Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 3
BAB 3

JOHAN merebahkan tubuh di bangku kayu. Dada berombaknya disentuh seketika. Cuba mengurangkan kepenatan yang dirasai. Dia hanya mengangkat tangan tatkala Nazrin mencuit bahu. Tanda tidak lagi berminat meneruskan larian. Dua jam mengelilingi padang luas itu membuatkan dia tidak berdaya mengangkat kaki pun.

Nun di kejauhan, bangunan Sekolah Seri Putra tersergam indah disimbah cahaya matahari petang. Bangunan tempat Johan dan teman-teman lain menuntut ilmu sejak hampir lima tahun lalu. Selain mengutip pengalaman berjauhan daripada keluarga. Dan tahun ini merupakan tahun terakhirnya di situ.

Tidak jauh dari situ, kelihatan bangunan-bangunan Sekolah Seri Putri dan Sekolah Suria Melati yang menjadi tempat pelajar-pelajar perempuan menimba ilmu. Selain beberapa buah sekolah rendah dan menengah lain.

Mata Johan terpasak di tengah-tengah padang berdepannya. Tidak peduli dengan kehadiran hingar-bingar pelajar-pelajar lain yang memenuhi kawasan padang, matanya tertancap pada sekumpulan pelajar perempuan. Giat mereka mengadakan latihan bola tampar petang itu.

Namun bukan semua gerakan ahli pasukan itu yang menarik perhatian Johan tetapi seseorang yang turut bersama mereka. Kelincahan gadis itu mempamer aksi permainan yang memukau mencetuskan kekaguman pada Johan yang jarang-jarang ketinggalan memerhati aksinya setiap kali pasukan itu mengadakan latihan di situ.

Lama mata Johan melekat di tubuh itu sebelum pandangannya dibawa ke arah lain. Rasa malu mengepung hati mudanya. Malu mengenang tingkah laku sendiri yang jarang-jarang dapat mengawal pengerakan mata agar tidak selalu merenung wajah itu. Bukan sekali bahkan hampir saban hari dia berkeadaan serupa. Di bangku dan di bawah pohon sama sebaik dia selesai berjoging bersama kelima-lima sahabatnya. Tidak lekang matanya memerhati gelagat gadis yang diam-diam telah mencuri hatinya. Lalu memperkenalkannya pada cinta.

Johan sendiri hakikatnya tidak pasti sejak bila rasa itu membenih di hati. Bercambah dari sehari ke sehari tanpa dia sendiri sedar. Dan kini dia yakin. Hatinya benar-benar telah hilang dari dirinya sendiri. Diragut gadis itu yang kini kembali menjadi habuan pandangannya.

Begitu pun Johan juga tidak pernah membiarkan rasa cinta itu terus-terusan membelit diri. Dia masih sedar. Dia terlalu hijau untuk berada di alam indah lagi mengkhayalkan itu. Di usia remaja begini, dia tidak layak memikirkan semua itu. Masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukannya.

Ketika ini Johan lebih selesa menyelam lautan ilmu yang bakal menyediakan anugerah tidak ternilai di masa depan. Mencari dan mengaut ilmu dari mereka yang tidak jemu mencurah dan menunjuk ajar. Kerana itu dibiarkan saja rasa cinta itu terapung-apung di jiwa tanpa ada keinginan untuk menggapai. Dia yakin. Akan tiba waktu dia mengutipnya suatu masa nanti. Dan dia berharap ketika itu dia telah bersedia sepenuhnya untuk merasai semua itu.

Perhatian Johan terganggu apabila bahunya ditepuk lembut seseorang. Dia tersentak lalu menoleh. Senyumannya terukir buat Nisda yang entah bila berdiri di sisi.

“Dari mana Nis?” soal Johan lembut.

Segera dia menganjak sedikit apabila Nisda selamba melabuhkan punggung di sisi.

“Dari sekolah. Nampak awak kat sini, saya singgahlah sekejap.”

Mata Nisda turut terlekap pada kumpulan pelajar yang masih leka menjalani latihan sukan.

“Dia memang seorang pemain yang baik bukan?” tanya Nisda tiba-tiba.

“Siapa?” soal Johan sambil berkerut dahi.

Raut tenang itu dipandang sejenak.

“Dia yang sejak tadi awak pandang sampai tak berkelip mata tulah.”

Johan terkedu. Dia tidak menyahut. Matanya kembali ke padang. Membiarkan sepi menyelubungi suasana seketika.

“EH Farah, tu bukan Johan ke yang duduk kat tepi padang tu? Dia buat apa dengan Nisda kat situ?” tanya Laila sambil mengelap peluh di wajahnya.

“Entah, mana aku tahu,” sahut Farah sambil menjongket bahu.

Dia turut mengelap peluh setelah selesai menjalani latihan. Matanya melirik ke arah Johan dan Nisda. Kedua-duanya kelihatan mesra berbual-bual bersama. Lalu mencuit keluar satu rasa di hati. Entah atas sebab apa rasa itu muncul Farah tidak tahu. Tetapi rasa itu menyakitkan hatinya.

Tidak mahu melayan rasa itu, Farah mencapai botol minuman sebelum diteguk beberapa kali. Menghilangkan dahaga setelah hampir dua jam menjalani latihan.

“Aku tengok bukan main rapat lagi dia orang berdua tu. Selalu aje duduk bersama kat hujung padang tu. Bukan selalulah, boleh kata hari-hari. Dia orang tu ada apa-apa hubungan istimewa ke Farah?” soal Haiza pula.

“Entah, mana aku tahu. Dia orang bercinta ke, apa ke, tak ada kena mengena dengan aku,” rengus Farah.

Tidak senang dengan pertanyaan itu.

“Eh, tak baik kau cakap macam tu. Johan tu kan sepupu kau. Nak tak nak, kau kena ambil tahu jugak pasal dia. Esok-esok kalau jadi apa-apa kat dia, kau jugak yang dicari orang nanti tau,” sanggah Laila cepat-cepat.

“Alah, biarlah dia nak buat apa pun. Dia kan dah besar panjang. Tahulah dia apa yang baik, apa yang buruk. Lagipun masih ramai manusia atas muka bumi ni yang akan tolong kalau jadi apa-apa kat dia nanti,” sahut Farah lalu meneguk air botolnya lagi.

“Amboi, mentang-mentanglah kau bergelar pendebat terbaik antara sekolah, ada aje jawapan bernas yang kau bagi aku ya,” usik Laila sambil mengenyit mata pada Haiza.

Serentak kedua-duanya tertawa.

Farah hanya mencebik bibir melihat tingkah laku kawan-kawannya.

“Aku bukan apa Farah. Bagi akulah, berbanding kau dengan Nisda, rasanya kau lebih layak couple dengan Johan. Nampak sepadan betul,” ujar Laila.

“Betul, betul. Aku sokong dua ratus peratus,” sampuk Haiza, menyokong sambil mengangguk-angguk.

“Lagi padan kalau kau orang duduk bersanding atas pelamin,” tambah Haiza lalu terkekeh ketawa bersama Laila.

“Huh, suka hati kau orang aje nak suruh aku kahwin dengan Johan! Macamlah aku ada suruh kau orang carikan jodoh untuk aku. Dahlah, malas aku nak layan cakap merapu kau orang tu. Buat sakit telinga aje!” marah Farah.

Dia terus bangun meninggalkan Haiza dan Laila yang masih galak ketawa lalu mendapatkan Faizam di pinggir padang. Sambil menyandar di batang pokok, Faizam nampak ralit dalam dunia sendiri. Sesekali kedengaran suara garaunya mengalun irama lagu ciptaannya. Mengiringi rentak jari-jemarinya yang tidak jemu memetik tali-tali gitar sejak tadi.

“Woi Zam, kau buat apa ni?” soal Farah sambil menepuk bahu anak muda itu.

Tersentak Faizam. Dia mengerling Farah yang telah melabuhkan punggung. Duduk bersila mengadapnya.

“Makan nasi!” rengus Faizam.

“Apa kau tak nampak ke aku tengah buat apa sekarang?” ujar Faizam semula sambil menjeling wajah putih bersih gadis itu.

“Aku tengok kau buat bodoh aje dari tadi,” balas Farah selamba.

Lalu menopang dagu melayan nyanyian anak muda itu walaupun dia tidak menggemari lagu-lagu ciptaan Faizam. Berentak perlahan dan berunsur jiwang. Tidak sepadan dengan sikap tegas dan kasar anak muda itu walaupun tidak selalu ditonjolkannya.

“Aku rindu dia Farah,” luah Faizam tanpa sedar.

Tersentak Farah yang terleka melihat tingkah laku lelaki itu ketika ini.

“Kau rindu dia? Siapa?”

Terpinga-pinga Farah memandang Faizam.

“Gadis yang aku cerita pada kau tulah.”

Farah mengeluh kecil.

“Aku rasalah Zam, kau dah disampuk penyakit angau tak bertempat. Baru sekali kau jumpa dia, tu pun tak sampai lima minit. Kat simpang traffic light pulak tu. Macam mana kau boleh kata yang kau dah jatuh cinta kat dia hah? Hei... tak faham betullah aku dengan kau ni,” bebel Farah sambil menggeleng-geleng.

“Inilah yang dinamakan cinta pandang pertama Farah. Cinta yang wujud dalam waktu yang begitu singkat,” balas Faizam selamba.

“Huh, cinta pandang pertama konon,” ejek Farah.

“Dahlah Zam, tak payahlah nak cipta dialog drama pulak. Macamlah aku tak tahu perangai kau. Entah perempuan mana jadi mangsa mata miang kau hari tu pun tak tahulah sampai kau kata dah jatuh cinta kat dia,” sambung Farah.

Dia menjeling Faizam sekilas.

“Ya ALLAH Farah, sumpah aku cakap. Aku betul-betul dah jatuh cinta kat dia. Aku tak boleh lupakan dia. Rasa cinta aku ni tak sama seperti aku rasa sebelum ni.”

“Zam, kau dengar cakap aku ni baik-baik. Kau lupakan aje perempuan yang entah macam mana rupanya tu. Kau kena ingat, tahun ni kita nak ambil SPM. Jadi tak ada masanya kau nak fikir benda-benda lain. Apatah lagi cinta monyet kau tu. SPM tu lebih penting dari segala benda tahu,” tegas Farah memberi peringatan.

Cuba menyedarkan anak muda itu tentang hakikat yang dihadapi mereka ketika ini.

“Tu aku tahu Farah tapi entahlah. Aku tak fikir aku boleh lupakan dia macam tu aje,” keluh Faizam perlahan.

“Aku tak fahamlah Zam. Kenapa kau beria-ia sangat nak kejar cinta kau yang entah apa-apa tu? Jangan kata kenal, nama dia pun kau tak tahu. Entah-entah dia tu tunang orang ke, isteri orang ke. Kalau kau bercinta dengan dia pun, belum tentu dia jadi isteri kau. Berlambak-lambak lagi perempuan dalam dunia ni yang boleh kau pilih, bukannya dia seorang aje perempuan yang hidup di muka bumi ni Faizam Fakhruddin oii...”

“Entahlah Farah. Aku tak kisah dengan apa yang kau kata. Aku tak peduli dan aku tak mahu ambil pusing pun semua tu. Yang aku tahu, aku dah jatuh cinta dengan dia dan aku betul-betul rindukan dia sekarang,” luah Faizam penuh perasaan.

“Huh, lantak kaulah Zam nak jadi apa pun. Malas aku nak layan cakap jiwang kau tu lagi.” Farah menepuk dahi sebelum menggeleng beberapa kali.

Faizam sekadar tersenyum kecil. Dia mahu berpaling apabila matanya menangkap sesuatu di hujung padang. Sesuatu yang menarik dia untuk terus memandang. Dipicing anak mata. Mengamati sesuatu.

“Farah, siapa perempuan kat sebelah Johan tu?” tanya Faizam.

Panjang leher Faizam memerhati tingkah laku kedua-duanya. Sesekali dia terperasan mata Johan teralih ke arahnya dan Farah.

“Perempuan mana pulak ni Zam?” soal Farah, hairan.

“Perempuan yang duduk sebelah Johan kat hujung padang tulah, perempuan mana lagi,” ujar Faizam sambil memuncung bibir ke arah itu.

Farah turut mengalihkan perhatian. Hanya seketika. Dia merengus.

“Oh. Tu Nisda. Takkan kau tak kenal budak Nisda tu?” balas Farah acuh tak acuh.

“Nisda? Macam pernah dengar aje nama tu. Rasanya dia bukan budak sekolah kau kan?”

Berkerut-kerut dahi Faizam. Berfikir.

“Bukan. Dia budak Sekolah Suria Melati, satu sekolah dengan Surina tulah.”

Laju saja Farah menjawab sebelum dia tersedar sesuatu. Segera bibir bawahnya diketap lembut. Rasa bersalah mula menghimpit hati.

“Sorry Zam, aku tak sengaja sebut nama dia.”

Lambat-lambat Farah bersuara. Bimbang sahabat baiknya itu terasa dengan kata-katanya sebentar tadi.

“Eleh, aku tak kisah pun. Tak payahlah kau minta maaf,” balas Faizam.

Dia segera menepis rasa sayu yang terus menerpa tatkala mendengar nama itu. Tangannya kembali laju memetik tali gitar sebelum suaranya berkumandang lagi. Menyanyi mengikut rentak irama gitar tanpa peduli keadaan sekeliling.

Farah pula hanya menarik nafas panjang. Rasa kesal masih menggigit hati.

MATA Johan masih tertancap di tempat sama. Sejak tadi matanya mengikut gerak-geri gadis itu yang seakan-akan tidak peduli kehadirannya di situ. Ruang telinganya masih terus ditusuk kata-kata Nisda biarpun semuanya hanya berlalu ditiup angin. Dia lebih senang mentafsir penglihatannya ketika ini. Memerhati tingkah laku sepasang kekasih yang dirasakan sepadan apabila bersama.

Cemburu Johan melihatkan kemesraan mereka walaupun dia tidak pernah pasti makna sebenar hubungan teruna dan dara itu. Seakan-akan bercinta tetapi nampak tidak begitu. Masih terjaga batas pergaulan antara kedua-duanya. Andai dikata sebaliknya seakan-akan mustahil pula memandangkan hubungan mereka begitu erat dan mesra. Membuatkan Johan terus-terusan dilanda bingung memikirkan keadaan itu.

“Han, awak dengar tak apa yang saya cakap ni?”

Pertanyaan Nisda menghambat lamunan Johan. Dia tersentak kecil.

“Apa Nisda?” soal Johan cepat-cepat.

“Jauh benar awak pergi ya sampai tak dengar apa yang saya cakap,” ujar Nisda, pura-pura merajuk.

Sedar, anak muda itu tidak memberi perhatian khusus buatnya. Hati gadisnya diterpa cemburu dan marah walaupun tidak terpamer di wajah.

“Maaflah Nis, leka saya tengok dia orang main sampai tak dengar apa awak cakap,” ujar Johan memberi alasan sambil tersengih.

Tidak tahu telah berbakul sumpah seranah dihambur Nisda dalam hati. Geram dengan perlakuan anak muda itu. Seakan-akan acuh tak acuh saja melayannya.

“Sepadan dia orang kan? Betul-betul macam pasangan kekasih,” ujar Nisda lagi.

Melihat kemesraan Farah dan Faizam, hati Nisda berbunga riang.

“Siapa?” soal Johan walaupun telah dapat mengagak sebenarnya.

“Siapa lagi kalau bukan Farah dan Faizam tulah. Bukan ke dari dari kecil lagi dia orang dah kenal? Kecil-kecil dulu bolehlah berkawan aje. Dah besar-besar macam ni tak mustahil mereka bercinta pulak. Maklumlah, dah kenal hati budi masing-masing. Ya tak Johan?” ujar Nisda, sengaja menimbulkan rasa sakit di hati Johan.

Tidak peduli anak muda itu sudah terkedu dengan kata-kata bersahajanya.

“Kalau saya jadi Faizam, dah lama saya masuk minta Farah. Yalah, apa pulak kata orang kalau tengok dia orang mesra macam tu. Sekurang-kurangnya kalau dah ada ikatan, orang lain tak boleh nak kata apa walaupun sekadar ikatan pertunangan,” ujar Nisda lagi.

Begitu lembut kata-kata itu namun luka di hati Johan semakin melebar.

“Awak tak suruh Faizam masuk minta Farah ke Johan? Farah tu kan sepupu awak. Nanti kalau jadi apa-apa, awak jugak yang tanggung malu nanti,” sambung Nisda.

Nyata dia masih ingin menyimbah api. Tahu ada rasa kecewa di hati anak muda itu ketika ini walaupun rasa itu tidak terlihat di wajah tenang Johan.

“Tu antara mereka Nis. Walaupun Farah tu sepupu saya tapi saya tak mahu dan takkan masuk campur dalam hal dia. Suka hati dialah nak buat apa pun,” rengus Johan lalu mengerling jam tangannya.

“Okeylah Nis, saya minta diri dulu. Dah nak masuk Maghrib ni. Saya balik asrama dulu,” pamit Johan lalu meninggalkan Nisda yang menyambut salamnya dalam nada puas.

Nisda yakin hati Johan terluka dengan kata-katanya. Memang itu yang diharapkannya selama ini. Hampir lima tahun mengenali Johan menjadikan dia cukup memahami hati Johan. Lelaki itu mencintai Farah dalam diam namun Johan tidak sedar.

Nisda sendiri turut menyimpan perasaan terhadap Johan. Kerana itu Nisda mahu cinta Johan buat Farah punah tanpa sempat bercambah. Dia perlu mencantasnya sebelum cinta itu tumbuh mekar. Bagi dia hanya rasa terkilan dan kecewa perlu ada di hati Johan. Terkilan gadis impian hak orang lain. Kecewa kerana impian hati berkecai.

Nisda mahu kedua-dua rasa itu sentiasa menyala di hati Johan sampai bila-bila terhadap Farah. Membakar terang seperti menyalanya api dendamnya buat gadis itu. Dendam yang tidak mampu dibuang sejak beberapa tahun lalu. Malah api itu semakin marak kini. Api dendam yang padanya tidak mungkin dapat dipadam hingga ke akhir hayat. Tidak sesekali!

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-3-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh