Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 38

“Shinji! Shinji!” Ryouji memanggil Shinji, sambil mengendong Hisamiko dengan kakinya masih terjengket-jengket kesan luka dipedang orang-orang Shizuo semalamnya.

 

“Aku di sini!” Shinji sedang duduk. Kakinya terseliuh setelah tergelincir sewaktu berlari menuruni bukit itu. Dia sedang duduk berlunjur dan bersandar pada sebatang pokok, sambil memandang sungai kecil yang mengalir tenang di hadapannya.

 

“Mujurlah, kalian selamat. Maaf aku tidak dapat mengejar kalian. Kakiku tercedera. Ryouji, bagaimana denganmu? Bagaimana kamu bertemu Hisamiko?”

 

“Aku baik Shinji. Aku menemui Hisamiko di lereng. Shinji, apa yang telah berlaku?”

 

“Ryouji, maafkan aku, tapi engkau harus percayakan kata-kataku. Engkau telah menyerang kami berdua dan kami terpaksa melarikan diri!”

 

“Menyerang kamu berdua? Shinji, benarkah apa yang engkau perkatakan?”

 

“Benar Ryouji. Aku tidak berbohong. Ryouji, apakah engkau sedar ketika itu?”

 

“Aku tidak ingat apa-apa. Ceritakan padaku lagi apa yang engkau lihat.”

 

“Pergerakanmu sungguh pantas. Lelaki berlilit kepala itu nampak lebih berpengalaman darimu. Namun ketika engkau memasuki jurus kelapan, seekor hayabusa terbang dekat dan mengibas-ngibas sayapnya. Sejak saat itu, kelajuan engkau meningkat dan lelaki itu kelihatan semakin tertekan dalam pertarungan. Dia lebih banyak mengelak dari sebelumnya, sehingga pedangmu mematahkan tulang bahunya.” Shinji menerangkan dengan terperinci. Matanya tajam. Disebabkan itulah Takasaki menghantarnya mengiringi Ryouji. Kerana dia melihat dengan jelas dan menerangkan dengan perincian yang jitu. Takasaki tahu, dari pengamatannya di gelanggang, bahawa Ryouji tidak sedar ketika melakukan jurus tersebut.

 

“Kemudian engkau menghunus pedangmu ke arah Hisamiko. Aku tidak sedap hati, lantas pergi ke hadapannya demi melindunginya. Namun engkau tiba-tiba menghayun pedangmu ke leherku. Mujur sahaja Hisamiko pantas menolakku ke tepi. Kemudian engkau menghayun ke arahnya pula dan dia mengelak.

 

“Hisamiko menasihatiku agar melarikan diri, dia merasakan engkau bukan lagi engkau, Ryouji. Dari pengamatannya, anak matamu membesar seperti dirasuk. Kami melarikan diri darimu. Aku terlalu takut sehingga terlupakan Hisamiko di belakangku dan berpisah arah darinya. Kemudian aku tersampuk akar dan kakiku terseliuh.”

 

Hisamiko tertidur keletihan di dalam kendongan, tidak mendengar kata-kata Shinji. Ryouji tersentak mendengar kata-kata Shinji. Dia benar-benar tidak tahu apa yang telah berlaku. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencederakan mereka, lagikan Hisamiko. Tidak sekali-kali! Dia menepuk kepalanya berkali-kali, memarahi dirinya sendiri.

 

“Ryouji, sungguh aku tidak pernah melihat kepantasan sebegitu, dan engkau terbang. Apakah ia jurus kesembilan seperti yang diperkatakan Takasaki?”

 

“Aku tidak tahu, Shinji. Semua ini sungguh mengelirukan.” Ryouji melepaskan keluhan panjang. Dia menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangan, cuba menghadam apa yang telah berlaku. Siapa yang mengawalku? Bagaimana aku boleh tidak menyedarinya?

 

Matahari masih belum mencecah tegak di kepala, dan mereka sudah menghadapi perkara yang ganjil pada hari itu.

 

**

 

“Ryouji, aku fikir mungkin kita harus belajar menunggang kuda.”

 

“Aku pun fikir begitu. Amat penat sebenarnya berjalan kaki begini. Lagikan pula kita berdua tercedera.”

 

Namun siapa yang boleh mengajar kami? Kudapun kami tidak miliki. Mungkin aku harus mencadangkan kepada Takasaki.

 

Ryouji dan Shinji saling memapah, dengan kaki masing-masing yang tercedera menjadi kaki ketiga di tengah mereka, sedang Hisamiko memerhati sekeliling sambil dibantu Azuchi. Banyak perkara yang mahu dibincangkan dengan Ryouji namun dia memendam. Mungkin aku perlu tunggu sehingga kami sampai di rumah, fikirnya.

 

Mujur juga ada Shinji, maka mereka mengingat kembali laluan kembali ke rumah perlindungan. Shinji mengingat dengan terperinci cirian yang ada di sepanjang laluan pulang, seperti jenis pokok, dan kontur tanah sama ada berbukit atau landai. Dia akan mengarahkan Hisamiko memeriksa di hadapan jika terdapat pengintip atau musuh. Takasaki berpesan agar memerhati pengintip kerana lokasi rumah tersebut tidak boleh diketahui sesiapapun melainkan orang-orang Kogen.

 

Tiada aral melintang. Mereka sampai ke rumah perlindungan setelah hampir malam.

 

**

 

“Takasaki, jika tidak keberatan, aku mahu membincangkan sesuatu denganmu di pejabat selepas makan malam.” Ryouji bertanya kepada Takasaki, dengan kaki masih terjengket-jengket dan berbalut. Dia menganggukkan kepala. Takasaki sebenarnya tidak mahu bertemu Ryouji sekarang kerana dia masih tercedera dan kepenatan. Namun jika Ryouji yang mahu bertemunya dia tidak akan menolak.

 

Di pejabat...

 

“Takasaki-san, mengapa engkau tidak menghalang Hisamiko?” Ryouji bertanya sebaik sahaja mereka duduk.

 

“Bertenang Ryouji. Ia sebahagian dari perancanganku.”

 

“Perancangan? Dia masih belum pandai bertarung, Takasaki-san! Bagaimana jika dia diculik, dan dijual?!”

 

“Ryouji, dengar dahulu apa akan aku perkatakan. Fahamkah engkau akan kelebihan Hisamiko?”

 

“Tidak. Beritahu aku Takasaki. Beritahu semuanya!”

 

“Jika seseorang dikurniakan kepantasan bertarung oleh hayabusa-no-kami, dia akan dilindungi oleh semangat tersebut dengan satu syarat.”

 

“Apakah syarat itu?”

 

“Dia perlu nekad melindungi dirinya dan tidak menyerah kepada musuh. Ryouji, jika engkau berterusan melindungi Hisamiko, aku bimbang dia tiada nekad melindungi dirinya jika engkau tiada nanti. Kurniaan itu tidak akan direalisasikan tanpa nekad dari dalam diri Hisamiko sendiri, Ryouji.”

 

“Selain itu, seperkara lagi yang membuatkan aku membenarkan Hisamiko keluar. Kerana engkau. Bagaimana engkau menewaskan musuh-musuhmu?

 

“Aku tidak sedar.”

 

“Shinji, masuk sekarang.” Takasaki memanggil Shinji masuk.

 

Shinji menolak pintu gelangsar, masuk dan menutupnya kembali. Dia duduk di sebelah Ryouji.

 

“Shinji, ceritakan kepadaku apa yang kau lihat.”

 

Shinji menceritakan kepada Takasaki kesemua yang dilihatnya, penuh teliti, sepertimana dia mengulas pemerhatian sama kepada Ryouji ketika di dalam hutan tadi.

 

Takasaki agak terkejut mendengarkan Ryouji menyerang Hisamiko dan Shinji namun dipendamkan. Dia merasakan Ryouji perlu belajar mencapai jurus tersebut dalam sedar, seperti Miura.

 

Takasaki kemudian menambah pada penjelasan Shinji, “Ryouji, itu adalah jurus kesembilan. Aku pernah melihat engkau melakukannya tanpa sedar ketika bertarung dengan Kobato, ketika seekor hayabusa melintas di atasmu.”

 

Benar, getus Ryouji. Memang ada sekali-sekala keadaan di mana aku tidak sedar ketika bertarung dengan Kobato.

 

“Jadi engkau membenarkan Hisamiko keluar agar burung hayabusa itu mengekorinya sehingga sampai kepadaku, dan dengan kibasan sayap burung itu, aku akan dapat mencapai jurus kesembilan?”

 

“Bijak. Aku tahu engkau budak yang bijak, Ryouji.”

 

“Bagaimana engkau begitu yakin Hisamiko memiliki nekad, dan menyebabkan engkau membenarkan dia keluar?

 

“Masih ingat peristiwa di Furukawa? Bagaimana dia melepaskan diri dari orang-orang Sonzaemon, ketika engkau tiada di sisinya?”

 

Ryouji mengingatinya. Hisamiko pernah menceritakan kepadanya. Bagaimana pula Takasaki tahu?

 

“Aku memanggil Hisamiko ke pejabat suatu hari dan bertanya kepadanya bersama Mariko. Dia nekad melepaskan dirinya dari pelukan penculik itu.”

 

“Ryouji, aku yakin dengan Hisamiko. Bagaimana pula denganmu?”

 

“Takasaki-san, kata-katamu memang mudah. Namun aku abangnya. Jika dia hilang dari matamu, kesannya tidak sama jika dia hilang dari mataku.”

 

“Ryouji, bayangkan jika Hisamiko tiada ketika misi itu. Engkau mungkin sudah dibunuh Shizuo.”

 

Ryouji kehilangan hujah. 


Takasaki berbisik di dalam hati, jika Hisamiko tidak tiba seperti yang dirancangku sekalipun, nasib masih boleh menyebelahimu, Ryouji. Ini kerana Shinji dapat menumpu sepenuh perhatian dan menembak orang-orang Shizuo. Bahkan ketiadaan hayabusa Hisamiko menyebabkan engkau bertarung normal, dan aku yakin engkau pasti mampu mengalahkan Shizuo dan orang-orangnya dengan jurus kelapan. Ini kerana sefahamku Miura hanya mengajar separuh pertama jurus kelapan kepada Shizuo. Namun, demi membuktikan apa yang telah aku lihat berkenaan jurus kesembilan, aku perlu mengambil risiko dan membiarkan Hisamiko keluar.

 

“Jika Hisamiko sebegitu penting, mengapa tidak engkau benarkan dia keluar menyertai kami awal-awal lagi?”

 

“Aku perlu menampakkan seolah-olah dia mengejarmu, dengan memanggil dan menghasut dia mengejarmu, serta menghasutnya mengelak dari Chisato menggunakan kemahiran kaminarinya. Jika aku lepaskan begitu sahaja, Chisato dan Mariko pasti akan menghalang Hisamiko dari keluar dengan mengurungnya di bilik. Mujur, Chisato hanya tahu berkenaannya kemudian selepas Hisamiko hampir ke gerbang buluh dan berjaya pula mengelak dan bersembunyi darinya.”

 

“Bagaimana pula dengan Chisato?”

 

“Dia mengejar Hisamiko namun tidak menemuinya. Tsugiyama muncul tiba-tiba berdekatan kawasan ini, dan cuba menyerangnya. Mujur Azusa bersama Chisato. Namun Azusa pula tercedera. Mujur aku telah menghantar orang Kogen untuk menyelamatkan mereka. Mereka ke kuil Furukawa beronsen untuk merawat Azusa.”

 

“Takasaki-san, mengapa engkau tidak menghalang Chisato?!”

 

“Jika aku menghalangnya sudah pasti dia akan mencurigaiku. Aku juga tidak menyangka Tsugiyama ada di situ. Mujur pengintip Kogen, Shirasaka Ayame sedang berada berdekatan kawasan sini kerana dia mahu pulang ke Furukawa. Jika tidak aku sendiri yang akan menjejaki Chisato.” Harapnya Hisamiko tidak memberitahu Chisato bahawa aku menghasutnya mengejar Ryouji. Jika tidak teruk aku dimarahinya nanti. Apapun perancanganku telah berjaya, getus Takasaki. 

 

Ryouji bangun dengan wajah kemarahan, memandang Takasaki. Takasaki tidak menunjukkan sebarang reaksi.

 

“Jika apa-apa berlaku kepada Chisato, aku tidak akan memaafkanmu, Takasaki-san!”

 

Ryouji meninggalkan Shinji dan Takasaki di bilik itu dengan kaki menjengket-jengket. Dia keletihan dan kecederaan, dan tidak mahu mendengar lanjut dari Takasaki, atau dia akan dikuasai perasaan marahnya. Orang tua itu tahu sahaja menjawab. Ryouji yakin dengan kebolehharapan Takasaki, namun dia masih risau. Orang tua itu suka mengambil risiko yang tidak munasabah padanya.

 

“Ryouji, engkau hendak ke mana?” Takasaki bertanya.

 

Ryouji tidak menjawab. Dia terus ke biliknya.

 

“Shinji, periksa pedang Ryouji. Laporkan pemerhatianmu. Aku yakin bahan yang engkau selidik itu berkesan untuk Saishi-tou.”

 

“Baik, Takasaki-san. Takasaki-san, aku ingin meminta sesuatu.”

 

Dia mendekatkan mulutnya dengan Takasaki, yang duduk bersetentang dan dipisahkan sebuah meja, dan menyatakan sesuatu secara perlahan.

 

Takasaki mengangguk, “Baiklah, Shinji. Akan aku usahakan dengan menghubungi Kogen. Mereka punya baka kuda yang sesuai.” Takasaki tidak memiliki kuda demi mengurangkan perbelanjaan penjagaannya. Dia juga lebih gemar berjalan kaki untuk ke mana-mana, dan mengirim kepada para pengintip Kogen yang kerapkali melalui tebing Sungai Miya berulang-alik dari Kyoto ke Shirasaka-no-Kogen.

 

Esoknya, Shinji berjumpa Ryouji ketika dia mahu ke taman bonsai.

 

“Ryouji, aku mahu ke bengkel sebentar. Berikanku pedangmu.” Shinji meminta pedang Ryouji. Dia ingin memeriksa sesuatu. Ryouji memberikan tanpa banyak soal.

 

Sebaik Shinji beredar, Hisamiko menarik yukata Ryouji. Dia mahu membincangkan sesuatu.

 

Mereka berdua duduk bersebelahan di atas bangku biasa di taman tersebut.

 

Onii-san, engkau tidak ingat apa-apa ketika menyerang kami?”

 

“Bagaimana engkau tahu?”

 

“Aku tidak tidur ketika di dalam kendonganmu. Onii-san, Azuchi tahu segala-galanya.”

 

“Siapa Azuchi?

 

Hayabusa yang selalu mengekori kita.” Hisamiko menjawab sambil menunjuk ke arah pokok shirakaba di depan mereka.

 

Ryouji memandang ke atas pokok itu, di mana hayabusa itu selalu bertenggek. Azuchi di atas, sedang melihat mereka. Burung bertuah! Ryouji kembali memandang Hisamiko.

 

“Miko, setakat manakah yang telah engkau ketahui?”

 

“Sumpah hayabusa.”

 

Sebaik mendengarkannya, wajah Ryouji mulai resah. Hisamiko mengamatinya. Benarlah kata-kata Azuchi.

 

Onii-san...” Hisamiko mencapai lengan Ryouji, kemudian menyandarkan kepalanya ke bahu Ryouji dan merapatkan tubuhnya. “Engkau menanggung derita seorang. Mengapa engkau tidak memberitahuku?”


“Miko, aku mohon jangan engkau bongkarkan kepada Chisato.”

 

“Mengapa, onii-san?”

 

“Aku tidak mahu dia bersedih lagi, selama umurku masih berbaki.”

 

“Jika itu yang engkau mahukan, onii-san.” Tutur Hisamiko lembut. Wajahnya kosong seperti batu, memandang jauh ke gerbang buluh.

 

Ryouji mahu melarikan diri, sejauh mungkin. Dia menyesal mengakui perasaannya terhadap Chisato. Dia tidak tahu akan sumpah ini. Aku tidak akan sekali-kali mengakui perasaanku jika aku mengetahuinya. Untuk apa aku mengakui perasaanku semata-mata untuk melihatnya bersedih lagi?

 

Sebelum umurku menginjak dua puluh tahun, aku akan mencari jalan untuk melarikan diri dari sini. Bukankah aku akan meninggalkan rumah ini pada umur kelapan belasku? Itu peluang yang baik untuk menjauhkan diriku darinya.

 

Onii-san, kita masih belum habis berbicara berkenaan misimu.” Hisamiko menyambung pertanyaan.

 

“Aku tidak boleh memberitahumu.”

 

“Mengapa, onii-san?”

 

“Ia atas arahan Takasaki-san.”

 

Onii-san, engkau satu-satunya ahli keluargaku. Aku berhak untuk tahu.”

 

Setelah didesak berkali-kali dengan Hisamiko membuat muka, Ryouji akhirnya mengalah dengan adik kesayangannya itu.

 

“Kogen. Nama yang aneh. Onii-san, engkau akan mati jika engkau menyertai mereka.”

 

“Aku memang akan mati pun, Hisamiko. Umurku lagi empat tahun berbaki. Sekarang aku perlu memilih antara mati dengan makna, atau mati sia-sia.” Ryouji memerhati sekeliling, takut-takut didengari pengendap yang ramai di rumah itu, terutama Tsuneki. Sebentar, di mana Tsuneki? Aku lihat dia hanya berbaring di atas katilnya sejak aku pulang.

 

Onii-san, jika engkau mati, aku mahu engkau mati di sisiku.”

 

“Apa maksudmu, Miko?”

 

“Aku akan menyertai misi-misimu.”

 

“Tidak perlu, Hisamiko. Aku tidak akan benarkan. Engkau perlu teruskan hidup.”

 

Onii-san, aku tahu bertarung!”

 

“Tidak, Miko. Engkau tidak pandai menyerang dan hanya tahu mengelak. Aku tetap tidak akan benarkan.”

 

Hisamiko bangun, dan meninggalkan Ryouji. Merajuk nampaknya. Aku tahu benar Hisamiko seorang yang degil, sejak dia masih berumur enam tahun. Aku dan otou-san pernah menegahnya memanjat pokok sakura di depan rumah kami. Namun dia selamba memanjatnya dan memanggil aku yang sedang berjalan di bawahnya. Aku mendongak dan terkejut, memarahinya dan dia tidak ambil peduli langsung, masih memanjat sehingga ke hujung dahan rapuh. Kemudian dahan itu patah. Dia terjatuh, namun anehnya, dia terjatuh dalam kedudukan bersedia dengan lutut dan tapak tangannya di atas tanah. Hanya sedikit calar di lutut dan tangannya. Peristiwa pelik itu masih segar di ingatanku. Hisamiko seolah-olah dilindungi. Siapa yang melindunginya, aku tidak tahu, sehinggalah aku mendengar penjelasan Kotobuki. 


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov