Ryouji sudah sampai di hujung pekan Narai-juku, di tempat yang dilaluinya dinihari tadi bersama Tsuneki dan Hisamiko. Ia titik mula sebelum memasuki lebuh Nakasendo. Dia berdiri di atas bumbung salah sebuah rumah, memerhati keadaan keseluruhan pekan itu. Laluan-laluannya huru-hara, penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri. Hampir keseluruhan pekan hangus, ada bangunan yang masih dijilat api yang marak.
Aku fikir ada ramai lagi yang terperangkap seperti nenek itu. Perlukah aku kembali ke dalam pekan menyelamatkan mereka? Sedang Hisamiko dan Tsuneki belum kutemui?
Namun merpati telah dihantar ke Nagano. Bantuan akan tiba tidak lama lagi.
Aku harus memilih sekarang.
Apakah ini yang dimaksudkan bapaku berkenaan beban emosi? Bahawa engkau tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawabmu kerananya? Bahawa emosi yang sepatutnya mendorongku itu menjauhkan lagi diriku dari melaksanakan tugas murni membela penduduk teraniaya ini?
Aku benar-benar terbeban. Oleh kasihku terhadap Hisamiko, oleh kasihku terhadap persahabatan dengan Tsuneki.
Ryouji terduduk. Dia tunduk, cuba menenangkan diri. Dia harus memilih, meskipun berat. Meskipun perit.
Maafkan aku, penduduk Narai-juku! Kerana aku tidak mampu menjadi adiwira kalian. Maafkan aku, Kogen! Aku bersedia dihukum di atas pilihan ini!
Ryouji turun dari bumbung menuju sebuah rumah yang ada kuda ditambat di bangsal. Rumah itu sudah hangus sedang bangsal kuda itu masih terselamat kerana sedikit berjarak dari kawasan yang dijilat api. Dia menunggang kuda itu keluar.
Beberapa ketika menyusul, pasukan polis tambahan dan pengintip Kogen tiba menghulurkan bantuan kepada semua mangsa kebakaran.
**
Lelaki itu sudah bersiap sedia memancung Hisamiko dan Tsuneki yang sedang diikat dan melutut di hadapan mereka.
“Matte, Kurosawa. Aku fikir kita tidak perlu bunuh gadis ini. Kita berseronok dahulu dengannya, selepas itu kita akan jual sebagai karayuki.” Cadang Kiritani.
“Bagus juga ideamu, Kiritani-san.”
Tsuneki menahan amarah dan cuba menyembunyikan rasa itu dari wajahnya. Dia perlu memikirkan jalan keluar dari situasi begini. Ryouji, di mana engkau? Sugu ni koko de kitekoi!
“Kalian, aku boleh memindahkan kuasa halimunan Hamada kepada kalian!”
Mereka berpandangan sesama sendiri. Apa budak ini mengarut? Kemudian mereka ketawa terbahak-bahak. Kiritani tidak ketawa. Dia terkejut kerana pewaris itu berada di hadapan matanya. Aku tidak boleh membiarkan dia mati sekarang! Namun sebelum itu, aku harus memastikan yang dia tidak berbohong.
Kurosawa datang mendekati Tsuneki.
“Ne, budak. Ulang sekali lagi?”
Tsuneki tidak mengulang, dia tahu mereka mendengarnya, jika tidak mereka ketawa untuk apa. Dia meneruskan pernyataannya.
“Syaratnya, kalian perlu membiarkan aku hidup demi pemindahan kuasa tersebut. Jika aku mati, ia tidak akan dapat dilakukan. Dan selain itu, jangan kalian apa-apakan budak perempuan itu.”
“Sebentar, jangan-jangan engkau...?”
“Ya, aku pewaris Higashihara. Hamada mencari aku bukan?”
Bertambah terbeliak mata mereka. Pewaris Higashihara yang diarahkan dibunuh oleh Hamada itu berada di hadapan mereka! Maka sangat afdhal untuk dibunuh sekarang demi taat mereka kepada Hamada! Namun, dengan kata-katanya sebentar tadi, berbaloikah? Berbaloikah? Bukankah dengan menjadi halimunan, mereka akan kebal dari ditangkap, dapat mencuri makanan di pasar dengan bebas, dapat hidup tanpa bekerja seperti era samurai dahulu... indah bukan hidup begitu? Sayang, jika mereka melepaskan peluang begini. Dan yang paling penting, mereka akan bebas dari cengkaman Hamada bahkan Hamada tidak lagi punya kuasa halimunan kerana telah dipindahkan kepada mereka.
Tawaran budak kurus ini nampaknya amat berbaloi kepada kami. Namun kami perlu benar-benar memastikan yang dia tidak berbohong.
Kiritani tiba-tiba bersuara, “Aku fikir bagus juga cadangan budak ini.” Mujur aku belum membunuhnya! Dan mujur dia berani membuka mulut menghalang Kurosawa!
“Apa kata kita periksa dahulu kebenaran pengakuannya?”
“Aku setuju.” Salah seorang bersetuju. Kemudian seorang demi seorang yang lainnya bersetuju dengan cadangan Kiritani, termasuk Kurosawa.
“Tsuneki...!” Hisamiko membisik keras. “Mengapa engkau memberitahu mereka???”
“Percayai aku Hisamiko. Ini sebahagian dari perancanganku.”
Hisamiko tunduk, dia bingung dengan tindakan Tsuneki mendedahkan identitinya.
“Apa buktimu yang engkau pewaris Higashihara?”
“Lepaskan ikatan ini dahulu.”
Mereka berhati-hati melepaskan ikatan tangan Tsuneki.
“Apa yang kalian tahu berkenaan pewaris tersebut?” Tsuneki bertanya sekadar menguji mereka.
“Mereka amat mahir memanah?”
“Bagus kalian tahu. Di sini banyak rusa bukan?”
“Jadi?”
“Aku mahu kalian mengesan mana-mana rusa. Kemudian kejutkan rusa itu dengan sebarang bunyi bising, biarkan dia berlari. Aku akan memanahnya ketika ia berlari dan kalian akan dapat menjamu selera daging rusa hari ini.”
Para penyangak itu menggosok-gosok perut. Air liur bertakung. Sudah lama mereka mengidam daging rusa. Kalau dapat makan daging rusa alangkah syurganya dunia ini. Ia lebih mewah berbanding makanan yang dimakan tuan pondan Hamada mereka sehari-hari berupa ikan, nasi tawar dan makanan terbitan soya sahaja.
“Baiklah, kami tidak akan membunuh kalian dan mengapa-apakan budak perempuan itu. Engkau perlu menepati janjimu. Jika engkau menipu kami, kami akan membunuhmu dan menjual budak perempuan itu.”
Memanah ketika rusa itu berlari? Apakah bodohnya rancangan engkau Tsuneki? Hisamiko menyoal sambil memaki dalam hati. Jika engkau menipu mereka, engkau akan dibunuh!
Namun memikirkan yang dia pemanah handal Higashihara, aku fikir aku sudah dapat mengagak apa kesudahannya. Sebentar, tanganku masih berikat. Apa perancanganmu Tsuneki?
Mereka dibawa membonceng kuda ke sebuah kawasan yang dikatakan terdapat banyak rusa berkeliaran, iaitu kawasan hutan sugi berbukit bukau yang separuh hari jaraknya dari Yokuma.
Ketika kuda yang dibonceng Tsuneki berada di sebelah Hisamiko, Tsuneki membisikkan sesuatu.
“Hisamiko, bersedia bila-bila masa selepas aku selesaikan panahanku. Aku akan membantumu melepaskan ikatan itu.”
Hisamiko mengangguk.
Tsuneki menyarung panah pada busur dan memanah seekor rusa yang sedang berlari. Panah itu tepat mengenai rusa tersebut. Semua yang berada di situ ternganga. Disebabkan terlalu teruja, ramai dari mereka pergi ke arah rusa itu untuk melihat dengan lebih dekat, termasuk Kurosawa dan Kiritani. Yang tinggal bersama Tsuneki dan Hisamiko hanya dua orang. Seorang memerhati Hisamiko yang sedang diikat, manakala seorang lagi berjaga-jaga bagi mengelakkan Tsuneki melarikan diri. Yang memerhati Tsuneki itu telah diarahkan agar tidak membunuhnya berikutan tawaran Tsuneki tadi. Dengan itu, jelas sekali mereka telah ingkar arahan Hamada.
Tsuneki pantas mencapai sebatang panah dan berpura-pura menghala ke tempat lain seolah-olah mahu memanah seekor lagi rusa, namun pantas mengalih dengan memanah pada leher lelaki yang sedang memerhati Hisamiko. Kemudian dia pantas mengelak libasan pedang lelaki yang sedang memerhatinya. Dia berada di hadapan Hisamiko dan menyarung sebatang panah lagi, memanah tepat lelaki yang cuba menetaknya tadi. Ia langsung mengena.
Tsuneki mengeluarkan tantou-nya dan memotong ikatan pada tangan Hisamiko. Kedua-duanya kini bebas. Tsuneki memimpin tangan Hisamiko melarikan diri dalam hutan sugi yang tebal itu.
Mereka berdua bersembunyi, memerhati orang-orang Hamada itu dari celahan belukar. Nampaknya mereka masih ralit dengan rusa itu dan tidak menyedari rakan mereka telah ditumpaskan Tsuneki. Cepat-cepat mereka menjauhi tempat tersebut.
“Tsuneki, kita akan ke mana?”
“Aku akan cuba cari jalan ke utara. Kita akan bersembunyi di sana dahulu.” Tsuneki mengamati kompas yang sentiasa dibawa dan peta.
Sebentar, hidungku berdenyut-denyut. Denyutannya sekata. Aku merasakan setiap denyutan itu seperti ketukan yang seragam. Tap, tap. Tap, tap. Begitulah bunyinya. Sebentar. Bukankah bunyi ini bunyi kod kami? Apakah onii-san sudah berjaya mengesan kami?
Sementara itu Ryouji melagakan dua biji resin aomomiji seperti yang diajarkan Shinji, mengikut bunyi kod. Memecut laju menunggang kuda yang dicurinya, Ryouji meredah hutan sugi Nakasendo. Dia juga membawa keluar sejenis alat penerima kecil yang dicipta Shinji, yang dipakai di telinga sebelah kanan. Jika Hisamiko memicit-micitkan hidungnya, alat penerima itu akan menghasilkan bunyi.
Hisamiko memicit-micitkan hidungnya. Sekali lagi, dia mendengar bunyi kod tersebut. Sah, abangnya berada berhampiran sini! Wajahnya bertukar ceria. Onii-san, engkau masih hidup!
Sebentar, aku mendengar sesuatu. Jika dari picitan hidung Hisamiko, ia berbunyi sekata seperti kod kami. Namun ini tidak. Turutannya seperti dentingan pedang. Ia berada berdekatan sini.
Ryouji mengamati bunyi tersebut. Bunyi dari Hisamiko tidak lagi kedengaran, ditabiri oleh bunyi seakan-akan dari pertarungan yang semakin kuat, jelas dan kerap di telinga Ryouji yang dipakaikan alat penerima itu. Alat penerima ini boleh mengesan dentingan pedang dan picitan hidung Hisamiko atau mana-mana objek besi yang berlaga, namun tidak dapat mengesan sekadar besi tunggal seperti deria istimewa Hisamiko.
Dia menemui dua orang lelaki sedang bertarung pedang. Seorang memakai seragam seperti polis, seragam yang dipakai Imagawa tempoh hari, sementara seorang lagi berpakaian seperti ronin. Ryouji tergamam mendapati lelaki yang berpakaian seperti polis itu ialah Imagawa.
Imagawa, apa yang kau buat di sini?
“Aku tidak akan membiarkan orang-orangmu menghalang Kogen, Yamaha Tetsuchi!”
Ryouji mengesan seorang lagi yang berpakaian ronin, sedang bersembunyi di atas pokok, menanti untuk menyerang hendap Imagawa. Sebaik dia turun, Ryouji pantas menahan tetakan lelaki itu dengan Saishi-tou-nya, melindungi Imagawa.
“Ryouji! Apa engkau buat di sini?”
“Membayar hutangku. Terima kasih Imagawa-san melindungi kami semalam. Dan apa kau buat di sini?”
“Ini pekerjaanku. Bukankah kalian sudah sepatutnya di Yokuma?”
“Panjang ceritanya. Kami berpatah balik ke Narai-juku sebelum tiba sejauh ini pagi tadi.”
Patutlah. Aku mengesan kalian atas permintaan Kogen sambil menjalankan tugas meronda kawasan ini sebagai polis. Namun aku tidak pula menemui kalian di sini pagi tadi. Mujur engkau masih selamat.
“Di mana Hisamiko dan Tsuneki?”
“Aku kehilangan mereka di Narai-juku. Aku yakin mereka sudah berdekatan sini.” Ryouji pantas melibas pedangnya ke belakang tatkala menyedari lelaki yang dihalang dari menyerang Imagawa tadi cuba menetaknya.
“Bagaimana engkau tahu?”
“Menggunakan alat ini.” Ryouji menunjuk ke arah telinganya.
Alat apakah itu? Apakah Kogen mencipta teknologi baru?
“Kawasaki Sunetsugu, akhirnya engkau tiba.” Ronin bernama Yamaha Tetsuchi tadi berkata kepada rakan ronin-nya. Mereka berdua sedang mengepung Ryouji dan Imagawa, yang berdiri sambil menghunus pedang, membelakangi satu sama lain.
“Ryouji, berhati-hati dengan mereka berdua. Mereka dua orang dari Empat Celaka.”
“Tiga Celaka. Seorang telah kubunuh di Narai-juku.”
“Siapa?”
“Honda Soichi.”
“Bagus. Honda yang paling lemah di antara mereka. Namun semua dari mereka tahu jurus lapan kaminari.”
“Dari siapa mereka mempelajarinya?”
“Dari Shizuo, salah seorang orang kanan Hamada. Ryouji, salah seorang daripada Empat, silap, Tiga Celaka itu adalah yang paling kuat dan berbahaya bernama Suzuki Kenshou.”
Tak guna engkau Shizuo. Meskipun engkau sudah bersama kami, sisa-sisa dosa-dosa silammu benar-benar menyusahkan kami!
“Di manakah dia?”
“Aku tidak tahu, namun aku pasti akan membantumu sehingga kalian berjaya sampai ke Yokuma.”
“Terima kasih Imagawa. Aku tidak tahu bilalah aku akan dapat membalas jasamu.”
“Doumo. Demi Kogen dan atas permintaan rakan baikku, Kotobuki. Aku masih terhutang budi kepada keluarga itu, kerana merekalah aku menyertai Kogen. Nantilah aku kisahkan. Ayuh, kita habiskan dua ekor ini dahulu!”
Kotobuki... hontou ni arigatou!
Hutan sugi itu menyaksikan empat petarung beradu kekuatan. Ryouji bertarung dengan Kawasaki sementara Imagawa berhadapan dengan Yamaha.
Hisamiko, Tsuneki, kalian bertahan dahulu! Aku perlu menghabiskan penyangak ini sekarang. Penyangak ini benar-benar membuang masa dan tenaga.
Sambil bertarung, sekali-sekala Imagawa berbual dengan Ryouji.
“Ryouji, alat apakah di telingamu itu?”
“Alat mengesan Hisamiko.”
“Mengesan Hisamiko? Bagaimana?”
“Aku tidak berapa faham bagaimana. Saintis kami menemuinya.” Ryouji tidak mahu mendedahkan nama Shinji, maka dia menggunakan perkataan ‘saintis’.
“Mungkinkah ia boleh digunakan untuk berhubung jarak jauh?”
“Ada kemungkinan, tapi saintis kami masih mengkajinya. Imagawa, syaitan-syaitan ini telah membakar Narai-juku.”
“Apa?” Imagawa tersentak, dia hampir ditetak lawannya.
“Berhati-hati Imagawa-san!” Ryouji mengingatkannya agar jangan leka. Dia menyambung kisahnya.
“Bahkan mereka telah meracun kuda-kuda gantian di sana. Termasuk kuda kami.”
“Apa sebabnya mereka membakar Narai-juku?”
“Sebagai balasan kerana gagal menangkap kami. Mereka mengekori kami sejak kami hampir mendekati kawasan ini pagi tadi. Namun kami memilih berpatah balik ke Narai-juku kerana menyedari kuda kami lemah. Tak sangka mereka mengejar sehingga ke sana dan memangsakan penduduk pekan itu.”
“Ryouji, engkau membuat pilihan tepat. Kalian perlu hidup demi menghapuskan kuasa Hamada. Meski nyawa penduduk Narai-juku terpaksa dipertaruhkan.”
“Imagawa, mengapa engkau tidak memberitahuku awal-awal yang kalian menunggu kami di sini? Jika kami tahu sudah pasti kami tidak akan berundur kembali ke Narai-juku dan sudah pasti pekan itu selamat.”
“Maaf, sepatutnya aku memberitahumu semalam namun aku tidak dapat melakukannya. Pengintip Hamada berada di sekitarku.”
“Engkau bertarung dengan mereka malam semalam bukan?”
“Benar, mereka merancang mahu memecah masuk rumah tumpangan kalian. Ketika kalian keluar awal pagi tadi, aku mengejar dua penyangak ini sehingga ke sini, sementara orang-orangku masih berkawal di pekan itu memerhati Honda dan orang-orangnya. Hanya Suzuki Kenshou berkawal di Yokuma, kerana ia keutamaan Hamada.”
“Apakah engkau sudah menjangkakan mereka akan memusnahkan Narai-juku? Mengapa engkau tidak memaklumkan kepada Kogen awal-awal lagi??”
“Aku tidak menjangkakannya Ryouji. Orang-orangku berkawal di situ seperti biasa. Sepatutnya kalian akan diserang selepas kalian benar-benar menghampiri Yokuma. Empat Celaka hanya berkawal di situ. Aku tidak tahu siapa yang membocorkan rancangan kalian kepada Hamada.”
Tak guna! Sesiapa yang membocorkan rancangan kami, harus membayar di atas kematian dan kerugian penduduk Narai-juku! Siapa, siapa dalang dalam kalangan kami?! Siapa?!
Siapa yang telah tahu rancangan ini selain Kotobuki, Tsuneki, adikku, dan Terauchi. Terauchi, Terauchi! Ya, siapa lagi yang tinggal di luar Kogen dan berhubung dengan dunia luar? Sebentar, tidak mungkin. Terauchi orang terpercaya Kotobuki. Takkan dia mengkhianatinya? Bahkan, dia tidak pernah membuka surat Kotobuki itu.
Namun pengkhianatan sebegitu tidak mustahil. Ia sudah banyak kali berlaku di hadapanku. Ia satu kemungkinan. Mungkin Terauchi ada membuka surat itu. Namun tidak mustahil juga pengintip Hamada yang mengekori kami dari Kogen. Namun jika demikian, sudah pasti Hisamiko akan mengesan mereka awal-awal lagi.
Aku tidak mahu menuduh sebarangan. Namun aku tetap mengesyaki Terauchi. Aku perlu memberitahu Kotobuki tentang ini, meskipun pahit. Aku perlukan Kotobuki menyiasat perkara ini.
Mereka masing-masing kini bertarung agak jauh dari satu sama lain menyebabkan perbualan mereka tidak dapat diteruskan.
Ryouji berada di kawasan beralun yang ditumbuhi sugi, berdiri di lantai hutan menanti serangan seterusnya dari Kawasaki.
“Engkau Okuhida Ryouji bukan? Namamu mainan bibir orang-orang kami.”
“Kawasaki, hentikan semua ini, pulang ke rumahmu.”
“Mengapa? Engkau sudah penatkah?”
“Engkau bukan tandinganku.”
Kawasaki pecah ketawa. Burung-burung bertempiaran terbang menjauhi pokok-pokok sugi.
“Jadi? Adakah aku akan dibunuhmu sekarang?”
“Jika engkau masih berdegil, aku tiada pilihan.”
“Jika engkau tidak mendekati Yokuma, kami tidak akan membunuhmu. Kecuali pewaris Higashihara. Hamada mengarahkan kami membunuhnya sekiranya kami menemuinya. Dia ada bersama kalian bukan?”
Ryouji tidak menjawab, namun berkata, “Hamada mesti dihapuskan. Dia telah melakukan banyak kerosakan.”
“Itu pandanganmu. Engkau tidak nampak berapa ramai yang dibela Hamada dari kalangan kami.”
“Hamada hanya mempergunakan kalian.”
“Bukankah kalian juga dipergunakan Kogen? Demi tujuan politik Omi?”
Ryouji beradu tenaga. Pedangnya melekap pada pedang Kawasaki. Dia cuba untuk meraut mata pedang Kawasaki sepertimana yang telah dilakukan terhadap Honda dan Hiiyama.
Dipergunakan? Aku tidak mahu memikirkannya sekarang. Aku mempercayai keluarga Shirasaka. Aku mempercayai Kotobuki. Selagi mana mereka berada di landasan yang betul, aku mempercayai mereka. Sebaris ayat begitu tidak akan mampu menggugat kepercayaanku. Aku mempercayai Ayame. Segala tindakan mereka demi anak-anak jagaan kami. Aku telah menyaksikan mereka bahkan Ayame bermati-matian bertarung demi anak-anak Kogen.
Dalam fikirannya dihujani pelbagai pertanyaan bertalu-talu, Kawasaki menarik pedangnya dari diraut Saishi-tou. Dia berundur dan mengamati mata pedangnya. Ada sedikit sumbing akibat tetakan Saishi-tou sebelumnya.
“Itukah pedang yang diceritakan Shizuo? Yang mampu menyumbingkan pedang biasa?”
“Benar.”
“Dan ia tidak bermata?”
“Aku punya pedang bermata jika engkau mahu mati cepat. Jika engkau menyerah diri, aku akan menangkapmu untuk dibicarakan di Kogen. Engkau mungkin ada peluang diringankan hukuman. Namun hukuman tetap akan dijatuhkan atas jenayah-jenayahmu yang lain di hutan utara.”
Kawasaki ketawa. Celah mana yang kelakarnya tidaklah dapat difahami.
“Aku tidak akan menyerah.”
“Maka aku tiada pilihan selain menghapuskan kalian. Kawasaki, aku masih berharap engkau fikir baik-baik akan pilihanmu.”
Hayabusa-no-kami, aku mohon jangan engkau datangkan sumpahan itu di saat genting ini. Onegai!
Sekian lama aku berpedang dengan Kawasaki, semakin sukar aku mengalahkannya. Dia hanya menggunakan jurus kelapan, namun setiap gerakanku seolah-olah diserap dan disalin semula. Dia belajar sambil bertarung. Fizikalnya hanyalah sepertiku, tinggi dan saiz badannya. Cuma wajahnya menampakkan bibit penuaan sedikit melepasi umurku. Mungkin sekitar tiga puluhan. Mungkin lebih pengalaman berbanding aku. Namun aku dengar Empat Celaka baru sahaja dibentuk dua tahun lepas, selepas Hamada semakin bimbang Yokuma diceroboh dan selepas menyedari dia telah kehilangan ramai petarung terbaiknya. Di mana lelaki ini bekerja sebelum menyertai Empat Celaka?
Nantikan aku Ryouji. Shizuo dan aku telah menyelidiki kaedah memecahkan bilah kalian. Engkau ingat bilah aneh itu tidak akan dapat dimusnahkan? Jika kalian mampu berinovasi menggunakan ilmu sains dari Barat, kami juga mampu. Bahkan, ia semudah kaedah bertarung. Hanya dengan mengubah kaedah menetak pedang lawan pada sudut tertentu, bilahmu boleh dipecahkan. Tiada ciptaan manusia yang sempurna. Aku harap engkau sedar perkara itu. Pasti ada bahagian pada bilah itu yang lemah, yang boleh kumanfaatkan. Aku akan mencuri kesempatan menetak satu bahagian dahulu. Bahagian tengah pedangnya. Namun aku harus menunggu dia naik ke jurus kesembilan. Bagaimana caranya? Aku akan menekannya.
Dalam beberapa gerakan, Kawasaki cuba menetak bahagian tengah Saishi-tou Ryouji. Ada yang mengena dan ada yang berjaya dielak Ryouji.
Ryouji hairan. Dia perasan Kawasaki asyik menyasar pada pedangnya, bukan tubuhnya.
Aku tahu. Dia mahu memecahkan Saishi-tou. Dia mencari titik lemah pada bilah ini. Pertarungan ini benar-benar membuang masa. Hari semakin gelap dan aku perlu segera menjejaki Hisamiko dan Tsuneki. Jika tidak kerana dia mampu mengelak gerakan menumpulkan bilahnya tadi, pertarungan ini sudahpun tamat dan dia sepatutnya sudah melarikan diri, sekurang-kurangnya. Dia tidak seperti Honda, nampaknya. Dia tahu mengelak dari gerakan itu. Bagaimana dia tahu? Pastinya dari Shizuo. Shizuo belajar dari pertarungan sulung kami di Hidagawa itu. Mungkin Honda juga tahu namun mengambilkira yang dia petarung paling lemah dalam Empat Celaka, mungkin dia belum benar-benar menguasainya.
Cahaya matahari semakin memudar. Hari akan beransur senja.
Aku harus memanfaatkan cahaya matahari selagimana ia ada. Amat sukar sekiranya pertarungan ini berlanjutan sehingga senjakala. Aku akan naik ke jurus kesembilan dan menewaskannya secepat mungkin. Aku tiada pilihan.
Saat Ryouji naik ke jurus kesembilan, Kawasaki tersenyum. Di jurus kelapan, dia mampu mengamati pergerakan Ryouji yang hanya sedikit lebih pantas darinya. Dia menanti ruang dan peluang, dan ketikamana Ryouji cuba menetaknya di jurus pantas itu, dia hanya menetak perlahan sedikit, pada satu titik lemah di antara hujung mata Saishi-tou dengan bahagian pusatnya. Saishi-tou berjaya dipecahkan.
Ryouji tergamam. Saishi-tou pecah. Saishi-tou, pedang terkuat itu sudah pecah! Nampaknya kata-kata Shinji dahulu berkenaan kelemahan Saishi-tou terzahir di sini, di saat genting ini.
“Dou, Okuhida-san? Engkau fikir ciptaan manusia tiada kelemahankah?”
Ryouji masih tidak dapat menerima kenyataan itu. Dia merenung separuh dari bilah yang masih di tangannya.
“Bagus engkau naik ke jurus kesembilan. Jurus yang dicapai dengan pedangmu itu, aku manfaatkan agar ia ‘dipulangkan’ kembali kepada pedang itu. Lihatlah Ryouji, kuasanya memakan dirinya sendiri!” Kawasaki ketawa kepuasan.
Ryouji geram. Dia kini hanya ada sebilah pedang, iaitu pedang Miura yang bermata. Jika tidak, dia harus bertarung dengan mengelak sahaja.
Bijak. Dia menggunakan kepantasanku sebagai senjata. Tanpa perlu menyerangku pantas, dia hanya menahan pedangku yang pantas pada jurus kesembilan. Strategi ini menjimatkan tenaga. Malah, ia boleh dilakukan di jurus rendah seperti tiga dan empat. Namun dia memilih melakukan jurus kelapan demi membolehkannya mengamati pergerakanku dengan lebih tepat.
“Engkau fikir ciptaanmu tiada kelemahankah? Setiap bilah ciptaan manusia tidak sempurna, pasti ada satu titik lemah.”
“Bagaimana engkau tahu titik lemah Saishi-tou-ku?”
“Dengan menetak dan mendengar bunyinya. Ryouji, apakah engkau fikir tetakan demi tetakan yang kulakukan sebelumnya adalah tetakan mematahkan yang gagal? Tidak sekali-kali. Aku mencari dengan bunyi-bunyi dentingan itu.”
“Lantas mengapa engkau masih membiarkan pedangmu disumbingkanku?”
“Aku mahu memastikan pedangmu benar-benar pedang yang dikatakan Shizuo. Sedikit pengorbanan yang tidak seberapa berbanding pulangan lumayannya bukan?” Kawasaki ketawa.
Sial. Aku terpaksa menggunakan pedang bapaku. Mungkin matanya mampu memecahkan bilah Kawasaki yang sudah sedia sumbing itu. Aku hanya perlu menyasar kepadanya. Titik lemah yang dihasilkannya sendiri.