Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 76

Musim bunga, 1872 (sekitar masa Ryouji dan rakan-rakan berpindah ke Kogen)

Tiga orang pemuda dalam pertengahan tiga puluhan, sedang berdiri berhampiran sebuah kedai makan di pinggir Ishikawa. Ishikawa ialah kawasan perkampungan nelayan mengadap Laut Jepun. Pemuda-pemuda ini barangkali samurai atau bekas samurai, melihatkan mereka membawa pedang di pinggang.

Sonzaemon sedang makan bersama rakan-rakan baru yang dikumpulkan sejak dua tahun lepas. Dia, bersama-sama rakan barunya, bekerja sebagai nelayan di situ. Tubuhnya sudah kurus sedikit sejak bekerja keras melaut. Dia sudah bekerja di sini hampir dua tahun setelah melarikan diri dari Furukawa pada 1870 selepas konco-konconya ditewaskan Ryouji.

Perbualan samurai-samurai muda itu agak kuat sehingga dapat didengari para nelayan yang sedang khusyuk makan tengahari. Angin laut berhembus lembut, tidak terlalu kuat sehingga menabir suara mereka. Cuaca cerah sekali hari ini, di awal musim bunga 1872.

“Sudah sedekad kita mencari pewaris puak itu namun tidak ketemu. Akhirnya kita kembali ke sini.” Salah seorang samurai bersuara.

“Budak bodoh itu meninggalkan bapanya, ketua puak Yoshihisa tanpa apa-apa berita. Bapanya meninggal dunia sedang dia hilang entah ke mana. Sekarang wilayah di bawah keluarga Yoshihisa diserap ke dalam wilayah pemerintahan Ninomiya kerana tiada pewaris.”

“Yoshihisa Hatakemaru, di mana engkau berada sekarang?” Gumam seorang lagi pemuda.

Sonzaemon tersedak kuah miso yang dihirupnya, mendengarkan nama itu. Dia perlahan-lahan mengangkat muka yang sedari tadi hanya terbenam pada mangkuk miso, cuba mengamati gerangan siapakah samurai-samurai itu.

“Engkau mengapa Sonzaemon?” Salah seorang dari dua rakan Sonzaemon yang turut makan bersama, menegurnya.

Sonzaemon tidak mengendahkan rakannya. Matanya mengamati wajah-wajah samurai itu.

Bukankah itu Toshio, pewaris Ninomiya? Dan dua lagi pengikutnya yang bernama Natsuo dan Hirotsugu?

Sonzaemon mengamati wajah mereka satu persatu, berhati-hati agar tidak disedari mereka.

Sah, memang mereka! Wajah mereka masing-masing telah berubah dan berbulu-bulu seperti Emishi! Mungkin, kerana darah Emishi mereka. Puak Ninomiya antara yang terawal berhijrah ke utara dan bercampur gaul dengan penduduk Emishi yang menghuni asal kawasan hutan utara.

Benarkah bapaku sudah meninggal dunia? Dan wilayah kami diserap masuk ke dalam wilayah pemerintahan Ninomiya? Ah, persetankan. Aku sudah tidak peduli akan wilayah kami. Aku sememangnya mahu melarikan diri dari kesamuraian. Namun, berita pemergian otou-san itu benar-benar mengejutkanku.

Apakah gilanya mereka, setelah sedekad masih mencariku lagi! Kalian benar-benar gigih!

Sonzaemon duduk tegak, bertafakur. Rakan-rakannya hairan melihat gelagatnya. Yang sedang mengunyah udon di mulut terjuihkannya, yang sedang menyudu kuah ramen terpegun dan tergugurkan sudu ke dalam mangkuk.

“Engkau tiba-tiba berdoa apa pula ini Sonzaemon?”

Sonzaemon tidak menjawab. Nampak air mata perlahan-lahan meleleh dari sudut mata.

“Engkau menangis pula?”

Salah seorang rakannya menghulurkan kain pengelap yang sering disangkut di bahu. Sonzaemon mengelap matanya.

“Haih, engkau ini macam perempuan pula. Apa yang engkau tangiskan Sonzaemon? Teman wanitakah?”

“Nanti aku jelaskan. Habiskan makanan kalian. Aku bayarkan semua.”

Obaa-san (Mak cik), satu lagi mangkuk udon.”

“Gotou!”

“Ehehehe...alang-alang Sonzaemon. Alang-alang engkau yang bayarkan.”

Obaa-san, satu lagi mangkuk ramen.”

“Baiklah.” Seorang mak cik menyahut pesanan mereka.

“Arghh, pokai aku!”

“Bertenanglah Sonzaemon. Esok aku bayarkan pula.”

Sudahlah aku bersedih. Kini mereka mengambil kesempatan pula.

**

Pertengahan musim bunga 1872 (Ryouji dan rakan-rakan baru sahaja berpindah ke Kogen)

 

Pekan Kawamoto ialah pusat pentadbiran Wilayah Gizen, terletak di tengah-tengahnya. Di sepanjang laluan utama pekan tersebut dapat dilihat kereta-kereta kuda, penjaja sedang menarik kereta kayu berisi barang jajaannya seperti kraftangan dan juga ada penjaja sake yang menjual sake terus dari tong sake yang ditarik di belakangnya, dan orang ramai lalu-lalang mengunjungi kedai-kedai di bahu laluan yang menjual barangan tani, makanan dan snek traditional Jepun, dan juga kraftangan. Tidak seperti Shizen, di sini samurai lebih ramai, ketara dengan ramainya dari kalangan orang ramai tersebut yang membawa pedang tersisip. Pekan ini juga lebih luas dan besar dengan populasinya lebih kurang tiga kali ganda populasi Shizen.

 

Di pekan ini jugalah gabenor Gizen (atau dahulunya daimyo Shinagawa), Yoshitsugu Hamada tinggal, nun jauh di atas bukit yang terletak di hujung laluan utamanya, di mana di kaki bukit itu terletaknya bangunan bugyou atau samurai majistret. Bukit tersebut ditanam pokok-pokok shirakaba yang tinggi diselang-seli dengan pokok momiji dan juga pokok-pokok malar hijau yang rimbun daunnya dan tinggi, memberi ilusi seolah-olah ia sebuah hutan tebal yang menutupi rumah Hamada dari pandangan pengunjung pekan Kawamoto di kaki bukit tersebut. Namun rimbunan pepohon ini juga memberi peluang kepada para pengintip yang ramai di pekan untuk bersembunyi dan mendengar butir bicara Hamada dengan para samurainya, kemudian membocorkannya kepada Kogen.

 

Pada bukit tersebut terdapat sebuah denai memudahkan pelawat mendakinya sehingga ke puncak – iaitu denai yang pernah didaki Shinji – yang ditarah berbentuk tangga dan dilapisi batu-batu kerikil, namun disembunyikan oleh rumput dan tumbuhan renek yang tebal. Apabila didaki sehingga ke puncaknya, akan tibalah pelawat ke sebuah kawasan luas yang ditumbuhi pepohon momiji yang banyak sekali, kerana Hamada sukakan pokok itu.

 

Di tengah-tengah kawasan luas itu terdapat sebuah taman bonsai yang di tengahnya dilengkapi dengan kolam ikan koi, sama seperti taman di rumah perlindungan Takasaki. Pokok matsu juga ditanam dua ke lima batang di sekitar teratak yang bersimpang siur di sekeliling kolam itu meskipun sedikit bagi mengimbangi warna momiji tatkala warnanya berubah kirmizi ketika musim luruh.

 

Menghadap taman itu, ialah rumah Hamada yang besar. Kelihatan seorang lelaki gemuk berkimono dari sutera yang mahal berwarna hijau sedang berdiri di hadapan anjung rumah itu, di atas teratak kerikil, sedang menunggu Hamada. Dia berseorangan. Pengiring-pengiringnya sedang menunggu di ruang menunggu yang terletak di bahagian lain rumah yang besar itu.

 

Otou-san.” Lelaki gemuk itu memanggil bapanya Hamada. Dia masih berdiri mengadap anjung.

 

“Tsugiyama telah mati. Dia dibunuh isteri Takasaki.” Maklumnya.

 

Hamada tidak memberikan sebarang reaksi. Dia sedang duduk bersila di anjung rumah yang tingginya dari tanah separas lutut. Dia sedang melihat cermin yang besar, sedang tangannya memegang penekap solekan, menempek-nempek penekap itu ke atas kulit wajahnya. Kemudian dia meratakan debu-debu solekan itu sehingga putih melepak wajahnya seperti geisha. Dia masih tidak mengendahkan kata-kata anaknya itu, masih dengan asyiknya menyolek wajah tua berkedut itu. Kemudian dengan tenang dia meletakkan alat penekap, dan mencapai batang gincu merah. Digincu bibirnya agar tampak merah menyerlah di celah-celah wajah yang telah diputihkan itu seperti daun momiji di musim luruh, iaitu pokok kegemarannya.

 

Hagiura merenung bapanya tanpa sebarang riak terlukis di muka. Sekali lihat, lelaki gemuk ini apabila pegun begitu, nampak tidak ubah seperti patung batu makhluk kappa yang gemuk dan bulat kepalanya dan ditumbuhi lumut-lumut hijau, sesuai dengan warna kimononya yang hijau. Meski Hagiura seperti sudah lali dengan perangai aneh bapanya itu, namun dalam hati dia masih memaki.

 

Dah tua pun masih bodoh!

 

Bapanya sudah begini sejak peristiwa itu. Peristiwa yang telah mengubah peribadi bapanya seratus lapan puluh darjah.

 

Tiada terkejut dipamerkan Hamada selepas mendengar berita buruk berkenaan Tsugiyama, meskipun dia salah seorang bekas samurai terhandal yang pernah dimilikinya. Kemudian dia meletakkan gincunya, menoleh memandang ‘patung kappa berlumut hijau’ itu dan mula bersuara.

 

“Hagiura, aneh bukan? Mulanya Takasaki, kemudian Tsugiyama. Dalam masa tiga bulan sahaja bekas samurai-samurai terbaik kita mati dibunuh. Hagiura, engkau sudah tahu siapa yang membunuh Takasaki?”

 

“Tsugiyama ada memberitahuku sebelum dia melakukan serangan kedua di rumah Takasaki. Anak Miura memberitahunya bahawa Takasaki dibunuh oleh anak Kozue Taka.”

 

“Kozue Taka? Sebentar, aku seperti pernah mendengar nama itu.”

 

“Lama dahulu, keluarga terakhir yang dibakar Takasaki atas arahanmu.” Sudahlah bodoh, pelupa pula!

 

“Oh, ya! Baru aku teringat. Benar katamu. Namun bukankah aku telah arahkan seluruh keluarganya dibunuh dan rumah mereka dibakar?”

 

“Ya. Nampaknya Takasaki senyap-senyap mengingkari arahanmu pada waktu itu dan menjaga anak Kozue.”

 

Nasib engkaulah Takasaki. Itulah balasannya mengingkari arahanku.

 

“Di mana anak Kozue Taka? Aku mahu dia dihapuskan.”

 

“Menurut Tsugiyama, dia telah mati, kerana menyalahgunakan jurus kesembilan seni kaminari. Ini gelang rambutnya sebagai bukti.”

 

“Jauhkan dariku. Aku tidak mahu memegangnya. Mungkin bawa penyakit.” Hamada membuat muka geli-geleman seperti seorang pondan, lengkap dengan isyarat tangan yang membengkok sedikit. Dia menyambung bicara.

 

Otou-san, aku dengar dari Tsugiyama dan Shizuo yang anak Miura itu sudah menguasai jurus kesembilan kaminari-no-kaze ciptaannya itu, namun di bawah sedar. Namun mereka tidak pasti bagaimana ia berlaku. Yang pastinya, setiap kali ia berlaku, seekor hayabusa sedang mengibaskan sayapnya di atas Ryouji anak Miura itu. Dalam kes Shizuo, seekor hayabusa biasa, manakala dalam kes Tsugiyama, Goro.”

 

“Goro pun terlibat sama? Aneh, aneh. Jika anak Miura hanya mampu melakukannya dalam separa sedar, bagaimana pula Miura mampu melakukannya dalam sedar?”

 

“Maaf otou-san, pemahamanku tentang kaminari tidak mendalam. Aku tidak pasti bagaimana Miura melakukannya dalam sedar. Namun menurut pemerhatian Tatsuya, isteri Takasaki juga melakukannya dalam sedar.”

 

“Aneh, isteri Takasaki bukan dari keturunan Okuhida ataupun Shirasaka seperti Miura, begitu juga anak Kozue Taka. Ini bermakna sudah dua orang yang bukan dari puak yang dua itu, yang mampu mencapai jurus ini. Aku yakin Takasaki punya kaedah baru mencapainya.”

 

“Aku pun fikir begitu, otou-san. Dari laporan Shizuo, dia tidak pernah melihat pedang yang mereka gunakan. Ia ringan namun kuat, bahkan menyumbingkan pedang Shizuo. Aku fikir itu rahsia mereka.”

 

Maka dengan mengubah ramuan pedang, orang-orang yang bukan dari kalangan puak yang dua itu akan dapat mencapai jurus kesembilan? Itukah rahsianya? Atau hanya itukah rahsianya?

 

Hamada berfikir, cuba merancang gerakan catur seterusnya. Dia sudah kehilangan semua bekas-bekas samurai terhandalnya, Miura, Takasaki, Saitou dan Tsugiyama. Dia perlukan petarung handal yang baru sebagai pengganti. Siapa yang boleh diharapkan?

 

“Hagiura, Sonzaemon masih ada di Ishikawa?”

 

“Ya, otou-san. Dia mengemis di sana selepas lari dari Furukawa. Sekarang ini menjadi nelayan. Badannya sudah kurus sedikit sekarang, cuma tembamnya masih ketara. Mengapa engkau tiba-tiba berminat dengan si gemuk itu?” Hagiura selamba mengutuk fizikal Sonzaemon, tidak sedar yang dia juga gemuk.

 

“Dia tahu menarik hayabusa seperti Tsugiyama. Dia juga bekas samurai dari utara, melarikan diri dan berkhidmat di bawah Kimura sebagai petani bersama-sama Miura. Sejak itu dia menjadi gemuk. Aku rasa aku perlu memberinya sedikit dorongan agar dia boleh menguruskan badannya. Kunci penguasaan jurus kaminari ialah pengurangan jisim, termasuk berat badan.”

 

Hagiura merah muka sambil memandang perutnya yang makin membusung. Dia juga gemuk dan sedar hakikat itu. Aku mungkin perlu kurangkan makan nasi. Dan kurangkan minum sake. Tidak. Sake satu keperluan. Aku perlukan sake. Nasi tidak apa. Maka, lupakanlah. Kegembiraan hidup itu lebih kupentingkan.

 

“Apa ideamu untuk mendorongnya?”

 

“Aku akan memberikannya makan sedap-sedap. Namun dia hanya akan diberi makan sekali sehari dan dietnya akan diatur, dan hanya selepas dia menamatkan latihan hariannya dan dia akan dikurung di sini.”

 

“Engkau sudah tahu siapa yang akan melatihnya?”

 

“Aku mahu dia dilatih oleh Shizuo. Shizuo akan aku pindahkan ke sini, sebagai pengganti Tsugiyama dan pembantu engkau dan aku. Shizuo akan melatih Sonzaemon seni kaminari.”

 

“Mengapa tidak engkau jadikan Shizuo sahaja pengganti Tsugiyama?”

 

“Kerana aku mahu Shizuo dikembalikan ke tugas asalnya selepas selesai melatih Sonzaemon. Dia punya jaringan yang bagus untuk mengenalpasti kampung-kampung yang ada anak gadis untuk dijual.”

 

“Habis, siapa yang akan menggantikan Shizuo?”

 

“Buat masa ini, aku akan mengambil Atsushi kembali bekerja denganku. Dia juga seperti Shizuo memiliki jaringan yang bagus. Atsushi sekarang rancak merompak di Nakasendo. Aku tidak mahu dia berterusan mengganggu pedagang-pedagang di situ, tempias buruknya akan mengganggu nama baikku selaku bekas daimyonya.”

 

“Lalu mengapa pula tidak sahaja engkau bawa Atsushi ke sini? Risikonya besar jika engkau mengambil Sonzaemon, kerana dia tidak pandai bertarung dan gemuk.”

 

“Aku mahu Atsushi kekal di luar sepertimana Shizuo. Sedang Sonzaemon, engkau tidak tahukah yang dia bekas samurai Yoshihisa yang pernah berkhidmat untuk Hoshimiya di utara? Aku hanya perlukan seseorang untuk melatihnya kaminari.”

 

“Mengapa Sonzaemon, otou-san, selain dari kebolehannya menyeru hayabusa? Bukankah dia gagal melunaskan hutangnya terhadapmu? Aku hairan mengapa engkau tidak menangkapnya meskipun sudah tahu lokasinya.”

 

“Kegagalan melunaskan hutang itu di luar kawalannya kerana tanah sawah Miura itu diambil kembali oleh Maharaja. Aku berminat dengan Sonzaemon kerana jaringannya yang aku dapat tahu dari pengintipku. Dia bergaul dengan masyarakat di luar kasta samurai dan mudah didekati, meskipun ketika menjadi samurai di utara dia tidak kisah bergaul dengan petani dan nelayan. Dia kenal pakar racun Noguchi Takamine bekas tabibku itu, penjual dan penyumpit fukiya, pembekal senjata api di Furukawa. Sonzaemon adalah kunci bagi menguatkan kita dengan pasukan baru dan senjata baru.”

 

“Aku hairan, otou-san. Jika dia punya jaringan yang bagus, mengapa dia memilih untuk membunuh Miura? Aku tahu dia dengki kerana Miura punya hasil yang tinggi. Bukankah dia patut menggunakan jaringan itu untuk mencari kerja lain?”

 

“Dia mahu selesa hidup di sawah itu di bawah Kimura tanpa perlu lagi merisikokan nyawanya dengan menjadi samurai. Hagiura, dia memang dengki, dan yang lebih utama dia juga mahukan bendang Miura. Miura menjaga sawahnya dengan begitu baik sebelum dia mati. Dia membina sistem tali air yang baru, yang mengawal kuantiti air ke sawah dan mengelakkan banjir. Sonzaemon berfikir dari dia meminjam wang yang banyak bagi melakukan perkara sama, mengapa tidak dia keluarkan sedikit sahaja wang untuk mengupah pembunuh Miura?”

 

“Dia menggunakan kemahiran komunikasinya bagi menghasut bekas pekerja Miura agar meninggalkan Miura dan bekerja dengannya. Maka, kerja-kerja di sawah Miura tidak akan rumit dengan bantuan mereka nanti. Itu perancangan dia denganku. Untung akan dibahagi antara dia denganku. Namun disebabkan Maharaja merampas tanah itu, semua perancangan ini terkubur begitu sahaja.”

 

Hagiura sebenarnya agak gusar dengan keputusan bapanya mengambil Sonzaemon. Sonzaemon padanya tidak boleh dipercayai. Namun mungkin, bapanya lebih tahu dari maklumat yang diperolehi dari pengintipnya yang kian berkurang itu.

 

Asalkan bapaku tidak mengganggu urusanku dan membuat keputusan atas risikonya sendiri, maka aku tidak kisah. Namun aku akan pastikan, aku akan mewarisi wilayahnya suatu hari nanti. Dan aku akan pastikan pada waktu itu yang Sonzaemon hilang dari pandanganku.

 

“Oh ya Hagiura, bagaimana dengan aktiviti karayuki engkau?”

 

“Orang-orang Kogen semakin rancak menghalang pasukanku dan menangkap bakal-bakal karayuki dan membawa mereka ke rumah perlindungan, sejak mereka mendapat bantuan Maharaja. Otou-san engkau ingat bukan tahun lepas, di Kisennuma, di mana mereka telah merampas feri kita?”

 

“Aku tidak pernah melupakan itu. Pulangannya setahun membendang. Dan kita terlepasnya begitu sahaja.”

 

“Malah terbaru mereka sanggup membayar orang-orang kita agar mereka tidak lagi mengganggu keluarga yang telah menjual anak perempuan mereka. Kogen juga berani menerima kemasukan anak-anak keluarga miskin ke rumah perlindungan mereka, berkat bantuan kewangan Maharaja.”

 

“Maksudmu, mencari gadis-gadis baru untuk dijual semakin sukar? Mengapa tidak engkau serang sahaja rumah perlindungan mereka?”

 

“Orang-orangku tidak menculik, otou-san. Kami membeli anak gadis dari ibu bapa yang rela, atau atas kerelaan gadis itu sendiri, atau membeli gadis-gadis yang dipukau dari puak Emishi. Jika pun aku memilih cara ganas, adalah mustahil untuk aku menyerang rumah perlindungan Kogen. Engkau pun tahu, bukan? Tentang sihir mereka.”

 

Hamada tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia arif benar akan sihir itu. Sihir yang sama juga memberikannya kuasa halimunan.

 

“Sihir itu datang dari batu yang mereka letak bagi menghalang penceroboh dari menjejaki rumah-rumah perlindungan mereka. Itu yang kudengar dari ura-ura orang ramai. Sihir sama yang engkau gunakan bagi menyembunyikan dirimu, otou-san.”

 

“Aku tidak peduli. Serang kampung-kampung dan culik mana-mana anak gadis. Kita perlukan mereka sebagai sumber pendapatan. Aku telah diberi amaran oleh Maharaja agar tidak lagi mengutip ufti dan aku mahu memperlahankan aktiviti tersebut sehingga Maharaja sejuk hati. Maka, pemerdagangan dan pelacuran karayuki adalah sumber utama pendapatan kita sekarang.”

 

Otou-san. Engkau ingin mengambil risiko? Selama ini kita tidak pernah menculik...”

 

“Hagiura. Fikirkan bagaimana. Culik atau tidak, aku sudah tidak peduli. Jika engkau mampu melakukannya, engkau dan aku akan selamat. Tiada sesiapa yang akan menjejaki kita.”

 

Cakap memang senang. Bayangkan, jika jenayah culik begini diketahui Maharaja, akan bertambah menyiraplah darah baginda. Dan engkau otou-san, dan aku, dan semua pengikut kita, akan dilucutkan jawatan gabenor, dan akan menerima penghinaan dari orang ramai dan dihukum baginda. Jika engkau mahu menjadi penculik, jangan seret aku sekali!

 

“Beritahu Shizuo rancanganku. Tangkap segera Sonzaemon dan bawa dia ke sini. Lagi cepat dia tahu bertarung kaminari, lagi cepat rancanganku ini membuahkan hasil.”

 

E tootou-san, bagaimana jika engkau gunakan sahaja pasukanmu yang mengepung Tateyama dan Yokuma?”

 

“Aku tidak mahu. Mereka amat penting.”

 

Ya, penting! Kerana Yokuma ialah pusat kuasa mistikmu! Dan Tateyama pula, tempat engkau mahu melunaskan hasadmu terhadap Kogen!

 

“Baiklah otou-san. Aku akan menggunakan sumber manusiaku demi mencari Sonzaemon.” Hagiura mengangguk kepala, meskipun jauh di sudut hati dia tidak bersetuju.

 

Otou-san, aku gabenor, dan engkau juga gabenor. Engkau tiada kuasa mengarahkan aku. Aku harap engkau sedar jika aku menuruti arahanmu ia kerana aku masih menerima engkau sebagai bapaku. Namun bila-bila masa sahaja dari sekarang aku akan memusnahkan engkau pabila tiba ruang dan peluang, kerana aku sudah muak dengan semua karenahmu. Hanya kerana kuasa engkau itu, mereka tidak berani melakukan apa-apa terhadapmu. Aku akan pastikan engkau jatuh tersungkur suatu hari nanti. Aku akan mencuri batu itu dari tanganmu dan akan mencari jalan memusnahkannya. Selagi mana ia di tanganmu, semua cubaan membunuhmu seperti memukul angin. Sia-sia.

 

**

 

Selepas sebulan berlalu sejak misi di Suruga, satu hari Ryouji meminta kebenaran dari Kotobuki untuk keluar selama beberapa hari melawat kampungnya. Kotobuki bersetuju mudah. Mungkin telah dimaklumkan Ayame lebih dahulu.

“Hisamiko, kita berdua akan keluar dari sini selama beberapa hari.” Ryouji bertemu adiknya beberapa hari sebelum mereka bertolak.

“Benarkah onii-san?!” Hisamiko teruja. Matanya membulat. Dia laju memaut lengan Ryouji di sebelahnya, dan senyum lebar. Mereka berdua duduk di bangku batu di taman zen.

“Benar, Hisamiko. Engkau akan menunggang kudamu.”

“Kita akan ke mana, onii-san?”

“Kita akan ke kampung kita dahulu. Aku mahu bertemu seseorang.”

“Seseorang?”

“Rakan lamaku. Kemudian kita akan menghabiskan masa di Inotani. Engkau boleh meminta semua yang engkau inginkan. Aku akan cuba penuhinya.”

Arigatou, onii-san!” Semakin kuat dia memaut lengan abangnya dan menyandarkan pipi padanya, tersenyum lebar. Lama benar dia tidak senyum begitu.

“Sebentar, onii-san. Mengapa engkau kata begitu? Aku boleh meminta semua yang aku inginkan?”

“Aku baru mendapat gaji pertamaku.” Ryouji tersenyum memandang Hisamiko, tangannya di atas kepala Hisamiko. Hisamiko membalas senyuman.

Aku gembira melihat Hisamiko senyum begini. Aku harap dapat mengubati luka di hatinya. Terlalu banyak perkara menyakitkan berlaku ke atas kami pada tahun ini sahaja. Kematian Takasaki-san, Mariko, Azusa, dan Saki. Dan tidak lupa Kobato yang bodoh itu. Kemudian Chisato pula diserang dan terlantar. Dan belakangan ini ketika aku di luar, Hisamiko berseorangan menangis di sini, seperti yang kudengari dari Shinji dan musang.

Aku harap tiada aral melintang dalam kembara kali ini. Mungkin ini kali terakhir aku diberi peluang bersama-sama Hisamiko melihat dunia luar. Aku mahu dia gembira sehingga selepas ketiadaanku nanti. Aku mahu mencipta seberapa banyak kenangan manis dengannya. Aku tahu dia kesunyian di sini. Chisato di atas sana masih tidak sedarkan diri. Aku mahu menghiburkan Hisamiko selagi masa masih ada.

**

Mujur sahaja Tsuneki tiada kerana sedang dilatih memanah. Jika tidak sudah pasti dia mahu mengikut kami. Aku tidak akan benarkan. Aku tidak mahu dia menyibuk. Nanti aku akan membawanya pula mengikuti aku mengembara. Dia budak lelaki, dia sepatutnya keluar dari situ. Lainlah jika dia dari jenis Shinji yang berminat dengan buku dan makmal.

Di Kogen selepas Hisamiko dan Ryouji beredar...

Tsuneki meraung-raung dan melompat seperti budak-budak.

Oi musang, kau dah gila ke?” Sae menegurnya. Sae sedang memerhati Tsuneki sedari tadi. Nampaknya nama musang itu sudah tersebar ke rumah-rumah perlindungan lain di situ.

“Ryouji...mana engkau? Ryouji!!” Tsuneki kembali meraung, sambil duduk. Mujur suaranya masih belum pecah. Jika tidak semakin hodohlah pencemaran bunyi di lembah yang tenang dan aman ini.

“Hisamiko... Hisamiko!!” Kemudian Tsuneki beralih kepada memanggil nama peribadi Hisamiko.

Beberapa orang gadis dari rumah perlindungan Sae mula berhimpun di sekeliling Tsuneki melihat ragamannya. Mereka ketawa dan berbisik-bisik. Tsuneki tidak menghiraukan mereka, berjalan longlai menuju ke bangku di taman zen. Kemudian terlelap di situ keletihan.

**

Ryouji membawa sebuah beg yang sama yang dibawa ketika pulang ke kampungnya dahulu. Hisamiko menurut di belakang dengan kuda kecilnya yang bernama Kaname.

Ryouji menyarung topi kon, sementara Hisamiko menyarung topi kon baru, yang atasnya rata dan punya tali pengikat di bawah dagu. Topi begini agak aneh rekaannya dari kebiasaan dan Ryouji membelikannya agar Azuchi ada tempat bertenggek di atas kepala Hisamiko. Lengan Hisamiko yang kecil tidak mampu menanggung berat Azuchi jika dibiarkan bertenggek di atasnya.

Setelah sejam menuruni lembah Shirasaka, mereka tiba di pantai mengadap Laut Jepun, berhampiran perkampungan nelayan Onuma. Hari masih pagi, matahari sudah naik suku di dada langit.

Perkampungan itu sunyi. Perahu-perahu terbiar bertambat di jeti, namun masih bersih terurus. Barangkala ada nelayannya, cuma mungkin sedikit. Wabak taun yang meragut sebahagian besar nyawa penduduk kampung itu dahulu telah menebarkan penduduknya yang masih berbaki keluar ke serata Yozehama. Ada yang berhijrah sehingga ke Semenanjung Noto. Mereka tidak lagi mahu tinggal di situ, kerana sungainya telah tercemar dengan teruk. Hanya sebahagian kecil yang masih tinggal di situ. Barangkali mereka pendatang baru, mungkin bergantung hidup dengan air hujan atau air laut yang disuling bagi membuang garamnya.

Setelah matahari turun sedikit, mereka tiba di kampung. Disebabkan perjalanan mereka menyusur tebing Sungai Miya yang panjang itu dari muara di Yozehama, maka mereka akan bertemu dengan kubur bapa mereka dahulu. Ryouji turun dari kuda diikuti Hisamiko.

“Masih seperti dahulu.” Gumam Ryouji ketika membersihkan daun-daun kering lama dan ranting-ranting kayu mati yang melitupi pusara bapanya.

Hisamiko dan Ryouji duduk bersila di sebelah kubur Miura yang membusut seperti kofun itu. Ia ditumbuhi rumpai-rumpai liar. Selalunya kubur begini akan dicacakkan pedang milik mayat tersebut. Namun pedang Miura yang bermata itu telah disimpan Ryouji. Sekali-sekala dia akan membawanya keluar bagi melindungi diri sekiranya menyertai misi berbahaya.

Mereka berdua mendiamkan diri bertafakur. Masing-masing dengan monolog sendiri, mengenang bapa mereka.

Lama benar kami tidak melawatmu, otou-san. Kali terakhir hampir tiga tahun lepas. Di awal tahun ini aku cuma melepasi kawasan ini sahaja di seberang sungai sana, ketika ke Shirasaka. Aku agak sibuk belakangan ini. Aku baru sahaja dilantik menjadi ahli Kogen, otou-san. Ahli Kogen sepertimu. Namun aku tidak menjadi pembiaya sepertimu. Aku menjadi petarung tugas-tugas khas merangkap penjatuh hukuman mereka. Aku akan membunuh orang. Aku akan membunuh orang, otou-san! Aku menjadi sepertimu ketika zaman mudamu, yang menjadi samurai Hamada. Dan aku takut, amat. Aku runsing. Mampukah aku bertahan begini bersama Kogen? Mampukah?

Mereka menunggang kuda menaiki sebuah cerun landai di tebing Sungai Miya itu, untuk ke kampungnya. Sebaik melalui denai hutan, Ryouji teringat kembali bagaimana dia menemui tompok-tompok darah di lantai denai itu, sewaktu dia cuba menjejaki Miura.

Denai ini masih tidak berubah. Pokok-pokok yang tumbuh di tepian tidak merayap ke tengahnya, seolah-olah hidup mereka dipandu oleh satu peraturan yang tidak tertulis di mana-mana.

Tibalah mereka di kawasan lama rumah mereka. Ryouji sedia maklum bahawa rumah tersebut telah dimiliki seseorang. Mereka tidak berminat untuk melawat rumah tersebut. Ryouji perlu melalui kawasan yang penuh kenangan pahit dan manis itu demi menuju ke destinasi utamanya, iaitu tempat dia menemui Keisuke dibunuh.

Di musim panas begini, sawah padi masih hijau. Daun-daun padi sudah mula tinggi dari paras air. Bulirnya sudah mula muncul, kehijauan, namun masih belum matang buah padinya. Orang-orangan dipasang bagi menghalau burung. Jerami-jerami kering yang berbaki di tepi denai-denai yang mengurati lautan bendang yang luas terbentang itu sedikit dari biasa, kerana sudah dipindahkan ke pekan Furukawa untuk dijual ke serata Jepun. Hari ini cerah. Harapnya begitulah cerahnya harapan para petani yang mengharapkan hasil yang tinggi bagi menjelaskan cukai kepada Maharaja dan memberi makan rakyat yang semakin ramai. Semoga tahun ini mendatangkan hasil yang lumayan. Tiada gempa, tiada letusan gunung berapi, tiada pemimpin bodoh yang membuat hal di atas sana, tiada bala penyakit padi atau serangga juta yang kunjung tanpa diundang merosakkan tanaman-tanaman kami. Begitulah bunyinya doa-doa mereka ketika berkunjung ke kuil-kuil Shinto saban tahun meraikan tahun baru.

Tahun ini genaplah tahun ketiga Pembaharuan. Sudah tiga tahun bendang-bendang ini diusahakan para petani persendirian yang diupah Maharaja. Tiada seorangpun yang dikenali Ryouji. Ada lima ke enam orang petani sedang bersiar-siar di tengah-tengah denai sambil memerhati petakan mereka. Ryouji melepasi mereka dan hanya menunduk kepala sedikit, mereka membalas tunduk, dengan wajah kehairanan. Dengan bendang-bendang ini diusahakan para petani persendirian, Maharaja mengharapkan hasil yang lebih tinggi dapat diperolehi, demi ‘mengkayakan negara dan menguatkan pertahanan’ iaitu cogan kata yang terkenal itu. Namun sudahkah ia membuahkan hasil yang diingini itu? Sudahkan mereka berjaya mengembalikan modal yang dilaburkan?

Ryouji dan Hisamiko telah berjalan kaki dari kawasan rumah mereka tadi, sedang kuda dibiarkan di dalam belukar selepas mereka naik dari tebing landai. Mereka tidak mahu berkuda di tengah-tengah bendang itu demi menghormati orang-orang kampung dan para petani, serta bagi memastikan mereka tidak disalahanggap sebagai samurai atau petarung atau mana-mana orang kebesaran. Mereka orang asing di situ dan tidak mahu menarik perhatian sesiapapun, kerana Ryouji agak rimas berbasa-basi demi memperkenalkan diri mereka berulang-ulang kali. Ziarah ini diharapkannya ringkas dan sebentar. Kepulangan ke sini tetap memeritkan meskipun ada kenangan-kenangan manis yang menghalwa di kalbu yang berparut.

Ryouji sampai di tebing sebuah tali air, tempat dia menemui Keisuke dalam keadaan kepalanya berdarah dan tidak sedarkan diri. Mayat Keisuke tidak dikebumikan, sebaliknya dibakar atas permintaan ibu bapanya.

Ryouji duduk di atas tebing yang sedikit curam itu, lututnya diangkat, tangannya kedua-dua belah memeluk betisnya. Hisamiko duduk meniru abangnya.

Keisuke, aku minta maaf. Aku tidak ingat engkau. Aku jatuh sakit selepas kematianmu. Selepas itu bapaku meninggal dunia dan tiada sesiapapun yang tinggal untuk menceritakan kembali semuanya kepadaku.

Bagaimana engkau di sana? Engkau budak kasihan, Keisuke. Aku masih teringat kali pertama aku menemuimu di sini. Dan tidak kusangka di sini jugalah tempat engkau mati dibunuh.

Selepas kali pertama bertemumu dan aku memberi amaran kepada Kentaro dan rakan-rakannya, mereka tidak lagi berani mendekatimu. Namun aku masih hairan bagaimana engkau boleh dipukul di sini pada hari itu? Bagaimana engkau boleh berseorangan di sini tanpa aku?

Keisuke, aku kembali ke sini pada hari ini, kerana aku ingin memberitahumu satu perkara, bahawa sesungguhnya pemergianmu tidak dilupakan. Aku tidak akan melupakanmu! Tidak sekali-kali, selepas aku telah pulih dari kesakitan itu. Aku, ibu bapamu, kami sentiasa mengingatimu. Hidupmu tidak sia-sia. Kita sempat bersahabat, meskipun singkat waktunya. Banyak kenangan manis kita di sini. Selepas pulih dari kesakitan itu, aku perlahan-lahan sudah dapat mengingat kembali memori kita di sini. Arigatou, Keisuke, untuk pertemuan kita yang singkat itu. Hontou ni arigatou.

Maafkan aku, kerana tidak berada di sisi engkau sewaktu mereka memukulmu. Maafkan aku kerana berkongsi didikan bapaku sehingga engkau terlanjur berkata-kata yang akhirnya meragut nyawamu. Sesungguhnya aku telah membunuhmu! Maafkan aku...

Air mata Ryouji meleleh perlahan-lahan selesai dia mengungkapkan kata-kata itu.

Tidak lama selepas kematian Keisuke, ibu dan bapanya meninggalkan bendang itu. Ryouji tidak tahu ke mana mereka pergi. Malah dia tiada bertanya, kerana memorinya hilang sama sekali berkenaan Keisuke.

Ryouji, apa yang engkau fikir sekarang? Telah ramai yang mati kerana engkau tidak berada di sisi mereka sewaktu mereka diserang. Bahkan mereka yang telah terbukti membunuh, engkau biarkan sahaja mereka terlepas tanpa engkau menuntut bela mangsanya. Bapamu, penjaga kuil yang dibunuh Saitou itu, kemudian Takasaki, Saki, dan Azusa. Kemudian Mariko. Berapa ramai lagi yang akan engkau korbankan kerana kelemahanmu dan sikap berbolak-balikmu? Engkau masih mahu mengharapkan Maharaja mengubah undang-undang sedia ada? Lihat Tokui, bagaimana dia mampu pantas memutus, bahkan menyelamatkan nyawamu lagi! Ryouji, jika engkau berterusan begini, tidak mustahil suatu hari nanti, nyawamu juga bakal melayang.

Ya. Aku yakin pasti ada jalan keluar. Aku yakin pasti ada jalan keluar melalui saluran undang-undang. Namun ia perlu dimulakan oleh sesuatu. Sesuatu yang berpengaruh, seperti Kogen. Sesuatu yang dipandang tinggi oleh rakyat jelata. Iaitu Kogen. Atau Maharaja. Atau kedua-duanya. Membunuh bukanlah satu-satunya jalan yang ada. Dunia ini tidak semudah hitam dan putih. Aku yakin pasti ada jalannya.

“Aku fikir aku ingat tentang rakanmu yang bernama Keisuke itu.” Ujar Hisamiko, ketika mereka melangkah pulang ke lokasi kuda.

Ryouji memandang adiknya. Aku pernah melihat Hisamiko memerhati kami berdua bermain di halaman rumah.

“Dia kurus dan rendah, wajahnya cerah dan bulat. Aku memberikan patung kayu yang otou-san berikan padaku, kepadanya. Dia kelihatan amat gembira dan tunduk berterima kasih kepadaku berulang-ulang kali.”

Sou ka...” Ryouji menjawab acuh tak acuh, kembali memandang ke hadapan seolah-olah tidak mendengar kata-kata Hisamiko. Hisamiko sedikit geram.

Onii-san...

“Aku mendengarmu Miko...”

“Engkau marah denganku?”

“Tidak.” Jawabnya pendek, masih memandang ke hadapan.

Onii-san...”

Hisamiko ke hadapan melihat wajah abangnya. Wajahnya kaku seperti batu. Tidak sedih, tidak marah, tidak gembira. Cepu fikir sarat.

“Aku tidak marah denganmu. Aku hanya pening sedikit.”

“Kita berehat dahululah. Di gua kecil itu.” Hisamiko mengambil tangan abangnya, berpaut dan menariknya, agar langkah Ryouji dipercepatkan. Sedari tadi dia melangkah longlai.

“Hmm.”

Saat itu, aku sedar. Kehilangan Keisuke adalah kehilangan kedua dalam hidupku, selepas kucing itu. Ia mendahului kehilangan ibu dan bapaku. Ia satu tamparan besar pada jiwaku yang tidak dapat menerima kegagalan melindungi Keisuke, lantas aku cuba melupakannya, dan aku berjaya melupakannya, namun dengan cara yang tidak kusangka. Melalui kesakitan.

Dan sekali lagi ia hadir dalam memoriku. Saat ini, aku mula berfikir apakah aku sememangnya seorang yang gagal melindungi mereka di sekelilingku? Bermula dari otou-san yang dipanah fukiya. Mengapa aku tidak mampu melindunginya dari tembakan itu? Kemudian penjaga kuil yang dibunuh Saitou itu. Ke mana Saitou menghilang? Apakah dia sudah dihukum? Bukankah Takasaki yang melaporkan kepada daimyo Kimura akan kesnya? Dan Takasaki, Saki dan Azusa, bagaimana aku boleh terlepaskan mereka malam itu sehingga mereka dibunuh Kobato? Ya, malam itu aku bersama Chisato. Chisato menahanku. Mengapa aku tidak menghiraukannya? Mengapa aku masih memilih Chisato? Apakah aku sememangnya gagal dalam memilih? Atau aku digerakkan oleh sesuatu untuk memilih semua ini? Agar semua peristiwa-peristiwa ini berlaku agar menepati apa yang sudah tertulis?

Perlukah aku menyalahkan Tuhan, atau menyalahkan diriku yang tidak bersungguh mencegah semua ini dari berlaku?

Previous: Bab 75
Next: Bab 77

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov