Namaku Kozue Kobato. Aku telah lama tinggal di rumah ini sejak mengikut Takasaki ke sini.
Kemudian Funazuki yang menjaga lombong belerang dan onsen di belakang rumah ini pula menyertaiku, selepas ibu mereka meninggal dunia.
Tidak lama kemudian, Tsuneki dan Shinji pula menyusul.
Aku mengenali Funazuki bersaudara lama sebelum mereka berpindah ke sini. Ini kerana mereka dan ibu mereka tinggal di seberang Sungai Miya di kuil patung Buddha dan patung singa, dan juga menjaga onsen dan melombong sulfur di belakang rumah ini. Maka, Funazuki bersaudara kerapkali ditinggalkan ibunya di sini di rumah Takasaki ini sewaktu ibunya pergi melombong.
Ibu mereka ditimpa penyakit yang aku tidak pasti apa pada mulanya. Ia penyakit yang tidak boleh disembuhkan. Ibu mereka hanya mendapat tahu penyakit itu, kanser, setelah dirawat seorang tabib, beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia.
Sejak itu aku merasakan aku pembawa sial. Ibu bapaku mati keranaku. Takasaki juga membenciku dalam diam kerana aku telah menyembelih seekor tupai tanpa sebab. Dan aku fikir kerana aku bergaul dengan Saki, maka ibunya ditimpa penyakit itu, dan mati. Sejak itu, aku mengambil keputusan menjauhkan diri dari mereka. Aku seorang yang jahat, dan tidak menghargai nyawa. Dan juga pembawa sial.
Aku pernah menempik dan memukul Saki yang kerapkali datang kepadaku dengan harapan dia takut dan menjauhkan dirinya dariku. Funazuki yang ternampak aku memukul Saki, telah bertumbuk denganku dan kami dileraikan oleh Takasaki dan Mariko. Sejak itu, mereka tidak lagi mendekatiku. Bahkan, mereka ke mana-mana berdua dan jarang sekali berinteraksi dengan penghuni lain di rumah ini.
Tentang penghuni lain yang menyusul, Shinji juga dingin dan banyak menghabiskan masa di perpustakaan melakukan hal sendiri. Tsuneki pula masih kecil dan jurang umur menjarakkan kami. Dia kerap tidak faham dan bingung setiap kali aku cuba berbual dengannya. Takasaki pula tidak banyak bercakap denganku dan Mariko pula sentiasa sibuk dengan kerja-kerja di sekitar rumah.
Sehinggalah Ogasawara bersaudara datang ke rumah ini.
Sejak Chisato datang ke rumah itu bersama adik-adiknya, rumah ini sedikit sebanyak menjadi lebih ceria. Mereka betah membuka bicara dengan penghuni lain. Funazuki bersaudara mula bercakap sedikit dengan penghuni lain, bahkan mereka menghormati Chisato. Chisato sering tersenyum dan rajin menegurku. Dia muda setahun dariku dan parasnya cantik sekali. Aku tidak pernah menemukan wanita secantik itu dalam hidupku selepas ibuku. Namun, memori bayangan wajah ibuku semakin luput ditelan masa. Kini, aku hampir tidak ingat lagi rupanya.
Pada waktu itu aku masih tidak tahu kisah latar Chisato. Aku tidak pernah berkesempatan bertanya. Mungkin mereka juga melalui pengalaman pahit sepertiku. Namun mereka masih mampu tersenyum dan berbual dengan Funazuki Azusa dan Saki.
Chisato seorang yang rajin. Dia kerapkali membantu Mariko melakukan kerja-kerja rumah, di samping menjaga adik kembarnya. Dia sebaya aku namun sudah memegang tanggungjawab. Di sebalik kerja-kerja yang dilakukan, aku tidak nampak garis-garis pada tangannya seperti Funazuki beradik. Chisato berbadan sedikit berisi dan berkulit cerah kekuningan. Dadanya besar dan pinggangnya ramping. Wajahnya matang melangkaui umurnya, dan dia memiliki mata yang cantik ruyup ke sisi, sedikit sepet. Rambutnya hitam disanggul rapi ke belakang. Dia kerapkali kulihat mengenakan yukata bercorak sakura berbagai warna, kebiasaannya warna jingga pudar dan merah jambu, dan lengannya disingsing ketika dia makan, cerah dan sempurna. Aku tidak tahu bagaimana dia masih kekal cantik sebegitu. Mungkin kerja-kerja Funazuki lebih kelelakian, kerana mereka melombong belerang di samping menjaga kuil di seberang Sungai Miya, iaitu kuil yang ada patung Buddha dan dua patung gangsa berbentuk singa itu.
Aku kagum dengan Chisato. Aku seringkali mencuri pandang dia. Kadangkala mata kami bertembung dan dia hanya tersenyum, dan mengalihkan pandangannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Disebabkan itu, aku merasakan ia hanyalah senyuman biasa. Tiada apa-apa yang istimewa antara kami.
Masa berlalu, dan perasaanku terhadapnya mula berputik.
Pernah satu ketika aku menemuinya menangis berseorangan di hutan buluh. Dia duduk di atas longgokan potong-potong buluh tua dan menutup mukanya. Aku melihatnya dari belukar dan mendengar esak tangisnya yang tidak henti-henti. Aku mendengar dia kerapkali meminta maaf kepada bapanya atas sebab yang aku tidak ketahui. “Otou-san, gomenasai, gomenasai, gomenasai... (Ayah, maafkan aku, maafkan aku, maafkan aku...)” begitulah yang aku dengari dan masih terngiang di telingaku. Adakah bapanya masih hidup? Mengapa dia di sini jika demikian?
Aku bersimpati, aku ingin sekali mendengar kisahnya dan menepuk bahunya, atau memberikan bahuku untuk dia sandarkan kepalanya dan menangis semahunya. Namun aku tidak punya keyakinan.
Aku pernah bertanya Takasaki berkenaan Chisato. Takasaki menjawabku “Mengapa engkau tidak bertanya kepadanya sendiri, Kobato?” sambil tersenyum dan menepuk-nepuk bahuku. Takasaki tidak pernah berubah. Dia tidak banyak bercakap, namun setiap perlakuannya seperti memiliki motif yang tidak aku fahami. Mungkin dia mahu aku menjadi lebih berani?
Aku memberanikan diri mendekati Chisato. Pada hari itu, Chisato datang lagi ke hutan buluh. Aku mengekorinya. Dia masih menangis seperti selalu. Itu memang tempatnya bersendirian. Jauh dari adik-adiknya. Aku faham dia tidak mahu menangis di depan sesiapapun, lebih-lebih lagi Chinami dan Chiho.
Aku mengambil batu-batu kecil, dan membalingnya ke arah Chisato. “Dareka iruno? Dare? Dete koi...onegai...(Siapakah itu? Siapa? Keluarlah, aku mohon...)” Chisato menanya-nanya dengan hidungnya masih sengau kesan tangis. Suaranya lembut seperti seorang ibu memanggil anaknya keluar.
“Boku dake desu. (Hanya aku.)” Aku keluar mengaku, dengan muka berpura-pura bersalah. Chisato hanya ketawa kecil sambil menyeka air mata dengan lengan yukatanya. “Bikkuri shita. (Takut aku.)”
“Mengapa engkau menangis, Chisato?”
“Nani mo. (Tiada apa-apa)” Jawabnya ringkas.
“Aku sudi mendengar, jika engkau memerlukan telinga.”
“Iranai wa. (Tidak perlulah)”
“Aku sudi meminjamkan bahuku, jika engkau memerlukannya.”
“Nani mo iranai wa. (Tiada apa-apapun yang aku perlukan)”
Aku dapat membaca yang dia terganggu akan kehadiranku.
“Kozue-san, maafkan aku. Mungkin di lain kali kita berbual, ne? Aku mahu sendirian seketika di sini.” Chisato menyuakan bahu yang dingin kepadaku. Masih segaris senyuman terukir di bibirnya. Matanya sungguh cantik. Aku terleka sejenak memandangnya.
“Maafkan aku mengekori dan menganggumu.”
“Iye betsuni. (Tidak mengapa, hanya perkara kecil)”
Jika itu yang engkau mahukan, baiklah Chisato. Nampaknya hari ini bukanlah masa yang sesuai. Aku melangkah berat meninggalkannya seorang di situ.
Sebentar, apakah aku mahu mendengar kisahnya kerana simpati atau kerana cinta? Atau sekadar menggunakan alasan simpati untuk mencari cintanya?
Aku mencari peluang di hari lain. Namun dia tidak lagi ke situ, di tempat itu. Aku cuba mencarinya lagi di tempat lain di dalam hutan buluh itu, namun dia tidak kelihatan.
Aku mencarinya lagi di hari lain, dan entah bagaimana, suatu hari, pencarianku mudah amat. Dia hanya duduk bersahaja di taman bonsai. Aku mendekatinya.
“Kobato, jika engkau mahu mendengarku dahulu...”
Langkahku terhenti. Dia menyedari kehadiranku, lalu berkata sedemikian tanpa menoleh wajahnya.
“Sebetulnya aku tidak memiliki sebarang perasaan terhadapmu.” Sebaik menghabiskan kata-katanya dia menoleh memandangku, di matanya tiada langsung perasaan benci terhadapku, hanya segaris senyuman yang tidak pernah lekang di bibir dan matanya seolah-olah melihatku dengan penuh rasa simpati. Adakah dia sudah tahu kisah latarku?
Namun masih, mendengarkan kata-katanya itu, hatiku bagai dihenyak-henyak. Segala harapanku untuk menagih cintanya musnah. Sekarang aku menyedari jawapan kepada persoalan di mindaku.
Meskipun selepas peristiwa itu, dia masih tidak lekang dengan senyumannya apabila bertembung denganku. Dia masih kekal begitu, seperti selalu, seperti sebelum peristiwa di hari itu. Tiada kejanggalan pada wajahnya. Padanya aku cuma rakannya. Hanya aku sahaja yang janggal. Cinta ini, hanyalah cinta yang bertepuk sebelah tangan.
Dan aku akan terus berseorangan pada hari-hari mendatang. Sehinggalah Okuhida bersaudara datang ke rumah ini. Sejak itu setahun yang berbaki di situ untukku menjadi lebih berharga dari tempoh bertahun lamanya yang telah kuhabiskan sebelum ini.
Hanya kerana seorang insan bernama Ryouji. Okuhida Ryouji. Yang telah mengubah semua penghuni di rumah ini.
**
Kobato berjalan mengelilingi kuil dua patung singa dan patung Buddha di seberang sungai Miya, kemudian meredah denai hutan yang sudah tidak berdaun di belakang kuil tersebut, menahan sejuk yang mencengkam dan salji yang menebal di lantai hutan.
“Kobato, engkau tinggallah dahulu di sini sehingga musim panas.” Mariko mempelawa sedang didengari Takasaki, namun Takasaki tidak menunjukkan sebarang reaksi. Mariko risaukan Kobato yang berkelana di tengah-tengah kesejukan tanpa hala tuju.
“Tidak mengapa Mariko-san, aku sudah merancang lama perjalanan ini. Aku ingin keluar secepat mungkin.” Kobato menolak pelawaan Mariko.
Bodoh juga aku menolaknya mentah-mentah, fikir Kobato ketika mengingati kembali perbualan tersebut. Sejuk amat di luar ini, sedang mereka enak duduk di dalam rumah itu di tepi unggun.
Kobato mengelamun sepanjang perjalanan, memikirkan ke mana hala tujunya. Dia hanya membawa sedikit makanan dan wang. Jika kehabisan, dia terpaksa menangkap ikan di sungai atau mula bekerja di mana-mana pekan.
Denai yang dilaluinya itu kini bertemu sebuah denai lain yang lebih lebar dan dilapisi keping-keping batu besar. Inilah laluan Nakasendo, yang merentang dari Kyoto sehingga Tokyo merentasi hutan pergunungan Hidagawa. Satu rombongan pedagang baru sahaja meninggalkan simpang itu.
Kobato mendekati salah seorang dari mereka, seorang lelaki yang sedang mengenderai sebuah kereta kuda, seraya bertanya,
“Maafkan aku kalian, adakah kalian menuju ke Tokyo?”
“Ya Tuan.” Lelaki itu kelihatan sedikit terkejut melihatkan Kobato yang membawa pedang. “Tuan samuraikah? Ada apa-apa yang boleh kami bantu?”
“Saya Kobato.” Kobato menunduk hormat, seraya menyambung, “Saya bukan samurai. Saya pelajar seni pedang dari Hidagawa. Apakah laluan ini menghala ke Shinagawa?”
“Maksud Tuan wilayah Gizen? Ya. Jika Tuan mahu ke sana, ikuti kami, dan pabila tiba di sebuah simpang di Nagano nanti, Tuan harus ke utara, sedang kami akan ke selatan.” Gizen adalah nama baru wilayah yang disempadankan semula oleh Maharaja, di mana sebahagian besar Shinagawa telah dimasukkan ke dalam Gizen.
Kobato mengikut mereka di belakang. Rombongan itu terdiri dari lima orang ahli; dua orang pengawal di kiri dan kanan menaiki kuda, dan seorang di hadapan mengenderai kuda yang membawa kereta kayu. Kereta kayu itu terbahagi kepada dua bilik; bilik depan ditempati dua orang wanita berusia dalam lingkungan tiga puluhan, manakala bilik belakang dipenuhi kain-kain sutera dan barangan peribadi mereka.
Seekor burung merpati tidak henti-henti mengekori Kobato dari kuil patung singa dan patung Buddha meskipun cuaca amat dingin. Ia seperti cuba menjejaki sesuatu yang mungkin sedang dalam pemilikan Kobato.
Setelah hari hampir malam mereka singgah di sebuah penginapan beronsen yang digelar lembah neraka atau jigokudani. Ini kerana terdapat sebuah onsen yang besar di situ yang kerapkali dikunjungi monyet dari bukit berdekatan, yang akan mandi di dalam onsen itu bagi memanaskan badan di dalam cuaca yang sejuk membeku itu. Sebahagian dari onsen itu dibendung bagi kegunaan pelawat penginapan di situ dan mengelakkan dari diceroboh monyet-monyet ini.
Kobato turut sama singgah di situ bermalam. Dia lapar dan perlu memanaskan badan.
Ketika baring melepaskan lelah pada malam itu, dia membuka pemberian dari Saki dan membelek-beleknya. Ia patung kayu berbentuk telur dengan wajah seekor hantu tanuki yang gemuk yang diukir dan diwarnai dengan kemas pada permukaannya. Dia kebosanan lalu menggoncang-goncangnya. Ada sesuatu di dalamnya!
Kobato cuba mencari bukaan. Dia nampak satu garis melintang di tengah-tengah telur itu. Dia menarik penutup telur itu untuk membukanya. Gagal. Kemudian dia memulasnya. Berjaya.
Di dalam telur itu terkandung sekeping surat yang dilipat kecil. Dia mengambil lipatan surat itu dan membukanya. Tulisan di dalamnya berbunyi begini:
“Kobato, patung ini akan menghubungkan kita. Aku melatih seekor merpati berulang-alik dari kuil di seberang sungai Miya dan patung ini. Hubungiku menggunakannya bila-bila masa engkau mahu. Dia akan mengiringimu sentiasa, jangan lupa memberikannya makan selalu. Dia suka roti dan nasi. Aku mencintaimu. Saki.”
Kobato membuka pintu gelangsar, dan memandang ke sebatang pokok sakura yang sudah rompong di taman menghadap anjung bilik itu. Seekor burung merpati yang mengekorinya sejak siang tadi sedang bertenggek di atasnya, asyik memerhati patung gemuk itu, dan kemudian dia masuk berlindung dari kesejukan ke dalam sebuah lubang pada pohon itu. Kobato cepat-cepat menutup kembali pintu tersebut tatkala angin sejuk mulai menderu masuk.
Sekurang-kurangnya aku tidak berseorangan dalam perjalanan ini, fikirnya. Dia sambung mengelamun lalu tertidur.