Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 6
BAB 6

“JULIE, bangun sayang. Nanti lambat pulak kamu nak ke sekolah,” kejut Hanie sebaik melangkah masuk ke bilik tidur luas itu.

“Julie, dengar tak apa yang akak cakap ni? Bangun lekas. Nanti kamu lewat ke sekolah,”

kejut Hanie lagi dengan nada tinggi apabila tiada sahutan.

Tangannya terus menyebak selimut yang melitupi tubuh seseorang yang masih enak berlingkar di katil tengah bilik. Lalu tuan empunya tubuh menempik kuat.

“Sis! What the hell are you doing huh?”

“Julie, dah pagi ni dik. Bangunlah. Nanti kamu lambat pergi sekolah,” sahut Hanie, sudah terbiasa dengan jeritan begitu.

Lambat-lambat gadis berambut perang itu bangun dari perbaringan. Dia menggeliat beberapa kali. Lalu menguap panjang.

“Kak, Julie mengantuklah. Malaslah Julie nak pergi sekolah hari ni.”

“Jangan malas dik, tak baik. Dah selalu sangat Julie ponteng. Minggu ni aje dah dua kali Julie tak pergi sekolah. Nanti apa pulak kata daddy kalau Julie ponteng lagi hari ni,” pujuk Hanie sambil mengusap-usap belakang tubuh itu dengan penuh kasih sayang.

“Alah, daddy takkan kata apa-apa pun. Julie mengantuklah kak, macam mana nak pergi ke sekolah kalau Julie tak boleh buka mata,” rengek Julia.

“Tulah, kan akak dah pesan. Jangan balik lewat malam kalau keluar dengan kawan-kawan tapi Julie degil. Tak nak jugak dengar cakap akak. Sekarang Julie jugak yang susah. Mengantuk sangat sampai tak boleh buka mata tu,” balas Hanie lembut.

“Kak ni, kalau tak membebel boleh tak? Bingit telinga Julie tahu,” balas Julia tinggi sambil menekup telinga.

Buat rosak pendengaran aku aje, rungut hati Julie.

“Yalah, yalah, akak salah. Akak janji akak tak bebel lagi. Dah, bangun sekarang. Cepat siap. Nanti lambat kamu ke sekolah,” pujuk Hanie lagi.

“Tak naklah. Julie tak nak pergi sekolah hari ni. Julie mengantuklah!” rengus Julia.

Dia mahu menyambung tidur namun tidak jadi apabila kata-kata Hanie kembali singgah di telinga.

“Baik. Tak kisahlah kalau Julie tak nak pergi sekolah pun tapi jangan harap akak nak tolong kalau abang Zarif tak masukkan duit dalam akaun Julie bulan ni. Abang Zarif dah beritahu kan? Kalau Julie ponteng kelas lebih daripada dari tiga kali sebulan, maka duit poket Julie pun tak adalah untuk sebulan ni,” gertak Hanie.

“Julie nak duit poket tak?” tanya Hanie apabila gadis itu masih terkebil-kebil.

Laju saja Julia mengangguk.

“So, pergi mandi sekarang. Dah siap nanti turun ke bawah, kita sarapan sekali,” suruh Hanie sambil tersenyum.

Julia pantas bangun. Terkocoh-kocoh ke bilik air sambil mulutnya riuh mengarah pembantu rumah menyediakan segala keperluannya. Tidak peduli Hanie yang melihat tingkah lakunya menggeleng beberapa kali.

“DAH bangun tuan puteri kesayangan awak tu?” tanya Zarif sebaik terpandang Hanie turun dari tingkat atas.

“Dah bang. Dia tengah mandi tu,” jawab Hanie, terus duduk di sisi suaminya.

“Waktu ni baru nak mandi. Pukul berapa pulak dia nak sampai ke sekolah tu?” bebel Zarif sebelum dihirup sedikit kopi panasnya.

“Sekejap lagi dia pergilah bang. Lagipun bukannya lewat sangat. Baru pukul berapa sekarang. Pagar sekolah pun belum buka.”

“Hah, tulah awak. Manjakan sangat adik ipar awak tu. Matahari dah tegak atas kepala pun masih berlingkar atas katil. Cuti sekolah tak payah cakaplah. Selagi tak masuk waktu Zohor, selagi tulah tak bangkit,” bebel Zarif lagi.

“Zarif Zafran, tak baik membebel depan rezeki,” tegur Puan Sri Zalina yang turut ada di meja makan.

“Tapi memang betul pun apa yang saya kata mummy. Julie tu terlalu dimanjakan sangat sampai besar kepala jadinya. Cakap orang tua langsung tak nak dengar. Cakap dia aje yang betul. Esok-esok nak jadi apa pun tak tahulah,” balas Zarif, marah.

Sekeping biskut gula dihala ke mulut sebelum dikunyah geram.

“Biarlah dia Zarif. Teruk mana pun sikap Julie tu, dia tetap adik kamu jugak,” celah Tan Sri Jaafar.

Dia meletakkan semula surat khabar di tepi meja. Lalu melilau pandangan ke tengah meja makan. Melihat hidangan yang disediakan isteri dan menantunya pagi itu.

“Sebab dia adik sayalah saya tegur daddy. Buat sakit mata aje tengok perangai buruknya tu. Berkawan dengan entah siapa-siapa. Siang malam hanya tahu berjoli aje. Pakaiannya tu satu bab, langsung tak pernah tutup aurat. Lebih teruk daripada orang Inggeris yang sedia ada,” luah Zarif, geram.

“Dahlah tu Zarif, tak payahlah kamu membebel lagi. Habiskan sarapan kamu tu cepat. Nanti lewat pulak kamu ke pejabat.”

Kata-kata lembut Puan Sri Zalina mengunci mulut Zarif yang masih mahu bersuara.

Cepat-cepat Zarif menghabiskan sarapan lalu meminta diri. Mengucup tangan Tan Sri Jaafar dan Puan Sri Salina sebelum berlalu meninggalkan ruang itu. Hanie menghantarnya hingga ke luar rumah.

“Betul kata Zarif tu bang. Sampai bila kita nak biarkan Julie bersikap macam tu. Dahlah adab sopan tak ada, keluar rumah pun tak tentu masa. Suka hati dia aje nak buat apa pun. Selalu benar dia balik lewat pagi. Berkawan pulak dengan budak-budak liar. Kita sendiri pun tak kenal ibu bapa budak-budak tu. Pakaian tu, tak payah katalah. Memang tak pernah menyenangkan mata kita yang memandang,” luah Puan Sri Zalina sebaik kelibat anak dan menantunya hilang dari pandangan.

“Habis tu, Lina nak abang buat apa? Dah macam tu sikap dia, nak kata apa lagi,” ujar Tan Sri Jaafar selamba sambil berselera menikmati sarapan.

Tidak peduli riak isteri berubah tegang dek kata-kata bersahajanya itu.

“Ewah, senangnya abang cakap. Hei bang. Kita ni bangsa Melayu, ada adab dan tatasusilanya sendiri. Walau kat mana kita berada, tak sepatutnya kita buang budaya dan adat resam kita. Apatah lagi di Australia yang majoriti penduduknya beragama asing dari kita ni. Cuba abang tengok Julie tu. Jangan kata nak pakai tudung, nak pakai baju kurung sekali-sekala pun payah. Solat tak payah katalah. Memang tak pernah dibuat pun. Membaca Al-Quran jauh sekali. Takkan abang nak biarkan anak perempuan kita tu berdosa seumur hidup?” balas Puan Sri Zalina, geram.

Hilang seleranya melihat wajah selamba Tan Sri Jaafar. Seolah-olah tidak terkesan dengan kata-katanya.

“Abang tahu semua tu salah kita Lina tapi apa yang abang boleh buat? Kalau dia masih kecil bolehlah kita lentur. Ni dia dah besar panjang. Dah tujuh belas tahun pun. Kalau marah pun bukannya dia nak dengar,” sahut Tan Sri Jaafar lembut.

“Apa abang kata? Julie tu dah besar?” soal Puan Sri Zalina dengan mata terbuntang.

“Abang, Julie tu baru aje berumur 17 tahun, bukannya dah 27 tahun. Sekolah tinggi pun dia belum tamat lagi. Dia rosak sebab salah abang jugak yang terlalu manjakan dia. Abang turut aje semua kehendaknya sampai tak pernah fikir apa yang dia minta tu baik untuk dia atau tak.”

Tanpa sedar Puan Sri Zalina telah meninggikan suara pada suaminya.

“Jadi sekarang Lina salahkan abanglah bila Julie jadi macam tu?” balas Tan Sri Jaafar, geram.

“Lina jangan lupa, bukan abang seorang yang salah tapi Lina pun salah. Lina tak pernah nak tegur cara dia berpakaian. Dari kecil lagi Lina dah ajar dia bermekaplah, nak jaga kecantikanlah supaya dia cantik macam Lina jugak. Hah sekarang, bila dah jadi macam ni abang seoranglah yang salah, macam tu?” ujar Tan Sri Jaafar lagi dengan nada tinggi.

Dihembus nafasnya semula.

“Dahlah Lina. Tak payahlah Lina membebel lagi. Buat sakit telinga abang aje,” sambung Tan Sri Jaafar lalu menghabiskan minuman sebelum bangkit.

“Abang nak ke pejabat sekarang. Apa-apa hal kita bincang aje malam nanti. Tu pun kalau abang boleh balik awal. Banyak lagi kerja abang yang tak siap kat pejabat tu,” pamit Tan Sri Jaafar, terus menghulur tangan.

Puan Sri Zalina menyambut dengan hati mendongkol marah. Namun tangan suaminya dikucup jua. Geram kerana suaminya memandang ringan perkara-perkara begitu. Matanya mengekori langkah Tan Sri Jaafar sebelum dihala pada Hanie yang kembali melabuhkan punggung berdepannya.
Hanie sekadar memasang telinga mendengar pertengkaran tidak rasmi antara kedua-dua mentuanya. Seperti Puan Sri Zalina, Hanie hanya mampu mengeluh panjang. Mengerti dengan gelodak di hati ibu mentuanya ketika ini.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-6-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh