Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 44

Kobato mendapat surat balas dari Saki. Dia membacanya.


Bagaimana mungkin aku meminta Ryouji membantuku? Aku arif benar perangainya. Dia bijak. Dia pasti akan bertanyaku sehingga ke akar umbi berkenaan motifku. Aku tidak boleh sekali-kali mendedahkannya. Bahkan sebelum aku bertanya perkara itupun, aku masih perlu bertemunya juga. Dia pasti akan memujukku agar menghentikan rancanganku membunuh Takasaki. Aku tidak mahu mendengarnya, atau dia mungkin akan kubunuh juga. Aku tidak mahu melakukannya selagi boleh. Ryouji adalah satu-satunya sahabatku selagimana dia tidak masuk campur urusanku dengan Takasaki. Apa yang penting, Takasaki mesti mati di tanganku. Sesiapa yang cuba menghalang, akan turut menerima akibat yang sama.


Aku tiada cara lain. Aku perlu mendapatkan resin itu sendiri.

 

Kobato mengembara ke serata Nakasendo dan cuba mencari-cari di pasar pedagang di shukuba (hentian atau pekan persinggahan di sepanjang Nakasendo) dan bertanyakan pedagang yang lalu-lalang di lebuh itu, dengan harapan menemui jalan pintas mendapatkannya. Namun hampa. Resin itu tidak dijual di pasar.


Mungkin aku boleh menumpu kepada kaedah kedua yang dicadangkan Saki. Mungkin aku harus bertapa.

 

Setelah meninggalkan kedai pedang Mitsuhide, Kobato bersembunyi di sebuah pondok terbiar di dalam hutan. Dia membina sebuah relau di situ dan membeli tamahagane, cuba mencipta pedang yang ringan bagi mencapai jurus kesembilan. Pedang yang ringan, namun tanpa resin yang dinyatakan Saki.

 

Dia bereksperimentasi dengan pelbagai ramuan tamahagane bagi mendapatkan pedang tersebut tanpa resin khas. Dalam masa berbulan dia tinggal di situ, dia juga memerhati para pedagang yang melalui Nakasendo dan melindungi mereka dari serangan perompak. Seringkali dia mendapat upah dari para pedagang tersebut, dan kadangkala makanan yang mewah. Dia menggunakan kesempatan bertarung dengan perompak-perompak bagi menguji bilah yang dihasilkan. Namun bilah itu sebenarnya hanyalah bilah biasa yang pernah ditempa di kedai Mitsuhide, tiada apa yang istimewanya. Hanya resin itu sahaja yang boleh mengubahnya agar setanding dengan Saishi-tou.

 

Suatu hari, dia duduk di atas batu, di tepi sungai. Cuba menenggelamkan dirinya dalam hingar sungai yang mengalir. Tenang. Sekosongnya. Dirasakan begitu mudah sekali dia menenangkan diri. Dia tiada ibu bapa, tiada isteri, tiada anak, tiada rakan. Tiada siapa yang mengharap kepadanya dan dia tidak mengharap kepada sesiapa. Tiada sesiapa yang bermusuh dengannya dan dia tidak memiliki musuh untuk dikejar. Hanya dendam. Hanya itu sasarannya. Tiada siapa yang perlu dirisaukan dan dia tidak merisaukan sesiapa. Maka mencapai zen menjadi mudah.

 

Dalam matanya masih terkatup, dia perlahan-lahan mencapai pedang yang baru ditempa, dan melibas batu besar di hadapannya. Batu itu terbelah. Dia membuka mata dan terperanjat.

 

Sekuat inikah jurus kesembilan? Apakah aku telah mencapainya?

 

**

 

Awal musim bunga 1871 (selepas Ryouji pulang dari misi pertama)

 

Onii-san, Azuchi memberitahuku yang dia mengantuk sekiranya aku menayangkan loket yang kau berikan ini padanya.” Hisamiko memberitahu Ryouji tiba-tiba suatu hari ketika dia duduk melepak di taman bonsai.

 

“Aku ingin melihatnya. Panggil dia ke mari.”

 

Hisamiko memanggil burung itu, seperti biasa ia bertenggek di atas pohon shirakaba. Azuchi terbang turun dan hinggap di pohon momiji yang lebih rendah dari shirakaba.

 

“Sekarang, Hisamiko.”

 

Hisamiko membuka loket itu dan menayangkan kepada Azuchi. Serta-merta, mata Azuchi terkatup dan dia menganga seluas-luasnya, menguap, kemudian merendahkan badannya dan tertidur.

 

“Mungkin aku harus tunjukkan kepada Takasaki-san.”

 

Takasaki memberitahu dari mana dia mendapat resin itu. Ryouji teringatkan penjual loket itu, yang ditemui ketika pulang dari Kisennuma. Takasaki tahu orang luar tidak akan dapat menemui rumahnya kerana tama-no-iwa yang ditanam di rumah itu, milik keluarga Shirasaka. Namun dia juga tidak mahu orang-orang Tsugiyama sekali lagi menyerang Chisato yang sudah kecederaan dan Ryouji yang masih belum arif melakukan jurus tinggi.

 

**


Awal musim bunga, 1872


Ryouji termenung malam itu. Dia sudah lama menguasai jurus kesembilan, sejak pertengahan musim panas tahun lepas, 1871. Sudah sepatutnya dia keluar bertemu Kobato. Namun pujukan Hisamiko dan Chisato menghalangku. Melihatkan tangisan Hisamiko, aku tidak sampai hati. Jika bukan kerana mereka, sudah pasti aku telah keluar malam itu.


Kobato, apa khabar engkau? Sudah berbulan-bulan berlalu sejak engkau bertemu kami pada hari itu, dengan perangaimu yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Apa yang merasukmu Kobato? Apakah benar semua yang kulihat selama setahun persahabatan kita itu cuma lakonanmu? Siapakah sebenarnya Kobato yang aku kenali selama ini? Apa yang engkau sembunyikan dariku, Kobato? Bukankah engkau hanya bercerita kisah-kisah dan meluahkan perasaan kepadaku? Apakah masih ada perkara yang engkau sembunyikan dariku?


Ryouji tidak boleh melelapkan mata. Dia bangun, dan pergi ke hutan buluh tempat dia selalu berlatih bertarung bersama Chisato. Semakin dia cuba melelapkan mata, semakin dia terbayangkan wajah rakan baiknya itu, dan semakin kuat pula keinginan untuk bertemunya. Apakah aku harus mengingkari Takasaki lagi? Akupun sudah mahir jurus kesembilan, tiada alasan lagi untuk dia menghalangku keluar. Jika Kobato berubah fikiran dan mahu membunuhku, aku sudah bersedia dengan jurus itu bagi melindungi diri. 


Atau, Takasaki punya alasan lain menghalangku? Lebih dari sekadar melindungi diriku?


"Ryouji... mengapa engkau termenung?" Suara Chisato kedengaran lembut di kejauhan, diselang-seli bunyi bambu yang ditiup angin sederhana kuat malam itu. Petanda hari akan hujan.


"Ah, Chisato. Tiada apa-apa."


Chisato tahu Ryouji berada di situ. Ketika dia hendak keluar, dia mendengar bunyi pintu gelangsar utama ditolak, dan ternampak Ryouji keluar. Dia mengekorinya. Dia tidak bercadang untuk berlatih bertarungpun malam itu, hanya sekadar mahu berbual dengan Ryouji.


"Engkau risaukan Kobato bukan?"


"Chisato, engkau lebih lama dariku tinggal di sini. Apa yang engkau tahu berkenaan Kobato?" Ryouji tidak mengiyakan pertanyaan Chisato, sebaliknya membalas dengan pertanyaan.


"Dia sering berseorangan."


"Lagi?"


"Dia banyak menyimpan. Dan dia tidak..."


"Tidak?"


"Tiada apa-apa." Chisato seperti cuba menyembunyikan sesuatu.


"Tidak apa Chisato?" Ryouji mendesak.


"Tidak pandai mengurat sepertimu." Chisato senyum, cuba memotong desakan Ryouji dengan daya tarikannya. Mereka duduk berdua bersebelahan di atas longgokan buluh tua yang sekian lama menjadi tempat duduk mereka di situ. 


Ryouji terpana memandang senyuman manis Chisato dan terlupa soalan seterusnya, dan keinginan berdua-duaan dengan Chisato lebih kuat berbanding menumpu kepada Kobato. 


Chisato tiba-tiba menolak tubuh Ryouji menggunakan sebelah tangannya, dan Ryouji terbaring di atas ribanya sepantas kilat. Hebat. Bagaimana seorang perempuan bertubuh kecil begini begitu kuat lengannya. Tidak mustahil dia mampu menumpaskan lawan lelaki.  


"Chisato, apa yang engkau lakukan?" Ryouji terperanjat dengan tindakan Chisato.


Chisato tidak menjawab. Dia meletakkan jari di mulutnya sambil memandang Ryouji di ribaan, masih tersenyum. "Shhh... . Ryouji. Tenangkan dirimu. Jangan fikir apa-apapun. Hanya baring di ribaanku begini."


Dia baring di atas ribaan Chisato, saling memandang satu sama lain melayani perasaan di dalam rimba buluh yang berbunyi ditiup angin malam yang sederhana kuat. Kilat berkelip-kelip di dada langit, mungkin kawasan yang jauh di sana sudah ditimpa hujan. 


"Ryouji, lupakan seketika semuanya. Aku hanya mahu berdua denganmu sejenak di sini." Chisato bersuara lembut, sambil mengusap rambut Ryouji di ribaannya. Aku tidak tahu sehingga bila engkau akan hidup, dengan keputusan degil dan bodohmu menyertai Kogen, dan sumpah hayabusa itu. Dan aku tahu, engkau masih mahu keluar bila-bila masa sahaja mengejar Kobato, jika aku dan Hisamiko tidak peka denganmu. 


Hanya di saat begini sahaja aku mampu berdua denganmu. Tenangkan dirimu Ryouji. Aku di sini. Aku dan Hisamiko di sini. 


Pada petang hari itu, Kobato keluar dari persembunyiannya di Nakasendo. Hari ini adalah penentu. Dia mahu menuntut bela kematian ibu dan bapanya pada malam itu juga.

 

Saki yang mendapat tahu Kobato akan datang ke situ, keluar senyap-senyap dari rumah. Dia bertemu Kobato jauh sebelum Kobato sampai ke gerbang buluh, di tepi Sungai Miya. Gembiranya bukan kepalang melihat Kobato setelah sekian lama tidak bertemu.

 

“Kobato, ohisashiburi (lama tidak berjumpa)!” Saki memeluk Kobato. Kobato menyambut pelukan itu.

 

“Kobato, kita lari. Aku mahu hidup denganmu. Lupakan tempat ini.”

 

“Saki, aku mahu berjumpa Takasaki-san.” Kobato tidak mengendahkan kata-kata Saki.

 

“Untuk apa, Kobato? Bukankah engkau datang untuk bertemuku, seperti yang tertulis di dalam suratmu?”

 

“Maafkan aku, Saki. Engkau tidak akan faham.”

 

Azusa sedari tadi mengekori Saki, dan sedang memerhati mereka berdua dari celah belukar.

 

“Apa yang tidak aku fahami? Perincikan, Kobato.”

 

“Saki, ke tepi segera dan usah menghalangku.”

 

“Apakah kerana Takasaki-san bertanggungjawab di atas kematian ibu bapamu?” Saki menduga, berdasarkan pengetahuannya yang terhad. Kobato berubah wajah. 

 

“Engkau ingin membalas dendam, bukan?” Saki menduga Kobato lagi. 


 Kobato hanya mendiamkan diri. Tidak membenarkan, meskipun jelas di wajahnya. Saki membacanya dan yakin akan dakwaannya tadi.

 

“Kobato, lupakan dendammu. Kita lari dari sini. Kita mulakan hidup di tempat baru.”

 

“Saki, engkau merengsakan. Aku mohon engkau ke tepi.” Kobato berubah angin. Dia mahu lekas ke rumah perlindungan.

 

“Apa maknanya semua surat-surat yang telah engkau hantar padaku selama ini? Untuk apa, Kobato?”

 

“Itu semua sebahagian dari perancanganku. Terima kasih Saki kerana membongkarkan rahsia jurus kesembilan. Namun maaf, aku tidak mencintaimu. Sekali lagi, aku mohon engkau ke tepi.”

 

Saki memeluk Kobato dan tidak melepaskannya. Dia tidak peduli apapun kata Kobato. 


Kobato mulai rimas dan marah, perlahan-lahan mencapai tantou yang terselit di pinggang, seraya menikam Saki tiba-tiba. Saki terkejut. Darah mengalir keluar membasahi tubuh. Kobato menarik pisau tantounya yang terbenam di perut Saki, sejurus itu dia tersungkur.

 

Saki masih memegang kaki Kobato. Namun Kobato melepaskan kakinya dengan kasar. “Kobato...” Saki memanggil nama Kobato sambil sebelah tangan menekup perutnya. Darah terus-menerus mengalir dari celahan jari yang menekup luka itu.

 

Azusa masih tidak percaya apa yang dilihatnya. Dia terus meluru keluar dari belukar.

 

“Kobato! Apa yang telah engkau lakukan?” Azusa berkata dan meluru ke arah Saki yang sudah nyawa-nyawa ikan. Dia meletakkan Saki di atas pangkuannya.

 

Nee-chan. Maafkan aku...” Saki menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Azusa. Azusa menangis sambil memangku Saki di ribaan. Tubuh Saki sejuk dan kaku. Saki sudah tiada. Saki-chan, adikku sudah tiada! 


Azusa menyeka air mata, meletakkan mayat Saki di atas tanah, dan bangun.

 

Matte (tunggu), Kobato!”

 

Kobato yang sudah jauh berjalan, berhenti. Dia tidak langsung menoleh mendengar panggilan Azusa.

 

“Aku telah melihat semuanya. Engkau tidak akan dapat melarikan diri dari sini hidup-hidup!”

 

“Azusa, engkau bukan tandinganku. Jika engkau sayangkan nyawamu, beredar dari sini dan jangan menggangguku.”

 

Azusa tidak mempedulikan amaran Kobato. Dia berlari anak mengejar Kobato dan sampai berdekatannya.

 

“Kobato, mengapa engkau membunuh Saki?”

 

“Dia menghalangku. Aku mahu bertemu Takasaki sekarang.”


"Engkau tidak sepatutnya membunuh Saki! Apa yang merasukmu, Kobato, apa yang merasukmu?! Jawab soalanku, pandang aku!" Azusa membentak, air matanya masih mengalir. Dia geram Kobato seperti tidak langsung mempedulikan kata-katanya, seperti tiada apa-apa yang dia rasakan selepas membunuh Saki, rakannya sedari kecil.


"Kobato, jawab soalanku! Kita rakan sedari kecil, mengapa engkau lakukannya? Jika engkau tidak berpuas hati dengan Saki, maka berbincanglah denganku dahulu. Mengapa engkau membunuhnya sekejam itu?! Jawab aku Kobato!"


Kobato berjalan terus tanpa mengendahkan Azusa.

 

Azusa mulai marah. Dia berjalan laju dan berdiri di hadapan Kobato menghalangnya.

 

“Aku tidak akan benarkan engkau ke rumah kami.”

 

“Apakah engkau juga mahu menerima nasib sama seperti adikmu?”

 

“Kobato, aku akan menuntut bela kematian Saki.” Azusa menarik katana yang dibawa, sebilah katana yang tidak bermata. Dia telah membawa satu dibimbangi Saki akan diapa-apakan. Dia akan mematahkan tulang Kobato dan membawanya bertemu Takasaki. Takasaki akan membawanya bertemu Kogen untuk diadili.

 

Kedua-dua mereka membuka pencak. Bertarung dengan Kobato merupakan impian lama Azusa. Namun dia tidak sekali-kali menyangka pertarungan dengan Kobato bukanlah latihan atau olok-olok, namun sebuah pertarungan yang akan menentukan hidup matinya.

 

Lama keduanya berdiri pegun, berwaspada dengan gerakan pemula masing-masing. Keputusannya akan ditentukan dengan satu libasan sahaja.

 

Tatkala Azusa menggerakkan sedikit sahaja lengannya, libasan katana Kobato memotong merentas pinggangnya. Azusa tersungkur. Perutnya dirobek pedang Kobato dan darah merah pekat melimpah membasahi bumi. 

 

“Azusa, Saki, aku tidak mahu membunuh kalian. Namun kalian telah menghalangku dan aku tiada pilihan. Aku harus bertemu Takasaki-san segera. Sayonara.”

 

Aku tidak mahu mati. Tuhan, aku masih belum mengakui perasaanku terhadap Ryouji. Azusa mengengsot sedikit demi sedikit, tatkala berpaut pada nyawa yang masih tersisa di hujung tenggorok, menuju ke lokasi mayat Saki, dalam kesakitan tubuh dan jiwa yang perit.

 

“Maafkan aku, Saki. Kerana kecuaianku engkau jadi begini. Maafkan aku.” Azusa berkata dan menangis, sebaik mencapai tangan Saki. Sebaik dia menghabiskan kata-katanya, dia menghembuskan nafas terakhir, sedang tangannya masih memegang tangan Saki.

 

**

 

Aku Funazuki Azusa.

 

Aku menyertai rumah perlindungan itu pada 1862, ketika berusia lapan tahun setelah ibuku meninggal dunia akibat kanser. Saki adikku yang muda setahun menyertaiku. Pada waktu itu hanya Kobato seorang yang menghuni bersama keluarga angkatnya. Dia berumur sebelas tahun. Dia, Takasaki dan Mariko telah berpindah dan tinggal di situ sejak tahun 1855.

 

Sejak aku berusia lima tahun, kami kerap datang ke rumah perlindungan tersebut bermain dengan Kobato, apabila ibu ke lombong sulfur melombong.

 

Kobato seorang yang pendiam dan selalu berseorangan. Aku tidak pasti kenapa dia begitu. Dia gemar bercakap berseorangan, dengan seseorang yang digelar ‘otou-san’. Aku tidak pasti apakah dia maksudkan Takasaki, atau bapanya sendiri. Kadangkala dia memarahi seseorang dan meninggikan suaranya. Dia benar-benar menakutkan aku.

 

Namun Saki langsung tidak gentar mendekatinya. Saki sentiasa datang dan mengajaknya bermain pondok-pondok di taman bonsai. Kobato tidak pula marah atau berasa terganggu malah menerima Saki sebagai rakannya.

 

Sehinggalah pada hari kematian ibu kami. Sejak itu, Kobato menyisihkan dirinya. Dia juga memarahi Saki yang cuba mendekatinya. Saki menangis dan mulai takut dengannya. Kobato kerap kulihat kembali berseorangan selepas itu. Namun Saki tidak berputus asa. Tidak lama selepas itu, dia masih mengganggu Kobato. Kobato memukulnya. Aku melihat peristiwa itu dan memarahinya. Kami bergaduh dan bertumbuk sehingga Takasaki dan Mariko campur tangan dan meleraikan kami. 


Sejak itu, Takasaki melarang kami bertarung dibimbangi kami akan membalas dendam. Takasaki juga tidak membenarkan sebarang senjata tajam dalam pemilikan kami. Apa yang aku dan Mariko faham darinya ialah aku dan Saki tidak akan dibenarkan berlatih bertarung dengan Kobato dan mana-mana pelajar lelaki pada masa akan datang. Itulah yang aku beritahu kepada Chisato kemudiannya. Atau mungkin aku tersalah faham maksud Takasaki. Aku masih tidak faham, mengapa Kobato berubah sikap sebegitu. Namun beberapa tahun kemudian, setelah aku yakin dengan kebolehanku bertarung, aku mengimpikan pertarungan dengan Kobato. Aku tahu aku mampu mengalahkannya. Namun aku tidak punya dorongan kuat untuk menyuarakan hasratku kepada Takasaki.

 

Tidak lama selepas kematian ibu kami, Takasaki memberitahu bahawa dia diamanahkan oleh ibu kami agar menjaga harta kami dan menyerahkan kepada kami setelah cukup umur. Harta kami ialah kuil patung Buddha dan dua patung singa di seberang Sungai Miya beserta tanah yang menempatkannya, lombong sulfur di belakang rumah itu beserta kolam onsen berdekatannya.

 

Aku sekali-sekala ada juga mengikut ibu ke lombong sulfur. Aku ingin sekali membantunya namun dihalang. Mungkin kali ini Takasaki akan membenarkanku. Takasaki pada mulanya keberatan, namun melihat kesungguhan aku mendesaknya berkali-kali, dia mengalah. Dia membawa kami ke lombong dan mengajarkan cara-cara melombong sulfur. Hari demi hari, kami mulai betah mengharungi kehidupan sebagai pelombong. Saki yang kebosanan turut menyertaiku. Apa yang mendorong kami melombong ialah pulangan, selain dari kebosanan tinggal di rumah itu. Aku memperolehi pendapatan lumayan hasil jualan sulfur dan mula menabung dan bercita-cita mahu membeli tanah sawah dan hidup di tempat lain bersama Saki.

 

Beberapa tahun kemudian, pada tahun 1866, Chisato menyertai rumah ini, bersama adik-adiknya. Rumah ini bertambah meriah. Chisato seorang yang peramah, dialah yang kerap menegur Mariko dan aku dan Saki. Aku amat menghormatinya, aku tidak pasti mengapa. Mungkin auranya? Entahlah.

 

Aku tahu, aku tidak secantik Chisato dan dia telah merampas Ryouji dariku. Perkara ini masih menjadi dilema. Apakah aku harus merelakan Ryouji diambil olehnya?

 

Aku masih teragak-agak. Sehinggalah hari ini, di saat nyawaku di hujung tenggorok. Chisato, engkau memang beruntung. Chisato, aku pergi dahulu, bahagiakan Ryouji. Sehingga kita bertemu lagi.

 

Mata ne! (Jumpa lagi!)

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov