Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 35
BAB 35

“FARAH!”

Farah tersenyum mendapatkan Julia. Mereka berdakapan seketika.

“Ya ALLAH Julie, surprise apa yang awak buat ni hah? Terkejut saya bila baca emel yang awak hantar minggu lepas. Betul ke awak pun study kat sini?” ujar Farah.

“Betullah Farah, takkan saya nak main-main pulak,” balas Julia ceria.

“Jadi, macam mana? Seronok tak dapat tinggal kat London?” tanya Julia.

“Dah hampir sebulan saya kat sini. Rasanya okeylah. Cuma tulah. Saya belum biasa dengan suasana dan cuaca kat sini,” jawab Farah.

“Oh ya Julie. Awak ambil course apa kat universiti?” soal Farah semula.

“Engineering,” jawab Julia lalu menarik bagasinya.

“Oo... kiranya awak ambil kursus sama dengan abang Irwan dan Faizamlah.”

“Oh, iya ke? Hmm... nampaknya terpaksalah saya jumpa budak kampung bodoh tu lagi ya,” keluh Julia, merujuk kepada Faizam.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Lupa saya nak tanya. Awak datang dengan siapa ke airport ni? Seorang aje ke?” soal Julia semula.

“Eh, taklah. Saya mana berani nak keluar sorang-sorang ke sini. Dahlah tak biasa, risau sesat pulak. Saya datang dengan Faizam. Dia tunggu kita kat luar rasanya.”

Farah sudah memanjang leher. Mencari kelibat Faizam yang ditinggalkan di tempat letak kereta sebentar tadi.

“What? You come with him? Oh my God! Hilang terus mood saya bila awak sebut nama budak kampung tu,” rungut Julia.

Balik-balik muka budak bodoh tu jugak yang aku kena tengok. Tak ada lelaki lain lagi ke yang boleh jadi kawan Farah ni? Hati Julia merungut sendiri.

“Kenapa awak bawa dia Farah? Kenapa tak ajak abang awak atau siapa-siapa yang lain selain dari dia?” soal Julia, tidak senang dengan keadaan itu.

“Kenapa apanya pulak? Apa kau fikir aku nak biarkan Farah datang sorang-sorang ke airport ni semata-mata nak jemput puntianak macam kau ni? Huh, kirim salam!” sergah Faizam yang tiba-tiba muncul di situ tanpa sempat Farah membalas.

Seperti Julia wajahnya turut terukir riak masam.

“Excuse me, kau panggil aku apa? Cuba ulang sekali lagi?” soal Julia sambil mencekak pinggang.

“Kau orang berdua tolonglah. Jangan nak buat perangai kat sini pulak. Malulah semua orang tengok kita,” sampuk Farah cepat-cepat.

Cuba menghalau ketegangan antara kedua-duanya yang mula membara.

“Bukan saya yang cari pasal Farah but your boyfriend ni, menyakitkan hati orang aje kerjanya. Tak tahu nak beradab langsung,” marah Julia sambil mengunjuk jari telunjuknya ke wajah lelaki itu.

Faizam segera menepis.

“Hei puntianak, bukan aku tak beradab tahu tapi kau tu yang kurang ajar! Bongkak tak tentu hala!” bentak Faizam.

“Dahlah tu kau orang. Jangan nak bertekak lagi. Jom kita balik sekarang,” pujuk Farah.

Dia menarik tangan Julia agar melangkah bersamanya.

“Zam, kau tolong angkat bagasi Julie. Bawa ke kereta ya,” arah Farah.

“Huh, sendiri punya barang, sendiri angkatlah!” jawab Faizam selamba lalu meninggalkan kedua-dua gadis itu di belakang.

Julia baru ingin membalas kata namun Farah segera memintas.

“Kau ni Zam, tu pun nak berkira ke? Gentlemanlah sikit. Dah,dah. Kau pergi ambil kereta sekarang. Parking aje kat depan pintu tu. Takkan kau nak biar aku dengan Julie heret semua beg ni ke tempat parking kereta pulak,” bebel Farah.

Tidak memberi peluang kedua-duanya untuk terus berlawan kata.

Faizam hanya mengangguk sebelum segera menghilang dari situ.

“RASA tak percaya aje saya dan awak kat Massachusetts sekarang. Macam bermimpi pun ada,” kata Nisda.

Dia melontar pandangan pada sekumpulan remaja yang ada tidak jauh dari tempatnya dan Johan berada. Ralit anak-anak muda berkulit putih merah itu bermain bola tampar di padang itu.

Johan tidak menyahut. Dia sebenarnya sibuk mencerna ingatannya ketika ini. Melihat sekelompok anak-anak muda di depannya mengingatkan dia pada Farah. Dia selalu menjadi penonton setia setiap kali Farah menjalani latihan bola tampar ketika di zaman sekolah mereka dulu. Tetapi tidak lagi kini.

Farah telah pergi dari hidupnya. Berada jauh di United Kingdom. Johan terkilan dengan keadaan itu. Terkilan kerana tidak berpeluang bertemu empat mata dengan Farah sebelum ke Amerika. Namun dia begitu bersyukur atas kesudian Farah menghantarnya di lapangan terbang walaupun hanya dari jauh.

Malah al-Quran berkulit kayu pemberian Farah menjadi hadiah yang paling disayangi. Saban hari dia membaca kitab suci itu setelah menunaikan Solat Isyak. Menjadikan ingatannya terhadap gadis itu terus utuh hingga kini.

Tepukan lembut di bahu menyedarkan Johan daripada lamunan.

“Jauhnya pergi. Ingat siapa?’ soal Nisda sambil menatap Johan.

“Tak ada siapa,” jawab Johan, menggeleng sambil tersenyum hambar.

Matanya kembali diarah ke padang. Bayangan Farah lenyap di situ.

“Iya ke tak ada siapa? Bukan main jauh awak pergi, takkanlah tak ada siapa pun yang awak fikirkan.”

Nisda cemburu namun dia masih mampu mengawalnya.

“Kalau ada sekalipun Nis, belum tentu orang tu ingat saya. Entah-entah dah lupa terus.”

Suara Johan kedengaran kecewa walaupun tidak diluahkan secara terus.

“Boleh saya tahu siapa yang awak fikirkan?” soal Nisda walaupun telah dapat mengagak siapa orang yang menganggu minda lelaki itu.

Daripada tingkah laku Faizam saja, Nisda telah dapat membaca. Namun sengaja dia bertanya. Mahukan kepastian.

“Biarlah siapa pun dia Nis, yang penting sekarang kita dah ada kat Massachusetts dan menjadi tugas kita untuk belajar rajin-rajin mulai hari ni,” ujar Johan, tidak mahu memanjangkan cerita.

“Jadi, macam mana dengan universiti awak? Seronok belajar kat situ?” soal Johan semula.

“Well, setakat ni semuanya okey. Seronok belajar kat situ walaupun taklah segah universiti awak,” seloroh Nisda, cuba menutup rasa kecewanya.

“Apalah yang gahnya dapat belajar kat universiti Harvard tu Nis. Lagi tertekan adalah. Nak kena belajar rajin-rajin bagi dapat ijazah kelas pertama. Kalau tak malulah nanti. Nama aje masuk universiti hebat tapi dapat ijazah tak segah universitinya.”

“Bertuah awak. Dahlah dapat belajar kat universiti antara terbaik di dunia, ada pulak kawan-kawan baik awak kat situ. Betullah beruntung.”

“Awak pun apa kurang Nis. Walaupun kita berlainan universiti tapi masih kat negara yang sama. Jadi, tak ada masalah kalau nak berjumpa selalu. Tapi tengok keadaan jugaklah. Kalau saya free bolehlah saya jumpa awak. Kalau tak, good byeajelah ya,” seloroh Johan dengan menguntum senyuman manis.

“Hmm... nampaknya kawan-kawan awak dah habis berjoging. Awak aje yang masih duduk kat sini dari tadi,” ujar Nisda sebaik terpandang teman-teman Johan yang baru selesai berjoging di padang itu.

“Apa nak buat Nis. Awak susah payah datang ke sini semata-mata nak jumpa saya. Takkanlah saya nak biarkan awak duduk sini sorang-sorang pulak,” balas Johan.

Dia baru selesai membuat dua pusingan larian di padang itu tatkala ternampak kelibat Nisda di situ.

“Hmm... tak apalah Nis. Saya minta diri dulu ya. Dah petang ni. Kejap lagi dah nak Maghrib. Awak pun tentu lewat sampai ke rumah sewa nanti,” sambung Johan.

Dia terus bangun lalu meregangkan tubuh beberapa kali.

“Jadi, bila kita boleh jumpa lagi?” soal Nisda sambil menatap lama wajah Johan.

Ada rasa sayu mengiringi suaranya walaupun tidak dapat ditangkap Johan. Sayu kerana perlu berpisah dengan lelaki kesayangannya.

“Insya-ALLAH, kalau ada masa bolehlah kita jumpa lagi nanti. Saya pun teringin jugak nak tengok universiti awak tu. Tapi bukan sekaranglah. Nanti-nanti bila free, sampai jugak saya ke situ.”

Johan memberi salam sebelum bergegas mendapatkan teman-temannya yang berada tidak jauh dari situ.

Nisda tersenyum bahagia. Puas rasanya dapat bertentang mata dengan lelaki itu. Menjadikan rindunya terhadap Johan terlerai sedikit. Dalam hati dia berazam untuk mendapatkan Johan walau dengan apa cara sekalipun. Itu ikrarnya.

“ZAM, kita singgah pasar raya kejap sebelum balik rumah,” pinta Irwan Putra sebaik memijak anak tangga terakhir masjid.

Dia dan Faizam baru selesai mengerjakan Solat Isyak di masjid berdekatan rumah sewa mereka. Setiap malam mereka akan ke sana jika punya kelapangan.

Malas menyahut, Faizam hanya mengangguk lalu menapak.

Rasa dingin menyelubungi suasana kota London yang mulai sepi seawal malam. Hanya kedengaran bunyi kenderaan sekali-sekala melewati tempat itu selain beberapa kedai di tepi jalan yang masih menjalankan operasinya.

Mereka baru tiba di depan pasar raya tatkala Faizam terpandang seseorang di seberang jalan. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan, matanya masih dapat menangkap gerak-geri tubuh itu yang bersendirian ketika ini.

Julia? Apa dia buat kat luar malam-malam macam ni? bisik Faizam dalam hati.

Tidak senang hati melihat keadaan itu Faizam segera menoleh.

“Wan, kau balik dulu nanti. Aku ada hal sikit nak buat sekarang,” suruh Faizam.

Dia bergegas meninggalkan Irwan Putra yang terpinga-pinga melihat tingkah lakunya.

Cermat Faizam menapak tanpa sebarang bunyi. Mengekori Julia yang hanya beberapa meter di depan. Tidak perasan dengan kehadirannya di belakang.

Laju kaki Julia mengatur langkah menuju ke satu arah. Tiba di satu lorong dia membelok. Ditolak sebuah pintu gelap yang tertutup rapat.

Faizam turut serta. Sempat matanya mengerling papan tanda pintu itu. Heaven Club? Faizam kaget. Dia terus melangkah masuk.

Suasana hingar-bingar kelab memaksa Faizam menekup telinga seketika. Liar matanya mencari kelibat Julia. Gadis itu hilang di celah-celah manusia yang terkinja-kinja memenuhi ruang kelab. Menari mengikut rentak muzik yang terpasang kuat.

Faizam kembali menapak tatkala terlihat Julia di satu sudut. Ada sesuatu terselit di celah bibir gadis itu. Menghasilkan kepulan asap putih di sekitarnya.

Julia merokok? Faizam terkedu sesaat. Dia bergegas mendapatkan Julia. Nyata Julia terkejut dengan kehadirannya.

“Jom balik Julia,” ajak Faizam dengan nada tinggi.

Cuba melawan kebisingan suasana.

Rokok di celah bibir Julia ditarik Faizam lalu ditenyeh ke bekas. Kemudian ditarik kasar tangan gadis itu.

Julia terus menghentak keras.

“Kau ni kenapa? Tiba-tiba aje tarik aku. Hei, lepaslah budak kampung!” jerit Julia.

Dia tidak peduli dengan pandangan sekeliling yang majoritinya berbangsa asing itu.

“Ikut aku balik Julia. Tempat ni tak elok untuk kau,” balas Faizam tegas.

Diheret Julia tanpa peduli gadis itu terus-terusan meronta. Memaksa gadis itu mengikutnya sebelum tubuh itu ditolak ke bahu jalan. Agak jauh dari tempat tadi.

Marah dengan keadaan itu, Julia menghentak kuat tangan Faizam. Pegangan Faizam di lengannya terlepas serta-merta.

“Hei budak kampung! Suka hati akulah nak buat apa pun. Yang kau menyibuk sangat hal aku ni kenapa?” tengking Julia sekuat hati.

Dia mencekak pinggang. Turun naik dadanya. Marah pada Faizam yang hanya memberi reaksi tenang.

“Kau tu perempuan Julia. Seorang perempuan yang baik takkan menjejakkan kaki ke tempat yang tak elok macam tu,” ujar Faizam lembut walaupun hatinya mula diserbu marah ketika ini.

Marah melihatkan sikap kurang ajar dan biadap Julia.

“Kau tu siapa yang nak tentukan tempat tu elok ke tak hah? Suka hati akulah nak ke mana pun. Kalau mak dan ayah aku sendiri tak pernah peduli dengan apa yang aku buat, kau nak sibuk pulak kenapa? Aku masuk sana pun guna harta akulah, bukannya aku minta duit kau yang papa kedana tu!” bentak Julia.

Faizam pula mula merengus. Benci dengan kata-kata angkuh gadis itu.

“Kau tu orang Melayu Julia, Islam pulak tu. Kalau aku yang lelaki pun tak pernah terfikir nak masuk ke tempat macam tu, apatah lagi kau yang sememangnya perempuan. Tak elok kau libatkan diri dalam perkara-perkara macam tu,” nasihat Faizam lagi.

Nada suaranya masih kedengaran lembut walaupun ada ketegasan dalam kata-katanya. Dia cuba mengekang kemarahan yang menunggu masa untuk meletus.

“Hei, kau tu siapa nak tentukan apa yang patut aku buat apa yang tak? Sedarlah diri tu sikit. Dasar budak kampung, bodoh serba-serbi. Nilah bangsa Melayu. Terlalu kolot sampai tak tahu nak nikmati kemajuan dunia langsung.Hei bodoh, budak kampung macam kau ni memang jenis manusia yang tak ikut peredaran zaman tahu. Sama taraf aje dengan manusia zaman purba. Terperap kat kampung kotor tu macam katak di bawah tempurung. Langsung tak tahu nak...”

Pang! Satu tamparan singgah di pipi sekaligus menghentikan makian Julia. Cukup memijarkan kulit wajah Julia yang terkejut dengan tindakan refleks Faizam.

Dipandang Faizam yang telah merah padam wajahnya.

“Apa kau cakap Julia? Aku ni kolot? Hidup macam di zaman purba? Kalau kau rasa aku macam tu, yes I am!” tengking Faizam sekuat hati.

Mengecutkan hati Julia yang tergamam dengan tengkingan tiba-tiba itu.

“Aku kolot sebab aku tak tahu nak bersikap liar macam kau. Aku kolot sebab aku tak pernah masuk tempat-tempat jijik macam tu. Aku kolot sebab aku sendiri tak mahu buat semua tu. Kau tahu sebab apa? Sebabnya aku rela berfikiran kolot dari berfikiran moden macam kau tu. Sampai tak tahu nak bezakan baik buruk. Sampai lupa hukum-hakam agama. Sampai kurang ajar dan biadap macam ni sekali!” jerkah Faizam, melepaskan marah yang telah naik ke urat kepala.

“Apa kau fikir dengan pakai pakaian mengalahkan pelacur ni dah kira moden? Hei Julia! Dengan pakaian yang kau yang macam orang telanjang tu dan sikap kau yang terlebih biadap ni, kau tu dah tak ubah macam perempuan jalang kat jalanan tahu tak?” bentak Faizam lagi.

Kasar jari telunjuk Faizam menunjal dahi Julia yang telah tertunduk kaku. Terkedu dengan sergahan lelaki itu.

“Kau bangga sangat dengan harta kekayaan yang kau ada kan? Hah, beritahu aku. Dari mana kau dapat semua harta benda tu? Dari mana kalau bukan dari keluarga kau yang siang malam bertungkus lumus memerah keringat demi melihat anak tak guna macam kau ni hidup senang-lenang. Sedangkan setiap saat anak derhaka dia orang ni menghabiskan segala harta yang ada demi memuaskan nafsu sendiri.

Huh, konon! Kau bangga dengan kekayaan kau? Hei Julia, kekayaan apa yang kau ada sebenarnya hah? Cuba kau beritahu aku. Harta apa yang kau ada sampai kau bongkak macam ni hah? Harta benda yang melimpah ruah? Semua tu milik keluarga kau. Harta ilmu? Ilmu kebendanya yang kau ada? Kalau betul kau ni jenis manusia berilmu, kau takkan pergi ke tempat-tempat jijik macam tu.

Harga diri? Maruah? Kau masih ada ke semua tu kalau aku tak heret kau keluar dari situ tadi? Ke memang kau dah tak ada semua tu sebelum ke situ lagi? Kalau mahkota yang paling berharga bagi perempuan tu pun kau tak boleh jaga, apa lagi yang kau ada untuk dibanggakan hah? Beritahulah!” tengking Faizam lagi.

Dia benar-benar menyinga. Diusap rambutnya beberapa kali sambil merengus keras.

“Selama ini, Farah selalu cerita perkara-perkara baik tentang kau. Walau pun aku payah nak percaya tapi aku tetap dengar demi menjaga hati Farah. Dan malam ni, kau dah buktikan yang segala tanggapan buruk aku terhadap kau selama ni betul belaka. Kau memang perempuan yang tak berguna Julia.

Aku tak marah bila kau kata aku kolot tapi kesal sebenarnya. Terlalu kesal kerana perempuan sebaik Farah mendapat kawan sehina kau. Aku kesal kerana membantu manusia yang tak pernah tahu bersyukur dengan apa yang dia miliki. Aku kesal kerana bantu kau Julia. Aku kesal!” tengking Faizam keras sambil memandang sekilas Julia yang telah jatuh terjelepuk di bahu jalan.

Julia hanya menunduk tanpa sepatah kata. Terkedu sungguh dia dengan luahan berbisa lelaki itu.

“Kau dengar sini baik-baik Julia. Selama ni aku tak kisah malah aku tak pernah halang Farah berkawan dengan sesiapa pun yang dia suka. Tapi tidak kali ni. Aku tak mahu kau rosakkan Farah macam kau rosakkan diri kau. Mungkin kau kaya dengan harta benda tapi kau sebenarnya tak sedar yang kau tu miskin.

Miskin adab sopan, miskin adat resam, miskin agama. Ingatlah Julia, tak ada manusia yang lebih hina dalam dunia ni melainkan mereka yang tak ada pegangan agama. Tak guna kau berharta setinggi gunung pun kalau agama sebesar biji sawi pun kau tak ada,” ujar Faizam lagi sebelum terus meninggalkan tempat itu.

Tidak menoleh walaupun sekali pada Julia yang masih tertunduk. Ada air mata kesal melimpah di pipi Julia sejak tadi. Gadis itu menangis!

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-35-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 34
Next: BAB 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh