Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 11

Tsuneki adalah pelajar termuda di rumah perlindungan itu, berusia lapan tahun ketika Ryouji menyertainya. Dia tidak dibenarkan menyertai pertarungan sebelum umurnya mencecah sembilan. Maka dia hanya memerhati. Kini, tahun 1869 kunjung tiba dan dalam beberapa bulan lagi umurnya akan menginjak sembilan. Namun dalam beberapa bulan menjelangnya dia akan terus memerhati dan bermain.

 

Sebagai kanak-kanak, adalah normal untuk dia takjub dengan apa-apa yang dilihatnya yang nampak magis dan menarik. Namun dia memiliki tabiat buruk, iaitu suka mengendap. Jika dibiarkan, ia mungkin akan menjadi lebih buruk apabila dia dewasa kelak.

 

Suatu hari dia mengajak Ryouji melalui sebuah denai rahsia di belakang bilik relau. Sebenarnya, pagar hutan buluh itu memiliki banyak ruang masuk selain daripada gerbang buluh. Ia termasuklah denai-denai yang dilitupi pokok-pokok dan belukar biasa, dan juga perbukitan. Tapak rumah perlindungan itu agak tinggi berbanding Sungai Miya dan ia dirasakan Ryouji kerana dia perlu mendaki bukit ketika mengikut Takasaki mengelilingi pagar hutan buluh itu ke pintu gerbangnya.

 

Denai yang disuguh Tsuneki itu membawa mereka ke sebuah kolam air panas yang besar dan dikelilingi oleh pagar buluh. Tsuneki membuat isyarat diam. Ryouji menjengketkan kakinya. Kemudian Tsuneki melihat melalui celah-celah pagar buluh itu. Dia meminta Ryouji melakukannya juga.

 

Ryouji agak terperanjat. Dia melihat beberapa orang wanita yang amat dikenalinya tanpa seurat benang sedang berendam di dalam onsen itu. Yang mula-mula sekali dapat dicamnya ialah Chisato. Namun belum sempat dia menyedari Hisamiko juga ada dalam kalangan mereka, dia memalingkan mukanya ke Tsuneki dan menepuk kuat kepalanya. “Baka! Nani shiteru to omotta?! (Bodoh! Apa yang kau fikirkan mengajak aku ke sini?)”

 

Tsuneki mengaduh kesakitan, kemudian tersengih seperti kerang busuk.

 

Dia mendengar bunyi derapan tapak kaki dan ranting patah seraya menoleh ke belakang. Di depannya, Funazaki Azusa dan Saki sedang berdiri sambil mencekak pinggang.

 

“Oho, ini kerja kamu ya. Mari sini!” Azusa menarik telinga Ryouji sementara Saki menarik telinga Tsuneki. Aduh sakit sakit! Itai itai!

 

“Funazuki-san, maafkan aku. Aku tidak berniat mengendap.”

 

“Tsuneki, aku akan berjumpamu kemudian. Jangan kau lari. Okuhida-san,” dia membuat isyarat agar mengikutinya. Saki masih memegang lengan Tsuneki, si ‘musang kecil’ itu.

 

Azusa membawa Ryouji jauh sedikit dari Saki dan Tsuneki, kemudian dia separa membisik, “Okuhida-san, aku mahu bertarung denganmu.”

 

“Apa?”

 

“Aku mahu bertarung denganmu. Seperti malam itu di mana kau bertarung dengan Chisato. Ajarkanku sehingga aku mahir.”

 

Ryouji tersentak. Rupanya malam itu dia diekori.

 

“Mahukah kau jika aku melaporkan perkara ini kepada Takasaki-san? Yang engkau keluar malam secara rahsia dan hari ini, mengendap penghuni perempuan pula di onsen? Kau tahu tak Hisamiko ada di dalam onsen itu?”

 

Berderau darah Ryouji mendengarkannya. Nasib baik aku tidak melihat lama! Tsuneki no bakaBaka! (Bodoh engkau Tsuneki, bodoh!)

 

“Funazuki-san, aku bersumpah demi para kami yang menjaga onsen ini, sungguh aku tidak tahu yang mereka semua berada di dalam itu. Tsuneki yang membawaku, bahkan aku tidak tahu langsung kewujudan onsen ini.”

 

“Aku percayakanmu Okuhida-san,” Azusa mengujar lembut sambil menguntum senyuman manis. “Iya, iya, Okuhida-san jyanai (bukan, bukan Okuhida-san), RYOU-JI,” Azusa memanggil Ryouji dengan nama peribadinya.

 

Cantik senyumannya, fikir Ryouji. Aku tidak pernah melihat Funazuki-san senyum. Dia dan adiknya, Funazuki Saki berwajah paling bengis di rumah itu, seperti seorang mak cik yang sudah bekerja keras menjaga rumah mandi berpuluh tahun dengan garis-garis di muka dan otot keras di lengan, berlawanan dengan Chisato yang berwajah lembut. Ogasawara-sanhontou gomen (aku benar-benar minta maaf)! Aku tidak sengaja terlihat tubuhmu. Namun aku harus memuji engkau memiliki aset yang besar!

 

Lamunan Ryouji terhenti diterjah suara Azusa. “Kau bukanlah seorang yang jahat, Ryouji. Namun, aku boleh menjadikanmu ‘jahat’ sekiranya aku membocorkan rahsia-rahsiamu kepada Takasaki-san.”

 

“Apa yang kau mahukan sebenarnya, Funazuki-san?”

 

“Aku hanya mahu melihatmu bertarung dengan Chisato sekali lagi. Aku tidak pernah melihat Chisato menunjukkan kemahiran sebenarnya. Sebetulnya aku terkesima malam itu. Berkali-kali aku cuba memastikan yang aku bukan bermimpi. Chisatokah itu? Aku hampir tidak percaya.”

 

“Selain itu, aku mahu bertarung denganmu. Seperti engkau melatih Chisato.”

 

“Itu tertakluk kepada Takasaki-san sekiranya dia membenarkan.”

 

“Pedulikan dia. Bertarung denganku secara sembunyi sepertimana Chisato.”

 

Disebabkan Tsuneki hanyalah budak, dia dilepaskan kemudiannya. Funazuki memberi amaran keras jika dia ternampak lagi Tsuneki mengendap mereka akan melaporkan kepada Takasaki. Namun Ryouji tidak yakin musang kecil itu akan patuh. Budak itu licik dan bijak.

 

Dan aku tahu caranya bagaimana untuk mendidiknya menjadi patuh. Dia masih di umur yang mudah dilentur. Bahkan aku amat memahami budak pada umur sebegitu. Kerana Hisamiko adalah ‘guruku’ sejak sekian lama. Dan aku pernah hidup pada umur sebegitu sebagai budak lelaki. Maka aku faham kemahuannya.

 

**

 

“Tsuneki, mari ke sini. Aku ada sesuatu untukmu,” Ryouji melambung bola bambu kepada Tsuneki. Tsuneki menyambutnya, kemudian membaling semula ke Ryouji.

 

“Aku ada satu permainan. Aku akan membaling bola ini ke arahmu. Jika engkau mengelak, tiada apa-apa. Namun jika balinganku mengenamu, engkau harus menjawab soalan-soalanku dengan betul. Begitu juga peraturannya ketika tiba giliran engkau. Setuju?”

 

Wakatta (faham)” Tsuneki bersetuju penuh keterujaan. Seperti biasa, dia akan tersenyum lebar dan matanya membulat sekiranya ada perkara yang mengujakannya.

 

Aku sudah agak! Getus Ryouji.

 

Ryouji memulakan balingan dan mengena. Dia sengaja bermain permainan itu. Dia mahu mengenali Tsuneki, dan mahu menceriakannya. Mungkin dengan cara itu dia dapat memenangi hati Tsuneki yang misteri itu. Yang dia tahu, ibu dan bapa Tsuneki meninggal akibat taun dan dia berasal dari sebuah perkampungan nelayan dalam wilayah Yozehama, perkampungan yang paling dekat dengan pantai dan mengadap Laut Jepun.

 

“Tsuneki, adakah engkau anak tunggal?”

 

“Ya.”

 

Masih tiada satupun balingan Tsuneki mengena Ryouji. Sengaja Ryouji membulinya.

 

“Tsuneki, apa yang kau ingat tentang bapamu dan ibumu?

 

Tsuneki menjawab tanpa berselindung “Bapaku nelayan. Namun kadangkala dia membawaku mengendap wanita di onsen. Mujur kami tidak pernah ditangkap.” Ryouji tergamam. Dia tidak mahu mendengarnya lanjut.

 

Ibumu? “Okaa-san kerap sakit-sakit dan hanya berbaring di rumah. Dia mati dahulu beberapa bulan sebelum otou-san mati akibat taun.”

 

Rupanya hanya bapanya yang menghidap taun.

 

“Tsuneki, bagaimana bapamu ditimpa taun dan meninggal?”

 

“Dia sakit-sakit selepas menghadiri satu pesta makanan. Aku tidak langsung menjamah makanan di situ kecuali yang masak sahaja.”

 

“Kemudian selepas dia mati, bagaimana engkau berakhir di sini?”

 

“Aku merayau-rayau di pekan dan bertemu Takasaki-san di tengah jalan. Dia bertanyakan di mana ibu bapaku dan aku memberitahu perkara sebenar. Dia membawa aku makan, dan kemudian  membawaku ke sini.”

 

Nasib baik orang itu Takasaki. Bayangkan jika Tsuneki bertemu penyamun atau penculik. Nasib amat menyebelahi engkau si musang kecil.

 

Petang itu, Ryouji bertanyakan lelaki serba tahu, Shinji mengenai wabak taun di Yozehama, empat tahun lepas. Shinji membawanya ke perpustakaan besar, di mana dia membuka sebuah diari wabak-wabak besar. Rak yang sama menempatkan diari-diari, catitan-catitan dan maklumat-maklumat penting bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi yang pernah berlaku di Jepun.

 

“Wabak taun Yozehama,1865

 

Perkampungan Onuma, Wilayah Yozehama.

 

Dua ratus penduduk perkampungan nelayan Onuma terkorban ketika wabak tersebut melanda. Mereka memakan ikan-ikan yang ditangkap ketika pesta makanan laut musim panas tahun itu. Ikan-ikan itu dibasuh menggunakan air sungai tercemar, kemudian dihidangkan mentah. Yang terselamat tidak diketahui berapa ramai.

 

Air sungai tersebut dipercayai dicemari sisa najis ternakan dari sebuah ladang yang baru didirikan berhampiran sungai tersebut. Ia dipercayai dimiliki oleh daimyo Yozehama.”

 

“Siapakah daimyo Yozehama pada ketika itu?”

 

“Yoshitsugu Hagiura. Anak kepada Yoshitsugu Hamada, daimyo Shinagawa.”

 

Ryouji menggetap bibir dan mengepal penumbuk menahan marah. Jika tidak Hamada, anaknya pula. Tidak habis-habis keluarga Yoshitsugu itu membuat kerosakan.

 

Dia bertemu Takasaki kemudiannya untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

“Aku menjejaki penduduk yang terselamat dari wabak setelah mendapat berita. Buat pengetahuanmu aku sentiasa memerhati keluarga Yoshitsugu. Pengintipku di mana-mana.

 

Sebahagian besar penduduk kampung itu mati termasuk bapa budak itu. Aku mencari kanak-kanak lain. Tiada seorangpun yang hidup kecuali Tsuneki. Dia berjalan lemah tanpa hala tuju di tengah-tengah pekan. Aku risau akannya.

 

Dia tidak menjamah ikan mentah yang dihidangkan ketika pesta itu. Geli katanya. Sehingga sekarang Mariko tidak menghidangkan ikan mentah kepadanya.”

 

Shinji turut berada di situ. Sebelum ini dia hanya melakukan halnya sendiri. Rasa ingin tahu Ryouji menggerakkan dia. Kisah Tsuneki yang misteri menarik minatnya. Dia juga pendiam namun dia punya alasan. Ramai tidak faham perbualannya, kadangkala dia merasakan dia hanya berbicara di hadapan patung gangsa di kuil seberang Sungai Miya sana. Namun Ryouji tidak. Ryouji memasang telinga, bahkan sudi belajar darinya perkara baru. Ryouji menghargai dirinya.

 

Sejak saat itu, Tsuneki semakin rapat dengan Ryouji dan Shinji. Jika Ryouji duduk di taman bonsai, dia sudah berani mendekati Ryouji dan melambung bola bambu. Kadangkala, dia bertindak nakal dengan membaling bola itu ke kepala Ryouji. Ryouji menyuruh Hisamiko menyeru hayabusa di atas dan mengarahkan burung itu mengejar Tsuneki. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak melihat Tsuneki dikejar. Kemudian Tsuneki menangis dan dia memujuk Tsuneki dan mereka berbaik semula. Ryouji sengaja bertindak sedemikian kerana mahu mengajar Tsuneki. Budak itu kadangkala terlalu biadap pada fikirannya. Namun dia tidak boleh menyalahkannya. Dia tiada contoh tauladan. Bapanya pula bukanlah contoh tauladan yang baik.

 

Masa Tsuneki di situ tidak lagi dihabiskan berseorangan. Dia menjadi sibuk dan tidak lagi disibukkan dengan aktiviti mengintai dan mengendap. Kadangkala dia mengikut Shinji dan mendengar celoteh England dan Belandanya, tentang cita-citanya mahu terbang menaiki hayabusa. Tsuneki hanya mendengar dan berkata “sou desuka”, “naruhodo” dan lain-lain padahal satu habukpun dia tidak faham apa yang si pelik itu gumamkan. Shinji berkata di England terdapat sejenis besi yang boleh bergerak dengan kuasa api. “Aku mahu membawanya pulang ke Jepun. Aku mahu membinanya di sini. Nanti mungkin aku boleh pergi ke Edo dan pulang pada hari sama menaikinya.”

 

Setiap kali Shinji menyuarakan cita-cita murninya itu, matanya bersinar. Seolah-olah seluruh Jepun mengharapkan sinarnya untuk bergerak ke hadapan. Shinji adalah representasi generasi baru cita-cita menggelora tamadun itu untuk keluar dari kepompong dan keterperukan yang disuguh keluarga Tetsugawa dua ratus tahun lamanya. Bukan angan-angan kosong.

 

Mereka boleh mentertawakanku. Namun mereka tidak boleh menghalangku.

 

Shinji. Shin-jidai. Era baru.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov