Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 13
BAB 13

DIA mencapai majalah berbahasa Inggeris. Diselak helaiannya sebelum dihumban ke bawah. Bosan. Disebak rambutnya sambil mata dihala ke luar tingkap.

Sudah seminggu Ikhwan di Venice. Bandar raya yang turut dikenali dengan nama La Dominante itu merupakan tanah kelahiran dia. Namun, dia tidak betah berada di situ. Sejak melihat dunia, masa hidupnya banyak dihabiskan di merata-rata tempat. Mengikut orang tuanya menjalankan perniagaan di seluruh pelosok dunia.

Walaupun jasad di situ namun roh dan minda Ikhwan tertinggal di Malaysia. Sejak lima tahun lalu dia dan orang tuanya berhijrah ke sana. Lalu menemukan dia dengan seseorang sejak dia ke Pulau Pinang untuk menyambung pengajian. Seseorang yang menguatkan lagi hatinya untuk terus berada selamanya di negara kelahiran ibunya.

Sekaligus mengingatkan Ikhwan pada pertemuan pertama mereka. Ketika itu dia menemani Wilma menghadiri pertandingan debat di Dewan Seri Negeri. Kali pertama Ikhwan terpandang wajah itu, hati mudanya tertawan. Sikap mesra Farah selain kecantikannya menjadikan Ikhwan teruja untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Ditambah kepetahan gadis itu berbicara cukup mengikat hatinya untuk terus melekat di wajah putih bersih itu.

Bermula dari situ Ikhwan berusaha mendekati Farah walaupun kehadirannya tidak pernah disenangi. Dia dapat membacanya walaupun Farah tidak pernah mempamerkan semua itu secara langsung. Jauh sekali melalui kata-kata.

Ikhwan bahagia dengan khayalan sendiri walaupun hatinya parah ketika ini. Parah menanggung cinta dan rindu terhadap gadis itu. Sejak dulu telah beratus-ratus gadis datang dan pergi dalam hidupnya. Namun tiada seorang pun yang mampu memabukkan dia sehebat ini. Begitu mabuk hingga dia tidak betah melupakan Farah walaupun sesaat. Malahan Surina pun tidak mampu membuat dia mabuk sebegini dahsyat.

Surina! Nama itu membuat mata Ikhwan terbuka luas serta-merta. Rasa puas bergumpal di hati. Puas kerana berjaya menakluk gadis itu sepenuhnya. Menundukkan gadis jelita itu di hujung kakinya. Sanggup melakukan apa saja biarpun harga diri menjadi pertaruhan dalam mendapatkan cinta Ikhwan yang sememangnya mampu memenuhi segala impian setiap gadis.

Namun bukan itu penyebab utama Ikhwan terus menjadikan gadis itu pemuas nafsunya. Ada sebab lain membuatkan dia begitu bangga mendapat Surina. Sebab yang telah berjaya melukakan hati seseorang yang begitu dibenci. Seseorang yang telah lama dijadikan musuh ketatnya. Musuh yang ingin dihapuskan andai peluang itu ada.

Tengku Faizam Fakhruddin. Nama itu sudah cukup menggelegakkan hati Ikhwan setiap kali melintasi mindanya. Panas hatinya makin meruap apabila mengenangkan hubungan anak muda itu dengan gadis buruannya ketika ini. Farah!

Tanpa sedar Ikhwan merengus marah. Melepaskan dendam yang tidak mampu dilunaskan pada anak muda itu. Namun bayangan Surina yang tiba-tiba menerjah minda menjadikan marahnya hilang segera. Lalu bibirnya kembali menguntum senyuman gembira.

Terasa kejayaan berpihak padanya ketika ini. Kejayaan memiliki hati dan jasad gadis itu. Hati yang pernah dimiliki Faizam suatu masa dulu. Jasad yang tidak pernah disentuh anak muda yang bergelar ustaz muda di sekolah mereka itu. Sekaligus berjaya melukakan hati Faizam yang sehingga kini tidak mengetahui sebab musabab Surina meninggalkannya. Walaupun riak kecewa tidak pernah dapat dilihat di wajah tenang itu namun Ikhwan yakin Faizam tetap merasa sakit. Dia bangga dengan kemenangan yang diraihnya dalam diam itu.

Ikhwan merengus kasar apabila tiba-tiba saja pintu biliknya dibuka dari luar.

“Baik kau hari ni. Duduk rumah aje sepanjang hari,” ujar Wilma sinis membuka bicara.

Selamba dia melabuhkan punggung di sisi Ikhwan lalu mencapai kotak rokok.

“Ada apa kau ke sini?” soal Ikhwan tanpa mempedulikan kata-kata Wilma.

“Saja, aku boring duduk kat rumah seorang diri.”

“Really? Kali pertama aku dengar Cik Wilma Annelis Pietro kita bosan. Mana perginya boyfriend kau yang selalu temankan kau tu? Oh, aku lupa. Dia tak ikut kita balik ke Venice,” ejek Ikhwan sambil tertawa sinis.

Wilma terus merengus marah.

“Untuk pengetahuan kau Ikhwan Ralfado Pietro Abdullah, aku bukannya seperti kau. Berkepit dengan betina tak kira siang malam. Bukan jenis akulah hadap benda-benda macam tu sepanjang masa,” balas Wilma sambil menghembus kasar asap rokok.

“Ya ke kau bukan macam aku? Hey, come onlah Wil. Kau dengan aku tu lebih kurang aje tabiatnya. Tak ada beza,” balas Ikhwan sambil tertawa lagi.

“Sekurang-kurangnya aku tak seteruk kau yang tak pernah nak ukur baju kat badan sendiri.”

Kata-kata Wilma membuatkan tawa Ikhwan meletus kembali.

“Untuk apa aku buat semua tu kalau aku dah cukup arif dengan kemampuan sendiri? Tak guna aku buat semua tu. Just waste my time baby,” balas Ikhwan bangga.

“Setiap manusia ada batas kemampuannya Wan dan kita takkan sesekali boleh lepasi batas tu. Sebab tu kau kena sedar. Tak guna kau bermain api andai esok-esok api tu yang akan membakar kau di kemudian hari,” ujar Wilma penuh makna.

Wajah Ikhwan terus tegang.

“Siapa kata aku sedang bermain api? Aku hanya mencari apa yang terbaik untuk hidup aku. Tu aje,” sanggah Ikhwan pantas.

“Terbaik untuk hidup kau?” soal Wilma sambil tersenyum sinis.

“Manusia tak pernah dihalang untuk mencari apa yang terbaik untuk mereka Wan tapi kalau tu merosakkan hidup orang lain, lebih baik kau berhenti aje.”

“Aku tak pernah rosakkan hidup sesiapa tapi dia orang yang rosakkan hidup sendiri. Macam perempuan-perempuan yang selalu aku tiduri tulah. Bodoh sangat. Senang-senang aje bagi aku semuanya. Aku tak minta tapi kalau orang dah bagi takkan aku nak tolak pulak.”

“Tapi kau jugak bertanggungjawab melakukannya. Kalau kau tak tabur janji-janji manis, takkanlah dia orang sanggup bagi segalanya pada kau,” sanggah Wilma pantas.

“Hei, come onlah Wilma. Yang kau marah sangat kat aku ni kenapa hah? Macamlah kau tak pernah buat semua tu. Kau kena ingat Wil. Semua ni berlaku pun sebab dari kecil lagi kita dah terdedah dengan semua ni. Orang tua kita yang ajar kita hidup dalam keadaan ni walaupun tak secara langsung. Jadi kenapa kau nak marahkan aku pulak semata-mata perkara yang dah lama berakar umbi dalam hidup kita?”

“Aku bukan marah jauh sekali menuduh kau. Aku sedar, hidup kita rosak kerana ajaran keluarga kita yang dah lama menyimpang jauh. Tapi aku ingatkan kau. Jangan sesekali kau heret orang yang tak berdosa ke dunia kita ni. Bukan aje menyakitkan dia tapi akan menyakitkan kita jugak nanti,” tegas Wilma.

Wajah mengendur Ikhwan dipandang lama. Ada keraguan di raut wajah itu.

“Maksud kau?” soal Ikhwan perlahan, tidak mengerti.

“Lupakan Farah. Dia terlalu baik untuk kau. Masih banyak lagi gadis yang boleh kau jadikan teman hidup tapi bukannya dia,” tegas Wilma.

“Huh! Kenapa tak? Hanya kerana aku dilahirkan dalam sebuah keluarga kaya harta benda tapi miskin budi pekerti maka aku tak layak untuk jadi teman hidup dia? Aku takkan sesekali rosakkan dia seperti aku rosakkan gadis-gadis lain Wil. Ini janji aku pada diri aku sendiri,” tegas Ikhwan pula.

“Tu kata kau sekarang. Belum tentu boleh dipegang hingga ke akhir zaman. Apa pun lupakan aje Farah. Sama ada kau layak atau tak untuk jadi pasangan dia, bukan tu persoalannya. Tapi macam mana kau nak biasakan diri dengan kehidupan dia yang jauh berbeza dari kita? Bukan aje kau, tapi dia jugak perlu hadapi keadaan sama. Apa kau sanggup tengok Farah bergelumang dosa seperti yang kita lalui sekarang?”

“Tapi aku sayangkan dia Wil, aku sangat sayangkan dia. Aku takkan sesekali lukakan hatinya selepas dia jadi milik aku nanti,” ucap Ikhwan sungguh-sungguh.

“Kalau pun kau sayangkan Farah, apa yang kau nak beri dia sebagai tanda kasih sayang kau? Harta kekayaan keluarga kita atau kehidupan kita yang dah lama pincang ni? Apa kau fikir Farah boleh terima kau macam tu aje? Huh, aku berani potong kepalalah Wan. Jangan kata nak terima kau, nak jadikan kau kawan pun belum tentu dia mahu,” balas Wilma lalu menghembus keluar nafas.

“Dahlah Wan. Daripada kau fikir macam mana nak dapatkan dia, lebih baik kau lupakan aje dia. Tak guna kau sayangkan orang yang tak mungkin jadi milik kau sampai bila-bila,” sambung Wilma.

“Kau salah kalau kau fikir aku akan lupakan Farah. Apa jadi sekalipun, aku tetap akan jadikan dia hak aku suatu hari nanti. Tentang cara hidup aku sekarang, aku sumpah. Aku akan tinggalkannya dan segala harta kekayaan keluarga kita andai Farah terima aku. Aku sanggup merempat asalkan dia ada di sisi aku selamanya. Aku bersumpah Wil, aku sumpah!” ucap Ikhwan tegas dan yakin.

“Kalau macam tu, kenapa kau tak tinggalkan aje semua ni untuk dia sekarang? Kenapa kau harus tunggu dia datang dalam hidup kau baru nak ubah cara hidup kau?”

“Sebab aku perlukan sokongan Farah untuk berubah. Untuk apa aku berubah kalau sebelah mata pun dia tak pandang aku? Lagipun kalau aku berubah tapi dia masih tak dapat terima aku, akan jadi sia-sia aje pengorbanan aku tu kan?”

“Tu bermakna kau tak ikhlas untuk berubah. Kau berubah semata-mata untuk dapatkan Farah dan bukan untuk kebaikan diri sendiri.”

“Bukan aku tak ikhlas tapi untuk berubah aku perlukan kekuatan. Aku hanya mampu memulakan hidup baru andai orang yang aku sayang mampu membimbing aku ke arah jalan sepatutnya. Aku tak kuat untuk berubah sendiri Wil.”

“Jadi kau fikir Farah boleh bantu kau keluar dari kehidupan kita sekarang?”

Ikhwan mengangguk laju.

“Aku yakin dia mampu mengubah aku kalau dia jadi milik aku. Aku akan mulakan hidup baru dengannya. Tapi sebelum tu, aku perlu dapatkan dia walau dengan apa cara sekalipun.”

“Aku sokong niat baik kau tu. Tapi kau jangan sesekali rosakkan hidup Farah. Kalau kau lakukannya jugak, aku sendiri yang akan tamatkan riwayat kau nanti. Ingat Wan, aku hidup hari ni atas budi dia. Jangan sesekali kau lupa tu,” tegas Wilma.

Teringat pada peristiwa dia hampir-hampir lemas ketika menghadiri satu kem motivasi suatu masa dulu. Mujurlah Farah menyelamatkannya daripada hanyut dalam arus deras sungai. Menjadikan dia sering berterima kasih pada gadis itu dalam diam setiap kali kenangan pahit itu muncul di benaknya.

“Aku janji Wil, aku takkan rosakkan hidup Farah. Tapi aku bersumpah akan dapatkan Farah walau apa cara sekalipun kerana aku tahu dia satu-satunya gadis terbaik yang pernah hadir dalam hidup aku. Biar apa terjadi, aku akan tetap mengejarnya hingga ke akhir hayat aku. Andai aku tak ditakdirkan hidup bersama dia, aku takkan sesekali memberi peluang pada orang lain untuk memilikinya sehingga aku sendiri yang merelakannya. Tu sumpah aku Wilma, tu sumpah aku!” tegas Ikhwan melakar janji.

Sekaligus mengunci mulut Wilma dari terus meluahkan kata. Tergamam dengan kata-kata keras itu.

“ITULAH sebenarnya maksud kedatangan kami kali ni Man, Nah. Kami harap sangatlah kau orang tak menolaknya,” ujar Haji Fakhrulrazi, mengharap.

Wajah Haji Rahman dan Hajah Aminah yang sudah terkunci mulut dipandang silih berganti. Tiada kata terluah dari mulut suami dan isteri itu dari tadi. Tidak lama kemudian Haji Rahman melontar suara juga setelah nafasnya dihembus keluar. “Susah kami nak buat keputusan ni Razi. Tak tahulah apa yang patut kami katakan sekarang. Nak bagi jawapan terus rasanya kami tak ada hak tu. Maklumlah, budak Farah tu pun masih ada mak dan ayahnya. Kena jugak kami berunding dulu dengan mereka tentang hal ni,” ujar Haji Rahman dengan rasa berat hati.

Dia mengerling Hajah Aminah. Isterinya itu mengangguk kecil. Bersetuju dengan kata-katanya.

Sungguh. Hati Haji Rahman benar-benar berat untuk membuat keputusan berkaitan perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Keputusan yang telah lama diserahkan bulat-bulat pada mereka yang lain yang dirasakan lebih berhak menentukannya. Apatah lagi perkara itu melibatkan masa depan cucu kesayangan mereka.

Haji Fakhrulrazi menghela nafas panjang.

“Macam ni ajelah Man, Nah. Apa kata kalau kau orang tanya dulu pada Farah tentang hal ni? Apa pun keputusannya nanti, kami terima dengan hati terbuka. Kalau jawapannya ya, bolehlah kita bincangkannya dengan lebih lanjut. Tapi kalau sebaliknya, apa lagi yang boleh kita buat. Walau macam mana pun kami harap sangatlah jawapannya sama seperti mana yang kami mahukan,” putus Haji Fakhrulrazi.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-13-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh