Ryuzen datang menemui Tsugiyama.
“Tsugiyama-san, maaf kami pulang dengan tangan kosong. Seseorang telah campur tangan.” Ryuzen bersuara terketar-ketar mengadap Tsugiyama, sedang berdiri bersama tiga pembantunya, masing-masing menundukkan kepala. Dia masih memegang rusuknya, menahan kesakitan.
“Siapa yang campur tangan?”
“Seorang budak lelaki bernama Kozue Kobato, gaya bertarungnya seperti samurai. Pergerakannya pantas sepertimu, dia mahir menggunakan kaminari-no-kaze.”
“Bagaimana rupanya?”
“Berkulit gelap, mata sepet dan rambutnya panjang diikat ke belakang. Muda, dalam lingkungan belasan tahun. Tingginya purata.”
Penampilannya seperti samurai, fikir Tsugiyama. Namun melihatkan kaminari-no-kaze-nya, mungkin dia bersama Takasaki. Barangkali Kogen.
“Di mana kamu diserangnya? Apakah pedangnya bermata?”
“Ketika kami menahan mereka berhampiran Nagano. Pedangnya tidak bermata.”
Kemungkinan besar Kogen, kerana pedangnya tidak bermata. Jika aku ada di situ, mungkin kami sudah berjaya merompak sutera-sutera yang mahal itu, fikir Tsugiyama.
Tsugiyama terpaksa hidup begini, sebagai perompak yang merompak pedagang-pedagang di laluan Nakasendo bagi meneruskan hidupnya. Beberapa bulan lepas pada pertengahan musim panas 1869, daimyo Yozehama, Hagiura telah melucutkan jawatan samurai-samurainya termasuk Tsugiyama kerana tidak mampu membayar gaji mereka setelah tanah-tanahnya diambil kembali oleh Maharaja.
Lelaki berumur empat puluhan itu mengusap-usap janggutnya yang beruban, cuba merancang sesuatu. Dia berkata kepada Ryuzen, “Ryuzen, aku yakin dia tidak jauh dari Nagano. Cari dia, dan laporkan kepadaku lokasi tepatnya. Aku sendiri akan selesaikan perkara ini.”
Mereka mengangguk, “Baik, Tsugiyama-san!”
**
“Tup!” sebatang panah hinggap pada tiang balai menempa pedang itu. Mitsuhide dan Kobato tersentak, mereka sedang duduk di anjung rumah kedai menghadap ruang lapang. Kedengaran bunyi seseorang berlari di atas bumbung dan Kobato dapat melihat kelibatnya pada malam itu. Namun dia tidak sempat mengejarnya kerana ia pantas menghilang.
Kobato mencabut panah itu. Padanya tergulung satu surat, bertulis:
“Kepada remaja berambut panjang berikat yang menyerang dekat Nagano, kami menunggumu di hutan belakang kuil Shizen esok malam sebaik matahari terbenam, atau kedai pedang ini kami bakar.”
Mitsuhide keberatan dan cuba menghalang Kobato, namun Kobato meyakinkan dia yang dia tahu berlawan dan pasti dapat menumpaskan mereka.
**
Di musim sejuk begini, siang amat pendek. Sebaik tamat kerja, Kobato bergegas ke kuil Shinto Shizen, terletak di pinggir Shizen-machi di atas sebuah bukit. Dia pernah ke kuil ini sewaktu kecil bersama bapanya. Sampai di sana dia terus ke belakang kuil dan duduk bersila menunggu di bawah sebatang pokok momiji yang sudah tidak berdaun, sambil menggigil menahan sejuk. Malam itu bulan mengambang terang membantu penglihatannya dalam dunia yang semakin pekat ditelan kegelapan.
Tsugiyama muncul dari kegelapan malam di hadapan Kobato. Sebaik tiba, dia terus meluru menghunus pedangnya ke arah Kobato untuk mengujinya, namun sempat ditepis. Mereka bertarung dengan pantas dan meningkat dari jurus ke jurus, mengikut gerakan kaminari-no-kaze.
Benarlah, budak ini tahu kaminari.
“Engkau yang menyerang kami di Nagano bukan?”
“Siapa engkau?” Kobato tidak menjawab soalan itu.
Tsugiyama tidak mengendahkan soalan Kobato. Dia terus menerus menyerang, dan Kobato menangkisnya. Dia mahu menduga lebih dalam kemahiran bertarung Kobato.
“Dari mana engkau pelajari kaminari? Dari Miura, atau Takasaki?”
“Aku tidak akan memberitahumu. Siapa engkau?”
“Akulah yang mengarahkan orang-orang itu merompak pedagang sutera di Nagano yang engkau lindungi itu.”
Tsugiyama cuba mengamati wajah Kobato lebih dekat ketika bertarung. Dia cuba mengatur gerakannya agar wajah Kobato dipantulkan cahaya bulan. Dari pantulan demi pantulan, imej Kobato semakin jelas dan dia dapat mengagak siapa Kobato.
“Engkau anak Kozue Taka bukan? Pesawah di Shizen-mura itu?”
“Bagaimana engkau mengenali bapaku?”
“Maka benarlah engkau anaknya.” Tsugiyama tersenyum sinis. Kobato terasa diperbodohkan.
Jika dia anak Kozue Taka, bererti dia telah diselamatkan ketika kebakaran malam itu, lima belas tahun lepas. Seingat aku, selepas kami membakar rumahnya, seorang di antara kami telah diarahkan Takasaki beredar sebentar melakukan arahan rahsianya. Kemudian dia kembali bertemu kami selepas kami sampai di rumah Hamada. Bererti budak ini telah diselamatkan Takasaki malam itu.
“Selain itu, engkau belajar kaminari dari Takasaki bukan?” Tsugiyama sekali lagi mengeluarkan soalan yang cuba memerangkap Kobato.
Kobato tidak menjawab. Dia menangkis serangan dari Tsugiyama yang masih datang bertalu-talu. Bagaimana dia kenal Takasaki, dan bapa Ryouji?
“Kobato, apakah engkau tahu di mana Takasaki?” Tsugiyama bertanya sambil melihat riak wajah Kobato, dia cuba membacanya. Manusia akan cuba menyembunyikan jawapan mereka dari pertuturan, namun mereka kerapkali ‘menjawab’ menggunakan riak wajah tanpa disedari.
“Kobato, Takasakilah yang membakar rumah keluargamu.” Tsugiyama mendedahkan namun tidak mengakui yang dia juga bersubahat dengan Takasaki sebagai orang bawahannya ketika itu. Dia sengaja mendedahkannya bagi menekan Kobato secara emosi.
Kobato tersentak.
“Apakah benar kata-katamu?”
“Ya. Untuk apa aku berbohong?”
“Engkau ada buktinya?”
“Engkau perlu mendedahkan lokasi Takasaki. Dia ada buktinya. Aku akan memaksanya agar mengakui dosa-dosanya.”
“Aku tidak mempercayaimu. Aku tidak akan sekali-kali mendedahkan lokasinya. Dia menjagaku dari kecil. Mana mungkin dia yang membunuh ibu bapaku. Mustahil!”
Sekali lagi, Kobato mendedahkan dengan mudah rahsianya tanpa dia sedari. Tsugiyama tersenyum lagi, benarlah Takasaki yang menyelamatkan dia dari kebakaran itu, dan kemudian menjaganya. Patutlah dia meletakkan jawatan tidak lama selepas kebakaran itu. Dia sudah mulai berubah sejak serangan itu. Siapa yang mengubahnya? Barangkali Miura rakan baiknya itu? Apakah dia cuba menebus dosa-dosanya dengan menjaga Kobato?
Sekian lama bertarung, Tsugiyama berhenti tiba-tiba. Tidaklah dapat dipastikan sama ada Tsugiyama dan Kobato setanding, atau Tsugiyama sudah mencapai matlamat pertemuannya dan mahu beredar. Tsugiyama akhirnya memperkenalkan dirinya.
“Baiklah Kobato. Setakat ini dahulu pertarungan kita. Aku Tsugiyama. Kobato, jika engkau berubah fikiran, temui aku pada ketika pokok ini mula berdaun.” Tsugiyama menghunus pedangnya ke arah pokok momiji yang rompong itu.
“Jangan engkau apa-apakah kedai membuat pedang itu dan penghuninya. Atau aku tidak akan teragak-agak mencarimu dan orang-orangmu.” Kobato memberi amaran.
“Surat ugutan itu hanya untuk menakutkanmu agar engkau datang ke sini. Masakan kami sanggup membakarnya. Kedai itu jugalah yang membekalkan pedang-pedang kami.” Tsugiyama menghayun-hayun pedangnya, bangga dengan keindahan katana itu yang ditempa khas dari Mitsuhide.
“Kobato, aku tidak akan memberitahu sesiapapun isi perbualan kita hari ini. Jya ne!” Tsugiyama lalu menghilangkan diri.
Siapakah lelaki ini dan apa kaitannya dengan Takasaki? Kobato kebingungan.
Tsugiyama tersenyum. Di dalam gelap tadi dia berjaya memotong sedikit rambut Kobato yang panjang itu. Setelah jauh dari kuil Shizen, dia berhenti dan memasukkan sampel rambut tersebut ke dalam peti khas.
“Selepas ini aku akan bertemu Hagiura dan memujuknya menyewakan kepadaku Goro.”
Perancangan Tsugiyama ialah menggunakan bau rambut Kobato bagi mengesan lokasi Takasaki. Goro ialah hayabusa hasil dari projek pembakaan terpilih (selective breeding) keluarga Yoshitsugu Hamada, di mana deria baunya ditajamkan berbanding hayabusa biasa.
Dia tahu, sewa Goro amat tinggi. Dia perlu bersabar dan terus merompak pedagang atau mengambil anak-anak gadis yang rela di pekan dan kampung dan menjual mereka sebagai karayuki. Apabila simpanannya sudah cukup, dia akan keluarkan sedikit sebagai bayaran kepada Hagiura untuk menggunakan Goro. Dengan tertangkapnya Takasaki, dia akan memperolehi upah lumayan dari Hagiura atau Hamada, lebih dari pulangan hasil bertahun aktiviti merompak dan berniaga karayuki.
Namun dia juga perlu merancang masa. Hagiura kerap menggunakan Goro bagi memintas surat-surat Maharaja, maka jadual Goro amat ketat. Merpati penghantar surat kerapkali melalui ruang udara Gizen sejak Maharaja berpakat dengan Kogen, sedang Goro satu-satunya baka hayabusa yang mampu mengesan bau dalam jarak yang jauh seperti burung nasar dan paling berkesan dalam menjalankan tugasnya memintas merpati kerana saiznya yang besar berbanding hayabusa lain. Kadangkala Hagiura sendiri menggunakan kuasa vetonya dengan membatalkan tempahan menyewa Goro. Itu yang paling ditakuti.
Apapun, dengan wang yang cukup dan masa yang sesuai, dia pasti perancangannya akan berjaya.
**
Huargh! Takasaki bangun tiba-tiba dari tidurnya. Dahinya berpeluh meskipun malam itu amat dingin.
Dia duduk, termenung, cuba bertenang dan mengingat kembali mimpi tersebut. Dia melihat tangannya. Tidak ada darah seperti di dalam mimpi. Sejak dua tiga hari lepas dia sering bermimpi yang sama.
Mimpi yang sama yang mengingatkan kembali dia kepada dosa-dosa lalu. Dosa-dosa dia dan Miura ketika berkhidmat kepada Hamada.
Melihat wajah-wajah penghuni yang dijaga di rumah itu, merenggut jiwanya. Apabila melihat wajah Kozue, terngiang-ngiang suara bapanya yang meminta tolong diselamatkan dari kebakaran. Kebakaran yang dimulakan olehnya. Takasaki hanya melihat meskipun hatinya memberontak mahu menyelamatkan mereka. Ia perintah Hamada. Ia mesti dilaksanakan atau dia akan mati. Namun dia tidak sampai hati lalu menyelamatkan Kozue tanpa diketahui Hamada. Kozue pada ketika itu sedang menangis di sisi bapanya yang telah mati.
Majoriti penghuni rumah itu adalah anak yatim akibat perbuatan Hamada. Para pengintip Kogen yang ramai dan berserakan di seluruh Honshu akan melaporkan rancangan-rancangan Hamada yang seterusnya, atau yang baru dilakukan dan cuba mengenal pasti mangsa-mangsanya untuk ditempatkan di rumah perlindungan Kogen. Ada yang ditempatkan di rumah perlindungan Takasaki.
Sekolah ini didirikan Kogen untuk menyelamatkan anak-anak yatim yang semakin bertambah atas pelbagai sebab. Takasaki melihat tugasnya di situ sebagai penebus dosa-dosa dia dan Miura dan dia berusaha menempatkan seramai mungkin anak-anak terbiar di serata Honshu yang berjaya dikesannya ketika keluar berkelana.
Setiap hari Takasaki terbayangkan bagaimana jika Kobato tahu perkara sebenar. Adakah aku bersedia menerima hukumanku? Atau dia akan memaafkan aku?
Takasaki tidak lagi boleh lelap, seraya bangun dan berjalan ke taman bonsai di depan rumah. Adakah kami akan mengampunkan aku? Dia duduk di atas sebuah bangku kayu di taman bonsai itu, sambil merenung bulan mengambang. Jepun tidak memiliki bangku, sehinggalah Barat memperkenalkannya.
Dia mengingati kembali Miura, yang beriya-iya mencadangkan agar dia meletak jawatan dan menyertainya. Miura menjelaskan kepadanya pertubuhan itu didirikan bagi menyelamatkan anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapanya, dan kanak-kanak gelandangan yang semakin ramai akibat dari pelbagai punca; bencana alam, sengketa antara puak-puak, dan ketidakadilan yang dilakukan penguasa, dan juga kematian-kematian sia-sia terutamanya dari amalan seppuku. Pendidikan ilmu dari Barat itu hanyalah tambahan, sama seperti seni pertahanan diri, ilmu survival dan penggunaan serta pembuatan senjata. Ia tambahan Miura dan juga galakan dari Kogen. Miuralah yang banyak berhubung dengan pedagang-pedagang Barat dan mencedok ilmu mereka, dan membawa masuk buku-buku dari Barat ke dalam perpustakaan-perpustakaan Kogen.
Miura seorang yang berpandangan jauh dan bercita-cita tinggi. Dia mahu membawa pertubuhan itu ke hadapan lagi dan menghapuskan sama sekali sistem feudalisme yang membelenggu Jepun. Dia mahu menghapuskan kasta samurai dan melobi Maharaja untuk merealisasikan cita-cita tersebut. Namun untuk itu semua berlaku, dia harus menyemai benihnya dahulu, melalui pendidikan.
“Takasaki-san, nemurenai ka? (awak tidak boleh tidur?)” kedengaran suara menyoal tiba-tiba dari belakang. Takasaki sedikit terperanjat seraya menoleh. Dia melihat Shinji di belakangnya, sedang berdiri sambil memegang buku “Map of the World”. Takasaki jarang duduk di bangku itu sejak Ryouji tinggal di situ, kerana Ryouji seringkali mengambilnya. Namun sejak beberapa hari ini Ryouji tidak pula duduk di situ seperti selalunya.
“Hai (ya).”
“Apa yang sedang kau fikirkan?"
“Kisah lama.” Takasaki menjawab ringkas. Dia sebenarnya terganggu, namun cuba dipendamkan. Bukan senang mendengar Shinji memulakan bicara dengan inisiatifnya sendiri. Jika ia berlaku, maka ia satu peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan. Aku akan cuba sedaya-upaya melayan celotehnya, fikir Takasaki.
Shinji tidak berminat dengan 'kisah lama' Takasaki, dan tidak mahu bertanyakan lanjut. Dia lebih mahukan Takasaki menjadi rakan pendengarnya. Hanya Takasaki sahaja yang faham apa yang dia perkatakan. Sama ada Takasaki faham atau berpura-pura faham, itu tidak penting. Asalkan dia nampak faham, maka itu sudah cukup!
“Takasaki-san, pernahkah engkau ke England?”
“Tidak pernah, Shinji.”
“Aku ingin sekali ke sana. Aku ingin melihat kereta api. Kapal stim. Aku mahu membuatnya. Aku mahu membawa jentera-jentera ini ke Jepun dan menambahbaiknya.”
“Kau pasti boleh Shinji. Aku tahu kau amat berminat dengan besi. Namun sekarang kita tidak boleh keluar dari sini atau akan dikenakan hukuman.” Takasaki mengingatkan dasar Sakoku yang masih berkuatkuasa, namun hampir ke penghujungnya selepas Tetsugawa diperangi Maharaja.
“Shinji, buku apa pula yang engkau baca sekarang?” Takasaki cuba menunjukkan minatnya dengan menyoal tentang buku yang dipegang Shinji.
“Berkenaan peta dunia. Luasnya dunia luar, Takasaki-san. Aku tidak pernah terfikirkan keluasan sebegini. Bagaimana orang-orang Inggeris dan Belanda boleh sampai ke sini merentas lautan. Aku ingin keluar dan melihat dunia luar, Takasaki-san. Aku tidak mahu terperap di sini sehingga mati.”
“Untuk melihat kereta api dan kapal sahajakah?”
“Itu salah satu sebabnya. Aku mahu belajar dan terus belajar. Aku mahu tahu segalanya berkenaan dunia ini. Bahkan aku ingin keluar dari dunia ini menuju ke bintang sana.” Shinji menunjuk ke arah langit yang berbintang malam itu.
Takasaki sedar kekosongan kata-kata Shinji. Dia hanyalah seorang budak belasan tahun yang tidak pernah berkeluarga. Tidak tahu siapa ibu bapanya. Hanya dibesarkan seorang Jesuit di Kyoto, yang menghilang entah ke mana selepas dihalau samurai anti-Barat. Shinji bijak, dengan pembacaannya yang meluas. Namun, aku pasti, cita-citanya itu akan berubah selepas dia berhubung dengan penghuni lain.
“Shinji, jika engkau mengembara, dengan siapa engkau ingin melakukannya?”
“Tentulah seorang diri!”
"Engkau tidak mahu membawa Ryouji sekali? Atau Tsuneki?"
"Jika mereka mahu, aku pasti akan membawa mereka. Mereka sahabatku. Aku tiada sesiapa lagi di dunia ini Takasaki-san."
"Shinji, engkau sudah memiliki sahabat di sini?"
"Ya, Takasaki-san. Mengapa engkau bertanya begitu?"
"Tiada apa-apa. Selalunya engkau suka benar menyendiri."
"Takasaki-san, Ryouji berlainan." Cucukan Takasaki mengena. Shinji mula membuka apa yang tersimpan di hati.
"Aku gemar berbicara dengannya. Jika aku bercakap, dia akan mendengar tanpa sedikitpun memalingkan mukanya atau membuat muka bosan. Meski aku tahu, kadangkala tidak semua yang aku tuturkan itu dia fahami. Aku suka perlakuannya."
Begitu rupanya. Ryouji adalah kuncinya. Keperibadian Ryouji telah mula mengubah ahli rumah ini sedikit demi sedikit. Bukan setakat Shinji, malah Kobato, Chisato dan Tsuneki. Miura, aku sungguh tidak faham bagaimana engkau mengasuh anak-anakmu.
Kerana aku tidak pernah memiliki anak. Meskipun aku telah cuba, aku telah berputus asa.