Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 101

Aku akan menggunakan kaedah Saishi-tou. Ia kaedah yang belum pernah digunapakai. Ia hanya berhasil jika aku menggunakan Saishi-tou kerana kemilau bilah itu dan kenipisannya. Namun aku perlu mencuba menggunakan pedang bapaku, dengan memanfaatkan kaedah penyelarasan sudut pandangan.

Mereka berpusingan, menanti gerakan seterusnya. Dalam satu gerakan, Ryouji mengambil peluang mengamati sudut pandangan mata Kawasaki. Dia menghayun pedang Miura ke arah Kawasaki, dengan mencondongkannya pada sudut di mana cahaya matahari tidak dipantulkan bilah tersebut ke mata Kawasaki. Oleh itu, Kawasaki tidak dapat mengesan di mana lokasi bilah Ryouji.

Namun Kawasaki tidak mahu berputus asa, cuba mengagak dari cara Ryouji memegang hulu pedangnya, dan cuba menahan dengan pedangnya. Malangnya dia tidak menyedari bahawa Ryouji memegang pedangnya secara terbalik. Ini bermakna bilah Ryouji berada di bahagian bertentangan dengan lokasi Kawasaki menahan menggunakan bilahnya.

Bilah Ryouji kini di leher Kawasaki.

“Engkau tahu Kawasaki, nama pedangku yang telah kau pecahkan itu?”

“Aku tidak ambil peduli. Persetankan.”

“Namanya Saishi-tou (benang halus). Dan engkau tahu mengapa ia dinamakan Saishi-tou?”

“Persetankan!” Jelas keterkilanan dan ketakutan di wajahnya. Mengapa aku boleh tersilap? Maruahku dicalarkan sebegini rupa. Aku, petarung kedua terbaik Empat Terbilang. Sedang aku baru sahaja memecahkan bilah anehnya tadi. Namun aku masih dikalahkan! Ryouji, engkau manusiakah?

“Kerana ia halus seperti benang dan tidak mudah dilihat pada sudut tertentu, akibat kemilauan dan kenipisannya. Dan tahukah engkau rahsia pedang tersebut?”

“Jika engkau mahu bunuh aku, lakukannya sekarang dan berhenti mengarut!”

“Rahsia Saishi-tou boleh digunakan pada mana-mana pedang yang nipis dan berkilau, seperti pedang bapaku ini, tatkala aku memusingkannya di bawah cahaya matahari. Disebabkan itu engkau tidak dapat mengagak di mana pedangku.”

“Okuhida-san, aku sudah tewas. Bunuh aku sekarang dan berhenti mengarut. Sekarang!”

“Aku mahu menangkap dan membawamu ke Kogen. Lepaskan senjatamu dan serah diri.”

“Baiklah, jika itu yang kau mahukan.”

Kawasaki menggugurkan senjatanya. Dia menyeringai tanpa disedari Ryouji. Terima kasih Ryouji kerana kenaifanmu. Engkau fikir petarung sepertiku layak diberi kesempatankah? Bukankah telah aku ingatkan tadi bahawa engkau perlu membunuhku segera atau engkau akan dibunuhku? Jangan salahkan aku atas kebodohanmu itu.

“Rendahkan badanmu.”

Kawasaki menurut seraya bertinggung, pedang Ryouji masih di lehernya. Sekali dia bertindak melawan, Ryouji akan menarik pedang itu dan berhamburanlah darah dari lehernya.

Namun tiada sesiapa yang dapat melihat seringai Kawasaki di balik wajahnya yang menunduk. Pastinya dia punya udang di sebalik batu. Tangannya perlahan-lahan mencapai pedang yang digugurkan dari tanah berdebu hutan sugi itu, disedari Imagawa yang sedang bertarung dengan Yamaha.

“Ryouji!”

Bucu pedang Kawasaki hampir mengenai leher Ryouji, namun tiba-tiba masih ada darah menitik membasahi bumi.

Leher Kawasaki telah dihiris dalam oleh pedang Ryouji terlebih dahulu. Ryouji menghabiskan hirisan, sejurus itu Kawasaki tersungkur.

Tidak jauh dari mereka, Yamaha sudah terbujur. Imagawa berdiri dengan pedangnya berlumuran darah.

“Ryouji, jangan-jangan engkau mahu menangkapnya?”

“Benar...”

“Ryouji!”

Ryouji hanya redha dimarahi Imagawa. Dia masih teragak-agak nampaknya.

“Jika tidak kerana launganku engkau mungkin telah ditetaknya. Bodoh!”

“Maafkan aku Imagawa-san.”

“Ayuh, hari semakin gelap, kita tidak punya banyak masa lagi!”

“Tunggu sebentar, Imagawa.”

Ryouji menggoncang-goncangkan patung telur tanuki. Seekor merpati hitam terbang turun dari sebatang pokok. Dia menulis sesuatu pada kertas dengan pensel.

“Teknologi apakah ini?”

“Saintis kami yang menemuinya.” Sekali lagi Ryouji merujuk Shinji sebagai ‘saintis’.

“Hebat. Aku tidak pernah melihatnya. Aku ada mendengar Furuya juga terlibat dalam projek pembakaan terpilih burung untuk keluarga Yoshitsugu.”

“Benarkah?”

“Ya. Mereka punya hayabusa yang berderia bau setanding burung nasar.”

Pastinya Goro, burung sial yang membawa Tsugiyama ke rumahku dahulu.

“Apakah mereka juga punya kajian ke atas burung-burung lain juga?”

“Burung gagak yang boleh dilatih untuk berkomunikasi menggunakan isyarat warna, dan juga burung merpati yang boleh berulang-alik di antara dua objek rujukan.”

“Apakah burung merpati itu dijual?” Ryouji bertanya namun tangannya masih memegang pensel, menghabiskan coretan kepada Shinji. Dalam coretan itu dia melaporkan kemungkinan Terauchi mengkhianati mereka dan meminta Shinji melaporkannya kepada Kotobuki.

“Benar. Selain membekalkan burung-burung itu kepada keluarga Yoshitsugu, mereka juga menjualnya kepada orang awam.”

Ryouji menambah maklumat baru dari Imagawa berkenaan kemungkinan Syarikat Insurans Furuya bertanggungjawab menjual burung merpati hitam itu kepada Saki, ke dalam surat yang akan dihantar kepada Shinji itu. Shinji, aku mengharapkan bantuan kalian menyiasat kuil patung Buddha dan patung gangsa. Barangkali kuil itu tempat pertemuan para pedagang burung-burung.

Selesai mencoret, dia mengikat surat itu pada kaki merpati hitam, seraya melepaskannya. Burung itu terbang jauh menuju Kogen.

Shinji telah memindahkan rumah merpati itu di luar Kogen agar burung tersebut dapat mencapainya. Jika dia meletakkan rumah itu di dalam Kogen, burung tersebut tidak akan dapat memasukinya kerana tama-no-iwa. Lokasi baru rumah merpati tersebut ialah di tempat di mana Tsuneki pernah bertemu Tatsuhiro sewaktu membawa keluar kuda Kogen.

Shinji keluar ke lereng berumput, memeriksa kalau-kalau Ryouji ada menghantar pesan melalui merpati itu.

Dia membuka peti. Teruja benar dia melihatkan rumah itu berisi merpati hitam Kobato. Ada surat diikat pada kakinya. Pantas dia membuka surat itu dan membacanya.

Shinji, beritahu Kotobuki agar menyiasat Terauchi. Aku fikir dia dalang di sebalik pembocoran rahsianya. Lagi satu, petunjuk baru. Syarikat Insurans Furuya, dalangnya Pieter Van Nekk, terbabit dalam projek pembakaan terpilih burung-burung. Yang benar, Ryouji.

Rahsia Kotobuki? Ryouji, apa maksudmu? Bukankah kalian telah meninggalkan Kogen? Apa yang sedang kalian buat lagi di luar sana?

Meskipun dirundung persoalan demi persoalan, Shinji tetap menyampaikan khabar Ryouji kepada Kotobuki. Sebaik mendengarkan khabar tersebut, Kotobuki meminta Shinji keluar dari pejabatnya. Shinji dapat mendengar Kotobuki menumbuk-numbuk meja teh dan ada bunyi esakan. Tidak pernah Shinji mendengar Kotobuki menangis dan marah begitu.

 

**

 

"Teruo, apa maklumat terbaru?" Soal Momota.

 

"Dari pengintip kita dalam Kogen, pewaris Higashihara itu nampaknya berada dalam jagaan Takasaki sejak lama dahulu lagi." Teruo memaklumkan.

 

"Siapa pewaris itu?"

 

"Namanya Tsuneki."

 

"Apa buktinya?"

 

"Terauchi sami Furukawa itu memberitahuku mereka menghala ke Yokuma sekarang. Momota, sampaikan berita ini kepada Hamada secepat mungkin."

 

Arigatou, Teruo. Ambil ini imbuhanmu.” Momota menghulurkan sebuntil kain sebesar genggaman tangan  penuh berisi syiling emas.

 

Arigatou, Momota. Mata ne!”

 

**

 

Seekor lagi merpati pengutus, kali ini dari pegawai Kogen di Nagano, tiba di Shirasaka. Kotobuki membuka surat tersebut dan membacanya. Dia merenyuk surat itu. Berita dari Nagano jelas mendatangkan kemarahannya.

 

“Berita sama seperti daripada Ryouji, Kotobuki-san?”

 

“Ya. Namun aku tidak sanggup membacanya.” Ada angka kematian di situ, mungkin lebih lagi pada masa surat ini tiba di sini.

 

“Kazuhito, aku mahu engkau ke kuil Furukawa segera, tangkap Terauchi dan bawa Terauchi ke sini.”

 

"Mengapa, Kotobuki-san? Bukankah dia rakanmu?"

 

"Hanya laksanakan arahanku."

 

"Baik, Kotobuki-san!"

 

 

**

 

"Terauchi, aku mahu engkau jujur denganku."

 

Terauchi hanya diam dan tunduk.

 

"Jawab denganku, Terauchi! Sebelah mana engkau berpihak?"

 

Masih, dia pegun seperti patung batu.

 

"Terauchi, kita sudah lama bekerja bersama di dalam Kogen. Apa yang Hamada tawarkan padamu? Beritahu aku, Terauchi. Aku akan menawarkan yang lebih baik dari itu."

 

"Kotobuki-san, aku mahu pulang ke kampungku. Ibuku sakit."

 

Kotobuki terkejut. Mengapa dia tidak memberitahuku?

 

"Mengapa engkau tidak memberitahuku? Aku akan usahakan mendapatkan wang untukmu."

 

"Wang? Aku memohon bantuan kalian sudah lama bagi merawat ibuku. Dahulu sakitnya masih ringan. Dan sekarang dia sudah tidak mampu bangun, kakinya telah membusuk. Sehingga bila lagi harus aku bersabar dan menunggu?"

 

Sebentar, dia pernah bertanyaku perkara ini! Mengapa aku begitu mudah melupakannya?

 

"Aku benar-benar minta maaf, Terauchi. Aku benar-benar lupa perkara ini. Namun, mengapa Hamada, Terauchi?! Mengapa dia?! Engkau telah membahayakan Tsuneki dan beradik Okuhida, dan dia harapan kita menghapuskan Hamada!"

 

"Aku fikir Hamada mungkin jahat pada sesetengah orang, namun dia baik hati pada sebahagian yang lainnya. Aku fikir mungkin kerana itu, para pengikutnya begitu setia dengan mereka. Sama seperti pecahan Ayame."

 

Pecahan Ayame?

 

"Terauchi, apa maksudmu pecahan Ayame?"

 

"Engkau tidak tahu? Kotobuki-san, anakmu sedang mengumpul pengikutnya di belakangmu, di dalam Kogen itu sendiri. Dia lebih pantas darimu. Aku fikir mencurigai dia sahaja tidak lagi  memadai. Engkau perlu lebih proaktif sekarang."

 

"Kotobuki-san, jika engkau tidak bertindak, Kogen akan berpecah."

 

**

 

Mereka bergegas menjejaki Tsuneki dan Hisamiko yang dirasakan berada berdekatan situ, berdasarkan isyarat statik pada alat di telinga Ryouji.

“Ryouji, bagaimana?”

“Masih kedengaran bunyi itu. Aku fikir mereka tidak jauh dari sini.” Aku fikir sekarang lebih jelas kerana tiada bunyi pedang berlaga seperti sebelumnya. Bunyinya sayup-sayup. Hisamiko, teruskan menghasilkannya. Kami sedang menjejakimu.

“Ayuh!”

Sudah dua nyawa dikorbankanku, dalam masa sehari. Hari pertama dalam hidupku, aku membunuh. Jika diikutkan, aku mungkin sudah membunuh sewaktu aku diserang di Kisennuma dahulu, atau sewaktu aku dikepung Sonzaemon di hutan Furukawa, atau sewaktu aku melaksanakan misi pertamaku, atau sewaktu aku bertarung dengan Kobato, atau sewaktu misi pertama bersama Ayame. Namun keadaan-keadaan ketika itu tidak membenarkannya berlaku. Jika aku membunuh dalam salah satu dari peristiwa-peristiwa itu, ia demi melindungi diri sahaja atau demi melaksanakan arahan Kogen. Hari ini, aku melakukannya bukan sahaja kerana arahan Kogen dan melindungi diri, tetapi kerana aku perlu menamatkan punca kepada semua onar ini. Kematian mereka yang tidak berdosa. Yang sewenang-wenangnya dibakar. Dalang-dalang dan puncanya mesti dihapuskan, kerana undang-undang gagal menghukum mereka. Dan aku, menggunakan mandat Kogen, melakukannya. Aku tidak memanipulasi mandat tersebut. Sekurang-kurangnya itulah yang aku fikirkan. Mungkin, pada fikiran mereka yang menyaksikan, aku memanipulasi mandat itu demi membalas dendam terhadap Hamada yang telah membunuh bapaku. Namun kerosakan yang dilakukan Hamada bukan sahaja itu, malah banyak lagi yang lainnya.

Ryouji bermonolog, demi menguatkan dirinya dan mewajarkan tindakannya. Tangannya masih terketar-ketar. Apa yang kulihat pada Ayame, berlaku padaku hari ini.

Selang beberapa ketika...

“Aku fikir mereka di sini, Imagawa.”

Mereka berdua menghentikan kuda masing-masing. Ryouji masih mengamati bunyi tersebut. Kadangkala bunyi itu perlahan kerana ia juga terhasil jika Hisamiko mencungap atau terbersin yang mana perbuatan tersebut juga akan menggetarkan saraf istimewa di belakang hidungnya, cukup kuat untuk menghasilkan gelombang yang dapat dikesan.

Onii-san!” Kedengaran suara Hisamiko dari celah belukar. Tsuneki memunculkan diri. Hisamiko memeluk abangnya sambil menangis. Imagawa hanya tersenyum.

“Ryouji, aku telah menghantar merpati meminta bantuan dari Nagano.” Beritahu Tsuneki.

“Benarkah begitu? Arigatou, Tsuneki!” Rupanya engkau yang menghantarnya.

Hontou ni arigatou, Kitsune-san!” Imagawa tunduk separas pinggang ke arah Tsuneki.

Iye, iye... tidak perlu tunduk Imagawa-san.” Tsuneki tersipu malu menerima penghormatan begitu dari seorang lelaki berumur dan beruban.

“Tsuneki, apa yang telah berlaku?”

“Kami diculik orang-orang Hamada ketika di menara itu. Aku membunuh dua orang dari mereka dengan panahku ketika ditahan mereka di sini. Sekarang mereka sedang mengejar kami ke sini.”

Tsuneki, engkau merisikokan diri kalian demi penduduk Narai-juku?

Tsuneki menyambung, “Kalian, kita harus melarikan diri jauh dari sini. Mereka merancang mengepung laluan ini.”

Ryouji melihat kudanya, kemudian kuda Imagawa yang baru sahaja sampai selepas Imagawa meniup jarinya. Nasib baik cukup!

“Tsuneki, bonceng Imagawa.”

“Tsuneki, mari. Ini tanda terima kasih membantu penduduk Narai-juku.”

Tsuneki memeriksa busur dan panahnya. Masih di belakang. Dia memanjat pelana.

Hisamiko membonceng Ryouji. Mereka pantas memecut menghala ke Yokuma. Sepatutnya mereka akan sampai malam itu juga. Namun mereka memilih untuk bermalam di satu persembunyian yang dicadangkan Imagawa. Amat berbahaya jika mereka berada di Yokuma pada waktu malam kerana lebih sukar bertarung di dalam gelap. Mereka mungkin akan mati katak di dalam hutan dibelasah orang-orang Hamada yang sudah lama dan arif yang menetap di dalam hutan Yokuma sejak sekian lama.

**

“Di sinilah.” Imagawa memberhentikan kudanya. Tsuneki turun dari kuda.

Kawasan ini berada di dalam pergunungan Yokuma namun terletak di luar kepungan orang-orang Hamada.

“Aku sering bersembunyi di sini sejak ditugaskan mengawal Nakasendo dan diminta merisik sekitar kawasan ini.”

Tempat tersebut terletak di tepi sungai kecil dan cetek, ia lebih kecil berbanding Sungai Miya, dan airnya jernih. Ia terletak di bawah sebuah bukit yang tinggi yang dipenuhi pokok-pokok sugi, karamatsu dan matsu. Sesiapapun tidak akan dapat melihat mereka dari atas. Disebabkan hutan di situ agak padat dan rimbun dan lokasinya yang jauh di kaki bukit, maka api dapat dinyalakan tanpa menyedarkan sesiapa dengan asapnya. Mereka berhati-hati menuruni bukit tersebut untuk ke situ menggunakan cerun landai yang agak jauh.

“Kalian, bergilir-gilir berjaga memerhati sekeliling malam ini. Kita akan bahagi masa kepada empat orang.”

“Imagawa-san, biarkan aku berjaga untuk giliran Hisamiko sekali.”

Onii-san, biarkan aku menjaga giliranku.”

“Hisamiko...”

“Aku boleh melakukannya. Onii-san.” Hisamiko merenung abangnya.

“Baiklah, Hisamiko. Jangan engkau tertidur pula nanti.”

Onii-san, aku tidak akan tertidur! Pasti!”

Ryouji hanya tersenyum, menepuk kepala Hisamiko.

Aku harus percayakan Hisamiko. Dia punya deria istimewa yang amat berguna pada kami. Bahkan dia telah menyelamatkan kami hari ini. Aku harus melatihnya berdikari. Dia sudahpun besar dan aku pula akan pergi tidak lama lagi.

Tsuneki mendengar perbualan Hisamiko dengan abangnya namun dia hanya mendiamkan diri. Ryouji, apakah engkau masih dirasuk perangai ketika di Saikawa dahulu? Aku pasti akan berjaga ketika giliran Hisamiko dan melindunginya!

Malam ini tidak terlalu sejuk meskipun di celah gunung dan musim panas. Imagawa menyalakan unggun kecil yang tidak menghasilkan asap yang terlalu tebal. Terdapat pondok kayu kecil yang didirikan di situ, berbumbungkan jerami. Di dalam hutan Honshu pondok begini memang banyak, didirikan oleh pemburu rusa. Pondok begini juga yang pernah didiami oleh Chisato dan Azusa sewaktu dikejar Tsugiyama dan konconya di Hidagawa. Mereka akan bermalam di dalam pondok itu.

Pondok itu bersih sekali, barangkali dibersihkan pemburu. Mujur tiada sesiapa di pondok tersebut pada malam itu, mudah bagi mereka untuk bermalam di dalamnya.

Ryouji tidak boleh tidur malam itu. Dia duduk di luar berbual dengan Imagawa.

“Imagawa-san, engkau ada adik beradikkah?”

“Mengapa engkau bertanya?”

“Wajahmu mengingatkan aku pada seseorang.”

“Siapa?”

“Aku terserempaknya sekali sekala. Dia bekas anak murid penjaga rumah perlindunganku.”

Imagawa tersenyum sendirian. Benarlah dia telah menemui Soichiro. Aku tahu Ryouji, Tsugiyama yang engkau temui itu adalah Soichiro adikku. Namun aku akan perjelaskannya kemudian bila tiba masanya nanti.

“Aku ada seorang adik kembar.”

“Benarkah?”

“Ya, namun aku terpisah dengannya lama dahulu. Aku berasal di utara, dari Niihama.”

“Apa telah berlaku pada kalian?”

Imagawa menceritakan kisah tragisnya. Namun tidak sekali-kali dia mendedahkan nama kembarnya itu.

**

Kisah Imagawa

Higashihara Hiromatsu moyang Tsuneki telah mati pada tahun 1814. Sebelum mati, dia telah menyerahkan batu tama-no-iwa yang telah direncatkan kuasa bersama Wilayah Yozehama kepada Yoshitsugu Hoshi, bapa kepada Hamada kerana pewaris tunggalnya, datuk Tsuneki telah melarikan diri. Hoshi sedar bahawa batu itu memiliki kuasa halimunan. Dia mahu mendalami lebih lanjut kebolehan batu itu. Dia yakin Hiromatsu menyembunyikan sesuatu. Lantas, Hoshi mengarahkan orangnya menjejaki pewaris Higashihara sehingga ke utara di Koharu pada tahun 1818, lewat musim panas.

Koharu ialah perkampungan kecil di tengah-tengah hutan yang mengadap laut Jepun dalam Wilayah Niihama, wilayah yang terletak di timur laut Wilayah Kodama atau nama lamanya Yozehama. Penduduk di kampung ini hanyalah dua puluh keluarga dan rumah-rumah mereka masing-masing agak terpisah dengan penduduk yang lain. Mereka menjalankan kegiatan ekonomi sara diri seperti menangkap haiwan hutan, bercucuk tanam padi huma dan memotong serta menjual kayu api. Ada di antara mereka yang menjadi pedagang dengan membeli dan menjual kembali barangan di antara pos-pos pedagang.

Tidak seperti wilayah lain di Jepun, Niihama bersalji tebal di musim sejuk, sehingga diberi julukan Negeri Salji. Saljinya tebal sehingga mencecah paras leher, lebih tebal dari yang turun di rumah Takasaki, dan musim sejuknya amat panjang. Puncanya ialah, wilayah ini disempadani gunung-ganang di bahagian timurnya, menyebabkan angin sejuk dan kering dari Siberia di barat yang bertiup pada musim sejuk dihalang gunung ini, dan menerbitkan kerpasan dalam bentuk salji yang lebat. Oleh itu, permintaan terhadap kayu api amat tinggi dan berpanjangan, sehingga memberi keuntungan besar kepada mereka yang menyara diri dengan menjual kayu api.

Keluarga Imagawa telah tinggal berkurun lamanya di sini. Mereka adalah pecahan dari keluarga samurai Imagawa yang tinggal di selatan dan telah memilih untuk tinggal di utara, namun masih memilih untuk mengekalkan nama keluarga tersebut.

Imagawa Ichiro tinggal bersama ibunya Satsuki, bapanya Zenjuro dan adik kembarnya Soichiro. Ichiro dan kembarnya berumur empat tahun pada ketika itu, pada tahun di mana tragedi itu berlaku, sebuah tragedi yang telah memisahkan mereka semua. Ia penghujung musim panas 1818, di mana satu gempa bumi kuat berlaku dan telah memusnahkan kampung kecil tersebut.

Pasukan Hoshi yang melepasi perkampungan Koharu tidak lama selepas gempa itu berlaku memeriksa perkampungan tersebut, dan mendapati kesemua penduduknya sedang sibuk melarikan diri. Salah seorang dari pasukan Hoshi bertanyakan mereka mengapa melarikan diri sedang gempa sudahpun berakhir, dan mereka memberitahu bimbang ditelan tsunami. Ini kerana Laut Jepun terletak lebih kurang tiga kilometer sahaja dari lokasi mereka. Pasukan Hoshi meneroka perkampungan dengan penduduk yang sedikit dan berjarak itu dan menemui sebuah rumah yang agak terpencil, sedang terbakar. Mereka mendengar bunyi kanak-kanak menangis, berumur sekitar empat tahun.

Onii-san dokoDokoOnii-san (Abang, engkau di mana?)” Begitulah jeritan kanak-kanak lelaki itu. Dia sedang menangis ketakutan di dalam rumah yang sudah ranap sedang api masih membakar bahagian yang lainnya. Ibu bapanya telah mati dihempap kayu.

Pasukan Hoshi menyelamatkan kanak-kanak malang itu. Atas permintaannya, mereka cuba mencari abang kembarnya namun tidak ketemu. Ketika gempa itu berlaku, abang kembar kanak-kanak itu sedang berada di luar rumah dan telah melarikan diri jauh dari rumah itu sebaik mendengar bunyi gegaran. Setelah jauh berlari, dia berubah fikiran mahu menyelamatkan adiknya dan berpatah balik, namun melihatkan dari jauh rumahnya terbakar marak dengan tiang-tiang dan atap roboh akibat gempa, dia membatalkan hasratnya. Pada ketika itu dia menangis dan menyangka seluruh ahli keluarganya telah terbunuh.

Budak itu, Imagawa Ichiro masih dihantui rasa bersalah kerana tidak kembali menyelamatkan ahli keluarganya pada saat kebakaran itu berlaku. Pada ketika dia sudah jauh berjalan, dia menemui seorang lelaki yang berpakaian seperti samurai, kelihatan berumur dalam lingkungan empat puluhan dan sedang menunggang kuda dengan pedang tersisip di pinggangnya. Namun dia tidak berani menegurnya.

Lelaki ‘samurai’ itu menegurnya.

“Engkau ke mana, anak?” Lelaki itu menegur, berasa aneh dan bimbang melihatkan seorang kanak-kanak berjalan berseorangan di tengah-tengah laluan hutan.

Ichiro tidak menjawab, masih terus berjalan. Dia bimbang lelaki ini hanya menyamar.

“Aku Shirasaka Omi. Engkau lapar bukan? Mari, aku ada makanan sedikit untukmu.” Omi turun dari kudanya. Ichiro sememangnya sangat lapar, dan tidak mampu menolak pelawaan Omi. Lantas dia makan dengan lahapnya. Omi hanya tersenyum memandang budak itu, dia menghulurkan air minum melihatkan kanak-kanak itu tercekik. “Yukkuri tabete...(makanlah perlahan-lahan.)” pesannya.

“Di mana keluargamu?” Omi menyoal selesai budak itu menghabiskan makanannya.

“Mereka semua mati dalam kebakaran.” Ichiro menjawab jujur. Budak pada usia empat tahun seperti itu mudah berkata benar. Dan mereka mudah mempercayai sesiapa yang membantu mereka, seperti Omi.

“Siapa yang membakar rumahmu?”

“Gempa bumi.”

Previous: Bab 100
Next: Bab 102

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov