Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 91

Kisah Sonzaemon.

 

Dahulu, di Aomori, puak Yoshihisa merupakan salah satu puak samurai yang berkhidmat kepada daimyo Wilayah Tsugaru dari puak Hoshimiya. Pada tahun 1862, Yoshihisa Manabe mengetuai puak tersebut.

 

Puak Hoshimiya telah menguasai wilayah itu sejak purbakala, sejak cabang Minowara yang berdarah gahara itu meninggalkan Kyoto, membawa haluan sendiri ke timur laut Honshu. Di sana, mereka berperang dengan penduduk asli Emishi, yang akhirnya terpaksa merentas lautan melarikan diri ke Ezo. Minowara menukar namanya kepada Hoshimiya dan mula menetap di situ dan membiakkan puaknya. Dari Hoshimiya, muncul puak-puak baru seperti Yoshihisa, Goryuuin dan Ninomiya. Ketiga-tiga puak ini memiliki pecahan kawasan pemerintahan masing-masing di dalam Wilayah Tsugaru dan pada masa yang sama berkhidmat sebagai samurai kepada Hoshimiya.

 

Begitulah serba sedikit latar keluargaku. Aku dibesarkan dalam keadaan serba cukup dan merupakan anak tunggal kepada Yoshihisa Manabe. Dia mengharapkan aku memimpin puaknya namun aku tidak berminat. Aku hanya menurut apabila dia memaksaku berlatih seni berpedang dan adat istiadat samurai, dan juga taktik peperangan dengan Emishi termasuk kemahiran menarik hayabusa. Sehingga usiaku menjengah remaja aku mula mencintai Goryuuin Saaya, yang sekarang menggunakan nama Tsushiko. Saaya kukenali sejak dia berpindah di rumah Hoshimiya.

 

Mengapa aku dan bapa tinggal di rumah Hoshimiya? Tidak, kami tidak tinggal di rumah Hoshimiya. Sebenarnya rumah kami berdekatan rumah Hoshimiya, sedang ahli puak kami yang lain berada di pecahan kawasan puak kami. Hoshimiya mengarahkan keluarga yang mengetuai ketiga-tiga puak di bawahnya tinggal berdekatan bagi memastikan kami tidak melakukan sebarang pakatan rahsia di belakangnya. Tindakan Hoshimiya itu persis shogun Tetsugawa di Edo yang mengarahkan daimyo-daimyo tinggal di Edo bagi memastikan tiada pakatan di belakang dilakukan bagi menjatuhkannya, demi keamanan dan kestabilan kuasa politiknya. Wilayah Tsugaru amatlah besar dan meliputi keseluruhan utara Honshu sehingga ke pergunungan Yokuma di barat dayanya. Oleh itu, kawasan-kawasannya mestilah dipecahkan bagi memastikan kuasa Hoshimiya dapat direalisasikan dengan berkesan.

 

Aku kerap datang ke rumah Hoshimiya kerana mahu berjumpa Saaya. Saaya gemar duduk di taman momiji di hadapan rumah Hoshimiya bersama adiknya Hisamine. Ibu mereka sudah lama meninggal dunia dan ketika itu bapanya Goryuuin Hokuto masih hidup. Selepas Hokuto-san meninggal dunia dalam sebuah pertempuran menentang saki-baki orang asli Emishi yang memberontak, Saaya dan adiknya terus menetap di rumah Hoshimiya.

 

Saaya muda tiga tahu dariku. Sejak aku mula mencintai Saaya, aku tidak lagi menaruh minat terhadap suguhan otou-san. Aku hanya mahu membawa Saaya lari dari sini, dan hidup sebagai petani. Hidup yang mudah dan tidak perlu menyabung nyawa seperti Hokuto. Sehinggalah pada suatu hari, mereka berdua menghilangkan diri entah di mana. Aku hilang arah. Tiada sepatahpun kata terakhir yang ditinggalkan Saaya. Ke mana mereka menghilang?

 

Berhari-hari aku menangis. Bapa dan ibuku memujuk. Namun akhirnya aku berfikir menangis berpanjangan tiada gunanya. Aku harus melarikan diri dan mencari mereka. Saat itu aku sudah tidak mampu berfikir apa-apa. Aku nekad. Pada malam itu aku melarikan diri dari Tsugaru dengan menunggang kuda, meredah hutan belantara dan pergunungan ke bahagian selatan, sehingga aku tiba di Yozehama di sebuah perkampungan nelayan mengadap Laut Jepun.

 

Mungkinkah dia di sini? Aku lihat sebuah pasar didirikan di pantai itu. Perutku berbunyi, sudah seharian aku tidak makan apa-apa. Aku mengambil ikan bakar yang sedang terhidang di atas meja dan melahapnya tanpa membayar. Penjual itu menengkingku, aku pantas melarikan diri, kemudian menunggang kudaku. Pertama kali aku mencuri seumur hidupku. Rakan-rakan penjual itu cuba mengejarku namun tanpa kuda, mereka gagal.

 

Aku tidak tahu ke mana harus kubawa diri. Aku bersembunyi di dalam hutan. Aku tidak tahu bagaimana menangkap ikan mahupun haiwan hutan, maka aku bergantung hidup dengan buah-buahan liar. Mujur sahaja Saaya pernah mengajarku mana yang beracun dan mana yang tidak. Aku sedari laluan ini merupakan laluan Nakasendo. Sudah jauh rupanya aku meninggalkan Tsugaru. Dari Tsugaru, aku turun menuju Yozehama di barat daya dan sekarang turun ke selatan sehingga bertemu Nakasendo. Apakah aku boleh sampai ke Kyoto, kota Maharaja itu dengan melalui sini?

 

Aku masih bertahan berhari-hari lamanya dengan buahan hutan dan meminum air sungai. Aku cuba menelusuri sungai itu mengikut para pedagang yang melalui Nakasendo, sehingga aku tiba di sebuah pekan yang agak sibuk, dengan sebahagian orang-orang yang rupanya aku tidak pernah lihat, yang berbadan besar, hidung panjang dan rambut perang. Di pinggang mereka tersisip sejenis alat yang memiliki muncung. Aku terus berjalan di pekan, melihat seorang samurai sedang bertutur dengan orang berupa aneh itu, dalam bahasa yang aneh.

 

Selepas orang-orang berupa aneh itu beredar, aku mendekati samurai itu.

 

Samurai desuka? (samuraikah engkau?)”

 

Lelaki itu memandangku aneh, dari atas ke bawah, agak lama, kemudian tersenyum. Dia bertanyakanku “Onaka suitandesuka? Jya, isshouni tabemashou. Atode, boku ni zenbuu hanashitekudasai. (Engkau lapar bukan? Mari, kita makan dahulu. Kemudian ceritakan kisahmu semuanya kepadaku.)”

 

Tajam pemerhatiannya. Aku sememangnya lapar dan muka pucatku dapat dibacanya mudah.

 

Koko nani wo shitterundesuka? (Apa yang kau buat di sini?)”

 

“Aku mencari teman wanitaku.”

 

“Ah, sou desuka. Kanojo desuka.”

 

Gomen, wasurecchaimashita (maaf aku terlupa). Namaku Miura. Okuhida Miura.”

 

Okuhida Miura. Aku tidak pernah mendengar nama keluarga Okuhida sebelum ini. Padaku ia berbunyi unik seperti sebuah nama tempat. Aku turut memperkenalkan nama baruku, Sonzaemon. Ia terbit tiba-tiba di benakku. Aku tidak boleh membongkarkan nama sebenarku. Orang-orang otou-san sedang menjejakiku sekarang.

 

“Aku sedang mencari rakan kongsi. Engkau juga samurai bukan?” Miura bertanyaku. Barangkali dia melihat pakaian dan pedangku.

 

“Bekas samurai. Aku dari utara, Tsugaru.” Sememangnya aku melarikan diri demi mengejar Saaya, namun aku mahu terus lari dan bina kehidupan dengannya. Aku juga melepaskan semua kesamuraian di Tsugaru. Aku nekad, aku sememangnya tidak berminat menjadi samurai.

 

“Itu sudah cukup baik, Sonzaemon. Aku sebenarnya sedang mencari orang untuk mengusahakan sawah kami. Engkau mahu sertai?”

 

“Aku tidak tahu bersawah, Okuhida-san.”

 

“Belum cuba belum tahu, Sonzaemon. Engkau akan belajar. Ia tidak sesukar mana. Hanya perlukah kegigihan dan tenaga. Aku yakin tenaga mudamu amat berguna.”

 

Aku bersetuju menyertai Miura. Aku diberikan sebuah rumah dan sepetak bendang. Mengapa aku memilih untuk menyertainya? Aku mahu membina kehidupan di sini. Kemudian mencari Saaya dan berkahwin dengannya dan hidup bahagia sehingga ke akhir hayat. Hanya itu.

 

Namun tahun demi tahun, aku tidak berjaya menemuinya. Aku merayau saban hari seperti orang sasau di pekan Furukawa, dan semakin hari aku semakin tertekan, sehingga badanku berubah gemuk. Aku mahu melupakannya, lalu cuba menumpu kehidupan ke arah lain. Aku mahu menjadi kaya dan merampas segala apa yang telah dikecapi Miura. Aku tahu, tanpa Miura, aku mungkin sudah kebuluran di Furukawa, atau menjadi pengemis. Namun Miura terlalu baik orangnya. Dia paling mudah diperalatkan. Dengan merancang pembunuhannya, aku akan dapat menguasai sawahnya yang berkualiti itu dan menjadi kaya. Aku fikir, hanya dengan menjadi kaya dan lebih kaya, aku dapat melupakan Saaya.

 

Pekan Furukawa ialah tempat di mana aku sering bergaul dengan masyarakat. Di sini, pelbagai ragam manusia dapat dilihat, kerana pekan ini penghubung utama Osaka dengan pedalaman gunung di tengah Honshu. Aku terdedah dengan teknologi dari luar terutama senjata api. Bahkan aku belajar bahasa Belanda dan Inggeris serta mampu bertutur dengan orang-orang Belanda. Aku juga bergaul dengan pembuat senjata seperti fukiya dan pakar ubat dan racun Noguchi yang sekali sekala akan singgah di kedainya. Dia kerap berada di hutan dan hanya sekali sekala singgah di kedainya di pekan itu, di mana ia dibiarkan dijaga oleh seorang lelaki yang bernama Tsukemaru. Duniaku lebih luas dari Tsugaru yang amat terpencil itu, dan aku merasakan alangkah baiknya jika aku lahir di sebelah Honshu yang sini. Tiada peperangan dengan Emishi, tiada risiko nyawaku terbuang sia-sia dengan peperangan sia-sia.

 

Perancanganku mengambilalih tanah Miura gagal, apabila Maharaja melakukan pembaharuan. Sejak itu, aku mula merompak di pekan Furukawa dan sekitarnya. Aku kecewa. Aku masih tidak dapat menemui Saaya, dan perancanganku gagal. Apakah aku dilahirkan untuk gagal? Aku melarikan diri ke utara di Yozehama dan mengemis di sana selepas peristiwa anak Miura hampir membunuhku. Aku tahu itu karma kerana mengkhianati Miura. Aku tahu, hanya dengan kuasa, aku akan memperolehi segala apa yang aku mahu, sama ada kekayaan, atau Saaya. Aku tahu, aku tidak sepatutnya meninggalkan Tsugaru. Namun apakah mungkin ada caranya untuk aku kembali berkuasa?

 

Seperti orang mengantuk disorong bantal, Hamada datang mencariku di Yozehama. Aku tidak berlengah, dan menerima pelawaannya, meski aku tahu, aku akan kembali kepada kehidupan ala samurai yang mempertaruhkan nyawa. Namun aku fikir aku harus berubah dan mengambil risiko. Lagipun hingga ke saat ini, bukankah aku telah mengambil risiko untuk meneruskan kehidupan? Untuk apa aku perlu berundur?

 

Kini aku bukan sahaja lebih kaya dari dahulu, malah dikurniakan kekuatan bertarung sepantas jurus kesembilan kaminari-no-kaze, sesuatu yang tidak pernah aku terfikirkan akan dapat dicapai sewaktu aku masih samurai di Tsugaru. Tubuhku sudah tegap seperti zaman remajaku. Aku punya kuasa, kekuatan dan kedudukan. Namun kekosongan hidupku masih, masih kekal menggusarkan fikiranku. Tanpa engkau Saaya, hatiku masih berlohong meski seluruh dunia ini diberikan kepadaku.

 

Sehinggalah aku bertemumu kembali di Saikawa. Saaya, terlalu banyak perkara yang aku ingin tanyakan. Sihatkah engkau? Apa yang telah engkau lalui selama ini? Mengapa engkau pergi tanpa memberitahuku? Di manakah adikmu Hisamine? Namun aku tidak mampu. Hamada di belakang memaksa aku menangkap dan melacurkanmu. Aku boleh melakukannya terhadap gadis-gadis lain, namun tidak engkau. Disebabkan itu aku hanya menepis seranganmu. Dan engkau pun melakukan seranganmu secara olok-olok.

 

Atau mungkin, aku perlu menamatkan riwayat Hamada. Aku tahu dia menggunakan sihirnya agar hanya orang-orang tertentu yang dapat melihatnya termasuk aku. Mungkin aku perlu memanfaatkan peluang ini.

 

Saaya, tunggu aku. Aku akan pastikan kita bertemu lagi dalam masa terdekat!

 

**

 

Kisah Hamada

 

Pada tahun 1821, Yoshitsugu Hoshi, daimyo ke-19 Shinagawa meninggal dunia. Dia digantikan oleh anak tunggalnya Hamada.

 

Pada tahun 1840, berlaku satu wabak berjangkit yang besar di sebuah pekan di utara Shinagawa, bernama Aoki, yang terletak amat hampir dengan sempadan Yozehama (sekarang Kodama). Pekan Aoki dihuni oleh kira-kira 1,200 orang penduduk, maka ia boleh dikatakan sebuah pekan yang besar pada zaman itu. Wabak ini telah membunuh enam persepuluh dari mereka yang dijangkiti ketika dilaporkan kepada Hamada. Oleh kerana ia mudah berjangkit melalui bersin dan sentuhan, maka kadar kematian meningkat dengan mendadak dalam masa seminggu selepas kes pertama direkodkan.

 

Kedahsyatan wabak baru ini dikhabarkan kepada Hamada.

 

“Hamada-sama, aku cadangkan kita kepung pekan itu dan bakar semua penduduknya dengan panah berapi.” Tsugiyama menyuarakan pandangannya. Takasaki turut berada di situ, bersetuju dengan cadangan Tsugiyama. Tsugiyama nampak teruja, dia sememangnya berminat melakukan kebakaran dan seronok melihat mangsanya dibakar hidup-hidup.

 

“Hamada, kita harus lakukan segera, jika tidak seluruh Jepun akan dijangkiti.” Takasaki menambah kepada kata-kata Tsugiyama.

 

Hamada masih diam berfikir. Dia ragu-ragu. Sepanjang pemerintahannya, ini kali pertama dia perlu membuat keputusan besar yang melibatkan nyawa penduduk wilayahnya. Kemudian dia memberi isyarat agar Takasaki dan Tsugiyama beredar.

 

“Momota, panggil Noguchi ke mari.” Hamada mengarahkan pembantunya Momota.

 

Noguchi Takamine, pada waktu ini merupakan tabib yang berkhidmat kepada keluarga Yoshitsugu, datang mengadap Hamada.

 

“Noguchi, apa pandangan kamu?”

 

“Setakat ini tiada penawar yang dapat aku hasilkan. Penyakit ini berjangkit melalui cecair badan seperti yang dilepaskan oleh bersin dan batuk. Bahkan ia boleh berjangkit melalui sentuhan.”

 

“Pernahkah ia menimpa Jepun?”

 

“Setahu aku tidak pernah. Kumpulanku menelaah karya-karya lepas sejak mula dinasti Yamato bertapak di sini, tidak pernah berlaku wabak sebegini membunuh dan mudah disebarkan.”

 

Tidak pernah. Bererti tidak ada penyelesaian dari kitab-kitab para penyelidik lepas untuk dirujuk. Aku harus memutus sendiri. Nyawa bangsa Yamato ini di tanganku.

 

“Setakat ini sudah berapa ramai yang menjadi korban?”

 

“Dari pasukan perubatanku, seratus orang. Penduduk pekan itu pula, sudah 500 orang. Dua ratus orang lagi terlantar di rumah masing-masing, sementara 200 orang lagi terlantar di katil rumah-rumah rawatan kita. Rumah rawatan kita masih tidak cukup untuk menampung mereka, Hamada-sama. Pasukan perubatanku juga hanya tinggal dua puluh orang, selebihnya melarikan diri kerana takut dijangkiti.”

 

Hamada cuba mendapatkan maklumat berkenaan logistik pekan Aoki. Dari pengintipnya dalam kalangan pedagang, dia diyakinkan bahawa Aoki ialah sebahagian dari laluan utama pedagang dari utara menuju ke Nakasendo. Ini bererti bila-bila masa sahaja jika pekan itu tidak dikepung, penyakit ini akan tersebar dan melarat sehingga ke ibukota di Edo, tempat shogun memerintah itu. Dan natijahnya, berjuta orang mungkin akan dijangkiti dan mati.

 

Aku harus memutus, tepat dan sepantas mungkin.

 

Beberapa hari berlalu, Hamada masih tidak mampu berkeputusan. Kadar jangkitan semakin meningkat. Noguchi menggesa Hamada memutus secepat mungkin.

 

“Hamada-sama, enam persepuluh populasi pekan itu sudah menerima ajal. Aku harap engkau memutus secepat mungkin. Ia mudah berjangkit, dan jika ia sampai di Edo yang padat dan sesak ini, aku bimbang kita tidak akan dapat mengawalnya dan shogun akan menyalahkan kita.” Begitulah bunyinya peringatan Noguchi kepada Hamada.

 

“Hamada-sama! Hari ini lima puluh orang mati. Apa keputusanmu?”

 

Tidak lama kemudian, penyakit itu merebak di onsen berhampiran dengan pekan Aoki, dibawa oleh pedagang yang singgah ke pekan itu.

 

“Hamada-sama! Onsen Kawashibara juga dijangkiti. Apa keputusanmu?”

 

Hari demi hari, kes-kes jangkitan semakin bertambah, kematian semakin meningkat. Lebih banyak kawasan sekitar mula mencatatkan kes baru. Hamada mula tertekan, dan mengarahkan Takasaki dan Tsugiyama membunuh mereka yang baru dijangkiti.

 

Sebahagian besar pembunuhan euthanasia itu dilakukan tanpa tentangan dari ahli keluarga mereka. Ia dilakukan melalui suntikan racun. Namun tidak semua bersetuju. Oleh itu, Takasaki dan Tsugiyama terpaksa mengeluarkan pedang mereka demi menutup mulut mereka dan memudahkan urusan Noguchi yang bertanggungjawab memastikan rancangan euthanasia itu dijayakan.

 

“Hamada-sama! Tujuh persepuluh penduduk Aoki sudah mati. Selebihnya sedang menderita. Itu belum mengambilkira jangkitan di kampung dan onsen sekelilingnya. Apa keputusanmu sekarang? Perlukah kita melakukan euthanasia lagi?”

 

Hamada semakin hari semakin tidak dapat mengawal dirinya, ditekan dengan tuntutan orang bawahan agar dia membuat keputusan segera, lantas terpaksa mengeluarkan arahan membakar keseluruhan pekan itu dan menghalang pedagang dari melaluinya. Dia juga mengarahkan onsen Kawashibara dan semua kampung-kampung di sekitar yang hanya mencatatkan kurang seratus kes, dihapuskan kesemuanya. Jika ada mereka yang melarikan diri, panah beracun akan ditembak bagi membunuh mereka. Pembunuhan besar-besaran ini dilakukan dalam masa seminggu. Kemudian keseluruhan kawasan itu dihalang dari dimasuki oleh sesiapapun, dan semua mayat yang berbaki akan dibakar bersama-sama semua rumah dan premis yang didirikan.

 

Tiada sesiapapun yang tahu semua itu dilakukan Hamada dan orang-orangnya termasuk Tsugiyama dan Takasaki, kecuali dalam kalangan mereka yang melapor terus kepada Hamada seperti Noguchi dan samurai-samurai rapatnya. Dalam sangkaan penduduk Aoki yang masih hidup, mereka telah diserang perompak yang berpangkalan di hutan-hutan sekitarnya. Sangkaan mereka yang menyimpang jauh dari kebenaran itu diperkukuhkan lagi dengan propaganda Hamada yang disebarkan ke seluruh pelusuk Aoki menyatakan mereka telah diserang perompak. Semua bukti serangan mereka dihapuskan. Hamada juga berdusta kepada shogun di Tokyo dan Maharaja menggunakan alasan sama; sebuah tragedi kebakaran yang tidak diketahui apa puncanya.

 

Hamada tiba di pekan Aoki untuk melihat keadaan selepas beberapa hari pembakaran besar-besaran itu diselesaikan.

 

Dia ternampak seorang remaja lelaki yang separuh tubuhnya melecur, berjalan terjengket-jengket sambil menjerit ‘otou-san...otou san... (bapa...bapa...)’ kemudian rebah tidak sedarkan diri.

 

Sejak itu, Hamada kemurungan dan berkurung lamanya di dalam rumah. Noguchi membawa dia kepada seorang tabib Belanda untuk dirawat. Pemerintahan Shinagawa dipegang sementara oleh Shogun Tetsugawa selama dua tahun sehinggalah Hamada kembali pulih dari kemurungannya.

 

Sebaik sembuh dari sakitnya, Hamada yang ‘baru’ lahir. Samurai-samurainya berasa aneh dengan perwatakan baru Hamada. Dia tidak lagi teragak-agak membunuh, bahkan ketagihan. Namun bagi Tsugiyama, itu satu berita baik, kerana dia sememangnya psikotik.

 

Selepas kembali menjawat jawatan daimyo Shinagawa, Hamada juga memindahkan Miura dari Nakasendo ke Kawamoto untuk berkhidmat terus kepadanya.

 

 

**

 

Berbalik kepada tahun 1873, tidak lama selepas misi Hisamiko dan rakan-rakannya di Saikawa.

 

Hisamiko sedang terlantar di Kogen selepas disuntik aotsuyu oleh orang-orang Shizuo.

 

Di hutan selatan Hidagawa, tidak jauh dari persembunyian Noguchi Takamine.

 

Nee-chan ke manakah kita?”

 

Dua beradik itu, Nezuko dan Seto sedang duduk di bahagian belakang sebuah kereta kuda

 

“Aku mahu melihat dunia di luar. Aku bosan di sana.” Bosan, dan kecewa.

 

Otou-san pernah berpesan kita tidak boleh menumpang sebarang kereta kuda.”

 

“Seto, otou-san tiada di sini. Kita bebas. Kita bebas! Sudah lama aku ingin melihat dunia luar. Bukan terperuk di dalam hutan menurut arahan otou-san sahaja.”

 

“Tapi, nee-chan, bagaimana jika kita ditangkap oleh penyamun?”

 

“Kita tidak akan ditangkap! Aku akan mencari pekerjaan baru setiba kita di Osaka nanti. Kita akan dapat membeli rumah dan tanah padi kita sendiri. Kita akan dapat berdikari. Kita tidak perlukan otou-san lagi!”

 

Nee-chan aku mahukan tanegashima kayu! Aku mahu menembak tupai.” Seto membuat bunyi tembakan.

 

“Aku akan belikan apa sahaja untukmu Seto. Kita perlu sampai dengan selamat dahulu. Aku kenal ibu saudara kita di Osaka. Aku akan menjejakinya setiba kita di sana.” Nezuko menggosok-gosok rambut adik lelakinya itu.

 

Otou-san, maafkan aku. Engkau bapa yang baik. Namun aku tidak berpuas hati dengan kehidupan begitu, kehidupan berpura-pura daif demi melarikan diri dari musuh-musuhmu dan para samurai yang dengki dengan kekayaanmu. Dan aku juga kecewa, kerana aku mendapat tahu engkau membekalkan racun itu kepada Hagiura demi menundukkan gadis-gadis, dan tanganku dan Seto ini telah membantumu!

 

Nezuko memandang kedua-dua belah tangannya seraya menekup muka. Seto kehairanan seraya bertanya, “Nee-chan engkau menangiskah?”

 

Nezuko tidak mengiyakan, tangannya masih di muka, tubuhnya bergoncang, bunyi esakannya dapat didengari di sebalik bunyi derapan kaki kuda dan geseran roda kereta kayu itu dengan laluan kerikil. Hari itu masih pagi. Mereka sedang bersandar pada dinding kereta kayu itu dengan kaki separa terangkat dari lantai.

 

 **

 

“Takuya, kita sudah di sini dua hari. Di mana karayuki yang engkau tempah itu?” Genichi menegur pengikutnya. Genichi seorang pemuda berumur tiga puluhan dan tembam, perutnya membusung. “Aku tidak sabar meratah gadis Nambashi yang cantik-cantik itu.” Wajahnya khayal, sambil mulutnya menyedut asap candu dari sebatang paip.

 

Takuya yang kurus kering tetapi tinggi itu takut-takut. Mulutnya seperti mahu mengatakan sesuatu namun ditahan.

 

“Mengapa Takuya?” Renung Genichi. “Engkau sudah dapat apa-apa berita? Beritahuku sekarang!” Genichi tiba-tiba membentak menakutkan Takuya.

 

Takuya tergagap gagap, “Gen-Genichi, orang-orang Hamada gagal menculik gadis di Nambashi. Kogen menyerbu mereka.”

 

“Apa??!! Engkau mahu disulakah?!” Bentak Genichi sambil menghentak pedangnya.

 

“Ti-tidak tuan!” Takuya melutut dan tunduk. “Jangan bunuh aku!”

 

“Genichi!” kedengaran suara menyebut namanya di muka pintu pondok yang menempatkan mereka.

 

“Aku melihat sesuatu di luar.” Enishi, seorang lagi pengikutnya bersuara.

 

Genichi keluar dari pondok. Dari jauh kelihatan sebuah kereta kuda dengan seekor kuda ditunggang seorang pemedang di sebelahnya, pastinya pengawal.

 

“Pucuk dicita ulam mendatang.” Genichi mengeluarkan pedangnya. “Aku sedang lapar sekarang.”

 

Enishi dan Takuya turut sama.

 

Genichi bertarung dengan pengawal itu dan sekelip mata sahaja pengawal itu ditumpaskan dan dibunuh. Sementara Enishi dan Takuya pula bertarung dengan pengendera kereta kuda. Tidak disangka, pengendera itu mahir bertarung juga. Takuya dan Enishi dicederakan dengan teruk. Meskipun begitu, pengendera itu mudah dikalahkan oleh Genichi, dan dibunuhnya tanpa perikemanusiaan.

 

Mereka memeriksa kereta kayu itu. Terdapat pelbagai barangan makanan laut kering. Di sebelahnya, Nezuko dan Seto menggigil ketakutan.

 

“Selain makanan, ada ‘sajian’ lain nampaknya.” Genichi menggumam memandang tepat Nezuko.

 

“Kalian, mari. Aku mahu mengajar perkara menyeronokkan.”

 

Yamerou!!! (Hentikan!!!)” Raungan Nezuko bergema di sekitar kawasan itu, sebuah kawasan berpaya di pinggir kota Osaka.

Previous: Bab 90
Next: Bab 92

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov