Minggu pertama menjalani praktikal di Everlast Holdings, banyak juga yang aku pelajari. Memandangkan banyak produk baru yang bakal dipasarkan, maka jabatan pemasaran itu agak sibuk. Aku ditugaskan untuk membantu Sara dan seorang lagi eksekutif pemasaran iaitu Linda untuk membuat promosi produk built-in closet. Seronok juga dapat mengaplikasikan sedikit sebanyak apa yang dipelajari di universiti dulu ke alam pekerjaan. Melihat bagaimana apa yang dipelajari secara teori dulu digunakan secara praktikal dalam setiap tugasan. Aku juga berpeluang belajar banyak teknik pemasaran yang baru daripada kedua-dua mereka. Sara terutamanya memang sangat membantu. Tidak lokek dengan ilmu. Linda, walaupun tidak seramah Sara tetap membantu apabila melihat aku terkial-kial menyelesaikan tugasan.
Ketika jam merangkak ke angka 12.05 tengah hari, aku meminta diri untuk keluar lunch. Pagi tadi aku berjanji untuk ke food court yang jaraknya hanya beberapa meter dari pejabat itu bersama Hana dan Isaac. Setibanya di lobby pejabat, kedua mereka sudah pun menunggu. Walaupun kedatanganku disambut dengan muncung daripada Hana, aku menjadikan senyuman manis Isaac sebagai penawarnya. Jadi menurutku semuanya masih normal dan terkawal. Kami berjalan kaki bersama menujuke arah food court. Tidak sabar mengisi perut yang sudah berkeroncong minta diisikan. Langkahku terhenti seketika apabila disiku oleh Hana. Aku memandangnya geram dan menjingkitkan kening meminta penjelasan.
“Arah jam 3 petang. Abang you dan Haris.” Jawabnya berbisik dan begitulah mudahnya jantungku berdetak kencang. Perlahan-lahan aku menghalakan pandangan mengikut arah yang dinyatakan Hana. Benar. Di tepi gerai Nasi Kari Banjir itu, aku menangkap kelibat kedua mereka sedang asyik menikmati hidangan tengah hari masing-masing. Pantas aku menarik tangan Hana menuju ke arah mereka setelah mendapati meja panjang itu mempunyai ruang yang cukup untuk menempatkan kami bertiga.
“Jom.”Ajakku dan cepat mengatur langkah. Aku menarik kerusi di sebelah Rich dan duduk tanpa meminta kebenarannya. Aku ingin mengambil peluang itu untuk sesekali mencuri pandang ke arah Haris yang duduk bertentangan dengan Rich. Terasa begitu lama tidak menatap wajahnya. Kali terakhir bersua dengannya adalah pada hari pertama aku menjejak kaki ke Everlast Holdings, hari Isnin yang lalu. Dia dekat tapi jauh. Sedih.
“Banyak lagi meja kosong kat sana. Kenapa duduk sini?” Soal Rich tidak puas hati. Aku hanya tersengih sebagai menjawab soalannya itu.
“You dah lama tak belanja I. I rasa nak laksa special hari ini. Mesti extra sedap kalau abang I yang bayarkan.” Jawabku sambil mengerdip-ngerdipkan mata padanya. Cuba membuat wajah comel. Rich membulatkan mata mendengarnya. Aku menghadiahkan senyuman manis kepada Haris apabila melihat dia tersengih sambil mengeleng-geleng kepalanya mendengar perbualan kami.
“Okay, pergilah order.” Ujarnya mengalah.
“You tolong orderkan boleh? Bukannya selalu.” Pujukku. Sekali sekala menggunakan kuasaku sebagai adiknya seronok juga. Rich mengeluh panjang. Mungkin cuba menyabarkan dirinya.
“Biar I orderkan. Reia nak laksa special kan?” Soal Isaac yang sedari tadi menjadi pendengar setia. Mungkin cuba menyelamatkan keadaan. “Kebetulan I pun rasa nak makan laksa.” Tambahnya sambil mengangkat kedua belah tangan apabila Rich menghantar pandangan tidak senang padanya. Pantas dia bangun dan menuju ke gerai laksa selepas aku mengangguk mengiyakan soalannya tadi.
“See, I rasa you kena belajar jadi gentlemen sikit macam Isaac. Maybe sebab ni you belum ada steady girlfriend.” Bisikku, ikhlas menasihatinya. Tawa kecil daripada Hana dan Haris menyedarkanku bahawa nasihat yang aku khaskan untuk abangku itu turut didengari oleh mereka. Tidak mengapa, jika nasihatku itu dapat membantu lebih ramai lelaki di luar sana bolehlah aku menganggap ianya sebagai sumbangan kecilku kepada masyarakat.
“Tak lucu pun.” Komen Rich geram.
“Siapa cakap I buat lawak?” Soalku pula.
“I hope you bring enough money to pay for your lunch. Tak jadi I nak belanja you.” Ugut Rich dengan muka masamnya.
“Ala janganlah merajuk, I main-main je.” Pujukku dengan wajah sedih yang dibuat-buat.
“Don’t worry, lunch is on me.” Celah Haris tiba-tiba. Dia mengeluarkan not RM50 dan meletakkannya di atas meja.
“No bro. I takutkan budak ni je tadi. Keep your money. I will pay.” Tegasnya kepada Haris sebelum dia sendiri mengeluarkan duit dari dompetnya dan menyerahkan padaku yang menyambutnya dengan senyuman lebar.
“Thank you. Tell me you are not mad at me.” Pintaku sambil tersenyum padanya.
“If I do, you will tell Mama. Lepas tu, Mama akan call I non-stop. So no.” Akuinya membuatkan aku tersenyum gembira. Aku menghantar senyuman colgateku kepada Haris dan Hana yang ketawa kecil, mungkin seronok mendengar perbincangan kami itu.
“Are you ready to go now?” Soal Haris kepada Rich yang mengangguk. “Jumpa lagi.” Ujarnya kepada kami bertiga sebelum berdiri dan mengatur kerusinya. “And Reia…”Panggilnya mengejutkanku. Aku memberikan perhatian padanya. Bukan selalu Haris mahu menegurku. Jadi jika detik itu tiba aku akan menikmatinya sebaik mungkin. “Thanks for entertaining us today.” Sambungnya sambil tersengih panjang membuatkan muncungku kembali. Nah, jatuh lagi sahamku. Akumenghantar jelingan tajam kepada Hana yang sedang seronok ketawa. Isaac yang terlepas drama itu tadi memandang aku dan Hana silih berganti dengan wajah kelirunya.
“Stop it.” Pintaku pada Hana.
“Okay-okay, I’m sorry.” Ujar Hana. “Tapi I kena akui I pun terhibur tadi.” Tambahnya membuatkan aku mencebik. “I think you need to make some changes if you want him to see you differently.” Bisiknya menasihatiku. Ya, itu hakikat yang perlu kuakui.
“What did I miss?” Soal Isaac pula. Namun aku dan Hana hanya saling berpandangan dan meneruskan suapan. Tanpa pilihan dia turut kembali menikmati laksanya sebelum kemudian kami bergerak kembali ke pejabat.
*********************
Sekitar 3.30 petang baru aku dan Sara kembali ke pejabat. Kami ke gudang perabot sebentar tadi. Ingin meneliti sendiri produk yang perlu kami promosikan itu. Seronok mencuci mata melihat pelbagai jenis perabot yang cantik dan berkualiti tinggi yang dihasilkan di situ sehingga hampir terlupa yang kami masih berada dalam jam kerja. Diam-diam aku menyimpan beberapa jenis perabot di dalam hati. Ingin memilikinya suatu hari nanti bila sudah mempunyai wang sendiri.
Tidak ramai berada di pejabat ketika itu. Mungkin masing-masing keluar untuk tugasan luar. Aku terus ke meja kerja. Memindahkan gambar-gambar yang kami ambil tadi ke dalam komputer. Aku meneliti setiap daripadanya, mencari gambar yang sesuai untuk digunakan dalam proposal kami nanti.
“Yang tu cantik.” Komen Linda sambil menunjuk kepada gambar yang sedang kuamati dengan teliti itu. “Pandai awak ambil gambar. Macam pro.” Pujinya membuatkan aku tersenyum.
“Tak adalah Cik Linda. Ni semua camera trick je.” Balasku, walaupun jauh di sudut hati aku gembira mendengarnya. “Okay, saya masukkan yang ni dalam list ya.” Ujarku dan memindahkan gambar itu ke dalam folder shortlisted yang telah sedia aku buka sebentar tadi selepas melihat Linda menangguk.
“Ermm Reia, saya nampak awak lunch dengan Encik Haris dan Encik Richard tengah hari tadi.” Ucap Linda setelah kami selesai memilih 10 keping gambar untuk kegunaan promosi produk itu nanti.
“Kebetulan kami duduk semeja. Tapi bukan saya seorang saja. Kawan sama praktikal dengan saya pun ada sekali.” Jelasku laju.
“Awak nampak mesra je dengan Encik Richard.” Komennya. “Ada apa-apa ke?” Soalnya ingin tahu.
“Sebenarnya kami dah lama kenal.” Balasku ringkas. Tidak mahu terlepas cakap dan memberitahu tentang hubungan kekeluargaan antara aku dan Rich kepadanya.
“Oh patutlah.” Ujarnya, seolah jawapanku itu membuatkannya lega. “Awak tahu tak dia dah ada steady girlfriend ke belum?” Soalnya ingin tahu. Senyuman manis terukir di wajah cantiknya. Tidak sabar mendengar jawapanku.
“Tak pasti pula saya.” Jawabku jujur. Benar aku tidak tahu sama ada abangku itu sudah punya teman wanita atau pun tidak. Yang aku tahu, dia memang tidak pernah kurang peminat. Mungkin juga kerana sifatnya yang peramah dan tidak lokek melayan membuatkan mereka tidak takut untuk cuba mendekatinya. “Kenapa? Cik Linda ada hati dengan dia ke?” Soalku ingin tahu dan melihat senyumannya melebar.
“Mestilah. Ramai je kat office ni yang tergila-gilakan Encik Haris dan Encik Richard tu. Cuba tanya Sara, confirm dia pun sama.” Ujarnya sambil mencuit Sara yang sedari tadi hanya memasang telinga itu.
“Saya ni perempuan. Mestilah tertarik dengan yang handsome. Sejuk mata memandang.” Jawab Sara sambil tersengih menjemput senyum di bibirku.
“Yelah, dahlah handsome, berduit pula tu. Siapa tak nak, kan?” Akui Linda selamba. Aku hanya mendengar, enggan mengulas kerana mereka sedang membincangkan tentang dua orang lelaki yang begitu istimewa di hatiku. Sempat aku merasa tercabar apabila nama Haris turut dibawa-bawa. Namun aku tahu, itulah hakikatnya. Orang kacak menawan pasti ramai yang tertawan. Termasuklah aku.
“Saya sebenarnya suka dengan Encik Haris. Tapi macam susah sangat nak dekat. Muka serius je memanjang. Encik Richard lain sikit, peramah. Tapi itulah, playboy pula. Belum kira lagi berapa banyak saingan yang saya ada. Tapi selagi tak jadi milik orang, rasanya masih boleh berharaplah kan.” Tambahnya berseloroh membuatkan aku ketawa kecil. Faham benar apa yang dia maksudkan. Situasinya mungkin boleh aku ibaratkan seperti perjalanan perasaanku terhadap Haris. Selagi belum menjadi milik sesiapa pun, aku akan terus menyimpan perasaan padanya. Ya, siapa tahu segala usahaku akan membuahkan hasil suatu hari nanti.
“Handsome macam mana pun, saya tahu saya tak ada peluang dah. Dah jadi tunang orang ni kena bataskan sikit pandangan ni.” Komen Sara pula sambil tersengih. “Reia pula macam mana? Berkenan dengan yang mana satu?” Soalnya pula membuatkan aku serba salah untuk menjawab.
“Awak jangan try Encik Richard pula yea. Yang tu saya punya.” Tegas Linda. Serius. Membuatkan aku teragak-agak untuk membalasnya.
“Kalau awak nak tahu, Cik Linda kita ni pernah keluar lunch sekali dengan Encik Richard beberapa bulan lepas. Tu yang dia cop terus Encik Richard tu dia punya.” Terang Sara sambil ketawa kecil namun cepat berhenti apabila melihat jelingan Linda padanya. Pasti itu topik yang sensitif baginya jika dia bertindak begitu, fikirku dalam hati.
“Dah la. Tak seronok bergosip dengan korang.” Ucapnya sebelum berlalu pergi ke meja kerjanya. Tercengang aku melihat reaksinya itu.
“Dah Reia, jangan pedulikan dia. Linda memang macam tu, angin satu badan.” Komen Sara sambil mendengus kecil. Aku pula tidak tahu cara untuk bertindak balas. Enggan berselisih faham dengan sesiapa pun di dalam pejabat ini. Kalau boleh, aku ingin ada hubungan baik dengan setiap staf agar mudah untukku meneruskan sesi latihan praktikal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. “Linda tu bukan apa, mesti dia rasa tercabar sebab awak ni cantik. Mesti dia takut awak jadi saingan dia nanti.” Tambah Sara mengejutkanku.
“Eh tak mungkinlah. Lagipun saya betul-betul takkan jadi saingan dia.” Ujarku perlahan. Memastikan ayat yang aku suarakan tidak mendedahkan apa-apa rahsia. Inilah antara sebab aku tidak setuju dengan cadangan Rich untuk merahsiakan hubungan kekeluargaan kami dulu. Jika Linda tahu aku adalah adik kepada lelaki pujaannya, pasti dia akan melayanku dengan baik dan tidak akan menganggapku musuh. Aku kembali ke rumah dengan minda yang sesekali menerawang kembali kepada topik itu.