Beberapa bulan berlalu, Okuhida bersaudara semakin betah menyesuaikan diri dengan kehidupan di tempat baru itu. Funazuki bersaudara seperti biasa bersikap dingin dengan Hisamiko sejak pertarungan pengenalan hari itu. Tsuneki masih dengan perwatakan misterinya, dia sering diam namun apabila menemui sesuatu yang diminatinya dia berubah kecoh dan gamat. Dia nampaknya amat meminati perkara-perkara mistik dan seni berpedang, namun kemahirannya masih rendah, dan dia masih di bawah umur dan tidak dibenarkan berpedang oleh Takasaki, maka dia hanya memerhati dan memerhati.
Shinji pula masih dengan buku-buku bertulisan anehnya dan perbualan yang sukar difahami berkenaan negara luar, England dan Belanda. Ogasawara bersaudara menjadi peneman Hisamiko dan seringkali bersamanya ke mana-mana. Hisamiko yang selalu memendam kini semakin banyak berbicara, kerana sikap mereka bertiga yang peramah. Hisamiko dicairkan dengan kelembutan Chisato yang persis ibunya.
Ryouji dan Kobato pula semakin rapat dan sering bertarung di dataran dan menjadi ‘panggung wayang’ kepada mereka yang lain. Ryouji sedar kemahiran Kobato semakin meningkat. Ryouji tidak lagi boleh berlakon kalah. Kini, walaupun dia bersungguh, keputusannya masih seri. Kobato seorang yang berusaha keras. Kobato sedar dia hanya ada lagi beberapa bulan berbaki di situ, iaitu hanya beberapa bulan untuk dia meraih sebanyak mungkin ilmu dari Ryouji dan Takasaki, dan jurus kaminari-no-kaze. Nyawa ibu bapanya harus dituntut bela secepat mungkin.
Sehingga sekarang masih belum diadakan sebarang pertarungan rentas jantina. Ia dilarang oleh Takasaki. Funazaki bersaudara ingin sangat bertarung dengan Ryouji. Namun sebelum Ryouji, mereka harus mencuba Kobato dahulu, sekurang-kurangnya sebelum dia meninggalkan rumah ini. Ryouji dan Hisamiko harus dikemudiankan kerana mereka separa kami, fikir Funazuki bersaudara. Kepantasan mereka tiada tandingnya di situ. Hisamiko, Ryouji, kamu berdua aneh. Aneh!
**
Musim bersilih ganti, tatkala musim luruh habis menggondolkan dedaun dengan tiupan anginnya, musim sejuk pun kunjung tiba. Tiga purnama kemudiannya, salju membakar di bawah terik mentari, dan musim bunga pun tiba. Bunga sakura mulai berputik, menyerikan taman bonsai di depan rumah perlindungan itu dengan warna-warni putih dan lembayung yang bersilih ganti, yang sekian lama rompong tatkala pohon-pohon momiji, sakura dan shirakaba dan yang lainnya menggugurkan kesemua daun-daun yang telah kirmizi.
Bermulanya kitaran baru alam. Setiap tahun, alam membaharu dan memulih. Daun lama gugur, daun baru menumbuh. Bunga-bunga kembali mewarnai alam memberikan satu macam keceriaan yang tidak terungkapkan oleh sajak dan puisi. Begitu juga tamadun manusia. Sesuatu bangsa jatuh atas pelbagai sebab, mungkin diperangi, atau dimusnahkan bencana alam. Namun mereka kembali bangkit, membina semula tamadun baru di atas puing keruntuhan tamadun lama, berkembang, menambahbaik, kemudian dimusnahkan lagi, dan bangkit semula, dengan keturunan yang lebih baik. Dan kitaran itu berterusan, dan tamadun itu semakin bertambah baik dari kitaran ke kitaran.
Di kala bunga kembali mekar dan pepohon membaharui daun-daun lama yang telah gugur, Jepun membaharui tamadunnya. Maharaja berjaya menamatkan perang menentang saki-baki terakhir kuasa Shogun Tetsugawa, dengan memenangi pertempuran terakhir jauh di utara negara di Hakodate, di pulau Ezo atau Hokkaido. Kuasa pemerintahan seluruh Jepun dikembalikan sepenuhnya kepada dinasti Yamato di Kyoto. Sistem samurai dihapuskan dan digantikan dengan sistem gabenor. Wilayah-wilayah disempadankan semula. Samurai-samurai yang kehilangan tanah mula berpindah ke Kyushu. Bermulalah era baru dalam tamadun Jepun.
Musim bunga, 1869.
Maharaja mengambil keputusan berpindah dari Kyoto ke Edo bagi mengukuhkan kekuasaannya. Edo ditukarkan kepada nama baru, Tokyo yang bermaksud ibukota timur. Baginda turut menghantar rombongan ke Barat bagi mencedok ilmu pengetahuan mereka dan menambahbaik negara. Baginda juga mengalu-alukan karya dari Barat masuk. Pelabuhan-pelabuhan dibuka sepenuhnya kepada Barat. Semua tindakan Maharaja ini terang-terangan berbeza dengan sangkaan umum, termasuk Takasaki, bahawa Maharaja memusuhi Barat.
Namun masih ada yang terus mahu kekal berada di takuk lama. Pada mulanya mereka berfikir bahawa dengan menyokong Maharaja maka mereka akan dapat menghalau Barat keluar dari Jepun. Namun mereka silap apabila Maharaja mengubah fikiran. Golongan ini yang pada mulanya adalah penyokong kuat Maharaja, mulai kecil hati lalu meletak jawatan, menyertai bekas-bekas samurai yang kehilangan tanah akibat tindakan Maharaja merampas kembali tanah-tanahnya, di Kyushu.
Ramai dari golongan ini berasal dari Satsuma dan Choshu, dua wilayah yang terletak di Kyushu. Mereka telah membantu Maharaja mengembalikan kekuasaannya. Namun mereka fikir susu telah dibalas tuba. Mereka rasa dikhianati, dipersalahi, dimungkiri. Mereka harus memberontak. Sudahlah tanah mereka dirampas, mereka dibelenggu pula hutang. Tiada lagi hasil buat mereka dan mereka perlu berusaha keras seperti petani dan nelayan demi meneruskan kehidupan.
Namun mereka tidak mahu melakukan semua pekerjaan itu. Itu pekerjaan kasta rendah. Maruah mereka lebih tinggi. Maruah adalah segala-galanya. Mereka lebih sanggup membunuh diri dari menggadai maruah. Namun membunuh diri sahaja tidak mencukupi. Bukankah nyawa itu masih boleh dimanfaatkan, sebagai contoh, digunakan untuk memerangi Maharaja?
Ketika hangat musim panas menerpa, ketika itulah juga hangatnya amarah untuk memberontak di dada. Maharaja mesti ditentang! Barat mesti dihalau!
**
Chisato tidak dapat tidur malam itu. Dia terbayang-bayang wajah bapanya di kampung.
Chisato berasal dari sebuah perkampungan sawah padi dekat Osaka. Ibunya telah lama meninggal dunia. Bapanya tertekan selepas kematian ibunya dan sejak itu kerap berjudi dan mabuk-mabuk.
Bapanya ditinggalkan di sana, bersama hutang-hutangnya yang menimbun. Apa khabar engkau otou-san? Bahagiakah hidupmu di sana? Apakah engkau masih lagi bernyawa atau sudah meninggalkan aku dan adik-adikku?
Chisato adalah satu-satunya pencari nafkah kepada keluarganya. Hasil sawah padi keluarganya tidak cukup untuk menampung hutang bapanya yang semakin bertambah akibat tabiat berjudinya. Berbekalkan ilmu seni berpedang yang dimiliki, Chisato mengambil upah menjadi pengawal kepada satu keluarga pedagang. Gaji yang diterima masih tidak cukup untuk menampung hutang bapanya itu.
Bapanya senyap-senyap mengambil keputusan untuk menjual Chinami dan Chiho sebagai karayuki. Di zaman itu, menjual anak gadis sebagai karayuki adalah perkara biasa, didesak oleh kemiskinan dan tidak kurang juga akibat hutang yang menimbun. Karayuki adalah gadis bawah umur yang akan dijaga oleh bapa ayam di negara asing seperti di Qing atau Joseon, atau juga di Asia Tenggara, dan akan digauli oleh lelaki hidung belang di sana.
Sejurus mendapat tahu perbuatan bapanya, dia bergegas menjejaki Chinami dan Chiho. Dia bersedia membunuh jika perlu. Sebelum pergi, dia sempat memandang wajah bapanya, dan mengucapkan selamat tinggal kepadanya, dengan wajahnya penuh kemarahan berbaur kecewa. Itulah kali terakhir dia melihat bapanya. Air matanya tidak henti-henti mengalir sambil dia berlari mengejar Chinami dan Chiho yang entah di mana. Dia berdoa agar Chinami dan Chiho masih dapat dijejaki.
Setibanya dia di sebuah jeti di tepi sebatang sungai yang besar yang menghubungkan kampung itu dengan pelabuhan terdekat, dia melaungkan nama Chinami dan Chiho. Dia meredah lautan manusia di situ mencari kelibat adik kesayangannya. Mujur, Chinami dan Chiho masih belum menaiki feri. Chinami dan Chiho sedang dijaga oleh beberapa orang lelaki. Chisato, dengan marah, menyerbu ke arah kumpulan lelaki itu seraya melibas pedangnya.
Beberapa orang dari kumpulan lelaki itu tersungkur. Chisato segera mencapai tangan Chinami, mengendongnya dan menarik tangan Chiho dan membawa mereka lari, secepat mungkin. Lelaki-lelaki itu mengejar mereka, bilangan mereka semakin bertambah. Chisato berjaya melarikan diri setelah meredah lautan manusia di situ. Lautan manusia yang berombak menyukarkan lelaki-lelaki tersebut dan mereka berputus asa.
Mereka bertiga berkelana ke pekan yang lain. Chisato sedar tangannya menggigil selepas kejadian di jeti. Itu pertama kali pedangnya menumpahkan darah. Namun Chisato tidak mahu kembali lagi ke rumah mereka. Dia malu dengan perbuatan bapanya. Dia mahu memulakan hidup baru bersama-sama adiknya di tempat baru. Dia menyewa sebuah bilik di sebuah pekan yang asing dan mengambil upah menjahit untuk menyara mereka.
Namun suatu hari, dia terserempak dengan kumpulan lelaki sama yang pernah mengejar mereka dahulu. Chisato bertarung dengan mereka namun hampir ditewaskan, sebelum Takasaki datang membantu. Takasaki kemudiannya bertanyakan mereka sekiranya mereka anak yatim. Chisato berbohong kepadanya dengan mengakui mereka anak yatim. Takasaki bertanya jika Chisato mahu menyertainya. Dia memiliki sebuah pusat perlindungan untuk anak yatim.
Chisato berfikir, aku mungkin tidak akan dapat lagi hidup di pekan ini kerana orang-orang lelaki yang mengejarku itu sudahpun tahu lokasiku. Chisato bersetuju mengikut Takasaki, namun dia mengambil masa untuk mempercayainya. Dia masih berhati-hati, takut-takut Takasaki juga pemerdagang karayuki. Namun melihatkan karisma Takasaki dan kejernihan wajah tuanya, Chisato tidak merasakan bahawa dia seorang yang jahat.
Sudah lebih dua tahun berlalu kisah pahit pada musim luruh 1866 itu. Dia kini berlindung di sini, dengan penghuni lainnya yang berbagai ragam. Dia merindukan bapanya, meskipun hatinya masih marah dengan perbuatannya. Dia menyayanginya sama seperti adik-adiknya, dan hanya mereka sahaja ahli keluarganya yang tinggal. Namun dia harus menjauhkan bapanya dari adik-adiknya demi kebaikan mereka.
Dia tidak boleh tidur. Mengingatkan kisah pahit itu semua membuatkan tangannya menggigil. Dia takut untuk bertarung bersungguh-sungguh. Setiap kali dia bertarung, dia tidak akan mengeluarkan sepenuh kemahirannya, kerana itulah yang dilakukannya ketika kejadian di jeti itu. Bertarung sepenuh hati hanya mengingatkan dia bahawa dia pernah membunuh orang.
Dia bangun perlahan-lahan meninggalkan biliknya, menuju ke hutan bambu. Dia membawa sebatang kayu kendo yang sudah dibuang menuju ke tempat lapang berdebu di dalam hutan bambu itu, yang tiada sebarang rumput.
Malam itu bulan mengambang terang. Di sini tiada orang, maka aku boleh memukul sepenuh hati. Tiada sesiapa yang akan terbunuh. Dia melibas-libas kayu kendo itu mengikut rentak yang dilihatnya ketika Ryouji dan Kobato bertarung. Mengapa aku tidak sekuat Ryouji? Atau Kobato? Mengapa aku dilahirkan wanita? Ryouji dan Kobato begitu tenang sekali bertarung. Aku cemburu!
Dia cuba untuk melupakan kisah pahit itu dengan melibas kayu. Terus melibas dan melibas, namun wajah bapanya bersilih ganti bermain di benaknya. Dia letih, rebah di atas lututnya, tunduk dan air matanya menitik satu persatu di atas tanah berdebu itu. Dia mahu memukul sekuat-kuatnya bagi melupakan kisah pahit itu, namun semakin kuat dia memukul, semakin kuat pula dia diingatkan dengan pembunuhan di jeti itu.
“Nani shite no, Ogasawara-san?” kedengaran suara seorang lelaki di celah-celah bambu. Lelaki itu memunculkan diri berlatarkan cahaya bulan mengambang.
Ryouji, sedang berdiri di hadapannya.
“Nande? Kimi mo koko ni kita no? (mengapa engkau juga berada di sini?)”
“Nemurenai kara (aku tidak boleh tidur). Aku duduk di taman bonsai, dan nampak engkau menjengket keluar dari asrama. Mengapa engkau menangis?
“Tiada apa-apa.” Balas Chisato ringkas. Dia terganggu dengan campur tangan Ryouji dalam urusan peribadinya.
“Engkau boleh menceritakan padaku. Aku berjanji, tidak akan memberitahu sesiapa pun.” Ryouji mempelawa, sambil tersenyum ikhlas.
“Sungguh?” Chisato memandang Ryouji, sambil menyeka air mata dengan lengan yukatanya. Kemudian dia terfikirkan sesuatu seraya berkata, “Ajarkan aku gerakan-gerakanmu itu, baru aku akan berkongsikan ceritaku.”
“Yang mana satu?”
“Gerakan mengelak. Seperti yang telah kau gunakan semasa bertarung dengan Kozue-san.”
“Mudah sahaja. Pukul aku sekuat hatimu.”
“Nani? (Apa?)”
“Pukul aku dengan kayu kendo itu. Bayangkan aku ini seseorang yang telah membuatmu menangis. Pukul sekuat hatimu seolah-olah engkau benar-benar ingin melupakannya. Aku akan mengelak dan mengelak.”
Chisato mencapai kayu kendo itu. Dia memukul dan memukul dan memukul namun hanya angin yang dipukulnya. Ryouji amat pantas bergerak. Geram, dia melibas sekuat hatinya. Wajah Ryouji bersilih ganti dengan wajah ibu dan bapanya, kemudian wajah orang yang telah dibunuhnya di jeti itu. Namun hayunan demi hayunan, dan wajah-wajah itu menghilang. Pertama kali sejak pedangnya menumpahkan darah, dia kembali bertarung dengan yakin, dan dapat melihat lawannya dengan jelas.
Ryouji masih mengelak dan mengelak. Tiada satu pun pukulan Chisato mengenainya. Kemudian Ryouji meminta Chisato mematahkan kayu itu kepada dua. Dia mahu Chisato menggunakan kedua-dua belah tangan untuk memukulnya.
Disaksikan rembulan, dua remaja itu bertarung berlatarkan rimbunan bambu. Chisato masih tidak mampu menyentuh Ryouji sedikitpun. Namun dia puas hati, kerana sedikit demi sedikit keyakinannya bertarung mulai memulih. Terima kasih Okuhida-san!
Chisato kepenatan. Dia menyerah kalah. Namun hanya untuk malam ini sahaja. Aku pasti akan dapat mengalahkanmu Okuhida-san!
Mereka pulang ketika hampir dinihari. Setiba di halaman rumah perlindungan itu, Chisato bersuara,
“Okuhida-san, arigatou. Hontou ni. Mata isshouni renshuu shimashou (Ryouji, terima kasih, sungguh. Ayuh berlatih bersama-sama kelak seperti itu),” Chisato menguntum senyuman manis, kemudian tunduk. Cantik!
“Doumo,” ujar Ryouji ringkas, menyembunyikan wajahnya yang merah padam. Dia membalas tunduk Chisato. Baru sekarang dia teringat akan janji Chisato untuk bercerita kisah latarnya.
“Ah, Chi...” belum sempat Ryouji menghabiskan kata-katanya, Chisato berlari-lari anak menuju ke rumah perlindungan, meninggalkan dia berseorangan. Mungkin mahu tidur cepat kerana sudah terlalu mengantuk.
Ryouji menepuk kepalanya. Ruginya aku terlepas! Itulah engkau Ryouji, mudah sangat tergoda dengan senyuman wanita.
Namun dia merasakan senyuman itu sungguh istimewa, mungkin hanya untuk dirinya. Dia tidur dalam angau, sehinggalah Shinji melempang-lempang mukanya keesokan paginya kerana dia bangun amat lewat sekali.
“Shinji, lempanglah aku sekali lagi. Aku ‘bermimpi’ sesuatu yang sangat indah malam tadi.”
“Baiklah.” Shinji tidak menolak tawaran keemasan sebegitu.
“Aduh! Ite...(sakit...)” Ryouji mengaduh kesakitan.