Home Novel Cinta Seseorang Seperti Dia
Bab 1

            Aku merenung wajah tampan insan yang sedang lena di sebelahku itu dengan penuh rasa sayang. Perlahan-lahan aku bangun dari pembaringan dan menongkat dagu memandangnya. Sungguh aku terpesona melihat ketampanannya. Aku mendekatkan wajahku dengannya. Cuba menghirup sebanyak mungkin bau wangiannya yang maskulin. Bau yang hanya boleh kunikmati bila mendekatinya. Wajah indah milik penghuni hatiku itu kutenung lagi. Senyuman terasa memekar di bibirku apabila mendengar bunyi hembusan nafasnya yang tenang turun naik. Mengambarkan betapa dia sedang lena hanyut dibuai mimpi indah. Jariku dengan sendirinya menari-nari di wajah itu. Pandanganku jatuh pada bibirnya yang seakan mengundang aku untuk mengucupnya. Aku ingin sekali mengucupnya, namun mampu kutahan. Tidak ingin mengganggu lenanya.

            Aku mengalihkan pandangan. Kini membelai lembut pipinya, menghadiahkan sebuah ciuman lembut di situ sebelum jariku beralih meniti di keningnya yang hitam lebat itu. Gerak jariku terhenti seketika apabila aku melihat alis matanya bergerak-gerak. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Mataku kini bertentang dengan mata indahnya yang berwarna coklat cair itu. Sungguh aku terpesona kala dia tersenyum membalas renunganku. Pandangannya cukup romantis membuatkan jantungku yang tadinya berdegup normal mula berdetak kencang. Tangannya pantas membelai wajahku dengan penuh kasih. Aku membiarkan diriku hanyut dalam rasa bahagia menikmati sentuhannya yang amat kudambakan. Irama latar yang sayup-sayup kedengaran juga menambahkan lagi keromantisan suasana itu.

“Reia sayang…” Ucapnya lembut sambil mengelus-elus pipiku. Membuahkan bunga-bunga bahagia dihatiku. Aku ingin membalas namun suaraku bagaikan tersekat di kerongkong. Tiada bunyi yang keluar walau berkali-kali aku membuka mulut. “Reia sayang..” Ulangnya lagi sambil mengucup lembut dahiku. Dapat kurasakan bibirku kembali mengukir senyum. Tenggelam dalam kegembiraan yang datang merajai diri. Namun perlahan-lahan semuanya menghilang. Membuatkan aku terpinga-pinga tidak mengerti apa yang sedang terjadi. Belaian mesranya juga tiba-tiba terasa berubah menjadi tepukkan di pipiku. Aku terkebil-kebil memandang sekeliling. Dalam mamai mataku meliar mencari kelibatnya, namun hampa apabila masih gagal menemuinya.

“Reia sayang, bangun.” Aku terdengar lagi suara itu. Namun kali ini bunyinya berubah. Kini kedengaran seperti suara Mama. Mama? Pantas aku membuka mata seluas-luasnya. Hairan melihat Mama di situ, menepuk-nepuk pipiku. Dan tanpa rela aku memaksa diriku terjaga. Ternyata semuanya hanya mimpi. Aku mengeluh hampa di dalam hati. “Bangun Reia.” Ulangnya lagi. Kali ini sedikit keras sambil menarik comforter yang menutupi separuh tubuhku itu.

“Masih awal kan Ma? Alarm Reia tak bunyi pun lagi.” Balasku malas sambil menarik semula comforter tebal berwarna merah jambu lembut itu dan kembali menutup mata. Berniat untuk menyambung semula mimpi indah sebentar tadi. Oh indahnya mimpi. Semuanya terasa seperti realiti. Bukan selalu dia singgah dalam mimpiku, jadi selagi mampu aku akan cuba menjejaknya kembali. Walaupun hanya dalam mimpi. Makin parah rasanya angauku padanya. Betapa aku berharap ada ubat yang boleh menyembuhkan aku daripada penyakit ini. ‘Aaaaaa…’ jerit batinku geram.

“Alarm Reia dah bunyi banyak kali. Mama dah offkan.” Jawab Mama, mematikan impianku untuk menyambung tidur. “Boleh pula dia tak dengar. Mama yang kat dapur pun bingit telinga dengar tau.” Omel Mama lagi. Membuatkan rasa mengantuk yang masih bersisa tadi cepat menghilang. Pantas tanganku mencapai telefon bimbit yang kuletak di tepi katil. Berkali-kali aku mengerdipkan mata, berharap mataku tersalah lihat. Benar seperti kata Mama, jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi.

“Alamak, Reia dah lambat ni Ma. Kenapa Mama tak kejutkan Reia awal-awal.” Rengekku.

“Budak bertuah ni. Kita pula dia salahkan.” Komen Mama sambil mengeleng-gelengkan kepala, tidak gembira mendengar kata-kataku itu. Pantas aku bangun dari katil. Tertawa kecil apabila terjatuh gara-gara sebelah kakiku masih berlingkar pada comforter yang setia menjadi peneman tidurku setiap malamSekurang-kurangnya tingkahku itu berjaya membuatkan Mama ikut ketawa.

          Aku tidak sepatutnya bangun lambat. Hari ini merupakan hari pertama aku akan memulakan latihan praktikal di Everlast Holdings. Syarikat yang menjadi pilihan utamaku sejak kali pertama Puan Jackline, pensyarah jurusan kami mengumumkan tentang latihan industri yang perlu kami jalani sebagai syarat sebelum menamatkan pengajian. Kebetulan abangku Rich juga bekerja di syarikat itu, jadi aku dengan tidak malunya meminta bantuannya untuk mendapatkan ruang buat aku dan sahabat baikku Hana, untuk berpraktikum di situ. Mungkin menurut orang luar, aku menggunakan kabel. Namun bagiku, itu semua adalah hasil networking yang baik dengan orang di dalamnya. Lagipun peluang itu aku perolehi dengan usaha dan hasil pujukkanku yang berjaya. Jadi ia tidaklah semudah yang disangka.

“Cepat sikit. Mama tunggu kat bawah, kita breakfast sama-sama nanti.” Ujar Mama sebelum keluar dan menutup pintu bilik.

“Ay..ay captain.” Jeritku sambil bergegas ke bilik mandi untuk menyempurnakan rutin pagiku. Dengan masa yang terhad, aku tidak boleh berlama-lama di bilik mandi. Aku tersenyum lebar memandang wajah ceriaku di dalam cermin. Aku punya sebab yang kukuh untuk tersenyum. Hari ini bukan sahaja hari pertama aku akan belajar menjalani apa yang dinamakan alam pekerjaan tapi juga merupakan langkah pertama untuk aku mendekati penghuni tegar hatiku yang merupakan anak pemilik syarikat itu.

           Senyumanku tambah melebar apabila mengenangkan betapa indahnya mimpiku sebentar tadi. Jika mimpiku tidak diganggu mungkin kami kini sedang bahagia melayari bahtera cinta. Oh indahnya bermimpi. Betapa aku inginkan semua itu menjadi kenyataan. Betapa indahnya jika semuannya semudah itu. Apa pun, aku tekad menjadikan mimpi itu sebagai motivasiku untuk memulakan hari ini dengan penuh semangat. Aku berpusing-pusing di hadapan cermin. Ingin memastikan penampilanku mampu membuatkan aku berasa yakin untuk mengharungi hari pertama di sana. Jika aku bernasib baik mungkin aku akan berpeluang menatap wajahnya hari ini. Siapa tahu kan? Kebarangkalian sentiasa ada, jadi aku harus tampil menarik setiap masa untuk sekurang-kurangnya membuatkan dia menoleh seketika. Membayangkannya sahaja sudah mampu membuatkan aku gila bayang. Tidak dapatku jangkakan apa yang akan kulakukan jika ia benar-benar terjadi.

             Aku hanya berdandan ringkas. Mengenakan dress formal berwarna putih melepasi paras lutut yang kupadankan dengan blazer berwarna hitam. Aku tersenyum sendiri sambil membuat isyarat tabik setelah berpuas hati dengan penampilan yang kulihat di dalam cermin itu. Selesai menyiapkan diri, aku mengambil telefon bimbit. Menjeling sekilas dan melihat notifikasi miscall dan beberapa pesanan WhatsApp daripada Hana. Aku menekan punat buka dan membaca setiap pesanan dengan sengihan di wajah.

Hana:Where are you? 7.05am

Hana:You’re late. 7.08am

Hana: For the love of God, where the hell are you?   7.30am

Reia: On my way, see you there.  7.45am

            Selesai membalas mesej Hana aku mengapai handbag yang sudahku sediakan malam tadi sebelum menuruni anak tangga ke tingkat bawah.

Sorry Ma, Reia dah lambat ni.” Ucapku pantas setelah sampai ke meja makan. Mama tersenyum sambil mengangkat ibu jari menandakan dia berpuas hati dengan penampilanku. Itu sudah cukup untuk menaikkan keyakinanku. Papa pula tidak kelihatan. Pasti dia sudah berangkat ketempat kerja seperti kebiasaannya. Tanganku pantas mencapai secawan susu yang sudah terhidang dan meneguk isinya sepantas mungkin. “Jalan dulu. Love you.” Tambahku sambil mengatur langkah.

 “Eh Reia, bawa ni sekali. Breakfast kat sana nanti.” Ujar Mama, mematikan langkahku sejenak. "Kalau jumpa Rich nanti, minta dia call Mama. Semalam Mama call dia tak angkat.” Tambah Mama lagi sambil menyerahkan Tupperware berisi breakfast itu kepadaku. Aku mengangkat tangan, membuat isyarat tabik sebagai menjawab sebelum memasuki kereta dan memecut ke destinasi. ‘Haris, here I come!’  jerit hatiku.

 

*************************

You’re late.” Ucap Hana sebaik sahaja aku melabuhkan punggung di sebelahnya. Mujur ruangan menunggu itu masih lengang.  Batang hidung penyelia kami juga masih belum kelihatan. Aku tersenyum, ini menandakan aku tidaklah selewat yang kusangkakan.

“Taklah…I’m just fashionably late.” Jawabku sambil menjelirkan lidah padanya. “Penyelia kita pun tak sampai lagi kan?” Tambahku sambil menoleh ke kiri dan kanan mencari wajah orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia kami nanti.

“’Penyelia’ as in your brother yang you cari-cari tu dah masuk office. Dia dah jumpa I tadi. I can’t believe you’re using your secret weapon on the very first day. And for your information he’s not happy.” Jelas Hana membuatkan aku terlopong.

“Did he look mad?” Soalku ingin tahu. Panik memikirkan hari pertamaku di sini tidak seindah yang kuharapkan.

“Of course. And for the record, I’m not happy with you too.” Ujarnya. “Semalam you cakap kita masuk kerja sama-sama, buat tugasan sama-sama, pokoknya semua sama-sama. Tengoklah apa you buat on the very first day.” Tambahnya lagi. Muncung bibirnya berbicara. Marah benar nampaknya kalau dia sudah begitu. Aku hanya tersengih mendengar bebelannya. Sedar yang semuanya berpunca dariku sendiri. Rasa bersalah pula melihat dia merajuk.

“Ala Hana sayang, I’m sorry okay. Tak sengaja pun, malam tadi susah nak tidur. You tau kan macam mana I bila nak ke tempat baru?” Jelasku cuba memujuk. “janji, ni yang pertama dan terakhir.” Tambahku lagi sambil menggangkat tangan, berikrar padanya.

Okay, tapi I nak double cheese burger McD lunch nanti. Your treat.” Balasnya membuatkan aku tersenyum lebar. Aku yakin, itu tanda perdamaian daripada Hana. “…and one more thing, jangan lupa kenapa kita kat sini. So, you better not make me wait one more time.” Tegasnya.

Duly noted, my dear friend.” Jawabku sambil membuat tabik hormat sekaligus menjemput senyuman hadir di bibirnya.

“Korang ada sebab lain ke kat sini selain daripada menjalani praktikal?” Soal seseorang tiba-tiba membuatkan perbincangan kami terhenti. Aku mengangkat kepala dan bertentang mata dengan seorang jejaka yang tidak kukenali. “Siapa si cantik ni, Hana?” Tambahnya lagi sambil tersengih-sengih merenungku dari atas ke bawah. Membuatkan aku menjegilkan biji mata padanya. Sekaligus mengundang tawa kecilnya.

“Oh, Isaac. Kenalkan, ni my ex bff Reia Ellana…Reia, Isaac.” Ucap Hana memperkenalkan kami. Terlopong aku mendengar dia membahasakan aku sebagai ex bffnya. Nampaknya tidak semudah itu mendapatkan kemaafan daripadanya hari ini. “You tau kan ini kali pertama I masuk office ni. I tak tau mana nak tuju tadi. I mundar mandir di parking lot macam orang gila try to reach you.” Terang Hana sambil menjelingku. “Nasib baik ada Isaac. Dia yang temankan I sepanjang pagi tadi.” Tambahnya lagi. Ok jadi sebab itulah dia marah sangat.

“Please don’t be mad. At least you got yourself a new friend.” Usikku sambil memandang sekilas Isaac yang belum habis senyum di bibirnya. “Dah lama kerja kat sini?” soalku, cuba berbasa basi membuatkan dia ketawa kecil.

I pun buat praktikal kat sini. Bahagian IT.” Terang Isaac.

“Oh.” Komenku ringkas.

“So kenapa korang kat sini? Bunyi macam ada misi dan rahsia besar je.” Soal Isaac pula ingin tahu. ‘Penyibuk’ fikirku dalam hati.

“Haris!” Ucap Hana tiba-tiba. Keras dia menyiku lenganku. Mengejutkan aku yang sedang leka bermonolog sendiri.

“Haris?” Soal Isaac.

“Hana!” Jeritku pula, tidak percaya sahabat baikku berkongsi rahsia besarku kepada orang yang baru pertama kali ditemuinya.

No Reia, tu Haris…dengan abang you.” Bisik Hana lagi sambil memuncungkan bibirnya ke arah belakangku. Serta merta aku merasakan jantungku berdegup kencang. 


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cherish Aleyya