Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 105

Di Kogen, Kotobuki bertemu Terauchi.

“Terauchi, lihatlah kerosakan yang telah engkau mulakan.” Kotobuki menyuguh laporan Kogen berkenaan peristiwa kebakaran di Narai-juku.

Terauchi membaca laporan tersebut. Ia mencatatkan korban 80 keluarga. Kebanyakan yang mati adalah warga tua dan mereka yang tidak mampu melarikan diri akibat kecacatan dan kesakitan.

“Apa rasanya ‘membunuh’, Terauchi?”

Terauchi tergamam. Dia perlahan-lahan meletakkan laporan tersebut di atas meja teh di hadapannya. Mereka berdua sedang duduk bersila di dalam pejabat di tepi dewan besar Kogen, di tanah tinggi Shirasaka.

“Apakah berbaloi harga ini, demi ibumu? Jika engkau memberitahu ibumu akan semua ini, apakah dia akan gembira?”

Kotobuki terus-terusan mencucuk jarum dalam hati Terauchi.

Dalam masih duduk, air mata Terauchi berguguran. Tangannya merayap mencari hulu tantou di pinggang. Kotobuki tidak menyedarinya kerana dilindungi meja teh dan buku laporan itu.

“Kotobuki, hanya satu permintaan terakhirku. Bawakan ibuku ke sini, benarkan dia tinggal di sini, onegaiSayonara, soshite arigatou, atas persahabatan kita selama ini. Engkau tetap sahabatku, Kotobuki.”

Sebaik dia menghabiskan kata-kata, darah berhamburan dari lehernya, sedikit menyimbah mengenai wajah Kotobuki yang masih duduk bersetentang dipisahkan meja teh.

 

**

 

Shinji duduk mengenang kembali kata-kata Kotobuki berkenaan sumpahan hayabusa ke atas Ryouji.

 

Bukankah aku boleh membatalkan sumpahan itu? Aku hanya perlu pergi ke tama-no-iwa Amaguri bukan? Hanya memohon kepada hayabusa-no-kami agar membatalkan kuasa batu itu, segalanya akan berakhir. Persetankan semua yang telah dibina Kogen. Bukankah Maharaja boleh sahaja meletakkan pengawal mereka di rumah-rumah anak-anak kami? Dan bukankah kawasan ini juga dikawal oleh orang-orang Kogen? Apa perlunya lagi kuasa batu itu?

 

Shinji bangun, dia melangkah perlahan-lahan menuju ke perpustakaan di tingkat tiga di bawah tanah. Dia mahu ke lembah Amaguri. Dia nekad. Dia mahu membatalkan kuasa tama-no-iwa.

 

Tubuh Shinji dipeluk dari belakang tiba-tiba. Shinji tersentak. Dia melihat tangan yang memeluk itu. Kecil, cerah kekuningan warnanya. Lengan yukata yang melitupi lengan itu bercorak bungaan.

 

Matte, Shinji. Doko iku to omotta no (Tunggu, Shinji. Ke mana engkau fikir mahu pergi?)?” Kedengaran suara seorang gadis, amat biasa di telinga Shinji, menyoal. Ia suara Shiori.

 

Shinji tidak menjawab. Dia pegun berdiri di hadapan perpustakaan itu.

 

“Shinji, engkau mahu menghapuskannya bukan?”

 

“Bagaimana engkau tahu, Shiori?”

 

“Aku bertanyakan Ryouji sebelum dia keluar dari sini. Aku mahu mengenalimu lebih. Dia risaukan engkau Shinji. Dia tidak mahu engkau melakukannya, itu pesannya padaku.”

 

Engkau akan mati, Ryouji! Engkau akan mati! Dan aku, aku akan keseorangan di sini. Aku akan kehilangan seorang lagi sahabatku! Aku akan kehilangan engkau, tanpa sempat kita berbual buat kali terakhir. Hisamiko, adikmu akan berseorangan. Sanggupkah engkau membiarkan dia berseorangan. Sanggupkah? Mengapa engkau begitu bodoh tidak memberitahuku?

 

Shinji terduduk. Air matanya mengalir, gugur satu persatu membasahi bumi.

 

Shiori masih memeluk Shinji dari belakang, juga duduk.

 

“Shinji, jangan lakukannya. Ryouji pasti akan kecewa denganmu jika engkau melakukannya.”

 

“Shinji, jika engkau gusar, luahkan. Aku sentiasa di sisimu Shinji.” Shiori menyandarkan kepalanya ke belakang tengkuk Shinji. Shinji masih menangis.

 

**

 

“Di mana Suzuki-san?” Seorang pengikut Suzuki yang sedari tadi terbaring akibat pelali panah Kogen, bangkit perlahan-lahan dari pengsan yang panjang. Hari sudah petang. Ramai rakan-rakannya masih terbaring dengan panah tercacak di mana-mana bahagian tubuh. Mungkin ada yang telah mati, atau mungkin ada yang masih hidup namun mabuk pelalian tersebut.

“Suzuki-san! Suzuki-san!” Pengikut Suzuki itu melaung-laung nama ketuanya.

Sebutir batu melantun hampir mengenai lelaki itu. Dia bangun mencari puncanya.

Sebutir demi sebutir batu keluar dari sebuah lubang di bawah tanah. Lelaki itu merapati lubang tersebut.

Dia mendengar jeritan suara Suzuki meminta tolong dari dasar lubang.

Dia mengambil tali yang bergantung pada pokok hinoki seraya membantu Suzuki naik ke permukaan menggunakannya.

Arigatou Yotsuya. Di mana rakan-rakan kita yang lain?” Suzuki bertanya, sambil menepuk-nepuk yukatanya yang dicemari jerami dan tanah.

“Masih terbaring. Aku tidak tahu berapa ramai yang mati atau masih mabuk pelali panah.”

“Ayuh kita periksa. Aku perlukan bantuan mereka. Aku bilang tiga orang budak itu sudah di Higashi-no-yane. Sebentar...” Pandangan Suzuki terhenti pada jasad Imagawa.

Dia menguis-nguis tubuh Imagawa yang tertiarap menggunakan kakinya. Tiada respons. Dia menolak tubuh Imagawa. Matanya terbeliak. Ada kesan darah pekat pada mulut dan hidungnya.

Suzuki meletakkan jari ke lubang hidung Imagawa. Tiada nafas dihela.

“Dia sudah mati. Yotsuya, kebumikan mayatnya dan cacak pedangnya pada kubur. Aku akan memeriksa rakan-rakan kita yang masih terbaring di sana.”

“Baik, Suzuki-san!”

Dari sepuluh orang yang terbaring, hanya lima yang masih hidup. Mereka semua dirawat malam itu di pangkalan mereka dalam hutan tersebut.

“Aku akan pastikan Ryouji dan rakan-rakannya mati esok. Hutang darah pengikutku pasti akan dilunaskan!”

**

Perjalanan keluar Ryouji dan rakan-rakannya dari Yokuma diganggu oleh Suzuki dan pengikut-pengikutnya.

Kali ini ahli terakhir dari Empat Celaka, Suzuki Kenshou keluar bersama para pengikut setianya yang masih belum melarikan diri atau terkorban dalam pertempuran sebelumnya. Pasukan yang menculik Tsuneki dan Hisamiko sebelumnya bergabung dengan ronin-ronin ini, menjadikan jumlah keseluruhan pengikut Suzuki dua puluh orang semuanya.

Keadaan tegang di hutan itu bermula apabila Suzuki tiba-tiba muncul cuba menghalang mereka bertiga dari meninggalkan kawasan itu.

Orang-orang Suzuki keluar dari persembunyian dan mengepung mereka bertiga. Suzuki keluar dengan kudanya.

“Kita bertemu lagi, Ryouji. Ke mana kalian mahu lari? Setelah membunuh orang-orang kami?” tutur Suzuki sinis.

“Kami hanya mempertahankan diri.” Ryouji membalas. Tsuneki dan Hisamiko di belakangnya, memata-matai sekeliling.

“Mempertahankan diri? Kami menyerang penceroboh seperti kalian yang menceroboh kawasan kami!”

“Kami tidak menceroboh dan Yokuma bukan kawasan Hamada. Ia di bawah pentadbiran Maharaja dan Kogen!” Tegas Ryouji dengan suara separa membentak.

Orang-orang Suzuki mengeluarkan pedang masing-masing.

“Maharaja merampasnya dari tangan Hamada. Ia masih dan akan kekal kepunyaan Hamada tuan kami.” Suzuki masih berkeras dengan pegangannya. Dia membiarkan orang-orangnya merapat memerangkap tiga remaja tersebut.

“Jika kalian fikir begitu, maka pergilah debatkannya dengan baginda bersama-sama Hamada. Yang kutahu, lembah ini dan pergunungannya di bawah pemerintahan baginda dan kalian tidak ada apa-apa hakpun!”

Lima orang ronin kian merapat. Lima belas orang lagi di belakang sebagai sokongan.

“Tsuneki, ingat apa yang kuajarkan.”

Tsuneki mengangguk. Dia mengeluarkan tantou-nya dan turun dari kuda. Ryouji dan Hisamiko turut sama turun. Kuda-kuda mereka meninggalkan kawasan tersebut selepas diarahkan. Orang-orang Suzuki memberi laluan.

**

Pada malam sebelum mereka bertolak ke Yokuma, ketika di rumah tumpangan di Narai-juku, Ryouji bertemu Tsuneki setelah Hisamiko tidur.

“Tsuneki, ambil sarung pedang Hisamiko ini, dan bertarung denganku.” Ryouji menghunus sarung pedangnya sedang sarung pedang Hisamiko dicampakkan ke tepi futon Tsuneki.

“Ryouji, aku mengantuklah.”

“Sekejap sahaja. Ayuh!”

Tsuneki bangun dengan malasnya keluar ke tanah lapang di luar rumah tumpangan.

“Sebelum itu, ikut gerakanku. Begini.” Ryouji melakukan gerakan paling pantas di jurus kelapan. Tsuneki memandang. Selepas sekali dia melakukannya, dia berhenti.

“Sekarang. Ulang gerakan aku tadi.”

“Mudah saja.”

Tsuneki meniru gerakan Ryouji.

Ryouji melopong. Tsuneki berjaya meniru bulat-bulat gerakannya! Meskipun gerakan itu pantas dan rumit, Tsuneki berjaya menangkapnya satu persatu dan melakukannya, meskipun perlahan tanpa kaminari.

“Sekarang aku mahu engkau mengelak semua seranganku.”

Ryouji cuba menetak pantas kepala Tsuneki menggunakan sarung pedangnya. Tsuneki pantas mengelak.

Nampaknya Tsuneki punya daya pengamatan tinggi seperti Shinji. Namun ada sedikit kelainan. Tsuneki mampu menaksir pergerakan sebelum ia berlaku. Jika Shinji hanya mampu mengamati dan merakam pergerakan semasa, Tsuneki mampu meramal pergerakan tersebut. Ya, kebolehan tersebut amat sesuai untuk pemanah baginya, yang perlu menaksir kebolehelakan sasaran yang tahu bergerak seperti tupai itu, dan manusia umumnya. Disebabkan itu panahannya selalu mengena. Ia berbeza dengan panahan ke atas sasaran pegun, yang mana engkau tidak perlu kebolehan meramal pergerakan.

Sekarang aku faham. Aku tidak pernah tahu kebolehan Tsuneki. Hanya aku tergerak menyelidiknya memandangkan dia keturunan Higashihara. Aku fikir aku boleh memanfaatkan Tsuneki demi misi ini. Misi utama yang akan menumpaskan musuh kami Hamada.

**

Tiba-tiba hujan panah menimpa orang-orang Suzuki. Tiga dari mereka rebah dipanah, sementara yang lain bertempiaran. Kedengaran suara dari jauh.

“Suzuki Kenshou. Kami penyokong Konoe Takao.” Tabata keluar dari persembunyiannya. “Lembah Higashi-no-yane telah dihidupkan kembali budak-budak itu. Hamada sudah tidak halimunan dan sekarang dia mahu mencari pewaris Higashihara.”

“Konoe... engkau... nampaknya benarlah telahanku selama ini. Yang Konoe merancang sesuatu di belakangku.”

“Suzuki, berambus dari sini.”

“Tidak, aku akan menculik pewaris Higashihara.”

“Jika begitu, maka langkahlah mayat kami dahulu. Natsume!”

Seorang lelaki berpedang pantas meluru ke arah Suzuki namun dihalang salah seorang pengikutnya. Kemudian pengikut Tabata yang lain menyusul. Pertempuran beralih di antara orang-orang Tabata atau Konoe dengan orang-orang Suzuki.

“Ryouji, apakah mereka berbunuhan sesama sendiri?”

“Nampaknya begitulah. Ayuh, ini peluang keemasan untuk kita melarikan diri!”

Pantas mereka keluar berkuda meninggalkan kawasan itu.

“Shinosuke, mereka melarikan diri!” Ujar salah seorang pengikut Suzuki kepada rakannya.

“Kejar mereka!”

Melihatkan dua orang pengikut Suzuki mengejar Ryouji dan rakan-rakannya, beberapa orang dari kalangan pengikut Tabata atau Konoe turut sama mengejar dengan kuda masing-masing.

Suzuki dan Tabata merenung satu sama lain, bersedia.

Namun belum sempat Tabata menarik pedang dari sarungnya, pinggangnya dirobek pedang Suzuki.

“Mudah.” Gumam Suzuki. “Jika engkau masih bersamaku mungkin engkau masih dapat bertemu isterimu selepas habis pertempuran ini.”

Suzuki pantas meninggalkan tempat itu tanpa menghiraukan kumpulannya yang berbunuhan dengan kumpulan Tabata, berkuda mengejar Ryouji dan rakan-rakannya.

**

“Tsuneki, engkau masih ingat jalan keluar?”

“Ya. Kita di laluan sama ketika masuk semalam. Lagi setengah jam kita akan bertemu lorong masuk.”

Onii-san, kita dikejar.”

“Berapa orang?”

“Dalam lima orang. Tidak, enam orang. Seorang datang dari arah barat daya.” Hisamiko menerangkan perinciannya. Hisamiko membonceng di belakang Ryouji, maka komunikasi mereka lebih mudah.

“Yang dari barat daya lebih laju mendekati kita, namun yang lima orang itu tiba-tiba berhenti.”

“Mengapa?”

“Mereka...mereka bertarung sesama sendiri...” Hisamiko menyimpulkan dari dentingan pedang yang didengarinya.

Pastinya dua kumpulan tadi. Rupanya mereka berebutkan Tsuneki, berdasarkan perbualan mereka tadi. Mungkin mereka mahu menjadikan Tsuneki tawanan. Hamada pastinya mahu mendapatkan Tsuneki demi mendapatkan kembali kuasanya. Atau mungkin, memujuk Tsuneki agar berkongsi kuasa dengannya. Maka jika mereka berjaya menjadikan Tsuneki tawanan mereka, mereka bakal mendapatkan pulangan lumayan dari Hamada.

Sebentar, apakah mereka kenal siapa Tsuneki dan siapa yang bukan? Tidak, pastinya mereka tahu. Suzuki kenal aku. Namun apakah mereka tahu pewaris Higashihara itu lelaki atau perempuan? Jika mereka tidak tahu, maka aku boleh mengelirukan mereka. Namun tidak. Aku tidak mahu menjadikan Hisamiko umpan. Aku juga tidak mahu kehilangan Tsuneki. Tidak, tidak boleh! Aku akan melindungi mereka berdua!

Suzuki tiba-tiba melompat dari kudanya dan cuba menetak Ryouji. Ryouji pantas mengesan sebaik Hisamiko membisikkannya dan melencongkan kudanya ke tepi. Suzuki mendarat di atas lantai hutan.

Tsuneki yang agak jauh dari mereka berpatah balik.

“Di mana pewaris Higashihara? Serahkan dia dan engkau akan selamat Ryouji.”

Onii-san, Tsuneki kembali ke arah kita.”

“Maka budak perempuan ini adikmu?” Ujar Suzuki mendengarkan panggilan ‘onii-san’ dari mulut Hisamiko. Dia menyambung, “Jadi, sudah pasti pewaris itu yang sedang berpatah balik ke arahmu bukan?” Sebaik Suzuki menghabiskan kata-kata, dia pantas menoleh mahu menangkap Tsuneki.

Tsuneki dapat mengagak seraya melompat turun dari kudanya, menyusup jauh ke dalam belukar di tepi.

Suzuki tidak mempercayai sesiapapun dari kalangan pasukannya. Disebabkan itu dia mahu menangkap Tsuneki sendiri, getus Ryouji.

Ryouji berbisik pada Hisamiko.

“Miko, kesan di mana Tsuneki. Dia di dalam belukar itu. Selepas bertemunya, beritahu dia agar melarikan diri sejauh mungkin. Suzuki sedang mencari dan mahu menangkapnya. Aku akan mencuri sedikit masa dengan bertarung dengan lelaki ini.”

Onii-san, jaga dirimu.”

“Jangan risau, Miko. Aku tahu taktik lelaki ini.”

Hisamiko turun dari kuda. Ryouji memerhati Suzuki dan akan menghalangnya sekiranya dia cuba mengapa-apakan Hisamiko.

Hisamiko pantas menghilang ke dalam belukar di tepi, cuba mengesan Tsuneki. Sementara Ryouji berhadapan dengan Suzuki.

“Suzuki, Hamada telah dihilangkan kuasanya. Tidak lama lagi orang-orang Kogen dan Maharaja akan memberkasnya. Tiada guna lagi engkau menculik Tsuneki demi mendapatkan wang tebusan.”

“Oh, nama pewaris itu Tsuneki rupanya. Higashihara Tsuneki. Ryouji, berapa yakinkah engkau orang Maharaja dan Kogen boleh menangkap Hamada?”

“Pengintip kami ramai di Kawamoto. Ada yang sedang memerhati Hamada dari sekeliling hutan di rumahnya. Memberkasnya semudah memetik jari.”

“Belum cuba belum tahu, Ryouji. Aku tetap akan mendapatkan Tsuneki. Jika tidak kerana Hamada sekalipun, aku mahu mendapatkan kuasanya. Aku akan menjadi seperti Hamada, tubuhku seperti angin dan tidak boleh dibunuh. Ketika itu aku akan kekal hidup selama-lamanya. Bahkan aku boleh menjadi lebih berkuasa daripada Maharaja!” Usai berkata-kata Suzuki ketawa berdekah-dekah.

“Jangan engkau begitu yakin Tsuneki akan menyerahkannya kepadamu. Segalanya di tangan dia.”

“Aku akan merasuah dia.”

“Engkau boleh cuba. Amat tipis untuk dia termakan rasuahmu. Aku lebih kenal dirinya. Meskipun dia nampak kebudak-budakan, dia lebih matang dari yang kau sangka.”

“Seperti kukatakan, belum cuba belum tahu.”

Sementara itu, Hisamiko kembali bertemu Tsuneki.

“Tsuneki, kita larikan diri.”

“Ke mana? Di mana abangmu?”

“Dia di belakang. Dia akan mengejar kita kemudian.”

“Hah?”

“Dia sedang menahan Suzuki. Ayuh, kita tidak punya banyak masa.”

Sedang Suzuki leka bertarung dengan Ryouji, Hisamiko dan Tsuneki kembali menunggang kuda meninggalkan mereka. Hisamiko membonceng kuda Tsuneki dan memastikan keselamatan mereka dengan mengamati sekeliling pada sebarang bunyi besi, menggunakan derianya.

Wajah Tsuneki merah padam dipeluk Hisamiko dari belakang.

“Mengapa Tsuneki? Kuat bunyi degupanmu.” Hisamiko yang dekat kepalanya dengan tubuh Tsuneki dapat mendengar degupannya.

“Tidak...tidak apa-apa..” Abaikan. Abaikan! Tumpukan pada hala tuju kuda ini!

Menyedari Tsuneki dan Hisamiko mulai jauh dari pandangan, Suzuki pantas keluar dari pertarungan seraya mengejar mereka menggunakan kuda pengikutnya yang baru tiba.

Ryouji sempat naik ke jurus lapan dan menewaskan kesemua pengikut Suzuki dan Konoe yang tiba di lokasinya dan cuba menghalangnya mengejar Suzuki. Semua terbungkam. Ryouji mengambil kudanya menjejaki mereka semua di hadapan.

“Hisamiko, aku tidak jumpa jalan keluar.”

“Hah? Bagaimana pula engkau boleh terlupa?”

“Aku ingat benar laluan masuk hari itu. Namun aku tidak tahu mengapa aku masih tidak bertemunya hari ini.”

“Kalian, serahkan Tsuneki padaku dan nyawa kalian akan selamat.” Suzuki memberi amaran. Dia sudah hampir dengan mereka berdua dalam dua puluh langkah.

Hisamiko melompat turun dari kuda.

“Hisamiko!” Jerit Tsuneki.

“Aku akan menewaskan lelaki ini.”

“Hisamiko, engkau lari ke dalam belukar. Biar aku yang tewaskannya!”

“Tidak Tsuneki.”

“Hisamiko! Tanganmu lemah. Engkau hanya mampu mengelak.”

Ryouji datang tiba-tiba.

“Maafkan aku kalian! Serahkan padaku!”

Pantas Ryouji kembali menyambung pertarungan dengan Suzuki.

“Aku tidak menyangka pantas benar engkau menewaskan orang-orangku. Engkau benar-benar risaukan rakan-rakanmu.”

Ack! Tanganku, tanganku!

Ryouji sedang berdiri pada kekudanya, sedang tangan kanan yang memegang pedang kaku.

Suzuki akan menetak leherku!

Onii-san!”

Serentak dengan itu, Tsuneki yang sedari tadi senyap-senyap turun dari kuda dan memerhati pertarungan mereka, dan bersedia membantu Ryouji dan Hisamiko, pantas memeluk Ryouji sebaik menyedari dia lambat bertindak demi menangkis tetakan pedang Suzuki. Tindakan Tsuneki memeluk Ryouji spontan, kerana dia tidak biasa menggunakan pedang dan tidak begitu yakin mampu menghalang tetakan pedang petarung lain. Darah mengalir deras membasahi bahu Ryouji. Tsuneki terkulai sedang masih memeluk Ryouji.

Tsuneki, Tsuneki!

Ryouji perlahan-lahan mengalihkan tubuh Tsuneki ke tepi, sedang tangannya masih kaku. Hisamiko berlari ke arah Tsuneki seraya meletakkan tubuh Tsuneki ke atas ribanya. Dia menggoncang-goncangkan tubuh Tsuneki. Luka parah di antara bahu Tsuneki dan lehernya akibat tetakan pedang Suzuki mengakibatkan pendarahan tanpa henti, membuak-buak seperti mata air yang sudah lama tertahan oleh batu.

Tsuneki semakin lemah, dia kehilangan begitu banyak darah.

“Tsuneki, kuatkan dirimu. Tsuneki, Tsuneki!” Jerit Hisamiko yang memangku kepalanya, menggoncang-goncangkan jasad Tsuneki.

Suzuki terkesima. Dia tidak dapat menerimanya. Serangan ke atas Ryouji telah mencederakan Tsuneki.

“Kalian, serahkan Tsuneki kepadaku. Aku akan membawanya keluar untuk dirawat. Aku juga mahukan dia hidup.”

“Hisamiko...jangan biarkan lelaki itu merawatku.” Bisik Tsuneki perlahan, nadanya semakin lemah. Hayatnya tidak lama.

“Hisamiko, Ryouji...aku tidak mahu bersamanya. Aku...aku hanya ingin bersama kalian.”

Hisamiko serba salah. Perlukah aku melepaskan Tsuneki? Atau menyerahkan kepada lelaki itu untuk dirawat?

“Kalian, aku telah kehilangan darah yang banyak...aku... aku tidak lama...” Tsuneki menutur perlahan.

Suzuki bersedia untuk membunuh Ryouji yang sedang duduk di sisi Tsuneki dan Hisamiko yang sedang memangkunya. Namun untuk apa? Tsuneki sudah nyawa-nyawa ikan. Jika pun aku berjaya membawanya keluar dari hutan ini, tabib terdekat berada di Narai-juku. Namun kudengar Narai-juku dilanda kebakaran besar semalam. Tabib tiada di sana, semuanya sibuk menguruskan mangsa kebakaran. Dan Narai-juku agak jauh dari sini.

Mungkin aku patut berputus asa sahaja, getus Suzuki penuh keterkilanan. Dia melepaskan pedangnya, berdiri bertongkatkan kedua-dua belah lutut, memandang Tsuneki yang sudah nyawa-nyawa ikan penuh terkilan.

Mengapa aku benar-benar bodoh. Aku lagi sejengkal dapat merasakan kuasa Hamada. Lagi sejengkal! Dan pengakhirannya begini... Lebih baik, lebih baik aku...

Ryouji memandang Tsuneki tepat yang sudah nyawa-nyawa ikan di ribaan Hisamiko. Tangan kiri Ryouji memegang tangan Tsuneki, dan dia cuba sedaya upaya mengerah tangan kanannya yang masih kaku agar dapat memegang sebelah lagi tangan Tsuneki. Kesukaran menggenggam dengan tangan kaku itu seperti engkau cuba menggenggam segugus jerami yang tebal. Sekuat mana sekalipun genggamanmu, jerami itu tetap tidak termampat dek keras dan kejalnya.

“Tsuneki, aku gembira sejak kita bertemu di rumah Takasaki. Maafkan aku, kerana aku engkau dicederakan begini. Maafkan aku, Tsuneki!”

“Ryouji...engkau sahabatku...Hisamiko...aku...aku cintakan engkau...”

“Tsuneki, aku pun...” Air mata Hisamiko jatuh berjuraian membasahi pipi Tsuneki.

Arigatou...arigatou Hisamiko, Ryouji. Ureshii na... hontou ni... omaera no tomodachi ni natte koto... (aku gembira, sungguh. Saat-saat kita bersahabat selama ini). Otou-san, otou-san (Ayah), aku datang bertemumu sekarang. Otou-san... aku, aku amat rindukan engkau...” Mata Tsuneki perlahan-lahan terkatup, air mata terakhirnya meleleh menuruni pipi.

Hisamiko meraung sekuat hatinya, seperti seolah-olah hatinya baru dirobek dan disiat-siat. Ryouji memeluk adiknya dengan tangan kanannya yang masih kaku dan tidak boleh digenggam buka, cuba meredakan kelukaan Hisamiko.

Tatkala itulah, sekeliling Ryouji gelap gelita.

Aku, aku di mana? Mengapa tiba-tiba raungan Hisamiko hilang?

Kemudian muncul satu bintik cahaya seperti bintang tunggal.

Aku sumpahan hayabusa.” Kedengaran satu suara. Ryouji memusing kepalanya ke kiri, kanan, belakang, cuba mengesan punca suara itu.

Tidak perlu engkau kesani aku. Cukup dengariku.

“Sumpahan hayabusa? Celaka, siapakah geranganmu?”

Akulah yang melekap di belakang badanmu selama ini.

“Engkau celaka! Engkau yang mengkakukan tanganku dan menyakitkanku selama ini!”

Suara itu ketawa. Bunyinya menakutkan. Meremang bulu roma Ryouji.

Sudah banyak kali aku cuba menggagalkanmu. Ryouji, kali ini aku pasti berjaya! Sekarang, lunaskan dendam rakanmu. Hutang darah mesti dibayar darah!

“Apa maksudmu, sumpahan celaka?!”

Aku gemar menumpang pada jasad yang dikuasai dendam. Ryouji...mengapa, mengapa saat itu engkau melepaskan Sonzaemon? Sedang aku benar-benar hampir menjadikan tubuhmu satu denganku! Namun itu cerita lama. Kali ini, Ryouji, turutkanlah dendammu. Bunuh Suzuki. Bunuh dia! Tuntut bela nyawa rakanmu!

Tiba-tiba cahaya dari bintang tunggal membesar dan menyilaukan. Cahayanya menelan suasana sekeliling menjadi putih-seputihnya. Ryouji terpana. Apa yang sedang berlaku?

Suara yang berkata-kata kepadanya sebentar tadi berubah kepada suara menjerit kesakitan. Lolongannya panjang, dan menakutkan. Sepertinya suara itu sedang diseksa secukupnya oleh cahaya putih dan menyilaukan itu.

Ryouji...” Kedengaran suara lain menyeru nama Ryouji. Suara itu lebih rendah kelangsingannya dari suara sumpahan hayabusa, dan bergema.

Aku hayabusa-no-kami. Rakanmu Tsuneki telah berpesan kepadaku agar menyerahkan kuasanya, iaitu dua persepuluh daripada kuasa Amaguri kepada kalian puak Okuhida sekiranya dia mati. Maka aku ingin memaklumkan bahawa permintaannya telah ditunaikan. Okuhida Ryouji, engkau dan adikmu kini memegang empat persepuluh daripada keseluruhan kuasa Amaguri.

“Apa?”

Aku telah menunaikan tuntutan Higashihara Tsuneki.” Sebaik menghabiskan kata-kata suara itu hilang. Ryouji kembali ke alam nyata, melihat Hisamiko masih menangis teresak-esak memangku jasad Tsuneki.

Dia merasakan sesuatu. Tangannya pulih kembali. Namun tanda hitam itu masih wujud. Bererti sumpahan hayabusa masih belum dimusnahkan, dan masih melekap pada jasadnya.

Previous: Bab 104
Next: Bab 106

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov