Mama sedang sibuk mencantas ranting bunga ros di depannya ketika aku sampai pagi itu. Aku meletakkan beg sandangku di atas meja pondok rehat sebelum melangkah ke arahnya. Menarik sebuah bangku plastik dan duduk di sebelahnya. Mama tersenyum, gembira dengan kehadiranku. Bangun pagi tadi, aku terus ke sini. Aku mengambil keputusan untuk bermalam di sini sepanjang hujung minggu ini dan cuba mencari masa yang sesuai untuk menyampaikan berita lamaran Haris kepada mereka.
“Ma, berapa umur Mama masa Mama dan Papa kahwin dulu?” Soalku sambil mencabut rumput kecil di dalam pasu bunga ros itu.
“19 tahun. Mama mengandungkan Rich masa umur Mama 20 tahun.” Cerita Mama sambil tersenyum. “Tiba-tiba tanya Mama soalan macam ni, kenapa? Reia nak kahwin ke?” Usiknya tanpa sedar topik itulah yang sengaja aku bangkitkan.
“Kalau Reia cakap ya, Mama izinkan?” Soalku membuatkan Mama menghentikan tugasnya dan memandangku. Mungkin cuba menilai sama ada aku bersungguh atau sekadar main-main. Mama kemudiannya bangun dan aku mengekorinya melangkah ke arah pondok rehat di tengah taman itu.
“Reia serius ke ni?” Soalnya juga serius dan aku mengangguk pantas. Lama dia berdiam sebelum kemudiannya mula berbicara. “Reia muda lagi, baru masuk 22 tahun. Belajar pun tak habis lagi.” Komennya.
“Mama pun kahwin muda, 19 tahun.” Balasku cuba mengingatkannya.
“Ya, tapi Mama dulu kahwin masa Papa kamu dah ada kerja. Mama pun bekerja masa tu.” Balas Mama membuatkan aku memuncungkan bibir. “Maksud Mama kami dah ada duit sendiri untuk mula berkeluarga.” Jelasnya lagi.
“Bakal menantu Mama pun dah bekerja.” Umpanku.
“Siapa? Mama tak tahu pun kamu bercinta, tup-tup sebut pasal kahwin.” Soal Mama. Aku tidak terus menjawab apabila merasakan getaran pada telefon bimbitku. Senyuman menghiasi bibirku setelah mataku membaca nama yang tertera. “Siapa?” Soal Mama lagi.
“Bakal menantu Mama.” Jawabku pantas sebelum menyuakan telefon itu di depannya, membiarkan dia membaca nama pemanggil itu. “Kejap ya, Reia jawab dulu.” Ucapku sebelum melangkah agak jauh dari lokasi Mama yang masih kelihatan terkejut itu. Aku menekan butang jawab dan menekapkan telefon itu di telingaku.
“Morning, baby. How are you today?” Soal Haris membuatkan kakiku terasa lemah seketika. Spontan pipiku terasa panas. Mujur dia tiada di depanku ketika ini, jika tidak aku tidak tahu di mana aku harus menyembunyikan wajahku yang pastinya sedang merah.
“Lepas dengar suara you, I think I’m more than great.” Akuiku cuba berseloroh dan mendengar dia ketawa kecil di hujung talian.
“That’s good to hear.” Balasnya. “Can I see you tonight? I nak kenalkan you pada parents I.” Jelasnya membuatkan aku menarik nafas dalam.
“What if they don’t like me?” Soalku risau.
“I promise, you have nothing to worry about.” Jawab Haris cuba menyakinkanku.
“Okay, pukul berapa?” Putusku tanpa berfikir panjang. Mendengar janji Haris sudah cukup untuk melegakan sedikit kerisauanku. Lagipun jika tidak sekarang, bila lagi.
“7.00pm. I will come and get you. You kat rumah parents you kan?” Agaknya.
“Ha'a.” Jawapku ringkas.
“See you later, baby.” Ucapnya lembut. Dengan senyuman di wajah, aku membiarkan telefon itu di telingaku sehingga skrinnya berubah gelap. Selepas kembali tenang barulah aku duduk semula di sebelah Mama, bersedia untuk menerangkan padanya.
“Haris ni Haris yang Mama kenal ke?” Soal Mama tidak menungu lama. Aku mengangguk mengiyakan. “Haris kawan baik Rich?” Sekali lagi aku mengangguk dan melihat wajah terkejut Mama.
“Haris lamar Reia beberapa hari yang lepas. Rich pun dah tahu. Reia dah lama sukakan Haris. Tak sangka Reia tak bertepuk sebelah tangan. Haris ajak Reia kahwin, Ma.” Terangku sambil tersenyum. “Mama izinkan ya. Please.” Rayuku penuh harapan. Lama Mama berdiam merenungku.
“Kalau Reia rasa Haris boleh bahagiakan Reia, Mama takkan bantah.” Ujar Mama membuatkan aku tersenyum. “Lagipun Mama tahu Rich takkan setuju kalau Haris bukan lelaki yang baik untuk Reia.” Tambahnya lagi.
“Thank you, Ma.” Ucapku gembira.
“Pandai anak Mama pilih calon suami. Haris tu dahlah Handsome, baik, berjaya pula tu. Sesuai sangat dengan anak Mama ni.” Puji Mama membuatkan senyumku melebar.
“Mama tolong slow talk dengan Papa, boleh? Please.” Rayuku sambil mempamerkan wajah yang sering membuatkan Mama tidak mampu berkata tidak.
“Okay, Mama cuba.” Sahutnya membuatkan aku cepat bangun dan memeluknya erat. “Tapi Mama tak janji tau. Bukan kamu tak tahu Papa kamu tu macam mana.” Ujarnya membuatkan aku mengeluh kecil.
“Reia faham. Tapi, Reia sebenarnya ada dinner date dengan Haris malam ni. Dia nak kenalkan Reia dengan parentsnya. Mama rasa boleh tak kita cuba cakap dengan Papa sebelum tu?” Pintaku penuh harapan. Lama dia berfikir sebelum mengangguk-angguk sendiri.
“Okay sayang. Jom masuk. Mama rasa, Mama tahu apa nak buat.” Ajaknya sambil tersenyum penuh makna.
********************************
“Banyaknya masak, Birthday siapa yang Papa lupa ni?” Soal Papa sebaik sahaja masuk ke dapur. Dia baru pulang dari pekan, mungkin bersosial dengan rakannya seperti kebiasaan.
“Papa lupalah tu. Hari ni kan birthday Reia.” Ucapku, sengaja membuat wajah sedih. Mengusiknya.
“Eh sejak bila kamu tukar tarikh lahir. Setahu Papa, birthday kamu 20 Disember.” Balasnya yakin membuatkan aku tersengih.
“Birthday anak kesayangan dia kan, mana dia boleh lupa. Birthday Rich kadang Papa tak wish pun.” Ucap Rich yang muncul tiba-tiba itu.
“Jeleslah tu.” Usikku sambil menjelirkan lidah padanya.
“Tak ada maknanya.” Balas Rich.
“Ha sudah. Asal jumpa je nak bertekak. Papa tak fahamlah kamu dua beradik ni.” Komen Papa sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. “Kita nak sambut apa ni? Senang Papa bersiap nanti. Ikut tema.” Soalnya berseloroh.
“Nak sambut menantu, Pa. Reia nak kahwin.” Jawab Rich selamba sebelum berlari keluar ke belakang rumah.
“Richhhhhhh…” Jeritku dan pantas mengejarnya. Membiarkan Papa yang terkejut itu sendiri di dapur sebelum mengeleng kepalanya dan berlalu pergi. Mungkin beranggapan Rich hanya mengusik.
“Rich, do you hate me that much?” Soalku sambil bercekak pinggang di depannya. Dia menghentikan tugasnya mengipas api yang menanak ayam pansuh itu.
“Betullah apa I bagitahu Papa, kan? Atau Haris cakap tak jadi?” Soalnya pula sambil tersengih.
“Richhh...” Jeritku geram.
“I tak hairan kalau Haris cakap tak jadi.” Usiknya lagi. Hanya satu cara yang dapat ku fikirkan untuk membuatkan dia berhenti mengusikku ketika itu.
“You’re being mean again.” Ucapku sedih. Air mata terasa sudah mula bersiar-siar di kelopak mataku dan Rich seperti yang kuduga mula kelihatan serba salah.
“Okay-okay jangan nangis. I minta maaf okay. I gurau je tadi.” Ucapnya bertalu namun air mataku masih belum mahu berhenti. “I janji I akan pastikan Papa setuju untuk restui hubungan you dan Haris.” Janjinya membuatkan senyumanku kembali. Aku mengesat airmataku dan tersenyum lebar padanya.
“Thanks. Remember your promise okay.”
“Geez.. you did that on purpose, right?” Soalnya dan aku membalas dengan sengihan panjang. “Can’t believe I still fall for that.” Komennya sambil menggelengkan kepala.
“That’s because you love me.” Balasku sambil ketawa kecil. “Jaga api tu betul-betul. I tak sabar nak makan ni.” Usikku sebelum berlalu pergi. Kembali ke dapur. Melihat Mama menyiapkan sebahagian lagi menu kami tengah hari itu.
Sekitar pukul 12.30 tengah hari barulah semua hidangan berada di atas meja. Rich dengan menu ayam pansuh, cendawan dan ikan keli panggangnya. Manakala Mama dengan menu sayur campur dan sup cendawannya. Aku yang mewarisi kemahiran memasak Papa hanya membantu menghidangkan hasil tangan mereka ke dalam mangkuk dan pinggan seperti kebiasaannya.
“Jemput makan Pa, semua ni lauk kegemaran Papa tau.” Ujarku sambil menyudu ayam pansuh dan cendawan panggang untuknya. Papa tersenyum dan mula menjamah makanannya dengan penuh berselera. Aku melirik kepada Mama dan Rich dan masing-masing tersenyum penuh makna. Selesai mengisi perut kami ke ruang tamu untuk berehat. Aku merasakan inilah masanya untuk berterus terang dengan Papa. Aku memandang Rich dan Mama silih berganti sebagai isyarat meminta salah seorang daripada mereka memulakan bicara.
“Ada apa ni? Dari tadi Papa tengok kamu tak senang duduk.” Soal Papa tidak lepas dari memandangku. Spontan aku menghadiahkan senyuman colgate kepadanya.
“Kalau Reia cakap, Papa tak marahkan?” Dugaku dan melihat Papa mendengus kecil.
“Tak cakap pun lagi, nak marah apanya.” Omel Papa.
“Reia nak minta izin Papa. Reia nak kahwin.” Ucapku terus terang. Cepat aku menutup mata enggan melihat reaksinya ketika itu. Namun selepas mendengar tawa Papa, aku mula membuka mata. Ingin melihat apa yang mencuit hatinya.
“Okay, Reia nak kahwin dengan siapa?” Soalnya. Aku tersenyum, tidak menyangka Papa tidak membantah seperti yang kusangkakan.
“Haris.” Jawabku sepatah.
“Okay, Haris yang mana? Haris kawan Rich?” Soalnya lagi dan aku mengangguk pantas mengiyakan. “Haris tahu tak yang Reia nak kahwin dengan dia?” Soalnya lagi.
“Tahu.” Jawabku sambil tersenyum.
“Okay, Papa izinkan. Kahwinlah.” Ucap Papa dan aku pantas berlari ke arahnya. Berterima kasih padanya. Mama dan Rich yang menjadi penonton sedari tadi hanya mampu melopong. Tidak menyangka ia semudah itu.
“Kan Mama dah cakap plan Mama mesti berjaya.” Ucap Mama bangga.
“Thank you Ma, Pa. Reia nak bagitahu Haris dulu.” Ucapku gembira sambil mengapai telefon bimbitku dan mula melangkah ke arah bilik. Ingin segera berkongsi berita itu kepadanya.
“Sekejap, sekejap. Plan apa ni? Reia nak prank Papa je tadi kan?” Soalnya mematikan langkahku. Aku mengerutkan dahi melihat perubahan sikapnya itu.
“Tak. Reia tak main-main.” Ujarku serius.
“Tapi Reia muda sangat lagi…” Ulasnya tidak gembira.
“Yea Reia tau, Reia muda lagi. Belajar pun tak habis lagi.” Celahku mengulangi kata-kata Mama pagi tadi. “Tapi Reia dah bersedia. Please Pa. Tadi Papa dah izinkan.” Pintaku sambil memandang wajahnya yang mencuka itu.
“Papa izinkan tadi sebab Papa ingatkan Reia main-main.” Dengusnya. “Kamu berdua tau tentang ni?” Soalnya sambil memandang Rich dan Mama silih berganti. Keduanya mengangguk mengiyakan. “Kenapa tak nasihatkan dia?” Komennya seolah aku tidak berada di situ.
“Reia ni dah besar, dah pandai fikir sendiri. Takkan kita nak halang dia bina kebahagiannya. Haris pun baik, bertanggungjawab, berjaya dan penting sekali sayangkan anak kita ni. Apa lagi yang kita nak cari?” Ucap Mama cuba menyampaikan pendapatnya.
“Tapi anak awak ni muda lagi, banyak lagi kurangnya. Ramai yang bercerai berai kat luar tu gara-gara kahwin muda. Saya tak nak itu jadi pada anak kita.” Ucap Papa menyuarakan kebimbangannya.
“Tak baik awak doakan benda macam tu.” Komen Mama.
“Saya bukan doakan yang buruk. Saya bagitahu apa yang saya risaukan.” Jawab Papa pula. Aku yang menyaksikan mula risau mereka bertegang urat kerana aku. Aku memandang Rich menghantar isyarat agar dia masuk campur.
“Pa, Rich dah lama kenal Haris. Rich tahu dia macam mana orangnya. Dia takkan lamar Reia kalau dia tak bersungguh dan pasti yang dia nak bersama Reia.” Celah Rich pula cuba mengubah fikiran Papa.
“Please Pa. Reia cuma nak restu Papa.” Pujukku dengan wajah sayu. Lama Papa berdiam, merenungku panjang sebelum akhirnya mengangguk kecil.
“Betul Reia cuma nak restu Papa? Reia tak nak Papa sponsor majlis?” Selorohnya sekaligus mengembalikan senyuman di wajahku.
“Thank you Pa.” Ucapku sambil memeluknya erat.
“Bagitahu Haris dia boleh datang rumah. Berbincang.” Pesan Papa.
“Haris datang malam ni boleh?” Soalku dan melihat wajah Papa berubah.
“Oh, give me a break.” Keluh Papa disambut tawa kami bertiga.