Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 55

Kogen-no-shita adalah nama lembah tempat baru di mana penghuni rumah perlindungan Takasaki dipindahkan. Ia dipisahkan dari tanah tinggi Shirasaka oleh sebaris bukit, dan ia rendah sedikit berbanding tanah tinggi itu. Orang-orang yang ingin melawat lembah ini dari Shirasaka dan kembali ke sana boleh melalui tangga yang tinggi merentasi bukit ini sebagai jalan pintas. Jika mereka menunggang kuda, mereka perlu melalui denai yang berpusing mengelilingi tanah tinggi Shirasaka untuk ke sana atau turun darinya.

 

Lembah Kogen-no-shita memiliki sepuluh unit asrama lengkap dengan taman zen dan dataran tempat berlatih sukan memanah dan bertarung. Saiznya lebih kurang sama dengan saiz rumah perlindungan Takasaki, tidak termasuk bengkel relau, kebun padi huma, lombong sulfur dan onsennya.Kesemuanya dihuni kecuali rumah di mana bekas penghuni rumah Takasaki akan dipindahkan. Setiap rumah diselia oleh seorang ahli Kogen yang akan dicalonkan oleh Omi sendiri, kebanyakan dari kalangan mereka yang tinggal di atas di tanah tinggi Shirasaka. Kebanyakan rumah-rumah ini dihuni sementara kerana tama-no-iwa di rumah perlindungan lama penghuninya sudah runtuh. Selepas tiga tahun tinggal di situ, jika mereka masih di bawah umur lapan belas tahun, mereka akan dipindahkan kembali ke mana-mana rumah perlindungan Kogen, termasuk rumah perlindungan asal mereka jika ia dibuka semula. Ini kerana sesebuah rumah perlindungan yang tama-no-iwanya runtuh hanya boleh dibuka semula selepas tiga tahun, kerana perjanjian tambatan hanya boleh diperbaharui selepas tiga tahun pemegang terakhirnya meninggal dunia.

 

Di dewan tempat Ryouji pertama kali bertemu Omi...

 

“Uchiha Nariko-san, engkau ditugaskan menjaga rumah perlindungan nombor empat di bawah di Kogen-no-shita.” Omi mengeluarkan arahannya.

 

Eee? Sungguh?” Gadis berusia dua puluhan itu, Uchiha Nariko, terperanjat menerima arahan lelaki tua berumur sembilan puluhan yang layak dipanggil atuk itu. Tidak, mungkin moyang. Dia sedang berdiri di hadapan Omi diperhatikan Ayame.

 

Uchiha Nariko seorang bekas penghuni rumah perlindungan Kogen. Selepas keluar dari situ, dia memilih untuk menjadi ahli Kogen. Omi telah menempatkan Nariko di tanah tinggi ini sebagai penyelia pertanian dan bertanggungjawab ke atas tanaman padi huma di situ, bersama sembilan lagi penyelia wanita yang lainnya. Nariko seorang gadis yang rendah tubuhnya sekitar lima kaki satu inci, kurus, wajahnya bulat dan kecil dan matanya sepet, kulitnya putih kekuningan. Bibirnya kecil dan bibir atasnya melengkung ke bawah sehingga dapat dilihat gigi arnabnya. Rambutnya hitam dan panjang ke paras punggung dan diikat dengan satu ikatan. Dia memakai yukata berwarna kelabu kerana selaku penyelia pertanian, dia kerapkali turun padang dan tidak perlu memakai pakaian yang terlalu menyerlah. Dia menjinjing topi kon yang selalu dipakainya ketika bertemu Omi sebagai tanda hormat.

 

“Ya, Uchiha-san. Engkau tidak berminat?

 

“Omi-san, mereka bekas penghuni rumahTakasaki bukan?”

 

“Ya.”

 

Aku dengar dari Ayame dan Tsushiko, penghuninya aneh-aneh belaka. Dua orang dari mereka memiliki kuasa luar biasa sama seperti puak Shirasaka. Seorang dari mereka telah mencipta senjata-senjata baru untuk seni kaminari dan kini akan dilatih sebagai salah seorang penyelidik kanan kepada Omi-san di sini. Dan yang paling menakutkan, salah seorang penghuninya juga telah membunuh Takasaki-san dan dua penghuni lainnya.

 

Aku tertarik dengan mereka. Aku ingin tahu lebih berkenaan mereka. Mungkin, kisah latar mereka mirip kisah latarku itu. Mungkin aku boleh mempelajari sesuatu dari mereka.

 

“Omi-san, terima kasih atas kepercayaanmu!” Nariko menerima arahan Omi penuh keterujaan, mata sepetnya membulat memandang Omi sedang tangannya diletakkan di dada.

 

“Aku gembira mendengarkan maklum balasmu, Uchiha-san. Arahan aku ini berkuatkuasa serta-merta.”

 

Arigatou gozaimashita!” Nariko menundukkan kepalanya. Omi membalas tunduk. Nariko memandang Ayame dan tersenyum. Ayame membalas senyum sambil mengenyitkan sebelah matanya.

 

**

 

Mereka sudah tinggal di situ selama seminggu, namun masih belum ditugaskan seorang penjagapun, sehinggalah Nariko tiba.

 

Susun letak rumah perlindungan sementara itu benar-benar seperti rumah Takasaki, lengkap dengan dataran dan taman zen. Di kelilingnya ditanam dengan pokok-pokok renek. Teratak kerikil melapisi laluan dari anjung rumah menghala ke taman zen.

 

Mereka semua berkumpul di dalam bilik hidang. Semua mereka berenam hadir kecuali Chisato,yang masih terlantar di atas sana. Hisamiko dan kembar Ogasawara duduk bersetentang dengan Ryouji, Shinji dan Tsuneki. Nariko masuk, terus ke hadapan,duduk dan kemudiannya memperkenalkan diri.

 

Waga no na wa Uchiha Nariko desu.”Nariko memperkenalkan dirinya, kemudian menundukkan badan.

 

“Mulai dari hariini aku ditugaskan untuk menjaga hal ehwal kalian di sini.”

 

Nariko memerhati wajah mereka satu persatu. Remaja-remaja ini wajahnya masih ‘hijau-hijau’ belaka. Sekali pandang aku langsung tidak percaya mereka inilah penghuni-penghuni aneh rumah Takasaki. Terutama wajah budak perempuan yang sedang bulat matanya merenungku tepat itu. Dia pastinya adik perempuan pasangan beradik yang punya kuasa mistik itu, melihatkan dua lagi wanita berwajah sama yang pastinya adik kembar kepada seorang gadis yang sedang terlantar di atas sana. Comelnya adik perempuan pasangan mistik ini! Dan dia masih belum mengalihkan pandangannya! Apa yang kau renung penuh teliti pada wajahku ojou-chan?

 

“Baiklah, kalian perkenalkan diri masing-masing. Bermula dengan kamu.” Nariko menuding dengan ibu jari ke arah Hisamiko. Sengaja, aku ingin benar mendengar suaranya.

 

“Ah, gomen nee-san.” Hisamiko menguntum senyuman manis. Terpana seketika Nariko,wajahnya merah.

 

“Namaku Okuhida Hisamiko.” Sebaik Hisamiko menghabiskan kata-katanya, sebiji edamame melayang ke arahnya, dia sempat mengelak, dan menyedari ia datang dari arah Tsuneki. Tsuneki terkejut, mulutnya masih memuncung selepas baru sahaja menyumpit kacang itu dari mulutnya. Hisamiko geram di dalam hati, namun tersenyum sinis pada Tsuneki kepuasan setelah berjaya mengelak.

 

Sopannya! Aku ingin sekali memeluk Hisamiko ini. Di manakah abangnya? Mungkinkah remaja lelaki yang nampak paling tua seperti pemuda berumur dua puluhan itu? Apapun, aku mahu meminta peludah kacang itu dahulu memperkenalkan diri. Dia nampak begitu nakal sekali, tidak padan dengan badan kecil dan telinga capangnya.

 

“Baiklah, sekarang kamu perkenalkan diri.” Nariko menuding ke arah Tsuneki pula. Tsuneki memperkenalkan diri.

 

“Kitsune Tsuneki desu.” Nariko menutup mulut, menggigil menahan ketawa sedaya-upaya mungkin, kemudian pantas mengalihkan tangannya takut-takut dikesan mereka terutama Hisamiko yang kembali merenungnya. Tsuneki menunduk malu, namun dia sudah biasa dengan reaksi begitu. Sudah memang namanya Kitsune. Hisamiko sekali lagi memandang Tsuneki dengan senyuman sinisnya, padan muka engkau musang!

 

Kemudian Shinji memperkenalkan dirinya. Inilah saintis harapan Kogen, getus Nariko. Dia inilah yang mencipta pedang Saishi-tou itu. Wajahnya hanyalah wajah seorang Yamato normal, purata, dengan mata kecil dan kulit wajah yang kuning dan bersih. Namun kulihat dia sudah ditumbuhi sedikit jambang di wajahnya. Aneh, selalunya orang Yamato tidak berjambang sebegitu lebih-lebih lagi pada usia remaja.

 

“Okuhida Ryouji desu, abang kepada Hisamiko.” Remaja inilah yang kerapkali kudengar namanya di sini. Pewaris Okuhida yang dikatakan berbakat pemimpin. Begitulah kata mereka, namun aku masih skeptik selagimana bukan aku yang menilainya. Aku nampak karismanya dari tutur kata itu, dia seperti pemuda berumur dua puluh lima tahun, termasuk suaranya. Kelihatan jauh lebih matang berbanding dua rakan lelakinya itu.

 

“Ogasawara Chiho desu.”“Ogasawara Chinami desu.”

 

Kemudian Nariko membawa mereka berjalan-jalan di sekitar Kogen-no-shita.

 

Di Kogen-no-shita terletaknya perpustakaan besar di bawah tanah. Tujuan ia dibina di bawah tanah ialah bagi menjimatkan ruang. Shinji teruja melihatkan saiznya yang besar dengan buku-buku yang banyak sehingga memakan ruang empat tingkat, syurga baginya namun tidak kepada yang lain. Di sini jugalah mereka dapat bertemu penghuni sembilan rumah perlindungan sementara di lembah ini selain darikawasan sekitar lagun.

 

Di lembah ini, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan. Bengkel relau terletak di lembah Shirasaka di atasnya. Begitu juga kebun padi huma. Terdapat sebuah air terjun yang menuruni bukit yang tinggi dan bertakung di sebuah lagun sebelum meneruskan alirannya ke laut nun jauh di bawah sana, dan mereka dibenarkan memancing dan bersosial di sekitar lagun itu.

 

Penghuni di sini didisiplinkan sepertimana ketika mereka di rumah perlindungan asal. Ada masa mereka ditugaskan membantu petani di atas sana, dan membasuh pakaian petarung Kogen dan apa sahaja tugasan lain seperti mengangkut ubat-ubatan, bahan untuk menghasilkan senjata, dan ada masa mereka akan belajar kemahiran-kemahiran yang telah ditetapkan.


**

 

Penghujung musim bunga, 1872

 

Kini sudah hampir dua bulan mereka tinggal di Kogen-no-shita.

 

Tsuneki sedang duduk di atas batu di tepi lagun, yang menakung air terjun dari sebuah bukit yang tinggi berdekatan.

 

Shinji sedang asyik membaca buku yang kecil, duduk di atas batu yang lain di sebelah Tsuneki.

 

“Shinji, berbual denganku.” Tsuneki menegur Shinji yang matanya sedari tadi terpaku pada buku.

 

Shinji bukan sahaja tidak menghiraukan Tsuneki, malah tidak langsung menghiraukan betapa indahnya kawasan itu yang dipagari bukit-bukau yang tinggi yang di puncaknya salji yang tidak pernah lenyap meskipun mencair menuruni bukit menuju ke dalam lagun yang jernih sehingga dasarnya dapat dilihat, menghasilkan hingar yang menenangkan. Bunga-bunga masih mekar di sekeliling mereka, di penghujung musim bunga 1872itu. Petang itu tidak ramai penghuni lain di situ. Hanya dua tiga orang gadis duduk di atas batu sambil berbual, tidak jauh di seberang lagun tersebut.

 

Tsuneki kebosanan, dia menghayun-hayun kakinya yang mencecah air, sengaja dihayun kuat agar memercik ke arah Shinji yang sedang asyik membaca buku.

 

“Tsuneki, hentikan!”

 

Tsuneki tidak mengendahkan. Habis basah buku Shinji. Shinji geram seraya mencampakkan bukunya ke tebing. Kemudian dia turun dari batu, berjalan meredah air separas lutut ke arah batu yang diduduki Tsuneki, seraya menariknya turun dari batunya.

 

“Turun Tsuneki, turun! Turun!”

 

Tsuneki mengekek, dia menahan tarikan tangan Shinji dengan geseran kakinya pada permukaan batu.

 

Sedang mereka bergelut, Shinji terpandang Hisamiko sedang berjalan seorang diri dan duduk di atas bangku panjang di taman zen, agak jauh dari mereka. Shinji berhenti tiba-tiba.

 

“Tsuneki, aku nampak peluang keemasan.”

 

“Apa?”

 

“Itu, cuba engkau perhatikan bangku panjang. Kekasih hatimu.”

 

Tsuneki memerhati arah yang dituding Shinji. Dia teruja.

 

“Ryouji tiada hari ini Tsuneki. Aku bilang engkau boleh cuba menguratnya.”

 

Tsuneki merah padam. Menyedari Tsuneki lalai, Shinji pantas menariknya ke bawah, Tsuneki tergelungsur lalu berendam di dalam air yang separas lutut itu.

 

Tsuneki tidak mengendahkan dirinya yang sedang basah, seraya naik ke tebing seperti orang dipukau. Shinji menurut.

 

“Tsuneki, gambatte (semoga berjaya)!” Shinji menolak belakang Tsuneki.

 

Tsuneki dengan pakaian basah lencunnya bergerak menuju taman zen, seperti dirasuk, tidak langsung menghiraukan Shinji. Shinji hanya ketawa kecil. Hisamiko sebaya Tsuneki fikirnya, dia berumur tiga belas tahun dan hanya tua setahun dari Tsuneki. Mereka berdua sangat cocok. Sedang aku, aku lebih berminat dengan wanita yang sebaya aku, yang kini berumur enam belas tahun. Seperti Saki. Tidak, Saki tua setahun dariku jika dia masih hidup, dan sama umur dengan Ryouji. Masih sebaya pada fikiranku.

 

**

 

Andai Saki masih hidup, aku pasti akan menguratnya. Tubuh Saki nampak kelelakian dengan otot lengannya, namun suaranya tidak sekali-kali. Wajahnya sedikit gelap, bentuknya bujur, giginya putih dan kemas tersusun, matanya satu kelopak namun punya lengkungan yang cantik seperti sisi daun matcha (teh hijau). Ototnya terbina dari kekerapan melakukan kerja-kerja berat di lombong sulfur. Hanya jika dia tidak melakukan kerja-kerja itu, mungkin kulitnya lebih cerah bahkan dia mungkin secantik Chisato.

 

Malangnya, dia sudah tiada. Dan jika pun dia masih hidup, dia meminati Kobato. Kobato, yang membunuhnya itu. Malang engkau Saki! Namun Kobato telah mendapat balasannya.

 

Walau apapun yang telah berlaku, aku tidak mampu menafikan hakikat bahawa Kobato pernah menjadi sahabatku. Aku tiba di rumah itu pada tahun 1866, dan hanya selepas Ryouji datang barulah aku mengenali Kobato dengan lebih perinci. Sebelumnya kami hanya melakukan hal masing-masing, dan dia kerap bersendirian di hutan buluh di satu lokasi yang aku tidak langsung berminat untuk ambil tahu. Namun sejak kedatangan Ryouji dia selalu sibuk berlatih bertarung di dataran. Sejak itu aku yang selalu mendampingi Ryouji, mula mengenali Kobato lebih. Namun begitu, sukar benar untuk aku memahaminya, kerana dia hanya berbicara kisahnya lebih perinci dengan Ryouji seorang, atau denganku, hanya apabila Ryouji ada di hadapannya. Seolah-olah Ryouji ialah satu-satunya insan yang paling dipercayainya, lebih dari Takasaki dan Mariko. Peribadi Kobato, padaku masih misteri.

 

Nampaknya aku akan berseorangan sampai bila-bila, tanpa teman wanita. Atau mungkin ada peluang lain di sini? Entahlah. Bila lagi aku boleh mempraktikkan apa yang aku baca dari buku dewasa Takasaki itu?

 

Aku dengar dari Ryouji yang Saki dibunuh Kobato di lokasi yang agak jauh dari rumah kami. Katanya lagi, mereka mungkin berkomunikasi, kerana Saki tahu Kobato akan tiba pada malam itu dan menunggunya jauh dari rumah. Dia mengatakan mereka mungkin menggunakan merpati pengutus yang mengekor rujukan bergerak, iaitu merpati hasil pembakaan terpilih. Dia mengagak pemberian Saki ketika Kobato meninggalkan rumah itu ialah rujukan tersebut. Aku mengiyakan sahaja. Ryouji mungkin benar, kerana aku pernah membaca berkenaan merpati pengutus begitu pada sebuah rekod yang menghimpunkan alatan perisikan aneh yang misterinya tidak dapat dibongkarkan Kogen. Bahkan aku mengesyaki Ryouji membaca rekod yang sama di perpustakaan kami.

 

Namun persoalannya, jika benar begitu, dari mana Saki mendapat merpati itu? Aku tidak bertanya Ryouji soalan itu namun aku dapat mengagaknya. Saki mungkin berhubung dengan ramai pedagang dari luar yang singgah ke kuil patung Buddha dan patung singa. Hanya itu sahaja tempat dia berhubung dengan dunia luar, kerana Saki dan Azusa tidakpernah keluar dari kawasan perumahan Takasaki sejak lahir setahu aku. Dan aku masih dapat mengingat dengan jelas rujukan itu. Ia patung berbentuk telur dengan lukisan musang tanuki di permukaannya.

 

Shinji menyeluk sakunya dan mengeluarkan patung telur itu, seraya menggoncangkannya. Tidak semena-mena, seekor burung merpati hitam datang dan hinggap di lengannya. Dia mengusap-usap kepala merpati yang jinak itu.

 

Tidak lama selepas kematian Takasaki dan selepas mendengar telahan Ryouji, aku pergi menggeledah baju Kobato yang disimpan Ryouji di dalam biliknya. Tidak kusangka, aku menemui patung telur tanuki itu di dalam sakunya. Aku membawa patung itu dan terus ke kuil di seberang Sungai Miya. Aku fikir rumah merpati itu berada di kuil tersebut. Ini kerana tidak mungkin merpati mereka akan hinggap di rumah merpati Takasaki kerana itu akan menimbulkan curiga. Tambahan pula Saki pasti akan menggunakan kesempatan kerap keluar menguruskan kuil tersebut bagi melakukan komunikasi dengan Kobato tanpa mencurigakan sesiapapun.

 

Di sana, aku mencari dan menemui rumah merpati Saki di kuil itu. Aku menemui seekor merpati hitam di dalamnya. Aku mencampakkan patung itu jauh sedikit dan cuba melepaskan burung tersebut keluar. Ia terbang dan hinggap di atas patung itu tanpa melepaskannya. Maka benarlah telahan aku dan Ryouji. Aku menemui sejenis batu berwarna hitam di dalam rumah merpati itu, di mana ia bertanggungjawab menarik merpati itu ke dalam rumah tersebut. Aku tidak tahu batu apakah itu, aku syak ia batu Magnesia (magnet) kerana ia menarik objek besi ke arahnya. Aku mengambilnya dan membawanya ke sini. Di sana, di atas pokok matsu itu, aku meletakkan sebuah kotak kecil, di dalamnya aku simpan batu ini. Burung merpati ini tinggal di dalamnya sejak saat itu, dan akan menemuiku pabila aku menggoncangkan patung telur ini. Aku turut menemui objek hitam seperti batu itu dilekatkan di dalam telur ini namun ia tidak pula menarik besi.


Namun, aku tidak memberitahu Ryouji penemuanku ini. Aku mahu mengkajinya lebih. Aku tahu, Kogen masih bertungkus lumus membongkarkan misteri ini. Mungkin, misteri ini ada kaitan dengan Hamada yang giat melakukan pembakaan terpilih burung seperti hayabusa.

 

Ketika kami melarikan diri dari rumah Takasaki menuju ke sini beberapa bulan lepas, burung merpati hitam itu mengekori aku. Namun dia terbang jauh di atas. Burung itu nampak bijak. Ia hanya akan merapatiku apabila tiada orang lain yang duduk berhampiranku. Aku fikir bagus untukku, kerana aku mahu merahsiakan penemuan ini, sehingga suatu masa yang aku fikirkan sesuai.

 

Sebentar, Saki juga pernah bertanyaku berkenaan pedang yang aku tempa dan resin aomomiji itu. Dan mungkin ramuan pedang itu telah dibongkarkannya kepada Kobato! Dan juga, maklumat-maklumat berkenaan Hamada! Sebelum dia bertanya berkenaan pedang itu, Saki gemar ke perpustakaan mencari maklumat berkenaan Hamada. Apakah Kobato telah mempergunakannya sekian lama? Mungkin, Kobato mempergunakan cinta Saki demi manfaatnya? Apakah Kobato yang aku kenali selama ini berperlakuan sebangsat itu?

 

Namun, aku masih tidak percaya apa yang telah aku lakukan. Apakah Kobato telah berjaya menghasilkan pedang seperti Saishi-tou?Jika benar, aku telah bertanggungjawab menyebabkan kematian Takasaki-san! Pedang Kobato mungkin adalah pedang yang mengikut ramuanku dan ia telah membunuh Takasaki-san! Dia mungkin telah berjaya mencapai jurus kesembilan dengan pedangku itu.

 

Shinji menutup wajah dengan tangannya, tidak dapat mempercayai senjata ciptaannya itu telah membunuh Takasaki.

 

Mengapa aku masih terlepas dari membongkarkannya meskipun semuanya telah jelas berlaku di hadapan mataku? Mengapa masih ada perkara yang terlepas meskipun aku memerhatikan semuanya? Mengapa baru sekarang aku menyedarinya?

 

Aku mesti bertanya Ryouji perkara ini. Dia saksi utama malam itu. Bahkan dia seperti menyembunyikan sesuatu dari kami! Aku masih tidak berpuas hati dengan jawapannya berkenaan mengapa dia menangis pada hari itu – yang dia meminta diajarkan menempa pedang. Dia jelas menyembunyikan sesuatu dariku.

 

Meskipun aku telah mengekori dia ketika misi pertama kami, aku masih tidak dapat merungkaikannya. Bahkan, kebingungan yang baru menjelma di mana dia menyerang kami pula. Takasaki ada menerangkan Ryouji melakukannya di bawah sedar ketika hayabusa melintas di atasnya. Aku fikir ia disebabkan darah Okuhida-nya. Namun adakah semua Okuhida begitu? Bagaimana Okuhida yang lain sebelum Ryouji? Bukankah itu menunjukkan yang puaknya berbahaya jika dibiarkan bertarung dalam keadaan begitu, kerana mereka akan menyerang tanpa mengira siapa kawan dan lawannya? Apakah ia ada kena-mengena dengan tangisan Ryouji pada hari itu?

 

Fikir demi fikir, jika benar ia ada kena-mengena, bererti Ryouji mungkin tidak dapat lari dari hakikat itu. Bahkan, hakikat itu padaku nampak seperti sebuah sumpahan atau kesialan yang diwarisi dari nenek moyangnya. Kesialan yang mungkin melukakannya. Kesialan yang dia tidak dapat lari darinya.

 

Ryouji, aku masih tidak dapat memahamimu. Aku yakin, engkau sedang menyembunyikan sesuatu. Aku tidak akan berputus asa. Aku pasti akan menemui jawapannya, lambat atau cepat.

 

**

 

Sementara itu di taman zen...

 

“Okuhida-san...Okuhida-san...” Tsuneki menegur Hisamiko. Tsuneki duduk di sebelah kanan bangku itu, dijarakkan ruang semuat dua orang dari Hisamiko yang sedang duduk di sebelah kiri.

 

Hisamiko sedang duduk, tidak mempedulikan teguran Tsuneki, wajahnya memandang ke kiri. Kemudian kedengaran esak tangis dan tubuhnya bergoncang. Lengan yukatanya menutup matanya.

 

“Okuhida-san...” Tsuneki terperanjat menyedari Hisamiko menangis.

 

“Okuhida-san mengapa engkau menangis?”

 

Hisamiko memaling memandang Tsuneki. Wajahnya berkerut dengan matanya masih merah dan berair merenung Tsuneki. Dia bangun pantas, seraya bergerak meninggalkan bangku itu.

 

Matte (tunggu), Okuhida-san!” Tsuneki mengejar Hisamiko, memegang bahunya. Air lagun yang membasahi lengan yukatanya turun membasahi bahu Hisamiko.

 

Hisamiko melepaskan bahunya kasar. Tsuneki memegang tangannya pula kuat. Hisamiko merentap tangannya, namun tidak dapat melepaskannya dari pegangan Tsuneki.

 

“Lepaskan aku Kitsune-san!”

 

“Okuhida-san, mengapa engkau menangis?”

 

“Ini halku. Usah masuk campur.”

 

Tsuneki melonggarkan pegangan tangannya. Pantas Hisamiko merentap melepaskan tangannya seraya berlari ke arah rumah.

 

Esoknya Tsuneki cuba mendekati Hisamiko sekali lagi. Hisamiko duduk di bahagian yang sama bangku panjang itu, seperti sebelumnya. Tsuneki datang ke hujung satu lagi bangku panjang.

 

Belum sempat Tsuneki melabuhkan punggungnya, Hisamiko bersuara.

 

“Kitsune-san, jika engkau ingin menggangguku lagi, lupakan.”

 

“Tidak, aku hanya mahu meminta pertolonganmu.”

 

“Apa?”

 

“Ajarkan aku berkuda.”

 

“Minta Nariko nee-chan ajarkan. Aku sibuk.”

 

“Apa yang engkau sibuk?”

 

Hisamiko tidak menjawab, lama dia membisu. Kemudian dia bersuara.

 

“Kitsune-san, engkau merengsakan. Aku mohon engkau beredar.”

 

“Okuhida-san mengapa engkau begini?”

 

“Abaikan aku.”

 

“Tidak, Hisamiko!”Tsuneki tiba-tiba menggunakan nama peribadi Hisamiko.

 

Hisamiko menoleh memandang Tsuneki, terkejut dipanggil dengan nama peribadinya.

 

Suki...(Suka...)” Tsuneki menutur perlahan.

 

“Hah?”

 

Uma ni noru no ga suki! (Aku suka menunggang kuda!)” Tsuneki melaung, mengelak dari mengakui perasaannya.

 

Oshietekure, Hisamiko (Tolong ajarkan aku menunggang kuda, Hisamiko).”

 

“Tidak, Kitsune-san. Minta Nariko-san ajarkan. Aku sibuk. Dan berhenti memanggil nama peribadiku!” Hisamiko berlalu dari situ, dalam kemarahan.

 

Tsuneki tunduk sugul. Dia melabuhkan punggung ke bangku panjang.  Dia sememangnya mahu belajar menunggang kuda. Dia berasa tercabar melihatkan Hisamiko yang berumur sebaya dan perempuan itu mampu menunggang kuda, bahkan membawa Chinami ketika meninggalkan rumah mereka di Hidagawa.

 

Shinji yang sedari tadi melihat mereka berdua, melopong dari jauh. Tidak kusangka Tsuneki begitu berani dan tidak berputus asa, sedang baru semalam Hisamiko menyuakan bahu dinginnya. Namun dia masih belum mengakui perasaannya. Hisamiko kejam, dan dingin. Mengapa dia begitu? Aku lihat Hisamiko kerapkali termenung di bangku sejak belakangan ini. Apakah kerana Ryouji kerapkali tiada di sini?

 

Shinji berjalan mendekati Tsuneki, dan duduk di sebelahnya.

 

“Bagaimana Tsuneki? Sejak semalam aku lihat engkau cuba menguratnya.”

 

“Dia masih tidak menghiraukanku.”

 

Shinji meletakkan lengannya di bahu Tsuneki dan tersenyum. “Cuba lagi Tsuneki. Aku sentiasa di belakang menyokongmu.” Senyuman Shinji sukar untuk dibezakan, sama ada ia senyuman menyindir atau senyuman menyokong. Matanya sepet dan kecil dan bertambah sepet apabila dia senyum dan bibirnya memanjang sehingga ke telinga menampakkan giginya yang putih namun ada dua tiga batang yang tidak tersusun. Rambutnya sederhana panjang dan disepit di pelipis oleh penyepit kayu agar tidak menutup dahinya.

 

“Shinji, engkau tahu bagaimana menunggang kuda?”

 

“Aku hanya tahu teori. Namun aku tidak berani langsung mencubanya.”

 

“Shinji, tolong aku. Aku perlu menguasainya sekarang.”

 

“Engkau masih dibawah umur. Kakimu pun belum cukup tinggi. Mereka tidak akan membenarkan engkau selagi umurmu belum mencecah empat belas.”

 

“Aku fikir aku masih boleh mencuba baka kuda yang lebih rendah. Bangsal itu memiliki beberapa ekor.” Tsuneki menunjuk ke arah bangsal kuda Kogen yang terletak di kaki sebuah bukit tidak jauh dari taman zen itu.

 

Tsuneki menyambung,“Shinji, Hisamiko merancang mahu lari mengejar Ryouji bila-bila masa sahaja dari sekarang.”

 

“Engkau bergurau Tsuneki?”

 

“Aku serius. Sebelum ke sini aku lihat dia berdiri memandang bangsal kuda. Aku mengekornya sehingga ke sini. Kemudian aku mendengar dia mengomel seorang diri, “Onii-san aku akan keluar mencarimu...” begitulah yang dikatakannya sambil menangis.”

 

Patutlah. Rupanya dia risaukan Ryouji. Benar, sebelum kami tiba di sini Ryouji tidak pernah keluar lama kecuali bersama dengan Chisato dahulu. Hisamiko amat rapat dengannya. Ryouji insan yang amat penting dalam hidupnya.

 

“Aku berpura-pura tidak mendengarnya, jika dia tahu sudah pasti dia akan merancangnya berhati-hati dan mungkin mengekornya akan menjadi lebih sukar.”

 

Shinji termenung sejenak mendengar kata-kata Tsuneki, sedang memikirkan sesuatu. Kemudian dia bersuara menawarkan diri.

 

“Tsuneki, aku akan cuba mengajarmu. Aku menghafal setiap langkah yang dilakukan Ryouji sewaktu dia berlatih berkuda, namun aku tidak berani melakukannya.”

 

“Benarkah begitu,Shinji?”

 

“Ya. Namun engkau harus ingat jika apa-apa terjadi padamu, engkau tanggung sendiri akibatnya. Setuju?”

 

“Aku bersetuju. Namun bagaimana mungkin kita mendapatkan kuda dari situ? Bukankah ada pengawal Kogen di bangsal itu?” Tsuneki menunjuk sekali lagi ke arah bangsal kuda.

 

Bangsal kuda Kogen di Kogen-no-shita terletak tidak jauh dari rumah perlindungan mereka, di tepi tangga mendaki bukit menghala ke ibu pejabat Kogen di atas sana. Bangsal itu terdiri dari dua belas buah kandang kuda dan dipagari dinding-dinding kayu. Kuda-kuda ini diberi makan jerami yang dikumpul di atas sana dari padi huma.

 

Shinji membisikkan sesuatu ke telinga capang Tsuneki itu. Tsuneki tersengih.

 

“Engkau ni memang cerdik!” Tsuneki menyekeh kepala Shinji.

 

Itai, baka! (Sakit, bodoh!)” Shinji menyekeh balas kepala Tsuneki. Dia menyambung, “Aku perlu cerdik demi membantu musang bodoh sepertimu.”


Previous: Bab 54
Next: Bab 56

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov