Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 15

Otou-san, bagus ideamu merancang serangan olok-olok kepada rombongan Maharaja ke Edo tidak lama dahulu. Maharaja mungkin akan mengekalkan kita sebagai gabenor selepas  ‘menyelamatkan’ baginda.”

 

“Idea sahaja tidak cukup, jika aku tidak memiliki anak yang bijak sepertimu.” Hamada berseloroh memuji anaknya Hagiura, daimyo sepertinya juga. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak.

 

Beberapa bulan lepas Maharaja berpindah dari Kyoto ke Edo dengan melalui lebuh Nakasendo yang merentasi pergunungan di tengah-tengah Hidagawa dan Shinagawa. Hamada telah merancang membuat serangan olok-olok ke atas rombongan Maharaja dan kemudian akan menghantar samurainya untuk ‘menyelamatkan’ mereka. Ini kerana laluan Nakasendo adalah separa di bawah jagaannya, iaitu bahagian yang merentas Shinagawa, maka sekiranya dia melindungi Maharaja, reputasinya akan mencanak. Maharaja pasti akan mengekalkannya di Shinagawa sebagai gabenor dan seterusnya anaknya di Yozehama bagi membalas ‘kesetiaannya.’ Atau mungkin dia boleh meminta lebih lagi dari itu?

 

“Tapi otou-san, jika kita menjadi gabenor, kita tidak lagi memiliki tanah-tanah dan mengutip cukai. Adakah engkau sanggup menerimanya?”

 

Hamada terdiam apabila Hagiura mula mengingatkannya kepada realiti tersebut. Selagi boleh dia mahu melupakannya. Realiti itu sungguh memeritkan. Dia tidak akan dapat lagi menikmati kemewahan yang dikecapinya selama ini.

 

“Tidak sekali-kali. Namun lebih baik dari terus kehilangan kerja. Sekurang-kurang aku masih mendapat pencen. Hagiura, ada sebarang berita dari bekas-bekas samurai di Kyushu?”

 

“Mereka masih tidak berpuas hati. Namun tiada sebarang persepakatan. Jikapun ada, mana mungkin mereka mampu mengalahkan Maharaja. Samurai-samurai dari Satsuma dan Choshu masih bersama baginda. Tambahan pula, kekalahan di Ezo itu membuktikan kekuatan senjata dan bala tentera moden Maharaja.”

 

Saitou, Tarou dan Buntarou telah meletak jawatan secara sukarela dan menyertai bekas-bekas samurai lain ke Kyushu. Hamada sudah kehilangan orang-orang kanan dan juga pengintipnya. Maka dia hanya boleh mengharapkan Hagiura, anaknya yang juga daimyo Yozehama itu sebagai sumber maklumatnya, beserta bekas-bekas samurainya yang masih setia.

 

Namun, akankah mereka setia? Kami harus membayar gaji-gaji mereka. Namun sekarang status samurai sudah dimansuhkan. Tanah-tanah kami juga diambil. Bagaimana harus aku membayar mereka? Mereka pasti akan meninggalkan kami, cepat atau lambat.

 

Mungkinkah aku boleh memujuk Takasaki kembali padaku? Aduhai, sedangkan aku sehingga sekarang pun masih belum dapat menjejakinya, inikan pula mahu memujuknya. Bagaimana dengan pertubuhannya itu? Apakah pertubuhan itu benar-benar menentang Maharaja, atau seperti ura-ura yang kudengari, mereka tidak menentang Maharaja pun, namun hanya memiliki pandangan yang sama mengenai Barat dengan Tetsugawa?

 

Apapun, aku harus mengharapkan Takasaki. Aku akan pinjam Tsugiyama, samurai Hagiura itu bagi menjejakinya dan akan kutawarkan kepadanya tawaran lumayan. Selepas aku memujuk Takasaki kembali kepadaku, kami akan bersama-sama menyusun pakatan, menghimpunkan bekas-bekas samurai dan daimyo-daimyo yang pernah rapat denganku yang sekarang ini berada di Kyushu dan bersama-sama menggulingkan baginda dan memulihkan kembali sistem samurai.

 

**

 

Tanah di rumah perlindungan Takasaki itu adalah tanah yang tidak dimasukkan ke dalam bancian Maharaja kerana ia dikira sebahagian dari kawasan pergunungan Hidagawa. Takasaki tidak terlalu dibebankan dengan masalah kewangan, cuma setelah kehilangan Miura, sumber kewangan pertubuhannya terhad dan dia tidak mampu untuk membawa masuk lebih ramai anak yatim ke situ. Banyak bilik asrama yang masih kosong. Kobato pula akan meninggalkannya lagi beberapa minggu, menambahkan lagi kekosongan yang perlu diisi. Dia perlukan bantuan lebih. Pertubuhannya perlukan bantuan dana.

 

Dia merancang mahu meneruskan usahanya melobi Maharaja di Tokyo. Maharaja itu ialah anakanda kepada Maharaja yang pernah dipujuknya bersama Kotobuki dahulu, dan usianya baru menginjak 15 tahun. Mungkin mudah dipujuk atau dipergunakan, atau jikapun dia bijak, mungkin belum benar-benar bijaksana. Jika baginda masih remaja bererti tugas-tugas pemerintahan dilakukan oleh pemangku sementara. Aku amat berharap pemangku sementara ini berfikiran terbuka dan bersedia menerima idea-idea baru. Aku amat berharap dia tidak konservatif seperti samurai-samurai yang lari ke Kyushu itu.


Aku akan bersungguh-sungguh menerangkan yang pertubuhan kami, Kogen, bukanlah menentang baginda. Aku mahu memujuk baginda menerima kemasukan Barat dan menghentikan sekatan ke atas mereka. Siapakah yang boleh membantuku? Oh ya, Taishii Kimura. Aku akan cuba mendapatkan kerjasama dia. Aku tahu dia masih di Kurimoto di Kyushu berbalas surat dengan Maharaja.

 

**

 

Dahulu, tapak di mana rumah perlindungan Takasaki itu didirikan, adalah tapak sebuah kuil Shinto. Pelawat-pelawat dari serata Jepun akan melawat kuil tersebut dan selalunya akan menumpang mandi di onsennya yang terletak di belakang kuil, dan bermalam di bilik-bilik penginapan di kuil itu. Pelawat-pelawat selalunya ramai ketika pertengahan musim bunga dan luruh.

 

Onsen dan bilik penginapan serta kuil tersebut sejak sekian lama diuruskan oleh keluarga Funazuki turun-temurun. Pada tahun 1845, sebuah kuil baru dibina di seberang Sungai Miya, iaitu yang memiliki sebuah patung Buddha dan dua buah patung gangsa berbentuk singa. Sejak kemunculan kuil baru ini, pelawat-pelawat ke kuil Shinto keluarga Funazuki di seberang mulai berkurang. Lama-kelamaan, kuil tersebut ditutup.

 

Tapak kuil lama itu kemudian dibeli oleh Kogen. Keluarga Funazuki kini menjaga kuil baru di tebing seberang itu. Pentadbiran Kogen mendirikan rumah perlindungan di atas tapak tersebut pada tahun 1854 dan mengamanahkan Miura menjaganya. Namun selepas Miura berkahwin, dia tinggal di utara Hidagawa. Sekitar waktu tersebut, kebetulan Takasaki meletak jawatan dari Hamada secara rasmi dan mengikutinya. Miura menyarankan kepada pentadbiran Kogen agar menyerahkan rumah itu kepada Takasaki untuk diuruskan, dan saranan Miura diterima.

 

Selain mengusahakan penginapan di kuil baru, keluarga Funazuki juga melombong sulfur atau belerang yang banyak terdapat di sekitar onsen di belakang kuil lama dan menjualnya kepada pedagang. Takasaki tidak pernah menghalang kegiatan mereka melombong sulfur sejak dia mengambil alih tanah kuil lama, malah berkongsi pula pendapatan mereka bagi meneruskan kelangsungan rumah perlindungan itu. Onsen itu kini kurang pelawat dan Takasaki menjadikannya sebahagian dari rumah perlindungan itu. Keperluan sulfur meningkat kerana Jepun mula mengindustri selepas Pembaharuan.

 

Beberapa tahun selepas Takasaki mengambil alih tanah kuil itu dan mendirikan rumah perlindungan, pada tahun 1862 ibu kepada Azusa dan Saki meninggal dunia akibat kanser. Dia seorang ibu tunggal, dan ketika itu Azusa berumur lapan tahun dan Saki setahun muda darinya. Azusa dan Saki mewarisi harta keluarga mereka berupa kuil patung Buddha dan patung gangsa beserta lombong sulfur dan onsen. Ibu mereka, yang mengenali Takasaki, mewasiatkan agar Takasaki menjaga Azusa dan Saki sehingga mereka dewasa dan mengamanahkan Takasaki menjaga perniagaan mereka dan memulangkan kembali kepada Azusa dan Saki apabila mereka dewasa kelak.

 

Azusa dan Saki kelihatan lebih matang kerana membesar sendiri dalam persekitaran yang sukar di celah pergunungan seperti itu dan bekerja keras seperti melombong sedari kecil. Disebabkan itu, tubuh mereka berotot seperti lelaki. Takasaki menganggap Azusa dan Saki seperti anaknya sendiri kerana dia mengenali mereka sejak bayi lagi.

 

**

 

Onii-san, semalam aku bermimpi.” Hisamiko bersuara lemah. Kepalanya masih sakit.

 

“Engkau berkahwin dengan Chisato nee-chan.”

 

Tersedak air teh hijau yang diteguknya. Nani??!!

 

“Kemudian aku menjadi pengapitmu. Dan Tsuneki menjadi pengapit nee-chan.”

 

Musang kecil itu? Di mana-mana sahaja pasti ada dia!

 

Onii-san, engkau sukakan nee-chan?”

 

Ryouji diam seketika. Dia melihat Hisamiko, sambil mengusap ubun-ubunnya. Dia cuba mengelak dari memegang bahagian yang tercedera. Berhati-hati.

 

“Ya, sungguh. Aku mencintai Chisato. Engkau dan dia, dua orang wanita yang amat aku hargai selain okaa-san.”

 

“Janji, onii-san. Berjanji denganku yang engkau akan mengahwini nee-chan.”

 

Yakusoku.” Ryouji berjanji.

 

Ryouji merenung seketika kata-kata sami pagi tadi. Dia runsing, amat. Dia harus lekas. Lekas dalam segala-galanya. Sebelum terlambat.

 

Mereka pulang setelah Hisamiko lima hari dirawat di kuil itu. Kotobuki telah menghantar surat melalui merpati kepada Takasaki memaklumkan keadaan mereka. Chisato tidak henti-henti menangis mengingatkan Hisamiko. Dia mahu keluar melihat Hisamiko namun dihalang Funazuki kerana bimbang akan keselamatannya.

 

Hayabusa kembali mengekori Hisamiko sepanjang perjalanan pulang ke rumah perlindungan. Ryouji merajuk dengan hayabusa tersebut dan berkata kepadanya melalui Hisamiko “Sebenarnya aku mahu memberimu seguni ikan namun disebabkan kau telah memakan ayam Sonzaemon, aku tidak jadi memberimu. Padan muka engkau.”

 

Hisamiko tersenyum mendengarkan kata-kata abangnya sambil menterjemah kepada hayabusa.

 

**

 

Sesampai mereka di anjung, Chisato berlari-lari lantas menerpa dan memeluk Hisamiko. Dia menitiskan air mata. Ryouji menegah Chisato dari memegang bahagian kepala Hisamiko yang masih berbalut itu kerana ia masih belum pulih sepenuhnya.

 

Chisato menoleh, melihat Ryouji dengan pandangan tajam dan mulut memuncung.

 

Dia kemudian memarahi Ryouji. Tidak pernah dia marah sebegitu teruk. Ryouji hanya diam dan tunduk menadah telinga mendengar bebelan Chisato, sambil sekali-sekala dia mengangkat muka, dan mata mereka bertentang. Cantiknya Chisato ketika marah, getusnya.

 

Sehingga bilakah lagi aku dapat melihat wajahmu, Chisato?

 

**

 

“Hebat engkau Ryouji!” Shinji menepuk-nepuk belakang Ryouji.

 

“Apa yang hebatnya?

 

“Engkau sudah bertemu jodohmu selepas baru setahun lebih di sini.”

 

“Jodoh?”

 

“Chisato sayangmu itu. Dia memanggilmu ‘Ryouji’ sebelum engkau pulang ke kampung hari itu. Ke tahap manakah hubungan kamu berdua sekarang?”

 

“Kami sudah...”

 

“Kamu berdua sudah melakukannya? Sugei na!” terkeluar loghat Kansai Shinji seketika.

 

“Kami sudah mengakui perasaan masing-masing.”

 

Shinji hampa. Sangkaannya meleset. Mereka belum sampai ke tahap itu.

 

Tsuneki sedari tadi berada di situ, namun dia sedang asyik membelek-belek sesuatu yang diberikan Shinji. Ryouji menyedari Tsuneki tidak memberi perhatian kepada perbualan mereka seperti selalu.

 

“Shinji, adakah engkau telah meracuni fikiran musang itu?” Dia menunjuk ke arah Tsuneki.

 

“Biarkan dia. Itu baru sedikit hartaku yang kuwariskan kepadanya. Ada sepuluh lagi di dalam bengkel bilah. Jika aku berikan semuanya mungkin dia tidak tidur seminggu.”

 

Ryouji tertarik dan mendekati Tsuneki. Tsuneki tidak menghiraukannya, masih asyik dengan alat itu, dia memulas-mulas sejenis tombol pada alat berbentuk kotak itu, kemudian memasukkan kacang edamame dari saku kimononya ke dalam satu lubang pada alat tersebut. Kemudian dia menarik sejenis picu, dan edamame itu meluncur dengan lajunya ke hadapan, menembak seekor tupai jatuh.

 

“Ryouji, aku ingin melihat sepantas mana engkau boleh mengelak tembakan kacang ini.” Shinji mencabar.

 

“Serahkan kepadaku.” Ryouji menyahut cabarannya.

 

“Tsuneki, bersedia. Sasarkan tepat ke dahinya.” Shinji membisik ke telinga Tsuneki.

 

Wakaru (faham).”

 

Kaminari-no-kaze, jurus keenam. Ryouji membuka pencaknya. Dia menunggu Tsuneki menarik picu pada alat penembak itu. Seperti diduga, tidak mengena. Bahkan Ryouji menangkap kacang itu dengan mudah.

 

Namun Ryouji silap. Mesin itu boleh menembak edamame berkali-kali secara automatik. Kali kedua, edamame itu mengenai lutut Ryouji.

 

“Bayangkan ia peluru tanegashima, atau jarum fukiya. Aku mungkin sudah rebah,” fikir Ryouji.

 

**

 

Ryouji mendekati Shinji suatu hari.

 

“Shinji, ajarkanku bagaimana meringankan bilah tanpa mengurangkan ketegarannya.”

 

“Boleh, dengan satu syarat. Ajarkan aku bagaimana menjinakkan hayabusa.”

 

Bagaimana pula Shinji tahu? Ini mesti kerja Tsuneki!

 

“Mengapa Shinji? Engkau pun berminat dengan burung itu?” Ryouji bertanya, masih menahan geram terhadap Tsuneki yang menyebarkan rahsianya.

 

“Aku ingin hayabusa menerbangkan aku ke England. Kemudian aku akan pulang sendiri ke Jepun menaiki kapal terbang setelah aku membelinya di sana.”

 

Lawak apakah yang cuba dikarangnya ini? Ryouji terpana dengan kata-kata Shinji. Kemudian dia bertanya,

 

“Kapal terbang?” Ryouji mendengarkan perkataan hikouki yang disebut Shinji, dan dia tidak mengerti apakah ia.

 

“Aku tidak pasti Shinji. Ia kebolehan turun temurun. Seperti seorang tukang urut yang membetulkan urat-urat yang tidak kelihatan yang mewarisinya dari mimpi, kami puak Okuhida memperolehinya secara semulajadi.”

 

“Aku pernah membaca orang-orang di tanah besar di utara Qing (China) boleh menjinakkan hayabusa tanpa bergantung dengan darah keturunan. Aku yakin aku boleh mempelajarinya seperti mereka.”

 

Ryouji tidak ada pilihan. Hanya Shinji yang mampu mengajarnya rahsia tamahagane. Dia mesti mempelajarinya dari Shinji. Takasaki? Dia terlalu lambat, dan aku perlu menunggu lama sehingga umurku mencecah umur Kobato. Aku tidak tahu sehingga bila aku akan hidup. Sumpah ini semakin lama semakin menggugat hidupku.

 

Dan Takasaki pula, aku tidak pasti sampai bila dia akan terus hidup, kerana Hamada masih memburunya. Mungkin esok, lusa, Hamada akan menemui tempat ini dan membunuhnya. Mungkin dengan pedang. Mungkin juga dengan fukiya! Ryouji menahan amarahnya. Fukiya adalah perkataan yang memeritkan. Bapanya sudah berbulan meninggalkan dunia fana’ ini. Namun luka di hatinya belum benar-benar dirawat. Aku akan pastikan pembunuhnya diadili!

 

Dia membawa Shinji ke taman bonsai. Kemudian dia duduk. Kemudian dia membuat bunyi siulan yang nyaring. Seekor burung hayabusa yang sedang berlegar-legar di atas mereka, terbang turun dan hinggap di atas lengannya.

 

Kemudian dia meminta Shinji melakukannya. Dia membulatkan jari telunjuk dan ibu jari, memasukkan ke dalam mulutnya lalu bersiul. Hayabusa itu terbang lari!

 

Setelah berkali-kali mencuba, Shinji berputus asa.

 

Mereka pulang ke asrama. Tsuneki keluar dari persembunyiannya. Hari itu dia baru sahaja keluar dari pejabat berjumpa Takasaki dan curi-curi mengintai mereka. Dia masih dengan perangai lamanya!

 

Dia mencuba meniup meniru Shinji seperti yang dilihat. Burung itu terbang turun, namun menyerang Tsuneki dengan cakarnya. Tsuneki berlari-lari di sekitar halaman rumah perlindungan itu. Ryouji dan Shinji melihatnya lalu ketawa terbahak-bahak. Kemudian Ryouji meniup dan burung itu turun ke lengannya, Ryouji mengusap-usap kepalanya. Kemudian dia melambung lengannya ke atas dan burung itu terbang beredar. Tsuneki masih mencangkung di bawah koridor menghadap dataran luas sambil tangannya menekup belakang kepala. Kobato yang sedang menyapu daun-daun kering di situ hairan melihat Tsuneki lalu berkata “Nani shite no? (apa yang sedang kau lakukan?)”

 

“Ryouji, terima kasih mengajarku. Rupanya mudah sahaja. Aku mungkin perlu berlatih lagi. Apapun, aku pasti akan mengajarmu ilmu membuat bilah. Lebih dari apa yang Takasaki ajarkan.”

 

“Terima kasih Shinji!” Ryouji tunduk ke paras pinggang. Shinji terkejut.

 

“Ryouji, aku tidak layak menerima tunduk sebegitu. Takasaki lebih layak.”

 

Tanomu, Shinji. Tanomu. (Tolong aku Shinji. Tolong aku)” Ryouji mengangkat muka. Air matanya berlinangan.

 

Shinji lebih terperanjat dan matanya yang kecil nipis itu membulat. Mengapa kau menangis Ryouji?

 

Ryouji beredar, malu. Shinji terpinga-pinga. Apa yang mengharukanmu, Ryouji?

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov