Berbalik kepada misi di Saikawa...
Hisamiko senyap-senyap berundur dari mengekori Ryouji, mahu mengejar kereta kuda itu sendiri.
Aku tidak akan membiarkan perkara sama yang berlaku terhadapku dan Nariko nee-chan dan Chisato nee-chan dan wanita-wanita lain menimpa mereka. Aku yakin, lelaki itu Shizuo. Dia menunggang kuda sambil mengekori kereta kuda itu. Siapa dua lagi lelaki yang sedang mengikutinya? Seingat aku ketika di hutan Hidagawa itu, hanya dia seorang yang datang. Sebentar, bukankah ada dua orang lagi pengikutnya ketika aku mengintai dari atas bukit pada hari sebelumnya? Barangkali mereka.
“Hisamiko, engkau mahu buat perkara gila lagikah?” Azuchi berteriak, sambil terbang di atas mengekorinya.
“Aku mahu menyelamatkan mereka. Jika engkau mahu ikut, ayuh!”
Hisamiko berlari pantas. Dia menggunakan kaminari-no-kaze bagi mencapai kepantasan berlari sehingga kereta kuda tadi kembali berada di hadapan matanya.
Hisamiko cuba menyerang dengan menetak pintu belakang kereta tersebut, namun tidak berjaya. Dia memanjat bumbung kereta itu dan cuba menetak pengendera kereta itu, namun dia tiba-tiba dihalang oleh seorang lelaki berlilit di kepala.
“Ojou-chan, kita bertemu lagi. Masih ingat aku?” Lelaki itu, Shizuo berkata.
“Ya, engkau yang lari seperti pengecut setelah bertarung dengan onii-san di pergunungan Hidagawa dahulu.” Hisamiko mengecam lelaki itu adalah Shizuo seperti telahannya.
Muka Shizuo berubah selepas disindir begitu. Dia marah dan menghayun pedangnya ke leher Hisamiko namun sempat dielak.
Lelaki ini tidak mahu membunuhku. Dia menggunakan belakang pedangnya bagi memengsankan aku.
“Ojou-chan, engkau semakin cantik. Jika engkau dijual, aku akan mendapat pulangan besar.”
“Cubalah jika engkau mampu.”
Shizuo mengalih lokasi mereka keluar dari laluan kereta kuda itu. Kereta kuda itu meninggalkan mereka semakin jauh sedang mereka sibuk bertarung di pinggir pekan tersebut. Orang ramai sudah berkurangan, hanya tinggal beberapa orang yang sedang memerhati di kiri dan kanan mereka, yang merupakan penduduk kawasan pinggiran.
Setiap kali Hisamiko menghayun pedangnya ke atas pedang Shizuo, Shizuo akan mengalihkan pedangnya, bagi mengelakkan keretakan seperti yang telah berlaku ketika pertarungan di Hidagawa.
“Ojou-chan, engkau tidak akan dapat memusnahkan pedangku. Aku sudah tahu taktik kalian sejak pertemuan di Hidagawa dulu.”
Tubuh Hisamiko yang kecil, lincah bergerak mengitari Shizuo yang bertubuh tinggi dan berkulit gelap itu, mengelak tetakan demi tetakan Shizuo. Sekali imbas, ia tidak ubah seperti seekor anak monyet yang kecil yang cuba menewaskan seekor beruang besar dan tinggi di hutan Tsugaru.
Hisamiko masih cuba mendaratkan serangan ke atas Shizuo namun dia hanya mengelak. Dia tidak langsung berniat mencederakan Hisamiko. Seperti, seolah-olah dia sedang merancang sesuatu. Sehingga satu ketika, dia tersenyum.
“Ojou-chan, terima kasih membelikan aku masa.” Sejurus menghabiskan kata-katanya, jaring digugurkan ke atas Hisamiko dan pantas ditarik oleh dua orang pengikut Shizuo yang sedari tadi bersembunyi. Hisamiko tidak sempat mengelak, dia terlalu leka cuba mendaratkan serangan ke atas Shizuo. Namun di sebalik semua ini, Hisamiko sebenarnya merancang sesuatu. Namun dia terlalu mentah. Perancangan itu mungkin berkesan melemahkan Shizuo, namun kelekaan telah memakan dirinya sendiri.
Hisamiko meronta-ronta, cuba membelah jaring tersebut dengan pedangnya, namun apakan daya, pedangnya tidak bermata. Melihatkan Hisamiko cuba mencapai tantou yang terselit di pinggangnya, dua orang pengikut Shizuo itu pantas menarik tali jaring sehingga mengetat dan menghalang pergerakan Hisamiko. Hisamiko kaku dalam ketakutan.
“Bagus, Suneo, Takeo.” Shizuo mengeluarkan jarum berpicagari berisi aotsuyu.
Tidak, tidak! Itu aotsuyu! Chisato nee-chan disuntik bahan itu. Dan dia masih belum dapat dirawat. Mata Hisamiko membulat ketakutan melihatkan tangan Shizuo yang memegang picagari itu semakin mendekat, sedang dia tidak mampu berbuat apa-apa. Suneo dan Takeo menarik tali pengetat jaring itu agar tiada langsung peluang diberikan kepada Hisamiko untuk melakukan sebarang pergerakan. Ketika itu juga, baru Hisamiko menyedari, Azuchi sudah nyawa-nyawa ikan di atas tanah tidak jauh dari tempat dia terbaring. Darah merah keluar mengalir deras dari jasadnya, dan anak panah terpacak dapat dilihat pada jasadnya.
Mereka sudah membunuh Azuchi. Azuchi... maafkan aku tidak dapat melindungimu. Onii-san, maafkan aku. Aku lemah, aku tidak berdaya melindungi gadis-gadis itu. Maafkan aku, Goryuuin-nee san, Kitsune-san. Air mata mengalir dalam ketakutan sedang isi biru picagari itu perlahan-lahan disuntik, omboh ditolak, masuk ke dalam salur darah di bahunya. Dunia Hisamiko perlahan-lahan menggelap. Dia tidak lagi dapat mengingat apa-apa. Hanya ‘onii-san’ perkataan terakhir yang dilafaznya.
**
Sebelum Satoshi dan Ootoshi keluar mencari Sonzaemon, mereka telah ditewaskan Ryouji terlebih dahulu.
“Sial, peluru aku hanya tinggal sebutir. Semuanya sudah habis dilepaskan pada budak tak guna ini. Sebutir pun belum mengenainya. Satoshi, aku tidak tahu bertarung pedang. Bagaimana engkau?”
“Aku fikir baik kita lari sahaja. Sonzaemon bedebah itu entah lari ke mana, meninggalkan kita di sini berdua. Tak guna. Pantang nampak perempuan cantik! Ayuh Ootoshi, jurus kedua.”
Ootoshi dan Satoshi meninggalkan gudang kayu itu dengan jurus kedua kaminari.
Sebaik keadaan kembali tenang, Tsuneki keluar dari persembunyiannya.
“Ryouji, aku mahu bergegas menjejaki Hisamiko sekarang. Engkau jejaki mereka dahulu. Pastikan Goryuuin selamat.”
“Tsuneki...”
“Ryouji, engkau tahu bukan? Ketika kejadian dia hampir dinodai dulu, dia mengejarmu.”
“Aku tahu Tsuneki. Aku juga serba salah. Aku...”
“Ryouji, fahamkah engkau?! Yang dia risaukan engkau, dan disebabkan itu dia sanggup keluar seorang diri dan hampir dinodai!” Tsuneki tiba-tiba naik angin melihatkan kelembapan Ryouji memahami. Mungkin sudah lama dia memendamnya.
“Tsuneki, aku tidak mampu menghalang dia.” Ryouji cuba menahan diri dari membongkarkan perkara yang sukar dijelaskan kepada Tsuneki, iaitu berkenaan bantuan hayabusa-no-kami.
“Ryouji, aku akan mencari Hisamiko sekarang. Engkau selesaikan tiga ekor penyangak itu, aku tahu engkau mampu melakukannya tanpaku. Mata ne (jumpa lagi)!”
“Matte (tunggu), Tsuneki!”
Tsuneki tidak mengendahkan panggilan Ryouji dan terus berlari pantas ke kuil tempat mereka menambat kuda, mengambil kudanya dan menunggang deras di sepanjang lorong utama pekan Saikawa. Dia berhenti tiba-tiba melihat bangkai seekor hayabusa dengan panah tercacak.
Dia membelek bangkai itu. Ia baru dipanah.
“Azuchi!” Tsuneki masih ingat hayabusa itu yang mengekori Hisamiko, dari jalur putihnya yang jelas di atas kepala turun ke ekor, sesuatu yang aneh yang mudah membezakannya daripada hayabusa lain.
Tanpa burung ini, aku tidak akan dapat mengesan di mana Hisamiko.
Tsuneki memandang ke sekeliling. Dia bertanya kepada seorang gadis yang duduk mengemis di situ di tepi lorong.
“Ojou-san, tadi engkau ada nampak seorang remaja perempuan di sini dengan yukata biru muda?”
“Dia diangkut oleh sekumpulan samurai ke arah sana sebentar tadi.”
“Arigatou!” Tsuneki berterima kasih sambil meletakkan beberapa keping syiling ke dalam bekas gadis itu.
Tsuneki menunggang kuda deras ke arah yang dimaksudkan.
Dia akhirnya bertemu dengan kereta kuda itu. Dia cepat-cepat memanah ke arah pengenderanya. Pengendera itu tumpas kemabukan di atas tempat duduknya, lantas menghentikan kereta kuda itu.
Tsuneki masuk ke dalam kereta dan menemui Hisamiko sedang terbaring tidak sedarkan diri di dalamnya, dibungkus jaring. Dia mencapai tantou di pinggang seraya memotong jaring itu, dan mengendong Hisamiko di belakangnya, diikat kemas menggunakan tali jaring itu. Tsuneki yakin, ketua mereka pasti sudah berada di luar melihatkan kereta kuda itu berhenti, menunggu untuk menyerangnya.
Tidak semena-mena, bunyi dentingan pedang di luar berbalas-balas. Tsuneki membatalkan hasratnya untuk terus keluar, dan duduk kembali menunggu di dalam kereta kuda itu sehingga pertarungan itu selesai.
Selepas bunyi mulai reda, dia keluar.
“Siapa engkau?”
“Kitsune Tsuneki dari Kogen. Melapor kepada Goryuuin Tsushiko ketua tugas-tugas khas kanan kepada Shirasaka Omi.” Tsuneki menunjukkan lencana Kogen, sambil tunduk hormat.
“Goryuuin-san ka? Aku Mitsushima Hayashi juga dari Kogen. Berkhidmat di bawah Maebara Takehito, ketua tugas-tugas khas Kogen di Nambashi. Bagaimana engkau boleh terpisah dari Goryuuin-san?”
Tsuneki menceritakan apa yang berlaku.
“Remaja perempuan ini telah disuntik aotsuyu. Engkau perlu membawanya segera ke Kogen.”
“Bagaimana dengan gadis-gadis lain yang diculik di pekan Saikawa tadi? Di mana mereka?”
“Mereka berada di dalam gerabak yang satu lagi di hadapan. Kami akan menguruskan mereka. Engkau tidak perlu risau, kami sudah menewaskan orang-orang Hamada yang membawa kereta kuda ini. Mereka sedang melarikan diri ke dalam hutan.”
“Apapun, terima kasih kalian kerana telah melambatkan kereta kuda ini. Jika tidak sudah pasti kami terlepasnya. Dan budak perempuan itu telah mencederakan Shizuo dan memudahkan kami menewaskannya.” Hayashi tunduk kepada mereka. Tsuneki membalas, masih keterpingaan mendengarkan kata-kata Hayashi, “Doumo.”
Sementara itu, Shizuo, Suneo dan Takeo sedang melarikan diri ke dalam hutan dengan kuda mereka, setelah tidak mampu menewaskan pasukan Hayashi yang dihantar Takehito.
“Celaka, aku tidak menyangka mereka juga menghantar orang-orang Takehito ke sini! Bagaimana dengan gadis-gadis lain yang sempat kita culik?”
“Mereka telah dirampas Kogen. Semua lima mereka dikumpulkan dalam gerabak itu kerana gerabak belakang diperuntukkan untuk Goryuuin dan pasukannya yang sepatutnya ditangkap Sonzaemon.”
“Celaka! Aku pasti akan dimaki Hamada kali ini. Di mana Sonzaemon? Bagaimana budak perempuan dan budak lelaki itu terlepas ke sini?”
“Aku tidak pasti.” Suneo menjawab. Dia juga hairan bagaimana Hisamiko boleh terlepas dan mengganggu mereka sedangkan dia sepatutnya ditangkap Sonzaemon.
“Argh!” Shizuo terduduk sambil memegang lengannya.
“Mengapa Shizuo?” Suneo bertanya.
“Tiada apa-apa.” Aneh, aku mengelak semua serangan budak perempuan itu. Apakah dia sengaja menyerang agar gerakan mengelakku mencederakan diriku sendiri? Sial. Bahuku seperti terseliuh kerana perlu mengelak banyak pada kepantasan tinggi.
Dia sudah tahu bertarung rupanya, berbanding ketika di hutan Hidagawa dahulu. Taringnya sudah mula nampak. Kogen, engkau punya senjata paling berbahaya dalam genggamanmu! Bahkan ia mampu menghancurkan negara yang sedang kalian bina ini! Bukankah budak ini yang pernah diramalkan Miura, yang dia takut akan perturunkan dari zuriatnya?
Apapun aku harus berjumpa tabib segera. Seliuh ini bukan sembarang. Tak guna budak perempuan itu! Siapa gerangan yang melatihnya? Jika aku tidak merawatnya segera mungkin aku tidak akan dapat bertarung lancar.
**
“Aku fikir dia sentiasa dilindungi hayabusa-no-kami... aku silap...” Ryouji mengeluh.
“Ryouji, hayabusa Hisamiko sudah mati dipanah.”
“Apa?”
“Sungguh. Mujur dia tidak jauh dariku dan orang-orang di pekan itu memberitahuku arah pergerakannya. Orang-orang kita dari Nambashi juga membantuku.”
Mereka tiba di Kogen. Goryuuin menerangkan kepada Omi berkenaan kegagalan mereka menangkap Sonzaemon dan bantuan dari orang-orang Takehito dari Nambashi.
Malam itu Kotobuki datang bertemu Ryouji dan Tsuneki selepas merawat Hisamiko. Mereka menceritakan kepada Kotobuki tentang kematian Azuchi.
“Bantuan hayabusa-no-kami tidak akan sampai sekiranya hayabusa pengiring dibunuh.” Kotobuki menerangkan.
“Namun hayabusa pengiring Hisamiko tidak akan mati selagimana puak kalian masih berbaki. Dia akan menempati jasad hayabusa baru dan kembali mengiringi Hisamiko. Namun perlindungan hayabusa-no-kami tidak akan lagi sekuat seperti sebelumnya. Hisamiko perlu menjadi lebih kuat dari sekarang demi melindungi dirinya sendiri.”
“Untuk satu-satu pemedang handal, hayabusa pengiring hanya boleh mati tiga kali sebelum bantuan hayabusa-no-kami hilang sepenuhnya. Ryouji, kalian perlu menjaga Azuchi sebaiknya sehingga Hisamiko benar-benar mampu melindungi dirinya sendiri. Atau latih Hisamiko jurus kesembilan sehingga dia benar-benar mahir.”
“Mengapa engkau tidak memberitahuku awal-awal Kotobuki-san?”
“Hisamiko sudah sepatutnya tahu. Azuchi sudah sepatutnya memberitahunya. Ryouji, banyakkan bertanya Hisamiko. Aku pasti dia banyak menyimpan darimu. Dia lebih matang dari yang engkau sangkakan.”
“Kotobuki-san, Ryouji, Hisamiko juga ada memberitahu aku sesuatu, sejurus selepas aku menyelamatkannya.”
Ryouji dan Kotobuki memandang Tsuneki.
“Ketika itu dia masih boleh berkata-kata sewaktu aku di dalam kereta kuda itu. Sebelum itu, ambil ini.” Tsuneki menghulurkan sebentuk loket kepada Kotobuki. “Hisamiko memberitahuku, seorang lelaki bernama Shizuo memakai loket sama.”
**
“Kitsune-san, Shizuo pakai loket ... sama seperti Goryuuin-san.” Hisamiko memegang loket yang dipakainya sebagai isyarat, kemudian menunjukkan pula belakang kepalanya. Dia menghulurkan loket yang dicabut dari penyepit kepala Shizuo ketika bertarung tadi kepada Tsuneki.
Loket yang dipakai Goryuuin-san? Dipakai di kepala?
**
“Goryuuin, chotto matte.” Kotobuki memanggil Goryuuin esoknya untuk membincangkan sesuatu.
“Goryuuin, boleh aku tahu tentang loket yang engkau pakai itu?”
“Mengapa engkau ingin tahu Kotobuki-san?”
“Hisamiko ada bertemu Shizuo ketika misimu baru-baru ini dan nampak loket itu pada lilitan kepalanya. Ia agak tersorok namun dapat dicam Hisamiko kerana penglihatan tajamnya. Barangkali Shizuo tahu di mana adik perempuanmu. Lihat ini.” Kotobuki menghulurkan loket yang diperolehi dari Tsuneki.
Goryuuin tersentak mendengarkannya. Dia mengambil loket itu, menelitinya. Dia yakin, loket itu kepunyaan Hisamine, adiknya.
“Kotobuki-san, di mana Shizuo? Aku ingin bertemunya sekarang!”
“Goryuuin-san, bertenang. Ceritakan dahulu padaku.”
Goryuuin menceritakan sejarah loket itu. Ia hanya ada dua dan dihasilkan khas oleh mendiang bapanya sepasang. Saiznya amat kecil sehinggakan tidak dapat dicam dengan mudah.
Ia dipakai di leher, namun Shizuo mencabut loket itu dari rantainya dan melekatkan pada penyepit rambut. Shizuo menyepit rambutnya yang panjang dengannya, dan kemudian melilit tali merah di sekeliling kepalanya sehingga menutup sebahagian besar kepala loket itu.
Aku tidak menyangka penculik itu ada kaitan dengan Hamada. Aku fikir ia perbuatan orang asli Emishi yang berdendam dengan kami, puak Goryuuin, dan puak-puak samurai lain yang berkhidmat kepada daimyo Hoshimiya. Lagipun kelibat mereka yang menculik Hisamine tidak langsung nampak seperti orang-orang Hamada, penampilan mereka lebih kepada orang Emishi. Mungkin, mereka menjual Hisamine kepada orang-orang Hamada selaku orang tengah, yang mana mungkin salah seorang dari mereka adalah Shizuo. Kemudian Shizuo mungkin telah menjualnya ke luar negara. Namun aku tidak kenal siapa Shizuo ini. Aku tidak pernah melihatnya. Barangkali aku harus ke Kawamoto secepat mungkin.
Kemudian Goryuuin bertemu Nariko.
“Nariko, sebentar.”
“Ada apa Tsushiko?”
“Engkau ada memberitahu Hisamiko sejarahku?”
“Benar, maafkan aku Tsushiko. Aku hanya ingin membantumu.”
“Tidak mengapa Nariko. Terima kasih. Hontou ni.” Goryuuin menundukkan kepalanya. Nariko terpinga-pinga, tidak faham. Kemudian Goryuuin bergegas beredar ke rumahnya.
**
“Ryouji, bagaimana dengan Hisamiko?”
“Dia sudah tidak sedarkan diri, racun itu telah meresap ke seluruh tubuhnya. Kotobuki-san baru menyuntik penawar aotsuyu lama bagi melambatkan kesannya.
“Ia aotsuyu sama yang disuntik pada Chisato.”
“Benar.”
Aku tidak faham, mengapa Hisamiko benar-benar degil? Ryouji menahan geram sambil mengepal penumbuknya.
“Ryouji, aku berterima kasih pada adikmu.”
“Apa yang Kotobuki telah bincangkan denganmu?” Ryouji bertanya seolah-olah tidak tahu.
“Barangkali Shizuo ialah orang yang menculik adikku, Hisamine.” Goryuuin menceritakan berkenaan loket yang dipakai Shizuo. “Hisamiko mengesan loket ini pada penyepit rambutnya sama seperti yang dipakai di kalunganku. Hanya ada dua sahaja loket begini.”
Maka Kotobuki sudah memberitahu Goryuuin, bisik Ryouji.
Ryouji mahu sahaja menyuarakan bahawa penemuan itu sahaja tidak mencukupi bagi membuktikan Shizuo pelakunya. Namun dia tidak jadi menyuarakannya melihatkan wajah Goryuuin. Mungkin dia lebih tahu loket adiknya.
Goryuuin menatap Hisamiko yang sedang terbaring di atas katil, di sebelah Chisato yang duduk namun tidak menyedari apa-apa di sekelilingnya.
Hisamiko mengingatkan dia kepada adiknya. Wajahnya, badannya yang kurus, dan kelopak matanya, warna kulitnya, serupa. Rambutnya juga. Terima kasih Hisamiko, terima kasih! Jika tidak kerana pedulimu sudah pasti aku tidak akan dapat petunjuk begini!
Bayangan Hisamine muncul di benak Goryuuin.
Bagaimana dengan engkau, Hisamine? Dia sudah berumur 20 tahun sekarang. Ketika dia diculik dia berumur 9 tahun, pada tahun 1862. Dia mungkin sudah tiada di sini, mungkin sedang dipaksa melayani lelaki hidung belang di seberang laut sana. Namun aku masih mengharap dia berada di sini. Firasatku kuat mengatakan dia masih di sini, di tanah Yamato ini.
Goryuuin keluar dari bilik rawatan itu, sambil menekup mata dengan lengannya.
**
Kisah Goryuuin Tsushiko
Goryuuin Tsushiko ialah salah seorang petarung kaminari yang bukan dari puak Okuhida dan Shirasaka yang mampu mencapai jurus kesembilan, tanpa pedang khas, sepertimana Kobato. Namun Kobato akhirnya tewas dengan rusuhan tenaga. Rahsia Goryuuin mengawal tenaga di jurus tersebut terletak pada latihannya yang kerap di jurus kelapan, dan juga kerana berguru.
Sejak keluar dari rumah Takasaki, dia mula berkhidmat kepada Kogen. Di sana dia sering berlatih dengan Ayame. Pada mulanya, dia berlatih jurus kedua. Dia mula mendapati Ayame serasi dengannya. Kemudian dia memberanikan diri mempelajari jurus kesembilan dari Ayame.
Halangan jurus kesembilan bagi puak selain Shirasaka dan Okuhida ialah rusuhan tenaga. Dengan keserasian Ayame, Goryuuin memanfaatkannya dengan mengalirkan tenaga berlebihan dari rusuhan tenaga kepada Ayame, melalui jurus kedua. Dengan kata lain, bagi mengelakkan jurus kesembilan mengancam nyawanya ketika latihan, dia akan turun ke jurus kedua dengan dibantu Ayame yang berupaya menyerap tenaga berlebihan darinya. Latihan demi latihan, kapasiti tubuhnya untuk menerima rusuhan tenaga meningkat. Dia melakukan latihan tersebut bertahun-tahun lamanya sehingga dia tidak lagi memerlukan Ayame untuk naik ke jurus kesembilan. Disebabkan inilah, berguru amat perlu untuk puak selain puak yang dua itu mencapai jurus tersebut. Tidak berguru, seperti Kobato, hanya akan membawa padah.
**
Aku Goryuuin Tsushiko.
Aku dipanggil Saaya sewaktu zaman kanak-kanakku oleh Sonzaemon, yang nama sebenarnya Hatakemaru. Sonzaemon mengubah namanya setelah meninggalkan Tsugaru agar tidak dapat ditemukan bapanya yang cuba menjejakinya.
Puak Goryuuin ialah puak samurai yang berkhidmat kepada daimyo Wilayah Tsugaru, sama seperti puak Yoshihisa. Kami punya musuh yang sama, iaitu saki-baki orang asli yang menempati kawasan utara ini digelar Emishi.
Sejak ibu dan bapaku meninggal dunia, aku dan adikku dijaga oleh keluarga daimyo Wilayah Tsugaru dari puak Hoshimiya. Daimyo pada ketika itu bernama Hoshimiya Tasuku. Aku akan berkhidmat sebagai samurai wanita kepada daimyo Hoshimiya apabila aku cukup umur nanti, menggantikan bapaku.
Hatakemaru yang turut tinggal di situ menjadi rakanku dan adikku Hisamine. Kami bersama-sama berlatih seni berpedang dan kemahiran lain sebagai persediaan menjadi samurai.
Pada tahun 1862, ketika aku berusia enam belas tahun, sewaktu aku membawa adikku berjalan-jalan di pekan, dia hilang tiba-tiba di celah-celah orang ramai. Aku melilau mencarinya. Aku ternampak kelibatnya sedang masuk ke dalam sebuah kereta kuda sedang seorang lelaki yang berpakaian seperti Emishi menurutinya di belakang, barangkali dipukau. Aku tahu Emishi amat mahir dalam sihir dan pukau, dan aku pernah mendengar mereka mencipta kaedah menyeru roh-roh alam, salah satunya roh hayabusa. Aku cuba mengejar mereka namun mereka memecut pantas. Aku pulang dengan hampa dan bersedih. Sejak itu aku kemurungan, dan kemudian memutus melarikan diri dari rumah daimyo Hoshimiya bagi menjejaki adikku. Aku sedar, Hisamine diculik kerana kecuaianku. Aku akan bertanggungjawab. Aku tidak mahu menyusahkan Hoshimiya.
Aku berkelana berseorangan dengan kudaku. Dalam kelanaku itu aku seringkali berhadapan dengan penyamun, namun aku tetap memberanikan diri bertarung demi mencari Hisamine. Dalam satu kejadian di mana aku diserang penyamun dan ditewaskan, dan hampir dibunuh, Takasaki bertemuku dan membantu aku menumpaskan mereka. Dia menjemput aku menyertai rumah perlindungannya di Hidagawa, dengan harapan mungkin aku akan bertemu adikku kerana pertubuhannya menghimpunkan anak-anak yatim dan bekas karayuki. Pada hematnya, Hisamine mungkin sudah dijual sebagai karayuki. Dengan menyertai misi-misi pertubuhannya, aku mungkin akan berjaya menemui adikku. Melakukannya berseorangan, katanya amat berbahaya.
Pada mulanya aku menolak. Namun Takasaki memberitahuku yang pertubuhannya yang bernama Kogen itu akan membuka siasatan ke atas penculikan adikku. Dia menasihatiku agar tidak melakukannya sendiri kerana keadaan di luar sekarang amat berbahaya, lagi pula aku seorang perempuan dan masih belum cekap bertarung pada pandangannya. Dia yakin, penculikan itu ada kaitan dengan Hamada.
Aku menurut, dan tinggal di sana selama dua tahun. Dalam tempoh itu, aku mengambil kesempatan menelaah rekod-rekod penyiasatan pertubuhan Takasaki di perpustakaannya. Namun aku tidak boleh bersabar. Setiap kali aku makan, tidur, dan berlatih berpedang, aku tidak dapat menahan sebak. Aku mahu keluar, secepat mungkin. Hisamine di mana engkau? Lenakah tidurmu? Kenyangkah makanmu? Aku rasa bersalah kerana berlindung di sini sedang engkau menderita di luar sana.
Aku tidak dapat mengawal perasaanku lantas keluar dari rumah itu pada suatu malam, 1863. Aku berkuda berseorangan sehingga ke Osaka. Dari penelaahan rekod-rekod di perpustakaan Takasaki, kebanyakan karayuki akan dihantar ke sana untuk dijual di luar negara. Juga dari sumber yang sama, Emishi selalunya akan menculik dan menjual kepada pembeli dari kalangan bangsaku sendiri. Emishi tidak melacurkan mangsa mereka. Hanya bangsaku yang sanggup melakukannya.
Pada hari itu, aku terlihat sekumpulan gadis dibawa masuk ke dalam sebuah kapal besar. Mereka tidak langsung melawan dan nampak begitu patuh sekali. Apakah mereka dipukau? Atau disuntik racun biru yang pernah aku baca tentangnya itu?
Aku mencari-cari di mana Hisamine. Aku menegur salah seorang dari mereka, dia menoleh. Bukan. Aku mencuba menegur yang lainnya. Juga bukan. Sewaktu aku berkeliaran tercari-cari di situ, seorang lelaki yang memerhati kawasan itu datang kepadaku.
“Ojou-san, apa kau buat di sini? Nyah sekarang!”
“Ojii-san tolong aku carikan adikku. Dia tinggi begini, berkulit cerah, rambutnya hitam dan dia memakai rantai berloket seperti ini.” Goryuuin menunjukkan rantai berloket yang dipakainya.
“Aku tidak tahu. Aku hanya menurut perintah ketuaku. Beredar sekarang atau kami akan menahanmu!”
“Dari mana mereka ini semua? Apakah dari Tsugaru?”
“Tidak seorangpun yang datang dari utara. Ojou-san, beredar sekarang. Jangan paksa aku ulangi arahanku. Sekarang!”
Tsushiko beredar dengan hampa.
Jika tidak di sini, barangkali dia dijual di rumah-rumah karayuki di sini, di tanah Yamato ini. Di mana aku harus mencarinya?
Aku berkelana di tengah-tengah sebuah pekan berseorangan sambil menarik kudaku, cuba melihat-lihat kalau-kalau aku terserempak dengan Hisamine tanpa diduga. Sekian lama berjalan, aku telah menegur ramai anak gadis namun masih gagal menemui Hisamine. Bodohnya aku. Mengapa aku menunggu sehingga setahun baru mencarinya kembali? Mengapa tidak pada hari yang sama sewaktu dia hilang?
Selama dua tahun tinggal di rumah perlindungan Takasaki, aku sering meminta kebenaran keluar dan dia tidak pernah menghalang. Aku tidak tahu kenapa, barangkali dia sudah berpakat dengan para pengintipnya memastikan keselamatanku terjamin. Setiap kali aku keluar, aku pulang dengan tangan kosong. Aku telah berkuda berseorangan ke hampir seluruh pelusuk Honshu, ke semua rumah-rumah karayuki. Aku hampir berputus asa. Namun aku tidak akan sekali-kali. Selagi aku hidup, aku akan terus mencarimu. Aku tahu engkau masih di sini, Hisamine.
Dua tahun kemudian pada tahun 1864, aku meninggalkan rumah Takasaki dan mula menyertai Kogen. Dan baru-baru ini, petunjuk yang membawa aku kepada adikku semakin jelas. Aku tidak mahu berlengah lagi. Aku perlu meninggalkan Kogen dan mencarinya sendiri, mungkin aku perlu mencuba mencarinya di luar negara. Menunggu lebih lama hanya akan memberi ruang untuk dia hilang lebih jauh dariku.