Home Novel Fantasi Kaisenjyo
Bab 102

Omi membawa budak itu kembali ke rumahnya. Setibanya di sana, api sudah rencat. Yang tinggal hanya kayu-kayu yang hangus. Cuaca sejuk dan angin kuat yang bertiup dari Laut Jepun telah mempercepatkan penyejukan kayu-kayu tersebut. Omi memerhati dan mengamati timbunan runtuhan. Mungkin gempa itu telah menimpa dapur mereka yang sedang bernyala dan merebakkan apinya.

Omi mengalihkan kayu-kayu itu namun tidak berjaya menemukan adik Ichiro, yang berjaya ditemui mayat ibu dan bapanya yang tertimbus di bawah runtuhan bilik mereka.

Omi mengebumikan mayat mereka berhampiran kawasan tersebut, di dalam belukar di bawah sepohon pokok.

“Ichiro, aku bilang adikmu telah dilarikan seseorang. Ini barangnya bukan?” Omi menunjukkan patung kayu berbentuk samurai yang tercampak di luar kawasan kebakaran, di mana terdapat bekas tapak kaki kuda.

“Benar.” Ichiro tidak dapat menahan kesedihan, seraya mengambil dan menyimpan permainan itu. Omi menenangkannya dengan meletakkan tangan di atas kepalanya.

“Ichiro, aku yakin dia pasti selamat. Di sini jarang aku bertemu perompak, tidak seperti di selatan sana. Aku bilang dia telah diselamatkan. Apapun, aku akan cuba mencari di mana dia melalui orang-orangku nanti. Ayuh, kita harus bertolak sekarang ke Shirasaka.”

Omi membawa budak itu tinggal dengannya di Kogen yang baru sahaja lapan belas tahun ditubuhkan. Ichiro dibesarkan dan dilatih sehingga menjadi seorang petarung Kogen. Pada mulanya dia ditugaskan sebagai pengintip, namun selepas dia berkahwin dia menjadi salah seorang dari penjaga rumah-rumah perlindungan.

Sementara adik kembarnya yang bernama Soichiro telah dibesarkan Hoshi. Namun hayat Hoshi tidak panjang. Dia meninggal dunia pada tahun 1821. Sejak itu Hamada yang masih berusia lapan belas tahun dan baru dilantik menjadi daimyo menggantikan Hoshi telah menjaganya dan mendidiknya dengan seni pertarungan. Hamada turut menukar nama Soichiro kepada Tsugiyama dan sejak itu Soichiro menggunakan nama tersebut.

Peristiwa kebakaran itu menghantui Tsugiyama sepanjang hayatnya. Fikirnya jika keluarganya dimusnahkan begitu oleh kuasa alam, maka mereka yang lainnya harus menghadapi perkara sama. Mungkin itulah yang mendorongnya membakar sasaran-sasaran Hamada. Namun apabila tiba hari di mana dia perlu melakukannya terhadap Kobato, dia tidak sampai hati. Ini kerana apa yang menimpa Kobato benar-benar menyerupai apa yang menimpanya dahulu. Kobato berumur sebayanya, dan menangis di tepi ibu bapanya yang mati dihempap kayu. Benar-benar serupa seperti pada hari itu. Dan tiada sesiapa yang membantunya pada saat itu.

**

“Maka engkau menerima tugas dari Kotobuki ini demi membalas jasa Omi?”

“Benar. Jika Omi tidak membawaku pergi pada hari itu, entah apalah nasibku sekarang. Mungkin aku telah diambil Hamada dan menjadi salah seorang dari mereka yang mendatangkan pelbagai masalah kepada negara ini.”

“Kerana Kogen, aku mampu meneruskan hidupku sehingga sekarang. Mungkin bantuan terhadapmu ini sumbangan terbesarku untuk Kogen, dengan menghapuskan kuasa Hamada. Mungkin juga yang terakhir?”

“Mengapa engkau kata begitu?”

“Aku sudah tua. Umurku sudah melepasi separuh abad. Keupayaanku tidak lagi seperti sewaktu zaman mudaku. Petarung-petarung yang kutemui hari ini nampaknya lebih maju dariku.”

“Namun engkau masih dapat mengalahkan Yamaha, petarung ketiga terbaik dari Empat Celaka.”

“Benar. Namun aku main kotor. Mungkin engkau tidak menyedarinya tadi kerana sibuk menghadapi Kawasaki, namun Yamaha telah terjatuh dari atas pokok dan kakinya terseliuh sewaktu bertarung denganku.”

“Aku langsung membunuhnya dengan melibas pedang merentas pinggangnya tatkala dia berusaha untuk bangkit. Namun wajahnya tenang, dia menerima kematian dan kekalahan itu.”

“Apa kata-kata terakhirnya?”

“Dia berterima kasih kepadaku kerana melepaskan dia dari hidup begini.”

“Aku tidak faham. Empat Celaka begitu setia sekali dengan Hamada. Honda dan Kawasaki masing-masing mengatakan padaku bahawa Hamada berjasa kepada mereka.”

“Ada yang setia kerana jasa Hamada. Namun Ryouji, ada yang hanya berkhidmat kerana ahli keluarga mereka diugut hutang oleh Hamada. Ia bercampur-aduk. Yamaha mungkin dari golongan kedua. Mungkin bapanya berhutang dengan Hamada dan dia menyerahkan dirinya sebagai petarung demi membebaskan bapanya dari belenggu hutang itu.”

“Baru kufaham.”

“Aku fikir pembunuhanku wajar, kerana sekali engkau menyertai Empat Celaka, kesetiaanmu tidak boleh dipalsukan. Engkau akan membunuh selagimana ada peluang. Mereka ditugaskan dengan tugas paling utama iaitu melindungi Yokuma, kunci kuasa Hamada.”

Engkau akan temui perkara mengejutkan sebaik engkau menghampiri Yokuma nanti. Lautan rangka dan mayat segar manusia bersepahan di sekeliling pusat Higashi-no-yane. Namun demi mengekalkan semangat tarungmu, aku tidak mahu mendedahkannya sekarang. Hamada akan membunuh tanpa ragu sesiapa sahaja yang cuba mendekati Higashi-no-yane. Tiada kompromi. Suzuki Kenshou, petarung Empat Celaka yang paling bahaya, menanti kalian di sana. Jika umurku panjang, aku akan membantu kalian sehingga ke sana. Jika tidak, maka kalian harus meneruskan perjalanan kalian sendiri.

**

Tsuneki dan Hisamiko sudah lena dibuai mimpi.

Tiba giliran Imagawa untuk lelap, Tsuneki dikejutkan. Ryouji masih tidak tidur. Dia berbual dengan Tsuneki.

“Engkau masih tidak tidur, Ryouji? Engkau akan keletihan esok. Esok hari penting untuk kita.”

“Aku tidak mengantuk Tsuneki. Banyak perkara yang mengusutkan benakku sekarang.”

Ryouji melabuhkan punggung di sebelah Tsuneki, di atas tebing sungai kecil. Cahaya bulan mengambang menerangi gelap belantara sugi yang sederhana sejuk di malam musim panas 1874.

“Ryouji, apa rasanya membunuh orang?” Tsuneki tiba-tiba bertanyakan soalan tersebut.

“Sejujurnya aku takut. Mengapa engkau bertanya?”

“Apa yang engkau takutkan?” Jawab Tsuneki dengan pertanyaan.

“Aku takut akan dibunuh bila-bila masa dan meninggalkan Hisamiko tanpa kata-kata terakhir untuknya. Pergi dengan tiba-tiba. Itu yang paling kutakuti.”

“Aku fikir orang yang kupanah lehernya dengan mata panah itu mungkin punya isteri dan tanggungan. Isterinya telah menjanda, dan anaknya telah menjadi anak yatim.”

Tsuneki menoleh memandang Ryouji di sebelahnya.

“Ryouji, aku pasti akan dibalas bukan, di atas pembunuhan itu?”

“Tsuneki, engkau melindungi dirimu. Jika engkau tidak melarikan diri mereka pasti akan membunuh kalian juga.”

“Bagaimana pula dengan perancanganku? Kerana perancanganku berundur ke Narai-juku, habis satu pekan itu dibakar orang-orang Hamada.”

“Tsuneki, bayangkan jika kita tidak berundur. Dengan semua kuda kita mati keracunan, bagaimana kita mampu teruskan perjalanan? Engkau tahu selok-belok hutan ini dan pondok ini tanpa Imagawa?”

Tsuneki menggeleng kepala.

“Aku fikir engkau telah membuat keputusan tepat untuk berundur. Kita tiada pilihan. Keutamaan kita ialah Hamada. Hamada perlu dihapuskan.”

Atau engkau sememangnya mahu membalas dendam peribadimu Ryouji? Dengan mempergunakan alasan menyelamatkan bangsa ini dari Hamada?

“Atau mungkin, kebakaran di Narai-juku itu dapat dielakkan jika kita masih di Kogen.”

“Tsuneki, perjalanan kita ke Yokuma ini mesti dilakukan, meskipun mungkin akan ada nyawa yang terkorban dalam proses itu. Kita tiada pilihan. Hamada mesti dihapuskan atau sekurang-kurang ditangkap.”

Tsuneki termenung, cuba memahami kata-kata Ryouji. Ryouji, engkau sudah berubah. Jika dahulu hampir semua perkara engkau risaukan, dan sekarang engkau sudah mulai lali dengan pembunuhan.

Apakah kematian penduduk Narai-juku itu wajar, jika aku memaksa diriku agar melihat kepada sasaran lebih besar di hadapan mata kami, iaitu Hamada? Apakah sudah tiada pilihan yang lebih baik dari membiarkan Narai-juku dibakar?

Ryouji masuk untuk tidur dan mengejutkan Hisamiko menjaga gilirannya. Tsuneki tidak lagi mampu tidur setelah dikejutkan, dan terus berjaga menemani Hisamiko.

Tatkala Ryouji berbaring di lantai tatami pondok merenung siling menanti mata tertutup, dia merenung kembali kata-kata jawapan kepada persoalan Tsuneki. Sesungguhnya aku sekadar berpura-pura kuat di hadapannya. Aku tidak boleh lemah. Mereka melihatku sebagai pemimpin. Tidak boleh tidak, aku dipertanggungjawabkan oleh Kogen membawa Tsuneki menghapuskan kuasa Hamada. Amanah berat ini tidak boleh kupandang enteng dan mereka yang membantuku tidak boleh dilemahkan jiwanya kerana kelemahanku. Syaitan gila itu perlu ditangkap secepat mungkin!

“Huargghh!!” Tsuneki menguap panjang, dia berbaring di atas rumput di tepi tebing sungai kecil itu.

“Tutup mulutlah ...” Hisamiko meletakkan tangan kanannya di atas mulut Tsuneki yang ternganga itu. Tsuneki pantas mencapai tangan Hisamiko dengan kedua-dua belah tangannya.

“Tsuneki...mengapa...”

Hisamiko merasakan tangan Tsuneki menggigil. Dia memandang wajah Tsuneki yang terbaring, matanya merenung langit, tidak berganjak.

“Biarkan begini seketika Hisamiko.”

Hisamiko menambah tangan kirinya pada genggaman tangan Tsuneki.

“Sudi engkau mendengarku Hisamiko? Hanya dengarkan aku, tidak perlu bicara apa-apapun.”

Baka... mengapa perlu minta izin begitu?” Hisamiko menggenggam tangan Tsuneki lebih kuat. Dia menyambung, “Tsuneki, hanya kisahkan.” Hisamiko menguntum senyuman merenung wajah Tsuneki, seraya menyambung, “Aku akan mendengarmu sehingga engkau habis berbicara. Kisahkanlah.”

“Menakutkan bukan? Kita hampir dibunuh siang tadi.”

“Aku takut. Aku hairan bagaimana Ryouji masih tegar dan kuat begitu. Dan engkau. Engkau tidak takut Hisamiko?”

Aku tidak tahu bagaimana menjelaskannya pada Tsuneki. Aku berasa seperti seolah-olah sudah lali dengan situasi begitu. Peristiwa di Furukawa, hutan Hidagawa, kejadian berhampiran Inotani dan Saikawa, adalah pengalaman-pengalaman pahit yang membentuk peribadiku kini. Juga sikap onii-san yang mengejar wawasan besar Kogen, mendorong aku membantu dan mengiringinya sehingga ke saat ini.

Mungkin Tsuneki berlainan. Dia tidak pernah melaluinya. Sehingga sekarang, apa yang menggerakkannya hanyalah kekuatan dia untuk bersamaku. Ketika aku diserang di Inotani, dia menjadi berani keranaku. Ketika aku diserang di Saikawa, dia berani mengejar kereta kuda itu keranaku. Sehingga kinipun, dia masih mengikut kami keranaku. Namun dalam dua peristiwa pertama itu dia tidak diperangkap sepertimana siang tadi. Situasi siang tadi benar-benar seperti telur di hujung tanduk, jika tidak kerana idea anehnya melepaskan kami dari orang-orang Hamada. Dan peristiwa kali ini juga melibatkan kebakaran yang membunuh orang awam, sesuatu yang mungkin berat untuk diterima Tsuneki.

“Hisamiko, mengapa kita perlu melalui semua ini? Aku hanya ingin hidup denganmu, dengan Ryouji, di tempat yang jauh dari semua ini.”

“Bohonglah jika aku tidak takut, Tsuneki. Namun jika aku membiarkan perasaan ini mengawalku, kita tidak akan dapat menangkap Hamada.”

“Apakah penangkapan Hamada itu lebih penting dari meneruskan hidup kita?”

“Ya. Kami melihat bapa kami dibunuh di depan mata kami sendiri oleh pembunuh yang dihantarnya. Dan engkau, bukankah anak Hamada telah mengotorkan sungai di kampungmu? Dan bagaimana orang-orang Hamada hampir menjual Chiho dan Chinami? Bagaimana Hamada telah membunuh ibu Shinji?”

“Tsuneki, kita akan harungi semua ini bersama-sama. Selepas itu kita akan tinggalkan semua ini, dan hidup di tempat yang jauh bersama-sama. Kami tidak mahu Hamada berterusan melakukan onar-onar ini tanpa dia ditangkap disebabkan kuasa halimunannya itu.”

**

Fajar menyingsing. Bermulalah hari penentu. Hari bersejarah yang akan menentukan nasib Hamada. Apakah pondan tua itu akan terus memegang kuasa halimunannya, atau kecundang di tangan Tsuneki?

Ikuzo! (Bertolak sekarang!)” Imagawa menyeru mereka agar lekas bergerak sebelum matahari naik sepenuhnya. Bertolak awal sememangnya menguntungkan. Dinihari tidak terlalu gelap jika mereka perlu bertarung. Jika pertarungan memakan masa yang lebih lama, hari sudahpun beransur cerah dan lebih mudah melakukannya.

Seperti semalamnya, Hisamiko membonceng Ryouji manakala Tsuneki membonceng Imagawa.

Kami kini di tahun kelima Pembaharuan. Dalam tempoh itu, aku melihat perubahan demi perubahan. Sedikit demi sedikit, bangsa ini mengubah nasib mereka. Pasukan polis dan tentera diperkasakan. Polis seperti Imagawa bersekutu dengan Kogen demi mengekalkan keamanan. Namun masih, dalam tahun kelima ini, aku menyaksikan kematian demi kematian di hadapan mataku. Baru sahaja semalam, berlaku pembunuhan besar-besaran di Narai-juku oleh pembakaran yang dimulakan mereka, Empat Celaka yang merupakan sekutu Hamada. Dan pada tahun kelima ini juga, aku telah membunuh salah seorang dari mereka. Tidak, dua orang dari mereka. Apakah negara ni semakin bertambah baik di bawah Pembaharuan itu? Aku belum benar-benar menyaksikan kesannya. Malahan, di dalam hutan ini masih berkeliaran bekas samurai yang menjadi ronin kerana diusir tuan-tuan mereka. Mereka telah melakukan jenayah dengan menodai dan membunuh anak kepada Noguchi. Mereka juga menodai Nariko sebelum dibunuh Ayame. Itu yang kutahu. Bagaimana dengan jenayah lain yang mati begitu sahaja tanpa dibicarakan, di dalam hutan tebal penuh misteri begini? Siapalah yang sanggup mengambil tahu? Atau, mereka menjadi saksi bisu yang tidak sanggup melaporkannya kepada pihak berkuasa kerana dikhuatiri akan memakan diri?

Sesungguhnya perjalanan Pembaharuan itu masih terlalu jauh. Jalannya panjang penuh berliku, onaknya berselirat menikam. Hanya jiwa-jiwa yang kental mampu meredahnya.

Seperti dijangka awal-awal lagi, di awal pagi yang bening dengan embun masih belum kering di dedaunan, dan jarum-jarum kuning dari angkasaraya belum menusuk kanopi hutan dan kabus masih mengaburi pandangan, mereka ditahan sekumpulan ronin. Mereka pastinya orang-orang Hamada, kerana ronin-ronin lain yang cuba menceroboh kawasan ini pasti akan dibunuh oleh orang-orang Hamada tanpa soal.

Ohayou (pagi), kalian. Hari masih pagi dan kalian sudah bersedia untuk mati?” Seorang dari mereka memerli.

“Kalian, kami tiada masa untuk berbicara. Jika kalian membenarkan kami ke Yokuma, kalian akan selamat. Namun jika kalian menghalang, maka pedang kami adalah jawapan.” Imagawa memberi kata dua. Tiada kompromi lagi. Mereka semua sudah ‘sejengkal’ dari Higashi-no-yane. Kuasa Tsuneki mesti dikembalikan segera.

“Kami tidak akan membenarkan sesiapapun memasuki pergunungan ini. Kalian, bersaksilah dengan ketetapan ini.”

“Maka aku tidak dapat mencegah pertarungan dengan kalian. Ryouji, bersedia!”

“Hisamiko dan Tsuneki, kalian perhati sekeliling. Tsuneki, panah mana-mana pengintip. Hisamiko, lindungi Tsuneki.” Pesan Ryouji, memandang tepat mata mereka.

Ryoukai!”

Lawan Ryouji dan Imagawa dua orang. Namun mungkin ada ramai lagi pengikut mereka yang sedang bersembunyi di balik semak di tepi, menanti peluang menyerang hendap dengan panah.

Seorang mula menyerang Imagawa, membawanya ke tepi ke dalam hutan sugi. Seorang lagi meluru ke arah Ryouji.

Aku cuma ada satu pedang sahaja sekarang. Aku akan meminta Shinji menempa Saishi-tou gantian, dengan kaedah baru yang telah dizahirkan pada pedang Hisamiko. Kaedah yang telah ditambahbaik. Pedang Hisamiko adalah mahakarya Shinji hasil tambahbaik kaedah tempaan sejak dia menyertai makmal Shirasaka.

Ryouji mencapai pedang lawan yang ditumpaskannya. Imagawa memandangnya, mahu bertanya, namun pantas dia bersuara.

“Sebagai gantian. Aku fikir aku tidak lagi boleh mengelak dari membunuh, Imagawa-san. Meskipun jalan ini sungguh pahit.”

“Aku harap engkau tidak berbolak-balik di saat akhir lagi. Ryouji, konco-konco Hamada yang berada di sekitar Yokuma bukan mainan, bukan gurauan. Ingat itu. Jika kita tidak membunuh, mereka akan membunuh kita!”

“Aku pegang kata-katamu, Imagawa-san.” Ryouji menggenggam tangan, menekap pada dadanya. Imagawa tersenyum.

“Ayuh, kalian!”

Hisamiko melompat ke atas kuda Ryouji, sementara Tsuneki melompat ke atas kuda Imagawa. Saat mereka mahu memecut ke hadapan, Tsuneki menyedari pergerakan di balik belukar, seraya pantas memanahnya. Seorang pemanah hendap kecundang di balik belukar, mengerang kesakitan.

Arigatou, Tsuneki!”

Doumo.”

Aku masih belum bertemu Suzuki Kenshou, satu-satunya Empat Celaka yang masih hidup. Dia pastinya berkawal berhampiran Higashi-no-yane. Benar-benar berhampirannya.

**

Mereka melepasi denai kerikil yang dibarisi tanah beralun ditumbuhi sugi di kiri dan kanannya. Lagi sejam berkuda dan mereka akan sampai di pusat Higashi-no-yane.

Selepas setengah jam berkuda, mereka dihalang.

Seorang lelaki dengan ketinggian purata, memakai kimono berwarna kirmizi dan umanori gelap, lengkap dengan dua bilah pedang tersisip di pinggang, keluar dari belukar di tepi denai kerikil, tiba-tiba. Kuda Ryouji dan Imagawa berhenti mengejut.

Serentak dengan itu, muncul lebih kurang dua puluh orang dari celah belukar di kiri dan kanan mereka, bersedia mengepung. Keempat-empat mereka turun dari kuda masing-masing. Hisamiko bersedia dengan Saishi-tou-nya dan akan menetak mana-mana panah yang menyasar ke arah mereka, sementara Tsuneki bersedia memanah mana-mana penyerang hendap yang bersembunyi di balik belukar. Ryouji dan Imagawa tidak berlengah, mereka masing-masing mengeluarkan pedang dari sarung, bersedia.

Lelaki yang memakai kimono berwarna kirmizi dan umanori gelap mengeluarkan pedangnya.

“Siapa namamu?” Ryouji bertanya.

Lelaki itu tidak menjawab. “Dialah Suzuki.” Imagawa separa membisik. Imagawa menyambung, “Dia tidak banyak bercakap. Jangan terlalu mengharapkan jawapan darinya.”

Ryouji tersentak mendengar nama Suzuki. Inikah ahli Empat Celaka yang paling berbahaya yang dikatakan Imagawa itu? Sejauh manakah tahap bahayanya?

Aku perlu mengujinya dahulu, getus Ryouji.

“Kalian, hanya serang dua orang budak di belakang mereka! Dua orang ini lawanku, jika kalian mengganggu mereka, aku akan bunuh kalian!” Pertama kali kedengaran suara Suzuki menerobos ke segenap penjuru hutan sugi, memberi amaran kepada pengikutnya agar hanya menyerang Hisamiko dan Tsuneki, dan membiarkan dia bertarung berseorangan dengan Imagawa dan Ryouji.

Oh, begitukah suaranya? Seperti suara seorang daimyo atau ketua tentera, lantang, dan besar.

“Engkau begitu yakin mampu bertarung dengan kami berdua?”

Suzuki tidak menjawab, dia meluru langsung ke arah Ryouji yang berdiri dengan pedang terhunus di sebelah Imagawa, mendadak di jurus kelapan. Melihatkan Suzuki, Ryouji tidak berlengah dan terus naik ke jurus sama. Sedang Imagawa mula naik ke jurus pertama dan meningkat tahap demi tahap.

Pada pandangan Ryouji, Suzuki menghala pedang ke arahnya namun pantas beralih menyerang Imagawa. Ryouji perasan Imagawa hanya melihat Suzuki menyerangnya tanpa sebarang tindakan. Bahkan tambah mengejutkan, Imagawa menghayun pedangnya ke arah lain, seolah-olah cuba menghalang Suzuki dari menyerang Ryouji.

Sedang Imagawa, dia pula melihat Ryouji tidak bertindak sedangkan Suzuki menghalakan serangan ke atasnya. Imagawa cuba menyerang Suzuki, namun pedang Suzuki lebih pantas ke leher Imagawa yang masih di jurus rendah. Ryouji dapat menangkap gerakan itu kerana berada sama di jurus lapan dengan Suzuki, seraya pantas menepis pedang Suzuki menggunakan pedang warisan bapanya, menyelamatkan Imagawa.

Apa yang telah berlaku? Mengapa Imagawa cuba mempertahankanku dan membiarkan dirinya terbuka?

Menyedari Suzuki berjaya ditepis menjauhi mereka, Imagawa dan Ryouji serentak memperbaharui dan menghalakan serangan ke atas Suzuki. Demi mengelak dua serangan sekaligus ke atasnya, Suzuki melompat ke udara, tinggi, di paras kepala Imagawa dan berundur agak jauh. Ryouji dan Imagawa menjarak lebih jauh dari satu sama lain.

Aku fikir aku harus berjarak sedikit dari Imagawa. Lelaki ini aneh. Dia mampu melakukan pergerakan yang mengelirukan dan menyembunyikannya dari pandangan kami, khususnya Imagawa. Mungkin dengan menambah jarakku dari Imagawa, aku menyukarkan dia melakukan gerakan hampir serentak seperti yang dilakukannya tadi. Dia naik terus ke jurus lapan! Imagawa hampir ditetaknya tadi, jika aku tidak turut naik mengejut ke jurus lapan dan menepis pedangnya. Mujur aku sempat mempelajarinya sepulangnya aku dari misi berdarah Ayame dua tahun lepas. Dan Imagawa kulihat masih tidak mampu naik mengejut sepertiku. Jika beginilah tahapnya, maka dia dalam bahaya!

“Jurus apakah itu, Suzuki?” Ryouji masih tidak berputus asa membuka perbualan dengan Suzuki.

“Ciptaanku. Terima kasih bapamu mencipta kaminari, aku mengubahsuainya mengikut citarasaku.”

Dia kenal bapaku! Namun melihatkan wajahnya, lelaki ini berumur dalam lingkungan tiga puluhan. Barangkali dia sempat belajar langsung dari bapaku akan kaminari?

“Bagaimana engkau mengenali bapaku?”

“Aku sempat berlatih kaminari dengannya sewaktu umur remajaku, ketika dia menjadi samurai Hamada. Ryouji, jauhkan dirimu dari Yokuma dan engkau akan selamat. Kami hanya akan membunuh pewaris Higashihara.”

“Aku tidak akan berundur selagi Hamada belum ditangkap. Dan jika tujuanmu membunuh pewaris Higashihara, kami tidak akan berdiam diri!”

“Maka aku tiada pilihan. Ryouji, aku tidak akan membelot Hamada seperti bapamu.”

Ryouji bersedia. Dia menganjak sedikit demi sedikit mendekati Imagawa.

“Imagawa, jaga jarakmu dariku. Dia nampaknya mampu melakukan gerakan hampir serentak.”

Imagawa mengangguk, “Wakatta (faham). Terima kasih Ryouji menyelamatkanku. Aku masih tidak mampu naik mendadak ke jurus tinggi.” Tidak, Ryouji. Aku sememangnya tidak tahu kaminari. Omi melatihku sebelum kaminari dicipta bapamu.

Doumo.”

Aku tidak tahu apa lagi ancaman lain yang menanti kami selepas ini. Maka aku tidak boleh memutus melulu menggunakan jurus kedua. Di saat ini aku juga tidak lagi boleh menggunakan jurus kesembilan, kerana kehilangan Saishi-tou, dan juga ketiadaan burung hayabusa. Aku hanya ada pedang ini, pedang warisan bapaku dan pedang yang kupungut dari Kawasaki. Sebentar, bukankah Tsuneki punya Saishi-tou? Dia agak jarang menggunakannya.

Previous: Bab 101
Next: Bab 103

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov