Shinji melihat bilah Saishi-tou yang diambil dari Ryouji. Dia tersenyum. Dia telah melihat bagaimana Saishi-tou itu menyumbingkan bilah Shizuo. Dia teruja. Kaedah barunya membuahkan keputusan yang tidak disangka-sangka.
Aku hanya mencuba. Resin itu dibenci hayabusa kerana baunya yang tidak boleh dihidu manusia tetapi berbau racun pada hayabusa dan memabukkannya. Apabila resin itu dicampurkan di dalam relau, ia mengubah bilah itu. Kemudian ia hilang seperti wap dan yang tinggal hanyalah besi yang berkilauan, yang ringan tetapi amat kuat. Orang-orang Barat memanggilnya mangkin (catalyst) dalam kitab-kitab kimia mereka. Ia ditambah ke dalam adunan relau dan mengubah cirian besi yang terhasil, namun tidak menjadi sebahagian darinya.
**
Kekalahan yang memalukan pagi tadi masih menghantui Shizuo. Dia berdiri dan termenung di tepi sebuah gaung.
Memalukan! Aku telah dikalahkan oleh seorang budak! Malu, malu, malu! Bagaimana aku membawa mukaku jika Takeo dan Suneo tahu perkara ini?
Shizuo tidak dapat menerima kekalahannya bertarung dengan Ryouji. Dia telah memberitahu Takeo dan Suneo dia akan menangkap Ryouji. Namun apa alasan yang dia boleh berikan sekarang? Ryouji diculik? Atau rakannya datang membantunya? Mereka berdua pasti akan mentertawakanku meski apa alasan yang kuberikan.
Shizuo perlahan-lahan menarik pedangnya dari sarung. Dia bersedia melakukan seppuku sambil terjun ke dalam gaung di hadapannya.
“Nani shite no, ojii-san? (Apa sedang kau lakukan, pak cik?) ” kedengaran suara seorang wanita dari belakangnya.
Shizuo memasukkan pedangnya kembali ke sarung perlahan-lahan, seraya menoleh. Seorang gadis, berusia lingkungan dua puluhan, memakai yukata yang lusuh dan bertampalan, sedang berdiri di depannya. Agak cantik, fikirnya. Kulitnya cerah sekali. Dia menggalas bakul berisi cendawan dan sayuran hutan. Di balik gadis itu bersembunyi seorang budak lelaki dalam usia lima tahun. Dia juga berpakaian lusuh dan bertampalan.
“Apa yang kalian lakukan di sini?”
“Kami mencari cendawan liar. Tuan sudah makan?”
Perut Shizuo berbunyi. Mereka berdua tertawa kecil. “Mari, ikuti kami.”
Shizuo seperti orang dipukau, menuruti gadis dan budak lelaki itu.
Mereka berjalan menelusuri denai menuju ke sebuah rumah usang di tengah-tengah hutan. Rumah itu hanya berbumbungkan jerami dan tiang-tiang kayunya adalah batang-batang kayu yang tidak dipotong sempurna, seperti bangsal kuda. Di sebelah rumah itu ialah dewan besar yang menempatkan beberapa orang lelaki yang sedang tercedera, terbaring di atas katil-katilnya. Shizuo terperanjat melihatkan seorang lelaki di dalam dewan itu yang sedang duduk di sisi salah sebuah katil, seperti pernah dilihatnya.
“Tsugiyama!”
“Shizuo!” laung lelaki yang sedang duduk itu, sambil menoleh.
“Bagaimana engkau boleh berada di sini?” Shizuo memulakan pertanyaan dahulu.
“Orang-orangku tercedera sewaktu bertarung.” Tsugiyama menjawab pendek, tidak meneruskan kata-katanya. Amat memalukan jika dia menceritakan yang mereka telah dikalahkan seorang gadis.
“Dan engkau pula?” Pantas Tsugiyama menyambung dengan soalan agar perbualan tidak tertumpu kepada kisahnya yang memalukan itu.
“Panjang ceritanya.” “Aku cuba menangkap seorang remaja yang telah menyerang kami ketika menghantar karayuki. Namun remaja ini sungguh aneh. Dia bertarung menggunakan jurus kesembilan.”
“Jurus kesembilan? Bukankah hanya puak Okuhida yang boleh melakukan jurus tersebut?” Tsugiyama mengujar, meskipun ragu. Aku baru sahaja menemui seorang gadis bertopi kon melakukan jurus tersebut. Apakah dia dari puak Okuhida?
“Benar. Aku syak dia anak Miura.”
“Adakah dia yang tinggi begini, berbadan kurus, matanya dua kelopak dan tidak sepet dan berkulit sedikit gelap?” Tsugiyama mengisyaratkan tinggi Ryouji dengan tangannya.
“Benar.”
“Rasanya aku bertemunya di Kisennuma hampir setahun lepas. Dia hampir ditewaskan olehku sebelum Goro datang menyampaikan pesan Hagiura dan aku bergegas meninggalkannya. Mungkin dia sudah aku penggal kepalanya jika Goro belum tiba. Apakah dia bersendirian ketika menyerangmu? Apakah Kogen yang menghantarnya?”
“Aku syak. Melihatkan dari kebolehan kaminarinya. Mungkin dipelajari dari Miura atau Takasaki yang bersekongkol dengan Kogen. Aku lihat dia bersama dua rakannya semasa pertarungan kedua kami.”
Dua orang? Tidak mungkin Chisato salah seorangnya. Aku baru sahaja bertarung dengan Chisato pagi ini.
“Bagaimana rupa dua orang rakannya itu?” Tsugiyama inginkan kepastian.
“Seorang budak lelaki sebayanya dan sama tinggi, berkulit cerah dan bermata sepet dan kecil. Seorang lagi budak perempuan sekitar dua belas tahun, mungkin adiknya. Bermata dua kelopak dan ruyup ke sisi, kulitnya cerah. Sangat comel, mungkin mahal harganya jika kita menjualnya sebagai karayuki.”
Pagi ini aku bertemu Chisato dan rakannya. Kemudian tidak jauh dari sini, Shizuo pula bertemu Ryouji dan dua rakannya. Melihatkan Chisato dan Ryouji seperti sudah lama kenal, mungkin mereka tinggal bersama, mungkin dengan Takasaki, di rumah perlindungannya yang dibiaya Kogen itu. Apakah rumah Takasaki sudah tidak jauh dari sini? Tsugiyama cuba berspekulasi.
“Tsugiyama, aku lihat pedangnya berlainan. Amat. Sebatian besi yang digunakan kelihatan berbeza dari kebiasaan tamahagane yang digunakan dalam pedang-pedang kita. Ia bersaiz seperti katana biasa namun ia amat ringan. Ryouji yang tidak berotot besar itu boleh menghayunkan dengan mudah dan pantas. Barangkali mereka belajar dari Barat.”
“Apakah Takasaki, ataupun Kogen mencipta senjata baru?” Tsugiyama merujuk kepada pedang aneh yang diutarakan Shizuo.
“Aku tidak pasti. Aku cuba menangkap remaja itu bagi menjejak Takasaki. Rasanya mungkin Takasaki yang menghasilkannya.”
“Sewaktu aku bertarung dengannya, pedang itu kelihatan amat ringan tetapi kuat. Bahkan...” Shizuo menarik pedangnya dari sarung. “Ia menyumbingkan pedangku. Lihat kesan sumbing pada matanya. Begitu mudah sekali dia lakukan, dengan menggunakan jurus kesembilan.”
“Teruk juga sumbingmu itu. Aku akan meminta Mitsuhide si tukang pedang di Shizen itu menggantikan dengan yang baru untukmu.”
“Terima kasih Tsugiyama.” Shizuo menunduk.
“Doumo.”
Tsugiyama mengagak mungkin pedang Ryouji membantunya mencapai jurus kesembilan. Dengan penguasaan jurus kelapan, puak Okuhida boleh meningkatkan tahap mereka ke jurus kesembilan, dengan mengurangkan berat senjata atau badan mereka. Manusia lain juga begitu, namun mereka mungkin akan diancam rusuhan tenaga.
Tsugiyama teringat ketika dia berjaya menewaskan Ryouji dahulu, dia hanya menggunakan pedang biasa dan hanya menggunakan jurus ketiga dan keempat. Budak itu menambahbaik! Apa yang memotivasikannya?
Dan gadis yang menyerang kami pagi ini juga, aneh. Apakah dia juga dari puak Okuhida? Dia juga melakukan jurus kesembilan, hanya dengan pedang biasa. Apakah dia juga tinggal bersama Ryouji dan Chisato?
“Tsugiyama, budak itu seperti dirasuk ketika melakukan jurus tersebut. Tidak seperti Miura yang dalam keadaan sedar.” Shizuo mengimbas kembali pemerhatiannya, sedang wajahnya berkerut seperti menahan sakit yang amat sangat. “Argh!”
Bedebuk! Shizuo tiba-tiba rebah. Kata-kata Shizuo tadi tidak sempat ditangkap Tsugiyama.
“Shizuo!” Tsugiyama melaungkan namanya. Tiada jawapan. Seorang lelaki tua dan gadis tadi datang dan memapah Shizuo ke dewan.
Selepas dirawat, gadis itu memberitahu Tsugiyama bahawa Shizuo mengalami kepatahan tulang bahu.
“Terima kasih, Nezuko.” Tsugiyama mengucapkan terima kasih kepada gadis itu. Dia hanya tersenyum, tunduk dan berlalu. Cantik, meskipun pakaiannya lusuh, rambutnya kusut dan wajahnya tidak bersolek seperti geisha.
“Maafkan aku Tsugiyama. Aku cuba menyembunyikan perkara memalukan ini.”
“Bodoh!” Tsugiyama menampar belakang Shizuo. “Engkau tidak perlu malu denganku. Kita rakan sedari kecil.”
“Ne, Shizuo, Seto memberitahuku yang engkau berdiri di tepi gaung sedang memegang pedangmu. Apa yang engkau cuba lakukan?” Seto ialah budak lelaki yang bersama dengan gadis itu ketika menemui Shizuo di tepi gaung. “Jangan-jangan engkau mahu membunuh dirimu?!”
“Benar, Tsugiyama. Aku malu dikalahkan budak itu.”
“Bodoh!” Tsugiyama menepuk kepalanya pula.
Shizuo mendiamkan diri dan membiarkan dirinya dimaki Tsugiyama.
“Kita bukan lagi samurai. Aku tidak akan melakukan seppuku, walaupun diarahkan Hagiura sekalipun.”
“Maka untuk apa kita masih berkhidmat kepadanya?”
“Aku mahu hidup, Shizuo. Aku tidak tamakkan harta seperti Hagiura. Dan aku hanya tahu bertarung. Aku tidak tahu bertani mahupun menangkap ikan.”
“Aku pun, Tsugiyama. Namun perasaan dikalahkan ...”
“Persetankan! Apakah semuanya perlu diselesaikan dengan seppuku? Apa nilai nyawamu?!”
“Tsugiyama, jika engkau persoalkan nilai, maka apa ertinya kita menjual karayuki? Adakah engkau benar-benar hidup, melihat gadis-gadis itu dijual? Apakah yang engkau akan lakukan sekiranya mereka anak-anak kita sendiri?”
Tsugiyama mendiamkan diri. “Aku bertarung, Shizuo. Aku bertarung dengan diriku, sehari demi sehari. Jika engkau dapat melihat jiwaku, ia seperti seorang yang sedang nazak di perbaringan, menunggu kematian. Aku tidak pasti sama ada jiwaku masih boleh dirawat.”
Seketika kemudian muncul seorang lelaki tua.
“Takamine-san!” Tsugiyama memanggil lelaki tua itu. Dia merupakan ketua penjaga di situ dan bapa kepada Nezuko dan Seto.
“Bagaimana keadaan orang-orangku?” Tsugiyama bertanya, kemudian memandang rakannya Tatsuya, Tetsugi dan Tsugaru yang sedang terbaring kepatahan. Tatsuya patah di bahu, manakala Tetsugi pula patah di rusuk dan Tsugaru patah di lutut, semuanya setelah dikerjakan dua orang wanita. Pemandangan yang amat memalukan. Jika kami masih berkhidmat sebagai samurai sudah pasti aku mengarahkan mereka melakukan seppuku bagi menebus malu.
“Aku nasihatkan agar mereka berehat di sini dahulu untuk seminggu sehingga benar-benar pulih. Aku akan sediakan ubat menggunakan cendawan yang baru dipetik Nezuko tadi.” Takamine menasihat dengan suara yang cukup menenangkan dan penuh kepastian, seperti lagaknya seorang tabib. Dia adalah seorang lelaki tua berusia lebih kurang enam puluhan, memakai kain pengikat di kepalanya, rambutnya penuh uban dan memiliki janggut putih beruban. Yukatanya comot dan bertampalan, menonjolkan kemiskinannya. Kaki hujung umanorinya disingsing dan diikat ke paras pinggang. Sekali pandang, perawakannya saling tak tumpah seperti petani di bendang.
“Terima kasih Takamine-san. Bagaimana dengan penawar untuk aotsuyu baharu?
“Sudah di peringkat akhir percubaan. Dua orang karayuki yang aku gunakan dalam percubaan itu berjaya dipulihkan seperti sebelum disuntik aotsuyu baharu.”
“Adakah aotsuyu baharu ini dapat mengatasi penawar aotsuyu Kotobuki, yang dia ciptakan untuk aotsuyu lama?”
“Ya. Penawar itu hanya berkesan menyahracun aotsuyu lama. Namun untuk aotsuyu baru, penawar ciptaan Kotobuki hanya melambatkan serapannya ke dalam salur darah individu yang disuntik. Ia tidak berkesan menyahracunnya, seperti yang kulihat dalam percubaan ke atas karayuki kita.”
“Bagus.”
Tsugiyama bercadang mahu menggunakan suntikan aotsuyu bagi menewaskan musuhnya. Dengan adanya penawar, ia dapat memulihkan kembali mereka sekiranya suntikan itu jatuh ke tangan lawan dan digunakan ke atas mereka. Kotobuki si sami di kuil Furukawa itu seorang tabib yang bijak dan bekerja untuk Kogen. Dia berjaya mencipta penawar untuk aotsuyu lama, dan telah merawat beratus-ratus gadis yang diselamatkan dari keluarga Yoshitsugu. Namun dengan aotsuyu baru ini, kepakaran Kotobuki akan dicabar.
“Engkau nantikan aku Chisato. Kali ini rakanmu dapat dirawat oleh Kotobuki. Aku akan pastikan kalian disuntik aotsuyu baru ini, dan Kotobuki tidak akan dapat merawatmu.” Tsugiyama mengomel seorang diri. “Dan tidak lupa juga gadis yang campur tangan itu. Aku akan menebus maruahku.”