Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 31
BAB 31

BEBERAPA bulan berlalu. Farah dan teman-temannya telah pun berjaya menamatkan pengajian di peringkat matrikulasi dan kini menanti tawaran melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian.

“Tak sangka saya Johan sepandai tu. Dalam ramai-ramai cucu yang kita ada, dia yang paling bijak sampai dapat lanjutkan pelajaran ke universiti tu. Apa namanya? Harbert? Helbert? Hisy, susah betul nak sebut namanya,” kata Hajah Aminah.

Sejak tadi wanita tua itu ralit membersihkan tanaman di pasu-pasunya yang tersusun sederet di serambi rumah.

“Universiti Harvard,” ujar Haji Rahman, membetulkan sebutan isterinya.

“Abang pun terkejut bila Fariha beritahu yang anak bongsunya tu dapat ke Amerika. Johan tu bijak macam abang-abangnya jugak. Belajar sampai ke luar negara,” sambung Haji Rahman.

Lalu meletakkan surat khabar bertulisan jawi ke atas meja.

“Bila agaknya dia nak berangkat pergi tu ya bang?”

“Kalau tak silap abang, Fariha kata tiga minggu lagi. Tapi sebelum tu Johan nak balik ke sini dulu dua tiga hari. Nak jumpa kita katanya.”

“Eloklah tu. Saya pun dah lama tak berjumpa dengan cucu kita tu. Tak sabar rasanya nak tunggu dia balik sini,” balas Hajah Aminah sambil tersenyum lebar.

Tidak sedar Farah sejak tadi berada di ruang dapur merengus kasar.

Sudah beberapa hari telinga Farah pijar mendengar perbualan kedua-dua atuk dan neneknya berhubung perkara itu. Tidak berhenti kedua-duanya memuji lelaki itu. Geram dan cemburu mengulit hati. Geram kerana merasakan dia tidak mampu menyaingi kelebihan Johan. Cemburu kerana Hajah Aminah dan Haji Rahman lebih menyayangi Johan berbanding dirinya yang sejak kecil telah bersama mereka.

Tanpa sedar Farah menetak ayam yang dibelinya tadi sekuat hati.

“Kau ni kenapa Farah? Kau nak potong ayam tu ke atau kau nak mengamuk?” seloroh Faizam yang tiba-tiba muncul di muka pintu belakang rumah.

Dia baru selesai membaiki bumbung reban ayam yang roboh dek hujan lebat malam tadi. Disua tangan kotornya ke singki. Mencuci sebersihnya.

“Diamlah. Kau mana tahu aku punya susah,” jawab Farah sambil menjeling tajam.

Ayam di depan mata ditetak lagi. Hampir terpelanting ke sudut singki. Cepat-cepat dia mengutip.

Faizam tersenyum kecil. Mengerti dengan rasa hati Farah ketika ini. Rasa yang membuatkan wajah putih bersih itu berselaput mendung kebelakangan ini.

“Susah apanya Farah. Kau tu bukannya ada susah apa pun.”

Faizam mengelap tangan basahnya dengan tuala kecil di birai tingkap.

“Bak sini ayam tu. Sebelum hancur ayam tu kau kerjakan baik aku aje yang buatkan,” ujar Faizam lagi lalu menghampiriFarah.

Segera saja Farah meletakkan semula pisau di tangan ke dalam singki.

“Nak masak apa ayam ni?” soal Faizam tanpa memandang gadis itu.

“Nak masak merah,” jawab Farah, masih dalam nada marah.

Dia berdiri membelakangi Faizam. Dicapai raga rotan kecil di depannya. Mula mengupas bawang.

“Ikan patin tu?”

“Masak lemak cili padi.”

Farah mula meligat tangan membuat kerja. Sementara mulut membebel sesuatu yang tidak dapat ditangkap telinga Faizam. Seakan-akan merungut.

Faizam yang mengerling kelakuan Farah hanya mengukir senyuman dan menggeleng beberapa kali. Tanpa sepatah kata dia terus membuat kerja.

“BERAPA hari Johan nak duduk kat sini?” soal Hajah Aminah yang gembira dengan kepulangan cucu lelaki kesayangannya.

Ditatapnya wajah tenang itu.

“Ikutkan hati, Johan nak duduk seminggu tapi rasanya mungkin dua tiga hari aje sebab banyak lagi perkara yang perlu Johan selesaikan kat rumah tu.”

“Yalah, nek faham. Johan mesti sibuk nak buat persiapan.”

“Hah Johan, makanlah nasi tu. Jangan malu-malu. Makan aje apa-apa yang kamu nak makan. Nanti dah sampai sana, dah tak boleh makan semua ni. Bukannya ada dijual kat Amerika tu,” pelawa Hajah Aminah lagi sambil menyenduk nasi ke pinggan cucunya.

“Nak malu apanya nek. Kalau malu laparlah Johan,” balas Johan sambil memandang Haji Rahman di kepala meja.

“Sedap nek masak,” puji Johan ikhlas setelah beberapa suapan masuk ke tekak.

“Bukan nenek kamu yang masak semua tu Johan tapi Farah,” ujar Haji Rahman pula.

Dia memandang Johan yang sudah berubah air muka. Sedikit kemerahan.

“Oh, iya ke?” balas Johan pendek.

Sambil itu matanya berkeliaran mencari bayangan orang yang dikata. Sudah hampir sejam dia tiba di rumah itu namun kelibat orang yang dicarinya masih belum dapat dilihat.

“Oh ya Nah. Dari tadi abang tak nampak Farah pun. Mana dia pergi?”

Seakan-akan mengerti dengan pergerakan mata Johan, Haji Rahman melontar soalan.

“Dia turun ke ladang bang. Katanya nak tolong dia orang yang lain bersihkan tanah atuknya, Haji Salleh yang baru dibuka kat hujung Kampung Gunung tu. Mungkin dia tidur kat rumah Sulaiman malam ni,” jawab Hajah Aminah perlahan.

Haji Rahman mengangguk faham. Mengerti keadaan itu.Terukir rasa terkilan di wajahnya mengenangkan sikap Farah. Gadis itu jarang menampakkan diri andai ada saudara mara mereka pulang bercuti. Itu tabiat Farah sejak kecil. Lalu satu lagi keluhannya terkeluar.

Johan juga berperasaan sama. Terkilan orang yang sejak dulu bermain di minda tidak kelihatan. Tanpa sedar dia turut mengeluh.

“Hah Johan, tambahlah lagi nasi tu. Banyak lagi lauk-pauknya kat dapur tu.”

Teguran Hajah Aminah mematikan lamunan Johan. Laju saja dia mengangguk. Bayangan Farah hilang bersama suapannya.

“KAMU dah fikir kat mana kamu nak sambung belajar nanti Julie?” soal Tan Sri Jaafar sambil menatap anak gadisnya yang menyandar tubuh di kerusi malas tidak jauh darinya.

Mereka sekeluarga sedang bersarapan di teres rumah pagi itu.

Julia tersenyum kecil lalu mengangguk laju.

“Julie rasa Julie nak sambung belajar kat Englandlah daddy,” ujar Julia manja.

“Kenapa tiba-tiba aje nak pergi England? Kat Australia ni pun dah bersepah universiti. Pilih ajelah yang mana satu kamu nak masuk,” ujar Puan Sri Zalina sebelum sempat suaminya bersuara.

Kurang senang dengan jawapan anak gadisnya.

“Julie bosanlah tinggal kat sini. Sekali-sekala nak jugak tengok negara orang.”

“Huh, macamlah selama ni kamu tak pernah tengok negara orang. Bukan ke tiap-tiap tahun kita sekeluarga pergi bercuti? Apa tak cukup lagi ke semua tu?”

“Tu pergi melancong, bukannya belajar. Lagipun Julie dah biasa duduk lama-lama kat England. Jadi apa salah kalau Julie belajar kat sana pun. Bolehlah yadaddy?”

“Apa kata kalau Julie sambung belajar kat Amerika aje?” usul Tan Sri Jaafar tiba-tiba.

“That’s a best suggestion daddy. Saya sokong seratus peratus,” sampuk Zarif.

Tersenyum sinis dia apabila Julia menghentak kaki. Tanda tidak puas hati.

“Hisy, tak naklah Julie ke Amerika. Situ bukannya best pun. Bosan aje tempatnya.”

“Tapikan elok kalau kamu belajar kat sana. Kebetulan Johan pun akan ke sana nanti. Bolehlah kamu jumpa Johan walaupun bukan satu universiti.”

“Huh, balik-balik Johan. Apa tak ada nama lain ke yang daddy boleh sebut hah? Bosanlah Julie.”

Julia menghentak kaki lagi. Memprotes cadangan Tan Sri Jaafar.

“Nak bosan apanya? Johan kan sepupu kamu. Apa salahnya kalau kamu belajar berdekatan dengan dia pun. Bolehlah dia tengok-tengokkan kamu nanti,” ujar Puan Sri Zalina menyokong penuh cadangan suaminya.

“Betul kata mummy tu Julie. Sekurang-kurangnya ada jugaklah orang yang boleh jaga kamu nanti. Untung-untung, ada rezeki bolehlah Johan bantu abang dandaddy kat syarikat kita tu nanti,” sampuk Zarif.

Dia mula membayangkan impian hati walaupun hanya dibalik kiasan kata.

“Huh! Kalau setakat nak minta tolong Johan bantu abang kat pejabat tu, anytimeajelah adik boleh minta kat dia. Cuma adik tak pastilah dia nak ke tak kerja kat sini. Yalah, syarikat Pak Ngah tu pun sama aje besarnya dengan syarikat daddy,” ujar Julia.

Dia masih tidak dapat menangkap maksud tersirat kata-kata abangnya. Dijeling Zarif yang tersenyum menggeleng mendengar jawapannya.

“Bukan tulah maksud abang,” ujar Zarif sambil membetulkan duduknya di meja makan.

“Maksud abang, manalah tahu kalau esok-esok Johan boleh jadi adik ipar abang. Boleh jugak dia bantu abang dan daddy tu kat syarikat tu. Iya tak mummy?” jelas Zarif berterus terang.

Dia memandang Puan Sri Zalina yang pantas mengangguk.

Julia pula sudah terbeliak mata dibuatnya.

“What? Abang nak adik kahwin dengan sepupu adik sendiri? Eii... ada ke patut adik yang cantik lagi lawa ni nak dikahwinkan dengan Johan? Tak mahulah.”

“Eh, apa salahnya kalau kamu kahwin dengan Johan? Apa kurangnya Johan sampai kamu tak mahu kahwin dengan dia?” soal Puan Sri Zalina.

Dia menyokong penuh impian Zarif yang turut menjadi impiannya sejak dulu.

“Memanglah Johan tu tak ada kurang tapi dia tu kan sepupu Julie. Tak bestlah kalau Julie kahwin dengan sepupu sendiri. Tak berkembang otak keturunan kita nanti. Lagipun mummy, Johan tu dah ada girlfriend. Takkanlah Julie nak kacau hubungan dia orang. Nanti tak pasal-pasal kita orang bergaduh pulak semata-mata berebutkan Johan. Eii... tak bestlah kalau jadi macam tu,” rungut Julia.

Kesemua mata di meja makan serta-merta teralih ke arah Julia.

“Apa kamu kata? Johan dah ada girlfriend? Kamu biar betul?” tanya Puan Sri Zalina tidak percaya.

Pantas Julia mengigit bibir. Baru tersedar dia telah tersalah kata namun dia tetap mengangguk laju.

“Betul mummy, Johan dah ada girlfriend. Cantik orangnya. Julie selalu berhubung dengan girlfriend dia tu,” jawab Julia sungguh-sungguh.

Kesemua yang ada di situ terkesima.

“Apa nama girlfriend Johan tu?” tanya Zarif cepat-cepat.

“Nama dia Farah.”

Laju saja mulut Julia menyebut nama yang tiba-tiba terlintas di mindanya itu.

“Farah? Tak pernah pulak daddy dengar nama tu sebelum ni. Anak siapa budak tu?” tanya Tan Sri Jaafar.

Masih musykil dengan kata-kata Julia.

“Farah tu anak Pak Su Fahmi, adik Mak Ngah Fariha. Senang cakap Farah tu sepupu Johan jugak tapi sebelah mak dia,” balas Julia.

Memandai dia membuat cerita tentang hubungan cinta Johan dan Farah walaupun dia sedar semua itu bohong semata-mata. Namun demi menyelamatkan diri dia sanggup buat apa saja!

“Maksud kamu Farah tu anak Datuk Fahmi dan Datin Farina?” soal Puan Sri Zalina dengan mata yang terbeliak.

“Tapi setahu abang, Datuk Fahmi dan Datin Farina tak ada anak perempuan. Semua anak mereka lelaki,” ujar Zarif pula.

Dia masih tidak yakin dengan kata-kata Julia.

“Betul bang, Farah tu anak Pak Su Fahmi. Cuma dia tak tinggal dengan dia orang aje. Sejak kecil dia tinggal dengan atuk dan nenek dia kat Pahang sana. Sebab tulah kita tak pernah tengok dia selama ni,” jelas Julia teruja.

Dalam mindanya terbayang wajah putih bersih Farah. Wajah yang baginya begitu cantik dan sepadan digandingkan dengan Johan, sepupu lelaki kesayangannya. Lamunannya hilang tatkala kedengaran keluhan panjang Puan Sri Zalina.

“Kalau betullah bang, nampaknya punahlah harapan saya nak bermenantukan Johan tu. Dari dia kecil saya harap sangat dia jadi sebahagian keluarga kita. Siapa sangka tak tercapai jugak impian saya tu,” lirih Puan Sri Zalina.

“Abang pun sama Lina. Terkilan rasanya tak dapat bermenantukan anak Jamaluddin tu. Kalaulah dia jadi menantu kita, bolehlah jugak dia tolong apa yang patut kat syarikat kita tu. Abang rasa dia tak keberatan memandangkan abang-abangnya boleh menguruskan syarikat Jamaluddin,” luah Tan Sri Jaafar juga.

“Susah apa. Minta ajelah Johan kerja kat syarikat kita bila dia dah habis belajar nanti. Tentu dia tak tolak kalau daddy sendiri yang minta,” sampuk Julia selamba.

Senang hatinya kerana tidak akan dikaitkan dengan sepupunya, Johan lagi selepas ini.

“Apa gunanya kalau dia datang pun lepas ni. Abang nak dia datang ke sini sebagai adik ipar, bukan sebagai pekerja. Setakat nak cari pekerja bukan aje Johan, beribu lagi orang boleh kita cari kat luar tu,” ujar Zarif tegas.

“Apa nak buat Zarif. Bukan rezeki kita nak buat Johan jadi ahli keluarga ni. Mahu tak mahu kenalah terima orang lain nanti,” balas Puan Sri Zalina, terkilan.

“Saya rasalah mummy, kalau adik perempuan saya nimacam anak dara lain dah lama rasanya Johan berkenan. Ni sebab perangai pun macam apa aje, siapa yang nak,” ujar Zarif.

Dia menghirup minumannya sambil menjeling lagi Julia.

“Abang mulalah tu. Saja nak kutuk adik,” ujar Julia perlahan namun keras.

Tajam matanya merenung Zarif yang membalas selamba.

“Bukan kutuk, tapi kenyataan. Terima ajelah,” balas Zarif.

Julia merengus lagi. Marah.

“Abang ni!” bentak Julia keras.

“Dah, dah. Kau orang jangan nak bertekak pulak. Apa kau orang tak rasa jemu ke bertekak hari-hari hah? Tak reti langsung nak cakap baik-baik. Tahu nak bercakar aje,” tahan Tan Sri Jaafar tegas.

Terus Zarif dan Julia terkunci mulut. Faham dengan sikap Tan Sri Jaafar. Pantang kalau mereka berlawan bicara di depannya. Apatah lagi meninggi suara sesama sendiri. Pasti ada habuan yang bakal diterima mereka nanti.

“Yash mana Hanie? Daddy tak nampak dia pun dari tadi,” soal Tan Sri Jaafar pada Hanie.

Sejak tadi menantunya hanya menjadi pemerhati keadaan.

“Dia ada dalam biliknya daddy. Dia kurang sihat hari ni,” jawab Hanie hormat.

“Yash tak sihat? Habis tu kenapa tak panggil doktor?”

Agak terburu-buru Zarif bertanya tanpa sempat Tan Sri Jaafar bersuara semula. Risau mendengar kata-kata isterinya.

“Doktor dah periksa dia malam tadi. Mungkin kesan suntikan malam tadi tulah yang buatkan dia tak sihat tu,” jawab Hanie lembut.

“Nanti kalau dia tak sihat jugak, Hanie panggil doktor semula. Periksa apa yang patut. Kalau dibiar melarat pulak,” ujar Zarif lagi seakan-akan memberi arahan.

“Doktor tak kata apa-apa ke pasal penyakitnya tu?” soal Tan Sri Jaafar.

Dia menatap wajah Puan Sri Zalina yang dirundung muram setiap kali perihal Yash dibangkitkan.

“Doktor kata setakat ni penyakitnya tu masih boleh dikawal asalkan Yash mahu makan ubat dan ikut nasihat doktor selalu,” jawab Puan Sri Zalina lemah.

“Walau macam mana pun Lina kena paksa Yash makan ubat. Kalau tak macam mana dia nak sembuh,” suruh Tan Sri Jaafar tegas.

“Saya dah paksa bang tapi abang tahu ajelah Yash tu. Dari kecil lagi dia memang tak suka makan ubat. Puas pujuk baru dia nak makan,” ujar Puan Sri Zalina lagi.

“Daddy, daddy belum bagi jawapan lagi,” celah Julia.

Membuatkan Tan Sri Jaafar tidak sempat membalas kata-kata Puan Sri Zalina. Dialih perhatiannya pada Julia yang kembali terbaring di kerusi malas.

“Jawapan apa?”soal Tan Sri Jaafar cepat-cepat.

“Daddy tak bagitahu pun daddy izinkan ke tak Julie nak sambung study kat England nanti,” ujar Julia, membangkitkan semula isi perbualan mereka tadi.

“Oh, pasal tu ke?”

Tan Sri Jaafar menghela nafas perlahan.

“Ikut suka kamulah nak belajar kat mana pun. Asalkan kamu mahu belajar,daddy tak kisah,” jawab Tan Sri Jaafar tenang.

“It’s mean Julie boleh pergi England nanti?”

Julia melonjak riang tatkala melihat Tan Sri Jaafar mengangguk kecil.

“Thank you very much daddy,” jerit Julia girang.

Dia menerpa lalu memeluk tubuh lelaki itu erat.

Tan Sri Jaafar membalas senang.

Zarif yang memandang kelakuan gadis itu hanya merengus kecil.Mengada! Getus hati Zarif.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-31-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh