Yang tinggal di rumah itu kini adalah Ryouji, Hisamiko, Ogasawara bersaudara, Tsuneki, Shinji dan Mariko. Mereka berkabung selama seminggu. Mayat Takasaki, dan Funazuki bersaudara dibakar. Pakaian Kobato disimpan Ryouji di dalam biliknya.
Kotobuki dan Ayame datang menziarahi mereka.
“Mariko-san, kami tumpang bersedih atas pemergiannya. Takasaki-san banyak menyumbang kepada Kogen sejak penyertaannya lebih dua dekad lalu.” Ujar Kotobuki kepada Mariko.
Mariko masih sugul. Dia tidak dapat menerima kenyataan bahawa pembunuhan Takasaki dan Funazuki bersaudara dilakukan bekas penghuni rumah itu sendiri. Terbayang-bayang di ingatannya wajah Kobato sewaktu dia mengambilnya dari Atsushi pada malam tujuh belas tahun lepas. Jika aku tahu sudah pasti aku akan membunuhnya malam itu juga dan membuang mayatnya jauh-jauh. Atau aku minta Atsushi biarkan sahaja dia dibakar api di rumahnya.
Mariko mengetap bibir menahan marah, tanpa menyedari Ayame dan Kotobuki sedang memerhatikannya, dahinya yang sudah berkedut tua bertambah kedut, matanya berair hampir melimpah. Dia sedih. Dia tidak mencintai Takasaki sewaktu mereka berkahwin, namun lama-kelamaan perasaan itu berputik, dan ketara setelah Takasaki pergi.
Aku tidak dapat menafikan perasaanku terhadap Nakatsu.
“Mariko-san, Mariko-san...” Ayame memanggil-manggil Mariko, setelah mendapati dia mengelamun dan berwajah marah berseorangan, tidak menyedari kata-kata Kotobuki sebentar tadi.
“Ah, gomen ne (maaf), kalian. Aku masih tidak dapat menerima kematiannya.”
Hanya mereka bertiga di dalam bilik itu. Ia bilik tamu yang menempatkan kuil kecil beserta abu mayat Takasaki, Azusa dan Saki di depannya.
Ayame memandang Kotobuki, meminta pandangannya. Kotobuki hanya menganggukkan kepala.
“Mariko-san, pabila engkau sudah bersedia, beritahu kami.” Ayame menyampaikan peringatan yang menjadi tujuan kedua mereka datang ke situ. Tujuan pertama ialah memberi penghormatan terakhir kepada Takasaki.
“Ayame-san, beri aku sedikit masa di sini. Mohon engkau beritahu Omi-san menghantar bantuan tambahan ke sini. Aku tidak yakin Ryouji seorang diri mampu menewaskan orang-orang yang dihantar keluarga Yoshitsugu. Keupayaannya memimpin pasukan masih perlu diasah.”
“Baiklah Mariko-san. Kami minta diri dahulu.”
“Doumo.”
Ketika keluarnya Ayame dan Mariko dari rumah itu menunjuk gerbang buluh, Ryouji datang bertemu mereka.
“Tunggu sebentar, Kotobuki-san. Aku ingin berbual denganmu sebentar. Maafkan kami sebentar, Ayame-san.”
Ayame mengangguk. Dia sudah bertemu Ryouji sebelum menemui Mariko. Itu adalah pertemuan pertama mereka. Ayame memperkenalkan dirinya sebagai anak kepada Kotobuki seperti yang pernah diceritakan Chisato. Ryouji berterima kasih kepada Ayame kerana membantu Chisato dan Azusa tempoh hari.
Di atas pokok shirakaba, dua ekor hayabusa bertenggek bersebelahan. Seekor Azuchi, hayabusa yang mengekori Hisamiko, dan yang seekor lagi itu adalah hayabusa yang mengekori Ayame. Kedua-duanya seperti sedang berbual sakan, seperti sudah lama tidak berjumpa. Ayame memanggil salah seekor daripada mereka dengan membuat siulan. Hayabusa itu turun dan bertenggek di lengan Ayame.
“Momo-chan, engkau mahu makan apa hari ini?” begitulah maksud kukuran Ayame kepada hayabusa yang digelar Momo-chan itu.
Momo-chan membalas dengan kukuran juga, “Aku tidak mahu makan. Aku bersedih dengan kematian Takasaki.”
“Aku ingin lihat selama mana engkau tidak makan.”
“Ayame, aku mahu makan jagung hari ini...” Sekelip mata pula dia mengubah fikiran.
“Baiklah, apa saja untukmu Momo-chan.” Ayame tersenyum sambil menggosok-gosok kepala Momo-chan. Momo-chan mengibas-ngibas kepalanya rimas. Momo-chan adalah gelaran yang diberikan kepada burung itu, yang namanya Momoyama. Sepertimana Azuchi, nama itu memang diberitahukan burung tersebut dan bukan diletakkan oleh Ayame.
“Momo-chan, siapakah itu? Sahabatmu?” Ayame bertanya Momoyama berkenaan hayabusa yang tadinya bertenggek di sebelahnya. Ia masih bertenggek di dahan yang sama di atas pohon shirakaba itu.
“Rakan lamaku Azuchi. Dia mengekori seseorang di sini yang mengikat perjanjian dengan hayabusa-no-kami.”
“Siapa?”
“Okuhida Hisamiko, manusia yang juga pemedang handal sepertimu. Adik kepada Okuhida Ryouji.”
Budak perempuan yang duduk di sebelah Ryouji ketika kami di bilik kuil kecil? Wajahnya nampak naif dan comel. Tiada langsung ciri-ciri kepahlawanan. Apakah dia telah diasah dan dilatih oleh Ryouji, Mariko dan Takasaki?
Di taman bonsai...
“Kotobuki-san, mengapa engkau memberitahu Chisato?” Ryouji merenung Kotobuki.
“Lebih baik dia tahu. Apa yang engkau fikirkan Ryouji? Adakah engkau mahu menyembunyikannya?"
“Itu tidak penting bagimu.”
“Aku hanya kasihankan engkau Ryouji, sebagai seorang rakan. Engkau masih muda bahkan lebih muda dari anakku. Gunakan masa yang suntuk ini sebaiknya. Aku tidak mahu engkau mengalami nasib yang sama yang aku alami.”
“Kotobuki-san, nasib yang sama engkau lalui? Apa maksudmu?”
“Isteriku ditimpa sumpah yang sama sepertimu. Dia datang dari puak Shirasaka juga namun punya bau-bau bacang denganku. Dia pergi terlalu pantas.”
“Adakah puakmu...?”
“Ya, puak Shirasaka, puakku juga melakukan perjanjian yang sama seperti puak Okuhida, seribu tahun lepas. Lembah kami ialah ibu pejabat Kogen iaitu tanah tinggi Shirasaka (Shirasaka-no-kogen).” Kotobuki membongkarkan rahsia puaknya, termasuk persamaan kurniaan ke atas Ayame dengan Hisamiko.
Tidak hairanlah Kotobuki faham apa yang berlaku ke atasku dan Hisamiko, dan menerangkan kepadaku ketika di kuil Furukawa itu.
Ayame masih setia menunggu di tepi dataran sehingga Kotobuki selesai berbual dengan Ryouji.
Saat mahu bergerak ke pintu gerbang buluh itu, Ayame meminta Kotobuki berhenti sebentar di depan puing kuil Shinto lama, terletak di tepi taman bonsai. Ia dilitupi semak samun. Dia mahu memeriksa sesuatu.
“Bagaimana, Ayame?”
“Tama-no-iwa-nya masih berdiri utuh. Cuma ada sedikit kesan hakisan. Barangkali mengambil masa lebih kurang tiga bulan sebelum runtuh sepenuhnya.”
“Mereka harus meninggalkan tempat ini sebelum sampai masanya. Ia boleh runtuh lebih awal dari itu. Aku harap Mariko-san memeriksanya selalu dan jujur dengan kita.”
“Baik, otou-san. Otou-san, apakah Mariko-san masih membenci Kogen?”
“Aku tidak pasti. Dia tidak pernah melawat Shirasaka lagi sejak mengikut Takasaki-san ke sini.”
**
Ryouji melihat Tsuneki duduk termenung di tepi dataran. Matanya menjegil, seolah-olah dia sedang melihat momok. Ryouji mulai risau. Dia cuba menyeru nama Tsuneki.
“Tsuneki, Tsuneki!”
Tsuneki tidak membalas.
“Tsuneki, Tsunekikah di hadapanku ini? Tsuneki...”
Tsuneki beredar dari situ tanpa mempedulikan Ryouji. Ryouji mengekorinya. Guruh berdentum perlahan, mungkin kawasan yang jauh telah ditimpa hujan, atau petanda hujan akan turun di sini. Langit sudah redup. Angin musim bunga 1872 meniup sederhana. Di celah pergunungan begini musim bungapun boleh mendatangkan kedinginan yang mencengkam dengan angin sebegitu.
“Ryouji, mengapa Takasaki-san? Mengapa dia dibunuh sebegitu rupa? Apa dosanya?”
Sulit bagiku untuk menjawab soalan Tsuneki. Apakah dia akan faham sekiranya aku membuka kisah Takasaki?
“Dia menyelamatkan aku, Ryouji. Ketika aku hilang hala tuju hidup, dia yang membawaku ke sini. Mengapa orang baik seperti Takasaki-san dibunuh sebegitu kejam?”
Ryouji membiarkan Tsuneki melayan perasaannya. Dia tidak membalas, hanya memegang bahu Tsuneki. Budak dua belas tahun itu menangis di bahu Ryouji.
Aku risau, amat. Aku risau, jika Tsuneki menjadi seperti Kobato. Saat itu, aku menyedari, kematian bukan hanya menghilangkan nyawa, ia boleh menghilangkan kewarasan dan menumbuhkan dendam.
Namun tidak semua. Seperti apa yang telah berlaku ke atas diriku. Kematian telah mematangkan aku. Aku menghargai nyawa, lebih dari sekadar mendengar nasihat otou-san. Aku belajar mengawal emosiku. Dan kematian membawa aku kepada kehidupan yang tidak pernah aku lalui.
Semua itu tidak akan berlaku jika aku berseorangan. Kerana Hisamiko, aku berhati-hati bertindak. Aku berfikir dua, tiga kali demi nyawaku, demi Hisamiko. Kerana dorongan dan didikan Takasaki, aku belajar mengawal emosi. Tanpa mereka semua, mungkin aku sudah berubah seperti Kobato.
Takasaki-san, kami benar-benar kehilanganmu!
**
Chisato kemurungan lagi, namun dia tidak lagi seperti dulu. Jika dahulu dia berbaring di bilik lama selepas pulang dari Kisennuma, kini dia hanya mengelamun seperti orang sasau. Ryouji kerapkali melambai-lambai tangannya di hadapan wajah Chisato setiap kali dia melihat Chisato bersendirian.
Chisato sedang duduk di taman bonsai. Ryouji mendekatinya.
“Mengejutkan bukan, Ryouji? Ketiga-tiga mereka pergi sekelip mata. Hanya kerana bahana duri dalam daging. Kobato, si pembelot, pelakon dan penipu!” Chisato melepaskan geram yang terbuku. Mukanya merah.
“Ryouji, apa engkau fikirkan? Apakah Funazuki bersaudara patut menerima nasib begitu? Azusa...Azusa mempertaruhkan nyawanya menyelamatkan aku ketika berdepan Tsugiyama. Jika dia tidak berada di situ, entah apa nasibku ketika ini. Dan jika Takasaki-san tidak berada di pekan itu, pada waktu itu, mungkin sekarang aku sedang berada di seberang laut... dilacurkan di sana...”
“Jawapanku tidak, Chisato. Berkali-kali aku fikirkan, hanya jika, hanya jika aku tiba lebih awal di situ...” Ryouji menitiskan air mata, menyesali apa yang telah berlaku. Bukan juga salah Chisato menahannya, kerana pada malam itu, bunyi guruh dan angin yang menderu di celahan bambu menghasilkan bunyi yang menabir bunyi dentingan pedang Takasaki dan Kobato.
“Ryouji, sedarkah engkau ketiga-ketiga mereka dibunuh oleh Kobato? Kobato, yang pernah menjadi penghuni di sini? Rakan baikmu? Yang engkau latih dengan jurus-jurus kaminari yang tidak pernah diajar Takasaki-san.”
“Chisato! Aku juga tidak tahu. Dia berperangai periang dan petah berkata-kata di hadapanku. Aku langsung tidak tahu jika dia punya perangai lain yang cuba disembunyikan.”
“Mujur aku tidak menerima cintanya. Aku sudah dapat menghidu perangai sebenarnya.”
“Apa maksudmu, Chisato? Perangai sebenarnya?”