Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 22

Berjalan kaki sememangnya memenatkan. Tambah-tambah lagi jika cuaca cerah dan suhu yang suam. Ketika mereka sampai di sebuah pekan pedagang, mereka bercadang untuk berhenti berteduh di sebuah kedai ramen untuk meminum air.

 

Terdapat beberapa orang lelaki yang sedang duduk melepak di kedai itu. Ryouji dan Chisato masih tidak mengangkat topi kon mereka. Mereka duduk dan memesan air minum sahaja. Sekali sekala mata Ryouji meninjau di balik topi kon, kalau-kalau kedapatan seseorang yang mencurigakan.

 

“Chisato, aku fikir kita tidak perlu lama di sini.” Ryouji memberi isyarat menunjuk, sembunyi-sembunyi, ke arah kumpulan lelaki tersebut.

 

Chisato diam, sesekali mengintai. Dia terkejut, salah seorang dari lelaki itu ialah orang yang pernah mengejarnya dahulu bersama adiknya.

 

Namun Chisato masih tidak faham mengapa Ryouji mencurigai mereka. “Mengapa Ryouji?”

 

“Jika tidak silap mereka ini berkhidmat kepada Hagiura.”

 

“Hagiura?”

 

“Ya. Hagiura adalah daimyo yang memerintah wilayah di mana kampung Tsuneki terletak iaitu Yozehama dan bertanggungjawab ke atas wabak taun Yozehama akibat tindakannya membuang air sisa ladang ternakannya ke dalam sungai. Masih tiada tindakan diambil ke atasnya."

 

"Dia juga memerdagang gadis-gadis sebagai karayuki. Tsuneki ada memberitahuku kerapkali dia terserempak dengan kumpulan lelaki dengan simbol itu di kampungnya mengangkut anak-anak gadis untuk dijual.” Ryouji menunjuk ke arah simbol berbentuk burung pucung atau sagi, yang menjadi tatu pada leher mereka beserta simbol sama yang mencoraki lengan kimono dan belakang happi mereka.

 

“Bagaimana engkau tahu mereka berkait dengan Hagiura?”

 

“Simbol sagi itu ialah simbol keluarga Yoshitsugu. Keluarga penipu dan penindas, dan pembunuh.” Mata Ryouji dipenuhi api kemarahan ketika mengujarnya. “Aku beruntung ditempatkan di rumah perlindungan itu, Takasaki bukan setakat menempatkan pelbagai karya di dalam perpustakaan besarnya bahkan segala hasil-hasil siasatan pertubuhannya. Dia tidak menyembunyikan malah berkongsi dengan kita. Aku berterima kasih dengan Shinji yang menghafal selok-belok perpustakaan itu.”

 

Bahkan Chisato, mungkin engkau tidak perlu atau tidak ingin tahu, tetapi Hagiura itu juga anak kepada Hamada, daimyo Shinagawa yang telah bersubahat merancang membunuh bapaku. Aku pasti, meskipun bukti yang kuada mengarah kepada Sonzaemon, bahawa Hamada juga terlibat. 

 

Mereka lekas keluar dari kedai itu selepas membayar minuman. Ryouji harus bergegas demi keselamatan Chisato. Dia tidak mahu kejadian lepas yang menimpa dirinya dan Hisamiko berulang.

 

Namun, setelah beberapa langkah meninggalkannya, mereka ditahan salah seorang dari lelaki-lelaki itu. “Chotto matte, omaera! (kalian tunggu sebentar!)” Lelaki yang melaungkan kata-kata itu nampak seperti seorang yang berumur lima puluhan dan bertubuh sedang. Dia memakai happi bercorak sagi di belakangnya, dan memiliki janggut putih.

 

Mereka berhenti, namun tidak menoleh. Mereka menunggu lelaki itu meneruskan kata-kata. Di belakang lelaki itu ialah tiga orang lelaki lain, barangkali pengikutnya. Mereka semua adalah lelaki-lelaki dari kedai ramen itu!

 

“Aku seperti pernah melihat kalian, terutama perempuan itu!” lelaki berjanggut itu menyambung sambil menunjuk ke arah Chisato.

 

Chisato mulai gugup. Tangannya sudah memegang pedang pendek atau tantou, terketar-ketar.

 

Tangan Ryouji pula sudah di hulu katananya, bersedia menarik dari sarung bila-bila masa sahaja.

 

“Oh, ya. Baru kuingat. Engkau Chisato bukan? Anak Minoru, yang telah membunuh rakanku di jeti. Engkau semakin cantik sekarang.”

 

Chisato tersentak. Rupanya benar sangkaannya selama ini bahawa libasan pedangnya di jeti itu telah membunuh manusia. Dia benar-benar gugup. Dia langsung tidak berniat, dia hanya melibas bagi menyelamatkan adik-adiknya. Dia harus melakukannya dengan pantas kerana jika tidak, adik-adiknya bakal dijual dan dia tidak akan menemui mereka kembali. Mereka ramai dan aku hanya seorang, lagi pula wanita. Jika aku lambat pada ketika itu, mungkin aku juga turut ditangkap. 


Chisato serba salah. Adakah dia perlu mengakui kesalahannya dan menyerah diri sahaja? Bagaimana dengan Chiho dan Chinami nanti jika aku tiada?

 

Namun aku hanya ingin menyelamatkan maruah adikku. Aku tidak fikir ingin membunuh sesiapapun pada hari itu. Sebentar, bukankah aku telah nekad semasa meninggalkan rumah, bahawa aku akan membunuh jika perlu? Apakah aku bersalah? Apakah aku seorang yang membunuh sewenangnya? Aku bingung!

 

Nanda? (mengapa?) Engkau telah bertukar bisu setelah membunuh kawanku?!” bentak lelaki itu tiba-tiba. Orang ramai di kaki lima kedai-kedai di tepi mereka mulai berkerumun menyaksikan kekecohan itu.

 

“Chisato, bertenang. Aku ada di sini. Engkau tidak membunuh sewenangnya. Jika aku di dalam situasi tersebutpun aku pasti akan mengambil tindakan sama.” Ryouji cuba menenangkan Chisato.

 

“Bapaku pernah berpesan di zaman ini, kadangkala engkau harus memutus untuk membunuh. Tiada cara lain, kerana engkau wajib memutus pada saat genting itu atau insan tersayangmu tidak lagi kembali. Tiada cara lain Chisato.”

 

Chisato, kita di era baru. Sedikit demi sedikit, kuasa Maharaja dikembalikan, undang-undang akan ditegakkan. Namun sehingga saat di mana ia ditegakkan sepenuhnya, kita harus bertindak sendiri.

 

Percayai aku, Chisato!

 

Ryouji berpusingan dengan pantas menghayun pedangnya seperti pusaran air laut, cuba menelan sesiapa sahaja yang berada di pinggirnya. Orang ramai kaget, seraya menjauhi mereka.

 

Hayasugi! (amat pantas!)” salah seorang dari lelaki itu berteriak, terpesona dengan kepantasan Ryouji.

 

Pusingan Ryouji itu mengelilingi Chisato. “Chisato, ikuti aku! Ingat latihan kita di hutan bambu! Jurus kedua, ayuh!”

 

Chisato terpana sejenak. Mengapa jurus kedua? Bukankah jurus pertama sudah memadai? Adakah Ryouji sengaja mahu berlatih jurus kedua di saat genting sebegini?


Jurus kedua ialah satu-satunya jurus kaminari-no-kaze yang memerlukan regu.

 

Tidak mahu berfikir panjang, Chisato cuba mengamati dan menyerap gerakan Ryouji ke dalam mindanya. Dia mengamati gerakan pantas Ryouji yang sedang mengelilinginya, kemudian mencapai tangan kiri Ryouji dan berpusingan mengikutnya. Tangan kanan Ryouji sedang memegang pedang.


Tidak semena-mena tangan kanan Ryouji kaku ketika masih berpusar. Pedangnya terlepas dari tangan, dan terjatuh. Disebabkan mereka masih dalam berpusar, betis kanan Chisato terkena mata pedang itu sedikit. Darah mengalir dan berhamburan seperti titisan hujan meninggalkan pusaran yang dibentuk duo itu. Chisato kesakitan seraya tersungkur, melepaskan pegangan ke atas tangan Ryouji. 

 

Ryouji tersentak. Tangan kanannya yang memegang katana itu kaku tiba-tiba. Adakah ini sumpah hayabusa? Mengapa sekarang?! Mengapa ketika nyawaku di hujung tanduk engkau datang, sumpah hayabusa?! 


Disebabkan tanganku kaku, aku terlepaskan pedang itu tiba-tiba dan tidak dapat mengelak betis Chisato lantas mencederakannya. Aku perlu berhenti sekarang. Aku perlu mengambil pedang itu menggunakan tangan kiriku.

 

Ribut Ryouji terhenti. Empat orang penyangak itu mendekati mereka dengan katana terhunus.

 

“Setakat itu sahajakah kemahiranmu?” lelaki berjanggut dengan happi bercorak sagi menyambung bicara yang tergendala dek ribut Ryouji. “Engkau mencederakan rakanmu sendiri?” Mereka ketawa berdekah-dekah.

 

Ryouji kaget. Dia ada Chisato yang sedang tercedera. Darah mengalir semakin deras dari betis Chisato membasahi tanah berdebu di tengah-tengah pekan pedagang itu. Dan masa begitu suntuk. Empat lawan dua. Bukan, empat lawan satu! Dan satu yang harus aku lindungi.

 

Demi Chiho dan Chinami. Aku harus fikirkan strategi baru. Bertenang Ryouji. Perhatikan mereka betul-betul. Sasaran mereka Chisato. Seorang dari mereka sedang berdendam dengan Chisato. Sekiranya Chisato terbuka, habis!

 

Ryouji menunduk perlahan-lahan sambil matanya ligat memerhati sekeliling, cuba mengambil pedangnya yang telah dilepaskan ke tanah menggunakan tangan kirinya sedang tangan kanannya masih kaku. Dia pantas mengangkat pedang itu, dan memegangnya melintang, cuba mencari lokasi. Matanya masih melilau. Mereka pastinya berpecah. Dia memusing-musing bilah bagi memantul pandangan di belakangnya. Dua orang di belakang sedang bersedia untuk menyerangnya.

 

“Chisato, guna pisaumu, potong kain umanori, baluti betismu. Maafkan aku. Aku sepatutnya menggunakan jurus pertama. Aku fikir ini peluang terbaik mempraktikkan jurus kedua denganmu, namun aku silap! Gomenasai, hontou ni! (aku benar-benar meminta maaf!)”

 

Chisato menurut. Ryouji mendapati dua orang di belakangnya semakin dekat melalui pantulan bilah, lantas melibas katananya ke belakang. Mereka berundur. Sebentar, di mana dua orang lagi?

 

“Ryouji, belakangmu!” Chisato menjerit. Mendengarkannya, tanpa melihat dahulu, Ryouji menyambung libas katana ke belakangnya, masih menggunakan tangan kirinya yang bukan tangan dominan. Dua orang lagi penyangak yang sudah bersedia memenggal Ryouji, mengundur laju. Mujur, jika tidak mungkin perut mereka sudah dirobek. Ryouji membawa pedang bapanya dalam kembara kali ini atas nasihat Takasaki. Ini kerana pedang bapanya bermata. 

 

Gila, gila! Mereka berani untuk membunuhku! Ya, mereka orang-orang keluarga Yoshitsugu, ia sudah pasti. Aku tidak mahu menumpahkan darah selagi boleh. Aku bukan seperti mereka. Aku hanya mahu melindungi diriku dan Chisato. Disebabkan itu aku bertarung berhati-hati seperti kejadian lepas di Furukawa. Boleh sahaja aku memenggal kepala mereka satu persatu menggunakan kaminari-no-kaze jurus pertama sahaja. Namun aku tidak mahu membunuh, dan hanya bertarung demi seseorang yang harus aku lindungi. Chiho dan Chinami bergantung kepadanya. Hisamiko memerlukannya. Dan aku mencintainya. Aku atau dia, kedua-dua kami tidak boleh mati sekarang.

 

Aku tiada pilihan.

 

Dia masih berhati-hati, menghunus pedangnya sambil mengundur ke arah Chisato.

 

Ryouji menyuarakan perancangannya kepada Chisato sedang matanya masih mengekori musuh-musuhnya. “Chisato, aku tidak boleh menggunakan tangan kananku sekarang. Aku tidak pasti kenapa. Kita akan tetap melakukan jurus kedua, namun dengan cara berlainan, lain dari latihan kita."


"Ryouji, mengapa engkau tidak gunakan jurus pertama sahaja?"


"Tanganku kaku, meskipun untuk jurus pertama. Aku tidak yakin dengan tangan kiriku."


"Chisato, kita tidak akan berpusing bersama-sama, hanya aku yang akan berpusing mengelilingimu. Engkau perlu bertinggung di atas tumit kaki kirimu, dan lunjurkan kaki kananmu yang tercedera untuk melancarkan pengaliran darah. Aku tidak pasti sama ada cara ini akan berjaya atau tidak, namun kita harus mencuba. Hulurkan tangan kirimu."


Chisato melakukan seperti perancangan Ryouji, tangan kirinya memegang tangan kanan Ryouji. Ryouji mula berpusingan di sekeliling Chisato berpusatkan tumitnya, semakin lama pusaran itu semakin pantas dan membina momentum, menghamburkan debu-debu tanah di sekeliling mereka dan menyukarkan lelaki-lelaki itu mendekati mereka. 


Semua yang berada di situ menjauhi mereka, termasuk empat penyangak itu. Mereka tidak dapat membezakan Chisato dan Ryouji kerana pusaran yang dibentuk terlalu pantas.

 

Kaminari-no-kaze. Jurus kedua – pusaran membinasa. Jurus kedua adalah jurus pertama yang dicipta Miura dan memberi ilham kepada nama seni tersebut.

 

Taufan seringkali melanda Jepun setiap kali penghujung musim luruh, di kawasan pesisirnya. Namun taufan di tengah-tengah Kansai pada musim bunga adalah suatu keanehan. Atap-atap bumbung kedai berterbangan di sekeliling mereka. Angin halilintar atau kaminari-no-kaze, adalah seni pertarungan ciptaan Miura dan Takasaki yang mengambil perumpamaan dari gerakan angin yang pelbagai. Angin taufan, puting beliung dan ribut, digabungkan dengan kepantasan kilat dan halilintar, membentuk kumpulan gerakan yang pantas dan membinasakan. Ia terbahagi kepada sepuluh jurus utama. Setakat ini Ryouji hanya menguasai setakat enam jurus pertama.

 

Dilihat dari atas, pusaran itu tampak seperti in dan you, saling memerlukan, saling menguat. Pusaran itu semakin besar dan bergerak jauh meninggalkan pekan itu. Ryouji tidak menyangka dia berjaya melakukannya. Jurus kedua kini adalah satu realiti. 


Namun memikirkan kembali, adakah ini yang Takasaki mahukan? Agar aku berlatih di dunia nyata menghadapi musuh sebenar? Dan agar aku mengeluarkan jurusku bersama Chisato? Agar dia yakin aku boleh melatih jantina lawan dan sekaligus membenarkan pertarungan rentas jantina?

 

Mereka kini kembali di tengah laluan bendang yang jauh dari pekan itu, berdekatan Kisennuma.

 

“Ryouji, terima kasih. Jika bukan kerana engkau berada di situ, mungkin aku sudah ditangkap mereka.”

 

Doumo. Aku minta maaf Chisato."


"Iye, betsu ni. Luka ini sudahpun kering Hanya luka kecil."


Mereka menumpang sebuah kereta kuda yang melintas yang sedang mengangkut jerami, meneruskan perjalanan ke kuil Shinto terdekat yang ada penginapan. Balutan umanori pada kaki Chisato yang tercedera akibat terkena sedikit hirisan pedang Ryouji sudah mula kering. Ryouji mengoyak sedikit kain umanorinya.


Ryouji membuka balutan itu perlahan-lahan. Chisato mengaduh kesakitan. 

 

“Maafkan aku Chisato.” Ujar Ryouji sambil membuat balutan baru. 

 

Ryouji terpegun seketika melihat betis Chisato yang putih itu kemudian memandang ke arah lain. “Nande (mengapa), Ryouji?”

 

Iye... nandemo (Tiada apa-apa).”

 

Chisato tersenyum kecil sambil berkata, cuba mengusik, "Ryouji no ecchi! (Ryouji miang!)"


Ryouji merah padam.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov