Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 25

“Takasaki-san, siapakah Tsugiyama?

 

Takasaki agak tersentak mendengar soalan Ryouji yang tiba-tiba. Dia baru sahaja pulang bersama Chisato dari kampungnya dan terus bertemu Takasaki di pejabat.

 

“Dia bekas anak muridku sewaktu aku berkhidmat kepada Hamada. Mengapa engkau bertanya, Ryouji?”

 

“Ketika aku di kampung Chisato, aku terserempak dengannya. Dia mahu menangkap Chisato. Katanya Chisato telah membunuh rakannya. Sefaham aku, dari kisah Chisato, dia cuma menyelamatkan Chinami dan Chiho dari mereka kerana mereka mahu menjual adiknya sebagai karayuki. Dia tiada pilihan dan harus pantas, jika tidak orang-orang di situ akan menangkap dia dan adiknya. Mungkin dalam proses bergegas itu dia tidak sengaja membunuh mereka.”

 

Takasaki teruja mendengarnya. Dia maklum yang keluarga Yoshitsugu punya hubungan dengan sindiket pemerdagang karayuki selepas dia meninggalkan Hamada, dan dia juga ada mendengar berita Tsugiyama dihantar Hagiura sebagai pemerhati kepada sindiket itu. Perkhabaran Ryouji itu membuktikannya. Takasaki sendiri ada bertemu Tsugiyama ketika menyelamatkan Chisato dan adik-adiknya, namun pada ketika itu dia tidak faham mengapa Tsugiyama berminat untuk menangkap Chisato dan adiknya.


Apa yang dibuatnya lagi di Kisennuma? Aku dengar dia merompak di Nakasendo selepas Hagiura memecatnya tahun lepas. Takasaki kebingungan.

 

Tsugiyama adalah anak murid kedua Takasaki. Kemahiran berpedang kaminari-no-kazenya adalah kedua terbaik selepas Saitou. Selepas dia meletak jawatan, Tsugiyama berkhidmat sebagai mata-mata kepada anak Hamada iaitu Hagiura. Saitou pula diambil oleh Hamada.

 

Mungkin di sepanjang ketiadaannya, Tsugiyama telah menambahbaik kemahiran berpedangnya. Mungkin dia belajar dari Saitou? Aku tidak tahu, bisik Takasaki.

 

“Aku tidak mewajarkan pembunuhan yang dilakukan Chisato jika benar, namun mungkin dia juga terpaksa. Maruah adiknya perlu dibela, dia tiada pilihan. Dia juga pasti dibelenggu rasa bersalah. Ryouji, apa telah berlaku pada kamu berdua semasa bertemu Tsugiyama?”

 

“Dia mahu menangkap Chisato, dan aku menghalangnya. Pergerakan Tsugiyama pantas dan dia tahu selok-belok kaminari-no-kaze. Aku terpaksa mengeluarkan jurus yang hanya kufahami secara teori, iaitu jurus ketiga dan keempat. Namun katanaku tidak dibuat untuk disesuaikan dengan jurus itu. Aku hampir ditewaskan ketika seekor burung hayabusa datang berteriak, dan dia berhenti tiba-tiba seraya beredar seperti bergegas mengejar sesuatu yang amat mustahak.”

 

“Takasaki-san, apa tujuan lain penjinakan hayabusa?” Ryouji mengalih topik.

 

“Yang aku tahu, ia dijinakkan untuk tujuan berburu, dan memintas burung merpati yang dihantar sebagai pengutus surat oleh pasukan musuh dalam peperangan. Ryouji, maaf aku ingin tahu, engkau sudah pandai membacakah?”

 

“Aku masih hanya mampu membaca dua ratus kanji sahaja.”Jawab Ryouji mendatar.

 

“Ryouji!” Takasaki menempik, Ryouji sedikit terkejut. Takasaki tiba-tiba berang, matanya merah menyala seperti daun momiji di musim luruh.

 

“Engkau perlu belajar membaca! Shinji, ke mari masuk!”

 

Shinji masuk dengan tersengih-sengih. Dia yang mengadu kepada Takasaki yang Ryouji memintanya membacakan kanji-kanji tertentu di perpustakaan. “Ajar Ryouji membaca! Sebelum musim panas, aku mahu dia hafal dua ribu kanji. Ajarnya mulai hari ini! Dua ribu kanji, atau lebih. Lebih banyak lebih bagus!”

 

Dua ribu atau lebih? Takasaki-san!

 

Ryoukai, Takasaki-san!” Shinji tersengih lagi, kali ini memandang Ryouji. Habislah engkau Ryouji!

 

Takasaki terpaksa bertegas. Ryouji perlu belajar membaca dan mengira. Dia adalah harapan Takasaki. Banyak maklumat dapat diteliti dari perpustakaan besarnya jika dia tahu membaca. Termasuk maklumat penjinakan hayabusa yang ditanyanya tadi!

 

**

 

Sebaik sampai di anjung, Chisato berlarian menuju ke bilik asramanya, tidak mengendahkan panggilan Mariko.

 

Dia meluru ke katil seraya meniarap sambil menyembabkan mukanya ke bantal.

 

Chinami dan Chiho berpandangan sesama sendiri, kebingungan.

 

Nee-channee-chan...” Chinami menggoncang-goncangkan tubuh kakaknya itu.

 

Kemudian dia mendengar esakannya. Chisato memeluk mereka berdua sambil menangis. Kedua-dua mereka bingung.

 

**

 

Sementara itu, Hisamiko di luar di taman bonsai, bersama Ryouji.

 

Onii-san, engkau tidak apa-apa?” Hisamiko berdiri di depan Ryouji menjegilkan matanya memandang Ryouji penuh tumpuan, sambil tangannya di bahu Ryouji. Ryouji sedang duduk di bangku di taman itu, seperti selalunya.

 

“Aku tidak apa-apa, Hisamiko. Tiada Sonzaemon di situ.” Ryouji berhenti dari meneruskan kata-kata, dari bercerita tentang insiden bertemu Tsugiyama dan kesedihan Chisato.

 

Onii-san.” Hisamiko memeluk Ryouji, kemudian dia menangis. Ryouji agak terperanjat, dia perlahan-lahan menepuk kepala Hisamiko lembut. Pertama kali Hisamiko ditinggalkannya, mungkin disebabkan itu Hisamiko berperlakuan sedemikian.

 

Setelah tangisannya reda, Hisamiko duduk di sebelahnya.

 

“Bagaimana dengan nee-chan? Ada sesuatu berlaku di antara kamu?”

 

Merah padam muka Ryouji. “E...to... betsu ni. Kami bermalam di kuil. Kemudian ke kampungnya. Kemudian pulang.”

 

“Itu sahaja? Bosannya...” Selamba Hisamiko mengulas, sambil memuncungkan mulutnya. “Takkan tiada apa-apa berlaku? Hmmm...” Senyuman Hisamiko menggerudi wajah Ryouji. Lagi merah mukanya!

 

Bukan Ryouji tidak mahu bercerita, tetapi dia tidak mahu membuka kisah duka Chisato dan pertemuan dengan musuh yang tidak disangka-sangka. Chisato murung sepanjang perjalanan dan aku tidak berkesempatan membawanya singgah mengambil angin di mana-mana.

 

“Miko, koko mite (lihat ini)” Ryouji menunjukkan sesuatu, sesuatu yang telah dipesan Hisamiko sebelum dia pergi. Ryouji sempat membelinya ketika mereka melintasi seorang penjaja yang bergerak menuju ke pekan Kisennuma.

 

Hisamiko melihat pemberian itu dan mengambilnya dari tangan Ryouji. Matanya bersinar-sinar tatkala membelek-belek pemberian itu. Ia kalungan dengan manik-manik kayu berukir, dan terdapat sebiji manik besar di tengahnya yang boleh dibuka tutup yang diperbuat daripada gangsa, dan di dalamnya diisi dengan batu permata kuning berbentuk bujur, berkemungkinan batu resin. Di dalamnya kelihatan seekor rama-rama kecil yang telah mati lama dan difosilkan di dalam batu itu, menambahkan estetikanya.

 

Arigatou, onii-san!” Hisamiko memeluk Ryouji sekali lagi, kemudian kembali leka dengan kalungan itu.

 

Ryouji fikir dia tidak pernah menghadiahkan apa-apa kepada Hisamiko. Ini pemberian pertama dan mungkin yang terakhir. Apapun, dia harus berfikiran positif. Sumpahan hayabusa belum tentu akan menarik nyawanya. Namun semakin hari, dia semakin risau dan kerap melihat lengan kanannya, dan tanda hitam itu semakin ketara. Ia seperti malaikat maut yang datang menjengahnya mengingatkan dia akan ajalnya setiap kali dia melihat tanda hitam itu. Menakutkan. Dan ia membuatkan Ryouji semakin lebih menghargai saat-saat yang berbaki bersama Hisamiko.

 

Air matanya hampir menitis melihat Hisamiko, namun dia cuba menahan. Hisamiko masih leka dengan kalungan itu dan mencuba memakainya.

 

“Miko, mari, onii-san kalungkan untukmu.” Sengaja Ryouji memintanya agar Hisamiko membelakanginya, agar dia dapat menyembunyikan air matanya yang bertakung dari meleleh di depan Hisamiko. Namun Hisamiko pantas menoleh selepas kalungan dikemaskan, seraya terkejut.

 

Onii-san, engkau menangis.”

 

Nani mo. Hisamiko.” Ryouji mengesat air matanya, cuba mengelak dari meneruskan kata-kata.

 

“Engkau bersikap aneh hari ini. Onii-san, kisahkan kepadaku apa yang telah berlaku sepanjang kelanamu, Onii-san!”

 

“Aku tidak apa-apa, Miko, sungguh. Mataku pedih tiba-tiba dimasuki habuk.”

 

Onii-san pelik, Hisamiko menggumam di dalam hati. Dia jelas menyembunyikan sesuatu dariku. Ryouji pantas mengalihkan tumpuan kepada kalungan itu.

 

“Miko, cuba berdiri di hadapanku. Aku ingin melihat engkau dengan kalungan itu.”

 

Hisamiko bangun dan berdiri di hadapannya.

 

Onii-san, cantik kan!” Hisamiko tersenyum sambil memusing-musingkan tubuhnya, mempamerkan kalungan itu.

 

Cantik, sungguh. Ryouji turut tersenyum.

 

**

 

“Ohoho...aku sudah berjaya meracuni fikiran engkau.” Shinji tertawa dalam hati.

 

Sejak tahu membaca, Ryouji menjadi ulat buku pula. Tidurnya dengan buku. Di meja makan juga dia membawa buku di sebelahnya. Sehinggakan Takasaki terpegun dengan perubahan sikapnya. Sekarang barulah dia tahu betapa indahnya dunia ini jika tahu membaca! Namun keindahan yang dimaksudkan Takasaki itu adalah ‘berlainan’ sedikit.

 

Semakin banyak perkara yang diketahui, semakin tidak menang tangan pula Shinji menjawab soalan Ryouji yang bertubi-tubi mengenai pelbagai perkara. Tidak pernah dia berasa diperlukan sebegini hebat, malah dia mulai berasa kewujudannya di dunia ini penting sekali. Sekurang-kurangnya kepada Ryouji!

 

Tidak disangka juga, dalam perpustakaan besar sebegitu, ada juga bahan bacaan yang ‘dewasa’, iaitu di dalam rak rahsia yang pernah ditanyakan Tsuneki dahulu, yang dilipat ke dalam dinding. Dahulu, Shinji pernah meracuni fikiran Ryouji yang hijau itu dengan bahan-bahan bacaan dewasa, namun disebabkan Ryouji tidak tahu membaca sebahagian besar kanji, maka dia tidak mahu berbicara lanjut mengenainya. 


Kini, selepas Ryouji tahu membaca, Shinji membawanya kembali menelaah bahan bacaan itu.


"Jadi Shinji, dengan melakukan ini, maka kita akan dapat menghasilkan anak?" Tanya Ryouji, sambil menunjuk kepada tulisan-tulisan tumpat berselang seli dengan gambar perselingkuhan pada buku itu.


"Ya." Shinji menjawab pendek, kemudian ketawa kecil. "Mungkin engkau boleh cuba dengan Chisato sayangmu itu?"

"Baka! (Bodoh)!" Ryouji menepuk kepala Shinji dengan buku itu. "Chisato wanita suci, aku tidak akan sekali-kali melakukan perkara tak senonoh ini dengannya."


"Engkau tidak akan memperolehi zuriat, Ryouji jika engkau tidak melakukan selepas berkahwin dengannya. Engkau perlu belajar perkara ini." Shinji tersenyum seperti syaitan. 


Ryouji dengan muka merah padamnya meninggalkan Shinji di situ. Selain Tsuneki, rupanya ada seekor lagi makhluk tidak senonoh di sini! Oh ya, tak lupa si tua kutuk Takasaki itu pun, kerana buku itu bukunya juga!


Takasaki yang meletakkannya di situ secara sembunyi. Shinji menemuinya dan kemudian menemui Takasaki, memaksa dia mengaku. Orang tua itu tunduk mengakui, mukanya merah padam menahan malu setelah ditangkap siang-siang oleh seorang remaja. Orang tua miang!

 

Takasaki memberitahu Shinji bahawa Mariko belum tahu dan meminta Shinji merahsiakannya, sambil tunduk. Shinji setuju, dengan satu syarat. Takasaki membenarkan dia menggunakan bilik relau bila-bila masa sahaja jika dia mahu, dan dia mahu kunci bilik relau dipegang. Takasaki bersetuju!

 

**

 

Hidup Kobato sehari-hari di kedai membuat pedang itu semakin sibuk. Dia belajar lebih banyak perkara dari Mitsuhide berbanding ketika dia berada di rumah perlindungan. Ketika di rumah perlindungan, dia sibuk belajar seni kaminari dan tidak punya banyak masa menumpu ke arah seni membuat katana. Ini kerana hanya di rumah itu dia berpeluang belajar seni tersebut langsung dari penciptanya Takasaki dan anak pencipta keduanya Miura iaitu Ryouji.

 

Mitsuhide dan perantis di situ sudah sebati dengan Kobato dan ketika masa senggang, Kobato akan melatih mereka berpedang. Mereka bertukar-tukar ilmu pengetahuan dan pedang-pedang yang dihasilkan ditambahbaik agar ia sesuai dengan seni kaminari-no-kaze, terutama jurus-jurus yang tinggi seperti jurus ketujuh dan ke atas. Namun ramuan bahan yang digunakan masih tidak cukup sesuai berbanding bahan yang digunakan Shinji. Shinji pada masa yang sama di rumah perlindungan sedang menambahbaik kemahiran menempa katana-nya.

 

Dalam kesibukan itu, Kobato terlupa akan pertemuan dia dengan Tsugiyama ketika musim sejuk, sehinggalah dia teringat kembali, ketika sedang senggang di awal musim panas, 1870. Tsugiyama pula tidak muncul-muncul. Mungkin dia telah muncul di situ pada awal musim bunga ketika pokok itu mula berdaun, namun beredar selepas mendapati aku tiada, Kobato mengagak.

 

Kobato tidak pernah lupa memberi makan kepada Kurobato, burung merpati hitam yang sentiasa mengiringinya setiap kali dia membawa pemberian Saki itu.

 

Sebentar, Saki? Ya, mengapa aku tidak terfikirkan idea sebegini! Kobato menepuk dahinya.

 

Aku boleh meminta Saki menyiasat bagi pihakku, akan kebenaran dakwaan Tsugiyama itu. Saki boleh menyelinap di segenap rumah perlindungan itu, dan mencari buktinya. Shinji pernah memberitahu yang Takasaki menyimpan pelbagai rekod penyiasatan pertubuhannya di dalam perpustakaan di situ. Termasuk penyiasatan ke atas Hamada, bekas daimyo-nya itu. Aku tidak sempat memeriksanya kerana sibuk berlatih kaminari sepanjang masa. 


Aku sedia maklum Hamada adalah bekas daimyo-nya namun aku tidak punya bukti yang menghubungkan Takasaki dengan kebakaran rumahku. Dia mungkin membakar kampung atau rumah-rumah orang lain sedang rumahku dibakar oleh pasukan lain di bawah Hamada. Aku mahu mencari pelaku sebenar. Aku hanya akan menghukum pelaku sebenar, kemudian barulah aku sasarkan kepada Hamada selaku pemberi arahannya.

 

Kobato mengutus segulung surat kepada Saki melalui Kurobato.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov