BAB
38
“ABANG Azrai
ni, tak habis-habis nak bergurau. Kalau bergurau pasal lain tak apalah jugak.
Ini pasal kahwin pulak,” omel Julia sambil tersenyum.
Dia
mengeleng beberapa kali.
“Ada
ke patut, aku yang masih muda belia ni diajaknya kahwin? Sekali-sekala tak
apalah. Ini dah selalu dia hantar e-mel sama. Buat sakit perut aku aje gelakkan
dia,” omel Julia lagi.
Dia
menekan butang komputer riba di depannya setelah menaip sesuatu di situ.
Membalas e-mel yang dihantar Azrai padanya.
Tidak
lama Julia kembali menelentang tubuh ke tilam. Matanya dipejam celik beberapa
kali. Sejak awal malam dia mengadap komputer. Membaca dan membalas setiap e-mel
yang dihantar padanya. Salah satunya daripada Azrai.
Sahabat
baik Zarif itu tidak pernah lupa menghantar e-mel saban minggu. Ada saja berita
atau perkara mahu disampaikan walaupun Julia jarang-jarang dapat membalas.
Membaca e-mel lelaki itu mengingatkan Julia pada gurauan Azrai yang memintanya
menjadi isteri lelaki itu. Telah beberapa kali lelaki itu meluahkan gurauan sama
setiap kali
Julia
menyuruhnya berkahwin. Julia sendiri tidak pernah menganggap serius gurauan itu
walaupun adakala lelaki itu seperti bersungguh-sungguh.
Pada
Julia masih terlalu awal untuk dia berfikir tentang perkahwinan. Masih banyak
perkara yang perlu dilakukannya di usia awal dua puluhan itu. Dia sendiri
hakikatnya belum bersedia membawa diri ke dunia perkahwinan. Mengenangkan
kebaikan Azrai juga menjadikannya tidak pernah bermimpi berada di sisi lelaki
itu. Jauh sekali berangan untuk hidup bersama sepanjang hayat.
Huh,
jangan kata nak kahwin, bercinta pun aku tak pernah. Inikan pulak nak fikir
bab-bab macam tu. Jauh lagilah, bisik Julia dalam hati.
Senyuman
Julia melebar apabila teringatkan seseorang yang akhir-akhir ini menganggu
fikirannya. Hingga dia sering kali hilang dalam khayalan sendiri.
Sedar
tidak sedar sudah setahun Julia di London. Selama itu juga dia mengenali Faizam
walaupu tidak sepenuhnya. Benar kata Farah suatu ketika dulu. Faizam jauh dari
apa yang difikirkannya selama ini. Lelaki itu begitu baik dalam setiap segi.
Tidak pernah Julia melihatnya meninggalkan suruhan agama. Tutur katanya juga
sopan dan penuh nasihat walaupun sesekali menyengat. Dia tidak jemu-jemu
mengajak Julia menunaikan solat apabila tiba waktunya.
Adakala
Julia malu sendiri. Dengan keadaan diri yang begitu naif, dia sebenarnya telah
jauh meninggalkan Islam. Dia terlalu mengikut hati mudanya hingga mengabaikan
sempadan yang tidak sepatutnya dilangkau. Bukan silap sesiapa semua itu berlaku
melainkan dia sendiri.
Keluarga
Julia terutama Zarif sendiri begitu menekankan agama dalam kehidupan. Hanya dia
yang tidak pernah mahu mendengar kata. Sering mengambil kesempatan atas
limpahan kasih sayang orang tuanya dalam mengikut telunjuk nafsunya. Hingga
membentuk dia menjadi bongkak dan angkuh dengan apa yang ada.
Namun
itu dulu. Tidak lagi sekarang. Dalam setahun ini, telah banyak perubahan
berlaku pada Julia. Perubahan dalam hampir setiap sudut kehidupannya. Tiada
lagi pakaian jarang lagi ketat membungkus tubuh. Jauh sekali seksi dan
menampakkan bentuk badan. Warna rambutnya juga dibiar kembali ke warna asal.
Hitam berkilat walaupun masih tiada tudung yang membalut.
Tutur
kata Julia juga semakin sopan dan menyenangkan telinga yang mendengar. Dia juga
telah pandai meminta maaf dan merendah diri. Tiada istilah sombong mahupun
angkuh wujud dalam dirinya lagi. Semuanya gara-gara Faizam yang digelar budak
kampung suatu masa dulu. Pergaulan erat bersama lelaki itu menjadikan Julia
berubah tingkah laku tanpa dia sendiri menyedarinya. Sedikit sebanyak sikap
Faizam telah mempengaruhinya.
Kini
Julia sedar. Ada rasa cinta muncul di hatinya. Rasa cinta khas buat Faizam yang
pernah dibencinya suatu ketika dulu. Walaupun Faizam mahupun mereka yang lain
tidak pernah tahu. Namun Julia menyimpan hasrat untuk meluahkannya pada lelaki
itu suatu masa yang dirasakan sesuai nanti.
Tanpa
sedar Julia tersenyum lagi. Bahagia dengan khayalan indahnya malam itu.
FAIZAM tersenyum.
Buku diletak semula ke dadanya. Malam telah lama bertandang namun matanya tetap
segar-bugar. Tidak seperti mereka yang lain. Telah lama dibuai mimpi. Tidak
terasa anjakan waktu yang semakin mengengsot pergi.
Sejak
tadi Faizam menyandar tubuh di kepala katil. Fikirannya padat dengan bayangan
Balkis. Biar di mana pun pandangannya berlabuh, hanya wajah Balkis menghiasi.
Sungguh. Dia tidak dapat menipu hati sendiri. Dia mencintai Balkis.
Cintanya begitu meluap. Memenuhi setiap inci ruang hati. Lalu kenangan yang
baru dilaluinya beberapa jam lalu kembali menerpa ke layar mata.
Tidak
disangka khayalannya menjadi kenyataan malam ini. Hampir-hampir tubuhnya
tumbang tatkala terlihat kelibat Balkis bersama Farah menantinya di tangga
rumah sewa mereka. Menyambut kedatangannya dengan senyuman manis terukir di
bibir. Dia yang terkaku dengan keadaan itu hanya mampu melongo. Tidak percaya
dengan apa yang dilihat mata ketika itu.Sedang debar di hati hanya ALLAH saja
yang tahu hebat getarannya.
Kelu
lidah Faizam untuk bersuara sepanjang bersama. Sepatah katanya bagaikan emas.
Terlalu berharga untuk dibuang. Mata Faizam memandang tepat skrin panggung yang
terbentang di depan padahal tidak sesaat pun hati dan fikirannya berada di
situ. Segala perasaan bercampur aduk. Gembira, suka, malu, segan teradun
sekali. Membentuk getaran hebat di hatinya.
Sementara
Balkis di sisi hanya bersikap selamba. Seakan -akan tiada apa berlaku antara
mereka. Farah pula begitu ralit menonton hingga tidak peduli dengan keadaan
sekeliling. Seolah-olah dia tidak wujud antara mereka.
Paling
Faizam tidak dapat lupakan saat Farah meninggalkan dia dan Balkis berdua-duaan
di restoran setelah selesai menonton wayang. Alasannya dia perlu menemui Irwan
Putra yang tiba-tiba menelefonnya ketika itu.
Sempat
Farah berpesan supaya menghantar Balkis pulang sebelum berlalu. Mengigil
seketika tubuh Faizam walaupun dia cuba untuk tidak memperlihatkannya. Begitu
gementar hingga makanan yang ditelan tidak memberi sebarang rasa.
Namun
perlahan-lahan rasa gugup itu hilang tatkala Balkis memulakan bicara. Ternyata
Balkis tidak sedingin yang difikirkan. Gadis itu begitu peramah dan mesra
melayani perbualannya walaupun wajah serius itu jarang sekali
mengukirkan senyuman. Satu sikap Balkis yang cukup dimakluminya sejak dulu.
Sesekali gadis itu menunduk tatkala bola mata mereka bersabung. Menambah
debaran hati Faizam yang memandang. Tertawan dengan tingkah laku spontan gadis
itu.
Diam-diam
Faizam sedar. Cintanya terhadap Balkis semakin mendalam kini. Hampir setiap
masa istilah ‘aku cinta padamu’ berkumandang di hati. Sayangnya istilah keramat
itu hanya mampu berterbangan di seluruh urat sarafnya. Tidak sesekali pernah
terluah dari mulut. Jauh sekali sampai ke pendengaran Balkis.
Bibirnya
ingin meluahkan namun akalnya melarang. Bimbang andai perhubungan yang baru
berbunga kuncup semula. Lalu menutup peluangnya untuk mendapat gadis impian
yang baru diketahui masih belum berpunya. Sangkanya lelaki yang ditemuinya
bersama Balkis di bangunan KOMTAR suatu masa dulu adalah teman lelakinya.
Tidak
terlintas di hatinya lelaki itu adalah Anaz, abang susuan Balkis lantaran
mereka tidak pernah bersua muka sebelum itu. Mujurlah Faizam tergerak hati
untuk bertanya pada Balkis yang menjawab tenang segala pertanyaannya.
Faizam
menarik nafas semula. Beberapa kali sementara mindanya ligat berputar. Dia
perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan Balkis. Sesuatu yang mampu mengikat
mereka selamanya. Dia mahu semuanya berlaku di jalan sepatutnya tanpa ada
sebarang paksaan. Dia mahu Balkis menerima dia seadanya. Bukan kerana kedudukan
atau kekayaan tetapi kerana dirinya sendiri. Dia tidak kisah malah tidak peduli
andai Balkis bukan siapa-siapa. Asalkan gadis itu dapat menerima dirinya, itu
cukup memadai baginya.
“JADI macam
mana? Kita nak buat apa sekarang?” soal Julia sambil memandang Faizam.
Faizam
membalas tenang pandangan Julia. Sesekali matanya jatuh pada helaian kertas di
depan mereka. Sejak sejam lalu mereka berada di laman kampus bagi membincangkan
tugasan terbaru yang diterima daripada pensyarah tengah hari tadi.
“Aku
rasa kita buat aje macam yang kita bincangkan tadi,” jawab Faizam setelah
berfikir beberapa ketika.
“Maksud
kau, kita ke Belanda?”
Faizam
mengangguk kecil tanpa menyahut.
“Tapi
macam mana kita nak pergi? Kita bukannya ada kenderaan nak ke sana.”
“Tentang
tu kau jangan risau. Aku boleh sewa kereta nanti. Tak pun kita naik bas aje
sepanjang kat sana. Lagipun tak lama lagi cuti semester akan bermula. Jadi tak
ada masalah rasanya kalau kita siapkan assignment ni sepanjang cuti
dua minggu tu nanti. Assignment ni pun hanya akan dihantar selepas
itu.”
Faizam
mengemas semula segala peralatan dan buku yang digunakan sebelum menyumbat
masuk ke dalam beg sandangnya.
Julia
mengangguk setuju. Dia turut mengemas segala barangannya sebelum melepaskan
keluhan kecil. Sekaligus menjemput pandangan Faizam ke wajahnya.
“Kau
kenapa Julia? Tiba-tiba aje mengeluh? Kau penat ya?”
Pertanyaan
itu menyentak Julia. Pantas dia menggeleng lalu tersenyum kecil.
“Taklah.
Aku cuma teringatkan keluarga aku aje. Dah setahun aku tak balik ke Australia.
Rindu pulak pada dia orang walaupun dia orang selalu hubungi aku.”
“Kalau
macam tu cuti semester nanti kau baliklah kejap,” cadang Faizam.
“Macam
mana nak balik, cuti semester tu pendek sangat. Dahlah kita baru aje bercadang
nak ke Belanda nanti. Lagilah tak sempat nak balik,” balas Julia
cepat-cepat.
“Alah,
apa pulak tak sempatnya. Kita bukannya pergi berminggu-minggu ke Belanda tu.
Dua tiga hari aje. Balik dari Belanda kau baliklah ke Australia kejap. Tak
dapat seminggu, tiga empat hari pun dah kira okeylah tu.”
Julia
terdiam seketika. Memikirkan cadangan Faizam.
“Zam,
kau nak ikut aku balik Australia tak?” pelawa Julia tiba-tiba.
“Ikut
kau balik Australia? Buat apa?” soal Faizam sambil berkerut dahi.
“Alah,
saja jalan-jalan makan angin kat sana. Bolehlah jugak kau tengok negara orang.
Pasal tambang flight kau tak payah risau. Aku bayarkan semuanya.
Anggap aje semua tu hadiah aku pada kau,” ujar Julia lagi tanpa menyedari
kedudukan sebenar lelaki itu.
Lalu
membuatkan Faizam tersenyum lebar. Sedikit sebanyak kata-kata ikhlas itu
menjentik rasa lucu di hati Faizam. Terasa dirinya begitu daif di mata gadis
itu walaupun dia sedar yang Julia tidak pernah mengetahui latar belakangnya.
Bahkan hampir kesemua kenalannya berkeadaan serupa. Tidak mengetahui latar
sebenar kehidupannya. Hanya mereka yang benar-benar rapat sahaja yang tahu. Itu
pun jika dia membuka mulut. Dia sendiri hakikatnya tidak berminat mencanangnya
pada semua orang. Dia lebih selesa hidup dalam keadaan sederhana.
“Tak
apalah Julia, terima kasih atas pelawaan kau tu. Buat masa sekarang aku sibuk
dengan kerja. Lagipun aku dah selalu ke sana. Bosan rasanya kalau selalu pergi
ke tempat yang sama aje.”
Penolakan
lembutnya dibalas dengan cebikan Julia.
“Huh,
kau ni Zam. Cakap macamlah kau dah biasa dengan Australia tu. Setakat tengok
dalam televisyen dan internet tu, apalah sangat. Jual mahal pulak,” cemuh Julia
sambil menjeling Faizam yang kembali menguntum senyuman.
“Kau
cakaplah apa yang kau suka pun Julia, aku tak kisah,” balas Faizam lembut.
Dia
sebenarnya sudah terlalu kerap menjelajah Australia. Hampir saban tahun dia ke
sana. Bertemu dengan abang kandungnya yang telah lama bermastautin di negara
itu walaupun hanya untuk beberapa hari. Kerana itu dia tidak berminat untuk
menerima jemputan Julia.
Julia
hanya merengus kecil. Tidak berkecil hati dengan penolakan Faizam. Sedar dia
tidak berhak memaksa. Lalu dia tersenyum semula. Menyenangkan hati Faizam yang
melihat.
http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2014/05/bab-38-tak-sangka-aku.html