Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 14
BAB 14

BEGITU perlahan Farah melangkah hingga bunyi tapak kakinya tidak mampu ditangkap mana-mana telinga. Kepalanya dijengul di celah pohon-pohon jagung yang tumbuh subur di ladang seluas lima ekar itu. Jari-jemarinya pula mengetip hujung tudung yang terbuai-buai dek tiupan angin. Sedang mata liar mencari seseorang.

Farah tersenyum lebar apabila terpandang kelibat orang yang dicari di penjuru ladang. Dia menapak semula. Lebih perlahan. Terjengket-jengket mendapatkan seseorang yang membelakanginya. Duduk mencangkung sambil membuat sesuatu.

“Abang Ngah!” sergah Farah sambil menepuk bahu lelaki itu.

Imran Putra tersentak kuat. Terlepas tongkol-tongkol jagung di tangannya. Dia berdiri lalu berpaling. Memandang Farah yang sudah ketawa berdekah-dekah. Geli hati melihat wajah pucat lelaki itu.

“Astaghfirullahalazim, bertuah punya adik. Terkejut abang Ngah. Kalau ya pun bagilah salam,” marah Imran Putra sambil mengurut-urut dada.

Dia kembali mengadap timbunan jagung dalam raga besar di depannya.

“Ala bang Ngah ni, Farah gurau ajelah. Tak baik marah-marah tau. Nanti cepat tua. Bila dah tua dah tak handsomelah abang Farah ni,” pujuk Farah sambil tersengih dan menyilang kedua-dua tangan di belakang.

Digoyang sedikit tubuhnya ke kiri dan kanan.

“Abang Ngah tak marah tapi geram aje dik,” sahut Imran Putra.

“Farah datang dengan siapa? Atuk Man dan Nek Nah tahu tak Farah ke sini?”

“Farah datang dengan kak Teh dan abang Chik. Farah dah beritahu nenek sebelum keluar rumah tadi,” jawab Farah, manja.

“Mana dia orang?”

Imran Putra memanjang leher ke sekitar ladang.

“Tu, kat sebelah sana. Dia orang tolong abang Lang bersihkan kawasan ladang,” ujar Farah sambil mengunjuk jari ke satu arah.

“Abang Ngah, boleh Farah tolong abang Ngah buat kerja?” pinta Farah kemudian.

“Tak payahlah. Bukannya ada apa pun yang boleh Farah tolong. Setakat nak bersihkan jagung-jagung ni, abang sorang pun boleh siapkan. Lagipun dah tak banyak ni. Farah pergi duduk sana diam-diam. Nanti jadi apa-apa susah pulak abang Ngah nak jawab kat atuk dan nenek Farah nanti,” ujar Imran Putra.

Farah pula sudah menarik muncung. Tidak puas hati dengan kata-kata Imran Putra.

“Setiap kali Farah datang sini mesti abang Ngah suruh Farah duduk aje kat dangau tu. Bukannya nak bagi Farah buat apa-apa pun. Kak Teh dengan bang Chik boleh pulak buat kerja. Betullah abang Ngah tak adil,” balas Farah, merajuk.

Jari-jemarinya sudah bermain-main dengan hujung tudung.

“Bukan macam tu adik sayang. Farah tu kan perempuan, anak dara lagi. Tak baik anak dara berjemur tengah-tengah panas macam ni. Nanti kalau jatuh sakit, Farah jugak yang susah. Kak Teh dan abang Chik kamu tu lainlah. Dia orang dah biasa berjemur buat kerja-kerja ladang.”

Tangan Imran Putra masih ligat melakukan kerja. Membersihkan timbunan jagung yang bakal diambil peraih sebentar lagi.

“Eleh, tu alasan abang Ngah aje. Kak Teh tu pun anak dara jugak. Boleh aje dia buat kerja kat ladang ni. Farah pun dah biasa apa dengan semua kerja yang ada kat sini. Abang Ngah tu aje yang tak nak bagi Farah tolong,” balas Farah, masih merajuk.

“Kak Teh kamu tu lain sebab memang dari kecil dia dah biasa buat semua ni. Kamu tu jangan kata nak buat kerja, nak pegang cangkul pun ayah tak bagi. Dah, dah. Jangan ganggu abang Ngah buat kerja lagi. Pergi duduk kat dangau tu diam-diam. Kalau Farah nak makan, jagung bakar ada bawah tudung tu. Abang Long baru bakar pagi tadi. Ambil aje sendiri,” tegas Imran Putra.

Diam-diam Farah mengangguk. Mengerti sikap lelaki itu. Pantang kata-katanya disanggah. Lain jadinya nanti. Lalu Farah melangkah ke dangau. Memijak tangga kayu dangau buluh tidak berdinding itu. Beratap daun nipah semata-mata.

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa memberikan rasa nyaman pada Farah yang duduk berjuntai kaki. Berdesir lembut bersama bunyi gemersik terhasil dari geseran angin pada dedaun jagung yang melambai penuh gemalai. Menyajikan suasana tenang dan tenteram di ladang yang terletak berdekatan pergunungan banjaran Titiwangsa itu.

Farah menarik nafas dalam. Menyedut udara segar yang jarang-jarang dapat dinikmatinya ketika di Pulau Pinang. Dibuang pandangannya ke seluruh pelosok ladang.

Di tanah inilah dia, Faizam, Izrin Putri dan Irwan Putra membentuk zaman kanak-kanak mereka bersama dua orang lagi sepupu sebelah keluarga angkatnya, Shahrul dan Raniya. Bergaduh, bermain, bergembira adalah antara rencah kehidupan mereka ketika itu. Saling berkejaran dan mengusik di celahan pohon jagung yang sehingga kini masih setia di tempatnya.

Merakam segala pahit manis kenangan mereka. Adakala mereka memancing di anak sungai di pinggir ladang. Anak sungai yang menjadi sempadan antara ladang jagung Encik Sulaiman, ayah angkatnya dan ladang jagung datuknya, Haji Rahman.

Namun semua itu berlaku belasan tahun lalu. Sewaktu masing-masing bergelar kanak-kanak. Usia meningkat selain kematangan diri berubah mengikut tuntutan masa menjadikan mereka tidak lagi melakukannya. Sebaliknya masa remaja yang dilalui waktu ini dihabiskan dengan menimba pengetahuan di negeri orang.

Tidak juga mereka lupa memecah keringat di ladang tatkala menjejakkan kaki ke kampung setiap kali musim cuti menjelang. Membantu mengerjakan ladang jagung kepunyaan orang tua masing-masing. Sesekali timbul juga kerenah keanak-anakan mereka andai berpeluang berkumpul bersama namun masih di bawah batas adab dan agama.

Puas menatap pemandangan ladang, mata Farah beralih arah. Menatap gugusan gunung tidak jauh dari situ. Membentuk sebahagian banjaran Titiwangsa yang tersergam kukuh di belakangnya. Memukau pandangan serta kekaguman sesiapa saja dengan kehijauannya. Melayangkan minda Farah pada keluarga angkatnya.

Di kaki gunung itu terletak penempatan tempat dia menumpang kasih sayang selama ini. Sebuah kampung yang menjadi kediaman kedua Farah selepas rumah Haji Rahman dan Hajah Aminah. Rumah keluarga angkatnya.

Setahu Farah, dia berusia dua minggu ketika dia diserahkan kepada Encik Sulaiman dan Puan Maisarah. Ketika itu Izrin Putri dan Irwan Putra baru tiga bulan menjengah dunia. Berkongsi ibu susuan membuatkan hubungan mereka bertiga begitu erat dan rapat. Begitu juga hubungannya dengan mereka yang lain.

Membesar bersama keluarga yang tidak dikenali menjadikan Farah begitu disayangi dan dimanjai seluruh kaum keluarga Encik Sulaiman. Baik datuk mahupun mereka yang lain begitu mengambil berat dan menjaga kebajikannya hampir sepanjang masa. Hidupnya umpama minyak ditatang penuh. Malah melebihi adik-beradik angkatnya yang tidak pernah menyimpan walaupun sebesar hama rasa cemburu atas pembahagian kasih sayang yang tidak adil di mata Farah.

Lalu ingatan Farah melayang pada adik-beradik angkat kesayangannya. Selain berbeza kerenah, lima beradik itu turut mempunyai perwatakan berlainan walaupun masih ada persamaan sikap antara mereka. Betapa Farah begitu menyayangi mereka walaupun berlainan susur galur keturunan. Terutamanya pada Imran Putra yang masih tekun melakukan kerja tidak jauh darinya.

Dalam lima adik beradik angkatnya, Imran Putra yang paling rapat dengannya. Biarpun lelaki itu sering bersikap tegas dan garang. Sikap ambil berat dan prihatinnya terhadap Farah sering mendahului mereka yang lain. Andai Farah bermasalah, Imran Putra menjadi orang pertama menghulurkan bantuan walaupun adakalanya bantuan yang diberi melebihi kesanggupannya sendiri. Sikap yang sehingga kini masih kekal dengannya walaupun telah lama lelaki itu berkeluarga sendiri.

Tetapi itu tidak bermakna adik-beradik lain tidak menyayangi Farah. Malah kasih sayang semua membuatkan Farah sering kali terlupa pada kewujudan keluarga kandungnya. Keluarga yang jarang-jarang ditemui. Jauh sekali berbual mesra dan bergurau senda seperti yang selalu berlaku antara dia dan adik beradik angkatnya. Membuatkan hati Farah duka setiap kali mengingati semua itu.

Seingat Farah, sejak kecil hanya sesekali dia bersua dengan abang-abang kandungnya. Wajah kedua-dua orang tuanya juga jarang-jarang dapat ditatap. Kesibukan mencari harta dunia menjadikan mereka lupa dengan kehadiran seorang lagi anak mereka yang terasing nun jauh di bumi Pahang itu.

Apatah lagi mengambil tahu keadaan Farah yang sentiasa kepingin merasai kasih sayang mereka dalam diam. Sayangnya semua itu hanya menjadi impian Farah yang baginya mustahil digapai sampai bila-bila. Membuatkan air mata Farah gugur beberapa ketika tengah hari itu.

NISDA menghumban tubuh di katil. Matanya dipejam celik beberapa kali. Ditarik nafasnya panjang sebelum dihembus keluar. Wajah Johan melatari mata. Serentak itu dia memekarkan senyuman. Terukir khas buat anak muda itu walaupun tidak mampu dilihat.

Sungguh Nisda tidak mampu menipu diri sendiri. Kali pertama mengenali Johan lima tahun lalu, hatinya bergoncang hebat. Menggegarkan seluruh ruang hati. Menghasilkan getaran ke seluruh anggota tubuh. Getaran itu masih dirasainya setiap kali bertentang mata dengan anak muda itu. Bahagia yang dirasa tidak mampu diucapkan dengan kata-kata. Begitu mengasyikkan.

Setiap kali dia dan Johan berbicara, hati gadisnya berdebar kencang. Malah makin bergendang hebat tatkala anak muda itu menghadiahkan senyuman manis. Senyuman itu mampu menggegarkan hati setiap wanita yang memandang. Mencairkan hati yang telah lama membeku rasa.

Apabila dihitung, Nisda mengaku telah lama mencintai Johan. Cinta itu hadir tanpa dipinta. Cinta pandang pertama. Cinta itu muncul diam-diam. Namun sehingga kini cinta itu masih tidak mampu diluah biarpun peluang sentiasa terbuka luas. Entah mengapa bibirnya terkunci rapat setiap kali dia cuba meluahkannya. Hingga akhirnya perasaan itu hanya dipendam sehingga ke hari ini.

Namun Nisda sedar. Bukan kerana takut mahupun malu menjadikan dia payah meluahkan isi hati. Tetapi kerana dia tahu. Tiada cinta di hati Johan buatnya. Bukan sahaja tidak berputik, malah tunas cinta itu sendiri tidak kelihatan tumbuh. Sedangkan laman hati Johan telah lama subur dengan pohon cinta. Bukan untuknya tetapi untuk seseorang lain. Seseorang yang selama ini menjadi musuh utama Nisda dalam diam. Seseorang yang begitu dibencinya. Farah!

Khayalan Nisda terhadap Johan berderai serta-merta. Hati yang melimpah dengan cinta kini digenangi rasa kemarahan sepenuhnya. Marah yang begitu membukit. Disulam rasa dendam yang tidak pernah surut. Malah bertambah dari sehari ke sehari. Dendam Nisda buat gadis itu bukan sekadar setitik. Seumpama luas lautan di muka bumi ini. Malah lebih dari itu. Dendam kesumat yang mustahil terpadam hingga akhir hayat. Dendam itu Farah tidak menyedarinya. Jauh sekali mengetahui puncanya.

Lalu Nisda merengus kasar. Sakit hatinya bukan kepalang. Sering Farah menewaskannya. Bukan sekali bahkan berkali-kali. Dalam setiap perkara yang dilakukan, pasti Farah mendahului. Menjuarai segala pertandingan yang disertai. Baik pertandingan pidato mahu pun bola tampar, Farah pasti menggenggam kemenangan.

Sedang Nisda yang sejak sekolah rendah menjuarai kedua-dua pertandingan hanya mampu berputih mata. Bukan untuk setahun bahkan lima tahun berturut-turut. Kekalahan yang begitu memalukan dan mencabar maruahnya. Nisda tidak dapat menerima kenyataan itu.

Dan untuk kali ini dia tidak akan mengalah lagi. Dia mahu melihat Farah tewas buat pertama kali. Ketewasan yang tidak mampu membangkitkan semula gadis itu sekaligus menobatkan Nisda sebagai juara. Dia ingin Farah tewas sepenuhnya dalam merebut cinta Johan. Kerana itu dia tidak akan sesekali membiarkan cinta Johan terhadap gadis kampung itu terus mekar selamanya. Tidak sesekali! Jerit hati Nisda.
Nisda kembali mengukir senyuman penuh makna. Puas dengan janji yang diukir pada diri sendiri.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-14-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh