Home Novel Cinta TAK SANGKA AKU
BAB 30
BAB 30

HAMPIR tiga hari Julia di kampung. Bersama Farah menyelami kehidupan di tempat gadis itu dibesarkan. Selama itu juga dia tidak putus-putus bertekak dengan Faizam. Farah selaku orang tengah terpaksa meleraikannya agar tidak terus berlarutan.

Namun usaha Farah sia-sia apabila pertengkaran demi pertengkaran terus berlaku walaupun semuanya berlaku di luar pengetahuan Haji Rahman dan Hajah Aminah.

“Aduh, sakitnya kaki saya Farah,” keluh Julia.

Petang tadi dia mengikut Farah ke ladang jagung keluarga angkat gadis itu. Tanpa sengaja dia tergelincir jatuh ke dalam parit kecil di tepi ladang ketika berlari-lari anak. Terpaksalah dia menanggung kesakitan walaupun bengkak kakinya telah kurang selepas diurut Hajah Aminah sebentar tadi.

“Tahan sikit ya Julie. Jangan terlalu banyak bergerak tau. Nanti bertambah bengkak kaki awak tu,” ujar Farah tatkala gadis itu menjerit kecil.

Sakit dengan sentuhannya yang masih tidak jemu menyapu minyak di kaki Julia.

Bunyi ketukan di muka pintu menghentikan gerakan tangan Farah. Pantas dia bangun membuka selak pintu bilik.

Wajah masam Faizam tersembul di situ.

“Nah, kau bagi puntianak tu minum air akar kayu ni. Minum sampai habis. Penat mak rebus air ni berjam-jam lamanya,” ujar Faizam sambil menghulur sebotol minuman berbalut kain kuning.

“Kau ke Kampung Gunung Zam?” soal Farah, terkejut.

Namun huluran Faizam tetap disambut. Menjadi kebiasaannya sejak kecil memanggil kampung orang tua angkatnya dengan nama itu.

“Habis tu nak bawa dia ke klinik, dia tak nak. Aku mintalah ajelah ubat dari mak,” balas Faizam tanpa ada senyuman di wajah.

Marahnya pada Julia masih berbaki.

“Terima kasih ya Zam sebab tolong Julie masa dia jatuh tadi. Kalau kau tak ada, tak tahulah apa yang akan jadi kat dia,” ujar Farah lembut.

Teringat pada kebaikan Faizam. Masih mahu menghulurkan bantuan pada Julia walaupun hubungan kedua-duanya tidak pernah baik.

“Huh, aku buat semua ni pun sebab kau tahu. Kalau tak kerana aku kesiankan kau terkial-kial nak bantu dia, dah lama rasanya aku humban dia ke dalam parit tu. Biar terbenam terus dalam lumpur tu seumur hidup.”

“Kau ni Zam, tak baik tahu cakap macam tu. Nasib baik Julie tak dengar cakap kau tu,” tegur Farah.

Dia tidak senang dengan kata-kata selamba Faizam.

“Hah, peduli apa aku dengan puntianak tu. Bukannya ada kena-mengena dengan aku pun,” balas Faizam sambil menjeling Farah.

“Dahlah Farah, aku nak mandi ni. Solat Asar pun belum lagi. Kau pergilah tengok puntianak tu. Kalau jadi apa-apa kat dia, kau jugak yang susah nanti,” pamit Faizam.

Dia terus berpaling. Mahu ke biliknya yang hanya berselang beberapa pintu dari bilik itu. Dia kembali memusing tubuh tatkala Farah memanggil namanya.

“Terima kasih ya Zam,” ucap Farah ikhlas.

Faizam hanya merengus kecil sebelum berlalu.

Faham benar Farah dengan sikap Faizam. Tidak pernah lokek membantu orang lain dalam kesusahan walaupun orang yang ditolong itu musuhnya. Dia mengukir senyuman lagi. Lebih lebar dari tadi.

FAIZAM menyandar lesu tubuhnya di batang pokok rambutan. Sementara kaki dibiarkan berlunjur di pangkin itu. Matanya memandang langit kelam. Tiada walaupun sebutir bintang menghiasi malam dingin itu.

Bersendirian begini membuatkan minda Faizam mudah saja mengingati seseorang. Walaupun wajah itu telah melukakan hati namun sehingga kini dia tidak mampu memadamkannya. Saban waktu hatinya merintih walaupun tiada siapa tahu. Merintih mengenangkan cinta yang tidak kesampaian.

Dicapai gitar di sisi lalu dia memetik tali-talinya. Mula mendendangkan irama yang hanya dia sendiri tahu. Irama yang begitu sayu. Sesayu hatinya ketika ini. Peristiwa di KOMTAR tidak lama dulu berulang tayang di mata. Terbayang semula kemesraan Balkis dan lelaki itu. Sekaligus menjemput kesakitan di hati.

Seumur hidupnya, Faizam tidak pernah seluka ini. Sewaktu Surina meninggalkannya pun dia tidak sesakit ini. Tiada rasa lain tersemadi di hatinya selain kesal. Kesal kerana tidak tahu sebab sebenar gadis itu pergi. Namun Faizam sedar. Dia bukan sesiapa di hati gadis cantik itu. Apatah lagi dia tidak mempunyai apa-apa kelebihan seperti Ikhwan, lelaki yang telah berjaya menawan hati Surina. Lalu minda Faizam melayang pula pada lelaki berambut perang itu. Ikhwan Ralfado Pietro Abdullah.

Walaupun telah setahun lebih Faizam meninggalkan zaman persekolahan namun nama lelaki berdarah Itali dan Melayu itu tidak pernah dilupakan. Bukan kerana namanya berbeza berbanding pelajar-pelajar lain. Tetapi kerana sebaris nama itu jugalah yang sering tercoret di dalam buku dendanya.

Menyandang tugas sebagai ketua pengawas sekolah menyebabkan Faizam terpaksa mengambil tindakan tegas pada sesiapa yang melanggar peraturan dan displin sekolah. Termasuklah pada Ikhwan yang boleh dikatakan saban hari membuat onar. Merokok, memonteng kelas, menyimpan gambar lucah dan meniru ketika peperiksaan adalah antara kesalahan Ikhwan yang sering mencabar kewibawaannya sebagai salah seorang pendukung displin sekolah ketika itu. Pantang bagi Faizam bertolak ansur dalam mendenda sesiapa yang membuat kesalahan apatah lagi kesalahan itu telah berulang kali dilakukan.

Disebabkan itu hubungannya dengan Ikhwan tegang walaupun dia tidak pernah mahu keadaan itu terjadi. Dia sentiasa berusaha berhubungan baik dengan lelaki itu. Namun sikap marah dan dendam yang ditunjuk Ikhwan setiap kali mereka bertentang mata menjadikan Faizam tidak mampu berbuat apa-apa. Sekadar berdoa dalam hati agar lelaki itu terbuka hati menerimanya sebagai kawan suatu masa nanti. Doa yang sehingga kini tidak menampakkan tanda kejayaan. Lalu Faizam mengeluh semula.

Bukan niatnya menimbulkan kemarahan mahupun kebencian sesiapa. Telah menjadi tanggungjawabnya menjalankan segala amanah yang terpikul di bahu ketika itu. Kerana itu dia tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang membuat kesalahan walaupun dia sedar perbuatannya hanya mengundang kebencian dan dendam buatnya. Dendam yang dirasakan tidak akan terpadam sampai bila-bila.

Bayangan Balkis melintas di minda Faizam menghilangkan bayangan Ikhwan serta-merta. Lalu mengoyak semula lukanya yang masih berdarah. Luka yang sehingga hari ini cuba diubatinya walaupun tiada tanda membayangkan luka itu akan sembuh dalam masa terdekat ini.

Faizam sedar. Dia perlu keluar dari semua itu. Tiada siapa yang akan dapat membantu selain dirinya. Dia harus menguatkan hati agar dapat melupakan Balkis. Dia perlu menerima kata-kata Farah suatu masa dulu sebagai satu kenyataan. Balkis tercipta bukan untuknya. Dan sebagai manusia, dia perlu menerima ketentuan itu dengan hati terbuka.

Tetapi bagaimana dia dapat menerima kenyataan itu andai rasa cinta buat Balkis masih bertapak kukuh di hati walaupun telah berkali-kali dia berusaha menghalaunya? Mampukah dia melupakan Balkis andai hampir saban hari mereka bersua walaupun tanpa sepatah bicara? Masih mampukah dia melenyapkan bayangan Balkis dari minda andai senyuman dan tawa gadis itu masih mampu ditangkap mata dan telinganya? Memikirkan itu Faizam menghela nafas semula. Lebih berat.

JULIA menyandar tubuh di kepala katil. Sejak tadi dia cuba menidurkan diri namun rasa sakit di pergelangan kaki membuatkan matanya liat untuk terlelap seperti biasa. Dikalih pandangan ke arah tingkap yang sedikit terbuka. Perbualan antaranya dan Farah di awal malam tadi kembali memenuhi minda.

“BOLEH ke dia menyanyi? Ke action aje lebih,” sindir Julia sambil mencebik.

Dari tingkap bilik dia membuang pandang ke laman.

Tepat mengenai Faizam di pangkin bawah pokok rambutan. Dilihatnya lelaki itu sedang memetik gitar kesayangannya sambil berkhayal.

“Apa pulak tak boleh Julie. Faizam tu bukan aje boleh menyanyi tapi dia jugak pandai mengarang lagu tau. Masa kat sekolah dulu, Faizam selalu jadi juara dalam pertandingan menyanyi. Tapi tulah. Dia bukannya suka sangat menunjuk bakatnya pada orang. Sekali-sekala naklah dia. Tak pun masa dia tengah frust. Hah, menyanyilah dia,” cerita Farah serba sedikit tentang Faizam.

“Kira sekarang ni dia tengah frustlah tu?” tanya Julia sambil menjuih bibir.

“Lebih kurang macam tulah Jue. Faizam tu memang macam tu perangainya. Suka melayan perasaan kalau tengah frust,” jawab Farah sambil turut memandang ke laman rumah.

Faizam pula tidak sedar dirinya menjadi isi perbualan kedua-dua gadis itu ketika ini.

“Ada ke orang yang nakkan dia tu?” soal Julia perlahan-lahan sambil melabuhkan punggung di kerusi di sisi.

Terasa denyutan di kaki kembali menyengat. Membuatkan dia tidak mampu terus menegakkan tubuh. Namun matanya masih terarah ke laman rumah.

“Nak kata tak ada, ramai jugak yang nakkan dia. Cuma dia yang jual mahal. Orang yang dia nak pulak tak nakkan dia. Entahlah. Pening saya dibuatnya.”

“Muka macam dia tu pun ada jugak yang nak ke? Huh! Kalau sayalah Farah, bagi percuma pun saya tak nak,” cemuh Julia lagi.

Dipandang Faizam yang bangkit lalu masuk ke dalam rumah bersama gitarnya.

“Awak cakap macam tu sebab awak belum kenal dia sepenuhnya. Faizam tu memang bermulut celopar tapi hatinya baik.”

“Entahlah Farah. Terlalu susah saya nak percaya cakap awak tu. Macam manalah saya nak percaya kalau setiap kali kami bersua muka aje pasti bergaduh punya. Suka benar dia sakitkan hati saya. Benci betul. Rasanya memang malanglah siapa yang kahwin dengan budak bodoh tu nanti,” rungut Julia.

Farah kembali tersenyum lebar.

“Tu kata awak Julie. Percayalah, Faizam tak seburuk yang awak fikir. Malah dia seribu kali lebih baik dari apa yang awak sangka. Cuma awak perlu masa untuk mengenalinya dengan lebih dalam.”

BUNYI dentingan jam di dinding mematikan khayalan Julia. Hilang segala bayangan di minda. Pantas dia berpaling. Pukul tiga pagi! desis hati Julia. Dia berkhayal hingga tidak sedar masa semakin menganjak ke pagi. Tangannya mencapai termos di sisi katil. Kosong. Julia mengeluh kecil.

Perlahan-lahan Julia bangun. Terjengket-jengket menghampiri pintu sebelum selaknya dibuka. Diheret lambat-lambat kakinya yang sakit menuju ke tingkat bawah.

Langkah Julia terhenti tatkala melintasi bilik Faizam. Kedengaran seseorang mengaji dari arah bilik yang masih terang-benderang lampunya. Dijenguk mukanya dicelah pintu yang tidak tertutup rapat. Terpandang Faizam duduk di sejadah. Mengadap kitab suci Al-Quran. Khusyuk lelaki itu mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Melantun suara ke segenap ruang. Mendamaikan jiwa yang mendengar.

Lalu Julia terpaku di situ. Buat seketika bayangan Faizam memenuhi minda. Teringat pada kelakuan dan tingkah laku lelaki itu selama ini. Ternyata jauh berbeza daripada apa yang dilihatnya ketika ini. Begitu bersopan dan beradab. Terserlah di air mukanya riak tenang saat melafazkan ayat-ayat suci al-Quran indah dari kitab teragung itu.

Julia tersedar apabila Faizam terbatuk-batuk kecil. Segera dia berlalu. Memijak setiap permukaan anak tangga penuh hati-hati sebelum mendudukkan diri di anak tangga terakhir. Rasa ngilu kembali menyengat kaki yang belum sembuh sepenuhnya. Dia tersadai di situ. Terasa kejang urat kaki. Tanpa sedar dia mengerang kecil.

“Kau buat apa kat sini pagi-pagi buta macam ni?”

Suara itu mengejutkan Julia. Dalam kesamaran malam, dia terpandang Faizam yang entah bila telah berdiri di sebelahnya. Wajah lelaki itu nampak begitu tenang.

“Buatlah apa yang aku suka, apa kau kisah?” balas Julia, marah.

Dikalih matanya ke arah lain sementara jari-jemarinya masih memegang kaki. Sakit!

Faizam tersenyum lalu menggeleng perlahan. Tanpa kata dia ke ruang dapur lalu memetik suis lampu. Ruang gelap bertukar terang serta-merta.

“Kau nak minum?” pelawa Faizam selamba.

Dia mengunjuk gelas berisi air putih yang dituang dari jag di meja pada gadis itu.

Julia merengus kecil.

“Tak payahlah kau nak buat baik dengan aku. Aku boleh ambil sendiri nanti,” ujar Julia.

Dijeling sekilas wajah lelaki itu.

Faizam tersenyum lagi. Geli hati dengan sikap Julia yang masih menjual mahal walaupun dalam keadaan sakit seperti itu. Dijongket bahunya sedikit.

“Suka hati kaulah puntianak nak buat apa pun. Jangan hisap darah orang dalam rumah ni sudah,” balas Faizam.

Dia meneguk air minumannya hingga habis.

“Jangan lupa tutup suis lampu tu nanti. Maklumlah, kau kan puntianak. Suka duduk dalam gelap.”

Sempat Faizam mengusik sebelum berlalu ke tingkat atas semula. Meninggalkan Julia yang merengus geram dengan kata-katanya.

Julia termangu-mangu. Untuk sementara dia tidak tahu hendak berbuat apa. Tidak lama kemudian dia kembali bangun. Cuba mengagahkan diri ke ruang dapur. Rasa dahaganya bertandang semula setelah terbantut dek kedatangan Faizam sebentar tadi.

Julia kembali tersentak apabila satu suara menegurnya dari belakang.

“Julie, awak tak apa-apa ke?”

Farah terus melabuhkan punggung di sisi gadis itu. Sehelai kain batik menyelubungi kepalanya. Ditenyeh kelopak mata sambil menguap beberapa kali. Dia sedang tidur tatkala Faizam mengetuk pintu biliknya sebentar tadi.

“Faizam beritahu awak duduk kat sini sorang-sorang. Awak tak apa-apa ke Julie?” ujar Farah lembut.

Mata yang masih terasa berat ditenyeh lagi.

Julia tersenyum kelat.

“Maaflah Farah, menyusahkan awak aje. Saya sebenarnya nak minum air. Dahaga,” balas Julia perlahan.

Rasa bersalah menyelubungi hati. Bersalah kerana menganggu gadis itu di waktu-waktu begini.

“Oh, iya ke? Tak apalah. Awak duduk aje ya. Nanti saya ambilkan.”

Farah bergegas ke dapur sebelum tidak lama kembali bersama segelas air putih.

“Terima kasih Farah. Maaflah kerana menyusahkan awak,” ucap Julia sebaik gelas di tangan telah kosong sepenuhnya.

Farah mengangguk lalu tersenyum kecil.

“Tak ada apanya yang menyusahkan pun. Dah awak sakit, nak buat macam mana. Mari saya hantarkan awak ke bilik semula ya.”

Farah membantu Julia bangkit dari duduk. Menapak perlahan-lahan menuju ke tingkat atas setelah lampu di ruang dapur dipadam.

http://karya-azraaryriesa.blogspot.com/2013/10/bab-30-ketika-hati-bercinta.html

Previous: BAB 29
Next: BAB 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh