Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 20
BAB 20

AKHIRNYA peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia berlalu jua. Membawa seribu kegembiraan pada mereka yang telah bertungkus lumus melakukan yang terbaik sejak awal.

Terselit bersama kesayuan kerana terpaksa meninggalkan alam persekolahan yang berakhir setakat itu. Walaupun laluan untuk mencari ilmu pengetahuan masih terbentang luas namun tidak akan sama seperti di zaman persekolahan. Zaman yang mustahil dapat ditempuhi semula biarpun hidup beribu-ribu tahun.

Farah membuka tingkap bilik seluasnya. Disedut udara pagi seboleh yang mampu. Matanya dibiar berkeliaran ke persekitaran asrama yang lengang dan sunyi. Dia mahu menikmati segala-galanya untuk kali terakhir sebelum meninggalkan sekolah itu selama-lamanya. Ada keriangan bergendang bersama rasa tidak sabar di ruang dada. Tidak sabar menempuh alam baru yang bakal muncul dalam kehidupannya tidak lama lagi. Alam yang membawa lebih banyak rintangan dan halangan dalam melalui landasan hidup yang masih tidak tentu di mana penghujungnya.

Namun kesayuan lebih membelit hati ketika ini. Sayu mengenangkan diri bakal meninggalkan alam persekolahanyang merakam pelbagai kenangan manis dan pahit. Kenangan yang tidak mungkin dapat diperoleh semula buat kali kedua sampai bila-bila. Mengingatkan itu hati Farah kembali diruntun sebak.

Zaman remajanya bermula di sini. Di tempat dia dan teman-temannya mencari ilmu pengetahuan dan pengalaman buat bekalan di masa depan. Tempat di mana telah menyimpan pelbagai pengalaman hidup mereka yang masih mentah dalam mengenal cabaran dunia.

Bunyi tapak kaki membuatkan Farah mematikan lamunan lalu berpaling. Dilihatnya Balkis menghampirinya. Lalu berdiri di sebelahnya.

“Dah siap kau kemas semua barang Farah?” soal Balkis.

Farah mengangguk lesu.

“Cuma tunggu abang-abang aku datang ambil aje lusa pagi,” ujar Farah sayu.

“Mereka yang lain dah siap berkemas ke?” soal Farah.

Giliran Balkis mengangguk.

“Dah. Dia orang tengah berbual-bual kosong aje sekarang sementara tunggu mak dan ayah nak datang esok lusa,” jawab Balkis lemah lalu berpaling tubuh ke tingkap bilik.

Mereka terdiam seketika. Sama-sama melihat pemandangan asrama yang tidak akan dapat dilihat lagi di masa akan datang.

“Farah, kau takkan lupakan aku kan?” tanya Balkis tiba-tiba.

“Kenapa kau tanya macam tu? Tentulah aku takkan lupakan kau. Kau sahabat baik aku Balkis. Sama seperti yang lain. Lagipun bukan ke kita semua dah berjanji yang kita akan tetap bersahabat sampai bila-bila. Kalau tak, tak adalah kita semua mohon masuk ke matrikulasi yang sama hari tu,” ucap Farah sungguh-sungguh.

“Kadang-kadang aku tak percaya yang kita dah pun sampai ke penghujung sekolah. Rasa macam baru semalam aje kita semua mendaftar masuk ke sini. Tak sangka, sehari dua lagi kita semua akan berpisah. Tapi aku bersyukur sangat sebab kita semua akan bertemu lagi kat universiti nanti. Aku, kau, Laila, Haiza, Marya, Jeslynn, Regina, Izrin, Asyikin dan Marina akan berada di matrikulasi yang sama tak lama lagi,” jawab Balkis ceria walaupun rasa sayu lebih mencengkam hati ketika ini.

“Betul Balkis. Kita akan sama-sama ke universiti nanti tapi aku sedih sangat sekarang. Aku tak sanggup nak tinggalkan sekolah kita ni. Dah banyak sangat kenangan yang kita cipta di sini. Pahit manis zaman remaja, segalanya tercipta kat sini. Rasanya sampai ke mati pun aku takkan lupakan sekolah kita ni,” ucap Farah sebak.

Sayu untuk mengucapkan selamat tinggal pada dunia persekolahannya.

“Bukan kau aje yang rasa macam tu tapi kita semua jugak sama. Tak ada siapa yang akan dapat lupakan kenangan mereka di zaman persekolahan walaupun dah lama berlalu. Macam aku. Nilah satu-satunya tempat yang banyak memberi aku saat kehidupan yang cukup bahagia. Kat sini aku belajar erti susah, erti bahagia dan yang paling aku hargai, aku mendapat permata paling berharga dalam hidup selain dari ibu iaitu kau, sahabat baik aku dunia akhirat,” ujar Balkis dengan air mata yang mengalir.

Begitu juga Farah.

“Jangan cakap macam tu Balkis. Aku sebenarnya yang bertuah kerana mempunyai sahabat seperti kau, sanggup berkongsi segala suka duka hidup dengan aku selama ini. Begitu memahami keadaan aku yang serba kekurangan ni,” ujar Farah sambil mengelap air mata.

Tidak mahu kesedihan terus-terusan menyelubungi mereka.

“Oh ya Farah. Lupa aku nak beritahu. Tadi Marya ajak kita keluar dengan dia orang yang lain ke bandar pagi esok. Yalah, lusa kan kita semua dah nak balik ke rumah masing-masing sebelum mendaftar di universiti nanti. Kau nak ikut tak?” soal Balkis, menukar topik perbualan.

Dia turut mengelap air mata yang mulai kering.

Farah mengangguk.

“Kau ikut sekali ya?” soal Farah

Dia tersenyum tatkala Balkis mengangguk laju.

“YA ALLAH, penatnya badan aku. Macam nak mati rasanya,” ujar Faizam.

Dia menghempas tubuh ke katil yang telah dicabut keluar cadarnya. Hanya meninggalkan tilam dan dua biji bantal yang turut kehilangan sarungnya.

“Kau ni Zam, baru kemas barang sikit dah pancit. Bukannya banyak mana pun barang-barang kau tu,” balas James dalam mengah.

Dia sendiri kepenatan setelah seharian mengemas barang-barang.

“Dah masuk sepuluh kotak besar aku bungkus tapi masih ada barang-barang aku kat luar ni kau kata tak banyak? Apa mata kau dah buta ke sampai tak nampak banyak mana barang aku dah kemas?” marah Faizam sambil menjegil mata.

James tersenyum kelat.

“Ala Zam, biasalah tu. Nama pun dah lima tahun tinggal kat sini, macam mana tak boleh banyak barangnya. Lagi pulak buku-buku kita tu. Takkan nak buang semuanya walaupun dah tak guna lagi nanti,” sampuk Raymond yang turut tercungap-cungap kepenatan.

“Tu aku tahu tapi penatlah. Dah seminggu aku berkemas tapi barang-barang aku masih ada lagi sampai aku rasa nak buang aje. Tapi bila fikir balik sayang pulak nak buang,” balas Faizam sambil memandang ke seluruh bilik yang nampak kosong. Sejak beberapa hari lepas mereka bertiga bersama Irwan Putra sibuk berkemas lantaran mereka bakal meninggalkan Sekolah Seri Putra tidak lama lagi.

“Kau ni Zam, cakap macamlah kau seorang aje yang kemas. Apa kau fikir kita orang ni duduk goyang kaki aje? Biar semua barang tu melata masuk sendiri ke dalam kotak tu? Kita orang pun penat jugak tau,” sela James.

Giliran Faizam tersengih kelat.

“Hei kau orang, Farah baru call aku. Dia ajak kita keluar ramai-ramai pagi esok. Aku kata okey aje. Macam mana kau orang?” soal Irwan Putra yang baru selesai berbual di telefon bimbit.

“Okey jugak tu. Kita pun dah lama tak pergi bandar. Kali terakhir kita keluar pun dua bulan lepas, sebelum ambil exam. Lepas tu mana ada lagi kita ke sana. Asyik study aje. Ni dah ada peluang keluar. Dengan anak-anak dara pulak tu. Nak ajelah aku,” balas Raymond.

“Amboi kau Ray. Pantang Farah ajak keluar, nak aje kau ya. Tapi okey jugak tu. Esok lusa kita dah nak balik rumah masing-masing. Tak tahu bila lagi boleh jumpa,” balas James pula.

“Iyalah tu James. Konon bila lagi boleh jumpa,” tempelak Faizam.

“Dua tiga minggu lagi kita berempat boleh jumpa semua anak dara tu kat USM tau. Apa kau dah lupa kita dapat tawaran ke matrikulasi yang sama dengan dia orang?” sambung Faizam.

“Wan, kau mesej kat Farah beritahu dia, kita berempat tunggu dia orang kat tengah bandar esok pagi,” arah Faizam.

“Wei Zam, apasal nak tunggu dia orang kat tengah bandar pulak? Kita kan boleh pergi sekali dengan dia orang. Suruh ajelah dia orang tunggu kat luar pagar sekolah dia orang macam biasa,” ujar James pula.

“Nak tunggu kat pagar sekolah buat apa James? Bukan ke kita nak pergi pejabat pos dulu esok pagi? Kau jugak kata nak pos semua barang kau. Tahulah tak sabar nak jumpa buah hati kau si Jeslynn tu tapi kut iya pun siapkanlah kerja kita ni dulu,” ujar Faizam mengingatkan.

James tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Ya tak ya jugak. Kita kan nak pergi pejabat pos esok. Lupa pulak aku.Wan, kau buatlah macam yang Zam suruh. Kita tunggu dia orang kat tengah bandar lepas balik dari pejabat pos esok,” arah James pada Irwan Putra yang mengangguk buat kali kedua.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-20-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh