Dalam perjalanan ke pintu masuk terowong...
“Ryouji, tadi sewaktu aku tidur di situ aku bermimpi.”
“Mimpi apa?”
“Aku bertemu penghuni gaung itu.”
Penghuni?
“Dalam mimpi itu aku berpaut pada lereng gaung. Seorang penghuni, tidak, mereka yang pernah jatuh ke dalam gaung itu, cuba berpaut pada kakiku. Dia merayu-rayu agar menyelamatkannya. ‘Tasukete...tasukete...’ Begitulah suaranya.”
Ryouji hanya membisu. Padanya mimpi hanyalah mainan tidur, tidak lebih dari itu.
“Suaranya sebak sekali. Aku sempat memandang wajahnya di bawahku. Mukanya cekung. Kepalanya berdarah. Matanya sudah tenggelam dalam soket. Bajunya penuh koyakan. Ryouji, patutkah kita turun ke dalam gaung itu?”
“Engkau gilakah? Sekali engkau turun engkau tidak akan dapat naik ke atas. Itu kata shugenja tadi. Mujur aku sempat menarik tanganmu tadi.”
Termenung Tsuneki mendengarnya.
“Aku cuma kasihankan mereka.”
“Mereka penceroboh, Tsuneki. Mereka yang mencari penyakit, maka tanggunglah akibatnya sendiri.”
“Aku ada mendengar ada pasukan Kogen juga terperangkap di dalamnya. Orang lelaki yang berpaut pada kakiku dalam mimpi itu memberitahuku. Dia salah seorangnya.”
“Anggap sahaja mereka mati dalam kemuliaan. Mereka berkorban demi keselamatan kita, Tsuneki.”
Ryouji tidak benar-benar yakin dengan jawapannya. Dia hanya mahu menyedapkan hati Tsuneki. Dia tidak mahu dihantui perkara seperti mimpi. Terlalu banyak perkara di dunia nyata yang lebih menuntut perhatiannya.
“Sudahlah Tsuneki, aku mahu bersendirian sebentar. Kita sambung bincangkan malam nanti.”
“Baiklah.” Tsuneki faham, membalas pendek seraya berlalu.
Ryouji menyandarkan tubuh pada bangku di taman zen, wajahnya mendongak ke langit. Dia mahu mengambil masa. Dia membatalkan hasratnya meminta tolong Tsuneki, mungkin akan ditunda pada masa lain.
Terowong apakah itu dan mengapa ia terhubung ke perpustakaan? Berkenaan gaung itu, aku lihat ia seolah-olah mengelilingi gunung ini, dan hanya daratan titian itu sahaja laluan yang merentanginya yang membawa kami keluar dari sini dan masuk ke sini dari pantai Yozehama. Agak menakjubkan, bagaimana Omi memilih tempat ini sebagai pangkalan Kogen. Geografinya sendiri melindungi kami, ditambah kuasa tama-no-iwa Shirasaka dan pasukan penampan dan shugenja.
Benarkah shugenja itu sebahagian dari Kogen? Tidak mungkin ada penceroboh dalam kawasan yang dilindungi tama-no-iwa. Namanya sudah pasti dalam rekod Kogen. Aku ada membaca berkenaan shugenja. Mereka bertapa di kawasan pergunungan. Ada kemungkinan mereka sudah lama hidup dan menetap di sini, sebelum Omi tiba di sini. Atau sebelum Shirasaka-no-Hayabusa tiba di sini seribu tahun lepas. Selepas dia menanam batu itu, segala hidupan dan manusia yang telah sedia ada di sini akan kekal di sini, dan jika mereka keluar, mereka boleh masuk kembali dengan mudah. Mungkin juga, shugenja itu telah lama berada di sini sejak zaman moyangnya seribu tahun lepas lagi.
Aku masih belum menemui penjara Kogen. Aku mahu ke terowong itu sekali lagi. Namun bagaimana mungkin aku boleh menerangi terowong tanpa batu itu?
Malam itu Ryouji keluar senyap-senyap selepas mengambil batu penerang terowong atau tama-no-iwa di tepi katil Tsuneki.
Dia ke perpustakaan. Malangnya perpustakaan itu berkunci.
Apa yang boleh kulakukan sekarang? Tak guna.
Aku tidak akan berputus asa. Esok aku akan ke terowong itu sekali lagi.
**
Shinji sedang membonceng kuda penyelamatnya menelusuri laluan Nakasendo.
“Oonishi-san, maafkan aku, boleh kita berhenti di sini?” Shinji meminta kepada pegawai Kogen itu sebaik mereka melintasi kawasan masuk ke lembah Amaguri. Hanya Shinji yang dapat mengesan laluan masuk ke lembah itu disebabkan keturunannya.
“Tidak. Aku perlu membawamu segera ke Kogen. Ini arahan Omi. Engkau telah menyusahkan kami dengan keluar tanpa kebenaran begini!”
“Oonishi-san, jika engkau diberi pilihan berkuda separuh hari dari sini ke Kogen, atau berkuda hanya beberapa minit ke sana, mana satu yang akan engkau pilih?”
“Sudah tentulah yang memakan masa lebih singkat. Mengapa engkau bertanya?”
“Jika engkau berhenti di sini, aku akan membawamu ke lembah Amaguri. Dari sana, kita akan kembali ke Kogen dalam masa hanya beberapa minit.”
Oonishi memperlahankan kudanya.
“Benarkah?”
“Buat apa aku menipumu? Engkau pun tahu bukan aku dari puak Amaguri. Laluan masuk ke lembah itu berada di sini, hanya aku yang mampu melihatnya. Aku keluar ke Kawamoto melalui laluan sama, awal pagi tadi.”
“Bawa aku ke situ.”
Shinji menuding arah laluan masuk ke lembah Amaguri. Oonishi membawa kudanya perlahan, mengikut arah yang dinyatakan Shinji.
“Di sini.”
Oonishi memberhentikan kudanya. Shinji turun.
“Oonishi-san, engkau tunggu di sini. Aku akan menyebut namamu di hadapan tiang batu Amaguri. Hanya selepas itu baru engkau dibenarkan masuk.”
“Sebentar, adakah terowong itu boleh memuatkan kudaku?”
“Ah, betul juga! Mujur engkau mengingatkanku. Terowong itu akan membawa kita ke bilik perpustakaan Kogen.”
Oonishi menepuk kepalanya.
“Apapun, tunggu di sini. Aku akan kembali.”
“Matte, Shinji!”
Shinji sudah lesap. Oonishi kebingungan. Bagaimana dia boleh hilang sekelip mata?
“Aku mesti cepat, sebelum hari gelap. Nama penuh pegawai itu ialah Oonishi Fumio.”
Sebaik Shinji selesai melafazkan nama penuh pegawai itu di hadapan tama-no-iwa utama Amaguri, dia kembali menemuinya.
“Ayuh, Oonishi-san. Engkau boleh masuk, namun engkau perlu meninggalkan kudamu di luar.”
“Mengapa?”
“Aku terlupa memberitahumu. Lembah ini tidak membenarkan seekor binatangpun dari masuk. Jika engkau membawa binatang, engkau tidak akan menemuinya.”
Oonishi menambat kudanya pada sebatang pokok. Dia mengekori Shinji.
“Shinji, aku harap engkau tidak lama di sini.”
“Sebentar sahaja. Aku akan masuk ke pondok di bawah pokok gergasi itu untuk mengambil sesuatu. Kemudian engkau boleh menghantarku kembali ke Kogen melalui terowong perpustakaan. Aku akan menyerah diri. Engkau boleh mengambil kudamu dan pulang ke Kogen mengikut laluan biasa.”
“Aku harap engkau berpegang pada kata-katamu.”
“Usah bimbang, Oonishi-san. Aku tahu aku memang bersalah. Aku akan menyerah diri.”
Oonishi sentiasa berhati-hati mengawasi tindak-tanduk Shinji agar dia tidak mengambil peluang cuba melarikan diri.
Selesai mengambil beberapa buah buku dan diletakkan dalam buntil kain yang sentiasa digalasnya, mereka pergi ke muka terowong. Shinji menyusun kembali batu-batu pemantul yang telah ditembak sebelumnya. Batu yang rosak digantikan dengan batu baru yang dibawa dalam buntil kain.
Oonishi teruja melihatnya.
“Bererti terowong ke perpustakaan itu terhasil dari susunan batu-batu ini?” Oonishi menunjuk ke arah batu-batu pemantul yang sedang disusun Shinji.
“Benar. Ia membolehkan sihir Amaguri berfungsi.”
Mereka berjaya tiba di bilik unjuran perpustakaan. Shinji menyerah diri.
“Arigatou, Oonishi-san.” Ujar salah seorang pegawai Kogen yang memberkas Shinji. Kotobuki juga datang ke situ.
“Shinji, maafkan aku. Engkau akan ditahan di lokap kami semalaman. Esok engkau akan menjalani hukumanmu.” Kotobuki memaklumkan.
“Maafkan aku Kotobuki-san kerana telah menyusahkan kalian. Aku bersedia dihukum atas kesalahan ini.”
“Aku harap engkau jangan ulangi lagi perkara bodoh ini.” Kotobuki tunduk, seraya meninggalkan Shinji.
Oonishi berpatah balik ke terowong.
Usai sampai ke hujung muka terowong, dia terkejut. Dia tiba di lereng berumput. Ini kerana batu-batu pemantul di lereng berumput telah disusun semula oleh shugenja peronda selepas Shinji keluar ke Kawamoto. Sementara batu-batu pemantul di lembah Amaguri telah dibetulkan Shinji. Jika kedua-dua batu pemantul di kedua-dua tempat tersebut dalam susunan memantul, maka pengembara terowong akan dibawa ke lereng berumput.
Oonishi berpatah balik untuk bertanyakan Shinji.
“Engkau keluar sahaja ke lereng berumput, cari kumpulan batu dalam bentuk bulatan. Rosakkannya, sama ada engkau buang sebahagian batu-batu itu atau pecahkannya.” Maklum Shinji.
Oonishi melakukannya, kemudian berundur kembali ke unjuran perpustakaan, dan berpatah balik ke hujung terowong. Dia berjaya tiba ke lembah Amaguri akhirnya.
Ah, jika batu pemantul itu bertanggungjawab menghasilkan terowong itu, bererti aku boleh menghalang Shinji dari tiba ke sini lagi dan keluar tanpa kebenaran, dengan merosakkannya!
Oonishi mengambil dua tiga ketul batu pemantul dari susunan yang telah dibuat Shinji, di lembah Amaguri. Dia memerhati pintu terowong. Ia lesap.
Oonishi tersenyum. Dengan cara ini aku telah menyelesaikan masalah Kogen. Shinji, lupakan terowong ini. Usah lagi menyusahkan kami.
Oonishi pantas bergerak. Hari sudah pun senja. Dia mengambil kudanya, dan menunggang pulang ke Kogen mengikut laluan biasa meredah hutan Nakasendo.
**
Sekarang, kedudukan batu-batu pemantul tama-no-iwa di padang rumput dan di lembah Amaguri masing-masing akan menyebabkan pengembara terowong akan tiba ke lereng berumput. Ini kerana pegawai Kogen yang membawa Shinji, Oonishi telah mengucarkacirkan batu-batu di lembah Amaguri demi memastikan Shinji tidak keluar tanpa kebenaran lagi. Sementara itu, shugenja peronda bernama Saionji kembali memperbetulkan susunan batu-batu pemantul di lereng berumput selepas Oonishi merosakkannya.
“Yare yare, mereka ini benar-benar mencabarku!” Gerutu shugenja itu, geram. “Apakah Okuhida itu yang merosakkannya?”
Esoknya, Ryouji mencuba menyelinap ke terowong itu sekali lagi. Shinji sebenarnya sudah pulang pada malam semalam namun ditahan di lokap Kogen.
“Ryouji, engkau mahu ke terowong itu sekali lagi bukan?” Tsuneki bertanya sebaik Ryouji cuba membuka pintu pada dinding perpustakaan. Ryouji amat terkejut. Dia tidak menyangka Tsuneki berada di situ seawal pagi begini.
“Hmm.”
“Aku pun. Aku fikir aku tahu bagaimana Shinji melakukannya.”
Mereka masuk ke dalam terowong itu sehingga tiba di tempat dia bertemu Hotaru yang ada pokok kaede itu, iaitu lereng berumput.
Tsuneki meniru perbuatan Shinji dengan merosakkan susunan bulatan tama-no-iwa berdekatan muka terowong di lereng berumpu. Kemudian mereka masuk kembali, berundur sehingga ke unjuran perpustakaan dan mengulang ke muka terowong dan cuba membukanya. Malangnya ia tidak langsung boleh dibuka.
“Aku tidak tahu mengapa ia tidak menjadi pula kali ini Ryouji. Memang jelas beginilah yang dilakukan Shinji. Maafkan aku.”
Ryouji dan Tsuneki melangkah pulang.
Shugenja yang sering meronda kawasan itu menemui batu-batu tersebut dikucarkacirkan sekali lagi.
“Yare, yare. Dikucarkacirkan lagi? Sejak semalam sudah tiga kali ia dilakukan. Tidak boleh jadi. Aku perlu memerhati di sini hari ini.” Dia lantas memperbetulkan batu-batu itu kembali ke posisi asal.
Ryouji dan Tsuneki berdua duduk melepak di taman bonsai.
“Tsuneki, Shinji ada memberitahumu mengapa dia mahu keluar?”
“Tiada pula.”
“Ada sesiapa yang bertemunya sebelum ini?”
“Seorang ahli Kogen bernama Tatsuhiro.”
“Tatsuhiro?”
“Dia pengakap Kogen yang berkawal di sekitar sini. Dia juga bertemuku selalu di tepi lagun sana.”
“Engkau tahu apa-apa yang Tatsuhiro ada bincangkan dengan Shinji?”
“Aku tidak tahu. Yang aku tahu dia hanya pernah bertemu Shinji. Itu sahaja.”
Ryouji duduk membisu, merisaukan rakannya. Shinji, aku harap engkau kembali dengan selamat. Engkau memang bodoh, bodoh, bodoh!
Sedang mereka duduk di bangku batu, mereka ternampak Shinji. Dua orang pegawai Kogen sedang memegang kedua-dua lengannya yang sedang berikat.
Ryouji dan Tsuneki bingkas bangun. Shinji dibawa ke pokok tempat dia pernah digantung terbalik.
“Shinji!”
“Kalian...”
“Kalian rakannya? Dia akan menjalani hukuman.” Salah seorang pegawai Kogen yang memegang Shinji memaklumkan.
“Berapa lama? Berapa lama dia akan digantung?” Tsuneki bertanya.
“Dua jam, kerana ini kesalahan keduanya.”
“Gantungkan dia sejam sahaja. Biarkan aku ambil sejam lagi!” Ryouji menyuarakan, risau Shinji yang lembik itu tidak berupaya bertahan.
“Kami tidak punya kuasa mengagih-agihkan hukuman ini sesuka hati kami. Pergi bincangkannya dengan Omi atau Kotobuki!” Jawab salah seorang dari pegawai itu dengan tegasnya.
Ryouji terpaku. Dia hanya mampu melihat Shinji.
“Kalian, biarkan aku sendiri di sini, ne? Ini salahku. Maka biarkanlah aku sahaja yang menerima hukumannya.”
“Shinji, aku...”
“Ryouji, onegai. Aku hanya mahu bersendirian di sini. Nanti aku akan berkisah panjang denganmu.” Suara Shinji lesu.
“Baiklah.”
Ryouji dan Tsuneki berlalu pergi.
Sebaik Ryouji dan Tsuneki jauh meninggalkannya, Shinji merenung apa yang berlaku semalamnya. Ketika dia bersemuka dengan Hamada. Musuh yang seolah-olah sudah menjadi lagenda itu. Lagenda syaitan yang tidak akan mudah ditewaskan.
Sial. Aku hampir membunuh syaitan itu. Bukankah dia yang membunuh bapa Ryouji? Dan menyebabkan Chisato terlantar di atas sana? Dan membakar rumah keluarga Kobato? Mengapa, mengapa ketika aku hampir menamatkan riwayatnya, baru kutemui rahsia itu? Dan mengapa satu-satunya jalan yang tinggal bagi menewaskannya ialah dengan mengorbankan rumah perlindungan kami?
Shinji menumbuk-numbuk kepalanya. Dia benar-benar keliru dan marah dengan apa yang berlaku.
Aku tidak akan kalah denganmu, Hamada. Satu hari nanti aku pasti akan mencekupmu dan membawa engkau di hadapan Maharaja untuk diadili. Aku akan menyelidik buku-buku dari bawah pokok gergasi itu. Pasti ada rahsia lain bagaimana melenyapkan kuasamu. Pasti ada jalan!
Kotobuki memerhati Shinji dari jauh. Bersabar Shinji. Bersabar. Cara lain itu ada. Namun masanya belum tiba. Kita perlu menunggu dan bersabar. Meski beratus, beribu nyawa akan terkorban setiap detik yang berlalu sehingga saat itu. Namun Kogen juga sedang bertungkus-lumus cuba mengurangkan nyawa-nyawa yang terkorban.
Kunci itu ada bersama kalian. Hanya masa yang akan menentukan kalah menang kita. Sehingga itu, aku akan membakar api dendammu.
Aku akan biarkan ia terus membara, sehingga saat itu tiba.
**
Ryouji memangku Shinji yang baru dilepaskan dari tali penggantung. Shinji berada dalam keadaan amat lemah, matanya separa terkatup, nafasnya tersekat-sekat. Ryouji mengurut dada Shinji ke atas agar dia dapat bernafas normal.
Dia dipapah Ryouji dan Tsuneki ke bangku batu. Shinji direhatkan di situ. Hisamiko, Chiho dan Chinami turut memerhati mereka bertiga di taman zen.
“Onii-san, mengapa dengan Takeuchi-san?” Hisamiko menyoal dengan matanya membulat merenung Shinji. Chinami dan Chiho pula memuncung mulut, berdiri di kiri dan kanan Hisamiko.
“Shinji... kuatkan dirimu. Aku tahu engkau mampu. Engkau lelaki Shinji! Tatakae! (Bertarunglah!)” Ryouji cuba memberi kata-kata semangat pada Shinji sambil memegang sebelah bahunya sedang dia sama duduk di bangku.
“Tatakae Takeuchi-san!” Laung ketiga-tiga anak dara itu. Yang paling kuat suara Hisamiko. Mendengarkan itu, datang ahli rumah perlindungan di sebelah rumah mereka, Ume, Satomi dan Kaede.
“Ari..gatou...ka...lian.” Suara Shinji tersekat-sekat.
“Kalian, tolong bawakan air.”
Chiho dan Chinami kembali ke rumah mengambil air minuman.
“Mengapa dengan Shinji?” Gadis bernama Ume bertanya. Ume seorang gadis sebaya Hisamiko berumur tiga belas tahun. Suaranya nyaring. Jika dia bersuara di taman zen, suaranya dapat didengari sehingga ke rumahnya, iaitu seratus langkah berjarak dari situ. Tubuhnya lebih rendah dari Hisamiko yang hanya berketinggian lima kaki, dan sedikit gempal. Rambutnya ditocang kedua-dua belah. Ada bunga diselit pada salah satu telinganya iaitu bunga ume (plum blossom) yang dipetik dari pokok ume di hadapan rumahnya.
“Inilah akibatnya keluar tanpa kebenaran.” Tsuneki tolong menjawab. “Dia digantung terbalik.”
Satomi dan Kaede melopong mendengarnya.
“Dia sudah matikah?” Begitulah soalan yang terpacul dari mulut Ume.
“Hampir mati.” Balas Tsuneki, masih berdiri merenung Shinji. “Banyak perkara aku mahu bicara denganmu Shinji. Tentang janji engkau itu.”
“Go..men Tsuneki. Aku... ma-hu ce-pat se-ma-lam...”
“Nampak dia masih bernyawa. Ayuh kalian, Shinji masih hidup.” Ketiga-tiga gadis itu berlalu pergi. Satomi, yang paling tinggi di antara mereka, menoleh memandang Shinji sejenak dengan wajah redup, penuh simpati, kemudian menuruti rakan-rakannya.
“Hayaku (Cepatlah), Satomi-chan.”
Kening Satomi yang tebal seperti ulat bulu itu terangkat tatkala ditarik rakannya, Kaede. Kaede bertubuh sederhana tinggi dalam kalangan tiga orang itu. Sementara Ume pula sedikit gempal berbanding dua yang lain yang kurus seperti kayu penyepit, dan dia jugalah yang paling rendah. Jika Ume berada di tengah mereka berdua, maka dia kelihatan seperti seolah-olah seketul sushi yang disepit kayu penyepit. Namun Ume sudah berada di hadapan. Dalam trio itu, Ume sering dilihat sebagai ketua.
“Shinji, Satomi memandangmu.” Tsuneki cuba mengusik Shinji.
“Tsuneki, usah mengganggunya. Biarkan dia tenang dahulu.”
Tsuneki memuncung bibir mendengar permintaan Ryouji.
Ume tersenyum seraya berbisik pada dirinya, “Terima kasih Hikari.” Dia mengimbau peristiwa pagi semalam, selepas dia selesai membuang air, dan keluar dari tandas di luar rumahnya, dia ternampak Shinji memasuki perpustakaan. Ume sedia maklum akan Shinji mungkin akan cuba keluar melalui unjuran perpustakaan daripada Hikari, pengintip Kogen yang sentiasa menghubungi Ume dan meminta bantuannya memerhati penghuni rumah perlindungan di Kogen-no-shita.
Selepas benar-benar pasti Shinji tidak keluar-keluar dari perpustakaan, Ume menghubungi Hikari menggunakan merpati. Hikari memaklumkan kepada Hotaru. Hotaru memaklumkan kepada Sagaya, gadis pengintip Kogen berpangkalan di Kawamoto dan sebahagian dari Skuad Sakura. Sagaya memaklumkan kepada Kazuhito ketuanya di sana. Ketika Kazuhito memerhati rumah Hamada, dia mendapati Oonishi Fumio sudah dihantar Kotobuki. Dia kemudian mengekori Oonishi.
“Oonishi, apa kau buat di sini?”
“Kazuhito? Engkau mengekorikukah?” Oonishi bertanya sedang Shinji di belakang membonceng kudanya.
“Aku mengekorimu dari rumah Hamada. Aku diberitahu Sagaya yang budak di belakangmu ini keluar tanpa kebenaran dan diarahkan Ayame menjejakinya. Engkau pulang sekarang ke Kogen?”
“Ya. Aku harus bergegas sekarang. Orang-orang Hamada sedang menjejakiku.”
“Semoga berjaya.”
Oonishi kehairanan. Bagaimana arahan datang dari dua sumber berbeza? Ayame dan Kotobuki, apakah kalian berkomunikasi sesama kalian? Atau melakukan hal masing-masing?
Shinji terkesima. Begitu Kogen mengambil berat aku, bahkan menghantar dua pegawai mereka ke sini.
Kazuhito kebingungan. Dia bertanya Sagaya, dia tidak tahu apa-apa berkenaan Oonishi. Kazuhito memintanya memaklumkan kepada Ayame bahawa Shinji sudah dihantar pulang Oonishi ke Kogen.
**
Shinji beransur reda. Dia masih bersandar di bangku batu. Ryouji setia menunggu di sebelahnya. Tsuneki sudah hilang entah ke mana. Shinji telah diberi minum dan makan oleh Ryouji. Nariko sudah bertemunya sebentar memastikan keadaannya. Sebaik dia mendapat tahu, dia terus beredar. Nariko sebenarnya marah dengan tindakan Shinji. Dia bercadang bertemu Shinji kemudian.
“Shinji...mujur engkau selamat. Aku mohon sungguh-sungguh jangan ulangi lagi perkara ini.” Ryouji menasihati rakannya itu. Dia bersandar pada bangku di sebelah Shinji, menengadah langit yang redup petang itu.
Dia menyambung, “Shinji, aku dengar semuanya tentangmu, dari Kotobuki-san.”
“Hontou ka (Sungguhkah)?”
“Hontou da (Sungguh).”
“Setakat mana?”
“Yang engkau keluar ke Kawamoto.”
“Hanya itu?”
“Ya.”
Suasana sepi, hanya dipecahkan bunyi air terjun jauh di belakang sana. Ryouji merenung taman zen yang kosong itu.
“Shinji, apa kau buat di sana?”
“Aku mahu menuntut bela nyawa ibuku.”
“Ibumu?”
“Aku baru mendapat tahu sejarah ibuku. Dia dibunuh Hamada.”
Ryouji tersentak mendengarnya. Bererti Shinji juga salah seorang yang termasuk dalam senarai mangsa Hamada.
“Aku hairan. Bagaimana engkau keluar ke sana tanpa menunggang kuda?”
“Ada satu terowong rahsia di dalam perpustakaan. Ia terowong sihir, yang membawaku ke Hidagawa. Dari situ aku menumpang kuda pedagang ke Kawamoto, menerusi Nakasendo.”
“Ketika engkau keluar ke sana, Tsuneki cuba membawaku ke suatu tempat melalui terowong itu. Namun dia gagal.”
“Lereng berumput?”
“Tidak, sejenis lembah.”
“Lembah itulah. Itu lembah puakku, Amaguri. Ia dihubungkan oleh terowong perpustakaan itu secara sihir. Ryouji, aku berketurunan satu puak bernama Amaguri. Ahli sihir Amaguri ialah pencipta batu tama-no-iwa yang memberikan puakmu, Shirasaka dan satu lagi puak misteri, kuasa kalian.”
“Maka aku tidak dibenarkan ke lembah kalian?”
“Bila engkau dan Tsuneki cuba ke sana?”
“Pagi tadi.”
Pagi tadi? Tidak. Aku pulang senja semalam. Siapa yang merosakkan kumpulan batu pemantul di lembah Amaguri? Sudah pasti Oonishi-san! Patutlah Ryouji dan Tsuneki tidak menemuinya di terowong!
Grrr... Shinji geram. Dahinya berkerut.
“Mengapa Shinji?”
“Seseorang telah merosakkan sejenis mekanisme yang membolehkan sihir menghubungkan lembah Amaguri dan bilik unjuran perpustakaan itu berfungsi. Mekanisme itu ada di lembah Amaguri. Tidak perlulah engkau tahu lanjut, ia agak rumit.”
“Apakah ia boleh diperbaiki?”
“Ia boleh diperbaiki. Cukup mudah.”
“Baguslah.”
“Aku akan membawamu ke sana nanti. Ingatkanku jika aku terlupa.”
“Jadi Shinji, engkau bertemu Hamada di Kawamoto? Berdepan-depan dengannya?”
“Ya.”
“Kisahkan semua yang kau lihat di sana.”
Shinji mengisahkan kembali pertemuannya dengan Hamada.
“Dia bertarung denganku. Aku tidak sangka dia tahu berpedang. Aku ditewaskan mudah. Ketika dia cuba mendaratkan libasan membunuh pada leherku, aku sempat menembak dadanya demi melindungi diriku.”
“Ketika itu, aku dapati satu perkara aneh berlaku. Peluruku tidak mencederakannya, bahkan tubuhnya seperti angin. Ia menembusi pasu di belakangnya tanpa sedikitpun mencederakannya.”
“Shinji, apakah...” Wajah Ryouji berubah kelam.
“Ya. Dia memiliki kuasa aneh. Juga kuasa dari tama-no-iwa. Aku tidak pasti bagaimana dia memperolehinya, namun aku terdengar dia memakai batu itu di tubuhnya.”
“Bukankah tadi engkau katakan hanya tiga puak yang mendapat kuasa itu selain Amaguri?”
“Barangkali Hamada menggunakan batu dari puak misteri itu. Atau mungkin Amaguri. Entah, aku tidak pasti. Tatsuhiro memberitahuku.”
“Atau Hamada sememangnya berketurunan puak misteri itu?”
“Aku tidak pasti.”
Jika begitulah hakikatnya, maka menentangnya menjadi amat sukar. Ia seperti cuba menakluk matahari. Semakin engkau dekat dengannya, semakin engkau dihambat haba yang dibebaskannya. Mustahil.
“Dou Ryouji? Apakah kita masih punya harapan?”
“Dia hanya halimunan bukan? Dia tidak akan kekal abadi bukan?”
“Aku fikir begitulah. Jika tama-no-iwa boleh mengekalkan hayat, sudah pasti moyangku masih lagi hidup. Bahkan Hamada juga perlukan makanan. Jika tidak makan, dia akan mati. Maka mati tetap perkara yang dia beri perhatian utama.”
“Logik.”
“Aku sedang cuba fikirkan cara mengeluarkannya dari kebolehan itu. Aku yakin, kerana aku dari keturunan Amaguri, pencipta tama-no-iwa.”
“Bagaimana rupa bangsat itu?”
“Dia berbadan kurus dan tinggi, bermuka cekung, rahang petak dan berkedut tua, seperti seorang tua dalam lingkungan enam puluhan. Dan dia seperti seorang pondan, dengan solekan putih tebal dan gincu merah menyala seperti geisha. Kimono yang dipakainya nampak amat kemas dan dari kain sutera yang mahal, berwarna merah seperti daun momiji. Segala yang ada di dalam bilik tersebut juga tersusun, kemas dan bersih seperti bilik perempuan. Bahkan, taman di depan rumahnya juga kemas dan bersih. Begitu juga dengan pekan Kawamoto. Aku bilang dia amat tegas dalam soal kebersihan dan kekemasan, sehingga terbawa-bawa ke dalam dasar yang dikuatkuasakan.”
“Shinji, zenbuu ore ni makasete (serahkan semuanya kepadaku.)” Ryouji menoleh, memandang Shinji.
“Apa maksudmu?”
“Aku yang akan ke sana membuat perhitungan dengan Hamada. Namun aku memerlukan pertolonganmu untuk satu perkara.”
“Apakah ia?”
“Tempa Saishi-tou untuk Hisamiko. Curahkan kemahiran terbaikmu. Jadikan pedang itu mahakaryamu.”
“Apa maksudmu mahakarya?”
“Aku mahu pedang Hisamiko pedang paling kuat yang pernah engkau tempa. Namun aku mahukan ia tidak bermata. Aku tidak mahu dia membunuh. Aku mahu dia mampu melindungi dirinya sendiri.”
Shinji, aku risau. Tangan kananku semakin hari semakin lemah, sedang ia tangan dominanku. Aku bimbang aku tidak lagi mampu melindungi Hisamiko meskipun aku masih hidup.
“Hisamiko akan membantuku pabila dia tahu bertarung kelak. Aku telah melatihnya kaminari selama dia di sini. Namun dia hanya menggunakan tantou sahaja. Aku mahu dia belajar menggunakan pedang. Tangannya kecil, maka pedang tersebut perlulah ringan. Aku bilang hanya Saishi-tou sahaja yang kuat tetapi ringan berbanding pedang biasa.”
“Aku akan cuba. Aku sedang menyelidik kaedah bagi memperbaiki bahagian lemah pedang itu yang aku pernah ceritakan dahulu.”
“Engkau perlukan Hisamiko bagi menganggar berat dan saiz pedang itu?”
“Tidak perlu. Semua sudah dalam memoriku. Pergerakannya ketika bertarung, semua di sini.” Shinji menunjuk pada kepalanya, sambil tersenyum.
Ryouji membalas senyuman itu. Arigatou, Shinji! Aku pasti akan menyusup ke Kawamoto dan menangkap Hamada.
Arigatou, Ryouji. Kerana mempercayaiku. Aku serahkan Hamada kepada engkau. Tunaikan janjimu. Demi ibuku, demi bapamu, demi rakan-rakan dan anak bangsa Yamato yang telah dianiayainya.