Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 52

Awal pagi itu, mereka sudah bersedia.

 

Penunggang kuda masing-masing sudah bersedia dengan para pembonceng. Tawanan mereka diikat kemas agar tidak mudah melarikan diri.

 

“Kalian, jaga diri.” Ryouji berkata sambil melambai tangan.

 

“Jaga dirimu, Ryouji!” Mereka melaung hampir serentak.

 

Onii-san, jaga dirimu. Kita jumpa di Shirasaka.” Hisamiko memeluk Ryouji. Dia kemudian memanjat pelana dan membawa naik Chinami, adik bongsu Chisato. Hisamiko adalah penunggang kuda termuda dalam kalangan mereka. Dia mempelajarinya dengan mengamati Ryouji ketika berlatih. Kemudian dia mencubanya tanpa kebenaran Takasaki dahulu. Melihatkan dia mampu mengawal kudanya, Takasaki akhirnya membenarkan dia menunggang kuda.

 

Aku doakan mereka selamat sampai.

 

Ryouji meninggalkan gerbang buluh itu dan ke rumah. Mariko masih enggan dan berkurung di dalam biliknya.

 

**

 

“Mariko-san, Mariko-san!” Ryouji mengetuk pintu bilik Mariko.

 

“Maafkan aku biadap denganmu semalam. Kami harus bergegas. Orang-orang Tsugiyama sedang menuju ke sini.”


Tiada jawapan.

 

“Mariko-san, aku akan memaksamu keluar. Kami juga tidak mahu kehilanganmu. Maafkan kebiadapanku.”

 

Ryouji menendang pintu gelangsar bilik Mariko.

 

Mariko sudah bersiap dengan pedangnya, terhunus.

 

“Mariko-san... apa yang engkau mahu lakukan?”

 

“Bertarung denganku, Ryouji. Jika engkau menang, bunuh aku. Aku tidak akan meninggalkan rumah ini. Roh Takasaki masih di sini. Aku mahu kehidupanku di sini. Aku juga mahu kalian kekal di sini!” Mariko berkata dengan tangannya terketar-ketar, masih berbolak-balik sama ada mahu bertarung atau tidak dengan Ryouji.

 

“Lupakan cita-citamu Mariko-san. Kita sudah kesuntukan masa.”

 

Sebaik Ryouji menghabiskan kata-katanya, panah berapi menembusi dinding bilik itu, dan hampir mengenai Mariko sebelum Ryouji menolaknya ke tepi. Api mula merebak.

 

Bangsat! Mereka sudah sampai.

 

“Mariko-san, sertai kami. Atau engkau akan mati."

 

“Tidak! Aku akan bertarung dengan mereka. Aku akan pertahankan rumah ini. Ryouji, hormati keputusanku.”

 

“Jika itu yang engkau inginkan, aku tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Mariko-san, aku amat berharap, engkau tidak menyesal dengan keputusanmu.”

 

“Aku tidak menyesal, Ryouji.”

 

Jya, sayonara.” Sebaik menghabiskan kata-kata, Ryouji bergegas meninggalkan rumah itu. Rumah itu mula dijilat api yang semakin marak sedang Mariko masih berkeras mahu kekal di situ. Ia terus-menerus dihujani anak panah berapi.

 

Ryouji terus ke bilik bersebelahan bengkel relau. Dia tahu Tsugiyama pasti akan ke situ mencari rakannya. Mujur tawanannya telah dihantar ke Kogen. Dia melihat Goro sedang terbang berlegar-legar di atas bilik tawanan itu, mengisyaratkan kepada Tsugiyama di persembunyiannya lokasi bau tawanan itu masih di situ. Ryouji bersembunyi menunggu dia keluar.

 

Goro kemudian bertenggek di bumbung bilik itu, sambil menggeleng-geleng kepalanya. Ryouji menunggu lama namun Tsugiyama masih belum keluar.

 

Apakah Tsugiyama sudah tahu tawanan mereka sudah dipindahkan? Ryouji melihat panah-panah berapi yang dilancarkan sedari tadi sudah berhenti. Api di bangunan utama rumah itu semakin marak. Apakah Mariko masih belum mengubah fikirannya?

 

Aku yakin, mereka sekarang bersedia untuk mengejar tawanan kami atau rakan mereka itu. Aku harus menghalang mereka.

 

Di persembunyian di celah-celah belukar, Tsugiyama mendengus melihatkan gelengan Goro. Dia faham itu tandanya Tsugaru dan Tetsugi telah dilarikan ke tempat lain. Bangsat engkau Ryouji! Hanya jika aku datang awal sedikit ke sini.

 

Tsugiyama datang kembali bagi menyelamatkan Tetsugi dan Tsugaru dan menculik Chisato jika dia masih di situ.

 

“Tsugiyama, jika engkau berjaya menculik Chisato, engkau tidak perlu membayar sewa menggunakan Goro.” Tsugiyama terkejut mendengar kata-kata Hagiura tempoh hari. Tsugiyama tanpa banyak soal mengucapkan terima kasih.

 

“Tatsuya, hentikan panahan. Aku yakin rumah itu sudah hampir seratus peratus musnah. Rancangan kita yang pertama berjaya. Sekarang kita akan mengejar Tetsugi dan Tsugaru. Aku akan bergerak dahulu, dan sekiranya aku diapa-apakan, gunakan panahmu. Namun jangan sekali-kali engkau panah musuhku jika aku sedang bertarung dengannya.” Tsugiyama mengingatkan Tatsuya. Dia amat pantang sekiranya pertarungannya dibantu. Maruahnya cukup tinggi , hasil dari bertahun dididik sebagai samurai.

 

“Baik Tsugiyama!”

 

Tsugiyama menunggang kuda menuju ke dataran di hadapan rumah yang sedang terbakar marak itu. Itulah satu-satunya jalan pintas untuk ke tebing Sungai Miya, yang akan membawanya ke utara di mana Shirasaka dan Furukawa terletak. Sedang dia melalui dataran itu dengan pantas, tiba-tiba sebatang panah melayang hinggap pada kuda tersebut. Kuda Tsugiyama tersungkur, dan Tsugiyama sempat melompat turun.

 

“Kita bertemu lagi, Tsugiyama!”

 

Tsugiyama menepuk-nepuk habuk pada kimononya dan bangun. Dia sedikit terperanjat melihat pemanah yang berdiri di hadapannya.

 

“Engkau rupanya, Mariko-san. Setelah 25 tahun engkau menghilangkan diri. Dunia ini sungguh kecil.”

 

“Aku tidak menghilangkan diri. Aku berkahwin dengan Takasaki dan tinggal berdekatan Hamada di Kawamoto selama dua tahun tanpa pengetahuannya. Bukankah engkau juga di situ berkhidmat kepadanya?”

 

Tsugiyama ketawa terbahak-bahak. “Kalian sungguh licik. Aku hairan bagaimana kalian boleh melakukannya. Oh ya, tidak mustahil jika dengan Takasaki. Dia amat sukar dikesan. Aku tidak pernah berjumpa tempat ini sehinggalah selepas kematiannya. ”

 

“Tsugiyama, aku tidak akan melepaskan engkau seperti kali pertama kita bertemu.”

 

“Jangan lepaskan aku, kerana selagi aku hidup akan aku musnahkan rumah ini sehingga tinggal abu semuanya.” Tsugiyama ketawa lagi. Apakah dia fikir dia kelakar?

 

“Aku tidak risaukan rumah ini kerana ia boleh didirikan baru di mana-mana. Aku tidak akan biarkan engkau mengapa-apakan anak-anak kami.”

 

Tsugiyama mengeluarkan katananya sedang Mariko mengeluarkan Saishi-tou-nya. Mereka berdua bergerak berpusingan, menanti gerakan serangan pemula.

 

“Mariko, aku terharu dengan pemergian Takasaki bekas ketuaku itu. Dibunuh oleh kanak-kanak yang diselamatkannya dahulu? Kelakar bunyinya.” Tsugiyama ketawa seraya memulakan serangannya. Mariko pantas mengelak, kemudian cuba menyerang pinggang Tsugiyama yang terbuka dengan Saishi-tou peninggalan Takasaki.

 

“Aku tidak mahu mendengar simpati jijikmu.”

 

Tsugiyama menahan dan mengilas pedang Mariko. Mariko terundur ke belakang, lengan Tsugiyama yang besar tidak berdaya ditahannya.

 

“Akulah yang membantu Takasaki membakar rumah budak itu. Tak sangka dia memilih untuk membunuh Takasaki. Aku sungguh bernasib baik, Mariko.”

 

“Mariko, apa kata engkau lupakan Takasaki, dan hidup denganku? Engkau pun masih cantik.”

 

“Tsugiyama, sama ada aku, atau engkau yang akan mati hari ini.”

 

Mariko berhenti untuk menarik nafas. Aku tidak boleh membiarkan dia mengejar anak-anak itu. Aku harus bertenang dan tumpukan perhatian. Aku lihat, Tsugiyama seperti menahan sakit badannya selepas melompat dari kudanya tadi, terutamanya di pinggang. Pergerakannya tidak licin sewaktu bertarung denganku tadi. Apakah disebabkan dia sakit bertarung dengan Ryouji kelmarin?

 

“Mariko, di mana Chisato?”

 

“Aku tidak akan memberitahumu.”

 

“Aku punya penawarnya jika engkau memberitahu di mana Chisato.”

 

“Kami telah menahan orang-orangmu untuk mendapatkan penawar itu. Aku tidak akan lepaskan engkau. Atas apa yang telah engkau lakukan di kampung nelayan di Osaka itu dan juga rumah-rumah petani yang telah kau bakar selama di bawah Hamada.”

 

Mereka sambung berlawan. Mariko mengurangkan serangan dan banyak mengelak menggunakan jurus lima bagi menjimatkan tenaga dan mencari titik kelemahan Tsugiyama.

 

Ryouji pula sedang bergerak menuju ke belukar hutan untuk menjejaki Tsugiyama. Dia harus berhati-hati atau dihentam panah. Bunyi dan api kebakaran di rumah perlindungan itu menghalangnya dari mendengar bunyi dentingan pedang dan pemandangan pertarungan Mariko dengan Tsugiyama di dataran.

 

Bahagian pintu belakang bilik Mariko sudah berkurang apinya. Namun dia sudah tiada. Ke mana dia menghilang?

 

Ryouji memasuki rumah itu dan meredah asap tebal dan runtuhan yang sudah hangus. Dia berhati-hati berjalan meredah menuju ke pintu hadapan, untuk ke dataran mencari Mariko.

 

Sementara itu di dataran...

 

Mariko mengingat kembali pesan Takasaki beberapa minggu sebelum dia meninggal dunia.

 

“Mariko, Tsugiyama adalah bekas samurai Hamada yang paling berbahaya. Jika ramai bekas samurai lain telah meninggalkannya, Tsugiyama masih setia bersamanya. Dia mencariku dan mahu memaksaku berkhidmat kembali kepada Hamada atau aku akan dibunuh bagi melemahkan Kogen. Aku sendiri tidak mampu mengawalnya sewaktu bekerja dengan Hamada. Bahkan dia lebih dipercayai Hamada dariku.”

 

“Nakatsu, engkau takut dengan bekas pengikutmu?”

 

“Bukan Mariko. Aku tahu aku boleh menewaskannya dengan bertarung. Namun Tsugiyama ini bukan seperti samurai yang biasa. Dia gemar menggunakan taktik kotor, seperti yang digunakan ninja. Sekarang ini dia bekerjasama dengan pakar ubat mencipta pelali baru bagi memabukkan musuh-musuhnya. Maka engkau akan lebih mudah ditewaskan ketika bertarung, sama seperti senjata api pedagang Belanda di Furukawa itu, atau penyumpit fukiya yang membunuh Miura.”

 

“Mariko, jika aku pergi bila-bila masa dari sekarang, engkau harus melindungi anak-anak kita ini dengan nyawamu. Mereka adalah pelapis Kogen yang dipandang tinggi oleh Omi. Okuhida bersaudara dengan kepantasan hayabusa mereka, Shinji dengan kepakaran teknikal, Tsuneki dengan kemahiran memanah tinggi. Chinami dan Chiho...” Takasaki teragak-agak, seperti sudah kehilangan kata.

 

“Mengapa dengan Chinami dan Chiho?”

 

“Engkau tahu apa kebolehan mereka? Aku kurang memerhati mereka kerana menyerahkan sepenuhnya kepadamu dan Chisato.”

 

“Chinami dan Chiho ialah kembar. Engkau tahu bukan jurus kedua yang hanya boleh dilakukan bersama regu? Mereka mampu melakukannya dalam satu sesi latihanku di dataran. Disebabkan mereka kembar, jurus itu tidak memakan tenaga mereka sepertimana pasangan-pasangan regu yang lain.”

 

“Benarkah begitu?”

 

“Ya. Dalam ilmu saintifik Barat, ada disebut berkenaan resonans atau keserasian. Satu bandul berayun jika dihubungkan dengan bandul kedua yang serupa, dan bandul ketiga yang tidak serupa, bandul yang kedua itu berayun hampir sama kuatnya dengan bandul pertama. Kerana kedua-duanya serupa, bandul kedua menerima tenaga tertinggi dari bandul pertama.”

 

“Bagaimana dengan bandul ketiga?”

 

“Bandul ketiga hanya berayun namun sedikit dan tidak sekuat bandul kedua.” Mariko rancak memberi kuliah fizik kepada Takasaki. “Banyak tenaga dari bandul pertama terbazir keluar tanpa diterima bandul ketiga. Tanpa keserasian, pasangan yang melakukan jurus kedua akan keletihan kerana banyak tenaga terbazir.”

 

“Nakatsu, kaminari-no-kaze tidak bercanggah dengan sains dari Barat. Jika bercanggah, mana mungkin pedang Saishi-tou itu dapat membantumu mencapai jurus kesembilan? Ia hanyalah permainan persamaan jisim.”

 

Aku fikir Chinami dan Chiho juga aset berharga untuk Kogen.”

 

“Bagus. Mariko, aku fikir aku sudah boleh berlapang dada. Aku yakin dengan mereka, terutamanya Ryouji. Cuma Ryouji perlu belajar memimpin pasukan. Dia tahu bertarung, namun kepimpinannya perlu diasah lagi. Ryouji terlalu risau akan keselamatan rakan-rakannya sehingga dia tidak mahu melibatkan mereka dalam pertarungan.”

 

“Selain itu, Nakatsu, adakah dia sudah mampu ke jurus kesembilan dalam sedar?”

 

“Ya. Disebabkan dia puak Okuhida, maka mencapai jurus itu pada usia muda dan kurang latihan tidak membahayakan nyawanya. Ditambah dengan pedang Saishi-tou ciptaan Shinji itu.”

 

“Bagaimana pula denganmu?”

 

“Aku juga mampu mencapainya, berkat latihan bertahun-tahun jurus kelapan dan pedang Saishi-tou yang ditempa Shinji itu. Jika tidak mungkin aku tidak mampu mengawal rusuhan tenaga. Aku bukan dari puak Okuhida atau Shirasaka.”

 

“Dan Mariko, satu rahsia yang baru berkenaan jurus kesembilan kutemui. Tulisan Miura punya kesilapan kecil yang perlu dibetulkan.”

 

“Apakah ia?”

 

“Tentang beban emosi. Tentang keperluan membuang tuntutan emosi dan mengejar tujuan utama pertarunganmu. Perkataan ‘beban’ itu sendiri kufikir hanya pandangan Miura. Aku tidak pasti apa alasannya. Namun jika kita memandang tuntutan emosi itu sebagai pendorong, fikiran dan penumpuan dalam pertarungan di jurus kesembilan menjadi lancar.”

 

“Mariko, Ryouji benar. Kita tidak boleh membuang kehidupan. Mengapa aku tidak terfikirkan perkara semudah itu?”

 

“Engkau telah bertahun membunuh orang di bawah arahan Hamada, Nakatsu. Baru sekarang engkau mencari kehidupan. Mana mungkin engkau mampu terfikirkannya. Sedangkan Ryouji itu sendiri penuh dengan kehidupan. Dia datang ke sinipun telah memberi kehidupan kepada penghuni rumah ini.” Mariko cuba mencucuk jarum dalam luka lama Takasaki. Takasaki hanya mendiamkan diri, kerana ia sebuah kebenaran yang pahit. Mariko benar.

 

Berbalik kepada pertarungan dengan Tsugiyama dan Mariko di dataran...

 

Aku fikir mereka sudah jauh dari sini. Aku perlu menamatkan riwayat Tsugiyama. Pinggangnya kulihat bermasalah. Aku akan mencari peluang menyasarkan serangan ke lehernya, dengan berpura-pura menyerang ke pinggang dahulu. Tsugiyama menggunakan jurus ketujuh. Biarkan. Ikuti dia sehingga jurus kelapan.

 

Tenang, Mariko. Engkau telah bersedia untuk mati di sini. Takasaki sudah tiada. Anak-anak itu sudah diserahkan kepada Kogen. Sasaranmu ialah Tsugiyama. Tsugiyama perlu dihapuskan atau lebih banyak kemusnahan yang akan dilakukan. Tuntutan emosi engkau telah dikurangkan, maka mencapai jurus kesembilan menjadi mudah.


Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov