Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 8
BAB 8

“ABANG dah kata, abang takkan bagi pada Julie! Julie faham ke tak hah? Nak abang cakap bahasa apa lagi supaya Julie boleh faham?” tengking Zarif sekuat hati.

“Julie tak peduli, sama ada abang suka atau tak, abang kena bagi jugak. Bukannya banyak mana pun Julie minta. I don’t care!” jerit Julia.

Sedikit pun rasa takut mahupun hormat tidak terselit di hati buat satu-satunya abang kandungnya. Sejak kecil Julia telah biasa bersikap kurang ajar begitu. Bukan saja pada Zarif malah pada kedua-dua orang tua mereka juga.

“Tak banyak kata kamu? Sepuluh ribu dolar kamu habiskan tak sampai seminggu kamu kata tak banyak? Hei Julie, kalau duit sebanyak tu ditukar ke mata wang Malaysia dah mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit tahu? Apa kamu fikir daddy dan abang buka kilang cetak duit untuk kamu hah? Senang–senang aje kamu habiskan semuanya macam tu aje!” balas Zarif lantang.

Panas hatinya pada sikap Julia yang ternyata tidak pernah sedar dek untung diri tidak dapat
ditahan lagi. Ringan tangannya mahu melayang ke pipi gebu gadis itu andai dia terlupa gadis biadap itu adalah adik kandungnya.

“Huh! Apa guna abang simpan duit tu kalau abang sendiri tak tahu macam mana nak gunakannya. Lagipun esok-esok duit tu akan tetap akan jadi milik Julie jugak.”

“Sebab duit tu bakal jadi hak kamulah abang terpaksa jaganya baik-baik. Kalau dihumban semuanya pada kamu sekarang, rasanya dah lama kita sekeluarga merempat kat tepi jalan dek perangai boros kamu tu tahu tak!” tengking Zarif sambil mencekak pinggang.

“Julie tak kira, Julie nak abang masukkan jugak duit sepuluh ribu tu dalam akaun Julie. Sekarang jugak!” jerit Julia sekuat hati.

“Huh, jangan mimpilah! Jangan kata sepuluh ribu dolar, sepuluh dolar pun belum tentu abang nak bagi. Biar kamu tahu sikit susah senangnya hidup bila tak berduit,” jawab Zarif sinis.

“Abang ni!” bentak Julia.

“Assalamualaikum,” ucap Azrai tiba-tiba di balik pintu.

Zarif menyambut salam sebelum berpaling pada Julia. Gadis itu masih berdiri di tengah bilik sambil memeluk tubuh. Muncungnya ditarik panjang.

“Dah, pergi balik. Abang tak ada masa nak melayan kerenah kamu tu. Banyak lagi kerja yang perlu abang selesaikan di pejabat ni.”

Zarif kembali merendahkan suara. Lebih kepada memujuk. Bukan sikapnya menaikkan suara tatkala berbicara jauh sekali menengking. Namun tingkah laku Julia sering menguji kesabarannya memaksa dia bersikap begitu setiap kali mereka berlawan kata.

Diatur langkahnya menuju ke meja. Mahu menyambung tugasan yang terbelangkai dek kehadiran tiba-tiba gadis itu. Namun terhenti apabila Julia segera menghalang sebelum mendepa luas kedua-dua tangan.

“Julie tak kira, Julie nak jugak duit tu. Sekarang!” bentak Julia lebih kepada mengarah.

Tidak peduli dengan Azrai yang sudah terpinga-pinga melihat tingkah laku mereka.

“Hei, berapa kali abang nak cakap! Abang takkan bagi, abang takkan bagi dan abang takkan bagi. Faham? Dah, pergi balik!”

Zarif kembali meninggikan suara. Geram dengan kedegilan adiknya yang ternyata tidak pernah surut. Malah semakin menjadi-jadi andai kehendaknya tidak diturut.

“Tak nak!”

“Hei budak ni!”

“Dahlah tu Zarif!” pujuk Azrai pantas.

Tidak mahu bunga-bunga pertengkaran terus berkembang antara kedua-dua beradik itu. Sekaligus menghentikan tingkah laku Zarif yang hampir melayangkan penampar sulungnya ke wajah putih gebu milik Julia.

“Macam nilah. Julie pakai dulu duit abang. Bila Julie dah ada duit nanti, Julie bayarlah. Tak pun anggap aje duit tu sebagai hadiah dari abang,” ujar Azrai.

Dia mengeluarkan dompet sebelum menarik keluar salah satu kad kreditnya lalu dihulur pada Julia.

Gadis itu menyambut pantas. Serta-merta wajah jelitanya bertukar rona. Ceria.

“Thanks,” ucap Julia lalu segera berlalu ke pintu.

Sempat Julia menjelir lidah pada Zarif yang mengetap bibir geram. Marah pada adiknya yang tidak pernah menampakkan perubahan sejak dulu. Biar apa pun tindakan Zarif untuk menghalang sikap melampaunya namun kemenangan pasti berpihak pada gadis tinggi lampai itu.

“Dahlah tu Rif, jangan diikutkan sangat marah kau tu.”

Teguran Azrai membawa minda Zarif kembali ke dunia sebenar. Lambat-lambat dia memandang sahabat baiknya melabuhkan punggung di sofa. Dia sendiri turut berbuat demikian.

“Kenapa kau bagi duit pada Julie? Biar dia sedar sikit macam mana susahnya hidup bila poket tu dah kering.”

“Alah, bukan selalu pun aku bagi duit kat dia. Kau tu, sepatutnya sebagai abang beralahlah sama. Ini tahu nak naik angin aje,” nasihat Azrai lembut.

“Macam mana aku tak naik angin Az. Julie tu, guna duit macam guna air paip. Tak pernah fikir langsung nak berjimat cermat. Jauh sekalilah nak menyimpan,” ujar Zarif.

Dipicit-picit kepalanya. Pening memikirkan sikap Julia yang tidak pernah-pernah berubah.

“Biarkan ajelah Rif. Seburuk mana pun sikap Julie tu, dia tetap adik kau.”

“Sebab dia adik akulah, aku marahkan dia.”

Zarif memprotes kata-kata sahabat baik yang sejak kecil telah dikenali hati budinya itu.

“Yang kau tu, kenapa baik hati sangat dengan dia? Selalu sangat beri duit. Makin berlemaklah jadinya budak tu,” sambung Zarif sambil menjeling wajah Azrai yang tersenyum.

“Aku ni bukannya apa Rif. Aku tak suka tengok kau orang adik-beradik bergaduh. Pantang bersua, tahu nak bertekak aje. Aku pun bukannya ada sesiapa dalam dunia ni selain daripada mak ayah aku aje. Jadi apa salahnya aku kongsi harta keluarga aku dengan kau orang adik-beradik.”

Azrai masih dengan sikapnya. Tidak lokek berkongsi segala kepunyaannya dengan orang lain terutama Zarif sekeluarga yang telah lama dianggap seperti keluarga sendiri itu.

“Tapi sebab kau baik hati sangatlah yang buat Julie makin besar kepala. Sekarang ni pun bukannya dia hairan sangat kalau aku block akaun dia sebab kau akan tolong dia bila-bila masa aje.”

Ada rasa kesal menyelubungi suara Zarif. Kesal kerana tidak berupaya menyedarkan Julia erti kepayahan dan kesusahan hidup.

“Alah Rif, Julie tu masih muda lagi. Dia terlalu mentah untuk kenal erti susah payah. Esok-esok berubahlah sikapnya tu bila dia dewasa nanti,” ujar Azrai lembut.

Dia mengerti gelodak hati lelaki itu. Namun mengenangkan Zarif sedia sibuk menguruskan perniagaan keluarga dan masalah-masalah lain menjadikan Azrai tidak mahu minda lelaki itu diasak bebanan sikap Julia pula.

“Sebab dia masih mudalah aku nak dia berubah sekarang. Bukannya waktu dia dah tua esok-esok. Biar dia tahu macam mana susahnya nak dapatkan sesuatu yang dia nak. Bukannya main menadah tangan pada aku dan daddy aje. At least dia boleh berdikari kalau terjadi apa-apa pada dia atau keluarga kami nanti.”

Nada suara Zarif masih kedengaran marah. Geramnya pada Julia belum hilang sepenuhnya.

“Aku faham tapi kau jugak kena ingat. Bukan ni caranya nak melentur buluh. Banyak lagi cara yang tak perlukan kekerasan yang boleh kau guna. Makin kau berkeras dengan dia, makin degil dia jadinya. Kalau aku berada kat tempat dia pun aku tak mahu ikut cakap kau. Garang sangat,” balas Azrai lagi.

“Dahlah, tak payahlah kau fikirkan sangat tentang adik kau tu. Buat sakit kepala aje padahal banyak lagi benda yang perlu kau utamakan. Ni aku nak tanya. Kau sibuk tak sekarang? Aku fikir nak ajak kau melawat tapak projek terbaru kita. Sebab tulah aku datang ke mari,” sambung Azrai.

Dia bangun lalu membetulkan kot di tubuhnya.

“Ya tak ya, baru aku teringat. Kita belum lagi melawat tapak projek kita kat pantai Scarborough tu.”

Zarif turut sama bangun.

“Balik dari sana nanti kita singgah pejabat Faiziman kejap,” cadang Azrai.

“Okey jugak tu. Aku pun dah lama tak jumpa dia. Entah apa khabar sahabat baik kita tu.”

Zarif mula menapak keluar dari pejabatnya. Azrai mengikut dari belakang.


http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-8-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh