Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 65

Beberapa hari selepas mereka digantung terbalik, Shinji bertemu Tsuneki sekali lagi. Tsuneki sedang berbaring di atas bangku batu di taman zen, sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas dada, memimik dua orang samurai yang sedang bertarung pedang. Mulutnya mengeluarkan bunyi pedang berlaga ‘tang, tang’ setiap kali kedua-dua jari telunjuknya berlaga.

 

Oi, Tsuneki.” Shinji menegur tiba-tiba.

 

Nani, yo (Ada apanya?). Aku sedang sibuk ni.”

 

“Sekejaplah, lihat ini.” Shinji menghulurkan panah dan busur yang diciptanya.

 

Tsuneki teruja, pantas bangkit dari bangku, seraya merentap busur dan kelongsong berisi beberapa batang panah itu dari kedua-dua belah tangan Shinji.

 

“Mata anak panah itu diperbuat daripada bahan sama yang digunakan untuk membuat pedang Saishi-tou. Aku mahu engkau mencubanya sebelum membawamu ke tempat rahsia itu.”

 

Tsuneki laju mengeluarkan sebatang panah dari kelongsong, kemudian menyarung pada busur dan menghalakannya ke arah dahan tinggi pokok shirakaba. Azuchi yang bertenggek pada dahan berhampiran pantas terbang jauh melihatkan perlakuan Tsuneki.

 

Oi, musang! Jangan cuba di sini boleh? Mari, ikut aku.”

 

Tsuneki menurut. Mereka sampai di sebuah kawasan terlindung di tepi sebuah tebing tinggi Kogen-no-shita, di belakang bangsal kuda. Di atas mereka ialah tanah tinggi Shirasaka. Di tepi tebing tinggi itu terdapat sebatang pokok momiji, di mana sebuah papan sasar panah berbentuk bulat dipakukan. Namun mereka tidak memerlukannya. Shinji meletakkan sebatang tunggul kayu di situ untuk rancangannya hari ini.

 

“Aku mahu engkau panah batu ini.” Shinji menunjukkan batu yang diberikan Tatsuhiro, iaitu batu sama yang digunakan bagi menerangi terowong perpustakaan.

 

“Shinji, bukankah itu batuku? Engkau mencuri!”

 

“Jangan tuduh-tuduh. Ini aku punyalah.”

 

Tsuneki memeriksa sakunya. Benar. Nampaknya Tatsuhiro punya lebih dari satu.

 

“Aku mahu engkau panah batu ini.”

 

“Untuk apa?”

 

“Adalah. Ia berkaitan dengan tempat yang aku akan bawa engkau pergi.”

 

Tsuneki teruja menggunakan senjata baru itu. Shinji meletakkan batu itu di atas tunggul yang telah diletakkan di situ, dan mengetatkan letaknya menggunakan pengapit berskru daripada logam.

 

“Sekarang engkau boleh memulakan panahan.”

 

Aku terpaksa meminta pertolonganmu Tsuneki meskipun engkau bukan dari puak Amaguri. Engkau tidak mahir berpedang tetapi engkau mahir memanah. Aku tidak mahir berpedang dan masih tidak mampu memanah atau menembak tepat meskipun sudah mempelajarinya darimu. Mungkin disebabkan kesialan yang diperkatakan Tatsuhiro berkenaan keturunan Amaguri itu. Apapun, terima kasih Tsuneki. Dengan pertolonganmu ini, dan dengan mata panah yang telah diperkuatkan oleh resin aomomiji, aku mahu engkau memecahkan seberapa banyak tama-no-iwa Amaguri, bagi membolehkanku memanfaatkannya untuk menangkap Hamada. Aku akan mencipta portal merentas ruang dari pecahan-pecahan tama-no-iwa itu untuk keluar ke Kawamoto tanpa pengetahuan Kogen. Pada ketika itu, aku memerlukan engkau Tsuneki bagi membawaku menunggang kuda menuju ke sana, dan juga sebagai pelindungku.

 

Tsuneki bersedia. Sebelum dia menarik busur, dia terlebih dahulu pergi ke batu itu dan meneliti permukaannya, beserta permukaan tunggul dan pengapit logam. Dia juga memandang cahaya matahari. Kemudian dia menjilat jari telunjuknya sedikit, dan menunjuk ke arah langit. Dia memusing-musingkan jarinya beberapa ketika. Kemudian dia menggumam sendirian, “Angin perlahan bertiup dari utara.”

 

Tsuneki mengambil jarak minimum yang telah ditetapkan Shinji, iaitu lima puluh langkah dari batu tersebut. Tsuneki bebas memilih lokasi memanahnya asalkan berjarak sekurang-kurangnya lima puluh langkah dari sasaran.

 

Selesai mengambil tempat, dia menarik nafas, menyarungkan panah pada busur dan melepaskannya, serentak dengan nafas yang ditahan. Panah itu tepat mengenai batu, memecahkannya kepada dua.

 

Berjaya! Shinji tersenyum keterujaan. Rupa-rupanya batu ini masih boleh dipecahkan oleh Tsuneki yang bukan dari puakku puak Amaguri itu.

 

“Mengapa engkau senyum begitu, Shinji? Engkau menakutkan.”

 

“Tidak ada apa-apa.” Shinji memaling muka mengadap Tsuneki, masih tersenyum. “Bagaimana engkau melakukannya Tsuneki?”

 

“Mudah sahaja. Aku nampak sesuatu pada batu itu. Seperti rekahan.”

 

“Rekahan?”

 

Tsuneki mengeluarkan tama-no-iwa dari sakunya. “Lihat ini.”

 

“Lebih mudah memecahkannya jika engkau menumpukan daya pada rekahan sedia ada. Berbanding rekahan pada batu-batu biasa, kufikir rekahan pada tama-no-iwa sedikit aneh.”

 

“Mengapa pula?”

 

“Rekahan pada tama-no-iwa menjadi lemah jika ditekan pengapit logam itu.”

 

“Maka lokasi memanah yang kau pilih ini cuba menyasar panah ke rekahan tersebut?”

 

“Ya, dan juga demi menyelaraskan laluan panah mengikut arah angin.”

 

“Jadi, ini bermakna sesiapapun boleh memotongnya termasuk dengan menggunakan pedang jika dia tahu bagaimana mengesan rekahan itu?”

 

“Aku fikir begitu. Selain tahu mengesan, dia juga perlu tahu pada sudut mana batu itu harus ditekan bagi melemahkan rekahan tersebut. Dan aku fikir, mata panah lain tidak akan mampu memecahkan tama-no-iwa meskipun pada rekahan. Mata panah engkau ini keras. Lihat, tiada sedikitpun lekuk dan calar.”

 

“Tsuneki, mana engkau tahu berkenaan rekahan itu? Dan bagaimana pula engkau tahu tekanan pengapit itu melemahkannya?”

 

“Aku dapat agak di mana rekahan itu sewaktu engkau menayangkan batu tersebut, dari pantulan cahaya mataharinya. Namun ketika aku menelitinya pada pengapit logam, aku perasan rekahan itu membesar, dan pantulan cahaya matahari sedikit berlainan keamatannya.”

 

Tsuneki aneh hari ini, getus Shinji.

 

“Tsuneki, engkau memang selalu beginikah? Maksudku, engkau mengamati sasaran sebegini perincikah setiap kali sebelum memanah?”

 

“Ya. Ingat tembakan edamame aku pada tupai di rumah Takasaki dahulu? Aku tahu tupai itu sedang menuju ke arah buah pokok momiji. Sebelumnya aku juga sudah boleh menaksir kelajuan edamame dari pengalamanku menggunakan penembak itu.”

 

“Jadi apa gunanya latihanmu dengan jurulatih panah di sini? Aku lihat engkau amat mahir memanah sejak dahulu lagi.”

 

“Aku diajar menaksir dan meramal sasaran yang tahu mengelak seperti manusia. Terutama mereka yang tahu mengelak menggunakan jurus kaminari-no-kaze. Aku perlu menaksir sepantas mereka. Ia lebih sukar dari menaksir pengelakan haiwan seperti rusa dan tupai kerana pengguna jurus itu lebih pantas.”

 

Tsuneki menambah lagi, “Shinji, memanah tidak semestinya memerlukan mata yang tajam. Kata jurulatihku, pemanah perlu menaksir sasaran dan sekitarnya, mengambilkira arah angin, menaksir kemampuan batang panah, mata dan busur, kekuatan tangan, banyak lagi.”

 

“Aku tahu. Bahkan ada buku membincangkannya di perpustakaan. Setebal ini.” Shinji melengkungkan ibu jari dan jari telunjukkan bagi menggambarkan ketebalan buku tersebut.

 

“Eh, Shinji. Duduk diam sebentar. Mengapa engkau berbulu-bulu?” Mata Tsuneki membesar mengamati wajah Shinji rapat, seperti mahu menelannya.

 

“Hah?”

 

“Engkau punya jambang! Mengapa sekarang baru aku menyedarinya?”

 

Shinji meraba-raba bauknya. Sah, dia sudah ditumbuhi jambang nipis. Dia meraba pula dagu dan kumisnya.

 

Alamak, aku lupa mencukurnya minggu ini! Sebentar, jika begini lebat, maka aku sudah menjadi seperti Ryouji! Tidak, Ryouji tidak selebat ini. Bahkan dia tidak pernah lupa mencukurnya. Namun bukankah dia sebaya aku? Mengapa baru sekarang ia tumbuh di mukaku?

 

Shinji meraba wajahnya dalam sangsi. Sah, ia nampaknya lebih lebat dari Ryouji. Mungkinkah kerana aku berketurunan Emishi?

 

Emishi ialah bangsa berbulu lebat, seperti orang-orang Eropah. Bahkan rupa muka mereka amat mirip dengan bangsa Eropah, dengan mata dua kelopak dan hidung yang panjang dan lurus. Hanya rambutnya masih hitam, dan susuk tubuh mereka yang rendah dibandingkan dengan bangsa di hujung barat dunia itu.

 

“Shinji, aku ada nama baru untukmu.”

 

“Apa?”

 

Nagano-no-saru mitai karaNagano-no-saruSaru! (Sebab engkau nampak seperti monyet Nagano. Monyet Nagano! Monyet!)” Monyet Nagano ialah monyet salji yang sering bertandang ke onsen di jigokudani di Nagano, sebuah pekan dalam wilayah Shinagawa yang pernah disinggahi Kobato. 

 

Shinji geram seraya mengejar Tsuneki sambil menjerit ‘musang’ mengutuknya, namun Shinji yang berstamina rendah itu gagal mencapainya. Tsuneki sudah jauh lari membawa busur dan panah itu.

 

Tidak jauh dari bangsal kuda itu, penjaja kraftangan bernama Inoue yang sering berulang-alik dari Kogen berdiri teruja melihat panahan Tsuneki.

 

“Benarkah apa yang aku lihat? Tsuneki memanah batu itu sehingga pecah? Aku harus laporkan kepada Kotobuki.” Inoue menggumam sendirian seraya bergegas menemui Kotobuki di atas sana.

 

 

**

 

Kotobuki sedang mengelamun sendirian di dalam bilik pejabatnya, ditemani secawan teh hijau dan teko kecil seperti selalunya. Awal petang itu tenang dan cerah.

Lamunan Kotobuki terhenti sebaik mendengar namanya diseru dari luar pejabat.

“Masuk.”

Inoue, pengintip Kogen membuka pintu gelangsar.

“Ada apa Inoue?”

Inoue masuk ke dalam, termengah-mengah.

“Shinji. Panahnya telah berjaya memecahkan tama-no-iwa Amaguri!”

“Benarkah?”

“Ya. Rakannya yang masih budak itu memanah menggunakannya.”

Kotobuki tersenyum lebar. Perancangannya berjaya.

Selepas ini aku akan pastikan dia juga menambahbaik pedang Saishi-tou. Aku fikir kelemahan pedang itu masih belum ditangani. Dia kurang motivasi akhir-akhir ini. Aku harap dendam terhadap Hamada akan memotivasikan dirinya.

Shinji, kepalamu tepu dengan pengetahuan. Namun, jiwamu kosong. Engkau mencipta Saishi-tou dengan motivasi Ryouji. Namun Ryouji tidak meminta lebih. Aku akan memotivasikan engkau agar menambahbaiknya. Menggunakan dendammu. Dan menggunakan Ryouji.

“Inoue, apa lagi maklumat lain yang engkau perolehi?”

“Berkenaan budak itu. Kotobuki, sebelum itu, aku ingin tahu bagaimana Takasaki melatihnya memanah?”

Kotobuki merenung Inoue.

“Untuk apa engkau bertanyakanku perkara ini?”

“Budak itu memberitahu Shinji yang dia melihat rekahan pada batu, sebelum memanahnya.”

“Berhenti. Cukup setakat itu. Engkau tidak perlu tahu lanjut.”

“Baiklah. Kotobuki, aku minta diri dahulu.”

Maka benarlah kata-kata Takasaki, bisik Kotobuki.

Kotobuki aneh, bisik Inoue yang sudah berada di luar rumah. Nampaknya masih ada perkara yang cuba disembunyikannya meskipun dengan pengintipnya sendiri. Apapun, aku percayakan engkau Kotobuki.

 

**

 

Esoknya, Shinji menemui Kotobuki selepas selesai tugas-tugas di bengkel relau.

 

Sebaik Shinji tiba di pusat rawatan, dia terlihat Kotobuki sedang berbual dengan ketua jururawat di situ bernama Megumi. Shinji menunggu sebentar di luar sehingga mereka tamat perbualan. Dia tidak mahu Megumi atau mana-mana pihak ketiga mendengar perbincangannya dengan Kotobuki.

 

Sebaik melihat Kotobuki melangkah keluar, dia pantas menegur Kotobuki.

 

“Kotobuki-san, engkau sibukkah?”

 

“Oh, Shinji. Ada apa yang boleh kubantu?”

 

“Aku ingin membincangkan sesuatu. Boleh kita jumpa sebentar di taman zen?”

 

“Beri aku sedikit masa. Engkau boleh tunggu di sana dahulu.”

 

Kotobuki pada waktu ini hanya menumpu tugasnya di pusat rawatan dan makmal ubat-ubatan sahaja, sedang Omi masih memegang jawatan ketua Kogen. Namun bilamana Omi sakit, Kotobuki akan memangku jawatannya untuk sementara waktu.

 

“Baiklah.” Shinji menundukkan badan tanda hormat, kemudian bergerak menuju ke taman zen di tepi dewan berbumbungkan jerami tebal, iaitu dewan di mana Ryouji pertama kali bertemu Omi dahulu. Kotobuki pula berpatah balik ke dalam pusat rawatan, seperti baru sahaja teringatkan sesuatu selepas berhenti ditegur Shinji.

 

Taman zen di sebelah dewan ini agak berlainan susun letaknya dari taman zen di rumah perlindungan di bawah. Ia lebih luas. Ada dua bangku batu yang panjang, disusun sebelah-menyebelah di sisi panjang taman. Juga ada kolam ikan di tengah-tengah. Semua pokok-pokok di situ telah dibonsaikan dan ditanam mengelilingi taman. Paling banyak pokok momiji bonsai. Hamparan batu-batu kerikil berwarna putih mengelilingi kolam petak itu.

 

Sini agak sesuai, getus Shinji. Jauh dari orang ramai. Aku tidak mahu sesiapapun mendengar perbualan kami.

 

“Apa yang engkau ingin bincangkan, Shinji?” Kotobuki tiba-tiba menegur. Shinji tersentak dari lamunannya.

 

“Berkenaan Ama...”

 

“Shhh! Mari, ikuti aku.” Kotobuki pantas meletakkan jari ke mulutnya, seraya mengisyaratkan kepada Shinji agar mengikutinya ke dalam bilik pejabat di sebelah dewan.

 

Tanpa disedari Shinji, Kotobuki memberi isyarat dengan tangan kepada seseorang di pusat rawatan agar mengekori mereka. Kotobuki juga memberi isyarat kepada seseorang yang sedang bersembunyi di balik pokok kaede yang berada di luar taman. Kelibat itu bergerak pantas menuju ke belakang pejabat Kotobuki. Pantas namun tanpa sebarang bunyi sehingga Shinji yang bertelinga tajam itu tidak mampu mengesannya.

 

“Duduklah.” Pinta Kotobuki sebaik mereka tiba di dalam bilik pejabat.

 

Shinji melabuhkan punggung di atas lantai tatami, berhadapan Kotobuki yang dipisahkan sebuah meja teh.

 

“Sekarang engkau boleh mulakan.”

 

Melihatkan Kotobuki bergegas membawa mereka ke dalam bilik pejabat itu, Shinji mulai menyedari Kotobuki begitu berhati-hati. Mungkinkah dia risaukan sesuatu berkenaanku dari terdedah pada telinga sebilangan ahli Kogen yang mungkin sedang bersembunyi di dalam kawasan ini? Apakah mungkin kisahku cukup penting dan perlu dirahsiakan dari sesiapa pada fikirannya?

 

“Aku bilang engkau sudah mengetahui sesuatu berkenaanku?” Shinji menduga.

 

“Ya. Meskipun taman itu sunyi, aku fikir lebih sesuai di sini. Tertutup oleh dinding dan bumbung.”

 

“Mengapa? Apakah kisahku begitu berbahaya jika diketahui orang ramai?”

 

“Ya. Aku fikir engkau sudah boleh mengagak mengapa.”

 

Bererti sememangnya ada dalam kalangan kami di sini yang sedang menjejakiku, selaku pewaris Amaguri. Aku masih belum dapat memahami motif mereka, namun jika mereka ini pengintip Hamada, nyawaku dalam bahaya. Mereka mungkin bercadang membunuhku terus.

 

“Kerana aku pewaris Amaguri bukan? Engkau bimbang ada pengintip Hamada di sini?”

 

“Shhh! Perlahankan suaramu.” Kotobuki menegur.

 

Kotobuki merendahkan suaranya, menyambung, “Kami tidak boleh kehilanganmu. Aku fikir engkau juga sudah tahu mengapa engkau sebegitu penting pada kami.”

 

“Aku tahu, terima kasih pada Tatsuhiro yang memberitahu segala-galanya. Kotobuki-san, apakah engkau yang menghantarnya?”

 

“Benar.”

 

“Siapakah dia sebenarnya?”

 

“Pegawaiku yang mengakap di sekitar gunung ini.”

 

Jawapan Kotobuki berpadanan dengan kata-kata Tatsuhiro, getus Shinji.

 

“Jadi apa tujuanmu membongkarkan semua ini padaku, Kotobuki-san?”

 

Kotobuki tidak menjawab. Dia memandang ke arah pintu gelangsar di belakang Shinji.

 

“Masuk sekarang, Megumi-san.”

 

Pintu gelangsar dibuka perlahan-lahan. Seorang wanita berpakaian jururawat, yang mengetuai jururawat menjaga gadis-gadis mangsa aotsuyu di pusat rawatan, memunculkan diri di luar pintu pejabat.

 

Megumi-san, mengapa engkau...

 

Megumi, ketua jururawat yang bertugas di pusat rawatan, masuk mengadap Kotobuki.

 

“Shinji, Megumi-san ialah bidan yang menyambut kelahiranmu dahulu.”

 

Megumi tunduk hormat, Shinji membalas tunduk, wajahnya jelas kebingungan dan kejanggalan. Megumi berdiri di sisi Shinji yang sedang duduk berhadapan dengan Kotobuki, dia memandang Shinji.

 

“Engkau membesar dengan baik, Shinji. Wajahmu saling tak tumpah seperti ibumu.” Megumi, jururawat berusia separuh abad itu duduk melutut seraya memegang pipi Shinji dengan kedua-dua belah tangannya sambil tersenyum memandangnya.

 

“Ah, maafkan aku.” Megumi melepaskan tangannya tiba-tiba, menyedari dia memegang pipi seorang anak remaja dan mula berasa janggal.

 

Shinji kejanggalan, berhari-hari dia dan jururawat itu bekerja bersama di dalam pusat rawatan, namun baru hari ini mereka bertemu seperti seolah kali pertama melakukannya. “Aku ingin benar melakukan ini namun aku bimbang dilihat oleh jururawat lain dalam pusat itu. Maafkan aku Shinji.”

 

Daijoubu (tidak mengapa).”

 

Kotobuki hanya memandang, membisu seperti patung gangsa. Dia membiarkan Megumi meneruskan bicara.

 

Megumi kemudian mengeluarkan sesuatu dari saku yukata jururawatnya. Ia sejenis kalungan berloket. Loket itu berbentuk bulat seperti tiram tertutup penuh, saiznya suku tapak tangan dewasa, ia diperbuat daripada gangsa dan berwarna hijau gelap, dengan penutupnya diukir tulisan kanji yang dibaca sebagai ‘Takeuchi Chiyo’.

 

“Ibumu meninggalkan kalungan ini sebelum dia membawamu berpindah keluar dari sini ke Kawamoto. Pesannya, jika engkau kembali ke Kogen suatu hari nanti, berikan kalungan ini padamu.”

 

Kotobuki menambah, “Takeuchi sememangnya nama keluargamu. Aku yang menasihati Takasaki agar mengembalikan nama itu kepadamu. Tulisan pada penutup loket itu ialah nama ibumu. Aku bilang engkau telah menemui nama tersebut ketika Tatsuhiro membawa engkau menziarahi pusaranya.”

 

Arigatou.” Shinji mengambil kalungan berloket itu dan membukanya. Di dalamnya terdapat seketul kayu kecil yang diukir berbentuk seruling dengan satu lubang not dan lubang tiup di salah satu hujungnya.

 

Shinji spontan meletakkan ‘seruling’ itu pada bibir dan cuba meniupnya. Bunyi yang amat bingit terhasil, memaksa dia melepaskan seruling kecil itu dan mencucuk telinga dengan jarinya.

 

“Bingitnya!”

 

“Kami tidak mendengarnya Shinji.” Kotobuki memaklumkan.

 

“Hanya engkau yang mampu mendengarnya.” Megumi menambah. “Chiyo juga mampu mendengar bunyi seruling ini kerana anugerah sama yang dimiliki kalian.”

 

Shinji menyimpan kembali seruling kecil itu ke dalam loket. Kemudian dia mengalungkan rantai berloket itu ke leher, disematkan loket itu ke dalam dada yukatanya.

Ne, Kotobuki-san. Mengapa engkau memberitahu semua ini padaku?”

“Engkau fikir?”

“Engkau tidak bimbang? Aku akan menghapuskan kuasa tama-no-iwa demi melenyapkan kuasa Hamada. Kesannya, segala apa yang kalian telah bina di bawah Kogen akan aku musnahkan.”

“Engkau sanggupkah?”

Shinji tidak menjawab. Lama dia membisu. Kotobuki kemudian menyambung.

“Shinji, ingin kuulang soal, sanggupkah engkau?”

“Jika aku memutus, aku tidak akan berundur, Kotobuki-san.”

Megumi tersentak mendengarkan kata-kata Shinji, namun dia menahan diri.

“Shinji, aku serahkan padamu.”

Megumi memandang Kotobuki, matanya membeliak.

“Engkau gilakah Kotobuki-san?” Shinji menyoal tidak dapat menerima reaksi Kotobuki.

“Shinji, aku percayakan engkau.” Kotobuki hanya tersenyum ketika menuturnya.

Kotobuki-san, aku benar-benar tidak faham engkau. Apa permainanmu sebenarnya?

Ne Kotobuki-san. Bagaimana ibuku menjadi anak murid Noguchi? Setahuku engkau juga bekas anak muridnya juga bukan?”

“Itu adalah pilihannya. Dia mahu membalas budi. Ketika dia mengandungkanmu, dia tinggal di lembah Amaguri. Aku dan Megumilah yang menjaga kalian.”

“Menjaganya? Bagaimana pula dia boleh bertemu kalian?”

“Ibumu memasuki lembah Amaguri dari Hidagawa ketika sarat mengandungkanmu. Aku bertemunya di pondok bawah pokok gergasi tatkala melawat lembah itu dari terowong perpustakaan.”

“Aku tidak faham. Mengapa engkau tidak menghalangnya dari menyertai Noguchi?”

“Aku telah menghalangnya, namun dia berkeras dengan pendiriannya. Maafkan aku Shinji. Kebetulan ketika engkau baru berumur lima bulan, kami memerlukan pengintip memerhati Noguchi di makmalnya. Pada awalnya aku hanya mempelawa ibumu jika dia berminat menyertai Kogen sebagai pakar perubatan menggantikanku, melihatkan buku-buku penulisannya berkenaan ubat-ubatan herba di dalam pondok akar pokok gergasi itu.”

“Menggantikanmu?”

“Kerana aku akan meninggalkan Kogen pada waktu itu untuk bertugas sebagai pengintip di Furukawa.”

“Aku juga ada mempelawa ibumu menggunakan kepakarannya, menyelidik formula aotsuyu baharu yang sedang dibangunkan Noguchi dan membocorkannya kepada kami. Aku tidak menyangka dia benar-benar serius akan pelawaan itu.”

Shinji berkerut dahi mendengar penjelasan Kotobuki. Jelas dia benar-benar marah. Namun dia sendiri tidak pasti apakah yang membuatkannya marah. Mungkinkah keculasan Kotobuki, atau kedegilan ibunya? Siapakah yang harus dipersalahkan?

“Shinji, aku benar-benar minta maaf. Aku mahu menghentikan rancangan jahat Hamada dan Noguchi. Aku fikir ibumu adalah harapanku pada ketika itu. Dan aku ada mengingatkan dia akan risikonya, jika Hamada tahu yang dia pewaris Amaguri. Dia tidak mempedulikannya, tetap berdegil mahu menyusup bekerja dengan Noguchi.”

Shinji bangun tiba-tiba.

“Kotobuki-san, terima kasih memberitahu asal-usulku, dan atas budimu kepada ibuku. Jangan risau, aku tidak akan membatalkan kuasa tama-no-iwa.”

Sebaik menghabiskan kata-katanya, Shinji segera meninggalkan Kotobuki dan Megumi tanpa menoleh lagi.

“Shinji!”

Panggilan Kotobuki tidak diendahkan.

Megumi bergegas keluar mahu menahan Shinji, namun lekas ditegah Kotobuki.

“Megumi, biarkan dia tenangkan diri dahulu. Tiada guna memujuk sekarang.”

“Dia akan keluar mencari Hamada sendiri!” Megumi keluar meninggalkan Kotobuki, cuba mengejar Shinji. Megumi sempat berkata kepada Kotobuki sebelum keluar, “Kotobuki, aku telah berjanji dengan Chiyo, aku akan melindunginya.”

Kotobuki tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia menuangkan teh hijau ke dalam cawan yang sudah tersedia di situ, seraya menghirup sedikit.

Katamu seperti aku tidak langsung mengendahkan keselamatannya. Megumi, aku pasti akan melindungi Shinji. Bahkan sejak gereja Kyoto itu dibiarkan terkontang-kanting oleh paderi Jesuit itu lagi.

Kotobuki melepaskan keluhan panjang. Ingatannya menyorot kisah lama dahulu, ketika dia mempelawa Chiyo menyertai Kogen.

“Chiyo, risikonya satu, Hamada sedang mencari pewaris Amaguri. Jika dia mengetahui tentangmu, engkau akan terus dibunuh tanpa soal. Hanya itu sahaja yang engkau perlu selalu berwaspada.”

“Aku tidak gentar Kotobuki. Sekarang baru kutahu siapa dalang di sebalik mereka yang memerdagang karayuki seperti yang dikisahkan Hotaru kepadaku.”

“Yoruno Hotaru, maksudmu?” Kotobuki meneka. Yoruno Hotaru ialah mata-mata Kogen yang ditempatkan di Kyoto, kota Chiyo pernah bermastautin sewaktu usia daranya.

“Benar. Bagaimana engkau mengenalinya?”

“Rekrut kami yang sekarang ini ditugaskan sebagai nazir Kogen di Kyoto.” Kotobuki menjawab. “Bagaimana engkau mengenalinya?”

“Aku berkawan rapat dengannya sejak dia masih kanak-kanak dan aku remaja. Kami bertemu di perpustakaan besar di gereja Paderi Alvito, tempat aku selalu menghabiskan masa membaca. Dia memanggilku kakak. Sejak aku mendengar kisah karayuki darinya dan sejak aku melihat sendiri bagaimana orang-orang Hamada menyuntik gadis-gadis agresif yang diangkut ke dalam kereta kuda dari rumah ibu bapa mereka yang sanggup menjual mereka di pinggir Kyoto, aku tidak dapat menahan marahku. Bagaimana jika ia berlaku kepada diriku, atau saudaraku, atau ibuku?”

“Jika engkau memutus mahu menyertai kami, aku tiada sebarang halangan. Aku menerima engkau dengan tangan terbuka.”

Previous: Bab 64
Next: Bab 66

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov