Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 14

Ryouji bangun pagi itu dan menyedari Hisamiko tiada.

 

Yang ditinggalkan hanya beg yang berisi makanan dan pakaian.

 

Hisamiko? Di mana kamu?

 

Ryouji mula cemas. Dia bingkas bangun dan keluar dari gua kecil itu.

 

Hisamiko sedang duduk di atas batu sambil memandang sungai, seperti sedang memikirkan sesuatu. Tidak pernah aku lihat Hisamiko begitu, apa yang dimenungkan?

 

Kemudian dia menoleh, “Onii-san, tadi aku pergi membuang air. Dalam perjalanan pulang aku terjumpa rangka manusia.”

 

Mereka menuju ke tempat itu. Mayat itu seperti dibunuh di tempat lain dan dicampakkan ke situ. Hanya tinggal tulang temulang dalam kimononya. Biasanya kimono sebegitu dipakai oleh ninja atau ronin. Tiada tengkorak ditemui.

 

Ryouji menyeluk saku kimono itu. Terdapat kelongsong bambu fukiya. Dia meneliti kawasan sekeliling dan menemui tengkorak mayat itu tercampak di dalam semak berhampiran, masih lengkap dengan sarung muka. Mungkin mati dipenggal.

 

Ryouji mengambil kimono, sarung muka dan kelongsong bambu.

 

“Hisamiko, lain kali beritahuku jika engkau bangun. Aku risau engkau hilang tanpa dikesan.”

 

“Aku tidak mahu mengganggu tidurmu. Lagipun aku sudah dewasa, aku boleh melindungi diriku.”

 

Ryouji agak terkejut mendengarkan jawapan Hisamiko. Dari mana dia belajar menjawabku sebegitu?

 

Ketika baru sahaja melintasi pinggir pekan Furukawa, Ryouji berasa seperti sedang diekori. Burung hayabusa yang mengekori mereka melaporkan perkara sama. Kemudian burung itu menghilang seperti sedang mencari sesuatu.

 

Ohisashiburi, Okuhida-san.” Kedengaran suara seorang lelaki memanggilnya. Ryouji menoleh ke kiri. Dia melihat wajah lelaki itu, dan amat mengenalinya. Dia adalah petani bendang yang berjiran dengan bapanya.

 

“Sonzaemon-san!” Ryouji menyeru namanya.

 

“Aku maklum yang engkau telah lari dari rumah itu.” Sonzaemon memulakan bicara.

 

“Benar. Bapaku Miura telah dibunuh. Aku menurut wasiatnya dengan meninggalkan kampung itu. Maaf aku pergi tanpa meninggalkan khabar. Apa khabar engkau sekarang?”

 

“Tidak baik sepertimu.”

 

“Apa telah terjadi padamu?”

 

“Panjang ceritanya. Maharaja mengambil semula tanah-tanah. Daimyo Kimura sudah lari ke Kyushu. Aku ditimbun hutang dan terpaksa lari. Ryouji, tolong aku.”

 

“Apa yang boleh kutolong?”

 

Sonzaemon meniup jarinya. Keluarlah tiga orang lelaki dari belukar mengepung mereka.

 

“Sonzaemon-san. Apa yang kau mahu?!” Ryouji cemas melihat dia dan Hisamiko dikepung. Kesemua mereka bersenjata. Ryouji memberi isyarat kepada Hisamiko agar bersedia. Dia memegang hulu katana, bersedia menariknya dari sarung bila-bila masa sahaja.

 

Hisamiko tidak memiliki katana tetapi sejenis pedang kecil atau tantou. Tangannya kecil dan tidak mampu memegang katana yang berat.

 

“Aku mahukan adik perempuanmu. Serahkan dia dan engkau akan selamat.” Sonzaemon merancang mahu menjualnya sebagai karayuki.

 

Berderau darah Ryouji mendengarkannya. Sungguh biadap engkau Sonzaemon!

 

“Hisamiko, bertindak seperti apa yang kau pelajari.”

 

Kepungan makin mengecil, mereka semakin merapat. Ryouji melibas pedangnya memberi amaran. Di belakangnya Hisamiko masih takut-takut mengacu pedang kecil, maka orang-orang Sonzaemon semakin berani mendekat.

 

“Hisamiko, selagi boleh aku tidak mahu menumpahkan darah. Kita harus melarikan diri. Engkau lari sambil mengelak selepas aku membuat bukaan. Lari ke mana sahaja. Ingat destinasi kita. Jika kau sesat, seru hayabusa.”

 

Ryoukainii-san,”

 

Kaminari-no-kaze, jurus pertama. Usai menyebutnya, Ryouji meluru ke hadapan dengan lajunya. Dunia di sekelilingnya seolah-olah memperlahan dan dia dapat melihat jelas sasarannya. Pedangnya kini di leher salah seorang penyerang itu.

 

Namun Hisamiko terlambat kerana terlalu takut dan bilangan mereka ramai. Dia berjaya ditangkap oleh salah seorang penyerang itu yang mengunci lengannya dari belakang.

 

Ryouji berpatah balik meluru ke arah Hisamiko namun dihalang seorang lagi penyerang. Mereka berbalas tetakan demi tetakan pedang. Ryouji kini bertarung dengan dua penyerang, sedang Hisamiko perlahan-lahan dibawa lari. Kemudian, Sonzaemon memberi isyarat beredar dan dua penyerang itu menamatkan pertarungan dengan Ryouji. Kesemuanya melarikan diri. Hisamiko hilang dari pandangan.

 

Ryouji terkesima. Apa yang telah aku lakukan, di mana kelemahanku? Dia mengejar dan terus mengejar. Dua penyerang itu bersilih ganti menepis Ryouji dan menyukarkannya mencari kelibat Hisamiko di tengah-tengah hutan itu yang kian jauh.

 

“Ryouji, kepantasan sahaja tidak cukup. Engkau harus tenang dan tumpukan perhatianmu. Jika engkau terburu-buru akibat takut, engkau akan tewas.” Nasihat Miura menerjah benaknya.

 

Bertenang, bertenang Ryouji! Fikir! Bagaimana harus aku bertenang? Mereka telah mengambil Hisamiko. Mereka akan menjual Hisamiko! Apa silapku, di mana kelemahanku ketika mereka bertarung? Bukan, bukan, di mana kelemahan mereka?! Itu soalan yang harus aku jawab!

 

Ryouji memejamkan mata, memerah otaknya. Cuba mengingat kembali apa yang dilihat. Tiga orang penyerang. Seorang berbadan tegap dan tinggi. Kakinya tempang, disebabkan itu mungkin dia tidak dibenarkan bergerak banyak oleh Sonzaemon dan menunggu di belakang Hisamiko. Ya, kakinya kelemahannya. Dan dia memegang Hisamiko. Bererti pergerakannya lambat, bersekali dengan si gemuk Sonzaemon itu. Maka aku masih boleh mengekori mereka!

 

Aku masih boleh mengejar mereka. Namun aku harus memintas dua ekor penyangak di depanku itu. Sebentar, di mana hayabusa?

 

Ryouji menerawang ke langit. Hayabusa adalah kompas Hisamiko. Di mana ada Hisamiko, di situlah ada hayabusa. Namun tiada seekorpun yang berlegar-legar. Sialan. Ke manakah dia?

 

**

 

Musim luruh, 1868 (selepas bapa Ryouji, Okuhida Miura dibunuh)

 

“Hamada-sama.” Pembantu Hamada memberitahu kedatangan seorang tetamu rahsia.

 

Hamada keluar menuju ke sebuah pintu masuk yang agak tersembunyi di belakang rumahnya. Selalunya dia akan ke situ jika dia ingin bertemu dengan tetamu rahsia.

 

Hamada menunjukkan jarum fukiya yang diberikan Saitou yang dicabut dari leher Miura. Dia bertanyakan adakah penyumpitnya sudah dibunuh. Ronin itu mengiyakan dan menerangkan penyumpit itu telah dipenggalnya, mayatnya dicampak ke dalam gaung. Hamada kemudian meminta pembantunya memberikan upah berupa sebuntil wang perak. Ronin itu tersenyum seraya menunduk hormat.

 

Di sebuah rumah di kawasan bendang berhampiran bendang Miura, seekor burung gagak telah menjatuhkan surat dari Hamada di depan halaman rumahnya. Seorang petani berbadan gempal dan bermisai panjang keluar, mengambil surat itu seraya membacanya. Dia tersenyum selepas mendapat perkhabaran gembira dari Hamada, bahawa musuhnya Miura telah dibunuh. Penyumpit fukiya yang diupahnya itu juga telah dibunuh, maka dia tidak perlu membayar baki upahnya. Namun dia kini berhutang dengan Hamada. Dia harus segera memiliki bendang Miura dan hasilnya akan dikongsi dengan Hamada. Taishii Kimura tidak boleh berkata apa-apa jika dia memiliki geran Miura yang sah, kerana ia bermakna Miura telah mewasiatkan tanah itu kepadanya.

 

“Esok aku akan pastikan rumah Miura itu tiada lagi anak-anaknya. Kemudian aku akan menyelongkar laci-lacinya dan mengambil surat geran.” Petani itu, Sonzaemon merancang.

 

**

 

Itterasshai.” Sonzaemon ‘menyahut’ teriakan ‘Ittekimasu ’ Ryouji, perlahan, dengan nada sinis. Dia perlahan-lahan keluar dari belukar menuju ke dalam rumah keluarga Okuhida setelah Ryouji dan Hisamiko jauh meninggalkannya. Digeledahnya rumah itu. Namun tiada sehelai kertas geran pun yang ditemui. Bangsat engkau Miura, di mana engkau meletakkannya?

 

Geledah dan geledah. Tiada apa-apapun. Sonzaemon berputus asa. Bukan setakat geledah, dia memusnahkan rumah itu dengan menetak dan melibas pedangnya di mana perlu. Habis meja diterbalikkan dan peti pakaian dijatuhkan.

 

Habis, aku memang habis kali ini! Hamada-sama pasti akan membunuhku!

 

**

 

Seekor burung merpati tiba di sebuah pondok yang didirikan di atas sebatang pokok yang tinggi di pinggir hutan buluh yang memagari sebuah rumah perlindungan anak yatim di tengah-tengah pergunungan Hidagawa, yang didirikan di atas tanah bekas kuil Shinto. Kaki merpati itu diikat dengan beberapa gulungan dokumen penting. Merpati itu masuk ke dalam kabinetnya yang telah dilatih, di dalam pondok itu.

 

Menyedari kedatangan merpati itu, Takasaki keluar dari rumah dan memanjat ke pondok itu. Dia memerhati kabinet yang bertanda ‘Miura’ dihuni seekor merpati dengan kakinya berikat dengan gulungan surat-surat. Dia lantas mengeluarkan merpati itu, mencabut surat-surat tersebut dan membukanya. Surat itu dari Miura, memintanya bersedia. Dia sedang diserang dan mungkin akan terbunuh. Dia meminta Takasaki bersedia di sepanjang Sungai Miya menanti kedatangan anak-anaknya. Bersama surat tersebut adalah geran asal tanah bendangnya yang dikurniakan daimyo Taishii Kimura. Dia mengamanahkan Takasaki agar menyerahkan geran tersebut kepada daimyo Kimura dan menguruskan perpindahan pekerja-pekerja bendang upahannya.

 

Takasaki melakukan apa yang telah diamanahkan. Namun dia tidak mahu sekadar menunggu dan mengambil keputusan berjalan terus ke kampung Miura, demi memastikan dia dan anak-anaknya benar-benar selamat. Namun malangnya, yang tiba hanya anak-anaknya sedang Miura sudah mati disumpit.

 

Selepas Maharaja mengarahkan semua tanah-tanah dikembalikan hak milik kepada baginda, Taishii Kimura terpaksa melepaskan tanah-tanah tersebut lalu berpindah ke Kyushu. Sonzaemon hidup dalam ketakutan dan melarikan diri dari Hamada. Dia diburu Saitou selaku orang kanan Hamada. Namun dia tidak tahu Saitou juga telah meletak jawatan tidak lama kemudian dan berpindah ke Kyushu.

 

Dia masih hidup dalam ketakutan, kebuluran dan merayau-rayau di pekan Furukawa, kadangkala merompak pedagang-pedagang yang melalui pekan tersebut dengan rakan-rakan sejenayahnya.

 

Ketika dia merayau-rayau tanpa arah tujuan di dalam hutan Hidagawa itu, dia terserempak Ryouji dan Hisamiko. Apa lagi yang mereka buat di sini? Bukankah mereka telah melarikan diri? Dia mengekori mereka.

 

**

 

Ryouji mengejar mereka seperti mencari sinar dalam terowong yang gelap, tiada hayabusa seperti selalunya yang sering mengekori mereka. Dua orang penyerangnya itu akan bersilih ganti keluar menyerangnya setiap kali dia hampir dekat dengan mereka, menyebabkan penjejakannya sukar.

 

Sonzaemon tersengih. Dia tahu rahsia keluarga Okuhida ketika dia mengintai di celah belukar pada hari Ryouji dan Hisamiko meninggalkan rumah mereka. Iaitu rahsia menarik hayabusa. Sonzaemon pernah belajar menyeru hayabusa ketika tinggal di utara. Dia menggunakan kemahiran itu dan telah memberikan hayabusa itu makan daging ayam yang besar. Dia membeli masa dari hayabusa. Sementara Hisamiko pula masih dipegang lelaki tempang berbadan tegap itu di belakang Sonzaemon. Mulutnya diikat agar tidak menjerit.

 

Hisamiko ketakutan. Badannya menggigil. Onii-san di mana engkau? Chisato nee-chan? Miko takut.

 

Dia teringat kata-kata Mariko agar bertenang. Hisamiko memejam mata. Berfikir. Apa tindakanku? Bagaimana jika Onii-san tiada? Bukankah aku tidak mahu dijual? Aku punya maruah. Otou-san dan okaa-san mengajarku agar menjaga maruah. Onii-san juga. Mereka sanggup mati demi mempertahankan maruahku. Aku perlu bertindak. Aku tidak boleh lagi mengharapkan Onii-san semata-mata.

 

Aku tidak boleh lagi mengharapkan Onii-san semata-mata.

 

Perasaan ketika bertarung dengan Funazuki bersaudara menerpa benaknya. Dia kian jelas dengan apa yang perlu dilakukan. Gentarnya luntur sedikit demi sedikit. Hisamiko perasan lelaki yang memegangnya itu tempang dan berjengket-jengket. Lengannya kuat namun kakinya lemah. Setiap kali dia menuruni cerun curam sebelah tangannya akan berpaut pada tebing dan sebelah tangannya akan menekan Hisamiko kuat pada badannya. Hisamiko tidak tahan bau lelaki itu, seperti bau kerbau di sawah padi bapanya. Namun dia cuba menenangkan diri, menunggu peluang ketika mereka menuruni sebuah bukit.

 

Seperti diduga, lelaki tempang itu melepaskan sebelah tangannya untuk berpaut pada dahan-dahan pokok ketika turun bukit. Hisamiko sedikit demi sedikit melurutkan penutup mulutnya. Dia berjaya. Pantas dia menggigit lengan lelaki itu sekuat hatinya. Lelaki itu kesakitan lalu melepaskan tekapan lengannya. Hisamiko pantas terjun seraya melarikan diri. Namun dia terjatuh dari bukit itu ke dalam gaung di sisinya, berguling, lalu terhantuk pada sebatang pokok di lereng dan pengsan.

 

Melihatkan keadaan Hisamiko yang sudah jauh di bawah cerun, si gemuk dan si tempang itu tidak jadi untuk turun. Mereka menyangka Hisamiko sudah mati. Lagipun, mereka tidak mahu menyusahkan diri mendaki kembali cerun itu. Mereka perlu pulang ke Furukawa sebelum malam.

 

Ryouji sedari tadi masih bertarung dengan dua lagi penyerang di belakang mereka. Pertarungan terhenti tiba-tiba mendengarkan isyarat Sonzaemon menyuruh mereka berundur. Kedua-dua penyerang akur lalu bercempera melarikan diri. Ryouji mengikut arah dari mana bunyi Sonzaemon datang. Dia melihat sekeliling dan mendapati Hisamiko di bawah cerun bukit, sedang terbaring tidak sedarkan diri. Kepalanya berdarah.

 

Ryouji lekas menggelongsor turun dan memaut tubuh Hisamiko. Dia masih bernyawa. Dia mengendong Hisamiko dan bergegas ke kuil Furukawa.

 

Di kuil itu Hisamiko dirawat oleh sami yang pernah merawat demamnya dahulu, bernama Kotobuki.

 

“Ryouji, engkau tidak apa-apakah? Hulurkan tanganmu, aku ingin memeriksa nadimu.” Pinta Kotobuki.

 

“Tekanan darahmu tinggi. Engkau sedang marahkah?”

 

“Ya, Kotobuki-san. Aku sangat marah, marah dengan diriku. Kerana kesilapanku Hisamiko jadi begini.”

 

Sami itu, Kotobuki tidak menjawab. Dia cuba memikirkan nasihat yang wajar kepada anak muda itu. Remaja pada umur sebegitu amat mudah dikuasai emosi. Mungkin itulah juga penyebab kegagalannya mempertahankan diri. Namun mereka berdua dan sudah dilatih Takasaki. Bagaimana mereka masih boleh tewas?

 

“Ryouji, pernahkah engkau berlatih bertarung dengan Hisamiko?”

 

“Tidak. Selama kami di rumah Takasaki dia hanya berlatih bersama Mariko-san dan penghuni wanita lain. Takasaki tidak membenarkan pertarungan rentas jantina.”

 

“Aku fikir kamu berdua harus bertarung sebagai satu pasukan. Tidak semua situasi dia perlu melarikan diri. Kadangkala penyerangmu lebih ramai dan dia harus berlawan. Dia juga harus belajar membuka kepungan. Dia dan kamu, ada peranan masing-masing. Jika kamu berlawan sebagai satu pasukan, mungkin lawanmu akan lebih mudah ditewaskan.”

 

“Bina kepercayaan ketika bertarung dengannya, fahami perbezaan kekuatan antara kamu dan dia, antara lelaki dan perempuan. Kemudian engkau boleh bertarung dengannya menentang musuh-musuh lain. Percayalah Ryouji, pasukan kamu Okuhida bersaudara akan menjadi lebih kuat.”

 

Ryouji mendengar sahaja gumam sami itu. Betul juga kata-katanya. Sebuah pasukan. Dengan Hisamiko. Aku tidak pernah terfikirkannya sebelum ini. Sepanjang masa, aku hanya memerhati Hisamiko sebagai seseorang yang perlu aku lindungi. Namun masa berubah. Hisamiko sudah belajar bertarung. Dia perlu belajar melindungi dirinya dengan berlawan. Dia perlu bersedia sekiranya aku tiada lagi untuk melindunginya.

 

Sami itu keluar. Seperti ada sesuatu yang bermain di benaknya, dan dia cuba mengelak dari meneruskan kata-kata.

 

Dia masih mahu Ryouji hidup dan mendewasa. Dia mahu pasangan adik beradik itu hidup gembira sehingga ke akhir hayat. Mereka anak-anak yang kasihan, teraniaya. Dia mendongak ke langit. Tuhan, panjangkan umurnya!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov