Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 38

BAB 38

“ABANG Azrai ni, tak habis-habis nak bergurau. Kalau bergurau pasal lain tak apalah jugak. Ini pasal kahwin pulak,” omel Julia sambil tersenyum.

Dia mengeleng beberapa kali.

“Ada ke patut, aku yang masih muda belia ni diajaknya kahwin? Sekali-sekala tak apalah. Ini dah selalu dia hantar e-mel sama. Buat sakit perut aku aje gelakkan dia,” omel Julia lagi.

Dia menekan butang komputer riba di depannya setelah menaip sesuatu di situ. Membalas e-mel yang dihantar Azrai padanya.

Tidak lama Julia kembali menelentang tubuh ke tilam. Matanya dipejam celik beberapa kali. Sejak awal malam dia mengadap komputer. Membaca dan membalas setiap e-mel yang dihantar padanya. Salah satunya daripada Azrai.

Sahabat baik Zarif itu tidak pernah lupa menghantar e-mel saban minggu. Ada saja berita atau perkara mahu disampaikan walaupun Julia jarang-jarang dapat membalas. Membaca e-mel lelaki itu mengingatkan Julia pada gurauan Azrai yang memintanya menjadi isteri lelaki itu. Telah beberapa kali lelaki itu meluahkan gurauan sama setiap kali

Julia menyuruhnya berkahwin. Julia sendiri tidak pernah menganggap serius gurauan itu walaupun adakala lelaki itu seperti bersungguh-sungguh.

Pada Julia masih terlalu awal untuk dia berfikir tentang perkahwinan. Masih banyak perkara yang perlu dilakukannya di usia awal dua puluhan itu. Dia sendiri hakikatnya belum bersedia membawa diri ke dunia perkahwinan. Mengenangkan kebaikan Azrai juga menjadikannya tidak pernah bermimpi berada di sisi lelaki itu. Jauh sekali berangan untuk hidup bersama sepanjang hayat.

Huh, jangan kata nak kahwin, bercinta pun aku tak pernah. Inikan pulak nak fikir bab-bab macam tu. Jauh lagilah, bisik Julia dalam hati.

Senyuman Julia melebar apabila teringatkan seseorang yang akhir-akhir ini menganggu fikirannya. Hingga dia sering kali hilang dalam khayalan sendiri.

Sedar tidak sedar sudah setahun Julia di London. Selama itu juga dia mengenali Faizam walaupu tidak sepenuhnya. Benar kata Farah suatu ketika dulu. Faizam jauh dari apa yang difikirkannya selama ini. Lelaki itu begitu baik dalam setiap segi. Tidak pernah Julia melihatnya meninggalkan suruhan agama. Tutur katanya juga sopan dan penuh nasihat walaupun sesekali menyengat. Dia tidak jemu-jemu mengajak Julia menunaikan solat apabila tiba waktunya.

Adakala Julia malu sendiri. Dengan keadaan diri yang begitu naif, dia sebenarnya telah jauh meninggalkan Islam. Dia terlalu mengikut hati mudanya hingga mengabaikan sempadan yang tidak sepatutnya dilangkau. Bukan silap sesiapa semua itu berlaku melainkan dia sendiri.

Keluarga Julia terutama Zarif sendiri begitu menekankan agama dalam kehidupan. Hanya dia yang tidak pernah mahu mendengar kata. Sering mengambil kesempatan atas limpahan kasih sayang orang tuanya dalam mengikut telunjuk nafsunya. Hingga membentuk dia menjadi bongkak dan angkuh dengan apa yang ada.

Namun itu dulu. Tidak lagi sekarang. Dalam setahun ini, telah banyak perubahan berlaku pada Julia. Perubahan dalam hampir setiap sudut kehidupannya. Tiada lagi pakaian jarang lagi ketat membungkus tubuh. Jauh sekali seksi dan menampakkan bentuk badan. Warna rambutnya juga dibiar kembali ke warna asal. Hitam berkilat walaupun masih tiada tudung yang membalut.

Tutur kata Julia juga semakin sopan dan menyenangkan telinga yang mendengar. Dia juga telah pandai meminta maaf dan merendah diri. Tiada istilah sombong mahupun angkuh wujud dalam dirinya lagi. Semuanya gara-gara Faizam yang digelar budak kampung suatu masa dulu. Pergaulan erat bersama lelaki itu menjadikan Julia berubah tingkah laku tanpa dia sendiri menyedarinya. Sedikit sebanyak sikap Faizam telah mempengaruhinya.

Kini Julia sedar. Ada rasa cinta muncul di hatinya. Rasa cinta khas buat Faizam yang pernah dibencinya suatu ketika dulu. Walaupun Faizam mahupun mereka yang lain tidak pernah tahu. Namun Julia menyimpan hasrat untuk meluahkannya pada lelaki itu suatu masa yang dirasakan sesuai nanti.

Tanpa sedar Julia tersenyum lagi. Bahagia dengan khayalan indahnya malam itu.

FAIZAM tersenyum. Buku diletak semula ke dadanya. Malam telah lama bertandang namun matanya tetap segar-bugar. Tidak seperti mereka yang lain. Telah lama dibuai mimpi. Tidak terasa anjakan waktu yang semakin mengengsot pergi.

Sejak tadi Faizam menyandar tubuh di kepala katil. Fikirannya padat dengan bayangan Balkis. Biar di mana pun pandangannya berlabuh, hanya wajah Balkis menghiasi. Sungguh. Dia tidak dapat menipu hati sendiri. Dia mencintai Balkis. Cintanya begitu meluap. Memenuhi setiap inci ruang hati. Lalu kenangan yang baru dilaluinya beberapa jam lalu kembali menerpa ke layar mata.

Tidak disangka khayalannya menjadi kenyataan malam ini. Hampir-hampir tubuhnya tumbang tatkala terlihat kelibat Balkis bersama Farah menantinya di tangga rumah sewa mereka. Menyambut kedatangannya dengan senyuman manis terukir di bibir. Dia yang terkaku dengan keadaan itu hanya mampu melongo. Tidak percaya dengan apa yang dilihat mata ketika itu.Sedang debar di hati hanya ALLAH saja yang tahu hebat getarannya.

Kelu lidah Faizam untuk bersuara sepanjang bersama. Sepatah katanya bagaikan emas. Terlalu berharga untuk dibuang. Mata Faizam memandang tepat skrin panggung yang terbentang di depan padahal tidak sesaat pun hati dan fikirannya berada di situ. Segala perasaan bercampur aduk. Gembira, suka, malu, segan teradun sekali. Membentuk getaran hebat di hatinya.

Sementara Balkis di sisi hanya bersikap selamba. Seakan -akan tiada apa berlaku antara mereka. Farah pula begitu ralit menonton hingga tidak peduli dengan keadaan sekeliling. Seolah-olah dia tidak wujud antara mereka.

Paling Faizam tidak dapat lupakan saat Farah meninggalkan dia dan Balkis berdua-duaan di restoran setelah selesai menonton wayang. Alasannya dia perlu menemui Irwan Putra yang tiba-tiba menelefonnya ketika itu.

Sempat Farah berpesan supaya menghantar Balkis pulang sebelum berlalu. Mengigil seketika tubuh Faizam walaupun dia cuba untuk tidak memperlihatkannya. Begitu gementar hingga makanan yang ditelan tidak memberi sebarang rasa.

Namun perlahan-lahan rasa gugup itu hilang tatkala Balkis memulakan bicara. Ternyata Balkis tidak sedingin yang difikirkan. Gadis itu begitu peramah dan mesra melayani perbualannya walaupun wajah serius itu jarang sekali mengukirkan senyuman. Satu sikap Balkis yang cukup dimakluminya sejak dulu. Sesekali gadis itu menunduk tatkala bola mata mereka bersabung. Menambah debaran hati Faizam yang memandang. Tertawan dengan tingkah laku spontan gadis itu.

Diam-diam Faizam sedar. Cintanya terhadap Balkis semakin mendalam kini. Hampir setiap masa istilah ‘aku cinta padamu’ berkumandang di hati. Sayangnya istilah keramat itu hanya mampu berterbangan di seluruh urat sarafnya. Tidak sesekali pernah terluah dari mulut. Jauh sekali sampai ke pendengaran Balkis.

Bibirnya ingin meluahkan namun akalnya melarang. Bimbang andai perhubungan yang baru berbunga kuncup semula. Lalu menutup peluangnya untuk mendapat gadis impian yang baru diketahui masih belum berpunya. Sangkanya lelaki yang ditemuinya bersama Balkis di bangunan KOMTAR suatu masa dulu adalah teman lelakinya.

Tidak terlintas di hatinya lelaki itu adalah Anaz, abang susuan Balkis lantaran mereka tidak pernah bersua muka sebelum itu. Mujurlah Faizam tergerak hati untuk bertanya pada Balkis yang menjawab tenang segala pertanyaannya.

Faizam menarik nafas semula. Beberapa kali sementara mindanya ligat berputar. Dia perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan Balkis. Sesuatu yang mampu mengikat mereka selamanya. Dia mahu semuanya berlaku di jalan sepatutnya tanpa ada sebarang paksaan. Dia mahu Balkis menerima dia seadanya. Bukan kerana kedudukan atau kekayaan tetapi kerana dirinya sendiri. Dia tidak kisah malah tidak peduli andai Balkis bukan siapa-siapa. Asalkan gadis itu dapat menerima dirinya, itu cukup memadai baginya.

“JADI macam mana? Kita nak buat apa sekarang?” soal Julia sambil memandang Faizam.

Faizam membalas tenang pandangan Julia. Sesekali matanya jatuh pada helaian kertas di depan mereka. Sejak sejam lalu mereka berada di laman kampus bagi membincangkan tugasan terbaru yang diterima daripada pensyarah tengah hari tadi.

“Aku rasa kita buat aje macam yang kita bincangkan tadi,” jawab Faizam setelah berfikir beberapa ketika.

“Maksud kau, kita ke Belanda?”

Faizam mengangguk kecil tanpa menyahut.

“Tapi macam mana kita nak pergi? Kita bukannya ada kenderaan nak ke sana.”

“Tentang tu kau jangan risau. Aku boleh sewa kereta nanti. Tak pun kita naik bas aje sepanjang kat sana. Lagipun tak lama lagi cuti semester akan bermula. Jadi tak ada masalah rasanya kalau kita siapkan assignment ni sepanjang cuti dua minggu tu nanti. Assignment ni pun hanya akan dihantar selepas itu.”

Faizam mengemas semula segala peralatan dan buku yang digunakan sebelum menyumbat masuk ke dalam beg sandangnya.

Julia mengangguk setuju. Dia turut mengemas segala barangannya sebelum melepaskan keluhan kecil. Sekaligus menjemput pandangan Faizam ke wajahnya.

“Kau kenapa Julia? Tiba-tiba aje mengeluh? Kau penat ya?”

Pertanyaan itu menyentak Julia. Pantas dia menggeleng lalu tersenyum kecil.

“Taklah. Aku cuma teringatkan keluarga aku aje. Dah setahun aku tak balik ke Australia. Rindu pulak pada dia orang walaupun dia orang selalu hubungi aku.”

“Kalau macam tu cuti semester nanti kau baliklah kejap,” cadang Faizam.

“Macam mana nak balik, cuti semester tu pendek sangat. Dahlah kita baru aje bercadang nak ke Belanda nanti. Lagilah tak sempat nak balik,” balas Julia cepat-cepat.

“Alah, apa pulak tak sempatnya. Kita bukannya pergi berminggu-minggu ke Belanda tu. Dua tiga hari aje. Balik dari Belanda kau baliklah ke Australia kejap. Tak dapat seminggu, tiga empat hari pun dah kira okeylah tu.”

Julia terdiam seketika. Memikirkan cadangan Faizam.

“Zam, kau nak ikut aku balik Australia tak?” pelawa Julia tiba-tiba.

“Ikut kau balik Australia? Buat apa?” soal Faizam sambil berkerut dahi.

“Alah, saja jalan-jalan makan angin kat sana. Bolehlah jugak kau tengok negara orang. Pasal tambang flight kau tak payah risau. Aku bayarkan semuanya. Anggap aje semua tu hadiah aku pada kau,” ujar Julia lagi tanpa menyedari kedudukan sebenar lelaki itu.

Lalu membuatkan Faizam tersenyum lebar. Sedikit sebanyak kata-kata ikhlas itu menjentik rasa lucu di hati Faizam. Terasa dirinya begitu daif di mata gadis itu walaupun dia sedar yang Julia tidak pernah mengetahui latar belakangnya. Bahkan hampir kesemua kenalannya berkeadaan serupa. Tidak mengetahui latar sebenar kehidupannya. Hanya mereka yang benar-benar rapat sahaja yang tahu. Itu pun jika dia membuka mulut. Dia sendiri hakikatnya tidak berminat mencanangnya pada semua orang. Dia lebih selesa hidup dalam keadaan sederhana.

“Tak apalah Julia, terima kasih atas pelawaan kau tu. Buat masa sekarang aku sibuk dengan kerja. Lagipun aku dah selalu ke sana. Bosan rasanya kalau selalu pergi ke tempat yang sama aje.”

Penolakan lembutnya dibalas dengan cebikan Julia.

“Huh, kau ni Zam. Cakap macamlah kau dah biasa dengan Australia tu. Setakat tengok dalam televisyen dan internet tu, apalah sangat. Jual mahal pulak,” cemuh Julia sambil menjeling Faizam yang kembali menguntum senyuman.

“Kau cakaplah apa yang kau suka pun Julia, aku tak kisah,” balas Faizam lembut.

Dia sebenarnya sudah terlalu kerap menjelajah Australia. Hampir saban tahun dia ke sana. Bertemu dengan abang kandungnya yang telah lama bermastautin di negara itu walaupun hanya untuk beberapa hari. Kerana itu dia tidak berminat untuk menerima jemputan Julia.

Julia hanya merengus kecil. Tidak berkecil hati dengan penolakan Faizam. Sedar dia tidak berhak memaksa. Lalu dia tersenyum semula. Menyenangkan hati Faizam yang melihat.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2014/05/bab-38-tak-sangka-aku.html

Previous: BAB 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh