Bab 22

           Aku mengeliat kemalasan, meraba-raba di sebelahku cuba mencari keberadaan Haris, namun tiada. Bahagian tempat tidurnya terasa sejuk, bermakna dia sudah lama bangun dari pembaringan. Pantas aku membuka mata. Terkejut melihat cahaya terang sudah mengisi penuh ruangan bilik. Sticky note yang dilekatkan di atas bantalnya cepat kugapai.

‘I’m out for work, baby. Sorry tak kejutkan you. I know you’re tired. New project has started. Might be extra busy. Apologies in advance in case I don’t respond to your call or message. See you later. Love you.’

            Aku tersenyum membaca nota itu. Begitulah kebiasaan Haris. Dia akan meninggalkan nota untukku andai tidak sempat berbicara dulu denganku sebelum ke kemana-mana. Dan ya, aku hargai itu. Nota itu aku kumpulkan di dalam laci meja kecil di tepi katil bersaiz king itu. Sudah banyak koleksi notanya aku tinggalkan di situ. Pasti seronok membacanya kembali suatu hari nanti.

            Aku mengapai telefon bimbit. Terkejut melihat jam sudah merangkak ke angka 9.05 pagi. Sudah lama rasanya aku tidak bangun selewat ini. Mungkin juga kerana kepenatan. Hampir setiap malam kami menyulam cinta. Aku tidak membantah memandangkan Haris kelihatan agak tertekan kebelakangan ini. Katanya mengendalikan projek besar dari syarikat besar memerlukan komitmen yang lebih besar. Perlukan lebih kerja untuk memastikan semua aspek dapat dicapai dengan jayanya. Jadi jika itu boleh membuatkan dia melupakan sebentar tekanan yang dia rasa, aku rela. Sambil tersenyum, aku membalas notanya melalui WhatsApp.

Reia: Sorry, just woke up. 9.10a.m

Reia: Have a great day at work. 9.11a.m

Reia: Love you, sayang. 9.11a.m

            Setelah bermalasan hampir setengah jam, barulah aku ke bilik air. Menyempurnakan rutin pagiku seperti biasa. Aku menduga Haris benar-benar sibuk apabila aku tidak menerima sebarang balasan darinya. Jika diikutkan, dia memang sudah mula sibuk di awal bulan ini. Terkadang pulang lewat demi projek baru mereka. Memandangkan aku pernah bekerja di syarikatnya dulu, jadi aku faham realitinya. Jika dia mengatakan dia sedang sibuk, itu bermakna dia benar-benar sibuk.

             Demi menghilangkan rasa bosan, aku ke kebun bunga di depan rumah. Membuka paip air dan mula menyiram bunga-bunga indah itu. Terbuai seketika menyaksikan rama-rama dan serangga-serangga kecil penghisap madu bunga turut sama menghargai keindahan di taman bunga kecilku itu. Sekitar tengah hari barulah aku sibuk mencari makanan, membawanya ke ruang tamu untuk dinikmati di hadapan TV. Itulah antara rutinku kini setelah menjadi suri rumah sepenuh masa. Terkadang aku menyesal menuruti cadangan Haris agar tidak terus bekerja selepas tamat pengajianku enam bulan yang lepas. Katanya aku boleh mengambil peluang ini untuk berehat sepuas-puasnya sambil memikirkan apa yang benar-benar ingin kulakukan nanti. Memang bosan, namun menurut Haris, dia lebih suka begitu kerana masaku akan lebih fleksibel untuk bersamanya. Mungkin juga kerana sering menyuarakan kebosananku padanya menyebabkan dia sangat komited dengan misinya membuatkan aku hamil agar aku punya teman di rumah.

            Sekitar pukul 5 petang aku mula memasak nasi dan memilih menu untuk ditempah sebagai makan malam kami nanti. Ya, aku memang sudah belajar memasak, namun kemahiranku masih belum cukup membanggakan untuk membahagiakan perut suamiku. Dan ya, aku masih dilarang untuk memasak ketika berseorangan di rumah. Terlalu berisiko katanya. Aku tidak mampu membantah kerana hampir semua mereka yang mengetahui tahap kemahiranku di dapur turut menyokong cadangannya itu.

             Aku masih ingat bagaimana aku merajuk kepada Mama, Papa, Rich dan Hana dulu gara-gara sepakat dengan Haris untuk membantutkan usahaku menjadi tukang masak professional di rumah. Bahkan Ibu dan Baba yang pada mulanya menyebelahiku juga menyatakan persetujuan untuk berpindah pihak setelah melihat hasil kerjaku di dapur. Hampir sejam aku tidak bercakap dengan Haris gara-gara peristiwa itu. Mujur kemahiran memujuknya sangat luar biasa, jadi aku dengan mudah memaafkan bukan sahaja dia bahkan seluruh ahli keluargaku yang turut terlibat menyebabkan aku kekal sebagai tukang masak pembantu sehingga ke hari ini. Sekitar pukul 7 petang, semuanya sudah pun terhidang, namun kelibat Haris masih belum juga kelihatan. Aku mengapai telefonku dan melihat pesanan darinya.

MyHaris: Sorry baby, I’ll be late today.  6.55p.m

MyHaris: Don’t wait for me, okay.  6.56p.m

Reia: Okay sayang.  7.03p.m

            Dengan rasa terpaksa aku menjamu selera seorang diri. Walaupun Haris sudah berpesan agar tidak menunggunya, namun seperti biasa aku tetap berbuat demikian. Aku ke ruang tamu, memasang TV dan mula menonton drama. Berharap ia mampu membuatkan aku kekal segar menunggu kepulangannya. Entah bila aku terlelap, aku juga tidak tahu. Apa yang pasti, Haris memindahkan aku ke kamar tidur kerana di situlah aku terbangun keesokkan paginya. Ketika dia sekali lagi sudah pun berangkat ke pejabatnya. Seperti hari-hari semalam, hanya nota yang ditinggalkan untukku. Walaupun kecewa, nota cintanya masih mampu membuatkan aku tersenyum.

             Aku tidak menyangka bahawa aku sekali lagi terlepas peluang untuk bersemuka dengannya hari ini. Demi menceriakan hatiku, aku segera mengapai telefon, cuba menghubunginya namun terkejut apabila mendapati deringannya kedengaran begitu dekat. Aku mengeleng kepala saat menyedari telefon Haris rupanya tertinggal di rumah. ‘Sekurang-kurangnya aku punya alasan untuk ke pejabatnya hari ini.’ bisikku sambil tersenyum sendiri.

 

****************************

            Setelah berpuas hati dengan penampilanku, barulah aku melangkah keluar dari rumah. Aku singgah di kedai makan terlebih dahulu, membeli makanan untuk Haris sebelum seterusnya memandu ke pejabatnya. Aku baru mengapai tombol pintu kereta apabila merasakan denyutan telefon di dalam handbagku. Telefon peribadi Haris yang berada dalam mode silent itu, aku amati. 20 notifikasi panggilan tidak dijawab daripada nombor yang sama, tapi peliknya ia bukan dari senarai dalam contact listnya. Setahuku nombor peribadinya ini hanya diketahui oleh keluarga dan sahabat rapatnya sahaja. Jadi melihat nombor yang tidak dikenali di situ menjentik sedikit rasa curigaku.

            Beberapa minit kemudian kehadiran pesanan WhatsApp dari nombor tersebut pula menganggu konsentrasiku. Aku sering mengingatkan diri agar menjadi seorang isteri yang sentiasa menghormati privasi suaminya. Namun, kerana desakkan rasa ingin tahu yang terlalu kuat, buat pertama kalinya aku melanggar janji itu. Benar seperti kata pepatah ‘curiosity killed the cat’  kerana itulah ibaratnya apa yang aku rasakan selepas membaca pesanan-pesanan daripada nombor yang tidak dikenali itu.

Unknown: Please answer my call.  10.30a.m

Unknown: It’s me B.  10.31a.m

Unknown: Talk to me please. 10.31a.m

Unknown: Let me explain. 10.32a.m

Unknown: We miss you. 10.35a.m

            Jantungku berdegup kencang saat membaca pesanan-pesanan itu. Entah kenapa, ia membangkitkan debaran di dadaku. B? Siapa B? Apa yang dia ingin terangkan? Siapa dia sehingga berani mengungkapkan perkataan rindu kepada suamiku? Begitu banyak persoalan bermain di mindaku ketika itu. Dengan perasaan yang bercampur baur, aku melangkah ke pejabat Haris. Walaupun hatiku sedang digayut resah namun aku tetap tersenyum menyapa kakitangan yang kebanyakkannya sudah mengenaliku itu.

“Puan Reia. Ada hajat apa datang kemari?” Usik Azlan sambil tersengih padaku.

“Hai Azlan. Husband I ada kat dalam tak?” Soalku sambil merenung pintu pejabatnya yang tertutup rapat itu.

“Bos ke site sepanjang hari ni. Baru je keluar setengah jam yang lepas.” Terang Azlan membuatkan aku mengeluh hampa. “Awak dah cuba call ke?” Soalnya lagi.

“Phone dia tertinggal kat rumah. Sebab tu I datang. Ingat nak hantarkan dan lunch sekali dengan dia nanti.” Jawabku sambil menunjukkan bekas makanan yang aku bawa itu.

“Bos memang dah pesan tadi yang dia akan ada kat site sepanjang hari. Nanti kalau ada staf yang ke sana saya boleh minta dorang pass phone tu kat bos.” Cadang Azlan. Tanpa pilihan lain aku mengangguk.

“Thanks Azlan. Memandangkan bos tak ada, saya balik dululah. Yang ni untuk awak.” Ujarku sambil meletakkan bekas makanan itu di atas mejanya. Seleraku juga terasa mati apabila mendengar Haris tiada di situ.

“Thanks Reia. Bos memang busy sekarang ni. Jarang ada kat office.” Tambah Azlan dan aku mengangguk lagi.

            Dengan fikiran yang masih sarat dengan tanda tanya, aku memandu terus ke rumah keluargaku. Namun mindaku acap kali kembali menerawang kepada pemanggil dan pesanan misteri itu. Siapakah dia? Tak mungkin Haris curang padaku. Putusku. Rasanya hubungan kami tiada sebarang masalah. Bagiku, hari-hari yang berlalu masih terasa seperti bulan madu. Yang berubah kini hanyalah, Haris mula sibuk mengendalikan projek baru syarikatnya. Terkadang dia pulang lewat, namun aku yakin kelewatannya itu adalah atas urusan kerja. Aku percayakan dia dan aku tidak mahu meraguinya. Dengan semangat baru aku menutup pintu kereta dan masuk ke dalam rumah.

“Mama nak ajar Reia masak apa hari ni?” Soalku sebaik melihat Mama sedang asyik mengupas halia di dapur, tidak menyedari kehadiranku.

“Budak bertuah ni.” Ucap Mama sambil mengurut dadanya. Aku hanya ketawa kecil sambil mencium pipinya sebagai menjawab. Seperti biasa, ciumanku berjaya membuatkan Mama tersenyum. Nampaknya aura anak bongsuku masih lagi berfungsi dengan baik sehingga kini. “Dah jadi isteri orang pun perangai masih tak berubah kan. Suka sangat buat Mama terkejut.” Omelnya.

“Sorry Ma, tak sengaja.” Ujarku sambil tersengih dan melihat Mama mengelengkan kepalanya.

“Datang sorang je? Suami kamu mana?” Soalnya kemudian.

“Haris kerja. Dia busy dengan projek baru. Tu yang Reia datang ni. Nak cari teman borak.” Terangku.

“Haa..sekarang baru kamu faham kenapa Mama nak sangat bela kucing dulu kan.” Jawab Mama membuatkan aku ketawa. Teringat kembali kisah disebalik kemunculan bunga ekor kucing di rumah ini.

“Reia ingat nak cari kerjalah nanti.” Ujarku menyuarakan hasratku itu.

“Kat mana? Dengan Hana?” Soalnya lagi.

“Mungkin. Hana pun cakap dia nak cari kerja lain dah. Katanya dah bosan buat telemarketing.” Jelasku dan aku melihat Mama mengangguk faham.

“Mama tak kisah. Cuma sekarang ni Reia dah ada suami. Sebelum buat apa-apa, tanya Haris dulu.” Pesan Mama. “Oh ya, bercakap pasal Haris. Bila kamu berdua nak ada anak? Mama dah tak sabar nak timang cucu ni.” Usik Mama membuatkan aku tersenyum.

“Belum ada rezeki Ma.” Balasku.

“Bukan apa, kalau dah ada anak, Reia taklah bosan duduk rumah nanti.” Terang Mama.

“Yea Reia tau. Haris pun cakap macam tu.” Ujarku sambil tersenyum sendiri. Teringat betapa komitednya Haris cuba merealisasikan impian kami itu. “Ni Mama nak masak apa? Reia nak tolong.” Soalku kemudian, cuba mengalihkan topik perbincangan.

“Ayam masak kicap. Reia suka kan?” Soalnya membuatkan aku mengangguk cepat. “Tolong Mama tumbuk bawang tu.” Ujarnya sambil menghulurkan lesung batu padaku. Aktiviti memasak bersama Mama seolah terapi buatku. Ia berjaya membawa mindaku lari dari memikirkan perkara pagi tadi. Papa juga pulang untuk makan tengah hari di rumah hari itu, sekaligus menambahkan lagi kegembiraanku. Sudah lama rasanya tidak makan bersama mereka. Selesai mengemas dapur barulah aku membuka telefon bimbitku. Tersenyum saat melihat notifikasi pesanan daripada Haris.

MyHaris: Thanks baby, hantarkan phone I. 12.35pm

MyHaris: Sorry I tak sempat jumpa you. 12.36pm

MyHaris: See you at home, okay.  12.36pm

MyHaris: But please don’t wait for me. 12.37pm

MyHaris: Might be late again. 12.38pm

            Senyumku terasa mati saat membaca ayat terakhirnya itu. Bermaksud dia akan pulang lewat lagi hari ini. Cepat aku mendail nombornya ingin mendengar suaranya, namun tidak berjawab. Dengan perasaan hampa aku meninggalkan pesanan untuknya.

Reia: I tidur rumah Mama malam ni boleh? 12.51pm

MyHaris: Okay baby. 1.25pm

MyHaris: Sorry I miss your call earlier. 1.25pm

MyHaris: Love you. 1.26pm

Reia: Love you more, sayang. 1.27pm

            Malam itu setelah berpusing-pusing untuk kesekian kalinya barulah aku berjaya melelapkan mata. Aku terbangun hanya setelah mendengar bunyi deringan telefonku yang nyaring. Memikirkan ianya panggilan daripada Haris aku cepat menekan butang jawab. Namun aku cepat sedar betapa silapnya aku setelah mendengar suara di hujung talian itu.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh