Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 17
BAB 17

“WAH, tak sangka aku. Best betul cerita tadi tu,” ujar Asyikin girang sebaik melangkah keluar dari pawagam.

“Yalah kan? Tak rugi rasanya menonton walau harga tiket mahal sikit hari ni,” ujar Jeslynn dengan senyuman puas.

“Jadi, kita nak pergi mana lagi lepas ni?” soal Jeslynn sambil memandang mereka yang lain.

“Aku rasa lebih baik kita pergi makan dulu. Dari tadi kita asyik shopping, jalan-jalan, tonton wayang aje. Perut aku ni, laparnya dah sampai tahap nak makan orang tahu. Dahlah sebelum datang pun kita tak makan apa-apa. Sebelum aku makan kau orang sorang demi sorang, baik kau orang cari tempat untuk kita makan dulu,” cadang Laila sambil memanjang leher ke sekitar.

Mencari tempat bagi menjamu selera.

“Kalau macam tu, apa kata kita makan kat gerai yang selalu kita pergi tu aje? Ala, bukan jauh pun. Depan tu aje. Sebelum Laila baham kita sorang demi sorang, baik kita bagi dia makan dulu. Susah jugak kalau berkawan dengan manusia kanibal ni ya,” usik Haiza sambil tersengih kecil apabila Laila menjeling tajam padanya.

“Hah, apa lagi? Jomlah pergi. Buat apa terpacak macam tiang elektrik kat sini,” gesa Marya apabila mereka masih tidak berganjak.

Cepat-cepat semua menapak.

“Macam mana Balkis? Seronok tak dapat keluar jalan-jalan dengan kita orang?” soal Regina sebaik pelayan yang mengambil pesanan berlalu pergi.

Balkis tersenyum sambil mengangguk girang.

“Seronok sangat. Macam tak percaya aku dah keluar dengan kau orang hari ni.”

“Mesti bosankan hidup kau selama ni? Duduk rumah aje. Nak keluar pun ada bodyguard ikut. Kalau tak ada pun, kau bukan boleh keluar lama-lama. Kalau tak lain kali mesti tak dapat keluar lagi,” ujar Haiza, bersimpati dengan nasib Balkis.

“Tapi bagi akulah, lebih seronok kalau aku dapat hidup macam kau Balkis. Nak pergi mana pun ada orang bawakan. Nak apa pun dah disediakan. Tak payah susah payah pergi beli sendiri. Kan senang hidup macam tu,” sampuk Laila yang mula mengunyah hidangan yang telah sampai ke meja mereka.

“Tak jugak Ila. Kalau sehari dua kau kat tempat aku, mungkin kau rasa seronok. Tapi lama-lama pasti kau bosan. Kau takkan dapat belajar hidup berdikari. Jauh sekali nak merasa kepayahan mendapatkan sesuatu. Kawan pun tak ada. Walaupun semua orang ada di sekeliling kau setiap masa tapi semua tu tak dapat mengubat kesunyian kau. Tak guna hidup kaya kalau kegembiraan tak dapat kau rasa,” jawab Balkis.

“Betul Balkis. Tak guna berharta banyak kalau kita tak dapat buat apa yang kita nak. Biar miskin asalkan gembira selalu,” sokong Marina.

“Hmm... susah rupanya jadi orang kaya ni. Kalau macam tulah hidup orang kaya, lebih baik aku hidup macam sekarang. Tak ada harta tapi hati senang selalu,”

“Alah. Macam kau tu Laila, tak ada harta pun tak apa. Mesti kau boleh kaya jugak suatu hari nanti walaupun setakat menumpang harta orang,” tukas Jeslynn.

“Kenapa kau cakap macam tu?” soal Laila, hairan.

“Yalah, kau kan cantik. Kalau tak, tak adalah kau nak sandang gelaran ratu fotogenik antara sekolah tiga tahun berturut-turut. Aku berani jamin. Mesti ada lelaki kaya yang terpikat dengan kau nanti. Kalau tak sekarang, mesti beberapa tahun lagi,”

“Huh, kau cakap macamlah aku gadis paling cantik dalam dunia ni. Kau tu pun, apa kurang. Malah seribu kali lagi cantik dari aku. Cuma tulah. Dah rezeki aku menang dalam pertandingan tu. Tu pun aku sendiri tak tahu aku dipertandingkan. Tahu-tahu aje nama aku dah diumumkan sebagai pemenang,” rungut Laila sambil menjeling Marya yang sudah tersengih-sengih.

“Kau ni Ila, janganlah marah kat Marya. Memanglah silap dia menghantar gambar kau ke pertandingan tu tanpa pengetahuan kau. Tapi nak buat macam mana. Dah sekolah kita tak ada wakil ke pertandingan tu tiap-tiap tahun. Nak tak nak Marya hantar ajelah gambar sesiapa yang ada dalam simpanan dia. Kau pulak kan jenis yang suka berposing sakan depan kamera. Kau jugak yang bertuah dapat gelaran yang diimpikan semua gadis di daerah sekolah kita,” balas Farah bagi pihak Marya.

“Huh, buat apa aku dapat gelaran tu kalau bertambah musuh aje. Kalau dapat kawan tak apalah jugak. Ini makin dibenci orang adalah,” ujar Laila kembali tenang.

“Ala, dia orang tu sebenarnya cemburu dengan kau Ila. Silap dia orang jugak hantar gambar entah apa-apa. Tak baca langsung syarat utama pertandingan yang minta para peserta menghantar gambar yang berpakaian sopan dan menutup aurat. Punyalah nak jadi ratu sampai terlupa semuanya,” ujar Regina pula.

“Tu namanya fotogedik, bukan fotogenik tahu tak,” sampuk Asyikin.

“Eh kau orang, tu bukan Irwan dengan James ke? Dia orang buat apa kat sini petang-petang macam ni?”

Soalan Haiza mengubah haluan bicara. Memandang Irwan Putra dan James yang menapak mendapatkan mereka.

“Abang Chik buat apa kat sini?” soal Farah sebaik kedua-duanya berdiri depannya.

“Abang keluar beli air cap kaki tiga untuk Faizam,” jawab Irwan Putra.

Dia menunduk sedikit apabila matanya bertembung mata Marina. Segan.

“Beli air untuk Faizam? Kenapa dengan Faizam? Sakit ke dia?” soal Izrin Putri pula.

Risau apabila mendengar kata-kata adik kembarnya.

“Dia demam Rin. Demam terkejut,” seloroh James.

Selamba dia melabuhkan punggung di sisi Jeslynn. Gadis itu segera berganjak. Memberi ruang.

“Demam terkejut? Aik, masa aku jumpa dia petang semalam kat depan sekolah kami nampak elok aje. Apasal tiba-tiba demam pulak?” ujar Haiza, hairan.

“Dia demam sebab dah lama tak jumpa buah hati, Za,” balas James lalu tertawa kecil.

Mereka yang lain merengus. Mengerti kini sebab sebenar Faizam demam.

“Pasal tu aje boleh demam? Huh, teruk betullah Faizam ni,” cebik Farah.

“Yang kau orang semua buat apa pulak kat sini?” soal Irwan Putra, mengalih bicara.

“Kita orang pergi shopping tadi. Lepas tu tengok wayang. Habis tu kita orang lepaklah kat sini kejap,” jawab Asyikin.

“Tengok wayang? Tak ajak kita orang pun,” ujar James, pura-pura merajuk.

“Nak ajak ke benda. Kau orang kan lelaki, mana boleh masuk geng kita orang yang semua perempuan ni,” ujar Laila.

“Eleh. Cakap ajelah tak bagi ikut, kan senang. Nak bergeng-geng pulak kalau nak keluar. Selama ni kita keluar ramai-ramai tak ada pulak kisah geng lelaki ke geng perempuan. Saja nak buat alasanlah tu,” bidas James.

Laila hanya tersengih.

“Chik, kenapa tak bawa Faizam pergi jumpa doktor?” soal Izrin Putri semula sambil memandang Irwan Putra yang melabuhkan punggung di sisi Farah.

“Nak bawa macam mana Rin. Macamlah kau tak tahu perangai Faizam tu. Jangan kata nak jumpa doktor, nak suruh telan panadol pun payah. Takkan kita orang nak heret dia pulak kalau tuan punya badan tak mahu pergi,” sela James sebelum sempat Irwan Putra membalas cakap.

“Kalau macam tu, tak teruk sangatlah demam Faizam tu,” sampuk Laila.

“Ala, aku rasa dia demam biasa aje tu. Demam-demam manja kata orang,” sampuk Asyikin.

Membuatkan semua mata berpaling ke wajahnya sejenak.

“Apa kata kau, demam-demam manja? Demam apa tu?” soal James, terpinga-pinga dengan istilah yang tidak pernah didengarinya itu.

“Demam-demam manja tu samalah jugak dengan demam-demam mengada,” ujar Farah dengan muka selamba.

“Demam mengada? Tu jenis demam apa pulak?” soal James, semakin pening.

“Sudahlah kau orang. Jangan nak rosakkan pulak prosa bahasa kita yang sedia rosak,” ujar Marya sedikit tegas.

“Demam manjalah, demam mengadalah. Mana wujud istilah-istilah macam tu. Buat sakit telinga aku aje yang dengar,” sambung Marya sambil membulatkan mata pada Asyikin dan Farah.

Kedua-dua gadis itu hanya tersengih.

“Habis tu, kau orang nak ke mana lepas ni?” soal Irwan Putra, mula bangun.

James turut berbuat demikian.

“Nak pergi mana, kan dah petang ni. Balik ke asrama ajelah terus,” jawab Regina, memberi kata putus.

Mereka yang lain mengangguk. Bersetuju.

“Kalau macam tu kita orang minta diri dulu. Nanti lambat pulak sampai ke asrama. Kau orang pun jangan lama-lama sangat kat sini. Tak elok balik waktu senja,” pesan Irwan Putra lalu memberi salam.

Sempat dia melirik mata pada Marina yang tersenyum kecil melihat tingkah lakunya.

Mereka yang lain turut mengukir senyuman.

“Baik Irwan tu kan Marina,” puji Haiza sebaik kelibat Irwan Putra dan James tidak lagi kelihatan.

Rona wajah Marina berubah serta-merta. Memerah.

“Kenapa kau tanya aku pulak?” balas Marina, segera menunduk.

“Ewah, buat-buat tak tahu pulak. Irwan kan suka kat kau,” usik Haiza.

Dia terjerit tatkala cubitan kecil Marina hinggap di lengannya.

“Kau ni. Suka hati aje nak cakap macam tu,” marah Marina dalam malu-malu.

“Alah, kalau betul pun apa salahnya. Iya tak Rin, Farah?” sampuk Laila.

Serentak Izrin Putri dan Farah mengangguk sambil tersenyum lebar.

“Hah, tengok tu. Adik-beradik dia pun dah terima kau walaupun tak secara rasmi. Senang cakap, kira jadilah kau dengan Irwan,” giat Regina juga.

“Betul Gina. Mujur kita masih belajar. Kalau kita dah kerja, aku suruh abang Chik pinang kau,” usik Farah pula.

“Rina, kau terima tak kalau Irwan masuk pinang kau nanti?” soal Asyikin.

Dia sengaja mahu melihat reaksi gadis itu yang semakin memerah wajahnya.

“Kau orang ni!” balas Marina dengan nada sedikit terjerit.

Malu benar diusik begitu.

“Hei kau orang ni, dah-dahlah mengusik Marina. Dah tahu dia suka Irwan, biar ajelah. Esok-esok kalau dia orang nak kahwin, kita tolong ajelah apa yang patut,” tegas Marya, melarang teman-temannya.

Dalam masa yang sama dia turut mengenakan Marina. Gadis itu membuntang mata padanya. Marya hanya tersengih.

“Eh Farah, kau tak rasa ke yang Ikhwan tu sebenarnya sukakan kau?” soal Haiza tiba-tiba.

Dia memandang Farah yang terpinga-pinga dengan pertanyaan itu.

“Laa... apasal masuk bab Ikhwan pulak ni? Ribut tak ada, angin pun tak ada, tup-tup nama budak sekerat Melayu separuh Itali tu jugak yang kau sebut,” sampuk Jeslynn tanpa sempat Farah menjawab.

“Alah, aku tanya ajelah,” rengus Haiza cepat-cepat.

“Kau tak rasa ke yang Ikhwan sebenarnya suka kat kau Farah?” soal Haiza, mengulang pertanyaan.

“Kenapa kau tanya macam tu?” soal Farah, hairan.

“Aku bukan apa Farah. Aku sebenarnya tak selesalah tengok kau berbual dengan dia. Cara dia pandang kau, cakap dengan kau, lain benar. Macam ada yang tak kena aje dengan mamat Itali setengah Melayu tu.”

“Laa... aku ingat aku sorang aje rasa macam tu. Rupanya kau pun sama jugak ya Za. Tapi betullah kata kau. Aku pun dapat rasa yang mamat tu suka kat kau. Tapi terus terang aku cakap Farah. Daripada kau pilih Ikhwan tu jadi boyfriend kau, baik lagi kau pilih Faizam. Selaser mana pun mulut Faizam tu, seribu kali dia lebih baik daripada Ikhwan, buaya darat tu tau,” sampuk Laila pula.

“Hisy kau orang ni, tak adanya aku nak bercinta sekarang. Tambah-tambah lagi dengan Ikhwan tu. Minta simpanglah aku daripada jatuh cinta dengan dia. Jangan kata kau orang, aku sendiri pun tak selesa tapi nak buat macam mana. Dah dia yang datang cari aku. Bukannya aku yang pergi cari dia,” ujar Farah.

“Kalau macam tu, pastilah Faizam yang jadi pilihan kau?” soal Asyikin cepat-cepat.

Namun keningnya berkerut tatkala Farah menggeleng laju.

“Tak mahulah aku. Kami dah macam adik-beradik. Walaupun bukan sedarah sedaging tapi aku dengan Faizam tu dah terlalu rapat dan mesra tapi tak adalah sampai tahap nak jadi suami isteri. Jangan kata nak kahwin, nak bercinta dengan dia pun tak pernah terlintas dalam kepala otak aku ni,” jawab Farah sungguh-sungguh.

“Hai, kalau macam tu gayanya terpaksalah Cik Farah kita ni cari yang lain ya,” ujar Haiza sambil mengetuk jari telunjuk di bibir.

Memikirkan calon terbaik buat Farah yang nampak kaget dengan sikap kawan-kawannya ketika ini.

“Hah, apa kata kalau kau ambil Johan aje Farah? Dia pun handsome orangnya. James kata sepupu kau tu jenis orang yang tak tinggal solat tau. Sesuailah dengan kau yang lebih kurang macam Johan jugak,” cadang Jeslynn pula.

“Haah. Aku setuju sangat dengan cakap kau Lynn. Johan tu pun sikapnya lebih kurang macam Faizam aje. Cuma mulut dia tak adalah laser macam mulut Faizam yang tak pernah ada insurans tu,” sokong Laila.

Mereka yang lain mengangguk setuju. Farah pula terus mencebik bibir.

“Kau orang ni kan, cakap macamlah aku tengah cari calon suami dan minta kau orang padankan aku dengan calon yang dah ada dalam senarai. Apa kau orang fikir aku nak sangat ke bercinta di usia macam ni? Jangan kata nak bercinta, nak berkawan dengan lelaki pun aku tak naklah. Banyak lagi benda yang aku perlu fikirkan selain dari fikir perkara tak berfaedah ni,” marah Farah sambil memandang teman-temannya yang tersengih.

“Memang betul cakap kau tu Farah. Buat masa sekarang ni, bukan setakat pelajaran aje yang kita kena fikir tapi fikirkan jugak masa yang semakin berjalan ni,” sampuk Marya menyebabkan semua mata melekat pula ke wajahnya.

“Ni kau orang tahu tak dah pukul berapa sekarang hah? Bersembang aje dari tadi sampai tak ingat nak balik. Nanti kalau kita lambat sampai ke asrama tu, jangan kata kau orang, dengan aku sekali kena sebat dengan pengetua kita, si mak Asyikin ni. Jadi sebelum berlaku apa-apa, baik kita balik sekarang,” ajak Marya tegas.

Dia terus bangun. Mereka yang lain turut sama-sama beredar.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-17-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh