Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 81

Ryouji masih di persembunyian sewaktu Tokui keluar dari kereta kuda itu.

Sebaik keluar, Tokui melibas pedangnya memotong udara. Rupanya dia cuba menahan tetakan tiba-tiba pedang seorang lelaki.

Pantas! Getus Ryouji. Aku sendiri tidak pasti dari mana datangnya tetakan itu. Panjang umurmu Tokui. Tidak sia-sia engkau gigih berlatih selama di Kogen.

“Apa kalian buat di sini? Setelah membunuh Segawa?” Penyerang itu bertanya.

Lelaki inikah yang dimaksudkan Ayame semalam? Ryouji membisik sendiri, sebaik jelas wajah penyerang itu di hadapan Tokui.

Lelaki yang baru menyerang Tokui itu memakai yukata berwarna merah hati dan berlilit kepalanya dengan kain berwarna kelabu gelap. Ketinggiannya purata. Ada jambang pendek dan sedikit uban memenuhi wajahnya.

"Kirisaki!" Tempik Tokui.

Maka benarlah dia! Bisik Ryouji.

"Bukankah engkau Tokui dari rumah Segawa? Di manakah Segawa?" Lelaki itu bersuara. Dari suaranya dapat dianggarkan dia berumur sekitar tiga atau empat puluhan.

"Segawa sudah lama mampus." Tokui memaklumkan tanpa sebarang belas terhadap bekas penjaganya itu. Marahnya masih membuak-buak terhadap Segawa.

"Apa telah berlaku Tokui? Kalian berbalahkah? Aku lihat rumah kalian rentung ketika datang ke sana beberapa bulan lepas."

Tokui menjawab perlahan, "Ya. Aku yang membunuhnya dan kemudian membakar rumah itu."

"Hah? Ne, Tokui. Apa yang engkau cuba perkatakan? Engkau sudah gilakah?"

"Aku yang membunuhnya dan kemudian membakar rumah kami." Tokui mengulang.

"Aku harap engkau tidak bergurau denganku, Tokui. Mengapa engkau melakukannya?"

"Dia telah menodai ahli rumah kami!"

"Naruhodo (baru kutahu).” Kirisaki mengujar perlahan. Dia menyambung.

Ne Tokui, engkau tahukah yang engkau telah membunuh pelanggan setiaku? Dahulu Segawa membeli borong dariku kemudian menjualnya pula ke tempat lain. Disebabkan hari itu kudapati dia tiada lagi di situ, aku terpaksa berdagang candu dan buku-buku itu di sini."

Tak guna! Tokui mengepal penumbuknya. Aku ingat engkau menyimpan hanya untuk dirimu Segawa-san. Rupanya engkau membaca buku-buku itu kemudian turut sama mengedarkannya!

"Tokui, akibat tindakanmu aku telah rugi besar di Suruga. Pemberi pinjam wang sedang menjejakiku untuk memenggal kepalaku. Itu juga sebab lain mengapa aku lari ke sini."

"Maka itukah tujuannya engkau datang ke rumah Takahata? Untuk menghantar barang terlarang itu?"

"Ya. Aku hanya berdagang. Jika engkau bersembunyi dan tidak menggangguku, aku tidak akan melaporkan kepada polis Maharaja akan perbuatan jenayah membunuh penjagamu. Namun engkau mengganggu sumber pendapatanku pula di sini! Aku tiada pilihan, aku akan membunuhmu hari ini!"

"Engkau silap Kirisaki. Aku membunuhnya di bawah mandat Kogen. Pergilah laporkan kepada polis Maharaja jika engkau mahu. Dan engkau pula, engkau patut bersyukur Kod Kogen hanya akan memenjarakanmu di atas jenayah pengedaran candu dan buku-buku terlarang itu. Kirisaki, berapa ramai lagikah rakyat negara kita sendiri yang engkau akan rosakkan dengan candu dan buku-buku itu?"

"Aku hanya pedagang. Matlamatku untung. Selagi ada permintaan terhadap baranganku, selagi itulah aku akan berdagang."

"Bagaimana jika mereka yang membeli buku-buku itu membacanya, kemudian mereka terpengaruh lalu menodai isterimu, anakmu?! Atau mereka membunuh engkau dan keluargamu ketika mabuk menghisap candu? Bagaimana perasaanmu jika berlaku demikian?!"

"Biadap mulutmu!" Kirisaki meluru ke arah Tokui dengan pedangnya terhunus. Tokui menahan tetakan Kirisaki dengan pedangnya. Ryouji memerhati dan bersedia sekiranya Tokui memerlukan bantuannya.

"Aku tak sangka engkau bukan sembarangan pedagang. Dari mana engkau belajar bertarung?" Tokui menyoal Kirisaki ketika mereka berhenti sejenak di tengah-tengah pertempuran.

"Aku juga bekas penghuni rumah Kogen sepertimu."

"Hah?" Patutlah dia tidak terkejut tadi semasa aku menyebut ‘Kogen’. Aku tidak faham. Aku tidak pernah tahu latar belakang Kirisaki, sehinggalah saat ini. Bekas ahli Kogen? Bagaimana Kogen turut menghasilkan bangsat-bangsat begini? Bagaimana mereka dididik oleh penjaga mereka? Mungkinkah penjaga rumah Kirisaki juga bangsat seperti Segawa?

"Jika benar engkau bekas penghuni rumah kami, siapa penjaga rumahmu?"

"Toyohashi Manabu."

Toyohashi Manabu? Aku pernah mendengar nama itu. Namun perinciannya perlu aku selidiki kemudian. Kami perlu menangkap Kirisaki dan menahannya di Kogen atas kesalahan pengedaran candu dan bahan lucah.

Di zaman ini bahan lucah yang melibatkan penyelewengan seksual kanak-kanak tidak dibenarkan dihasilkan mahupun diedarkan. Begitu juga candu, yang semuanya sefahamku diimport dari empayar Qing. Disebabkan itu Kogen akan merampas bahan-bahan tersebut dan menangkap pengedar atau pedagangnya, dan juga penghasilnya jika mereka punya bukti cukup.

Berdasarkan geledahan di dalam kereta kuda itu tadi, aku yakin aku punya bukti cukup untuk menahan Kirisaki. Bahan-bahan itu nyata candu dan buku-buku lucah melibatkan kanak-kanak. Dahulu ketika aku di rumah Segawa, aku belum benar-benar pasti apakah aku perlu menangkapnya. Namun kali ini, aku perlu menangkapnya hidup atau mati. Jika tidak mungkin lebih ramai minda yang akan dirosakkan bahan-bahan terlarang itu.

"Kirisaki, kami punya bukti kukuh untuk menahanmu di penjara Kogen. Engkau telah berdagang bahan-bahan terlarang. Serah diri dan usah membuang masa kami."

Kirisaki ketawa berdekah-dekah.

"Rupanya engkau sudah berubah Tokui. Pada hari itu engkau melepaskanku selepas aku menyogokmu. Nampaknya onar Segawa telah mengubah dirimu. Dari seorang budak yang berbolak-balik kepada seorang pembunuh!"

"Katalah apa yang engkau mahu. Serah diri sahaja."

Kirisaki ketawa lagi. "Lihat siapa yang akan kalah dalam pertarungan ini dahulu!"

Dentingan demi dentingan pedang sabung-menyabung. Cuaca cerah dan sejuk di celah pergunungan Hyogo itu semakin sejuk tatkala matahari turun rendah di kaki langit dan awan mendung berkumpul. Hari semakin gelap, barangkali akan hujan dalam masa terdekat. Sunyi yang biasanya sinonim dengan rumah perlindungan terpencil ini kini dipecahkan dengan bunyi sabung-menyabung pedang yang bingit dan mengilukan. Buluh-buluh yang tidak berdosa banyak yang terpotong atau paling kurang dicalarbalarkan.

Namun Tokui tidak setanding dengan Kirisaki yang lebih berpengalaman. Dia ditumpaskan. Tokui akhirnya rebah di kaki Kirisaki, namun dia tidak luka-luka, hanya sakit-sakit di sendi. Dia boleh sahaja bangkit, namun pedang Kirisaki yang sedang dihunus ke arahnya menghalang. Sekali dia cuba bangkit, nyawanya akan melayang.

Ryouji memandang Tokui yang tidak berupaya bangkit. Barangkali kakinya telah tercedera.

Ryouji kemudian memandang ke arah lain hutan buluh, seperti memberi isyarat kepada seseorang.

Kemudian dia mengeluarkan Saishi-tou-nya, terus keluar dari persembunyian seraya meluru ke arah Kirisaki. Kirisaki pantas menepis dengan pedangnya.

"Ryouji!" Tokui terkejut menyedari kehadiran Ryouji.

"Tokui, jika engkau masih mampu berjalan perlahan-lahan, beredar dari sini segera. Aku akan melindungimu.”

"Aku akan cuba. Arigatou. Di mana Ayame-san?" Balas Tokui dalam ragu, perlahan-lahan bangkit dan berundur ke dalam hutan buluh.

Lelaki ini bukan calang-calang petarung. Dia mahir kaminari jurus lapan! Ryouji berbisik dalam hati, merenung tajam Kirisaki.

Kirisaki menyusun pencak.

“Engkau Okuhida Ryouji bukan? Anak Okuhida Miura?”

“Ya. Kirisaki, serah diri sekarang. Atau kami akan menggunakan kekerasan.”

Bagus. Aku sememangnya sedang menjejaki anak Miura itu. Aku mahu mempelajari jurus kesembilan. Aku telah melihat pertarungannya dengan Takahata tadi, dan kuagak dia anak Miura melihatkan pergerakannya mirip bapanya. Telahanku nyata benar. Jurus kesembilan punya satu kelemahan. Ia pantas. Dan jika ia dilakukan oleh petarung yang kurang pengalaman, aku yang mampu melakukan jurus kelapan akan dapat mengesan ruang bagi menekan titik lemah pada tubuh petarung jurus tersebut pada tengkuk mereka, sepertimana yang kupelajari dari Segawa. Dengan syarat, pelakunya tidak melakukan jurus kesembilan ketika dirasuk sumpah hayabusa.

“Langkah mayatku dahulu!” Jerit Kirisaki seraya meluru ke arah Ryouji.

Pertarungan di antara Ryouji dan Kirisaki berlangsung, disaksikan Tokui yang sudah beranjak ke pinggir hutan buluh.

Ryouji, bertahanlah! Aku yakin engkau mampu mengalahkannya.

Dou, Ryouji? Bapamu pencipta kaminari. Engkau sepatutnya mampu mengalahkanku sekelip mata. Lagi pula engkau menggunakan pedang itu. Aku lihat pedang itu luar biasa ringannya.” Kirisaki merujuk kepada pedang Saishi-tou yang digunakan Ryouji.

Tak guna! Dia seperti Masami dan Segawa. Mahir jurus lapan. Jika berterusan begini, mustahil aku dapat mengalahkannya. Namun tidak mengapa. Aku tidak mahu memanjangkan pertarungan ini. Aku akan mengumpannya menggunakan jurus kesembilan. Kali ini tanpa menggunakan Momoyama. Umpan ini hanya berkesan jika jurus kesembilan dilakukan dalam sedar.

Ketika Ryouji cuba mengambil ruang memusingkan badannya bagi memulakan jurus kesembilan, Kirisaki pantas meluru dan menekan salah satu mata urat pada tengkuk Ryouji. Ryouji rebah, kaku.

“Beginikah yang engkau mahukan, Ayame-san... seksa. Sungguh menyeksakan...” Ryouji menggumam perlahan sedang seluruh tubuhnya kaku. Matanya masih dapat digerakkan dan dia dapat memahami sekitarannya. Namun lidahnya beserta tubuh kaku. Matanya jelas cemas, memikirkan apa yang akan dilakukan Kirisaki ke atas tubuhnya yang tidak boleh bertarung.

Tokui gelabah di balik hutan buluh. Ryouji...Ryouji!!

Tidak, tidak. Bagaimana Ryouji masih boleh dikalahkannya oleh Kirisaki?

Hah! Aku tahu benar engkau mahu memulakan jurus tersebut, Ryouji. Bertahun aku berlatih bagi menghalang petarung melakukannya. Sekarang aku akan menculikmu. Aku mahu mempelajarinya darimu!

Kirisaki pantas mendekati Ryouji. Saat dia berjaya mengendong Ryouji yang kaku itu, dia pantas berlari ke arah kudanya seraya menunggang meninggalkan kawasan hutan buluh itu. Kereta kayunya ditinggalkan sahaja di situ.

Ryouji...Ryouji diculik!

Tokui hanya mampu melihat. Kudanya masih di rumah perlindungan sedang kakinya tercedera dek pedang Kirisaki. Dia menekup muka, cuba mempercayai apa yang dilihatnya sebentar tadi. Bagaimana Ryouji yang berketurunan Okuhida masih boleh ditewaskan Kirisaki yang hanya tahu jurus kelapan?

Nyawaku masih panjang. Bayangkan, bayangkan jika Ryouji tidak masuk campur tadi, mungkin aku sudah dibunuhnya!

Ayame tiba kemudian.

"Tokui, bagaimana engkau? Di mana Ryouji?"

Tokui menceritakan semuanya kepada Ayame.

"Tokui, perhatikan rumah tersebut sehingga pegawai tambahan kita sampai. Aku akan mengejar Ryouji."

"Ryoukai... demo Ayame (namun Ayame)..." Tokui yang sedang duduk, bangkit untuk beredar. Namun langkahan kakinya yang berjengket-jengket menarik perhatian Ayame.

"Tokui..." Ayame menegurnya, tidak mendengar Tokui cuba menyuarakan kerungsingannya. "Bagaimana kecederaanmu?"

"Hanya sakit di sendi."

"Mari aku periksa dahulu."

"Tiada apa-apa."

Ayame tidak mempedulikan kata-kata Tokui. Dia berjalan pantas dan menangkap lengan Tokui. Tokui mengalah dan berhenti.

"Usah berdegil Tokui. Aku tahu engkau cedera. Kecederaan dalaman usah dipandang enteng."

Tokui duduk di atas rumput. Ayame bertinggung di sebelah dan membuka tabi Tokui.

Ayame meraba-raba bahagian pergelangan kaki Tokui.

"Terseliuh kecil. Nampak seperti ditetak pedang pada bahagian tumpul."

"Benar. Namun bukan disebabkan tetakannya. Aku yang menggunakan kaki menepis belakang pedangnya."

Ayame memapah Tokui kembali ke rumah perlindungan. Setibanya mereka di sana, kelihatan tiga orang pegawai tambahan Kogen dari Kobe baru tiba, masih di atas kuda masing-masing.

"Kalian, aku akan mengejar seorang lagi rekrut kita yang sedang diculik." Ayame memberi isyarat tangan sembunyi-sembunyi kepada pegawai tambahan Kogen itu sebaik menyebut perkataan ‘diculik’. “Toshimichi akan menyusul dari hutan buluh bertemu kalian.” Sambung Ayame.

Toshimichi? Tokui kebingungan. Siapakah dia?

"Baiklah, Ayame-san. Kami sedang menunggu lima lagi pegawai tambahan kita untuk mengosongkan rumah ini dan membawa ahlinya ke Kogen."

"Jaga diri kalian."

"Engkau pun, Ayame-san."

"Ayame-san, aku mahu membantumu!" Tokui tiba-tiba berteriak.

"Tokui, usah berdegil. Kalian, segera tahan budak ini!"

Pegawai-pegawai tersebut pantas turun dari kuda masing-masing seraya menahan Tokui. Mereka sudah diberitahu awal-awal akan perangai degil Tokui.

"Ayame-san...." Tokui memandang sayu kelibat Ayame yang menunggang kuda meninggalkan dirinya yang sedang dipaut lengan oleh pegawai Kogen.

Salah seorang pegawai Kogen memaklumkan, "Usah kau risau Tokui-san, dia ditemani hayabusa pengiringnya."

"Apa yang kalian tahu?! Hayabusa itu tidak semestinya akan membantunya... aku pernah melihatnya sendiri. Kirisaki tidak semudah yang kalian sangka!"

"Rakanmu akan membantunya sekali lagi."

"Apa maksudmu, pegawai? Apa maksudmu?! Terangkan semuanya!"

"Panggil aku Terada. Rakanmu itu berpura-pura ditewaskan demi perancangan kami."

"Hah?"

"Kami mahu menjejaki persembunyian Kirisaki, di mana dia menyembunyikan bahan-bahan terlarang itu. Ayame akan mengesan menggunakan hayabusa-nya. Disebabkan Kirisaki sama tahap bertarung dengan Segawa, kami perlu menghantar Ryouji sekali atas arahan Kotobuki."

"Ini bermakna... ini bermakna kalian sudah awal-awal lagi tahu yang Kirisaki akan datang ke sini? Dan mengapa kalian membiarkan aku dicederakannya? Dan Ryouji...dia dicederakan!"

"Kami tidak mahu engkau membuat huru-hara di sana. Tokui, orang kami juga mengekori engkau ke hutan buluh dan bersedia memanah Kirisaki dari jauh sekiranya dia cuba membunuhmu. Sedang rakanmu Ryouji, Kirisaki akan memulihkannya. Dia memerlukan Ryouji demi mempelajari jurus kesembilan. Ah, perkenalkan, Toshimichi pemanah itu."

Seorang pegawai Kogen yang rendah tubuhnya dari Tokui, sedang berjalan dari hutan buluh. Busur dan panah disangkut pada belakang yukatanya. Sebaik dia menghampiri mereka berempat, dia menundukkan sedikit badannya mengadap Tokui. Tokui membalas tunduk.

"Kami sudah lama mengesyaki Takahata dan memerhatinya sekian lama. Nazir kami memerhati hari-hari Kirisaki datang bertemu Takahata di sini dan meramalkan Kirisaki akan tiba pada hari ini."

**

Sementara itu, Kirisaki menunggang kuda, membawa Ryouji yang sedang kaku di belakangnya menuju rumah persembunyiannya berhampiran pekan pelabuhan Kobe.

“Momoyama, jauh lagikah Kirisaki?” Ayame bertanya sedang Momoyama terbang di atasnya. Mereka masih jauh di belakang Kirisaki, meredah hutan pergunungan Hyogo yang dipenuhi pohon hinoki (Japanese cypress).

“Tidak jauh dari sini. Jaga jarakmu. Jika dia tahu kita mengejarnya, lebih sukar kita mengesan tempat persembunyiannya.”

“Ke mana arahnya sekarang?”

“Dia membelok ke barat laut. Aku fikir persembunyiannya berhampiran pelabuhan Kobe.”

Jauh di hadapan...

Ryouji masih kaku. Dia diikat membelakangi Kirisaki.

Sehingga bila aku harus bertahan begini? Jauh lagikah persembunyian lelaki ini?

Arghh...badan aku masih sakit-sakit bertarung dengan Takahata. Goncangan kuda ini menambahkan lagi kesakitan itu. Aku langsung tidak boleh menggerakkan sendiku. Semuanya terkunci oleh tekanan mata urat pada tengkukku ini. Ayame-san di mana engkau? Bantu pulihkan diriku secepat mungkin!

“Ayame! Berhenti.” Jerit Momoyama. Teriaknya agak kuat sehingga dapat didengari sejauh seratus langkah dari hadapan mereka.

“Mengapa?”

“Engkau terlalu dekat dengannya.”

“Apa dia sedang buat?”

“Aku fikir dia sedang berhenti. Berhampiran tebing sungai ini di hadapan sana.”

Arigatou, Momoyama.”

Ayame turun dari kuda, turut berhenti berehat.

Dia duduk di atas batu sungai, mengingat kembali taklimat yang diberikan kepada Ryouji selepas Tokui beredar pada malam semalam.

“Ryouji, ada seperkara ingin aku beritahumu.”

Hai (ya).”

“Kami punya rancangan lain untuk dilaksanakan selain menghukum Takahata.”

“Rancangan lain?”

“Menurut nazir kami, seorang pedagang bernama Kirisaki seringkali bertemu Takahata dan menghantar bekalan candu dan buku-buku lucah untuk diedarkan kepada ahli Kogen. Kogen memilih esok bagi menangkap Kirisaki. Disebabkan itu juga Kogen memilih hari sama bagi menjatuhkan hukuman ke atas Takahata.”

“Apa alasan Kogen memilih hari yang sama? Kita hanya bertiga Ayame-san. Jika kita gagal rancangan pertama siapa yang akan meneruskan rancangan kedua?”

“Ada pegawai lain Kogen yang akan tiba kemudian.”

Ryouji agak terkejut mendengarkannya. Dia bertanya lanjut.

“Dari mana?”

“Kami punya pangkalan di Kobe juga. Pasukan simpanan dari situ akan membantu kita.”

“Jadi apakah kita perlu melibatkan Tokui?”

“Tidak perlu. Namun kita akan melibatkan Tokui tanpa dia mengetahuinya.”

“Aku faham mengapa. Kerana perangainya bukan?”

“Sememangnya. Tokui akan mengesahkan pengedar candu itu Kirisaki. Kami tahu dia kenal Kirisaki sekian lama. Namun kami bimbang dia berpakat dengan Kirisaki dan akan menggagalkan rancangan Kogen menangkapnya. Ini bersabit perlakuannya tidak membongkarkan pertemuan Kirisaki dengan Segawa ketika dia tinggal di rumah Segawa dahulu.”

“Aku tidak tahu itu... tentang Tokui pernah bertemu Kirisaki...”

“Dan engkau Ryouji, dengarkan perbualan mereka dan kesan pengesahan pedagang itu sebagai Kirisaki dari mulut Tokui. Perhatikan jika nyawa Tokui dalam bahaya, bersedia masuk campur. Pegawai kami juga akan memerhati Tokui. Kami mahu Kirisaki ditangkap hidup-hidup.”

“Mengapa pula Kirisaki akan membunuh Tokui? Bukankah engkau kata mereka mungkin berpakat tadi?”

“Ada kebarangkalian juga Tokui sudah berubah sekarang sejak peristiwa di rumah Segawa. Jika dia benar-benar membenci Kirisaki sekarang, pertarungan di antara mereka mungkin akan berlaku dan dia mungkin akan dibunuhnya.”

“Faham, Ayame-san.”

“Seperkara lagi, engkau akan dijadikan umpan.”

“Hah?”

“Ya, umpan.”

“Ayame-san...”

“Kirisaki berminat untuk menangkapmu. Dia mahu mempelajari jurus kesembilan kaminari. Maka dia tidak akan membunuhmu.”

“Jadi, dia sudah tahu yang aku akan sampai ke rumah Takahata esok bersama kalian?”

“Benar. Nazir kami mendengar perbualannya bersama pedagang lain di pekan Kobe. Dia memang sudah menyedari pertemuannya dengan Takahata telah diintip nazir, maka dia memang sengaja mengikut jadual pertemuannya menemui Takahata esok, dengan harapan akan bertemumu.”

“Bagaimana dia pasti yang aku akan datang ke sini bersama kalian dan bukan petarung lain Kogen?”

“Takahata dan Kirisaki mahir jurus kelapan dan setanding Segawa. Kogen hanya akan menghantar kita membasmi penjaga rumah perlindungan yang mahir jurus itu.”

“Ayame-san...siapakah Kirisaki sebenarnya?”

“Dia bekas ahli rumah perlindungan kita, lama dahulu. Kemudian pernah bekerja sebagai penyalur maklumat kepada Kogen sebelum menjadi pedagang. Dia kenal bapamu, bapaku, Segawa, dan Takahata.”

**

Kirisaki yang sedang membasuh muka di sungai terkejut mendengar bunyi teriak burung hayabusa di kejauhan di tengah-tengah hutan belantara hinoki pergunungan Hyogo itu.

“Pastinya burung hayabusa pengiring Shirasaka Ayame. Nampaknya aku telah dijejaki hitokiri itu. Aku tidak boleh berlengah lagi.”

Kirisaki kembali mengambil Ryouji yang masih berikat dan mengandar di belakangnya, memanjat kuda dan pantas melarikan diri.

“Ayame, aku fikir dia sudah tahu kita mengekorinya.” Ujar Momoyama yang terbang rendah menuju lengan Ayame.

“Bagaimana pula?”

“Mungkin, salahku. Aku berteriak agak kuat tadi. Maafkan aku, Ayame.”

Ayame bingkas bangun seraya menunggang kudanya mengejar Kirisaki. Momoyama terbang pantas mengekorinya.

“Di mana, Momoyama?”

“Aku fikir di balik bukit itu.”

Di balik bukit...

Aku tidak dapat melarikan diri dari Ayame. Burung bedebah itu akan senantiasa mengesanku. Nampaknya aku harus bertarung dengannya. Aku tidak punya pilihan lain. Aku tiada panah bagi memanah burung itu.

“Ayame!” Kirisaki memunculkan diri.

Ayame sedikit terkejut seraya memberhentikan kudanya.

Nampaknya rancangan kami telah gagal dan aku perlu menumpaskannya. Kemudian kami perlu memaksanya membuka mulut akan lokasi tempat dia menyembunyikan bahan-bahan terlarang itu. Kuso!

“Engkau mengejarku kerana mahu mengetahui lokasi rahsia penyimpanan candu? Usah berangan!” Kirisaki ketawa berdekah-dekah.

Ayame mengeluarkan pedangnya. “Kirisaki, serah diri. Kogen akan mempertimbangkan keringanan hukuman jika engkau menyerah diri.”

“Aku akan membunuhmu, hitokiri!” Kirisaki pantas meluru ke arah Ayame dalam jurus kelapan kaminari. Ayame mengelak di jurus sama. Ternyata, Kirisaki mampu naik ke jurus tinggi itu mendadak seperti pasangan Segawa.

Aku perlu beranjak ke arah Ryouji dan melepaskan kunci mata uratnya. Aku memerlukan bantuannya sekarang. Pertarungan ini bukan pertarungan beradu tenaga. Tiada soal adil dan maruah pabila kami berdua melawan satu musuh. Kami perlu memastikan si bangsat ini ditangkap demi menumpaskan sindiket perdagangan candu yang sekian lama meracuni masyarakat Kogen.

“Momoyama, di mana Ryouji?” Laung Ayame dalam teriak yang tidak dapat difahami Kirisaki, sedang tangannya sibuk memegang pedang menepis tetakan demi tetakan pedagang bahan terlarang itu.

“Ayame, beranjak ke kananmu, Ryouji digantung di antara dua pokok hinoki yang tumbuh rapat berdua.”

Ayame mengerling sejenak memastikan lokasi pokok hinoki itu.

“Mengapa, Ayame? Engkau sudah tahu Ryouji di mana? Aku tidak akan melepaskan engkau ke sana!” Kirisaki memberi amaran sedang tangannya sibuk menebas, sebaik perasan Ayame mengerling ke arah pokok hinoki itu.

Digantung? Tak guna engkau Kirisaki!

Ayame menganjak sehingga jelas di matanya pemandangan di sekitar pokok hinoki tempat Ryouji digantung.

Mereka berdua kini di hadapan Ryouji. Ayame mengerling ke arah Ryouji sejenak. Ryouji memandangnya namun tidak mampu berkata apa-apa. Ini kerana rahang dan lidahnya turut kaku. Namun ketakutan jelas terpancar di matanya. Ini kali pertama dalam hidupnya, seluruh tubuhnya kaku dan matanya hanya mampu melihat apa yang berlaku di hadapannya.

Dou, Ayame? Jangan kau cuba lepaskan rakanmu itu. Jika kau putuskan tali yang salah, lehernya akan terjerut. Pilih!” Sejurus itu Kirisaki ketawa berdekah-dekah.

Aku perlu menewaskan Kirisaki sebelum hari gelap. Jika tidak aku tidak akan dapat mengamati simpulan tali itu bagi melepaskan Ryouji. Aku perlukan bantuan Momoyama.

Hasil pertarungan tadi, aku dapati Kirisaki tidak membawa senjata api. Bagus. Namun dia mungkin membawa pisau tantou, selain pedang yang digunakan dalam pertarungan denganku.

Aku pernah bertemu Kirisaki di Kogen sewaktu umurku dua belas tahun pada 1858 sekitar masa Shizue bertemuku.

Kirisaki datang bertemu bapaku membincangkan hal-hal berkaitan dunia luar. Bapaku yang sebelumnya pengintip dan kemudian menjadi pelajar Noguchi, baru sahaja berpindah ke Kogen selepas kematian ibuku, maka interaksinya dengan dunia luar terbatas. Kirisaki adalah salah seorang pengintip Kogen yang menyalurkan maklumat berkenaan dunia luar kepadanya dan datukku. Namun aku tidak mengesyaki penglibatannya dalam perdagangan bahan terlarang.

Kirisaki mengenali Miura sewaktu Miura masih berkhidmat kepada Hamada di Nakasendo. Mungkin dari situ, dia berkenalan dengan pedagang Belanda yang sememangnya berhubungan rapat dengan Miura. Candu diseludup masuk ke bumi Jepun hanya selepas perjanjian dengan Marcus Palgraves ditandatangani beberapa tahun lepas. Kirisaki menggunakan jaringan hubungan dengan pedagang Belanda bagi mendapatkan candu, dan juga buku-buku lucah dari Qing. Namun sebenarnya, buku-buku tersebut dihasilkan sendiri oleh penulis tempatan. Empayar Qing dituduh membekalkannya oleh Kirisaki bagi mengapi-apikan permusuhan di antara Qing dengan kerajaan Maharaja.

**

Musim bunga, 1858.

Ojou-chan, mengapa berseorangan di sini?” Kirisaki menegur seorang budak perempuan, yang sedang duduk di atas bangku batu di bawah pokok sakura di taman zen berhampiran pejabat Omi di Kogen. Budak perempuan itu memakai yukata berwarna merah jambu pudar, sama seperti warna bunga-bunga sakura yang sedang mekar di atasnya. Rambutnya hitam panjang diikat ekor kuda.

Budak perempuan itu menunduk, wajahnya monyok. Kirisaki mengambil tempat di sebelahnya, berjarak sedikit.

“Siapa namamu?”

Budak itu tidak menjawab, masih menunduk. Kirisaki meneruskan bicara, dengan suara yang sengaja diubahnya.

Siapa namamu?” Suara Kirisaki berbunyi seakan-akan suara monyet.

Budak perempuan itu perlahan-lahan mengangkat muka, dia melihat boneka berwajah monyet hidung merah yang banyak di Nagano. Boneka itu disarung pada tangan Kirisaki, dan tangannya menggerak-gerakkan mulut boneka itu seiring dengan suara yang cuba dilakonkannya.

Kawaii... (comel)...” Perlahan budak perempuan itu menuturkan. Matanya beransur-ansur membesar.

Atashi kawaikunai (comel bukan, aku)? Aku lihat engkau bersedih. Siapa namamu?

“Ayame.”

“Ayame-chan ka. Namaku SarukenboSa-ru-ken-bo.

“Sarukenbo-chan...”

Hai (ya)...”

“Aku mahu Sarukenbo, ojii-chan!”

Kemudian Ayame seperti seolah-olah baru tersedar dari rasukan. Dia bertanya kepada Kirisaki.

Matte, ojii-chan (Sebentar pak cik). Siapa engkau?”

“Kirisaki!” Hampir serentak, nama Kirisaki diseru. Kotobuki dari jauh berjalan ke arah mereka.

Gomen ne, ojou-chan (maaf gadis). Ambillah hadiah dariku.” Kirisaki menanggalkan boneka itu seraya dihulur kepada Ayame. Ayame mengambilnya tanpa ragu.

Arigatou, ojii-chan.” Ayame laju berdiri dan tunduk.

Doumo.” Kirisaki membalas tunduk, kemudian tangannya menepuk lembut kepala Ayame. Ayame sempat mengangkat wajahnya mengimbas senyuman Kirisaki. Kirisaki kemudian pantas menoleh dan menuju ke arah Kotobuki.

Gomen ne, Kirisaki. Aku bertemu Omi sebentar tadi. Bagaimana dengan perancangan kita?”

Aku tidak mendengar lanjut perbualan mereka yang sama-sama beransur bergerak menjauhiku.

Previous: Bab 80
Next: Bab 82

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov