Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 29
BAB 29

“MASAK apa tu Farah?”

Julia yang baru selesai menukar pakaian petang itu melangkah masuk ke ruang dapur. Menjenguk muka ke arah Farah yang nampak sibuk mengacau sesuatu di atas dapur.

“Saya masak yang biasa-biasa aje Julie. Ikan keli masak cili api, ayam masak sambal berlada dan kangkung goreng. Tu aje untuk makan malam kita nanti.”

“Hmm... bunyi macam sedap,” balas Julia sambil tersenyum kecil.

“Untunglah awak Farah pandai memasak. Saya ni jarang benar nak turun ke dapur. Maklumlah, kat rumah kan dah ramai pembantu rumah. Setakat masak pizza dan roti tu bolehlah. Tu pun jarang-jarang saya nak buat,” sambung Julia.

“Hah, elok sangatlah kalau anak dara Melayu tahu masak makanan tu aje. Esok-esok kalau dah ada laki, sumbat aje mulut dia dengan semua makanan tu. Pasti tak sampai dua bulan jadi jandalah kau.”

Tidak sempat Farah membalas, Faizam yang baru melangkah keluar dari bilik mandi di penjuru dapur menyampuk. Mengejutkan Julia yang tidak sedar tentang kewujudannya di rumah itu.

“Kau? Kau buat apa kat sini?” soal Julia, terkejut dan lantang.

Dia tidak menyangka akan bertemu dengan lelaki itu di situ.

“Buat apa kau tanya? Inikan rumah aku jugak. Suka hati akulah nak buat apa pun,” balas Faizam selamba.

Dia terus ke tingkat atas. Meninggalkan Julia yang mencekak pinggang dengan mulut terlopong luas. Masih terkejut dengan pertemuan itu.

“Farah, awak tinggal serumah dengan budak bodoh tu ke?”

Julia mengalih pandang pada Farah yang sedang menyenduk lauk ke dalam pinggan.

“Dari kecil lagi kami tinggal bersama Julie. Masa tu Faizam tinggal dengan atuk dan neneknya kat hujung kampung, kat kuarters kerajaan. Bila atuk dan nenek dia pindah balik ke Melaka, dia tinggallah kat sini dengan kami. Tapi kalau atuk dan nenek saya tak ada, Faizam tak tidur kat sini. Dia tidur kat rumah keluarga angkat saya kat kampung gunung tu,” jelas Farah.

Matanya tertancap seketika pada wajah Julia. Sedar sejak tadi gadis itu merenungnya dengan pandangan tidak percaya.

“Kami serumah aje Julie tapi tak sebilik,” sambung Farah.

Seakan-akan dapat mengagak apa yang bermain di minda gadis itu, dia bersuara tenang sambil tersenyum kecil.

Lambat-lambat Julia mengangguk walaupun kurang yakin dengan kata-kata itu. Sekadar mahu menyenangkan hati gadis itu.

Farah kembali meneruskan kerja.

Julia mengeluh panjang. Cuba menghambat perasaan tidak senang yang mula timbul di hati. Tidak senang dengan kewujudan Faizam di situ. Tanpa sedar dia mengeluh lagi. Lebih berat.

“SUSAH saya nak percaya budak Julie tu anak saudara Jamaluddin, menantu kita tu bang,” ujar Hajah Aminah sambil memandang sekilas Julia yang masih berbual dengan Farah di dapur.

Dia yang berada di ruang tamu mengalih pandang pada suaminya.

Haji Rahman sedang bersiap-siap untuk ke masjid petang itu. Menjadi kebiasaan lelaki berusia tujuh puluhan itu menunaikan Solat Maghrib dan Isyak di masjid kampung mereka saban malam.

“Kenapa pulak awak tak percaya? Bukan ke Farah sendiri cakap yang budak Julie tu sepupu Johan.”

Haji Rahman membetulkan kedudukan songkoknya.

“Saya bukannya apa bang. Tak sangka Jaafar ada anak dara macam tu. Singkat betul pakaiannya. Macam tak cukup kain aje. Dahlah tu, berbeza benar sikapnya jika nak dibandingkan dengan Johan dan abang-abangnya,” adu Hajah Aminah seakan-akan tidak puas hati dengan keadaan itu.

Mengucap panjang dia tatkala terpandang kelibat gadis itu di rumah mereka tengah hari tadi. Sedikit sebanyak tingkah laku dan gaya Julia tidak disenangi hati tuanya.

Haji Rahman tersenyum kecil. Mengerti dengan rasa yang timbul di hati isterinya terhadap gadis yang pertama kali dikenalinya itu. Sama seperti hatinya namun dia hanya mengambil sikap tidak mengendahkan semua itu.

“Apa yang awak nak hairankan Nah. Dah nama pun membesar kat negara orang putih, mestilah budak tu pun terikut-ikut dengan budaya dan adat orang sana tu. Lagipun Nah, awak tak boleh nilai orang berdasarkan pakaiannya aje. Yang penting sikapnya tu sama ada baik ke tak. Tak guna bertudung labuh hingga ke buku lali pun kalau perangai tu buruk mengalahkan apa lagi.”

“Tu saya tahu bang tapi abang pun kena faham jugak. Abang tu kan bekas penghulu kampung ni. Ahli jawatankuasa masjid kampung kita pulak. Nanti apa pulak orang kampung fikir bila dia orang tengok ada anak dara berpakaian tak senonoh macam tu kat dalam rumah kita ni. Dahlah selama ni berbuih-buih mulut orang kampung mengutuk Farah dengan Faizam padahal budak berdua tu tak buat apa-apa pun. Inikan pulak kalau terlihat budak Julia tu. Entah apa pulak yang akan dikata dia orang nanti,” tekan Hajah Aminah, meluahkan isi hatinya.

“Biarlah dia orang nak kata apa pun Nah. Bukannya luak badan kita ni walaupun berbakul-bakul dia orang mencaci. Nama pun mulut manusia, manalah boleh kita tutup. Lainlah kalau mulut tempayan.”

Haji Rahman memandang wajah isterinya. Wanita tua seusianya itu mengeluh perlahan.

“Hai, nasib baiklah Faizam tak ikut mak dan ayah dia ke luar negara masa kecil dulu. Kalau tak entah apalah jadi kat dia sekarang,” keluh Hajah Aminah.

“Dahlah tu Nah, tak payahlah awak fikir yang bukan-bukan. Tak ada untungnya awak fikir pasal ni sampai ke pagi esok pun. Biar ajelah budak tu berpakaian macam tu. Badan dia, suka hati dialah nak pakai apa pun,” ujar Haji Rahman lagi lalu mula menapak ke pintu rumah.

Hajah Aminah mengikut dari belakang.

“Oh ya Nah. Awak tolong beritahu Faizam, abang ke masjid dulu. Ada mesyuarat sebelum Maghrib nanti. Awak minta dia datang awal sikit ke masjid. Abang nak suruh dia tolong Lebai Ali siapkan minit mesyuarat kami,” pesan Haji Rahman sebelum mendapatkan motosikalnya yang diparkir di tepi rumah.

Hajah Aminah hanya mengangguk sambil memandang kelibat suaminya yang semakin menghilang dari halaman rumah mereka. Tanpa sedar dia mengeluh lagi.

“MALANG betul nasib awak Farah dapat boyfriend seteruk Faizam tu,” ujar Julia.

Dia mencebik bibir sedikit. Memandang Farah yang tertawa kecil.

“Saya dan Faizam tu hanya kawan baik aje Julie. Bukannya couple macam yang awak fikirkan tu,” balas Farah.

Tangannya ligat memotong timun untuk dibuat ulam bagi hidangan makan malam nanti.

“Iya ke kau orang kawan baik aje? Saya tengok kau orang bukan main rapat lagi. Ke mana-mana pun berdua aje,” ujar Julia, tidak percaya.

“Kami rapat sebab memang dari kecil lagi kami dah macam ni Julie. Ke mana-mana pun memang kami berdua aje. Nak buat macam mana lagi,” balas Farah tenang.

“Faizam tu sebenarnya baik orangnya. Baik sangat tapi mungkin awak tak kenal dia jadi awak beranggapan yang bukan-bukan tentang dia,” sambung Farah.

Julia menjongket bahu.

“Pasal tu, saya tak ada komen. Yang saya tahu, saya memang tak suka dengan perangai biadapnya tu. Meluat sangat,” ujar Julia geram.

Tanpa sedar dia meramas kasar daun-daun kaduk dalam raga kecil di depannya.

“Mungkin awak perlu masa untuk kenal Faizam dengan lebih dalam Julie,” ujar Farah semula.

Dia memandang Julia yang kembali menjongket bahu.

“Mungkin jugak ya, mungkin jugak tak. Tengoklah macam mana,” balas Julia.

Dia memang geram setiap kali perihal anak muda itu dibangkitkan.

“Farah, tolong beritahu Faizam, atuk kamu pesan suruh dia pergi masjid awal sikit hari ni. Dia nak minta Faizam tolong Lebai Ali buatkan minit mesyuarat dia orang nanti,” pinta Hajah Aminah yang tiba-tiba muncul di muka pintudapur.

Mengejutkan kedua-dua gadis itu yang sedikit leka dengan perbualan mereka.

“Sekarang ke nek?” soal Farah yang masih ligat membuat kerja.

“Iyalah, takkan esok pulak,” balas Hajah Aminah lalu kembali ke ruang tamu.

Farah terkocoh-kocoh menyiapkan kerja.

“Tak apa Farah, biar saya aje yang pergi beritahu budak bodoh tu.”

Julia menawarkan khidmat tiba-tiba. Kasihan dia pada Farah yang sejak tadi tidak lepas tangan melakukan pelbagai kerja sedangkan dia hanya menjadi pemerhati. Dia mahu membantu tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Tenang mata Julia membalas pandangan Farah yang terhenti seketika pergerakannya. Terkejut dengan kata-kata itu.

“Betul awak nak pergi beritahu Faizam?” soal Farah sungguh-sungguh.

Kurang yakin sebenarnya. Dia memandang Julia yang mengangguk segera.

“Awak pasti?” soal Farah lagi.

Julia mengangguk lagi.

“Yang mana satu bilik budak bodoh tu?” soal Julia.

“Biliknya betul-betul kat depan tangga ni,” ujar Farah sambil memuncung bibir.

Dia memandang Julia memanjat anak tangga menuju ke tingkat atas rumah. Dalam hati dia berdoa. Semoga tiada lagi pertengkaran yang berlaku antara kedua-duanya.

“HOI! Kau tak tahu nak ketuk pintu dulu ke sebelum masuk ke bilik orang hah?” tengking Faizam.

Terkejut dia apabila tiba-tiba saja Julia menerjah masuk ke bilik tidurnya. Cepat-cepat dia membetulkan kain pelikat yang hampir terlondeh sementara tangan mencapai tuala di ampaian bilik. Menutup bahagian dadanya yang terdedah. Menjadi kebiasaan dia tidak berbaju ketika bersendirian di dalam bilik.

Faizam baru saja mahu menyarung pakaian setelah selesai Solat Asar tatkala Julia muncul di muka pintu biliknya.

Julia tersenyum sinis.

“Sorrylah, aku terlupa nak ketuk tadi. Anyway, atuk pesan suruh kau pergi masjid awal hari ni. Dia minta tolong kau buat apa entah kat masjid tu,” ujar Julia selamba sambil mencekak pinggang.

“So?” soal Faizam dengan nada tinggi.

Bengang dengan keadaan itu.

“So what?” tanya Julia, terpinga-pinga dengan soalan pendek lelaki itu.

“Jadi boleh kau keluar dari bilik aku ni sekarang?” pinta Faizam tegas.

Dia merenung tajam wajah Julia yang serta-merta berubah. Merah padam. Geram dengan layanan kasarnya.

“Dasar budak kampung bodoh!” jerit Julia bengang.

Dia kemudian menutup pintu bilik itu sekuat hati. Berdentum bunyinya.

Mengejutkan Farah dan Hajah Aminah di tingkat bawah rumah.

“Kenapa tu Farah? Apa yang dah jadi?” soal Hajah Aminah yang terkocoh-kocoh mendapatkan Farah yang segera melangkah keluar dari ruang dapur.

Dia berdiri di depan anak tangga menghala ke tingkat atas rumah.

“Entahlah nek,” jawab Farah, terpinga-pinga.

Cepat-cepat dia menerpa Julia yang terus melangkah turun ke tingkat bawah. Wajah gadis itu dilihatnya masam.

“Kenapa Julie?” soal Farah sebaik gadis itu menghampirinya.

“Kawan awak tulah, bodoh betul! Benci saya!” jawab Julia, marah.

“Apa yang Faizam dah buat pada Julie?” soal Farah kelam-kabut.

Bimbang kalau-kalau Faizam melakukan sesuatu yang di luar dugaan walaupun dia yakin mustahil lelaki itu akan bersikap demikian.

Mata Farah memandang sekilas wajah Hajah Aminah yang turut diselaputi tanda tanya sebelum berpatah semula pada Julia. Gadis itu merengus marah.

“Huh, stupid boy!” rengus Julia lalu terus ke ruang dapur.

Meninggalkan Farah dan Hajah Aminah yang terpinga-pinga dengan kata-katanya. Sama-sama tidak mengerti.

Tanpa sepatah kata Hajah Aminah berlalu ke ruang tamu semula.

Tidak lama kemudian, Faizam muncul dari tingkat atas. Sama seperti Julia, wajah lelaki itu turut disaluti riak masam.

“Hei Farah, kau pesan baik-baik kat kawan kau tu. Lain kali kalau nak masuk bilik orang, ketuk pintu dulu. Jangan nak main terjah suka hati dia aje,” ujar Faizam sebaik berdiri di depan Farah.

Bersiap sedia untuk ke masjid dengan baju Melayu berserta kain pelikat tersarung kemas di tubuhnya.

“Kau sendiri pun tahu kan macam mana sikap Julie tu? Beralahlah sikit Zam,” keluh Farah seakan-akan merayu.

Ditatap lemah wajah Faizam yang makin mencuka.

“Huh, tolonglah Farah! Tak ada masa aku nak beralah dengan perempuan macam tu. Perangai macam puntianak aje,” ujar Faizam, marah.

“Tak sampai beberapa jam dia kat sini, kau orang dah mula bergaduh. Tu baru beberapa jam. Tak masuk beberapa hari lagi. Lama-lama boleh jadi gila aku dibuat kau orang tahu,” balas Farah namun masih dalam nada lembut.

“Bukan aku yang mulakan tapi si puntianak tu,” balas Faizam cepat-cepat.

“Dahlah, malas aku nak cakap pasal puntianak tu lagi. Aku nak ke masjid sekarang. Apa-apa hal kau call aje handphone aku nanti,” sambung Faizam.

Seperti biasa dia meninggalkan pesanan sama yang disuarakannya saban hari.

“Kau tak nak makan dulu ke Zam?” soal Farah sambil memandang lelaki itu mencapai kunci motornya di atas meja.

“Malam nanti ajelah aku makan. Tak ada selera nak makan sekarang,” balas Faizam.

Dia terus melangkah keluar dari rumah. Meninggalkan Farah yang termangu-mangu seketika dengan jawapannya.

Farah mengeluh semula.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-29-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh