Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 75

Disebabkan keculasan Ryouji dalam mengambilalih tugas Ayame sewaktu misinya di Suruga, maka dia telah dihukum membantu para petani padi huma di Shirasaka-no-kogen. Disebabkan ia kesalahan pertama dan Kogen juga memahami yang dia juga bergelut dengan memori lamanya, maka hukuman sebenar telah diringankan kepada hukuman tersebut. Kotobuki memahaminya, kerana dia mengetahui sejarah Ryouji lama dahulu dari Miura.

Ano...ojii-san (pak cik).” Ryouji menegur salah seorang petani tatkala dia bersama-sama petani itu menyembur cecair baja ke batas-batas bertanam pokok padi huma.

Hai, Ryouji-san.”

Iya iya, Ryouji dake de yonde (hanya panggilku Ryouji).”

“Ah hai, Ryouji. Ada apa-apa yang boleh kubantu?”

Ano, di manakah benih padi ini disemai?”

“Ia disemai di luar lembah ini.”

“Di mana, jika engkau tidak keberatan memberitahu?”

“Di sebuah kawasan tersembunyi di Gunung Kogen. Engkau tidak boleh memasukinya kecuali dengan kebenaran keluarga Shirasaka. Engkau tidak akan menemui tempat tersebut kecuali jika engkau dibenarkan memasukinya.”

Mereka lagi!

“Tentang baja ini, bagaimana menghasilkannya?”

“Bancuh garam Chile dengan air. Hanya itu.”

“Banyak mana perlu digunakan?”

“Jika melihat tahap kesuburan tanah di sini yang sederhana, hanya dua guni untuk kawasan seluas lima puluh langkah kali lima puluh langkah.” Petani itu menerangkan perinciannya.

“Namun engkau tidak boleh menghabiskan dua guni itu sekaligus. Bahagikan ia kepada tiga sukatan, satu bahagian sukatan setiap bulan sehingga tiba bulan menuai, iaitu bulan ketiga.”

“Untuk satu sukatan bulanan, bahagikan tiga lagi, dan gunakan setiap bahagian itu pada setiap satu pertiga bulan tersebut. Demikian juga dua lagi baja lain selain garam Chile.”

“Untuk kawasan seluas itu, berapa banyak hasilnya?”

“Enam guni beras huma. Cukup untuk kegunaan satu keluarga sehingga tiba musim menuai seterusnya.”

Di sini ada seratus keluarga yang tinggal di Shirasaka-no-Kogen.

Jika dilihat di sini, keluasan keseluruhan kawasan padi huma ini sekitar lima ratus kali lima ratus langkah. Cukup untuk setiap dari seratus keluarga itu menerima kawasan seluas lima puluh kali lima puluh langkah. Ini bermakna setiap satu keluarga menggunakan dua guni garam Chile untuk membaja kawasan padi mereka, untuk setahun musim penanaman. Atau Kogen memerlukan dua ratus guni garam tersebut setahun.

Sekarang baru bulan pertama dan kitaran membaja ketiga atau terakhir dalam bulan ini. Bererti jika semua keluarga ini menyelesaikan kitaran baja mereka, pada akhir bulan ini akan berbaki lagi enam persembilan dari dua ratus guni itu, atau lebih sedikit dari seratus tiga puluh guni di dalam gudang simpanan Kogen.

Berdasarkan pengamatan Shinji, hanya terdapat kira-kira sepuluh sahaja guni garam tersebut dalam gudang simpanan senjata yang dilawatinya. Apakah Shinji cuba membuat lawak denganku? Tidak, tidak mungkin. Mata Shinji tajam. Aku pasti dia telah memerhati dengan teliti.

Sebentar. Biar aku sahkan dahulu anggaranku.

Ojii-san, ini bermakna kita memerlukan kira-kira dua ratus guni garam Chile setahun?”

“Sekitar itu. Berdasarkan pemerhatianku, sekitar itu. Tajam pemerhatianmu.”

Aneh. Aku perlu menemui Shinji. Di mana Kogen simpan selebihnya jika tidak di gudang yang Shinji lawati?

Ojii-san, bagaimana guni-guni itu diagihkan kepada keluarga petani di sini?”

“Sebelum bulan pertama pembajaan. Selepas kami mendapat dua guni itu, kami harus membahagi-bahagikannya sendiri kepada sembilan sukatan.”

Ini bermakna Kogen membekalkan kesemua dua ratus guni itu kepada semua petani pada setiap awal musim penanaman. Namun mengangkutnya ke sini mesti dilakukan peringkat demi peringkat. Gerabak demi gerabak. Jika dua ratus guni diangkut sekaligus ke sini, ia membebankan dan akan menarik perhatian pelbagai pihak, terutama perompak, dan pengintip Hamada.

Bagaimana kapasiti logistik Kogen terkini menyelesaikan masalah ini?

**

“Shinji, berdasarkan anggaranku, ada lebih seratus tiga puluh guni garam itu masih dalam simpanan untuk  kegunaan pertanian padi huma di atas sana. Ia disimpan oleh para petani di rumah mereka, mereka mendapatnya dari Kogen sebelum bulan pertama pembajaan.”

“Wah, banyaknya! Hmm... secara logiknya aku pun fikir begitu melihatkan kawasan penanaman itu agak besar. Aku fikir anggaranmu masuk akal.”

“Namun persoalannya, di manakah...”

“Guni-guni itu disimpan sementara sebelum diagihkan? Soalan itu juga yang bermain di fikiranku. Tidak mungkin hanya sepuluh guni di dalam gudang itu. Aku mengagak ia disimpan di tempat simpanan lain, khusus untuk tujuan pertanian. Apa pendapatmu?”

“Aku fikir ada sebuah tempat simpanan sementara berhampiran Shirasaka-no-Kogen, bagi memudahkan proses pengagihan guni kepada petani. Shinji, berapa muatan gerabak pengangkut guni itu?”

“Dalam dua puluh guni satu gerabak. Musashi-san, pengangkut bahan mentah kita, cuma ada tiga gerabak di sini.”

“Memandangkan kapasiti serendah itu, tidak syak lagi mereka perlu mengangkutnya berkali-kali sebelum mengagihkan kepada petani. Tidak mungkin tempat itu jauh dari Kogen. Jika tidak, penatlah mereka perlu berulang-alik berkali-kali.” Ryouji mengukuhkan hujahnya. Dia menyambung dengan soalan, “Agak-agak di mana berhampiran Shirasaka-no-Kogen didirikan tempat simpanan itu?”

“Melihatkan harga garam Chile yang mahal dan permintaan tingginya, aku fikir di tempat yang sukar diceroboh, dan juga tersembunyi dari pandangan ramai, namun dekat dengan rumah para petani. Namun ruang di Shirasaka-no-Kogen ‘mahal’. Dan mendapatkan ruangan tersembunyi dari pandangan awam di sana agak sukar. Lembah itu sudah terlalu padat. Walaupun engkau boleh menyembunyikan tempat tersebut menggunakan kuasa tama-no-iwa Shirasaka, engkau masih memerlukan tempat fizikal sebenar. Kuasa tersebut hanya menyembunyikan tempat yang engkau mahu lindungi, bukannya mencipta tempat baharu dari tiada.”

“Di bawah tanah!” Serentak mereka bersuara.

“Barangkali.” Shinji meraguinya pula. “Aku fikir kita patut menyiasat dari telahan ini dahulu. Ryouji, engkau boleh masuk ke semua kawasan yang dilindungi tama-no-iwa Shirasaka bukan?”

“Aku fikir aku hanya boleh memasuki kawasan rumah perlindungan sahaja, sepertimana yang Ayame beritahuku. Ini kerana aku tidak dapat mengesan penjara pada hari kita memberkas Kentaro.”

“Maka aku tiada pilihan. Aku perlu melakukannya sendiri.”

“Maksudmu?”

“Aku akan mencari kawasan tempat simpanan itu. Ia pastinya dilindungi tama-no-iwa Shirasaka yang dipotong, sepertimana penjara Kogen dan kawasan tersembunyi lain. Di dalam kawasan itu mungkin ada pintu masuk ke terowong. Jika benar, aku akan melihatnya sendiri. Jika mereka punya lebih dari anggaranmu sekitar seratus tiga puluh guni di dalam terowong itu, maka aku mengesyaki mereka sedang bersedia untuk satu perancangan yang lebih besar. Seperti perang saudara yang kuramalkan itu.”

“Bagaimana aku dapat membantumu?”

“Hanya satu. Cuba tanyakan pada petani, di mana tempat sehenti mereka menerima guni baja setiap tahun?”

Ryoukai.”

**

Shinji mengambil kesempatan pada suatu malam bersama Ryouji menyelidiki ‘terowong’ yang dijangka wujud.

Shinji berjaya menemuinya dan dari dalam terowong itu dia menganggarkan terdapat sekitar dua ribu guni garam Chile disimpan di situ.

“Ryouji, berita buruk. Ada dua ribu guni garam itu disimpan di bawah.”

“Benarkah? Engkau pasti guni-guni itu garam Chile?”

“Aku pasti. Satu, tulisan pada guni-guni itu. Dua, baunya. Ketiga, kedapatan banyak beras dan serbuk putih diletakkan di dalamnya bagi menyerap lembapan.”

“Apa lagi penemuanmu?”

Yabai (Bahaya). Aku menemui terowong di dalam terowong! Rupanya ia ditutup timbunan beberapa guni.”

“Menghala ke mana?”

“Satu lagi kawasan tersembunyi. Kawasan pembikinan senjata besar-besaran. Seperti meriam, mesingan Gatling, pistol tanpa asap, dan...”

“Dan apa?”

“Bom.”

Ryouji menepuk-nepuk dahinya. “Shinji, engkau benar-benar pastikah?”

“Aku tidak bergurau. Mereka nampaknya benar-benar serius. Ryouji, aku akan meminta penjelasan Kotobuki esok.”

“Maka kata-kata Kentaro bukanlah ura-ura...”

“Ryouji, masih terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan. Aku akan menggesa Kotobuki berterus-terang. Serahkan padaku.”

“Shinji, matte (tunggu)...” Ryouji memegang lengan Shinji.

“Mengapa?”

“Bagaimana jika ia benar? Apakah engkau masih mahu kekal bersama kami seperti katamu sebelum ini?”

Shinji kelu seketika, kemudian dia menjawab perlahan, “Aku telah memikirkannya. Aku telah mengubah fikiranku. Jika Kogen mahu melibatkan diri dalam sebarang peperangan, aku akan meninggalkan Kogen.”

“Hah? Apa yang membuatkan engkau mengubah fikiranmu?”

“Aku tidak mahu mati sia-sia. Selagi aku belum menuntut bela kematian ibuku!”

“Aku akan melindungimu. Engkau, Tsuneki dan lain-lain di sini, aku akan melindungi kalian.”

“Engkau tidak akan dapat melindungi semua orang yang engkau risaukan, Ryouji. Lambat-laun engkau perlu membuat pilihan, dan akhirnya engkau hanya akan melindungi insan yang paling penting dalam hidupmu, dan aku perlu melindungi diriku sendiri. Ketika itu...ketika saat itu tiba, aku yang sememangnya tidak akan pandai bertarung ini akan mati katak.”

“Tidak akan pandai bertarung? Apa maksudmu?”

“Kesialan Amaguri. Semua keturunannya tidak akan pandai bertarung meski berlatih segigih mana sekalipun. Sebelum itu semua berlaku, aku mahu menumpaskan Hamada. Kemudian aku tidak kisah jika aku dilibatkan dalam perang Kogen. Yang penting, nyawa ibuku mesti dituntut bela!”

“Shinji, walau engkau terkorban atau tidak, aku tetap akan menunaikan janjiku menewaskan Hamada. Usah kau risau. Apa yang penting, tunaikan dahulu bahagianmu dalam janji itu. Cipta pedang untuk Hisamiko. Dan Kogen juga memerlukan sokonganmu sekarang.”

Engkau silap Ryouji. Aku tahu engkau pasti akan membantuku melunaskan dendam terhadap Hamada. Aku berterima kasih akan kesudianmu. Namun aku sebenarnya hanya mahu hidup. Jauh dari sebarang konflik. Aku mahu melarikan diri dari sini. Eropah bukanlah satu-satunya tujuanku. Aku hanya mahu melarikan diri. Namun Kotobuki telah menyekatku. Bahkan cuba membawa pertubuhan ini ke dalam kancah peperangan. Dan dia juga cuba memainkan sentimen dendamku agar aku kekal di sini. Aku tidak mahu mati! Walau apa sekalipun janji kita, aku tidak mahu mati di sini! Aku akan menyelesaikan pedang Hisamiko sebelum perang meletus, dan aku akan meninggalkan Kogen senyap-senyap. Tidak kira apa sekalipun perancangan Kotobuki.

“Shinji, aku telah bertekad, aku tidak akan melarikan diri. Meskipun Kogen terjebak dalam kancah peperangan, baik dalaman mahupun dengan musuh luar. Aku harap engkau turut kekal di sini. Engkau aset berharga Kogen.”

Shinji tersenyum tawar.

“Usah risau, bukankah aku telah katakan dahulu yang aku akan mengikutmu ke mana jua engkau pergi?” Shinji cuba memujuk, cetek bunyinya. “Aku hanya bergurau sahaja tadi.”

Arigatou, Shinji.”

Ya, aku akan mengikutmu. Selagi mana aku fikir keselamatan nyawaku terjamin. Sehingga saat itu, persahabatan kita punya nilai.

Dalam perang, kita akan dipaksa membuat pilihan, mungkin kita akan turut mengeluarkan wajah-wajah sebenar kita, yang akan mempersoalkan hubungan yang kita bina dengan insan lain. Aku telah melihatnya. Ketika gereja Kyoto itu diserang pemberontak anti-Kristian, Paderi Alvito membiarkan kami anak-anak yatim di situ terkontang-kanting. Penghuni-penghuni lain yang lebih dewasa tahu bagaimana membawa diri. Sedang aku, aku terpaksa membawa diriku entah ke mana, berlindung di sebuah kuil, dan kebuluran di sana.

Selama aku dibesarkan di sana, aku tahu paderi itu ikhlas menjagaku, demi memenuhi wasiat okaa-san. Aku diberi makan pakai secukupnya, bahkan diajar bahasa asing di sana. Aku lihat dia juga menjaga anak-anak yatim yang lain dengan baik. Aku tidak pasti mengapa. Mungkin, dia mahu menyebarkan agamanya ke seluruh pelusuk Honshu, dengan bantuan kami yang telah dididiknya? Aku tidak pasti. Namun bila tiba saat genting di mana nyawanya di hujung tanduk, dia perlu memilih. Mungkin demi kelangsungan aktivitinya di sini, atau kerana dia memegang tanggungjawab lebih besar memimpin pasukannya, aku tidak pasti. Tetapi dia memilih nyawanya.

Saat seperti itu akan tiba, bilamana perang meletus, di mana kita akan dipaksa membuat pilihan. Mungkin, wajah-wajah sebenar kita akan dikeluarkan ketika itu. Saat itu juga, persoalan seperti apakah engkau benar-benar ikhlas bersahabat denganku, atau aku ini sekadar sebuah pilihan yang boleh dikesampingkan akan berlegar dalam benak kita. Aku tahu engkau berlainan, Ryouji. Ia bukan soal keikhlasan. Aku tidak meragui persahabatan kita. Namun kita hanyalah manusia yang lemah. Bila sampai saat itu, kita harus memilih.

**

 

Musim panas, 1872 (selepas Shinji pulang dari Kawamoto)

 

Huah!

 

Ryouji terbangun dari tidurnya mengejut, di tengah malam yang dingin itu. Di tengah musim panas, di kawasan tanah tinggi di malam begini, suhu boleh mencecah sedingin siang yang cerah di musim sejuk.

 

Ryouji memandang katil bawah di katil dua tingkat di sebelahnya. Kelihatan Shinji sedang enak dibuai mimpi. Dia masih tidak berubah, tidur dengan buku menutup wajahnya. Ryouji hairan bagaimana Shinji mampu membaca di dalam cahaya malap pelita. Setiap malam begitu. Tidak hairanlah dia rabun. Namun walau rabun sekalipun, dia masih boleh memerhati dengan tajam. Aku perasan, setiap kali dia menumpu kepada sesuatu, dia akan mengerutkan dahinya dan menumpukan mata sepet dan kecilnya itu kepada subjek yang dilihatnya. Dan pemerhatiannya tepat dan memorinya kuat, bahkan dia boleh mengulas satu-persatu akan apa yang dilihatnya. Aku akan cuba meminta Inoue-san membekalkannya cermin mata seperti yang aku lihat di dalam buku-buku Barat itu.

 

Ryouji tidak mampu menyambung lena, lantas bangun dari katil dua tingkat itu. Dia menjenguk di tingkat atas katil. Tsuneki yang kini berumur dua belas tahun, masih tidur memeluk bantal peluk kegemarannya. Meskipun dia tidak lagi senakal dulu. Tsuneki telah berubah menjadi seorang budak yang pendiam dan kerap termenung. Lebih-lebih lagi sejak peristiwa demi peristiwa di sini, terutama mimpi aneh penghuni gaung itu.

 

Aku bimbang dengan Tsuneki. Bukankah itu yang diperkatakan Chisato berkenaan Kobato? Bukankah itu ciri-cirinya? Aku telah berikrar pada diriku, aku tidak akan mengulangi kesilapan sama terhadap Kobato. Aku tidak akan mengabaikan Tsuneki. Pasti. Namun jika Chisato dan Hisamiko datang menghalangku lagi, mampukah aku melakukannya?

 

Rumit! Mengapa aku tidak boleh memilih dalam perkara begini?

 

Ryouji tidak mahu terus-menerus melayan fikirannya. Memilih adalah perbuatan yang meletihkan. Ia menuntut kekuatan emosi. Chisato memilih antara adiknya atau bapanya. Aku memilih antara Kobato atau kekasihku dan Hisamiko. Aku penat. Jika aku punya kuasa, sudah pasti aku akan memilih kedua-duanya. Namun aku tidak ada itu semua.

 

Ryouji berjalan keluar perlahan-lahan agar bunyi derapannya direncatkan seperlahan mungkin. Kayu-kayu di lantai rumah itu ada yang tidak disusun rapat, lumrah rumah lama.

 

Ryouji duduk di bangku panjang di taman zen. Menerawang melihat bintang bergemerlapan di dada langit. Malam itu terang benderang disinari cahaya bulan mengambang dan bintang-bintang. Tatkala merenung bulan, dia teringat Chisato. Ketika dia bertemu Chisato di rimba bambu pada malam itu dan berlatih bertarung, bulan mengambang seperti itu juga. Betapa aku merinduimu Chisato. Celakalah gerangan siapa yang mencipta racun biru itu! Aku akan jejakinya melalui misi-misi Kogen. Aku akan pastikan dia dicekup. Dia telah merosakkan ramai gadis di tanah Yamato ini. Aku akan pastikannya, suatu hari nanti!

 

Dia melihat tangan kanannya. Dia sedar, sejak beberapa hari belakangan ini, ada masa-masa dia tidak boleh menghayun kuat lengannya. Kemudian ia pulih kembali. Namun tanda hitam itu tidak pudar. Ia makin jelas dari hari ke sehari.

 

Aku tidak akan mati selagi Chisato belum berjaya dirawat. Aku akan pastikan dia dirawat! Aku akan pastikan Chinami dan Chiho mendapat kembali kakak mereka!

 

Dia menutup mata, sedang kepalanya bersandar pada bangku sambil mendongak ke langit, cuba melelapkan diri. Ketika itu, mimpi yang mengejutkannya tadi kembali menerpa benak. Ia memori lama dengan bapanya, ketika musim bunga, 1862, sepuluh tahun lepas, sewaktu dia berumur tujuh tahun.

 

“Ryouji, mengapa engkau menangis?”

 

Otou-san...”

 

“Apakah itu?” Miura menyoal merujuk kepada batas kecil yang dicacak tulang ikan dan dilapisi putik-putik sakura di hadapan Ryouji yang sedang mencangkung.

 

“Kubur Mio-chan.” Ryouji menjawab sambil lengannya mengesat air mata. Mio-chan ialah kucing yang selalu bertandang di hadapan rumah mereka. Ryouji sering memberinya makan dan bermain dengannya.

 

“Mio-chan kucing oren itu bukan?”

 

“Hmm.”

 

“Engkau sayangkan kucing itu, Ryouji?”

 

Dia hanya mengangguk.

 

Otou-san boleh mencari yang lain untukmu.”

 

“Mio-chan tiada pengganti yang sama!” Ryouji tiba-tiba berang.

 

Miura terkejut mendengarnya, sedang dia dahulu membunuh ramai manusia ketika berkhidmat di bawah Hamada. Banyak nyawa yang gugur dipedangnya, namun itu tidak sedikitpun memberi kesan di hati, kecuali ketika kali pertama dia melakukannya.

 

Nyawa pertama yang diragut pedangnya ialah seorang perompak paling berbahaya pada era itu di Nakasendo. Dia terpaksa menggunakan pedangnya kerana perompak itu telah banyak membunuh para pedagang lain di situ. Ia dirujuk pada ketika itu sebagai Insiden Fukuyama, kumpulan insiden-insiden misteri yang berlaku di bahagian Nakasendo berdekatan shukuba (persinggahan) bernama Fukuyama, di mana pedagang diganggu dan pengawal mereka dibunuh oleh seorang perompak solo.

 

Dikatakan perompak itu merupakan seorang ronin yang handal bertarung dan tidak mudah dikalahkan para pengawal pedagang yang mahir bertarung dan juga samurai-samurai yang dihantar Hamada. Miura yang ketika itu ditugaskan Hamada mengawal laluan Nakasendo di bahagian yang lain, diarahkan Hamada agar membantu samurainya di Fukuyama. Miura akhirnya berjaya menewaskan ronin tersebut dan membunuhnya.

 

Selepas kejadian itu, Miura demam seminggu dan terlantar di rumah Hamada. Hamada mengarahkan Noguchi Takamine yang ketika itu bekerja sebagai tabibnya agar merawat Miura sehingga sembuh. Kemudian, hatinya seolah-olah telah keras. Beberapa kejadian sama yang menyusul akibat tindak balas keluarga perompak itu membalas dendam memaksa dia mengeluarkan pedangnya sekali lagi. Dua nyawa lagi terbunuh, iaitu adik dan rakan kepada ronin itu.

 

Namun melihatkan Ryouji yang begini, aku terlalu gembira. Bahkan, aku pernah gentar untuk memiliki zuriat demi mengelakkan mereka menerima anugerah pemedang handal yang mungkin melahirkan pembunuh dari kalangan zuriatku.

 

Miura mendekati rapat Ryouji, turut mencangkung di sebelah dan memegang bahunya.

 

“Ryouji, setiap yang hidup pasti akan mati.” Dia mengusap kepala Ryouji yang masih sugul.

 

“Setiap tahun, pokok sakura ini akan menggugurkan daunnya. Kemudian daun-daun baru akan menumbuh dan menghiasi dahan-dahan gondol itu.” Miura menunjuk ke arah pohon sakura yang menaungi mereka berdua dan kubur Mio-chan.

 

Otou-san dan okaa-san juga akan mati?”

 

“Benar, Ryouji. Walau apa pun penyebabnya, kita semua tetap akan mati. Itulah hakikat nyawa.”

 

“Maka apa maknanya semua ini? Apa maknanya hidup ini jika pengakhirannya begini?” Ryouji menunjuk ke arah kubur kucing itu.

 

“Kenangan. Kenangan menjadikan Mio-chan terus hidup di dalam memorimu. Juga kenangan engkau bersama otou-sanokaa-san, Hisamiko. Jika otou-san atau okaa-san atau Hisamiko mati dahulu darimu suatu hari nanti, saat-saat kita hidup di sini akan kekal sebagai kenangan dan kami terus hidup dalam memorimu.”

 

“Ryouji, melepaskan Mio-chan tidak bermakna dia akan terus mati. Dia hidup, namun dia di sini.” Miura meletakkan jari telunjuk di dadanya. “Meskipun jasadnya tiada, dia, Mio-chan yang berada di dalam kenangan itu akan sentiasa di sini.”

 

“Maka aku harus mencipta seberapa banyak kenangan bersama otou-san, bersama okaa-san, bersama Hisamiko?”

 

“Benar, apa yang penting ialah saat ini. Sekarang. Waktu yang ada sekarang, tidak ternilai harganya, Ryouji.”

 

Miura memeluk anaknya. Ryouji, aku hanya mahu engkau mendewasa dan tidak menjadi seperti aku yang silam. Yang mengotorkan tangan dengan menumpahkan darah.

 

Ryouji masih sedang bersandar di bangku batu sambil menengadah ke langit malam, tanpa menyedari air matanya bergenang. Otou-san, aku benar-benar kehilanganmu.

 

Nani shite no?” Tiba-tiba terdengar suara seorang gadis. Chisato? Tidak, pastinya bukan Chisato. Chisato sedang terlantar di atas sana.

 

Ryouji menoleh. Dia terkejut bukan kepalang. Dia seperti pernah melihat gadis itu.

 

Bukankah gadis ini yang aku cuba selamatkan ketika misi pertamaku? Yang memakiku dan menghalang kami dari terus mengganggu mereka? Yang merelakan dirinya dilacurkan itu?

 

“Engkau..., bukankah engkau...?”

 

“Engkau mengambil tempatku. Ke tepi segera.” Gadis itu membalas dingin.

 

Ryouji yang sedang duduk di tengah dan sedikit ke kanan, terus menganjak ke kanan bangku panjang yang boleh memuatkan empat orang itu.

 

“Ke kiri. Kanan ialah tempatku.”

 

Ryouji masih membisu, seraya menganjak ke kiri, mengalah. Dia masih terkejut. Bagaimana gadis itu boleh berada di sini?

 

“Bagaimana engkau boleh berada di sini?”

 

“Itu bukan urusanmu.” Balas gadis itu dingin. Dia mengesat bekas tempat duduk Ryouji dengan kain yukatanya kemudian duduk. Rambut hitamnya diikat ekor kuda. Selebihnya menutupi dahi dan telinga. Wajahnya cerah kekuningan sepertimana ketika Ryouji menemuinya awal tahun lepas. Matanya runcing ke dalam dan wajahnya bujur panjang, dagunya tajam. Dia memakai yukata berwarna kelabu pudar.

 

Sebentar, bukankah Takasaki-san ada memberitahuku yang Kogen merampas feri yang membawa mereka ke Osaka pada hari itu? Mungkin selepas itu Kogen membawanya tinggal di sini.

 

Agak lama mereka berdua duduk termenung memandang langit, masing-masing mengelamun termenung dalam dunia sendiri.

 

“Bagaimana dengan ibu bapamu?” Ryouji cuba membuka perbualan. Seingatnya, gadis itu memberitahu yang dia menjual dirinya demi menampung kos perubatan ibubapanya.

 

“Budak, engkau boleh duduk sini, namun tolong diam dan jangan menggangguku. Jika tidak, aku mohon engkau beredar.”

 

“Berhenti memanggilku budak, ojou-san.” Ryouji mulai rimas dipanggil begitu lantas menegahnya. Dia sudah berumur tujuh belas tahun dan gadis itu nampak sebaya, atau mungkin hanya dua tiga tahun lebih tua. Mungkin sebaya Chisato. Tidak wajar aku membiarkan dia memanggilku ‘budak’.

 

“Berapa umurmu?”

 

Gadis itu bangun tidak mengendahkan soalan Ryouji, merenungnya tajam, kemudian memaling muka seraya meninggalkan bangku itu dengan pantas. Dia benar-benar terganggu dengan Ryouji.

 

Matte, ojou-san (tunggu, cik!)! Engkau belum menjawab soalanku!”

 

Gadis itu berlari menuju ke rumah perlindungannya, terletak berjiran dengan rumah perlindungan Ryouji. Mengapa dia datang ke bangku ini, sedangkan dia punya taman zen-nya sendiri? Apakah taman zen-nya tiada bangku, atau bangkunya sudah ditempati seseorang?

 

**

 

“Shinji, engkau ingat wajah gadis yang kita cuba selamatkan ketika misi pertama dahulu?”

“Aku tidak ingatlah Ryouji. Aku jauh di atas bukit hari itu. Mengapa?”

“Gadis itu di sini, di sebelah rumah kita. Sae namanya.”

“Sae-chan kah? Sae yang itukah?” Shinji terkejut mendengarkannya.

“Ya.”

“Hmm. Aku beberapa kali juga berbual dengannya. Diakah yang terjerit-jerit memarahimu itu bukan? Aku mendengar dari atas bukit tetapi tidak jelas.”

“Ya, dialah orangnya. Dia masih dingin terhadapku. Bagaimana sikapnya denganmu?”

“Aku lihat dia biasa-biasa sahaja. Cuma adiknya Shiori masih di atas dirawat.”

“Mengapa dengan adiknya?”

“Adiknya disuntik aotsuyu. Selepas misi pertama kita itu, mereka dibawa menaiki feri ke Osaka. Adiknya meronta-ronta sebelum disuntik orang Hamada dengan racun itu.”

“Bagaimana keadaannya sekarang?”

“Berbanding Chisato, keadaannya sedikit lebih baik. Mungkin kerana dia lebih lama disuntik dan telah lama dirawat di sini, dengan penawar aotsuyu lama Kotobuki. Namun satu perkara aku hairan. Shiori disuntik lebih setahun sebelum mangsa-mangsa lain termasuk Chisato disuntik. Semua suntikan tersebut suntikan aotsuyu baru.”

“Aku memeriksa rekod kemasukan mereka. Shiori ialah mangsa pertama aotsuyu baru yang masuk ke pusat rawatan itu, pada tahun lepas (1871). Sedangkan pada waktu tersebut, Azusa masih disuntik aotsuyu lama.”

“Bagaimana pula racun ke atas mereka berlainan?”

“Aku fikir suntikan ke atas Shiori itu percubaan. Noguchi mahu melihat keberkesanannya sebelum dia menambahbaik formula baru itu. Mungkin Noguchi hanya mempercayai seseorang melakukan percubaan tersebut berbanding Tsugiyama, disebabkan itu Tsugiyama hanya ada aotsuyu lama.”

“Shiori sudah disuntik racun baru dan dibawa ke sini sejak tahun lepas, namun masih belum ditemui penawarnya? Bagaimana dia masih mampu bertahan setelah setahun lebih terlantar tanpa penawar?”

“Kami menggunakan penawar aotsuyu lama bagi melambatkan serapan racun baru itu ke dalam salur darah. Maka kami membeli masa sementara membangunkan penawar untuk racun aotsuyu baru itu. Selepas ramai mangsa dibawa ke sini tahun ini, Kotobuki mula bimbang kerana masih belum menemui penawarnya.”

“Shinji, apakah Chisato masih punya harapan? Apakah aotsuyu yang disuntik pada Chisato itu sama dengan yang disuntik pada Shiori?”

“Kotobuki ada menjelaskan kepadaku. Ia sama. Bahkan penawar aotsuyu lama berjaya melambatkan serapan kedua-duanya. Namun aku fikir Chisato perlukan lebih masa. Dia masih baru dimasukkan ke sini. Ryouji, aku akan cuba sedaya upayaku.”

Arigatou, Shinji. Hontou ni.”

Previous: Bab 74
Next: Bab 76

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov