Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 63

Shinji mengikut Tatsuhiro menuju ke sebatang pokok gergasi yang akarnya berceracak dan berselirat membentuk sebuah terowong di bawahnya, tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Di tepi pokok gergasi itu adalah hutan-hutan pergunungan Hidagawa. Sekali lagi Tatsuhiro mengeluarkan batu bercahaya itu bagi menerangi terowong akar pokok gergasi.

 

Mereka tiba di dasar terowong di bawah pokok gergasi. Di dalamnya kelihatan seperti bahagian dalam sebuah pondok kayu yang dipenuhi dengan perkakasan kayu. Ada belanga besar diperbuat daripada logam dan batu unggun di bawahnya. Ada rak-rak kayu yang dipenuhi mangkuk dan senduk kayu. Itu bahagian dapur.

 

Sebaik mereka melalui sebuah pintu kecil mereka menemui sebuah bilik bacaan. Di situ dia menemui buku-buku bertulisan aneh. Kualiti kertasnya jauh sekali berbeza dari zaman itu.

 

Dia mencapai sebuah dan membukanya. Tulisannya juga tidak dapat difahami. Ia seperti tulisan kanji Cina namun tidak mendatangkan apa-apa makna kepada Shinji.

 

“Tulisan apakah ini?”

 

“Minum air dahulu.” Tatsuhiro menghulur Shinji sebekas air yang disisip selalu di pinggangnya.

 

Ya. Aku makan halia kering itu banyak sekali aku belum meminum air.

 

Shinji meneguk air dari bekas buluh yang dihulur Tatsuhiro. Sekelip mata sekelilingnya kembali ungu. Kesan halia kering itu mudah dihilangkan dengan meminum air sahaja nampaknya. Shinji kembali dapat menggunakan kuasanya.

 

“Shinji, sekarang buka kembali buku itu dan cuba engkau bacakan dan terjemahkannya.”

 

Shinji membukanya dan sekelip mata dia dapat membacanya!

 

Seribu tahun dari sekarang, Emishi akan hilang dari dunia ini. Namun darahnya tidak akan hilang dan mengalir dalam urat nadi anak-anak Yamato yang terpilih. Saat itu salah seorang dari mereka perlu datang ke sini demi menamatkan sumpah hayabusa. Selain itu...” Shinji menterjemah buku itu sambil Tatsuhiro mendengarnya khusyuk. Ia bahasa Jepun kuno, dan pada ketika bahasa itu digunakan oleh penulisnya Amaguri pada seribu tahun yang lalu, ia masih menggunakan tulisan kanji Cina yang belum diperbaharui.

 

Selain itu...” bacaan Shinji tergantung. Halaman itu terkoyak dari bahagian tersebut. Dia memandang Tatsuhiro.

 

“Tatsuhiro aku tidak faham. Apakah semua ini? Mengapa engkau bawa aku ke sini? Dan bagaimana aku tiba-tiba boleh membaca tulisan ini?”

 

“Bertenang Shinji. Aku akan jawab soalanmu satu-persatu selepas ini. Tetapi sebelum itu...” Tatsuhiro mencapai sebatang kayu yang tersadai sekian lama di atas lantai, iaitu kayu penyapu dari beberapa yang lainnya dan memukul kaki Shinji pantas.

 

“Apa yang kau buat Tatsuhiro?!” Shinji mengerang kesakitan dan rebah. Sekelilingnya mulai beransur ungu, lebih ungu dari ketika dia membaca buku itu.

 

“Shinji, bertarung denganku. Jika engkau enggan engkau akan dipukul. Ambil ini!” Tatsuhiro mengambil satu lagi kayu dan mencampakkannya langsung kepada Shinji. Shinji menyambutnya.

 

Dia bangun. Ketika cuba mengukuhkan tubuhnya dan menghunus kayunya dia langsung dipukul Tatsuhiro di pinggang. Dia rebah sekali lagi.

 

Tatsuhiro terus-menerus memukulnya. Kali ini di lengan dan badannya.

 

“Sakit...sakit...hentikan Tatsuhiro!” Tatsuhiro tidak menghiraukan Shinji. Shinji yang lembik tidak bertindak pantas mengelak, dilemahkan oleh pemandangan sekeliling yang kian ungu. Kesakitan akibat pukulan itu, dan keadaan sekeliling yang ungu menghalangnya dari berfikir dengan jelas untuk mengelak.

 

“Shinji.” Tatsuhiro masih tidak berhenti memukulnya. “Ingat kembali, Shinji! Ingat semua ilmu pertarunganmu dan bangkit melawanku!”

 

“Apa yang engkau bicara?! Engkau gila!”

 

“Aku perlu memukul demi mengingatkanmu.”

 

Nampaknya aku terpaksa memukul kepalanya. Nampaknya memukul tubuhnya tidak memberi kesan.

 

Tatsuhiro kemudian menghala pukulan ke kepala Shinji. Selepas beberapa kali pukulan itu dilakukan di kepala, dia akhirnya pengsan.

 

Sedar dari pengsan dia menyedari dirinya sedang terbaring di atas katil. Dia mendapati kepalanya berbalut. Dia cuba bangun namun tubuhnya terasa begitu berat dan sesekali sakit menyerang dari kawasan tubuh yang tercedera setiap kali dia cuba menggerakkannya.

 

“Tatsuhiro...”

 

“Ya, Shinji.” Tatsuhiro sedang duduk di sebelahnya, sedang membelakanginya sambil menatap sebuah buku.

 

“Engkau baring sahaja di atas katil. Jangan bergerak. Badanmu masih tercedera.”

 

“Mengapa...mengapa engkau memukulku?”

 

“Shinji, engkau ingat apa-apa sekarang?”

 

Shinji terpinga-pinga di perbaringan.

 

“Maksudmu?”

 

“Engkau ingat apa-apa?”

 

“Aku bermimpi.”

 

Sebentar. Bukankah tadi aku kesakitan di seluruh tubuhku?

 

Shinji memegang kepalanya. Tiada kesakitan. Ia hilang. Sekelilingnya kembali ungu. Dia perlahan-lahan mencabut pembalut kepalanya dan bangkit dari perbaringan.

 

“Tatsuhiro.” Shinji memegang kayu tadi seraya melibasnya ke kepala Tatsuhiro, namun Tatsuhiro pantas mengelak.

 

“Shinji, bertenang. Aku memukulmu kerana aku tahu engkau pasti akan sembuh darinya.”

 

“Terangkan.Terangkan semuanya!” Shinji membentak.

 

“Engkau mewarisi kuasa ahli sihir Amaguri.”

 

“Kuasa apa?” Shinji masih dalam posisi cuba menyerang Tatsuhiro dengan kayu.

 

“Engkau mewarisi deria pendengaran dan penglihatan yang tajam dari Amaguri. Dan kuasa penyembuhan yang pantas.”

 

“Hanya itu?”

 

“Namun engkau tidak akan pandai bertarung. Berlatih segigih manapun, engkau akan kekal begitu. Kekal keliru dengan serangan penyerangmu. Engkau tidak akan memiliki daya koordinasi.”

 

“Maka apa tujuan engkau membawaku ke sini?”

 

“Latihan untukmu.”

 

“Hah?”

 

“Anggap ini sebahagian dari latihanmu, untuk menjadi saintis kami.”

 

“Tidak Tatsuhiro. Aku masih tidak nampak apa kaitannya. Kalian mahu memperalat kemahiranku bukan?Dengan menggunakan kuasaku?”

 

“Bukan memperalat. Kami mahu meminta bantuanmu.”

 

Bantuan?

 

“Oh, bantuan ya. Begini. Jika kalian perlukan bantuanku, aku mahukan bayaran!”

 

“Kogen akan mempertimbangkannya.”

 

“Aku mahu ke Eropah dan aku tidak mahu lagi kembali ke sini.”

 

Tatsuhiro tercengang mendengarkannya.

 

“Shinji... aku bimbang jika...”

 

“Engkau tidak dengarkah?! Aku mahu ke Eropah. Jika kalian tidak mampu melakukannya untukku,  lupakan.”

 

“Engkau tidak rindukan rakanmu nanti, berseorangan di negara asing?”

 

Shinji terdiam. Mengapa Tatsuhiro seperti tahu lebih berkenaan hidupku? Siapakah yang membongkarkannya? Kotobukikah?

 

“Aku tidak pedulikan mereka.” Shinji berkata perlahan.

 

“Walau Ryouji sekalipun?”

 

Shinji terdiam seketika.

 

Ryouji sahabatku. Satu-satunya sahabatku selain Tsuneki, Hisamiko dan Chisato dan adik-beradiknya. Namun, mengapa aku begitu berat meninggalkan mereka?

 

“Shinji, engkau mahu meninggalkan negara ini tanpa terlebih dahulu memberitahu mereka? Atau terlebih dahulu mencari asal-usulmu?”

 

“Aku tidak peduli berkenaan asal usulku.”

 

“Benarkah begitu? Engkau telah melihat ibumu di dalam mimpimu? Bagaimana dia dikejar orang-orang Hamada? Dan bertungkus-lumus mencari jalan menyelamatkanmu?”

 

Kata-kata Tatsuhiro mengingatkan Shinji kepada mimpi yang baru dialaminya tadi di dalam pengsan. Mimpi itu terlalu pantas dan dia hampir melupakannya ketika bangkit, ditambah kekeliruan atas apa yang berlaku dan kemarahan terhadap Tatsuhiro. Rupanya mimpi itu bukan sebarangan. Ia mungkin sejarah sebenar diriku.

 

“Tatsuhiro, bagaimana engkau tahu? Dan mengapa ibuku dikejar orang-orang Hamada?”

 

“Ibumu anak murid Noguchi Takamine. Dia melarikan diri kerana Hamada mahu membunuhnya.” Jawab Tatsuhiro, matanya melilau berhati-hati. Seolah-olah sedang mencari perkataan yang sesuai bagi meneruskan kata-kata.

 

Tatsuhiro terus-menerus menceritakan perihal ibu Shinji. Shinji terduduk, melepaskan kayunya.

 

“Maafkan aku Shinji. Ibumu telah dibunuh orang-orang Hamada dalam peristiwa itu, tidak lama selepas engkau ditinggalkan di gereja itu. Orang-orang kami cuba menyelamatkannya namun kami sudah terlewat, dia ditikam dengan pedang beracun dan meninggal dunia. Jika ibumu tidak pantas menyelamatkanmu sudah pasti engkau akan turut dibunuh.”


“Mengapa Hamada mahu membunuh kami?”

 

“Kerana kalian dari keturunan Amaguri.”

 

“Jadi apa kaitannya dengan dia?! Terangkan Tatsuhiro!”

 

Tatsuhiro menerangkan kaitan antara Hamada dengan keturunan Amaguri dan mengapa dia mahu membunuh mereka.

 

“Hanya kalian, keturunan Amaguri sahaja yang mampu membatalkan kuasa semua tama-no-iwa yang pernah dicipta ahli sihir Amaguri. Dengan terbatalnya kuasa itu, engkau akan dapat menangkap Hamada yang turut memiliki kuasa tama-no-iwa pada ketika ini.”

 

Shinji seolah-olah tidak mendengar penerangan Tatsuhiro. Dia lebih berminat mengetahui tentang ibunya.

 

“Di manakah kubur ibuku? Di mana kuburnya, Tatsuhiro?!” Shinji menyoal dalam kemarahan.

 

“Mayatnya telah dikebumikan di dalam hutan di tepi pokok yang besar ini.”

 

Mereka menuju ke kubur ibu Shinji.

 

“Ibumu telah dikebumikan di sini atas wasiatnya.”

 

Shinji duduk di sebelah pusara ibunya, bertafakur. Fikirannya kosong. Apa yang boleh dikenang? Aku tidak pernah melihat wajahmu. Engkau sudah terlalu lama meninggalkanku.

 

Okaa-san, terima kasih. Aku hidup sehingga kini kerana pengorbananmu. Aku tidak pernah melihat wajahmu. Namun engkau tetap hidup dalam fikiranku.

 

Shinji menekap tangan pada busut kofun itu, di pusatnya ada batu nisan bertuliskan nama ibunya, Takeuchi Chiyo. Air matanya menitik satu persatu.

 

“Amaguri telah menyihir tempat ini agar orang-orang selain dari keturunannya hanya dapat masuk dari terowong khas di pergunungan Tateyama sahaja. Dia meletakkan tama-no-iwa pertama yang diciptanya di sini, berdekatan kubur ibumu. Iaitu tama-no-iwa asal yang memiliki kuasa paling tinggi dari tiga tama-no-iwa utama yang hilang dari pemilikannya.”

 

Lebih kurang seribu tahun lepas, Fujiwara-no-Sekiro atau Shirasaka-no-Hayabusa, pengasas puak Shirasaka, telah menanam batu tama-no-iwa sehingga lembah yang diliputinya, iaitu Shirasaka-no-kogen turut merangkumi terowong itu. Oleh itu, hanya orang-orang yang dibenarkan Kogen memasuki Shirasaka-no-kogen sahaja yang akan dapat memasuki kawasan rahsia Amaguri.

 

“Apakah fungsi sebenar batu itu?”

 

“Puak Emishi ialah puak asal yang menghuni tanah ini lama dahulu sebelum bangsa Yamato tiba di sini dari tanah besar. Namun bangsa Yamato sering melanggar penempatan mereka bahkan kerapkali berperang. Ahli sihir Amaguri telah mencipta batu tersebut demi melindungi kawasan mereka.”

 

“Suatu ketika puak Yamato mendapat tahu Amaguri bertanggungjawab menjaga kesemua kawasan perkampungan Emishi. Amaguri pada hemat mereka, harus ditangkap, agar mereka dapat mengeluarkan saki-baki Emishi yang masih bersembunyi. Jika tidak, mereka akan menyusun bala tentera senyap-senyap demi memerangi bangsa Yamato.”

 

“Ketika Amaguri melarikan diri, dia tercicir sebahagian dari tama-no-iwa-nya. Itulah yang ditulis dalam diarinya di dalam pondok di bawah pokok gergasi itu, menurut terjemahan ibumu kepada Kotobuki. Pada hemat Kotobuki, tiga itulah yang menjadi punca kepada kuasa Shirasaka, Okuhida dan satu puak samurai misteri bernama Higashihara.”

 

Ketika Omi menubuhkan Kogen dan membangunkan tempat ini dari sebuah lembah terbiar yang kosong dan dipenuhi semak dan bungaan liar, buruh yang terlibat dalam membina perpustakaan tersebut telah melaporkan penemuan terowong ke kawasan rahsia Amaguri kepada Omi. Omi mencadangkan agar dibina sebuah unjuran di perpustakaan tersebut bagi menyembunyikan terowong ini.

 

“Bagaimana pula unjuran itu dipenuhi buku-buku lucah? Omi juga seorang yang miangkah?”

 

Tatsuhiro menahan ketawa. “Bagi mengalih perhatian penceroboh. Itupun jika mereka berjaya membongkar lipatan dinding yang aku tolak tadi. Bukan mudah mengesan kewujudannya.”

 

“Hah? Engkau fikir ia berkesan untuk semua penceroboh?”

 

Aku tidak fikir kaedah itu berkesan, lebih-lebih lagi jika penceroboh itu Ryouji. Kogen tidak serius sebenarnya. Ia lebih kepada tempat menyembunyikan buku-buku itu sahaja.

 

“Sekurang-kurangnya.” Tatsuhiro membalas.

 

“Tatsuhiro, aku masih musykil. Rumah kami di Hidagawa punya sebiji tama-no-iwa namun aku tidak pernah tahu kewujudannya sehinggalah Ryouji memberitahuku di sini. Namun aku tidak pernah pula melihat persekitaranku berubah ungu di situ.”

 

“Ia kerana kuasanya lebih rendah dari tama-no-iwa Amaguri di sini. Dan ia tambatan, maka jauh lebih lemah, lebih lemah dari tama-no-iwa milik Shirasaka yang punya enam persepuluh kuasa tama-no-iwa Amaguri, dan tama-no-iwa milik Okuhida yang punya dua persepuluh.”

 

“Batu ini juga tama-no-iwa.” Tatsuhiro menunjukkan batu yang menerangi terowong yang mereka lewati tadi. “Namun batu ini lemah, kufikir dipotong dari tama-no-iwa Shirasaka, kerana aku menemuinya di dalam terowong itu dan engkau tidak pula mengesan keunguan.”

 

“Siapa yang memotongnya?”

 

“Sama ada Kotobuki, Omi atau Ayame. Hanya mereka sahaja yang boleh memotongnya. Sesiapa yang cuba memotong batu tersebut pasti akan gagal.”

 

“Shinji, engkau pasti berfikir dengan menghapuskan kuasa semua tama-no-iwa, engkau akan dapat menangkap Hamada dan membalas dendammu. Namun engkau harus memikirkan kesannya juga. Rumah-rumah perlindungan Kogen akan terbuka kepada pencerobohan luar. Sanggupkah engkau melihat mereka diserang? Bukankah engkau pernah menginap di rumah perlindungan itu? Bagaimana jika engkau di tempat mereka? Fikirkan baik-baik Shinji.”

 

“Bukankah kawasan ini juga akan terkesan?”

 

“Ya Shinji. Segala apa yang telah kami bangunkan di sini akan terkesan jika engkau memilih menghapuskan kuasa tama-no-iwa. Namun sesiapa yang telah menguasai kaminari-no-kaze, akan kekal menguasai seni bertarung separa kami itu kerana seni itu sendiri telah meningkatkan had tampungan tenaga petarungnya. Puak Okuhida dan Shirasaka, akan kekal dengan kebolehan bertarung mereka. Hanya kuasa perlindungan tama-no-iwa sahaja yang akan terkesan dengan keputusanmu.”

 

Tak guna Kotobuki-san! Adakah engkau sengaja mahu mengujiku? Lebih baik aku tidak tahu daripada tahu!

 

Kotobuki-san, engkau gila, gila! Engkau lebih gila dari Takasaki-san!

 

“Shinji, aku telah melaksanakan semua arahan Kotobuki untukmu setakat ini. Pilihan di tanganmu sama ada mahu menghapuskan kuasa tama-no-iwa ataupun tidak...”

 

Sebaik Tatsuhiro menghabiskan kata-katanya, Shinji terduduk. Mengapa Kotobuki-san, mengapa? Mengapa engkau meletakkan pilihan yang berat ini di tanganku?

 

Tatsuhiro,Tatsuhiro! Shinji menyedari Tatsuhiro hilang dari pandangan tiba-tiba. Dia menyedari sesuatu. Di dalam sakunya terdapat batu yang digunakan Tatsuhiro bagi menerangi terowong tadi, bersama sekeping nota bertulis begini:

 

Engkau boleh pulang semula ke Kogen melalui terowong tadi, menggunakan batu ini. Ia potongan tama-no-iwa Amaguri yang bersepahan di sekeliling tama-no-iwa Amaguri utama di sini, entah siapa yang memotongnya. Teruskan perjalananmu, jangan risau, tiada sesiapa mengekorimu dari sini. Aku telah memeriksa sekeliling.

 

Tak guna ‘budak tua’ itu meninggalkan aku berseorangan di sini! Namun bagaimana dia menyelitkan nota ini ke dalam sakuku?

 

Shinji kembali ke tempat di mana tiang batu tama-no-iwa Amaguri utama ditanam. Ia sebatang tiang batu berwarna putih sama seperti di lembah Okuhida. Di sekelilingnya terdapat serpihan-serpihan batu tersebut yang dipotong entah siapa. Shinji cuba memotongnya dengan menghentak menggunakan sebatang kayu, namun tidak berhasil.

 

Shinji berjalan kembali ke terowong. Tatkala sekelilingnya mulai berubah ungu, dia menyeluk kantung pemberian Tatsuhiro dan mengambil kudapan halia itu. Sekelilingnya kembali jelas dan terang. Dia sampai di pintu masuk terowong.

 

Perkara ini benar-benar mengujakan. Bagaimana tempat ini, yang terletak di Hidagawa, boleh dihubungkan oleh terowong pendek begini ke Shirasaka? Aneh. Seolah-olah jarak antara keduanya dimampatkan oleh terowong ini.

 

Shinji memerhati sekeliling. Dia menemui sekumpulan batu yang kelihatan sama dengan batu tama-no-iwa Amaguri, disusun dalam bentuk bulatan tidak jauh dari permukaan lubang masuk ke terowong. Shinji mengamati batu-batu itu. Tidak ada apa yang menariknya.

 

Namun tidak lama kemudian, keadaan sekelilingnya kembali ungu. Dia memandang ke arah kumpulan batu tersebut. Di dalam bulatan kumpulan batu itu terteralah imej bilik unjuran di perpustakaan. Shinji memandang ke langit dan mendapati kumpulan batu itu menerima cahaya berwarna biru dari matahari biru. Ia seolah-olah menyerap tenaga darinya. Kemudian cahaya biru itu dipantulkan ke arah pintu masuk terowong. Permukaan batu-batu itu sengaja dipotong agar mukanya memantulkan cahaya biru ke permukaan terowong.

 

Apakah ini puncanya? Apakah batu-batu ini membolehkan pemindahan dilakukan merentas ruang dan masa? Shinji mengeluarkan batu yang diberikan Tatsuhiro dan membandingkannya dengan batu-batu itu dari segi tekstur. Sah! Kumpulan batu ini ialah tama-no-iwa!

 

Aku fikir, dengan cara yang sama, aku akan dapat keluar dari Kogen bagi menangkap Hamada. Namun, aku perlu mengkaji lebih dalam lagi bagaimana ia dilakukan. Dan aku memerlukan lebih banyak tama-no-iwa. Yang ada bersepahan di sekeliling tama-no-iwa Amaguri itu tidak cukup. Aku perlukan pertolongan seseorang. Aku tidak mampu memotongnya.

Previous: Bab 62
Next: Bab 64

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov