Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 21
BAB 21

“AMBOI, jauh berangan. Dah sampai rumah ke?”

Johan tersentak. Dipandang Iskandar yang sudah melabuhkan punggung di sisinya.

“Kau dah habis kemas barang ke?” tanya Iskandar lagi.

“Tinggal nak angkut balik ke rumah aje,” jawab Johan.

“Kau ingat siapa tadi? Nisda ya?” usik Iskandar sambil tersenyum nakal.

“Hisy kau ni. Kalau sehari tak sebut nama tu, agaknya tak lengkap hidup kau tu ya,” rengus Johan lalu menyandar tubuh di kepala katil.

“Aku bukan apa Han. Kau tu lama benar termenungnya. Macam sedih pun ada. Maklumlah, nanti kita dah tak tinggal kat sini. Tak bolehlah kau jumpa Nisda lagi lepas ni,” usik Iskandar lagi.

“Tak jumpa terus pun tak apa Is. Selamat sikit hidup aku. Tak payah telinga aku dengar cakap-cakap merepek kau orang tu lagi,” balas Johan cepat-cepat.

“Hei kau orang, Adib mana ya? Aku tak nampak pun dia dari tadi,” ujar Danny.

“Buat apa kau cari dia Danny?” soal Iskandar.

“Aku nak tanya dia sama ada dia nak lagi ke tak set geometri dia ni. Kalau aku buang, dia cari pulak nanti.”

“Kau letak aje atas meja dia. Nanti pandai-pandai dialah nak buat apa pun dengan benda tu,” sampuk Afiq yang turut mengemaskan barang-barangnya.

“Adib pergi mana sebenarnya? Dah petang-petang macam ni pun aku tak nampak batang hidung dia,” ujar Danial, hairan.

“Biasalah dia tu. Kalau sehari tak jumpa Anne, tak senang duduk dia,” jawab Nazrin.

Dia membaringkan tubuhnya di katil. Melepaskan lelah seketika.

“Untunglah kau Afiq, dapat bakal kakak ipar cantik macam Anne tu. Dahlah cantik, seksi pulak tu,” ujar Iskandar.

Dia bangun lalu membantu Danial menyusun buku-bukunya ke dalam kotak.

“Untung apanya. Kalau aku jadi Adib, mahu pening kepala aku dengan Anne tu,” celah Nazrin sebelum sempat Afiq bersuara.

“Apasal pulak?” soal Johan, ingin tahu.

“Mahu tak pening. Dapat awek macam tu punya seksi. Pergi mana pun, ada aje yang pandang. Kena pulak Anne tu jenis peramah dan manja orangnya. Lagilah tak senang duduk dibuatnya,” jawab Nazrin selamba.

“Tapi aku rasa bukan Anne yang akan jadi kakak ipar aku nanti,” ujar Afiq selamba.

Kata-kata itu membuatkan semua mata tertancap ke arahnya. Terkejut.

“Kenapa kau cakap macam tu?” tanya Iskandar cepat-cepat.

“Kalau kau orang nak tahu, sampai ke hari ni aku tak faham sebab apa Adib boleh jatuh cinta kat Anne. Nak kata sebab Anne cantik, Adib bukannya jenis lelaki yang pandang sangat semua tu. Kalau sebab Anne anak orang kaya, keluarga kami pun tak kurang. Malah lebih lagi daripada keluarga Anne. Entahlah,” jelas Afiq.

“Habis, apa kena mengena semua tu dengan kata-kata kau tadi?” soal Danial.

“Aku dapat rasakan yang Adib tak betul-betul cintakan Anne sebenarnya. Adib mungkin tertarik pada kecantikan Anne, tingkah laku dia atau apa aje tapi bukan rasa cinta macam yang dia fikirkan selama ni,” luah Afiq.

“Tapi kalau betul Adib tak cintakan Anne, kenapa dia masih nak bersama Anne sampai ke hari ni?” tanya Iskandar pula.

“Mungkin Adib sayang nak putuskan hubungan mereka. Yalah, dia dengan Anne kan dah tiga tahun bercinta. Takkanlah dia nak putuskan hubungan dia orang macam tu aje,” luah Johan, memberi pendapat.

“Huh, apa guna bercinta bertahun-tahun kalau tak ada jodoh. Dari buang masa lebih baik berkenalan sekejap lepas tu terus kahwin. Hati pun tak sakit, masa tak terbuang, duit pun tak habis belanja awek selalu,” ujar Nazrin.

“Tapi kenapa kau tak cakap semua ni pada Adib?” soal Johan semula.

“Masalahnya Han, aku tak fikir abang aku tu boleh terima semua ni. Yalah, dia kan tengah mabuk bercinta sekarang. Kalau aku cakap pun belum tentu dia nak percaya. Silap hari bulan dia kata aku tak suka Anne pulak.”

“Jadi kau nak buat apa sekarang ni?” soal Iskandar.

“Aku rasa, biarlah Adib dengan dunianya tu. Sampai masa nanti dia akan sedar yang dia sebenarnya tak cintakan Anne tapi orang lain. Waktu tu aku harap dia dan Anne masih boleh berkawan baik walaupun tak jadi suami isteri.”

“KAN bagus kita selalu keluar ramai-ramai macam ni. Baru seronok,” ujar Raymond lalu menyedut sedikit minumannya.

“Kau memanglah suka sangat keluar ramai-ramai macam ni. Senang nak cuci mata. Tambah-tambah kalau Gina ikut sekali. Iya tak Gina?” usik Jeslynn sambil menyiku lembut lengan Regina yang telah memerah wajahnya.

“Hisy kau ni.Tak pasal-pasal babitkan aku pulak,” balas Regina malu-malu.

“Kau jangan mengata Ray dan Gina. Kau pun sama aje. Suka ambil kesempatan macam ni nak jumpa James sampai tak tidur malam jadinya,” usik Asyikin.

Semua yang ada mengekek ketawa.

“Alah, tak kisahlah semua tu. Yang penting kita dapat berkumpul ramai-ramai dan harap-harapnya sampai bila-bila pun kita masih boleh macam ni,” sampuk Marya.

“Betul tu. Aku rasa kita masih boleh buat macam ni memandangkan kita semua akan belajar kat universiti yang sama nanti,” ujar Haiza pula.

“Kalau macam tu ada harapanlah Raymond dan James nak keluar dating selalu dengan Regina dan Jeslynn,” usik Farah pula.

Tawa mereka kembali meletus semula.

Sempat Farah mengerling sekilas Faizam di sisi. Sejak tadi mata anak muda itu hanya melekat pada Balkis yang duduk mengadapnya tanpa mempedulikan reaksi dingin Balkis.

Balkis pula langsung tidak senang dengan renungan itu. Sesekali terlepas jelingan tajamnya pada Faizam namun anak muda itu hanya berwajah selamba. Seolah-olah tidak terkutik dengan jelingan berupa amaran itu.

Farah pula hanya mampu melihat. Mengerti Faizam sering berkelakuan demikian setiap kali dia dan Balkis bersua muka. Merenung gadis itu tanpa segan.

“Kau pun jangan nak kata kat dia orang berdua ni Farah. Kau pun sama jugak. Kalau kita semua selalu berjumpa macam ni maknanya kau pun ada peluang nak dapat kakak ipar tak lama lagi,” ujar Laila.

Semua mata lalu berpaling ke arah Farah.

“Maksud kau?” tanya Farah.

Namun dia terus mengerti apabila terpandang Marina dan Irwan Putra yang hampir serentak menunduk sebelum berpaling ke arah lain.

“Ya tak ya kan? Lupa pulak aku pasal tu,” balas Farah sambil tersenyum lebar.

“Nampaknya ada harapanlah aku dapat kak ipar dalam masa terdekat ni. Iya tak bang Chik?” soal Farah.

Dia sengaja mengusik Irwan Putra yang semakin memerah wajah.

“Kalau dah macam tu keadaannya, memang sahlah kau dapat kakak ipar tak lama lagi Farah,” sakat Haiza juga pada kedua-duanya yang diam dan pemalu itu.

“Tapi aku harap kau orang tak kahwin sekarang ya. Biarlah sampai kita semua dapat ijazah dulu. Lagipun susah kalau kau orang kahwin sekarang,” giat Marya pula.

“Eh, apa pulak susahnya? Kalau dah sama-sama suka, kahwin ajelah,” ujar Asyikin, hairan.

“Mestilah susah. Nanti orang lain sibuk study, Irwan dengan Marina sibuk jaga anak,” balas Marya.

Tawa mereka kembali meletus.

Irwan Putra dan Marina hanya menggeleng lalu tertunduk malu. Semakin segan dengan usikan teman-teman.

“Hei Zam, kau kenapa? Sepanjang hari ni kau diam aje. Kau tak sihat ke?”

Pertanyaan Laila menyebabkan semua mata terarah pada Faizam pula.

“Tak adalah. Aku ok...ey aje,” jawab Faizam tergagap-gagap.

Terkejut sebenarnya dengan soalan tiba-tiba itu.

“Iya ke okey? Semacam aje aku tengok kau. Selalunya mulut laser kau tu bukan main bising. Macam bertih kena goreng. Tup-tup hari ni kau diam aje. Apa kau tertelan batu ke sebelum ke sini tadi?” ujar Marya mengenakan anak muda itu.

Ketawa masing-masing kembali meletus.

Faizam hanya membuat muka kelat. Dia masih membiarkan matanya meneliti wajah Balkis yang telah berkali-kali merengus halus.

“Tak payah kau buang masa bercakap dengan Faizam tu Marya. Otak dia tengah mereng tu sekarang. Buat habis air liur kau aje cakap dengan dia. Ni aku nak tanya, kau orang dah buat apa-apa persediaan untuk ke universiti nanti?” soal Farah, sengaja menukar topik.

Tahu Faizam berada di awang-awangan ketika ini. Tidak perlu diberitahu, melihat tingkah laku terpinga-pinga Faizam pun sudah cukup menjadikan Farah faham keadaan sahabat baiknya itu.

“Persediaan apanya Farah. Sedia otak ajelah nak bawa ke sana pun. Kalau nak beli barang rasanya taklah kut sebab barang-barang kita kat sekolah tu pun masih boleh digunakan lagi,” balas Asyikin sebelum dijawab orang lain.

Masing-masing mula memberi pendapat dan cadangan. Laila yang duduk di sisi Balkis turut becok memberi pendapat. Sesekali ekor matanya melilau ke sekeliling restoran terbuka tempat mereka berada sekarang. Dia baru mahu mengalihkan perhatian apabila terpandang sepasang kekasih di satu sudut restoran. Adib dan Puteri Anne. Segera Laila berpaling ke arah lain tatkala matanya bertembung dengan pandangan Adib. Tidak selesa dengan renungan anak muda itu. Tajam semacam.

Laila turut bergegas bangun meninggalkan tempat itu apabila mereka yang lain mula menapak keluar. Tidak peduli pada Adib yang dalam diam sudah tersenyum sendiri. Geli hati melihat tingkah laku gadis itu.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-21-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh