Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 86

 

Chiyo tiba di sebuah gereja di Kyoto.

 

“Paderi Alvito! Paderi Alvito!” Chiyo melaung memanggil-manggil nama paderi berbangsa Portugis itu.

 

“Ya, ojou-san.” Seorang wanita pertengahan umur yang sedang menyapu kawasan luar gereja itu menegurnya. Chiyo tidak mengenali wanita itu.

 

“Aku mahu bertemu Paderi Alvito sekarang obaa-san! Di manakah dia?”

 

“Mari masuk ke dalam dahulu.

 

“Tidak obaa-san, maafkan aku. Aku harus bergegas. Aku sedang diekori!”

 

Paderi Alvito muncul di hadapan gereja.

 

“Chiyo-sanOhisashiburi.”

 

“Paderi Alvito, aku sedang diekori orang-orang Hamada. Aku mohon engkau jaga bayi ini baik-baik.” Chiyo menanggalkan tali penganduh dan mendukung Shinji. Dia mengambil masa menatap dan mencium bayinya itu sepuas-puasnya. Mungkin ini kali terakhir dia melihatnya. Air matanya mengalir deras. Shinji sedang tidur dan langsung tidak menyedari apa yang sedang berlaku setelah disuntik sejenis pelali berasaskan herba. Chiyo menyuntiknya bagi mengelakkan dia dari menangis dan mengejutkan musuh-musuhnya. Dalam keberatan, dia kemudian menyerahkan bayi itu kepada Paderi Alvito.

 

Perjalanan menunggang kuda dari Shinagawa ke Kyoto telah memakan masa dua hari dan Chiyo telah bermalam di tengah-tengah hutan sepanjang kelana itu, maka dia perlu memastikan Shinji tidak membuat sebarang bising yang boleh menggagalkan rancangannya. Orang-orang Hamada tidak berhenti-henti mengejarnya dan dia terserempak dengan mereka dari masa ke semasa sepanjang perjalanan namun masih berjaya mengelaknya.

 

“Paderi Alvito, nama bayi ini Shinji.” Chiyo menyelitkan sekeping kertas bertuliskan nama Shinji dalam tulisan kanji.

 

“Chiyo, engkau boleh bersembunyi di dalam dahulu.”

 

“Tidak Paderi Alvito. Aku harus bergegas sebelum mereka mengesyaki kalian. Jika kalian disyaki kalian mungkin akan dibunuh! Segera masuk ke dalam!”

 

Chiyo pantas meninggalkan gereja itu sebelum diketahui orang-orang Hamada.

 

Ke mana harus kutuju? Ke mana? Aku tidak mempercayai sesiapa sekarang kecuali paderi itu yang kukenali sedari kecil. Kufikir Shinji akan selamat dalam jagaannya.

 

Aku harus melarikan diri dahulu dan akan kembali mengambil Shinji kemudian selepas semua ini berakhir. Jika aku membawa Shinji sekali bersamaku pasti kedua-dua kami akan dibunuh.

 

Aku perlu bersembunyi di tempat lain. Bukan di Kyoto. Bukan juga di Hidagawa. Aku harus mencari tempat lain.

 

Sementara itu, Sanemi masih mengekori Chiyo senyap-senyap. Dia hanya mematuhi arahan Kotobuki, termasuk membunuh mana-mana pembelot yang mengancam nyawa. Jika apa-apa berlaku terhadap Chiyo, Sanemi harus melindungi dengan nyawanya. Chiyo dan bayinya adalah penjaga kuasa semua pemegang tama-no-iwa. Kuasa tama-no-iwa bukan sahaja boleh dilenyapkan oleh permintaan keturunan Amaguri sendiri, bahkan oleh lenyapnya keturunan mereka dari bumi ini. Demi Kogen dan tanggungan mereka di beratus rumah perlindungan itu, Chiyo dan bayinya harus hidup.

 

Chiyo memilih untuk menghala ke utara. Namun malangnya, dia tidak mengetahui bahawa utara ialah wilayah Hagiura, anak Hamada. Orang-orang Hagiura yang menjaga pos sempadan mula mengesyaki sesuatu. Mereka mengamati pakaian Chiyo dan membandingkan dengan lakaran.

 

“Benarlah, wanita inilah yang dicari Hamada. Ayuh!”

 

Tidak semena-mena libasan pedang tidak bermata menyungkurkan mereka. Semua terbaring kepatahan. Sanemi telah keluar dan menyelamatkan Chiyo. Namun malang baginya, Sanemi dibaling pisau tantou pada lehernya oleh orang Hagiura yang pura-pura tercedera.

 

Sanemi tersungkur.

 

“Chiyo, gomenasaiHa-ya-ku ni-ge-te... (segera lari!)” Sanemi menghembuskan nafas terakhir. Chiyo kaget.

 

Sejurus itu, Chiyo turut ditikam. Namun seorang lagi pengintip Kogen berkuda muncul dan menumpaskan semua orang-orang Hagiura yang masih berbaki. Pengintip Kogen itu membawa Chiyo ke sebuah rumah sakit untuk dirawat.

 

“Hotaru. Mengapa engkau di sini?”

 

Hotaru ialah seorang gadis pengintip Kogen berusia dua puluhan, berpakaian seperti ninja serba hitam. Dia berpangkalan di Kyoto dan mengekori Chiyo atas permintaan Paderi Alvito.

 

“Paderi Alvito risaukan engkau. Dia menghantarku. Ayuh!”

 

Ketika di atas kuda, Chiyo bersuara perlahan “Aku fikir aku tidak lama Hotaru.”

 

“Kuatkan semangatmu Chiyo, demi anakmu!”

 

“Hotaru...kebumikan aku...di lembah Amaguri...” Tangan Chiyo lembik tiba-tiba. Hotaru memberhentikan kudanya dan menggoncang-goncang tubuh Chiyo. Urat di dahinya timbul, seperti diracun. Pedang yang menusuknya itu diracun?

 

Tabib kemudian mengesahkannya. Terdapat kesan racun torikabuto pada kesan luka Chiyo.

 

Seperti permintaan Chiyo, Hotaru membawa mayatnya ke Shirasaka untuk dikebumikan. Dari situ, Kotobuki membawanya ke lembah Amaguri.

 

Kotobuki bertafakur di depan kubur Chiyo. Maafkan aku Chiyo. Maafkan aku. Bayimu akan kukekalkan di gereja Kyoto itu dahulu sehingga umurnya cukup. Aku mahu dia faham segala khazanah ilmu Barat yang disimpan di situ, dan bahasa mereka. Kami sudah kehilangan Mariko, penterjemah kami tiga tahun lepas yang mengikut Takasaki ke rumah perlindungan. Kami memerlukan pelapis baru di sini. Ilmu penterjemahan hanya paling berkesan jika penterjemah dididik sedari kecil.

 

Namun ketika protes samurai besar-besaran yang anti Barat pada tahun 1866 iaitu lapan tahun kemudian, Paderi Alvito melarikan diri dan mengosongkan gereja itu. Shinji dan kanak-kanak lain terpinga-pinga. Shinji yang sememangnya kurang bersosial dan tidak punya ramai rakan, berseorangan di sana dan lari berseorangan berlindung di sebuah kuil di atas bukit.

 

Bangsat! Alvito, mengapa engkau lari dari kami? Bahkan engkau membiarkan anak-anak itu terkontang-kanting?

 

Kotobuki menumbuk-numbuk tiang kuil. Nampaknya, hanya kami yang mampu melindungi bangsa sendiri. Buat apa aku percayai bangsa lain? Mereka datang ke sinipun dengan motif mereka, demi mengkayakan diri sendiri dan mengembangkan agama mereka. Pabila keadaan sudah tidak mengizinkan, mereka melarikan diri begitu sahaja.

 

“Takasaki, engkau akan ke Kyoto esok bukan?”

 

“Ya, aku mahu membantu Kogen menguruskan pemindahan anak-anak di gereja itu.”

 

“Takasaki, cari seorang budak bermata sepet dan kecil yang punya tanda ini di belakang telinganya.” Kotobuki memberi gambaran kerana difikirkan wajah Shinji serupa dengan ibunya Chiyo. “Pastikan dia diselamatkan, Takasaki. Dia amat penting kepada kita.” Kotobuki memberikan kertas yang dilukiskan tanda di belakang telinga Shinji itu. Ia tanda yang sama yang ditemui di belakang bahu Hisamiko. Ia hanya muncul pada pemedang handal dan keturunan Amaguri.

 

“Baiklah Kotobuki. Tetapi aku akan bergerak ke sana esok.”

 

“Aku mohon engkau pergi sekarang Takasaki! Aku bimbang dia pergi lebih jauh dari situ atau mungkin telah ditemui orang-orang Hamada. Dan aku pinta engkau jaga dia di rumah perlindunganmu.”

 

“Baiklah.” Takasaki tunduk hormat seraya meninggalkan kuil tersebut, dalam keterpingaan. Mengapa Kotobuki beriya benar mahu menyelamatkan budak itu?

 

**

 

Awal musim panas 1856

 

Tsubomi baru sahaja meninggal dunia dua bulan lepas akibat sumpah hayabusa. Ayame yang ketika itu berumur sepuluh tahun, datang menemui bapanya yang sering termenung sejak kematian Tsubomi, di taman zen di tepi pejabat Omi, di Shirasaka-no-Kogen.

 

Otou-sanotou-san.” Ayame memegang lengan Kotobuki dan menggoncang-goncangkannya.

 

Kotobuki tersedar dari lamunan. “Ayame.”

 

Otou-san engkau termenung sahaja.”

 

Kotobuki meletakkan tangannya di kepala Ayame dan menepuknya lembut.

 

Otou-san rindukan okaa-san?”

 

“Hmm.”

 

“Ayame pun.”

 

Otou-san, berceritalah sesuatu denganku. Aku bosan.”

 

Kotobuki melayan sahaja, meskipun hatinya masih sugul atas kematian Tsubomi. Dia faham kebosanan Ayame yang sudah tiada lawan berbicara. Dahulu ketika Tsubomi terlantar, Ayame seringkali duduk di sebelahnya dan Tsubomi bercerita pelbagai dongeng meskipun dalam lemah keterlantaran. Suaranya perlahan dan lemah, namun kisah-kisahnya sampai kepada Ayame. Sehinggakan Ayame terlelap di sisinya.

 

Kotobuki menyesal sesungguhnya kerana tidak menghabiskan masa-masa hidup Tsubomi yang masih berbaki sedikit bersama-sama. Kerana mensia-siakan cinta Tsubomi. Sesalan itu lebih berat dari kesedihan akibat kehilangannya. Penyesalan ini membuatkan sebuah kehilangan itu seribu kali lebih memeritkan. Berulang kali aku berbisik pada diriku, andai aku mampu kembali ke masa silam, aku tidak akan sekali-kali mengabaikan Tsubomi demi kesibukan pekerjaanku, demi egoku yang meragui cintanya hanya kerana kami dikahwin paksa oleh Omi. Namun ia semua sudah terlambat.

 

Yang tinggal di sini hanya aku dan Ayame. Walau apa sekalipun ramalan Amaguri, aku tetap menyayangimu Ayame. Aku tidak akan berputus asa. Selain otou-san, engkau satu-satunya darah dagingku yang masih tinggal.

 

**

 

Kotobuki mula mencari kawasan bersendiri agar tidak diganggu Ayame lagi. Dia menuju ke perpustakaan kerana di situ kurang manusia. Dia ke tingkat paling bawah, untuk ke sebuah unjuran yang pernah ditunjukkan Omi yang akan membawa mereka ke kawasan rahsia Amaguri yang mengandungi tama-no-iwa puak tersebut.

 

Kotobuki menekan-nekan kayu lantai itu, dan menemui penutup terowong. Dia membukanya. Terpampanglah lubang menuju terowong. Berbekalkan cahaya pelita, dia membawa diri menelusuri terowong itu sehingga bertemu hujungnya.

 

Dia membuka penutup terowong perlahan-lahan dan menemui sebuah lembah yang cantik. Dia terus menuju ke terowong yang dibentuk akar sebatang pokok gergasi. Sesampai di perut terowong, dia ke bilik bacaan untuk mencari buku diarinya dan mencatit sesuatu. Namun dia terkejut mendapati bilik itu dihuni seorang wanita. Wanita itu kelihatan sarat mengandung.

 

Ojou-san, bagaimana engkau memasuki tempat ini?”

 

“Siapa engkau?!” Wanita itu terkejut seraya menghunus pisau tantou ke arah Kotobuki.

 

“Aku Kotobuki. Aku masuk melalui terowong itu. Bawa bertenang, siapa engkau wahai puan?”

 

Terowong? Terowong apa? Bukankah tempat ini telah disihir  moyangku? Bagaimana pula ia masih boleh diceroboh?

 

“Terowong apa maksudmu?”

 

“Terowong di lembah Shirasaka.”

 

Shirasaka?

 

“Sini Hidagawa. Engkau jangan mengarut!”

 

Hidagawa? Aneh. Hidagawa separuh hari berkuda dari lembah Shirasaka. Tidak mungkin terowong pendek itu menghubungkan tempat sejauh itu dengan Shirasaka.

 

“Engkau masuk ke sini melalui laluan yang mana, ojou-san?” Kotobuki merendahkan suara bagi menenangkan wanita itu.

 

Wanita itu masih dalam cemas. Tantou-nya masih dihunus.

 

“Mengapa engkau mahu tahu?”

 

“Bertenang, ojou-san. Aku bukan musuhmu.” Kotobuki mencampakkan segala senjata yang dibawanya iaitu dua bilah tantou. Dia duduk di atas lantai dengan tangannya diangkat, memberi kepastian bahawa dia tidak berbahaya.

 

“Mengapa engkau takut? Adakah engkau sedang dikejar?”

 

Melihatkan perlakuan dan mendengarkan suara Kotobuki, perlahan-lahan dia meletakkan tantou-nya.

 

“Engkau dari mana?”

 

“Kyoto. Pergunungan Hiei.” Wanita itu kembali duduk di atas bangku dan beransur tenang.

 

“Kyoto ka? Di mana suamimu?”

 

“Suamiku dibunuh perompak. Aku lari dari rumah itu demi bayi ini.” Wanita itu memandang perutnya yang membusung. Dia sarat mengandung.

 

Sou ka... maafkan aku.”

 

Iye. Dan bagaimana engkau tiba ke sini? Jawab betul-betul dan jangan mengarut denganku!”

 

“Aku tidak mengarut, ojou-san. Seperti aku katakan, melalui terowong itu. Ia terhubung ke tanah tinggi Shirasaka. Aku tidak tahu bagaimana, namun begitulah kejadiannya.”

 

Kotobuki melihat sekeliling rumah itu. Wanita ini seperti sudah pernah tinggal di sini, melihatkan ada buku-buku yang terbuka dengan pena yang masih baru dicelup dengan dakwat. Dia mencari-cari diarinya. Mujur, ia masih di rak yang betul dan belum disentuh wanita ini.

 

“Engkau dari keturunan Amaguri bukan?” Kotobuki cuba meneka.

 

Wanita itu diam seketika. Kemudian dia bersuara, “Bagaimana engkau tahu?”

 

“Hanya keturunan Amaguri yang boleh menemui tempat ini menerusi laluan lain. Selain dari keturunan itu, mereka perlu melalui terowong kami di lembah Shirasaka untuk memasuki tempat ini.” Aku baru tahu, tempat lain itu mungkin Hidagawa. Namun setahu aku tidak pernah pula aku terserempak dengan tempat ini di Hidagawa, hanya lembah Okuhida yang aku pernah ketemu. Barangkali hanya puak Amaguri yang mampu mengesan tempat ini di Hidagawa.

 

Wanita itu terdiam dan dia memandang Kotobuki. Kotobuki tidak nampak seperti seseorang yang berbahaya, menilai dari riak wajah dan gaya pertuturannya. Dia seperti seorang samurai yang berpendidikan tinggi, atau mungkin, berpendidikan Barat. Wajahnya seperti seorang tabib dan nampak bijaksana.

 

“Benar.” Jawab wanita itu. “Ini lembahku dan nenek moyangku, Amaguri.”

 

“Apa telah berlaku, ojou-san, jika engkau tidak keberatan menceritakan.”

 

Wanita itu, Chiyo menceritakan kisahnya. Dia berasal dari sebuah penempatan terasing di celah pergunungan Hiei di Kyoto dan tinggal bersama suaminya seorang penjual kayu api. Suaminya telah dibunuh sewaktu memotong kayu api di dalam hutan. Chiyo menanti kepulangan suaminya namun selepas seharian, dia tidak pulang-pulang. Dia mendapati suaminya Seiichi telah dibunuh di dalam hutan, dengan barangan berharganya hilang. Pasti perbuatan perompak. Selepas mengebumikan mayatnya, dan melaporkan kepada polis, dia bercadang melarikan diri dengan menumpang sebuah kereta kuda yang lalu di sepanjang laluan Nakasendo berhampiran tempat tinggalnya. Dia sampai di lembah ini kemudiannya. Tujuan dia melarikan diri demi mengelakkan serangan sama berulang dan dia mahu melahirkan bayi tersebut di tempat terasing dan selamat.

 

“Begitu rupanya. Maafkan aku Chiyo-san mengganggumu di sini. Di sini tempat aku selalu bersendirian. Aku tidak menyangka ada pewaris Amaguri yang masih mengetahui tempat ini.”

 

“Kotobuki-san, apakah lembah tinggi Shirasaka yang engkau maksudkan? Aku tidak pernah mendengarnya.”

 

Kotobuki menceritakan kisah hidupnya, bagaimana dia berkahwin dan kematian isterinya beberapa bulan lepas. Dan berkenaan lembah tinggi Shirasaka yang menempatkan pertubuhan yang diasaskan bapanya.

 

“Jika engkau tidak keberatan, aku boleh membawamu melihat lembah kami.”

 

“Tidak mengapa, Kotobuki-san. Biarkan sahaja aku di sini.”

 

“Bagaimana dengan kelahiran bayimu nanti? Aku boleh memanggil tabib kami. Aku akan pastikan perkara ini kekal rahsia.”

 

“Nanti aku fikirkan.”

 

Sejak itu, Kotobuki sering melawat kawasan rahsia tersebut senyap-senyap. Disebabkan di kawasan itu tiada haiwan seperti ikan, maka hanya tumbuhan dan buahan menjadi makanan. Sejak kedatangan Kotobuki, dia sering membawa bekalan ikan secara senyap-senyap di waktu malam dengan melalui terowong perpustakaan itu.

 

Ketika ini Shinji baru sahaja beberapa minggu lahir. Kotobuki telah meminta bantuan seorang tabib wanita di Kogen bernama Megumi menyambut kelahirannya. Oleh itu, kehadiran Chiyo di lembah Amaguri hanya diketahui mereka bertiga sahaja.

 

“Terima kasih Kotobuki-san.”

 

Betsu ni, Chiyo-san. Aku hanya membantu apa yang aku termampu.”

 

Kotobuki tidak menyedari bahawa mereka bertiga sebenarnya diekori seseorang dari lembah tinggi Shirasaka. Akio menyedari tingkah laku Kotobuki akhir-akhir ini sejak kematian isterinya bertambah aneh. Dia mengekori Kotobuki.

 

Kotobuki, engkau baru sahaja kematian isterimu beberapa bulan, dan kemudian engkau berhubungan dengan wanita lain pula di sini? Aku akan melaporkan kepada Omi.

 

Setelah mengenali Kotobuki, Chiyo ada meminta membawanya melihat lembah tinggi Shirasaka, dan Kotobuki bersetuju membawanya suatu malam. Namun malangnya, Akio membocorkan rahsia itu dan Kotobuki dan Chiyo yang sedang mendukung bayinya ditangkap. Omi memutus untuk memecat Kotobuki.

 

Sebelumnya, Kotobuki sudah berpesan kepada Omi bahawa pewaris Amaguri muncul di lembah yang dihubungkan dengan terowong itu. Omi tertarik dan bercadang melihatnya sendiri. Oleh itu, segala laporan Akio tidak dipandang serius oleh Omi. Omi merancang semuanya, termasuk ‘pemecatan’ Kotobuki. Kotobuki dihantar keluar, namun sebenarnya, atas permintaannya, dia menjadi pengintip dan sami di kuil Furukawa. Ayame mengikutnya sekali. Namun Ayame ditempatkan di Shirasaka ketika dia berumur sebelas tahun atas permintaan Omi, untuk menerima latihan dan juga pendidikan akademik. Kotobuki akan datang sekali sekala menjenguknya di sana.

 

Omi juga maklum akan kisah Chiyo. Dia menghantar Chiyo keluar untuk dihukum bunuh oleh Akio dan Sanemi, namun sebenarnya Omi menghantar Chiyo sebagai pengintip di Kawamoto yang akan menyamar sebagai pekerja Noguchi, melihatkan kepakaran Chiyo dalam perubatan herba-herba hutan. Kotobuki telah melihat hasil-hasil tulisan Chiyo di rumah di bawah pokok gergasi dan melaporkannya kepada Omi. Chiyo memancing Noguchi dengan kemahiran penyelidikannya dan Noguchi termakan umpan itu, seraya mengambilnya bekerja. Chiyo dihantar tinggal bersama Kaede, seorang wanita pertengahan umur yang juga pengintip Kogen. Ketika Chiyo bekerja, anaknya akan dijaga oleh Kaede.

 

Sanemi dan Akio sebenarnya telah ditugaskan Omi untuk membantu Chiyo dan menjaga keselamatannya sepanjang berada di Kawamoto. Mereka tidak tahu identiti sebenar Chiyo yang merupakan pewaris Amaguri, hanya Kotobuki dan Omi sahaja yang mengetahuinya. Akio tidak mempersoalkan arahan Omi, bahkan dia tidak langsung bermusuhan dengan Kotobuki dan Chiyo. Dia melaporkan salahlaku Kotobuki kepada Omi demi memastikan pesalah disiplin menerima hukuman. Namun dia akhirnya membelot Omi kerana keengganannya menyalurkan bantuan bagi merawat ibunya yang sakit. Menyedari perkara itu, Sanemi mula merancang memerhati Akio, dan akhirnya terpaksa memutus membunuhnya kerana membelot Omi.

 

 

**

 

Ketika Tatsuhiro membawa Shinji ke pondok bawah pokok gergasi, dia telah membongkarkan rahsia Hamada.

 

“Jawab aku Tatsuhiro! Apa kaitan keturunan Amaguri dengan Hamada? Mengapa dia mahu membunuh kami?!”

 

“Dia memegang kuasa halimunan, Shinji. Disebabkan itu dia masih gagal ditangkap. Kuasa halimunan itu datang dari batu tama-no-iwa yang dipegangnya, yang menjadi miliknya setelah puak Higashihara memberikan batu itu kepada bapanya.”

 

“Kuasa halimunan? Bukankah batu itu hanya menanda tempat dan menghalang penceroboh?”

 

“Benar, namun dalam kes Hamada, Higashihara telah merencatkan kuasanya. Berbanding menghalang penceroboh memasuki sesuatu tempat, ia menghalang orang-orang tertentu dari melihat Hamada. Namun suaranya masih boleh didengari. Itulah yang membolehkan para pengintip kita di Kawamoto mendengar segala rancangan-rancangannya.”

 

Benarkah begitu? Aku fikir aku harus beritahu Ryouji perkara ini. Jika tidak sia-sialah rancangannya mahu menangkap Hamada. Bangsat itu tidak boleh ditangkap semudah yang disangka.

 

“Maka disebabkan dia halimunan, kalian menggunakan taktik menekannya agar dia keluar, dan kemudian kalian akan menangkapnya?”

 

“Benar. Namun pengaruhnya terlalu besar. Terlalu ramai yang masih menyokongnya. Jika engkau tidak tahu, selain dari onar yang dilakukan, Hamada juga ada membantu ramai orang ketika mereka ditimpa kesusahan. Bahkan ada yang dia telah selamatkan. Orang-orang ini amat setia berkhidmat kepadanya meskipun sistem samurai telah dimansuhkan.”

 

“Taktik kami, Shinji, ialah cuba mendekati dan mempengaruhi orang-orang kuat Hamada ini selain dari menghantar pasukan kita menggagalkan segala rancangan onarnya.”

 

Shinji tidak menumpu sepenuhnya kepada semua maklumat yang dibongkarkan Tatsuhiro. Dia lebih berminat untuk mengetahui kubur ibunya Chiyo. Tatsuhiro membawanya melawat kubur tersebut.

 

**

 

Aku Okuhida Hisamiko.

 

Kalian pasti sudah mengetahui serba-sedikit berkenaan diriku sejak dari awal kisah ini. Di sini, aku ingin menceritakan perasaanku, dari sudut pandangku. Apa yang aku lalui selama ini.

 

Sedari kecil, aku tinggal bersama okaa-sanotou-san dan onii-san. Ketika umurku lapan tahun, okaa-san jatuh sakit dan sejak itu hanya terlantar di dalam rumah. Kami tinggal di sebuah rumah di pinggir bendang yang terasing dari rumah-rumah para petani lain di situ. Aku seringkali melihat onii-san dan otou-san berlatih di laman dan mengambil kesempatan menghafal gerakan-gerakan mereka. Onii-san terlalu mengongkong dan tidak yakin akan kebolehanku. Dia hanya mahu aku melarikan diri dan dia akan melindungiku. Aku tidak pasti mengapa namun aku berasa amat selesa setiap kali bersamanya kerana dia bersikap begitu. Namun semakin aku meningkat dewasa, aku mulai merasakan bahawa dia seakan mengongkong aku, aku berasa seperti seekor burung yang dikurung di dalam sangkar.

 

Onii-san seorang yang amat aku percayai. Dia rajin membawaku sekali ke tali air untuk mengail ikan kerana aku tidak suka duduk di rumah, meskipun dia keberatan kerana aku perempuan. Ketika aku mengantuk sewaktu pulang dia pasti akan mengendongku di belakangnya, meskipun tangannya membawa bakul yang berat dengan ikan dan buahan, dia tidak sedikitpun mengeluh.

 

Sehinggalah suatu hari ketika rumah kami diceroboh. Dia masih tidak yakin dengan diriku. Aku ditempatkan di sebuah gua kecil di tepi Sungai Miya. Aku ketakutan dan tidak tahu apa yang bakal berlaku sekiranya dia tidak kembali. Dia meninggalkan aku dengan bakul berisi buah dan menyuruh aku menunggu di dalam gua itu. Aku berfikir berapa lamakah aku harus menunggu? Jika dia tidak kembali dalam masa sehari bagaimana? Dia tidak meninggalkan aku dengan sebarang rancangan pun. Aku juga risau melihat seekor hayabusa berlegar-legar di luar gua sambil berteriak nyaring. Namun aku memahaminya. Ia memanggil namaku dari udara menyuruh aku keluar dan mengekorinya. Aku membalas dalam bahasanya bahawa aku tidak boleh keluar sehingga onii-san kembali. Aku tidak memberitahu perkara ini kepada onii-san kerana aku tahu dia pasti tidak akan mempercayaiku.

 

Malam itu, aku masih terkejut dengan otou-san yang mati dibunuh oleh jarum yang datang entah dari mana. Aku tidak pasti aku menangis untuk apa pada mulanya, namun melihatkan onii-san menangis, aku terus menangis. Kemudian onii-san menerangkan padaku bahawa otou-san sudah tiada, buat selama-lamanya. Seperti okaa-san. Saat itu, aku berasa sungguh sunyi. Hanya onii-san yang masih bersamaku. Aku berfikiran, bagaimana jika onii-san juga pergi? Bagaimana aku akan meneruskan hidup di dunia ini?

 

Ketika di kuil Furukawa, aku sekali lagi disuruh onii-san berlari ke dalam kuil. Onii-san, aku tahu bertarung. Namun bagaimana aku mampu menerangkannya? Dia tidak akan faham. Namun aku akur dan menurut sahaja katanya. Mungkin, aku perlu bertarung dengan lelaki yang mengejarku masuk ke dalam kuil bagi membuktikan kebolehanku. Namun melihat lelaki itu dari jarak dekat membuatkan aku gugup. Tambahan pula rakannya baru sahaja membunuh penjaga kuil ini sebelum mereka tiba. Aku menyerah kalah dalam hati. Aku hanya mampu melarikan diri. Di saat itu, aku berfikir bagaimana harus aku membantu onii-san?

 

Aku terlalu takut, sehingga aku ditimpa demam. Di waktu malam ketika aku sedang tidur, aku mendengar onii-san menangis sambil memegang tanganku. Aku tidak pasti mengapa, namun dari kehangatan genggaman tangannya, dari esak tangis itu, aku tahu, dia amat menyayangiku. Dia bimbang aku akan pergi meninggalkan dia seperti okaa-san yang ditimpa demam sama. Sejak itu, aku bertekad untuk menguatkan semangatku. Aku harus sembuh dan terus hidup, demi onii-san.

 

Dalam perjalanan kami ke rumah Takasaki, aku tahu aku harus berpura-pura mengigau ketika memberitahu dia bahawa Azuchi berpesan bahawa tiada orang mengekori kami. Dengan itu, dia tidak akan menyoal banyak. Aku tidak punya tenaga menjawabnya.

 

Dan ketika kami diserang di Furukawa setahun kemudiannya, dia masih begitu. Masih tidak yakin kebolehanku. Sehinggalah, ketika aku sendiri keluar mencarinya ketika dia keluar tahun lepas melakukan misi pertamanya sebagai rekrut Kogen. Dan baru-baru ini, ketika aku benar-benar berjaya menumpaskan penyerang-penyerangku itu. Meski dengan bantuan Tsuneki, Azuchi menjadi saksi bahawa aku punya kebolehan luar biasa. Aku turut berperanan penting dalam kejayaan kami. Aku harap onii-san tidak lagi memandang rendah kebolehanku. Aku perlukan latihan, bukannya sekatan.

 

Aku harap, onii-san tidak lagi perlu risau akan diriku. Aku yang akan menjadi pelindungnya, selagi dia hidup di dunia ini.

Previous: Bab 85
Next: Bab 87

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov