Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 26

Saki membuka rumah merpati itu. Hatinya berbunga melihat rumah merpati itu pertama kali berisi surat. Sudah pastinya daripada Kobato.

 

Saki membuka gulungan itu.

 

“Saki, aku perlukan engkau menyiasat hubungan Takasaki dengan bekas daimyo-nya Hamada. Aku mahu mengetahui dari tahun bila dan sehingga tahun bila dia berkhidmat kepada Hamada dan kejadian-kejadian di Shinagawa sepanjang tempoh perkhidmatannya.”

 

Saki mula berasa curiga, namun dipendamkan. Mengapa dia mahu mengetahuinya? Apakah dia mengesyaki sesuatu pada Takasaki?

 

Apapun, aku akan melakukannya. Mungkin aku akan dapat memenangi hatinya dengan cara ini.

 

Saki membaca baki tulisan itu.

 

“Perpustakaan atau pejabat Takasaki mungkin memiliki rekod-rekod tersebut. Cuba dahulu perpustakaannya. Rahsiakan perkara ini antara kita berdua sahaja.”

 

**

 

Saki masuk ke perpustakaan. Dia ternampak Shinji sedang sibuk mencari buku. Dia menegur Shinji, dan Shinji membalas dengan mengangguk kepalanya sedikit, kemudian menyambung mencari bukunya. Dalam hati Shinji hairan. Saki tidak pernah ke perpustakaan sebelum ini. Tempatnya sama ada di lombong sulfur di onsen atau di kuil baru di seberang Sungai Miya. Perpustakaan adalah wilayahku, getus Shinji. Aku adalah daimyo di sini!

 

Saki berjalan di celah-celah rak. Perpustakaan tersebut amat luas dan terdiri dari dua tingkat, satu aras tanah manakala satu lagi aras di bawah tanah, yang dihubungkan dengan sebuah tangga kayu yang berbunyi-bunyi.

 

Saki menuruni anak tangga kayu itu untuk ke aras bawah tanah. Shinji, mengapa engkau di sini? Aku tidak mahu sesiapapun berada di sini. Shinji, apakah engkau membina rumah di sini?

 

Saki geram kerana selalunya pada waktu pagi begitu Shinji sedang berada di bengkel relau dan sepatutnya tiada sesiapapun di perpustakaan. Dia mengambil keputusan mencari di tingkat bawah dahulu sementara menunggu Shinji beredar.

 

Shinji terdengar bunyi derapan pada tangga kayu. Dia tahu Saki sedang menuju ke tingkat bawah tanah. Apa yang dicari Saki di sini? Harapnya dia tidak membuka rak rahsia. Rak rahsia berada di situ. Jika dia membukanya, habis Takasaki!

 

Shinji berjalan perlahan-lahan, cuba melihat dari celahan di antara kayu-kayu lantai tidak sekata yang menghala ke lokasi rak rahsia. Dia mengintai dari atas, dibimbangi rak rahsia itu ditemui Saki. Tidak kelihatan pun kelibat Saki. Shinji tidak berpuas hati. Dia mahu ke tingkat bawah tanah bagi memastikannya.

 

Saki masih berlegar dari rak ke rak. Dia membaca penanda yang bertampalan pada rak dan menemui himpunan rekod-rekod para daimyo yang pernah memerintah wilayah-wilayah di seluruh Jepun. Rekod-rekod itu belum dikemaskini sejak Maharaja menyempadankan semula semua wilayah pada musim panas tahun lepas. Saki mencari di rak yang bertuliskan ‘Wilayah Shinagawa’ yang merupakan wilayah lama bagi kampung Kobato. Dia menarik keluar rekod yang bertanda ‘Yoshitsugu Hamada’.

 

“Yoshitsugu Hamada, daimyo ke-20 Shinagawa, memerintah dari tahun 1821 ketika berusia 18 tahun selepas kematian bapanya daimyo ke-19 Shinagawa, Yoshitsugu Hoshi.” Saki membaca rumusan di muka hadapan rekod itu. Dia mulai menyelak helaian-helaiannya. Rekod itu tampak lebih baru dan kurang berhabuk berbanding rekod-rekod lain, barangkali kerap dikemaskini kerana Hamada masih memegang kuasa, cuma dia baru sahaja ditukar peranan kepada gabenor oleh Maharaja pada tahun lepas. Saki cuba mencari maklumat tersebut, ia tercatat di muka seterusnya. Wilayah baru (prefecture) di bawah pemerintahan Hamada bernama Gizen yang mengambil sebahagian besar wilayah Shinagawa dan beberapa wilayah-wilayah lain seperti Yozehama di utara dan Hidagawa di baratnya. Muka surat itu seperti helaian yang baru ditambah ke dalam rekod itu melihatkan kualiti kertasnya.

 

Saki menyelak halaman seterusnya. Keseluruhan rekod itu mencatatkan perihal terperinci pemerintahan Hamada, seperti ditulis oleh seorang yang begitu rapat dengannya, termasuk kejadian-kejadian yang sempat dirakamkan oleh pelbagai sumber yang berlaku di dalam Shinagawa. Ia bercampur-aduk di antara kisah yang benar dan diselidik dengan baik dengan disertakan sumber atau sekadar rakaman kata-kata dari para penduduk wilayah tersebut yang tidak diketahui kesahihannya.

 

Dia tertarik dengan sebuah kejadian pada tahun 1854, di sebuah kampung bernama Shizen. Kejadian itu dilaporkan oleh seorang penghuni pekan Shizen-machi berkenaan sebuah kebakaran rumah di pinggir sebuah bendang di Shizen-mura. Menurut sumber tersebut, dia mendengar ura-ura pelakunya mungkin bersekongkol dengan Hamada. Dia kerapkali mendengar mangsa kebakaran itu mengadu kepadanya berkenaan masalah hutang yang dihadapi. Mangsa kebakaran tersebut lesap tanpa diketahui. Kesemuanya tiga orang, termasuk seorang anak kecil berusia tiga tahun. Nama-nama mangsa yang hilang: Kozue Taka, Kozue Yuu isterinya dan Kozue Kobato anaknya.

 

Saki memetik jarinya. Dia menemui catitan kejadian kebakaran tersebut. Nama keluarga itu ‘Kozue’, dan tahun kejadian, rumah di tepi bendang seperti yang pernah dikisahkan Ryouji kepada Azusa dan juga tahun kejadian berpadanan dengan usia Kobato. Saki pernah meminta Azusa bertanyakan Ryouji latar belakang Kobato dan Ryouji memberitahunya dalam beberapa siri perbualan di antara mereka.

 

“Sebentar. Di dalam ini langsung tidak direkodkan hubungan Takasaki dengan Hamada. Di mana boleh aku memperolehinya?”

 

Tiba-tiba kedengaran bunyi derapan di tangga. Saki cepat-cepat menutup rekod itu dan menyimpannya kembali. Shinji sedang turun ke situ.

 

Shinji melihat sekeliling dan tempat rak rahsia. Bagus, Saki tidak menemuinya. Shinji menarik nafas lega. Dia kemudian menemui Saki yang berpura-pura mencari-cari sesuatu di dalam salah satu ruang antara rak.

 

“Apa yang engkau sedang lakukan di sini Saki? Perlukan bantuanku?”

 

“Tiada apa-apa."

 

Shinji melihat pada rak. Sesuatu menarik perhatiannya. Sebuah rekod tidak diletak dengan betul dan sedikit terkeluar dari kedudukannya, iaitu rekod berkenaan Hamada.

 

“Saki, jika engkau perlukan bantuanku, aku ada di tingkat atas.”

 

“Shinji...sebentar.” Saki memanggilnya dalam refleks.

 

“Ya.”

 

“Maaf, tidak mengapa.” Saki teringatkan pesan Kobato agar menjaga rahsia mereka.

 

Saki aneh hari ini. Shinji naik ke atas semula. Asalkan Saki tidak mengganggu rak rahsia, dia tidak perlu risau.

 

**

 

Saki cuba menjarakkan hari-hari dia mengunjungi perpustakaan itu. Dia akan memerhati Shinji. Hanya bila Shinji tiada barulah dia akan memasukinya. Saki gigih mencari dari hari ke hari, sehinggalah hampir sebulan lamanya dia mencari, ditambah dengan kesibukan melombong sulfur dan membersihkan kuil patung Buddha dan patung singa. Dalam tempoh itu, disebabkan dia kerap ke perpustakaan dan membelek buku-buku di dalamnya, dia mulai minat membaca.

 

Baru-baru ini Saki mulai menyedari sudah dua hari Shinji tidak ke perpustakaan. Shinji dilihatnya kerapkali ke bengkel relau, entah apa pula projeknya kali ini. Seperti biasa, Saki menggunakan peluang keemasan ini untuk menggeledah perpustakaan tersebut mencari petunjuk seterusnya.

 

Dia tertarik melihat buku-buku yang bersepahan di atas meja Shinji. Saki tidak berminat dengan hobi Shinji, namun setelah berada di dalam perpustakaan itu berkali-kali, dia tidak dapat membendung rasa ingin tahunya kali ini.

 

Dia membelek-belek buku-buku itu. Ada buku berkenaan senjata kuno. Kemudian buku racun. Apa yang sedang Shinji selidiki? Kemudian dia membongkar buku yang lain pula. Topik-topiknya pelbagai. Mungkin buku-buku ini ditelaah dan dibiarkan berminggu-minggu di situ maka topiknya pelbagai dan bercampur aduk. Kemudian pandangannya tercatuk pada sebuah buku dengan lukisan seorang samurai sedang bertarung, yang mana lukisan tersebut sangat buruk pada mata Saki, dan di bawahnya tertulis tajuknya ‘Kaminari no kaze’. Di bawah kulitnya terpampang nama dua orang penulisnya; Okuhida Miura dan Takasaki Nakatsu.

 

Saki mengambil buku itu dan membuka halaman pertama. Halaman pertama memaparkan sejarah perkhidmatan dua orang penulis buku itu. Saki membaca sejarah penulis pertama, iaitu Takasaki, sehingga menemui rangkap berikut;

 

“...pernah berkhidmat sebagai ketua samurai dan pengawal peribadi utama kepada daimyo Shinagawa, Yoshitsugu Hamada selama 33 tahun dari tahun 1823 sehingga 1855...”

 

Bererti Takasaki masih berkhidmat kepada Hamada pada ketika kebakaran di Shizen berlaku, pada tahun 1854. Bererti dia mungkin turut terlibat, getus Saki. Kerana dia ketua samurai pada ketika itu.

 

Saki mengutus surat kepada Kobato memaklumkan penemuan tersebut.

 

Surat itu tiba di rumah kedai membuat pedang itu selepas sebulan Kobato mengutus suratnya kepada Saki.

 

Namun Kobato tidak berada di rumah. Dia telah dihantar Mitsuhide ke Shimagane jauh di barat Honshu atas urusan perniagaan. Dia tidak akan kembali sehinggalah enam bulan kemudiannya iaitu pertengahan musim sejuk di awal tahun 1871. Sebelum pergi, dia meninggalkan pemberian Saki di rumah tersebut dan meminta Mitsuhide menyimpan surat dari Kurobato.

 

Para perantis di situ sudah ada lima orang maka ketiadaan Kobato ditampung mereka.  Mitsuhide mengambil surat itu dari Kurobato dan menyimpannya.

 

Shimagane ialah sebuah wilayah di hujung Barat pulau Honshu. Di selatannya, di seberang Selat Shimonoseki atau nama Baratnya Van der Capellan, terletaknya pulau Kyushu, pulau di mana ramai bekas samurai menetap setelah melarikan diri dari wilayah-wilayah mereka selepas Pemulihan yang dilakukan Maharaja. 

 

Apakah tujuan Mitsuhide menghantar Kobato ke sini selama enam bulan?

 

Shimagane adalah wilayah yang membekalkan bijih terbaik untuk penghasilan pedang Jepun atau katana. Bijih itu digelar satetsu atau ‘pasir besi’. Selepas satetsu dilombong, ia akan dicampur dengan arang dan diproses pada suhu tinggi di dalam relau tanah liat dinamakan tatara mengikut kaedah turun-temurun. Proses ini memakan masa sehingga seminggu dan dilakukan oleh beberapa orang tukang besi, sekitar lima hingga tujuh orang bergantung kepada kuantiti satetsu. Keluli yang dipanggil tamahagane akan terhasil dan mendap di bawah relau ketika proses, dan selepas proses tamat, relau tanah liat tersebut akan dipecahkan bagi mendapatkan tamahagane ini. Kemudian tamahagane ini akan dijual kepada penempa katana di serata Jepun, yang mana salah seorang daripada mereka ialah Mitsuhide.

 

Tujuan Mitsuhide menghantar Kobato ke sini ialah bagi mempelajari asas penghasilan katana dari bijihnya. Kualiti katana bergantung kepada kualiti bijih. Sama seperti kualiti padi. Jika padi dibaja dengan baja yang berkualiti, hasilnya juga berkualiti. Akame satetsu lebih berkualiti dari masa satetsu dan mendapat permintaan yang tinggi dari penempa-penempa katana. Kobato akan membina jaringan hubungan dengan para pelombong dan penempa tamahagane, bagi memudahkan urusan perniagaan di masa akan datang.


**

Awal musim panas, 1871. 


Sejak belakangan ini, banyak siri rompakan berlaku di lebuh Nakasendo. Kobato kerapkali mendengar dari pengawal-pengawal yang datang ke kedai pedangnya untuk membaiki bilah katana mereka. Perompak-perompak itu terdiri dari lima orang, dan berpakaian seperti ninja.

 

Bahkan, kumpulan perompak ini turut merompak pembekal tamahagane yang sepatutnya sampai ke kedai pedang mereka. Ini menyebabkan mereka tidak dapat menyiapkan tempahan mengikut masa yang telah ditetapkan dengan pelanggan. Kobato mula berasa terganggu dan tercabar.

 

Kobato mahu menyiasatnya sendiri. Sudah lama dia tidak mempraktikkan seni kaminari-no-kaze nya, maka dia melihat insiden-insiden ini sebagai peluang bagi menggilapkan kembali kemahiran berpedangnya. Dia juga sudah mulai bosan bekerja di kedai pedang itu.

 

“Mitsuhide, aku ingin mengambil cuti.”

 

“Engkau mahu ke mana, Kobato?”

 

“Berkelana di luar pekan ini. Aku sudah lama benar di sini, Mitsuhide. Lagipun, sekarang musim panas amat sesuai untuk keluar mengembara.”

 

“Baiklah, Kobato. Aku tidak menghalang. Jaga dirimu, keadaan sekarang tidak berapa selamat, engkau pun mendengar berita-berita dari pengawal-pengawal pedagang itu bukan? Kami masih memerlukanmu di sini. Harap engkau kembali dalam keadaan sempurna.”

 

“Jangan bimbang Mitsuhide. Aku pasti selamat.”

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov