tu?”

Puan Sri Fariha segera menoleh. Dia tersenyum pada Johan yang baru melangkah masuk ke ruang dapur.

Johan mendapatkan Puan Sri Fariha sebelum tubuh mama kesayangannya dipeluk erat.

“Mama nak buat kek coklat sikit. Ayah kamu nak makan malam nanti.”

“Rajin mama buat kek untuk ayah. Suruh ajelah pembantu rumah kita yang buatkan. Apa guna ayah gajikan tiga orang pembantu rumah kalau seorang pun tak boleh tolong mama buat kek,” ujar Johan sambil menopang dagu di bahu Puan Sri Fariha.

“Ayah kamu bukan macam orang lain Johan. Nama aje ada pembantu rumah, nak mama jugak yang siapkan makan pakainya. Mana dia nak orang lain yang buatkan.”

“Tu tandanya ayah sayang sangatlah pada mama. Esok-esok kalau Johan dah kahwin pun Johan nak isteri Johan yang buatkan. Buat apa ada isteri kalau nak masak untuk suami sendiri pun tak mahu.”

Johan meleraikan pelukannya. Dia menapak ke meja di tengah ruang sebelum melabuhkan punggung di situ. Tangannya mencapai sekeping biskut bijirin dari dalam balang lalu mula mengunyah. Dikalih pandangannya pada mamanya tatkala teringatkan sesuatu.

“Oh ya ma, Johan tak nampak pun Julie sepanjang hari ni. Dia pergi mana?”

“Dia ke Pahang. Katanya nak jumpa Farah kat sana,” ujar Puan Sri Fariha sambil menuang bahan yang telah siap diadunke dalam bekas loyang sebelum disumbat masuk ke dalam ketuhar gelombang mikro.

Johan mengerutkan kening.

“Julie ke Pahang? Maksud mama Julie ada kat kampung atuk Man sekarang?” soal Johan, tidak percaya.

“Yalah, atuk kamu yang mana lagi,” jawab Puan Sri Fariha lalu turut melabuhkan punggung.

“Tapi ma, dia pergi naik apa? Kereta Johan ada kat luar tu. Kereta mama pun ada kat dalam garaj,” ujar Johan sambil mengunyah biskut.

“Dia sewa kereta lain. Tahu ajelah perangai sepupu kamu tu. Mananya dia nak pakai kereta murah macam kereta kita ni. Maklumlah, anak orang kaya.”

Puan Sri Fariha menjuih bibir sedikit. Namun dia kembali mengukir senyuman. Teringat pada sesuatu yang telah lama bersarang di mindanya.

“Johan, kalau mama tanya sesuatu kamu jawab dengan jujur ya.”

Mata Puan Sri Fariha sudah menatap Johan. Anaknya itu sedikit ralit menikmati biskut kesukaannya.

“Mama nak tanya apa?” soal Johan.

“Apa pendapat kamu tentang Julie?” soal Puan Sri Fariha tidak lama selepas terdiam seketika.

Menyusun ayat terbaik untuk diluahkan pada anak kesayangan.

“Julie? Kenapa dengan Julie ma?” soal Johan, tidak faham.

Puan Sri Fariha merengus kecil.

“Tak ada apanya yang jadi dengan budak tu. Cuma mama nak tahu pendapat kamu tentang Julie. Tu aje.”

“Pendapat Johan tentang Julie?” tanya Johan, meminta kepastian.

Puan Sri Fariha mengangguk laju.

“Biasa aje dia tu. Kenapa ma?” soal Johan setelah berfikir seketika.

“Biasa aje pada kamu?”

Suara Puan Sri Fariha kedengaran sebal.

“Yalah ma, takkan luar biasa pulak,” ujar Johan, tidak faham.

Dia kembali bersuara apabila mamanya mengeluh perlahan.

“Pada Johan, Julie tu sama aje macam kawan-kawan Johan yang lain. Budaknya baik, ada jugaklah budi bahasanya walaupun tak sebanyak mana. Cuma tulah yang buat Johan kadang-kadang tak suka sangat dengan dia,” kata Johan lalu mendengus.

“Apa dia?”

Laju saja Puan Sri Fariha bertanya. Mahu benar hendak tahu.

“Julie tu suka sangat pakai pakaian seksi, ketat. Pendek pulak tu. Malu Johan nak bawa dia ke mana-mana,” rungut Johan.

“Tapi kamu boleh tegur dia kalau kamu tak suka kan.”

“Hisy, tak naklah Johan. Macamlah mama tak tahu sikap Julie tu. Pantang ditegur, melenting terus. Entah macam manalah agaknya esok-esok laki dia nak tegur kalau dia buat salah,” rungut Johan lagi.

“Johan tak nak ke kahwin dengan Julie tu?”

Saja Puan Sri Fariha menyoal begitu. Mahu tahu isi hati anaknya sekaligus merealisasikan impian yang bersarang di kepala sejak dulu. Namun berkubur jadinya apabila mendengar kata-kata Johan.

“Huh, jangan kata nak kahwin, nak buat girlfriend pun Johan tak nak. Bukanlah Johan memilih tapi kami berdua berbeza sangat. Macam langit dengan bumi. Daripada kahwin dengan Julie baik Johan kahwin dengan anak Pak Cik Rashid yang jual burger kat simpang perumahan kita ni. Sehitam-hitam dia tu pun tahu jugak nak tolong mak dan ayah dia cari duit.”

Jawapan itu membuatkan Puan Sri Fariha mengeluh panjang.Terasa impiannya berkecai sedikit demi sedikit sebelum hancur sepenuhnya.

“Kenapa tiba-tiba mama mengeluh? Mama tak sihat ya?”

Pertanyaan Johan menyentak Puan Sri Fariha daripada lamunan. Dia tidak tahu apa yang sedang berkeliaran di minda mamanya ketika ini.

Segera Puan Sri Fariha menggeleng.

“Eh, taklah. Mama penat sikit aje. Kejap Johan, mama nak tengok kek coklat ayah kamu tu dah masak ke belum.”

Puan Sri Fariha bergegas bangun menuju ke ketuhar gelombang mikro di sudut dapur.

Johan hanya mengangkat bahu melihat tingkah laku mamanya. Dia kembali ralit dengan biskut di tangannya.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-28-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh