Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 28

Pertengahan musim panas, 1870.

 

Malam itu Ryouji tidak boleh tidur. Hatinya gundah-gulana. Dia rasa bersalah, dia sudah tahu pembunuh bapanya. Bagaimana dia masih berbaring selesa tanpa mengambil sebarang tindakan? Sonzaemon bila-bila masa sahaja akan melarikan diri. Mungkin ke Kyushu, mungkin ke Joseon atau Qing di tanah besar, atau mungkin ke pulau misteri yang jauh dari sini? Mana mungkin aku boleh menjejakinya sejauh itu?

 

Mengapa? Mengapa aku tidak menahannya ketika itu? Ketika pembunuh otou-san itu berada benar-benar di hadapanku. Mengapa aku tidak menahannya pada ketika itu?!

 

Kobato, tolong aku! Bertarung denganku, aku mahu melupakan perkara ini walaupun sejenak!

 

Namun Kobato pun sudah tiada. Kobato tiada lagi untuk mendengar aku. Aku keseorangan mendepani rasa dendam ini. Perlukah aku berjumpa Chisato? Tidak, aku tidak mahu membebankan Chisato dengan kisahku. Jiwanya masih diselubung kesedihan. Aku tidak mahu menggusarkan hatinya sekarang.

 

Aku harus merancang. Hisamiko akan aku tinggalkan di sini dahulu. Bahaya jika dia mengikutiku. Aku tidak mahu kejadian sama di Furukawa berulang. Aku perlu mencari Sonzaemon sekarang! Sebelum masaku sampai dan ajal menjemputku! Dia berbisik sendirian, sambil melihat tangan kanannya. Tanda hitam itu semakin lama semakin jelas dan membesar. Sumpah hayabusa yang tidak lagi dapat dinafikan. Benar kata-kata Kotobuki.

 

Ryouji mengemas apa yang perlu. Dua pedang panjang, salah satu daripadanya yang pernah digunakan Miura, dan sebilah pedang pendek. Dia senyap-senyap melangkah keluar malam itu. Dia kini menginap di katil Kobato di bawah, maka melarikan diri tanpa bunyi lebih mudah. Shinji dan Tsuneki sedang nyenyak tidur nampaknya. Shinji dengan buku menutup wajahnya, sedang Tsuneki memeluk bantal peluknya sambil air liurnya meleleh.

 

Malam itu dia menyusup perlahan, kemudian melalui koridor ke pejabat. Dia menyisipkan suratnya di celah pintu gelangsar pejabat, meninggalkan pesan sekiranya perkara buruk berlaku ke atasnya.


Aku yakin Hisamiko akan selamat di sini. Aku percayakan Takasaki-san.

 

Hisamiko, maafkan onii-san kerana memungkiri janjiku. Janji di mana aku akan membawamu ke mana sahaja engkau pergi. Atau sekurang-kurangnya memberitahumu. Aku terpaksa keluar seketika, demi menuntut bela nyawa otou-san. Aku mahu rohnya tenang di sana. Aku akan kembali ke sini, Hisamiko, pasti!

 

Dia meninggalkan rumah itu dalam kepekatan malam. Malam itu pertengahan musim panas tahun 1870, iaitu sudah hampir genap dua tahun dia dan Hisamiko tinggal di situ.

 

Takasaki melihat dari pondok merpati kecil di atas pohon shirakaba di hutan buluh. Dia tidak menghalang meskipun dia tahu Ryouji sedang melakukan perkara bodoh, bertindak melulu sedang dikuasai emosi. Namun dia harus bersedia sekiranya perkara buruk berlaku ke atas Ryouji.

 

Ryouji, aku mempercayai engkau. Aku berharap engkau membuat keputusan yang matang seperti seorang dewasa. Aku akan lepaskan engkau. Jangan sia-siakan keputusanku ini, Ryouji!

 

**

 

Ryouji menghala ke kampungnya, melalui tiga buah kuil sehingga tiba di pekan Furukawa.

 

Aku yakin Sonzaemon masih berada di Furukawa.  Aku tidak akan bermalam di kuil di mana Hisamiko dirawat. Aku tidak mahu Kotobuki-san menyedariku. Takut-takut dia bertanya banyak pula. Aku tidak pandai menyembunyikan rancanganku.


Ryouji berjalan lebih laju dari biasa disebabkan dia tidak perlu membawa Hisamiko. Disebabkan dia menghabiskan seluruh malamnya berjalan, dia sampai di pekan Furukawa ketika dinihari. 


**

 

Terdapat dua surat yang ditinggalkan Ryouji, satu untuk Hisamiko dan satu lagi untuk Takasaki. Hisamiko membaca surat yang ditinggalkan Ryouji. Dia menangis. Chisato dan adik kembarnya memujuk Hisamiko. Pada mulanya Hisamiko mahu lari keluar mengejar abangnya, namun ditahan dan dipujuk Chisato. Chisato memeluknya kuat-kuat sambil mengusap kepalanya, menenangkan hatinya yang berkecamuk. Hisamiko cair dalam pelukan Chisato.

 

Dalam surat kedua, Ryouji berpesan kepada Takasaki yang dia tidak akan pergi lama dan meminta Takasaki menjaga Hisamiko selama tempoh itu. Dia berkata mahu mencari ketenangan di sebuah kuil di tengah-tengah pergunungan Hidagawa, namun tidak memberitahu lokasinya. Takasaki percaya ia hanyalah alasan. Dia tahu Ryouji sedang menjejaki Sonzaemon.

 

**

 

Ryouji tiba di Furukawa, pekan pedagang itu. Ramai manusia membanjiri lorong-lorong yang di bahunya dibarisi kedai-kedai kayu dan kertas keras. Pelbagai barangan import seperti sutera dan rempah ratus dapat dilihat. Furukawa adalah pekan utama yang menyediakan capaian kepada barangan-barangan dari negara asing, terus dari pelabuhan di Osaka. Dahulu ketika Ryouji kecil, bapanya sekali-sekala akan membawanya ke pekan ini dan bertemu pedagang dari Barat atas urusan yang tidak dia fahami pada waktu itu.

 

Dia menunggu dan menunggu berseorangan. Dia kebosanan dan melepak di sebuah kedai soba. Tiba-tiba dia mendengar kekecohan. Dia berlari ke arah tempat tersebut dan mendapati sebuah kedai sedang disamun. Kelihatan empat orang lelaki menghunus dan melibas pedang mereka seperti samseng, dan memaksa tuan kedai itu menyerahkan wang mereka.

 

Ryouji dengan beraninya menghalau penyamun itu. Mereka melarikan diri melihatkan kepantasan Ryouji bertarung.

 

Dalam empat orang penyamun itu, terdapat seorang yang agak lembab dan gemuk, ditinggalkan oleh tiga rakannya. Ryouji berjaya menangkap si gemuk itu dan menariknya ke sebuah lorong.

 

Ryouji menyuruhnya diam sambil pedangnya di leher si gemuk. Dia memaksa lelaki gemuk itu membuka topengnya.

 

Sah, memang Sonzaemon!

 

Kuso!(Sial!)” Ryouji marah benar, dia menumbuk Sonzaemon.

 

“Nampaknya engkau seperti sudah tahu.” Sonzaemon mengagak, melihatkan Ryouji yang benar-benar marah.

 

Ryouji memandang Sonzaemon, matanya merah menyala, mukanya berkerut seribu.

“Mengapa Sonzaemon?! Mengapa engkau membunuh bapaku? Mengapa?!” Ryouji menumbuk wajah bulat itu bertubi-tubi. Berdarah-darah pipi dan hidungnya. Bengkak matanya, menambah bulat di muka. Mata Ryouji berair dalam kemarahan. Dia sedih bercampur marah.

 

“Jawab soalanku Sonzaemon! Apa yang telah otou-san lakukan padamu?”

 

“Kerana dengki, Ryouji. Aku dengki dengan bapamu. Hasil padinya selalu laris. Sehinggakan dia merampas pelanggan setiaku. Aku juga ingin makan dan hidup, Ryouji. Namun bapa engkau tidak sedikitpun menghiraukan aku dan rakan-rakanku.” Sonzaemon menyedut darah yang meleleh dari hidungnya. Dia berpura-pura menangis.

 

“Engkau mahu membunuhku sekarang, Ryouji? Lakukannya sekarang! Aku di depanmu. Lakukan!”

 

Ryouji bertambah geram mendengarkannya. Dia bersiap sedia meletakkan pedangnya di leher Sonzaemon, namun hatinya masih berbolak balik. Di dalam hatinya dia merasakan bahawa dendamnya tidak perlu diselesaikan dengan cara membunuh, namun dia tidak pasti mengapa. Dia keliru. Membunuh untuk melindungi diri dan orang lain dalam bahaya adalah perlu seperti kes Chisato, namun untuk membalas dendam? Aku tidak dapat menerimanya. Apakah membalas dendam akan mengembalikan otou-san ke alam dunia? Aku tidak dapat memahaminya.


"Apakah Hamada juga terlibat?"


"Benar, Ryouji. Aku berpakat dengannya. Hasil padi bapamu akan dikongsi kami berdua."

 

Sonzaemon menjawab, kemudian tersenyum, tidak sedikitpun gentar terlukis di mukanya yang bengkak-bengkak dan berdarah itu. Senyumannya penuh sindiran yang menjijikkan.

 

Sejurus itu, terdengar bunyi letupan. Ryouji pantas mengelak, memotong alir fikirnya yang berunut-runut.

 

Orang-orang Sonzaemon berpatah balik dan menembak ke arah Ryouji. Ryouji bingkas bangun dan mengelak mendadak naik ke jurus keenam kaminari. Berdas-das tembakan menyusul. Namun satu mengena betisnya sipi.

 

Dia melarikan diri dengan pantas, menjengket-jengket dan bersembunyi di dalam sebuah bangunan kosong, dan cuba merawat lukanya.

 

Dia menahan kesakitan yang amat sangat, menggigit kain yukatanya agar tidak menghasilkan sebarang bunyi, bimbang dikesani pemburunya. Dia perlahan-lahan memotong kain hakamanya, kemudian membaluti lukanya. Melihatkan darah tidak berhenti mengalir dari kecederaan itu, dia cuak, dan cuba memaksa dirinya bertenang. Aku tidak boleh mati sekarang. Aku telah berjanji dengan Hisamiko, Chisato dan Takasaki-san dan semua, aku akan kembali. Hisamiko, onii-san pasti akan kembali.

 

Salah seorang dari orang-orang Sonzaemon masuk ke bangunan itu. Dia menembak atap bagi menakut-nakutkan Ryouji, bahawa dia memiliki senjata api. Bangsat! Jika aku tahu kalian sebegini bahaya aku sepatutnya memenggal kepala kalian sewaktu di hutan pinggir Furukawa itu lagi! Dia melihat kaki mereka dari bawah timbunan perabot lama. Bangunan itu seperti ditinggalkan lama setelah gempa bumi berlaku beberapa tahun lepas di situ. Kawasan di dalamnya masih bersepahan dengan timbunan perabot-perabot yang telah musnah, namun bumbung dan strukturnya masih utuh berdiri.

 

Ryouji memaksa dirinya diam sambil menahan kepedihan di betisnya, sehingga mereka semua beredar. Nyah kalian segera! Argh...! Ryouji terlepas gigitan kain yukata.

 

“Dia di sini rupanya...” Salah seorang dari mereka membuka timbunan perabot rosak itu setelah mendengar erangan Ryouji. Ryouji kini terdedah.

 

Salah seorang dari mereka yang memiliki senjata api, mengacukannya tepat ke Ryouji. Tidak, aku tidak boleh mati sekarang! Tidak!

 

“Berhenti! Jangan bunuhnya!” Sonzaemon berteriak kepada mereka, sambil termengah-mengah membawa lemak-lemak degil di badannya.

 

Sonzaemon berbisik kepada orangnya yang memegang senjata api “Hamada mahukan lokasi Takasaki. Budak ini bersamanya sejak Miura mati. Mungkin kita boleh menghantar budak ini kepadanya dan mendapatkan imbuhan lumayan. Kita boleh makan sedap-sedap selepas ini dan tidak perlu lagi merompak.” Ya, makan adalah agenda terpenting Sonzaemon. Terutama makan yang sedap-sedap.

 

Ketika mereka leka berbincang, Ryouji mencapai sebilah kayu beluti, dan melemparnya tepat ke kepala yang memegang senjata api. Dia rebah, dan senjata itu terjatuh dari tangannya. Kemudian dalam mengengsot, Ryouji pantas mencapai senjata api itu dan menembak kaki seorang lain lawannya. Dia kemudian pantas berguling mengelak tetakan katana lawannya yang ketiga, dan menembak kakinya. Ketiga-tiga musuhnya kini sedang rebah. Ryouji mengacu senjata api itu ke arah Sonzaemon seraya berteriak “Jangan dekati aku atau nyawa engkau melayang!”

 

“Tembaklah, aku tidak akan lari.”

 

Ryouji tidak mengendahkannya seraya meninggalkan tempat itu dalam keadaan berjengket-jengket, bergegas ke dalam lorong-lorong pekan Furukawa yang berselirat. Dia perlu merawat kecederaannya segera atau dia akan cacat kakinya buat selama-lamanya akibat jangkitan kuman. Dan dia tidak akan membunuh Sonzaemon walau sejijik manapun pengakuannya. Membunuh adalah perbuatan pengecut. Aku hanya mahu Sonzaemon melutut meminta maaf kepadaku dan menyedari kesilapannya suatu hari nanti. Atau membunuh dirinya bagi menebus maruah. Pasti, suatu hari nanti!


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov