Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 45

Takasaki sedang duduk di dalam pondok merpati mengendap Ryouji dan Chisato seperti biasa.


"Bagus engkau Chisato, memanfaatkan asetmu menahan Ryouji dari keluar. Aku serahkan Ryouji yang degil itu kepada engkau sahajalah."


Takasaki memandang ke arah tebing Sungai Miya pula. Dia ternampak kelibat seseorang berjalan mendekati gerbang buluh. Takasaki turun dari pondok, dengan katana tersisip di pinggang, bersiap sedia takut-takut yang datang itu penceroboh.

 

Atau mungkin Kobato. Meskipun tama-no-iwa masih di situ, dia masih belum membuang nama Kobato dari senarai nama penghuni yang dibenarkan memasuki kawasan rumah itu. Tama-no-iwa mencegah penceroboh dari memasuki kawasan rumah perlindungan.

 

**

 

Selingan mengenai tama-no-iwa (batu semangat, monolith of the spirits)

 

Tama-no-iwa ialah sejenis batu mistik seperti yang terdapat di lembah Okuhida dan lembah Shirasaka. Batu ini wujud di tempat di mana perjanjian dengan hayabusa-no-kami dilakukan.

 

Dalam kes Takasaki, dia membuat perjanjian tersebut sebagai lanjutan atau tambatan kepada perjanjian puak Shirasaka, maka tapak di mana rumah perlindungan dia didirikan itu juga dikira sebagai tanah yang berada di bawah perjanjian antara Shirasaka dengan hayabusa-no-kami, selain dari lembah tinggi Shirasaka (Shirasaka-no-kogen) di pergunungan Tateyama di mana Kogen beribupejabat.

 

Namun Takasaki perlu patuh kepada satu syarat, iaitu dia tidak boleh mengembangkan puak Takasaki melalui pertambahan zuriat. Jika tidak, perjanjian tersebut akan bertukar kepada perjanjian antara Takasaki dengan hayabusa-no-kami, dan keturunan Takasaki akan menanggung sumpah hayabusa dan menerima nasib yang sama seperti keturunan Okuhida dan Shirasaka.

 

Tujuan Takasaki membuat perjanjian ini ialah bagi melindungi rumah perlindungan tersebut dari dicerobohi orang-orang Tsugiyama dan keluarga Yoshitsugu yang sedang mencarinya. Hanya Takasaki yang boleh memberi kebenaran atau menghalang sesiapa sahaja yang ingin masuk dan keluar dari kawasan yang dilindungi, dengan melafazkan nama si fulan di hadapan tama-no-iwa ini. Jika seseorang tidak dibenarkan memasuki rumah perlindungan ini, mereka akan dikelirukan oleh pemandangan di sekelilingnya, sama sepertimana orang-orang yang tidak dibenarkan memasuki lembah Okuhida dan Shirasaka.

 

Di rumah perlindungan Takasaki, batu tama-no-iwanya terletak di tapak runtuhan kuil Shinto lama kepunyaan keluarga Funazuki dan disembunyikan oleh pokok-pokok renek yang sengaja ditanam. Hanya keluarga Shirasaka, Takasaki dan Mariko sahaja yang tahu kedudukan batu tama-no-iwa di rumah perlindungan itu.

 

**

 

Takasaki berdiri menanti sehingga kelibat itu benar-benar bersetentang dengannya. Kilat berkelip-kelip di dada langit, dan membongkar kelibat itu sebagai Kobato.

 

“Kita bertemu lagi, Kobato. Engkau tidak perlu masuk ke halaman rumah kami.” Takasaki berdiri di hadapan Kobato, di laluan menghala ke gerbang buluh.

 

“Takasaki-san, terima kasih kerana telah menjagaku sejak kecil. Namun aku telah mengambil keputusan ini. Engkau harus mati di tanganku, malam ini juga.”

 

“Aku telah bersedia, Kobato. Namun aku tidak akan sewenang-wenangnya menyerah diri. Buktikan hasil latihanmu selepas kali pertama kita bertarung beberapa bulan lepas.”

 

Takasaki mengisyaratkan kepada Kobato agar mengikutinya. Tidak lama kemudian, mereka berada di sebuah kawasan lapang di dalam hutan buluh, yang sedikit jauh dari kawasan lapang di mana Ryouji dan Chisato selalu berlatih.

 

Kobato dan Takasaki bergerak berpusingan. Malam itu bulan separa. Langit sekali-sekala memancarkan kilat, dan bunyi guruh sabung-menyabung sayup-sayup di kejauhan namun tidak hujan di sini. Barangkali hujan sedang turun dengan lebatnya nun jauh di tempat lain.

 

Kobato menggunakan pedang yang ditempanya sendiri, hanya menggunakan tamahagane biasa. Pedang Kobato sama sahaja seperti pedang biasa dan bermata. Namun begitu, dia masih mampu mencapai jurus kesembilan kerana telah mengosongkan segala beban emosi. 


Takasaki pula, menggunakan pedang tidak bermata, Saishi-tou yang ditempa Shinji menggunakan resin aomomiji. Pedang Takasaki kuat dan ringan, membolehkan dia mencapai jurus kesembilan meskipun tidak mampu mensifarkan beban emosi. 

 

Namun, Takasaki memilih untuk melepaskan segala-galanya. Keyakinannya terhadap Ryouji sudah meningkat, dia tidak perlu lagi bimbang. Dia mahu mengakhiri penderitaan jiwanya malam ini.

 

Pertarungan bermula sebaik Kobato menghayun pedangnya.

 

“Takasaki-san, selepas hari itu, adakah engkau membenciku?

 

“Aku tidak pernah membencimu.”

 

“Tetapi sikap engkau telah berubah. Engkau mengelak mengajarku jurus ketujuh dan ke atas. Dan aku mempelajarinya sendiri dari Ryouji."


"Ryouji, yang ketika itu hanya tahu sehingga jurus keenam, sanggup mengajarku sehingga jurus lapan meskipun dia tidak benar-benar arif akannya. Dia mengajarku apa yang dihafal dari lisan bapanya yang belum dipraktik, demi aku Takasaki-san.”

 

“Aku tidak mahu engkau menjadi sepertiku. Menjadi penumpah darah di belakang Hamada. Penumpah darah hanya akan membiakkan lebih ramai penumpah darah. Aku hanya mahu zaman ini berakhir.”


"Maka mengapa engkau masih membenarkan Ryouji mengajarku?"


"Kerana aku lihat engkau berubah selepas kedatangannya. Engkau tidak lagi kerap berseorangan melayan kegilaanmu itu. Aku bilang masih ada harapan untukmu." Takasaki merujuk peristiwa Kobato menyembelih tupai, dan mengaitkannya dengan sikap Kobato yang suka menyendiri.

 

“Engkau juga jarang berbicara denganku selepas kejadian di hutan hari itu. Engkau kecewa denganku?”

 

“Ya. Aku kecewa. Aku kecewa dengan jawapan yang engkau beri. Apakah nilai nyawa di matamu?”

 

“Aku tidak menghargai nyawa lagi, selepas kematian ibu bapaku. Jika mereka dibunuh sewenang-wenangnya, maka aku juga boleh membunuh sewenang-wenangnya.”

 

Mereka berterusan bertarung. Pedang berdenting berbalas-balas. Kawasan pertarungan yang sempit kini bertambah luas, apabila buluh-buluh terpotong oleh libasan katana Kobato.

 

“Takasaki-san, selepas aku membunuh engkau, aku akan membunuh Hamada pula. Kalian berdua sama sahaja.”

 

Takasaki tidak menunjukkan reaksi terhadap kata-kata Kobato itu.

 

“Apakah tidak sedikitpun keinginan dalam dirimu untuk memaafkanku Kobato?”

 

“Aku hanya berterima kasih kerana engkau membesarkanku sehingga aku dapat berada di sini sekarang. Namun aku tidak akan sekali-kali memaafkanmu.”

 

“Tujuh belas tahun aku kehilangan mereka. Tujuh belas tahun aku sepatutnya membesar dengan mereka, namun aku ditempatkan di sini denganmu. Mariko dan engkau, kalian sama sahaja. Kalian tidak pernah menerima aku sebagai anak!”

 

Benarkah begitu, Kobato? Aku sendiri tidak tahu bagaimana rasanya memiliki anak. Aku keliru. Aku berkahwin lewat sewaktu berkhidmat dengan Hamada, kerana risaukan nyawaku dicabut olehnya dengan arahan seppuku wewenang, ketikamana aku sudah memiliki keluarga. Dan dengan Mariko pula, aku dihalang memiliki zuriat demi mengelakkan sumpah hayabusa ke atasku dan keturunanku.

 

Namun aku tetap cuba, meskipun dihambat kecewa selepas kejadian di hutan itu, cuba menerima engkau sebagai anakku. Aku tetap tidak sanggup melepaskan engkau. Di kala aku dihambat kegagalan komunikasi. Dan Mariko juga seorang yang dingin dan tidak menyokong usahaku.

 

Sekian lama bertarung, mereka berdua di jurus kesembilan, jurus terpantas yang dikuasai mereka berdua. Pada satu ketika, Takasaki sudah hampir mematahkan leher Kobato dengan hayunan pedangnya, namun dia melihat anak mata Kobato bergetar di bawah cahaya kilat yang berkelip-kelip.


Tidak, itu rusuhan tenaga! Tidak, aku tidak boleh membiarkan nyawa Kobato dikorbankan rusuhan tenaga! Aku perlu menghentikannya. Aku perlu menghentikannya dengan membiarkan dia membunuhku segera. Hanya dengan itu, tujuannya dicapai. Hanya dengan membiarkan petarung mencapai tujuan pertarungan dengan segera sahaja, maka rusuhan tenaga di dalam tubuh mereka dapat dielakkan. Ini kerana selepas mereka mencapai tujuan pertarungan, sudah pasti mereka akan memperlahan mendadak ke jurus rendah sekaligus merencatkan pengumpulan tenaga di dalam tubuh.

 

Takasaki tidak sanggup. Dia terlalu sayangkan Kobato yang telah dijaganya sejak kecil seperti anaknya sendiri, meskipun dia tidak terlalu arif menjadi seorang bapa. 

 

Kobato tidak berlengah, mencuri kesempatan yang ada. Pada ketika itu juga, pedang Kobato membelah merentas perut Takasaki seperti seppuku. Takasaki tersungkur, menggelupur kesakitan sedang darah panas mengalir deras membasahi bumi.

 

“Maafkan aku Kobato.” Takasaki berkata dalam kesakitan, sambil tangannya menekup perut.

 

“Aku maafkan engkau.” Kobato berkata, dan hampir serentak, memacakkan pedangnya betul-betul di dada Takasaki. Takasaki terbaring menelentang, matanya memandang ke langit sambil tangannya menekup perut.

 

“Aku mendapat ketenangan. Terima kasih Kobato.” Takasaki berkata dalam tersekat-sekat, seraya menghembuskan nafas terakhirnya dengan mata terbuka.

 

Berakhirlah riwayat pencipta kedua kaminari-no-kaze, Takasaki Nakatsu. Ketika itu awal musim bunga, 1872.


Tabir hitam menghijab sanubari

kala mencari kemanusiaan yang berbaki

satu-satunya anak yang dikasihi

kini menjadi lawan yang digeruni


Nafas terakhir dihembus lalu

kala tenang akhirnya di kalbu

tsunami dendam berombaklah lalu


**

 

Ryouji dan Chisato masih di tempat mereka. Bunyi guruh sabung-menyabung dari kejauhan, mungkin hujan lebat nun jauh dari situ.

 

Sedang berbual, ketikamana bunyi guruh mula berkurangan, mereka dikejutkan dengan bunyi dentingan pedang sayup-sayup. Mereka berdua cuba menjejakinya. Namun bunyi itu ditenggelamkan oleh bunyi sayup-sayup guruh yang sekali-sekala muncul tanpa amaran. Mereka meredah hutan buluh yang rapat-rapat itu.

 

Namun ketika mereka hampir sampai ke punca bunyi, guruh tidak lagi berbunyi. Dentingan pedang juga tidak lagi kedengaran.

 

Mereka perlahan-lahan meredah rimbunan buluh.

 

Takasaki sudah terbaring berlumuran darah. Kobato masih berdiri dengan pedangnya penuh kesan darah.

 

“Kobato!”

 

Kobato melarikan diri.

 

“Chisato, aku akan mengejar Kobato. Engkau tunggu Takasaki-san di sini.”

 

“Ryouji, apa sudah berlaku? Kozue-sankah itu?”

 

“Nanti akan aku ceritakan. Jaga dirimu Chisato.”

 

Ryouji pada malam itu hanya keluar untuk bersendirian di hutan buluh, maka dia tidak membawa pedang Saishi-tou-nya. Dia menjejaki Kobato sehingga tiba di tempat Saki dan Azusa terbaring.

 

“Kobato...” Ryouji terperanjat melihat mayat Saki dan Azusa, saling berpegangan tangan. Kobato berhenti berlari dan sedang berdiri di hadapannya. Dia melarikan diri untuk membawa Ryouji ke situ, di tebing Sungai Miya. Di situ lapang dan jauh dari rumah perlindungan.


"Kobato...apa yang telah berlaku? Saki, Azusa...!" Ryouji menggoncang tubuh kedua-dua mereka. Kaku. Kesan robekan pedang jelas di pinggang Saki dan Azusa ketika kilat di langit berkelip.

 

“Jika engkau bertanya, akulah yang membunuh mereka berdua, dan juga Takasaki.” Kobato mengakuinya, dan ketawa. Ryouji mengalih pandangan kepada Kobato sebaik mendengar kata-katanya.

 

“Engkau sudah hilang akalkah?! Mereka sahabatmu, Kobato! Dan Takasaki, dia menjagamu sejak kecil!"

 

“Ryouji, aku memang sudah lama hilang akal. Sejak Takasaki-san membunuh ibu bapaku. Inilah perangai sebenarku.” Kobato menyeringai ketika berkata itu. Dia nampaknya langsung tidak menyesal dengan apa yang telah dilakukan.


Ryouji tidak dapat menahan marah, seraya meluru pantas ke arah Kobato dan menumbuknya.


"Engkau gila!" tempik Ryouji. "Dia membunuh ibu bapamu atas arahan Hamada!"

 

Kobato tersungkur, mulutnya berdarah. Namun dia pantas bangkit dan berundur, tangannya memegang hulu katana, menariknya dan menghunus ke arah Ryouji. Melihatkan itu, Ryouji menjarak dan bersedia menghadapi segala kemungkinan.


“Dan mengapa dia tidak mengingkarinya?”

 

“Dia mengingkarinya. Disebabkan itu engkau masih hidup.”

 

“Tidak, Ryouji. Jika dia mengingkarinya ibu bapaku sudah tentu masih hidup. Engkau tidak perlu menegakkan benang yang basah.”


"Saki dan Azusa, mengapa engkau membunuh mereka?! Kobato, mereka tidak terlibat!"


"Mereka menghalangku dari menemui Takasaki. Aku terpaksa membunuh mereka."


Semudah itu? Hanya itu alasanmu, Kobato? Apakah sebegitu murah nyawa padamu? Mereka sahabatmu, kenalanmu. Apa nilai hubungan engkau dengan mereka, Kobato? 


Sebentar, melihatkan Saki dan Azusa keluar sejauh ini menghalang Kobato, bererti mereka sudah tahu Kobato akan datang ke sini malam ini. Aku tahu Saki sememangnya menyukai Kobato. Semua penghuni pun tahu itu. Mereka berkomunikasi selama ini! Namun dengan apa? Dengan merpati? Dan aku teringat, Saki tiba-tiba meninggalkan aku dan Takasaki selepas mendengar sesuatu berkenaan jurus kesembilan. 


Ini bermakna, Kobato sudah tahu rahsia jurus tersebut! Mungkin dia sudah menguasainya. Mungkin dengan mengurangkan beban emosi, kerana aku lihat pedangnya hanya pedang biasa, berat, ketika dia menghunusnya. Dan mungkin, komunikasi antara dia dengan Saki menggunakan pemberian Saki itu. Aku tahu, ada burung merpati pengutus mampu mengekor objek rujukan yang bergerak seperti pemberian Saki itu, hasil dari pembakaan terpilih sepertimana Goro dihasilkan dari pembakaan terpilih burung hayabusa. Dan pada era ini, hanya burung sahaja yang mampu melakukan komunikasi jarak jauh.


Ini bermakna Kobato merancang dari awal lagi! Mengapa, mengapa sekarang baru aku menyedarinya?! Dan Saki, dia mencintai Kobato. Ini bermakna Kobato memperalat cinta Saki selama ini, demi membongkar rahsia jurus tersebut! Dan aku, mungkin aku juga diperalat demi dia mencapai jurus tujuh dan lapan! Mengapa aku tidak menyedarinya selama ini?


Marah membuak-buak di dalam dadanya, dia berasa dipermainkan, diperkotak-katikkan. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia menyedari hubungan persahabatan yang palsu. Kobato bijak. Dia merancang. Dia tegar pada tujuan hidupnya yang satu, iaitu dendam. Demi melunaskan dendam yang tersimpan sejak kecil. Aku tidak sangka, Kobato, engkau yang lurus bendul dan peramah ini mampu merancang semuanya dengan baik, hanya didorong oleh keinginan membalas dendam. 

 

"Kobato, apa yang telah berlaku padamu sepanjang pemergianmu?" Ryouji cuba menahan marahnya, dia masih mahu memahami Kobato. Kobato tidak menjawab, masih dalam posisi bertarung dengan menghunus pedangnya.


"Mengapa engkau berubah begini, Kobato? Mengapa engkau melarikan diri dariku pada hari itu?" Ryouji merujuk hari di tahun lepas ketika Kobato datang bertemu Takasaki.


Kobato masih tidak menjawab, sebelah tangannya mengesat darah di hujung bibir, sebelah tangan lagi menghunus pedangnya ke arah Ryouji. Tumbukan Ryouji tidak mampu mengembalikan kewarasannya. 


"Kobato, aku tidak tahu kehidupanmu selama tempoh dua tahun lebih engkau meninggalkan rumah itu. Apa yang berlaku sebenarnya, Kobato? Mengapa engkau berubah begitu ketara?”

 

“Aku tidak berubah Ryouji. Seperti yang kukatakan, aku telah lama hilang akal. Inilah diriku yang sebenar.”

 

“Maka apakah Kobato yang aku lihat selama ini hanya lakonan semata-mata?”

 

“Benar. Aku mahu menyembunyikan sakit di dalam hati. Aku perlu berbaik denganmu demi mempelajari jurus tinggi kaminari. Takasaki tidak akan mengajarnya kepadaku.”


Maka benarlah dia telah memperalatku. Namun tidak, aku kenal Kobato lebih dari itu, meskipun cuma setahun. Tidak, tidak mungkin semuanya dusta. 

 

“Bagaimana dengan tangisan engkau di tengah malam?” Ryouji bertanya, kerana difikirkan mungkin hanya itu sahaja perbuatan jujur Kobato. Perlakuan yang membuktikan perasaan sebenar dalam dirinya.


Kobato sedikit terkejut. Tak sangka engkau mendengarnya Ryouji. 

 

“Aku bersedih kerana aku tidak mampu melakukan apa-apa demi menuntut bela kematian ibu bapaku. Maka aku melepaskannya dengan tangisan. Jika saat itu aku mampu aku pasti telah meninggalkan rumah itu lama dahulu lagi untuk menjejaki pembunuh itu."

 

“Bagaimana dengan nasihat engkau ketika aku mahu keluar mengejar pembunuh bapaku? Apakah itu juga lakonan?”


Kobato terdiam. 


"Jawab soalanku Kobato! Apakah persahabatan kita selama ini dusta?!"

 

“Tidak, Ryouji. Saat itu aku masih risaukan engkau. Aku tidak mahu engkau menjadi sepertiku. Pada hari itu, aku benar-benar melihat kesakitan dalam diriku pada engkau." Wajah Kobato berubah tenang seketika, terpancar keikhlasan dari kata-katanya. Sedari tadi wajahnya menyeringai seperti seorang pembunuh gila yang dahagakan darah.


"Ryouji, engkau telah banyak mengubah penghuni rumah itu. Engkau harapan mereka. Aku tidak mahu hidupmu dikuasai dendam dan menjadi sepertiku. Mungkin, hanya itu yang mampu aku lakukan untuk mereka rakan-rakan kita, dengan menyelamatkanmu."

 

Ryouji tergamam mendengar jawapan Kobato. Dia sedar dia dikuasai dendam. Namun dia merelakan diri menjadi hamba pada dendam itu. Apa yang engkau ingin capai, Kobato? Apakah dengan membalas dendam mampu menghidupkan kembali ibu bapamu? 


Kobato, engkau tidak pernah berubah. Engkau hanya memendam. Engkau hanya menyembunyikan perangai sebenarmu, sehingga keadaan mengizinkan engkau melunaskan dendammu. Engkau seorang pelakon yang handal! Aku berterima kasih engkau masih risaukan aku pada hari itu. Namun tidak, aku tidak akan sekali-kali melepaskan engkau hari ini. Nasi telah menjadi bubur, dan engkau telah membunuh Saki, Azusa dan Takasaki-san. Engkau telah melampaui batas! Aku akan memberkasmu dan memastikan engkau menerima hukuman setimpal.


"Kobato, jika engkau tidak berpuas hati, engkau boleh sahaja melapor kepada bugyou (hakim) agar Takasaki dibicarakan. Membalas dendam dengan membunuh, engkau tiada beza dengan Hamada. Malah engkau telah menipu Saki, dan membunuh dia dan kakaknya.” Bugyou ialah samurai yang berperanan sebagai hakim atau majistret dalam mengadili kes-kes jenayah dan sivil pada era itu.  


“Melapor kepada bugyou? Lawak apakah itu Ryouji? Tiada mahkamah di bumi Yamato ini. Jika tidak, bagaimana Hamada masih boleh sewenang-wenangnya membakar rumah-rumah petani di Shinagawa dan kemudian masih terlepas di luar sana? Apa fungsi bugyou itu? Engkau masih berfikir Takasaki layak dibicarakan di situ sedang jelas dia akan terlepas?"


Aku sedar itu. Namun aku masih berharap aku dapat membawa Sonzaemon dan Hamada ke bugyou untuk dibicarakan, suatu hari nanti. Aku amat berharap pembaharuan yang dilakukan Maharaja itu turut mengubah sistem perundangan kami demi membela mereka yang teraniaya. Namun, aku fikir aku perlu menahan Kobato di Kogen dahulu. Kogen lebih tegas dalam membicara kes-kes begini, berbanding sistem bugyou yang masih berbau samurai itu.


"Kobato, aku perlu memberkasmu sekarang dan membawamu ke dalam tahanan Kogen demi membela kematian Saki dan Azusa yang tidak berdosa. Serah diri sahaja, atau engkau akan aku tumpaskan sekarang."


"Maka aku tiada pilihan dan terpaksa membunuhmu Ryouji, meskipun engkau satu-satunya sahabatku."


Ryouji membuka pencak, tanpa sebarang senjata bersamanya. Dia yakin dia mampu mengalahkan Kobato dengan hanya mengelak dan merampas senjatanya. 


"Ryouji, jika engkau tewas di tanganku, aku akan memaksa Chisato mengikutku."

 

“Engkau boleh bermimpi Kobato. Engkau ingat mudah mengalahkannya? Aku telah melatihnya jurus kesembilan. Dan selagi nyawaku dikandung badan, aku tidak akan menyerahkan Chisato kepada engkau!”

 

“Jika begitu aku perlu menghapuskan engkau hari ini. Ryouji, selamat menyertai mereka bertiga ke neraka.”

 

Ryouji mengelak libasan pertama Kobato. Jurus demi jurus, mereka meningkat dalam bertarung. Ryouji hanya terus-menerus mengelak. Sehingga ke jurus kelapan. Ryouji sama naik. Kobato hanya memukul angin. Sekali-sekala Ryouji melihat mata Kobato tatkala kilat menerangi dada langit, matanya kosong. Jiwanya kosong. Jelas, tiada apa yang akan dicapai jika membalas dendam dengan membunuh. Hanya kekosongan demi kekosongan.

 

Mereka meningkat naik ke jurus kesembilan. Ryouji masih mengelak. Pada satu ketika, awan mendung mula menutupi cahaya bulan, dan hanya sekali-sekala kilat berkelip di dada langit dan wajah Kobato sukar dikesan. Hanya kilauan pedangnya sahaja yang memantulkan cahaya kilat membantu Ryouji mengesaninya. Sehinggalah Kobato tiba-tiba mengundur dan tersungkur di atas tebing Sungai Miya itu. Ryouji memperlahan dan mendarat di atas tanah melihatkan Kobato berhenti tiba-tiba.


Saat itu, ketika dia terbaring di atas tanah, Kobato mula berasa sesuatu sedang berlaku ke atas tubuhnya. Daging-daging di kakinya mereput dan mengewap, diikuti tulangnya. Pengewapan daging itu melarat, dari kaki, kemudian ke lutut, dan pinggang. Ketakutan jelas tergambar di wajah Kobato.

 

Pada ketika pengewapan daging itu melarat ke paras dada, Ryouji datang menghampiri Kobato.

 

“Kobato, terimalah pembayaran menggunakan jurus kesembilan.”

 

“Apa yang engkau katakan, Ryouji?” Kobato, dalam terbaring dengan hanya separuh jasadnya masih berbaki, tangannya masih memegang katana dan melibas-libas ke arah Ryouji. Tidak sedikitpun mengena.

 

“Engkau masih belum mahir mengawal rusuhan tenaga dalam tubuhmu. Hanya puak Okuhida dan Shirasaka sahaja yang mampu mengawalnya. Selain dari puak-puak itu, kalian perlu berlatih bertahun-tahun sebelum mahir, atau belajar mengurangkan beban fizikal.”

 

“Mengarut! Aku telah mencapai zen. Pedangku ini telah membelah batu!”

 

“Tidak, Kobato. Pedangmu hanya pedang biasa. Hanya pedang kami yang mampu menghindar kalian dari rusuhan tenaga kerana beratnya yang ringan luar biasa. Saki tidak memberitahumu?"


"Bagaimana engkau tahu, Ryouji?!" Kobato menengking, masih melibas-libas pedangnya. Tidak, Saki tidak membocorkannya!


"Tidak, Kobato, jika engkau fikir Saki memberitahuku. Saki terlalu mempercayaimu, dia mengunci mulutnya. Dia mencintaimu sepenuh hati, namun sayang, engkau mengkhianatinya! Engkau membunuhnya, insan yang tidak berdosa itu bersekali dengan Azusa."


"Kobato, masa engkau terlalu suntuk. Akui kesalahanmu.”


Kobato tidak mempedulikan kata-kata Ryouji. Dia melibas-libas pedangnya sehingga tangannya turut mengewap dan pedang itu tercampak. 

 

“Kobato, seteruk mana sekalipun dosa-dosamu, aku mahu engkau tahu satu perkara, yang engkau tetap sahabatku.”

 

Kobato hanya tersenyum mendengarnya, ketika pengewapan itu melarat ke dagunya. Air matanya mengalir memandang Ryouji.

 

“Terima kasih, Ryouji, ore no tatta hitori no tomodachi da (satu-satunya sahabatku). Sayonara.” Kobato melafazkan kata-kata tersebut, sebelum perlahan-lahan kepalanya mengewap.

 

Ryouji hanya melihat, pengewapan itu melarat sehingga ke hujung rambut Kobato. Di akhir pengewapan, yang tinggal hanyalah pakaiannya.

 

Hujan mulai turun di kawasan itu, membasahi pakaian Kobato dan mayat beradik Funazuki.

 

“Ryouji...” Chisato di belakangnya, memerhati sedari tadi dalam kaget akan apa yang telah berlaku. “Adakah semua ini angkara Kobato?”

 

Ryouji hanya menganggukkan kepala.

 

“Ryouji, Takasaki-san sudah tiada.” Chisato memeluk Ryouji dan menangis.


**


Dalam kesedihan menyelubunginya malam itu, Ryouji cuba menganalisa perbualannya dengan Kobato. Ketidakpercayaan rakyat kepada sistem undang-undang Ritsuryo sememangnya sudah lama membarah. Dan Kobato salah seorang dari mereka. Mereka tidak percayakan mahkamah yang dikuasai samurai itu. Natijahnya, dendam menyubur dalam kalangan mereka yang dimangsakan penjenayah. Dan aku tidak terkecuali.


Jika undang-undang dipercayai dan mampu menjatuhkan hukuman yang wajar kepada pesalah, sudah pasti peristiwa begini tidak akan berlaku. Mungkin dengan itu, kesakitan Kobato dapat dirawat, meskipun ia tidak akan dapat mengembalikan ibu dan bapanya.


Dalam kes aku, aku berpandangan bahawa Sonzaemon dan Hamada perlu dibicarakan di bugyou dan biarlah mereka dihukum oleh satu undang-undang. Jika aku sendiri yang melakukannya, dan jika Sonzaemon dan Hamada punya waris, mereka pasti akan membalas dendam dan kitaran itu akan berterusan. Hanya sebuah sistem undang-undang yang dipercayai sahaja yang dapat menghentikan kitaran itu. Memang, aku sememangnya marah dengan mereka. Namun, aku mahu mereka dihukum dengan undang-undang, bukan kerana dendamku. Jika mereka meminta maaf dan melakukan penghormatan kepada otou-san, aku akan meminta bugyou mempertimbang untuk meringankan hukuman mereka, namun itu juga tertakluk kepada sama ada mereka akan terus menjadi ancaman awam terutama Hamada, jika dibiarkan bebas. Aku masih mengharap pembaharuan yang dilakukan Maharaja akan memulihkan kepercayaan awam kepada sistem itu kembali.


Namun, aku masih tidak dapat menerima hakikat yang Kobato membunuh Saki dan Azusa, rakannya sedari kecil hanya disebabkan mereka menghalangnya bertemu Takasaki. Ia tidak masuk akal langsung. Jika Kobato masih hidup, aku pasti akan mencekupnya dan menahannya di Kogen. Aku fikir perlakuan Kobato itu tidak hanya berpunca dari dendam, tetapi dari memandang enteng nilai nyawa. Iaitu dari dalam dirinya sendiri. Mungkin dibentuk oleh sejarah silamnya? Atau akibat semulajadi? Aku tidak tahu.

 

Dan aku fikir amat mustahil Takasaki dikalahkan oleh Kobato yang belajar jurus tersebut tanpa berguru. Mungkin, Takasaki menerima kematiannya, kerana Kobato tidak akan faham, kerana jiwanya budak. Ya, dia seorang budak berusia tiga tahun dalam jasad dua puluhan. Seperti, Takasaki cuba memujuk seorang budak berusia tiga tahun, dengan menyerahkan nyawanya. Dengan harapan Kobato akan tenang hidupnya dan melupakan memori pahit itu. Dan Takasaki sendiri dapat menenangkan dirinya. Takasaki, engkau hanyalah boneka Hamada dan engkau tidak sepatutnya mati! 

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov