Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 94

Mereka tiba di Ishikawa.

Pelabuhan itu penuh dengan perahu-perahu nelayan yang kecil. Ishikawa terletak dalam Wilayah Kodama namun berada jauh di barat kampung Onuma, di selatan Semenanjung Noto yang mengunjur ke Laut Jepun. Ishikawa ialah penempatan nelayan yang besar dan didiami kira-kira tiga ratus keluarga nelayan.

Mengapa aku tidak ke sini dahulu? Aku mencari di serata Jepun dahulu, bahkan aku pernah melalui kawasan ini!

“Mengapa Saaya? Engkau termenung saja.”

“Aku pernah melalui sini dahulu. Aku lihat ia hanya jeti nelayan kecil dan aku tidak syak apa-apa, maka aku mengabaikannya. Kebiasaan kapal yang membawa karayuki ialah kapal besar dan ia tidak berlabuh di sini. Apa pendapatmu?”

“Sewaktu menjadi nelayan di Onuma, aku pernah mendengar mereka ada mengangkut karayuki menggunakan kapal-kapal kecil seperti perahu-perahu ini. Kapal-kapal kecil itu akan membawa mereka semua ke kapal besar yang terletak jauh sedikit. Perairan sini cetek maka kapal besar tidak boleh berlabuh di sini.”

“Shizuo dan orang-orangnya mungkin mengupah beberapa orang dari nelayan-nelayan di sini mengangkut gadis-gadis itu ke kapal besar. Tetapi itu sudah lama berlaku, Saaya. Mungkin nelayan-nelayan yang bersubahat sudah tiada di sini atau sudah melupakannya.”

Mungkin juga kata Hatakemaru itu ada benarnya. Tidak pula aku bertanya perincinya kepada Shizuo, imbas Goryuuin. Dia hanya memberitahuku dia melepaskan gadis-gadis itu di sini. Hanya ini sahaja jeti di Ishikawa.

Goryuuin bertanyakan salah seorang nelayan yang melintas mereka. Seorang lelaki tua.

Ojii-san, sumimasen. Engkau masih ingat kumpulan lelaki yang membawa karayuki di sini sebelas tahun lepas?”

“Aku memang kerap melihat karayuki dibawa keluar dari sini, sehinggalah tahun lepas di mana aktiviti tersebut dihentikan tiba-tiba, aku tidak tahu apa sebabnya.”

“Sebelas tahun lepas bagaimana?”

“Terlalu banyak perahu begitu mengangkut mereka, aku tidak pasti yang mana satu engkau maksudkan.”

Jawapan sama diberikan nelayan-nelayan lain. Bukan mudah menjejaki siapa yang membawa keluar Hisamine sebelas tahun lepas.

Hanya jika aku sempat mengejarnya pada hari itu!

Goryuuin duduk di atas batu mengadap Laut Jepun, tangannya menekup muka. Sonzaemon duduk di sebelahnya, memegang bahunya. 

Celaka engkau Shizuo! Goryuuin memaki Shizuo.

Ne, Hatakemaru. Shizuo ada tanggungan bukan?” Goryuuin tiba-tiba bertanyakan soalan itu kepada Sonzaemon. Wajahnya penuh api kemarahan. Matanya merah, sisa air mata membasahi pipi dan celah mata.

Sonzaemon tergamam. Goryuuin, apa maksudmu?

“Dia meninggalkan tanggungannya di sana sewaktu menyerah diri kepada Kogen bukan?”

Ne, Hatakemaru. Bagaimana jika aku melakukan perkara sama kepada anak Shizuo? Atau adik perempuannya? Atau kakaknya? Aku akan menculik mereka dan menjual kepada sindiket? Aku mahu lihat bagaimana perasaannya.”

“Bersabar, Saaya.”

“Jika aku mahu melakukannya, tiada siapa yang mampu menghalangku. Aku petarung Kogen yang tahu jurus kesembilan selain Ayame.”

Tidak, Saaya. Jangan bertindak melulu. Aku pasti akan menghalangmu. Aku juga tahu jurus kesembilan. Shizuo tiada pilihan. Dia hanya boneka Hamada waktu itu. Dia juga sudah memilih untuk berubah. Aku tidak akan membiarkan engkau bertindak melulu, Saaya.

“Shizuo tiada pilihan, Saaya.”

“Engkau menyebelahi dia, Hatakemaru? Oh ya, kalian orang Hamada! Mengapa aku tidak menyedarinya?” Goryuuin turun dari batu, berdiri mengadap Sonzaemon.

“Aku akan mencari tanggungan Shizuo dan menculik mereka!” Goryuuin berlari menuju ke kudanya.

Matte, Saaya!”

Sonzaemon cuba menangkap Goryuuin. Goryuuin mengelak. Sonzaemon tidak berputus asa. Dia mengejar dan berjaya menangkap lengan yukatanya. Dia pantas menjatuhkan Goryuuin ke atas pasir pantai dengan menyengkang kakinya dan kemudian mengunci lengannya, menindih dengan beratnya. Berat Sonzaemon tidak mampu ditanggung Goryuuin yang kurus. Dia ditewaskan mudah oleh kudrat lelaki.

Sonzaemon memeluk Goryuuin sekuat-kuatnya. Goryuuin meronta-ronta, namun akhirnya dia berputus asa. Sonzaemon terus-terusan memeluk dan mengusap belakang kepala Goryuuin, kedua-dua masih berbaring di atas pasir.

“Saaya, bersabar. Aku ada di sisimu. Aku akan menjejaki Hisamine. Aku pasti akan menjejaki Hisamine! Aku merayu, jangan apa-apakan tanggungan Shizuo. Dia baru memilih untuk berubah. Aku tidak mahu dia kembali mengotorkan tangannya.”

Goryuuin pecah tangis dalam pelukan Sonzaemon.

Dalam masih memeluk Goryuuin, Sonzaemon dapat merasakan kehadiran sesuatu dalam dirinya. Sesuatu yang telah lama dia hilang. Ia muncul kembali. Identiti diri yang telah lama ditinggalkan. Identiti seorang pewaris kesamuraian di Tsugaru yang melarikan diri  mengejar cinta hatinya. Yang naif tentang dunia luar. Yang kebuluran di Furukawa sehingga Miura datang menyelamatkannya.

Bagaimana aku boleh begini nekad menghalang Saaya dari melakukan onar? Aku, yang bersubahat membunuh Miura, yang patut dihukum bunuh oleh mahkamah. Aku yang jahat ini, bersungguh menghalang Saaya dari berbuat khianat dengan insan lain? Aku, yang tidak pernah mempedulikan orang lain ini?

Hah, hah, hah. Kelakar! Siapakah aku sebenarnya?

Mata Sonzaemon kaku memandang kejauhan, masih berbaring menghalang Goryuuin, dan masih bingung dengan identiti diri.

Sonzaemon membantu Goryuuin bertanya dengan nelayan-nelayan lain di situ. Dia tidak mahu Goryuuin berhenti sekerat jalan. Mungkin masih ada sinar harapan jika mereka berjaya menemukan seorang dua yang masih mengingatinya.

Mungkin.

Mereka kembali ke tempat berbatu di pantai itu, memerhati matahari terbenam.

“Aku yakin esok pasti ada harapan lagi. Saaya, usah berputus asa. Kita akan cari lagi esok.” Dia menepuk belakang Goryuuin di sebelahnya. Goryuuin masih sugul.

Dan dengan terbenamnya matahari di hadapanku ini, aku benamkan bersamanya aku yang semalam. Kekejian yang telah aku lakukan. Onar-onar itu.

Aku yang esok, adalah aku yang baru. Demi Saaya.

Aku akan berubah. Meskipun seperlahan mana sekalipun. Meski selama mana sekalipun masa yang kuperlukan.

**

1862, sebelas tahun lalu.

 

Pekan Aoba, Wilayah Tsugaru.

 

“Matsudaira, engkau nampak apa yang aku nampak?” Kikunae menolak sedikit bahu rakannya.

 

Matsudaira yang sedari tadi menerawang kerumunan di pekan itu beralih pandang ke arah yang dituding Kikunae.

 

Dari celah orang ramai yang lalu lalang di lorong yang dibarisi kedai-kedai barangan tani di kedua-dua belah bahunya itu, terlihat seorang gadis belasan tahun bersama adiknya yang masih budak. Gadis itu memiliki dua bilah pedang tersisip kemas di pinggangnya.

 

“Bukankah mereka itu Goryuuin? Anak samurai yang menyerang kampung kita? Bapanya seingat aku bernama Goryuuin Hokuto, ketua puak itu. Penjajah Yamato yang tidak tahu malu, datang menduduki kawasan nenek moyang kita ini!” Matsudaira seraya meludah, penuh kebencian.

 

Kikunae dan Matsudaira adalah dua orang pemuda dari puak Emishi yang berperang dengan samurai-samurai dari bangsa Yamato yang menduduki Wilayah Tsugaru. Beberapa tahun lepas puak Goryuuin telah berperang dengan Emishi dan dalam perang tersebut, Goryuuin Hokuto telah terbunuh. Namun, samurai tetap memenangi perang itu. Kikunae dan Matsudaira beserta ahli puak Emishi yang masih hidup melarikan diri dari kampung mereka. Kini mereka bekerja menculik anak-anak gadis dengan memukau mereka dan menjualnya kepada pemerdagang karayuki dari wilayah-wilayah di barat Honshu.

 

“Benar, merekalah anak-anaknya. Berdasarkan maklumat pengintipku, yang remaja itu arif bertarung. Meskipun cantik, aku tidak menggalakkan dia diculik. Habis kita dipenggalnya nanti.”

 

“Dipenggal? Apa maksudmu?” Matsudaira terkejut mendengarkan kedahsyatan itu.

 

“Engkau tidak ingat kejadian setahun sebelum perang itu? Di Kuil Lima Naga?”

 

“Aku ada terdengar salah seorang ahli puak Goryuuin memenggal kepala ahli puak kita, namun tidak pula aku fikir ia dilakukan gadis ini. Ceritakan apa yang kau tahu, Kikunae.”

 

Nama puak Goryuuin itu membawa maksud ‘Kuil Lima Naga’, simbol pengaruh Buddha yang bertapak di Tsugaru sejak seribu tahun lepas ketika seorang sami dari tanah Tang datang ke sini menyebarkan agamanya kepada masyarakat Yamato. Puak Goryuuin ialah salah satu dari tiga puak yang bersusur galur dari cabang Minowara dari Kyoto, yang lainnya Ninomiya, dan Yoshihisa. Goryuuin menukar nama dari San’nomiya kepada Goryuuin dan membina sebuah kuil dengan simbol lima naga berlingkar selepas seluruh ahlinya memeluk agama Buddha.

 

“Seorang dari puak kita telah menceroboh kuil tersebut dan terserempak dengan remaja perempuan itu. Bermula salah faham di situ. Remaja perempuan itu bertarung dan memenggal kepalanya. Engkau tahu bukan yang ahli puak kita itu satu-satunya yang paling arif bertarung pedang?”

 

Matsudaira mengangguk.

 

Kikunae menyambung, “Bermula dari tragedi itulah puak kita dan Goryuuin saling berbunuhan berbulan-bulan lamanya sehingga tercetus peperangan.”

 

“Menakjubkan. Bagaimana perang begitu dimulakan oleh seorang gadis yang terburu-buru membunuh hanya kerana salah faham. Namun aku puas hati dia kehilangan bapanya. Sekurang-kurangnya hutang darah telah dibayar.” Tambah Matsudaira.

 

“Namun tidak semudah itu Matsudaira, Aku masih berdendam dengan mereka. Aku telah kehilangan abangku. Aku mahu gadis itu terus-terusan ditimpa malang.”

 

“Maksudmu?”

 

“Aku akan memukau adiknya senyap-senyap dan menculiknya. Kemudian kita akan menjualnya kepada Hamada. Dou (bagaimana), Matsudaira?”

 

“Aku tiada masalah. Aku tiada ahli keluarga yang terkorban sewaktu perang itu. Namun aku masih tidak berpuas hati bagaimana kita dihalau dari kampung kita, dan nyawa penduduk kampung yang melayang. Aku setuju membantumu.”

 

**

 

“Bagaimana?” Seorang lelaki berbadan sasa dan tinggi, berkulit gelap dengan lilitan di kepala bertanya mereka berdua.

 

“Shizuo-san, di dalam kereta kuda ini ada lima gadis yang kami pukau dari serata Tsugaru.”

 

“Berapa harganya?”

 

“Kami mahu dua ekor kuda perang bagi setiap seorang gadis.”

 

“Baiklah. Seperti biasa. Kamado!” Shizuo memanggil rakannya.

 

“Ya, Shizuo-san!”

 

“Berikan pendahuluan kita dahulu. Sepuluh keping wang emas untuk setiap seorang gadis.”

 

Kamado menghulurkan sebuntil kain berisi kepingan-kepingan emas itu. Terbeliak biji mata Matsudaira dan Kikunae melihatkan keping-keping logam kekuningan berkilauan itu. Separuh daripadanya adalah cagaran. Membawa kuda memakan masa dan berisiko, lebih-lebih lagi jika melalui laluan hutan utara. Jika gagal, cagaran tersebut akan digadaikan kepada Kikunae dan Matsudaira sebagai ganti.

 

“Pulangkan kepada kami separuh dari keping-keping emas itu selepas kalian menerima kuda-kuda kami. Namun harus aku ingatkan, kalian gunakan kuda-kuda itu hanya sebagai pertahanan, bukan menyerang kampung-kampung Yamato di utara.”

 

“Baiklah, Shizuo. Apakah engkau meragui kami? Bukankah kita sudah lama berbisnes bersama?”

 

“Bukan meragui kalian, hanya mengingatkan. Aku bimbang dengan pengaruh Tetsugawa di utara.” Akui Shizuo penuh kejujuran.

 

**

 

Imbas kembali berkenaan kebolehan Azuchi.

 

Suatu hari selepas pulang dari misi pertama Ryouji, musim bunga 1871.

 

Hisamiko memanggil Azuchi turun di ribanya sewaktu dia duduk berseorangan di bangku di taman bonsai, di rumah Takasaki.

 

“Azuchi, ceritakan lebih berkenaan bantuan hayabusa-no-kami. Apakah aku sentiasa dilindunginya?

 

“Engkau perlu melindungi nyawaku. Jika aku mati, bantuannya akan berkurangan dan engkau perlu melindungi dirimu sendiri.”

 

“Azuchi, aku melindungimu kerana engkau sahabatku. Engkau tidak boleh mati.”

 

“Aku boleh mati, Hisamiko. Jasadku hanyalah jasad burung biasa. Hanya tiga kali. Selepas itu aku tidak akan kembali mengiring sehingga pemedang handal seterusnya muncul. Juga selepas kematian ketigaku, bantuan hayabusa-no-kami tidak lagi akan muncul membantumu.”

 

“Apa-apalah, Azuchi. Walau seribu kalipun engkau boleh mati, aku tidak akan benarkan engkau mati meskipun untuk kali yang pertama. Engkau sahabatku sejak dari mula kita bertemu.”

 

Dia mengusap jambul Azuchi. Azuchi menyandarkan kepalanya ke dada Hisamiko sedang lengan Hisamiko merangkul tubuhnya. Burung itu larut dalam pangkuan Hisamiko seraya terlena, sedang putik sakura turun menyirami mereka di pertengahan musim bunga itu, ditiup angin semilir yang menerjah dari celah-celah rimbunan bambu yang mengelilingi rumah perlindungan Takasaki yang penuh memori itu.

 

**

 

Awal musim bunga 1874. (Hisamiko berumur 15 tahun)

 

Seperti biasa Hisamiko duduk-duduk di taman zen. Tsuneki yang sedari tadi memerhati Hisamiko tidak bertangguh datang mendekatinya setelah benar-benar pasti tiada sesiapa datang bertemunya.

 

“Hisamiko, apa yang kau menungkan di sini?” Tsuneki menegur dengan nama peribadi Hisamiko. Tidak seperti dahulu, Hisamiko dan Tsuneki kini selesa menggunakan nama peribadi masing-masing. Sejak Tsuneki beberapa kali menyelamatkan nyawanya, sikap Hisamiko terhadap Tsuneki mulai berubah. Bahkan dia tidak lagi marah-marah pabila Tsuneki mendekatinya. Cuma dia masih tegar dengan tabiat lamanya iaitu termenung di taman zen.

 

“Ah, Tsuneki. Tidak ada apa-apa. Aku cuma sukakan taman ini.”

 

Sou ka. Taman ini membosankan padaku.” Terus terang sahaja komen Tsuneki.

 

“Engkau nampak itu?” Hisamiko menunjuk pada sebiji batu berbentuk kura-kura, tidak langsung terasa dengan komen Tsuneki.

 

“Itu? Macam kura-kura.”

 

“Alangkah baiknya jika aku seekor kura-kura.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Kura-kura hanya termenung dan tidak mempedulikan sekelilingnya.”

 

“Aku tidak faham...”

 

“Beban emosi.”

 

“Beban emosi?”

 

“Ia datang bilamana engkau tahu lebih perkara...”

 

“Hisamiko, bolehkah engkau bercakap dalam bahasa manusia?” Tsuneki mulai geram.

 

“Tsuneki, aku tidak lagi takut. Aku mahu keluar membela mereka yang senasib dengan kita. Aku tidak mahu apa yang berlaku pada nee-chan, pada Nariko nee-chan berulang.”

 

“Hisamiko...”

 

“Aku tidak lagi takut. Biarkan berkali-kali aku disuntik racun biru itu, aku tidak takut!”

 

Tsuneki merapat dan menggenggam tangan Hisamiko.

 

“Aku tidak akan benarkan! Aku tidak akan benarkan...Hisamiko, engkau baru sahaja pulih. Bolehkah engkau tetap duduk di sini? Duduk di taman ini sehari-hari dan jangan keluar lagi.”

 

“Engkau...tidak benarkan? Engkau bukan abangku, Tsuneki.”

 

“Hisamiko, aku bimbangkan engkau. Aku... aku...” Tergagap-gagap pula musang ini.

 

“Apa?”

 

“Aku cintakan engkau...Hisamiko. Onegai... aku tidak lelap tidur memikirkan engkau yang terlantar diracun. Andai engkau pergi, andai engkau pergi, bagaimana denganku? Semua orang-orang penting dalam hidupku telah pun pergi... aku tidak mahu ia berulang pada engkau, Hisamiko. Onegai...” Mata Tsuneki berkaca merenung Hisamiko.

 

Hisamiko terkesima. Mukanya merah. Perasaannya berbolak-balik. Apakah dia perlu jujur atau menyembunyikannya sekarang? Jantung berdegup kencang. Dia sememangnya punya perasaan sama terhadap Tsuneki. Namun pelbagai perkara mengusutkan benaknya membenamkan perasaan itu jauh ke jurang hati.

 

“Maafkan aku, Kitsune-san. Aku...”

 

“Jangan teruskan. Aku faham. Engkau ada mencintai sesiapa? Shinji?”

 

“Shinji? Baka jyanai (bodoh ke apa?)! Tidak!”

 

“Lalu mengapa Hisamiko?”

 

“Aku tidak mahu terikat dengan sebarang hubungan, selain dengan onii-san.”

 

“Tidak masuk akal. Tidak masuk akal langsung!”

 

“Mengapa engkau kata begitu?”

 

“Engkau mencintai abangmu bukan?”

 

“Tsuneki, dia hanya abangku. Dia selama-lamanya abangku. Dia satu-satunya darah dagingku di dunia ini yang masih tinggal.”

 

Sulit untuk aku terangkan, Tsuneki. Aku tidak memandang onii-san sebagai lelaki, dia hanyalah abang kandungku. Darah dagingku yang satu-satunya masih tinggal, dan aku harus melindunginya. Aku tidak mahu engkau tahu yang masanya terlalu suntuk, dan dia akan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, paling lamapun sehingga tahun depan. Oleh itu, aku ingin mengikutinya dan jika dia mati, aku tidak mahu dia berseorangan. Dia akan mati di sisiku.

 

“Maka apa maksudmu tidak mahu terikat dengan sebarang hubungan selain dengan abangmu?”

 

Hisamiko sudah mengagak soalan itu.

 

“Aku mahu mengikutnya ke mana-mana. Menjalin hubungan cinta dengan lelaki lain hanya akan melukakan mereka. Mereka tidak akan faham dan pasti tidak akan setuju jika aku membawa onii-san ke dalam kehidupan mereka.” Kelentong Hisamiko panjang lebar. Ya, kepanjanglebaran begini diperlukan agar ia tampak benar pada telinga yang mendengar. Terutama telinga capang Tsuneki.

 

“Aku tidak mengapa, Hisamiko. Aku sudi jika engkau memutus membawa Ryouji tinggal bersama kita.”

 

“Tidak semudah itu, Kitsune-san. Engkau akan rasa tidak selesa lama-kelamaan. Apa-apa boleh berlaku di masa hadapan.”

 

“Okuhida-san...”

 

“Maafkan aku, Kitsune-sanJya, shitsureishimasu (aku minta diri).”

 

Tidak semudah yang engkau fikirkan, Kitsune-san. Kitsune-san, Kogen memandang tinggi kemahiranmu. Jangan hampakan mereka, tinggalkanlah aku, dan kejar masa depanmu.

 

Hisamiko beredar dari situ, air matanya menitis.

 

Tidak jauh dari situ, seseorang sedang mendengar perbualan mereka, di balik rimbunan pepohon renek.

 

**

 

Awal musim panas, 1874

 

Omi yang sudah terlalu tua semakin tenat di perbaringan. Dia tidak lagi mampu berfikir dengan waras. Situasi ini memberi peluang kepada Kotobuki mengatur langkahnya demi menyelamatkan Ryouji dan Hisamiko dari rencana politik Omi. Kuasa membuat keputusan Kogen kini berada di tangannya.

 

“Ryouji, engkau mahu tinggalkan Kogen bukan?” Kotobuki menyoal sambil matanya menggerudi dalam wajah Ryouji.

 

“Ya.” Ryouji menjawab ringkas, sedikit kehairanan bagaimana Kotobuki tahu.

 

“Maka tepatlah telahanku. Aku tahu engkau risaukan adikmu. Engkau bimbangkan ramalanku menjadi realiti.”

 

Ryouji hanya diam mendengarkannya.

 

“Sebenarnya bukan ramalan aku pun. Ia dari hayabusa-no-kami. Masa depan semua pemedang handal sama sahaja. Apapun Ryouji, aku fikir engkau patut tinggalkan tempat ini. Bapaku pula sedang terlantar. Ini peluang buatmu.”

 

“Terima kasih Kotobuki-san menyokongku. Ya, aku fikir memang sudah tiba masanya aku pergi, demi masa depan Hisamiko. Ajalku pun sudah hampir. Dan aku fikir Hamadapun sudah ditekan dengan teruk sekarang. Tunggu masa sahaja untuk dia keluar menyerah diri.”

 

Benar Ryouji. Namun sebenarnya aku sedang merancang sesuatu bagi menghapuskan kuasa Hamada dan aku perlukan engkau untuk melaksanakannya. Aku tidak boleh membincangkannya denganmu di sini. Pertama sekali, aku perlu mengeluarkan engkau dari sini dahulu dan kita akan berhubung menggunakan surat.

 

“Ryouji, apa perancanganmu untuk Hisamiko selepas engkau tiada nanti?”

 

“Aku fikir mahu meninggalkannya di lembah Okuhida.”

 

“Dan membiarkan dia hidup berseorangan di dalam lembah itu?”

 

“Aku tidak pasti... aku tidak pasti Kotobuki-san. Aku benar-benar bingung. Namun jika aku tinggalkan dia di sana, sekurang-kurangnya dia akan selamat. Aku akan mengajarnya berdikari.”

 

Kotobuki faham amat. Itu kemahiran survival, untuk hidup. Namun sebagai manusia, engkau memerlukan sokongan emosi. Hisamiko memerlukannya. Aku fikir, aku mahu menjemput Hisamiko tinggal di sini semula, selepas aku menyerahkan Kogen kepada Maharaja. Namun sehingga saat itu, aku perlu Hisamiko tinggal jauh dari sini dahulu. Dengan ditemani seseorang. Dan aku akan melawat mereka selalu.

 

“Tempoh hari aku mencuri dengar pengakuan Tsuneki.” Kotobuki memukadimah kisah di dalam kepalanya.

 

Nani? (Apa?)”

 

“Ryouji, Tsuneki mencintai Hisamiko. Hisamiko, aku fikir, juga mencintainya. Namun dia teragak-agak. Dia bimbang engkau tidak membenarkan Tsuneki mengikuti kalian.”

 

Kotobuki-san, engkau memang mulut tempayan. Kisah cinta mereka pun engkau bocorkan! Sebentar, si musang itu memang ada hati dengan adikku rupanya? Aku akan bercakap dengannya kemudian.

 

“Jadi?”

 

“Aku fikir adalah baik jika Tsuneki menemani kalian, demi Hisamiko, demi engkau. Jangan lupa Ryouji, engkau adalah contoh abang kepada Tsuneki selepas kematian Takasaki. Dan aku lihat Tsuneki tidak berapa rapat dengan remaja-remaja lain di sini. Dia hanya menjadi dirinya sekiranya bersama engkau.”

 

“Aku juga tidak mahu Hisamiko keseorangan, Ryouji lagi-lagi selepas kematianmu. Engkau satu-satunya ahli keluarganya yang tinggal. Aku harap engkau tidak menyekat kebenaran aku memasuki lembahmu sekiranya apa-apa terjadi kepada Tsuneki dan Hisamiko. Aku akan sentiasa melawat mereka selepas pemergianmu bagi memastikan mereka selamat di sana.”

 

“Baiklah, Kotobuki-san. Bagaimana pula dengan Omi-san sekiranya dia tahu aku lari senyap-senyap begini?”

 

“Omi-san sudah menjadikan aku pemangkunya sekarang. Semua keputusan datang dariku.”

 

“Hah?”

 

“Aku anak tunggalnya. Sudah pasti aku akan mewarisi tugasnya. Sekarang dia tidak boleh memaksa agendanya lagi ke atas kalian.”

 

“Agenda?”

 

“Oh ya, engkau masih tidak tahu. Bapaku mahu mengahwinkan engkau dengan Ayame.”

 

Nani? Untuk apa?”

 

“Kerana mahu memperolehi kuasa kalian melalui zuriat. Aku tidak bersetuju dengannya. Tidak bagus untuk Ayame menjanda kerana umurmu yang pendek.” Selamba Kotobuki berterus terang.

 

“Baguslah. Aku pun tidak berminat dengannya.” Ryouji memegang tengkuknya, kesakitan selepas ditekan mata urat oleh Ayame dahulu masih segar di ingatan.

 

“Seperkara lagi Ryouji, aku mahu rancangan meninggalkan Kogen ini dilakukan di luar pengetahuan Ayame.”

 

“Apakah kerana perancangan Omi untuk mengahwinkan aku dengan Ayame itu?”

 

“Bukan. Ia atas sebab lain. Tidak perlu kau tahu.”

 

Pertama kali Kotobuki-san berahsia denganku. Selalunya Kotobuki-san bermulut tempayan. Jika engkau punya rahsia, janganlah amanahkan kepada Kotobuki-san. Pasti dia akan membukanya. Namun, mungkin kerana dia sudah menjadi seorang pemimpin. Sebagai pemimpin, engkau akan lebih kerap menyimpan rahsia, kerana engkau memegang amanah ramai pihak.

 

“Baiklah, Kotobuki-san.”

 

“Ryouji...” Kotobuki mengisyaratkan agar Ryouji dekat sedikit dengannya. Ryouji menurut. Kotobuki kemudian berbicara separa berbisik.

 

“Ingat ini. Engkau masih lagi ahli Kogen. Namun engkau harus berada dan tinggal di luar, atas arahanku, buat masa ini. Ada satu misi yang aku ingin engkau laksanakan dalam masa terdekat. Ia misi terpenting kita. Pegang erat-erat kata-kataku ini Ryouji.”

 

“Pasti. Misi apakah itu?”

 

“Rakanku akan memberitahumu. Aku akan memberitahumu langkah pertama kalian pada hari kalian keluar dari sini nanti.”

Previous: Bab 93
Next: Bab 95

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov